mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Hormati Orang Tua

Petikan Khutbah Jumaat 1 Okt. 2021M / 24 Safar 1443H: JAIS

Hormati Orang Tua

Ajaran Islam mengajar kita untuk menyayangi dan menghormati orang tua.

Hormat bermaksud memandang tinggi kepada seseorang dengan memberi layanan yang penuh sopan, memuliakan, mengetahui batas pergaulan dan beradab.jais.jpg

Sikap dan amalan menghormati orang tua merupakan kunci kebahagiaan dan kedamaian dalam hidup.

Sikap ini perlu ada pada setiap individu, tidak kira muda, kaya, miskin, berpangkat atau berjawatan. Ia merupakan tuntutan dalam ajaran Islam dan selari dengan prinsip dakwah yang dianjurkan oleh Nabi SAW dalam menghormati dan menyayangi orang tua

Seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amru Radiallahu’anhu: “Sayangilah semua yang ada di bumi, maka semua yang ada di langit akan menyayangimu.” (Riwayat al-Tirmizi).

Nilai atau rasa hormat kepada orang tua, boleh diterjemahkan dalam pergaulan dan hubungan harian di mana sahaja mereka berada sama ada di masjid, tempat awam dan sebagainya.

Terdapat banyak cara untuk menghormati orang tua seperti memanggil mereka dengan gelaran serta panggilan yang baik dan selayaknya bagi mereka.

Semasa berinteraksi dengan orang tua, kita mesti peka dan prihatin dengan umur mereka.

Kadang kala kita terlupa bahawa jurang umur menjadi faktor berlakunya komunikasi yang kurang berkesan. Bercakaplah dengan bahasa yang sopan dan merendah diri.

Jika ada perkara yang tidak betul yang dilakukan oleh mereka dan kita ingin menasihati mereka, gunalah saluran yang betul serta menjaga adab yang baik seperti menggunakan bahasa yang lemah lembut.

Ini kerana, orang tua merupakan golongan yang sensitif dan perlu disantuni dengan sebaiknya.

Begitu juga, berjalanlah di belakang atau di sisi mereka dan bukan di hadapan orang tua sebagai tanda hormat.

Jika dinasihati, jadilah pendengar yang baik meskipun kadangkala kita tidak bersetuju dengan apa yang dibicarakan.

Apa yang penting, jangan sesekali menjatuhkan air muka dan maruah mereka dengan memalukan mereka di khalayak ramai.

Mereka golongan yang berhak dihormati dan dimuliakan. Apabila hilang rasa hormat, maka lahirlah sifat sombong dan bongkak.

Orang yang tidak mempunyai kasih sayang tidak akan disayangi. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW melalui hadisnya daripada Abu Hurairah Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda:  “Sesungguhnya sesiapa yang tidak mengasihi, maka dia tidak akan dikasihi.” (Riwayat al-Bukhari)

Perlu kita sedari, menghormati orang tua termasuk dalam amalan-amalan sunnah.

Perkara ini diperingatkan oleh Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya daripada Ibnu Abbas Radiallahu’anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Bukanlah termasuk golongan kami, mereka yang tidak mengasihi anak-anak kecil kami dan tidak pula menghormati orang tua kami, serta tidak menyuruh yang makruf dan melarang yang mungkar.” (Riwayat al-Tirmidzi).

Semenjak akhir-akhir ini, sikap menghormati orang tua semakin terhakis dalam masyarakat khususnya kepada golongan remaja.

Mereka dilihat seolah-olah tidak terdidik dengan sikap menghormati orang tua. Saban hari, kita melihat amalan yang pernah dijadikan amalan yang baik sejak zaman berzaman tidak dipraktikkan lagi pada hari ini.

Ia semakin hilang dan tenggelam dalam arus pemodenan seperti amalan meminta izin jika melintasi dihadapan orang tua.

Selain itu, senario yang dapat dilihat adab berbicara pengguna-pengguna media sosial seperti tidak menghormati orang yang lebih tua yang mempunyai banyak pengalaman dalam asam garam kehidupan.

Terdapat bahasa cercaan, hinaan dan kata-kata kasar bersifat emosi kerana amarah yang menyinggung perasaan orang tua.

Ini merupakan satu situasi sedih terhadap anak-anak muda yang tidak mempamerkan akhlak yang baik terhadap orang tua.

Pada hari ini, ramai ibu bapa yang berlumba-lumba mahu melahirkan anak-anak yang pintar dan mahir dalam pelbagai bidang jawatan dan kedudukan namun terlupa untuk menerapakan nilainilai murni dalam kehidupan anak-anak.

Amalan hormat-menghormati, saling membantu, mengetahui batasan pergaulan dengan orang tua, adab bercakap bukan lagi menjadi perkara utama dalam kehidupan.

Perlu diingatkan amalan menghormati orang tua sangat ditegaskan oleh Nabi SAW melalui hadisnya yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radiallahu’anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda: Jibril telah menyuruhku untuk mendahulukan orang-orang yang lebih tua. (Riwayat Ahmad).

Dalam menghadapi suasana ketika ini, marilah sama-sama kita luangkan masa untuk berusaha menziarahi orang-orang tua di kawasan persekitaran dan kejiranan kita. Boleh jadi ada dalam kalangan mereka yang terkesan hidupnya tanpa dipedulikan.

Rebutlah peluang untuk menyantuni mereka dengan bertanya khabar serta menunaikan hajat keperluan mereka.

Mereka golongan minoriti yang terabai akibat hidup bersendirian dalam kedaifan. Maka, inilah peluang untuk menghulurkan bantuan.

Keutamaan yang sewajarnya perlu diberikan kepada orang tua. Dorongan dan sokongan bersifat dalaman dengan kasih sayang, bertanya khabar, selain membantu meringankan beban dan tekanan emosi.

Begitu juga, keutamaan membantu orang tua yang tidak mempunyai waris atau telah ditinggalkan oleh anak serta tiada saudara mara yang datang menziarahi mereka.

Akhirnya, mereka ditempatkan di rumah dan pusat kebajikan tanpa kerelaan bagai layang-layang terputus talinya.

Maka, situasi ini mengundang kesedihan berpanjangan hingga ke akhir hayat mereka.

Apa yang mereka harapkan kebahagian dan ketenangan hidup di penghujung usia namun segala impian sukar menjadi kenyataan.

Walaupun peranan dantanggungjawab sebagai anak telah dititikberatkan sejak di bangku sekolah lagi supaya menunjukkan sedikit belas dan ihsan serta keprihatinan dengan menjaga kebajikan mereka.

Namun begitu, terdapat segelintir masyarakat apabila ibu bapa telah tua anak-anak mula mementingkan diri sendiri lalu mengambil jalan singkat dengan menghantar mereka ke pusat jagaan, ditinggalkan di hospital, masjid atau di tempat awam.

Terdapat dalam kalangan waris menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pusat jagaan untuk menjaga mereka dan tidak lagi menjengok atau bertanya khabar atas pelbagai alasan sehingga mereka meninggal dunia.

Oleh itu, sayangilah dan hormatilah orang tua kerana ia merupakan amalan yang sangat mulia di sisi Allah SWT.

Manfaatkanlah sisa umur kita untuk menghormati orang tua kerana sudah pasti suatu hari nanti kita juga akan merasa tua dan melalui baki umur terakhir dalam kehidupan

Antara pengajaran daripada khutbah hari ini untuk dijadikan pedoman dalam hidup kita adalah:

1. Setiap muslim hendaklah menjadi individu yang menghormati orang tua untuk jaminan kebahagian hidup di dunia dan di akhirat.

2. Setiap muslim hendaklah sedar bahawa menghormati orang tua adalah amalan dan perbuatan yang baik dan mulia bahkan dituntut oleh Islam.

3. Umat Islam hendaklah memupuk sikap saling menghormati dan bertoleransi antara golongan yang tua dengan golongan yang lebih muda.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu).” (Surah al-Ahqaf : 15)
Tags: hormat, khutbah, orang tua
Subscribe

Posts from This Journal “hormat” Tag

  • Menghormati agama lain

    SOALAN: Apakah wajar ada pihak yang menghina agama lain apabila wujud persengkataan politik, agama, atau bangsa? JAWAPAN: Dalam kehidupan manusia…

  • Nasihat secara berhikmah, ikhlas jalin persaudaraan

    SEBAIK-baik pemberi nasihat itu memiliki akhlak lemah lembut, bersopan dan berhemah untuk menyampaikan nasihat supaya mampu mengindahkan halwa…

  • Toleransi acuan hidup harmoni

    Alhamdulillah kita ditakdirkan oleh Allah SWT untuk hidup dalam sebuah negara yang aman damai, dilimpahi rezeki melimpah ruah serta penuh keamanan.…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments