mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Zakat Jaminan Sosial Ummah

Petikan Khutbah Jumaat 08 Okt 2021M / 01 Rabiulawwal 1443H: JAIS

Zakat Jaminan Sosial Ummah

Zakat harta merujuk kepada zakat yang melibatkan harta-harta tertentu, iaitu emas, perak, pendapatan, perniagaan, wang simpanan, pelaburan, pertanian, penternakan dan galian.jais.jpg

Semua jenis harta tersebut perlu dikeluarkan zakatnya apabila seseorang itu telah mencukupi segala syarat wajibnya.

Maka berdosa besar bagi sesiapa yang enggan mengeluarkan zakat.

Peringatan Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 35: “(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu.”

Mutakhir ini kita berhadapan dengan Pandemik Covid 19, yang menjadi punca kepada pelbagai isu.

Antara yang paling getir ialah kesannya kepada ekonomi negara. Banyak perusahaan yang terjejas dan menyebabkan ramai yang kehilangan pekerjaan.

Senario ini mencetuskan satu masalah baharu iaitu kemiskinan segera. Umumnya ‘kemiskinan segera’ ini hanyalah bersifat sementara.

Namun begitu, ia akan menjadi masalah besar seandainya gagal ditangani dengan baik. Selain itu, ia juga tidak mengenal batas ekonomi dan boleh menimpa semua pihak, termasuklah mereka yang dari kumpulan M40 dan T20.

Kelompok professional dan berkemahiran tinggi pun boleh terkena tempiasnya juga.

Mendepani situasi ini, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah melancarkan pelbagai inisiatif untuk membantu mereka yang terkesan.

Pada 2 Julai 2021, LZS telah melancarkan Bantuan dengan tema Zakat Selangor Peduli yang mensasarkan seramai 15,000 orang penerima dengan bantuan RM500 secara one off (sekali sahaja).

Bantuan ini adalah kesinambungan dari Bantuan Khas COVID-19 dan Bantuan Alternatif Insan Terkesan (BAIT) yang telah dilancarkan sebelum itu.

Sehingga saat ini, lebih dari RM100 juta telah diperuntukkan bagi membantu mereka yang terjejas dengan Covid 19 ini.

Di sebalik keadaan ekonomi yang terjejas dan ramai kehilangan pekerjaan, hakikatnya masih ramai dalam kalangan umat Islam di negeri ini yang berpotensi menunaikan zakat.

Ini kerana berdasarkan kajian, didapati potensi sebenar pembayar zakat di Selangor adalah berjumlah 1.2 juta orang.

Sedangkan sehingga 31 Disember 2020 yang lalu, jumlah yang tampil menunaikan zakat hanya sekitar 300 ribu orang sahaja.

Ertinya, masih ramai yang mampu menunaikan zakat namun belum tampil melakukannya.

Boleh jadi mereka tidak menyedari bahawa dirinya sudah wajib membayar zakat.

Boleh jadi juga, mereka membayar zakat tanpa menyerahkannya kepada LZS, yakni diagihkan sendiri termasuklah menyalurkannya ke luar negeri Selangor.

Sesungguhnya perbuatan menyerahkan zakat kepada pihak selain LZS yang dilantik oleh MAIS adalah salah di sisi syarak dan sistem pentadbiran sesebuah negara.

Ia bersandarkan sebuah dalil iaitu ketika mana Muaz bin Jabal Radiallahu’anhu diutus ke Negara Yaman, maka Nabi Muhammad SAW berpesan kepadanya: “Maka khabarkan kepada mereka, bahawa Allah juga telah mewajibkan bagi mereka zakat dari harta mereka, iaitu diambil dari orangorang kaya di antara mereka dan disalurkan untuk orang-orang fakir di kalangan mereka (di Yaman).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Fuqaha menyatakan ini adalah dalil yang jelas bahawa harta zakat penduduk sesebuah negeri itu adalah hak asnaf di negeri berkenaan.

Ia tidak boleh sewenang-wenangnya dibawa keluar tanpa keizinan pemerintah di tempat berkenaan.

Pernah terjadi kemarau panjang di Madinah dan ketika itu Umar alKhattab Radiallahu’anhu menjadi khalifah, lalu Muaz bin Jabal Radiallahu’anhu telah membawa harta zakat penduduk Yaman ke Madinah untuk membantu mereka yang kelaparan.

Namun Umar telah memarahi Muaz dan menolak pemberian itu, kerana harta zakat Yaman adalah untuk penduduk Yaman.

Namun Muaz memberitahu, bahawa penduduk Yaman ketika itu berada dalam serba kecukupan, sedangkan penduduk Madinah sendiri sedang dalam kesempitan.

Maka sebab itulah beliau membawa harta zakat itu ke Madinah. Mendengarkan hujah yang kuat itu, baharulah Umar mahu menerimanya demi maslahat penduduk Madinah.

Ingatlah bahawa zakat yang dikeluarkan itu adalah jaminan sosial di sisi umat Islam.

Bagi pengeluar zakat, maka ia menjadi asbab kepada bertambah suburnya harta kekayaan mereka, sebagaimana yang diperingatkan oleh Allah SWT melalui surah Saba’ ayat 39: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hambahamba-Nya, dan Ia juga yang menyempitkan baginya; dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya; dan Dia lah jua sebaik-baik Pemberi rezeki".

Manakala bagi penerima, zakat adalah ibarat pelampung penyelamat di lautan yang mengelakkan mereka mati kelemasan.

Malah, zakat menjadi tali perhubungan di antara orang kaya dan orang miskin yang sangat erat dan harmoni.

Perkembangan zakat di Negeri Selangor dinyatakan dengan jelas berdasarkan laporan tahunan pengurusan zakat Selangor.

Contohnya, sehingga 31 Disember 2020, terdapat hampir 60 ribu buah keluarga miskin yang berdaftar dengan rasmi di LZS. Jumlah itu bukanlah sedikit, kerana jika diperincikan kepada bilangan individu, maka hakikatnya ia melebihi 400 ribu orang.

Jumlah asnaf yang ramai ini pastilah memerlukan dana zakat yang cukup besar untuk memastikan keperluan mereka tidak terjejas.

Apatah lagi dengan risiko Pandemik Covid 19 yang di luar jangka, maka tidak mustahil andai pada suatu hari nanti mungkin kita pula menjadi asnaf yang memerlukan santunan daripada pengurusan zakat.

Oleh itu, marilah kita bersama-sama menunaikan zakat dalam negeri Selangor ini dengan memanfaatkan kewujudan LZS sebaik-baiknya, agar LZS dapat berperanan dengan lebih berkesan dalam membantu umat Islam, khususnya di era yang mencabar hari ini.

Mengakhiri khutbah kali ini, berikut adalah beberapa pengajaran dan tausiyah kepada kita yang boleh dijadikan pedoman dalam hidup ini, antaranya adalah:

1. Umat Islam hendaklah sedar bahawa zakat harta perlu ditunaikan apabila seseorang itu sudah mempunyai syarat wajib yang sempurna di sisinya.

2. Umat Islam hendaklah memahami bahawa zakat adalah satu bentuk perhubungan yang harmoni antara orang kaya dan orang miskin.

3. Umat Islam hendaklah menunaikan zakat harta kepada LZS agar pengagihan zakat itu benar-benar berkesan kepada asnaf yang memrlukan

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Hajj : 41).
Tags: khutbah, sosial, ummah, zakat
Subscribe

Posts from This Journal “zakat” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments