mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Mensyukuri Nikmat, Melestarikan Alam Sekitar

Petikan Khutbah Jumaat 1 Oktober 2021M/ 24 Safar 1443H JAWi

Mensyukuri Nikmat, Melestarikan Alam Sekitar

Alam sekitar adalah anugerah Allah SWT yang amat bernilai kepada kehidupan manusia.

Bumi yang luas dijadikan tempat tinggal manusia, gunung-ganang sebagai pasak bumi, tumbuh-tumbuhan sebagai sumber makanan dan ubatan, hujan sebagai sumber rezeki dan pelbagai lagi
termasuklah sungai-sungai yang mengalir.
jawi_logo.jpg
Semua nikmat ini dijadikan Allah SWT supaya manusia bertanggungjawab ke atasnya.

Firman Allah SWT menerusi surah Ibrahim ayat 32 yang bermaksud : “Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Dialah yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintah-Nya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya).”

Justeru, menjaga alam sekitar adalah amanah daripada Allah SWT. Di samping itu, Allah SWT menjadikan alam ini ada sunnatullah dan sistemnya yang tersendiri yang mesti dituruti bagi mengelakkan sebarang kerosakan.

Semua perkara ini mengandungi hikmah yang sangat besar.

Air merupakan salah satu khazanah alam yang amat bernilai dan menjadi unsur yang paling penting dalam kitaran kehidupan manusia dan alam sekitar.

Sesungguhnya Islam sendiri mengajar umatnya supaya memastikan sumber air sentiasa bersih dan suci apatah lagi ianya sangat berkait rapat dengan ibadah kita.

Justeru, Islam sangat menegah sebarang perlakuan yang boleh mencemarkan dan merosakkan sumber alam sekitar seperti sungai.

Sebagai muslim, kita seharusnya mensyukuri nikmat sumber air sungai yang sangat banyak di negara ini bahkan kualiti air yang baik serta boleh diambil secara berterusan demi menjamin kelestarian alam sekitar sejak bertahun-tahun lamanya.

Kita mestilah akui bahawa sungai-sungai inilah yang memenuhi keperluan air bagi seluruh rakyat.

Namun kita juga seharusnya sedar dan mengambil peduli dengan masalah kekurangan bekalan air akibat pencemaran sungai dan penggunaan sumber air yang tidak terkawal.

Sememangnya pencemaran sungai di negara ini adalah sesuatu yang sangat merugikan kita semua.

Amat malang bagi kita apabila masih ada segelintir masyarakat dan pihak-pihak yang terlibat dengan perindustrian dan perkilangan yang tidak bertanggungjawab apabila melakukan perbuatan mencemarkan sungai-sungai di negara kita dengan membuang sisa, bahan kimia dan sampah sarap ke dalam sungai.

Perbuatan ini jelas suatu kemungkaran yang boleh membawa kepada kemusnahan alam sekitar bahkan ia turut menjejaskan kehidupan orang lain.

Ingatlah, sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi ini kita bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar dan ekosistemnya.

Lantaran itu, Allah SWT mengurniakan akal kepada manusia sebagai nikmat yang sangat penting untuk mentadbir dan mengurus alam ini.

Apa sahaja yang dilakukan oleh manusia pasti akan memberi kesan kepada alam ini sama ada baik atau buruk.

Inilah intipati firman Allah SWT menerusi surah al-Rum, ayat 41 : Bermaksud: “Telah zahir berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia, (timbulnya demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Mimbar ingin mengambil kesempatan bersempena dengan Sambutan Hari Sungai Sedunia yang bertemakan “Alur Air Dalam Komuniti”, marilah kita mendokong usaha dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah SWT dan warganegara yang baik untuk terus berusaha melestarikan khazanah sumber alam di negara ini dengan sebaik mungkin.

Jadilah insan yang prihatin dengan mengamalkan kehidupan yang bersih, mengambil berat tanggungjawab pemeliharaan dan pemuliharaan sungai dan alam sekitar serta menjayakan kempen yang diusahakan oleh pihak kerajaan.

Mengakhiri khutbah hari ini, renungkan beberapa kesimpulan untuk ingatan kita bersama :

Pertama: Allah SWT menjadikan alam ini ada sunnatullah dan sistemnya yang tersendiri yang mesti dituruti bagi mengelakkan sebarang kerosakan.

Kedua: Sebagai khalifah Allah SWT kita bertanggungjawab terhadap pemeliharaan alam sekitar dan ekosistemnya. Gunakan akal dengan bijaksana untuk mentadbir dan mengurus alam ini.

Ketiga: Jadilah warganegara prihatin dengan mengamalkan kehidupan yang bersih, memelihara dan memulihara sungai dan alam sekitar serta jayakan kempen kerajaan dalam melestarikan alam sekitar di negara ini.

Marilah sama-sama kita hayati firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun, ayat 18: “Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan ia tersimpan di bumi dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya.”
Tags: alam sekitar, khutbah, lestari, nikmat, syukur
Subscribe

Posts from This Journal “alam sekitar” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments