mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Awasi Jerat Media Sosial

Petikan Khutbah Jumaat 8 Oktober 2021M/ 1 Rabiulawal 1443H JAWI

Awasi Jerat Media Sosial

Budaya hidup masyarakat kini semakin berubah seiring dengan perkembangan teknologi dan media baharu lebih-lebih lagi dalam tempoh negara dilanda pandemik COVID-19.jawi_logo.jpg

Penggunaan aplikasi media sosial dilaporkan meningkat apabila Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini.

Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) turut mendedahkan bahawa rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan pengguna meningkat sebanyak dua juta atau tujuh peratus dalam tempoh setahun dari tahun 2020.

Hakikatnya, media sosial merupakan salah satu alternatif untuk interaksi sosial, sumber ilmu, perniagaan dan sebagainya. Ia telah membuka banyak peluang muamalat dan maslahat sesama manusia.

Namun, ia juga boleh membawa kepada kerosakan dan keburukan. Jika ia berada pada orang yang soleh, maka ia akan membawa sejuta manfaat.

Tetapi jika ia berada pada orang yang rosak hati dan mindanya, ia akan mencetuskan pelbagai kemudaratan. Justeru, kita mestilah sentiasa beringat bahawa setiap perlakuan di dunia ini pasti akan dibalas oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Zalzalah, ayat 6 hingga 8 yang bermaksud :  “Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing- masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).”

Kehidupan hari ini menuntut kita untuk mengikuti arus teknologi yang semakin berkembang.

Seiring dengan munculnya pelbagai platform media sosial, semakin ramai rakyat Malaysia mendaftar sebagai penggunanya.

Remaja merupakan antara kelompok paling ramai yang menggunakan media sosial.

Lihat sahaja kemunculan mereka di Tik Tok, WeChat, Twitter, Bigo dan sebagainya dengan kandungan yang pelbagai dan terkini.

Jika kandungan yang ditonjolkan menepati syariat, ia harus diraikan. Sebaliknya amat dibimbangi, terdapat kandungan yang mempromosikan perkara maksiat dan dosa seperti menjalinkan hubungan terlarang antara bukan mahram, mempamerkan aksi mengghairahkan, perjudian atas talian serta penyebaran gambar dan video lucah.

Islam meletakkan garis panduan ketika berinteraksi dengan sesame manusia agar terpelihara akhlak dan maruah umatnya.

Pertuturan, perlakuan bahkan niat perlu diperbetulkan mengikut lunas-lunas yang menepati syarak.

Aurat misalnya, mestilah dipelihara daripada dipandang oleh seseorang yang bukan mahram.

Pertuturan dijaga agar tidak menimbulkan perbalahan, fitnah, permusuhan dan seumpamanya.

Gerak geri dan tingkah laku juga perlu dikawal agar tidak menimbulkan syahwat sehingga akhirnya membuka jalan kepada kemaksiatan yang lebih besar.

Ingatlah pesanan Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, daripada Abu Mas’ud al-Ansari Radhiyallahu ‘anhu, Baginda SAW bersabda : Bermaksud : “Sesiapa yang menunjukkan kepada kebaikan maka dia akan mendapat pahala sepertimana pahala orang yang mengerjakannya.”

Sesungguhnya kita semua mesti memainkan peranan dalam memastikan media sosial tidak menjerat kehidupan kita terutama anak-anak remaja yang masih belum kenal erti dunia yang sebenar.

Ibu bapa mestilah menjadi guru dan pembimbing anak-anak di rumah.

 Sentiasalah membuat pemantauan aktiviti anak-anak di media sosial. Didiklah mereka dengan pegangan akidah yang mantap dan akhlak yang mulia sebagai perisai dalam menangkis pengaruh-pengaruh negatif di media sosial.

Selain itu, masyarakat terutamanya para influencer, selebriti yang memiliki ramai pengikut serta mereka yang berpengaruh di media sosial perlu mengambil peluang untuk menyampaikan mesej-mesej positif.

Mereka diharapkan mampu mencipta kandungan kreatif serta pendekatan yang lebih santai dan interaktif terutama kepada generasi muda.

Di samping itu, para alim ulama dan pendakwah juga mestilah turut serta dalam menjadikan media sosial sebagai jalan penghubung untuk mengimbangi pengaruh yang tidak baik di pelbagai jaringan media sosial.

Dakwah harus mengalir dalam ruang media sosial yang semakin mempengaruhi dunia hari ini.

Hal ini seiring dengan saranan Nabi Muhammad SAW agar mendekati kelompok manusia mengikut tahap kefahaman dan penerimaan mereka lebih-lebih lagi kebanyakan masa kita dihabiskan di media-media sosial.

Mimbar mengingatkan kepada seluruh masyarakat Islam, janganlah menyalahgunakan media sosial untuk tujuan yang menyanggahi syariat, adab dan akhlak seperti sengaja mencetuskan provokasi, perbalahan, penghinaan dan cemuhan kepada pihak lain sama ada terhadap sesama Islam atau bukan Islam.

Berhati-hatilah dalam membuat sebarang komentar dalam apa-apa isu kerana setiap ayat dan patah perkataan yang ditulis akan dihitung oleh Allah SWT.

Marilah kita manfaatkan media sosial untuk membina masyarakat yang saling bergantung antara satu sama lain dan menjayakan apsirasi kerajaan untuk membentuk ‘Keluarga Malaysia’ yang
sejahtera.

Kita mestilah bersatu dalam kepelbagaian dan bersatu dalam keharmonian.

Hayati pesanan Rasulullah SAW sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, baginda SAW bersabda : Bermaksud : “Sesungguhnya seseorang terkadang berbicara dengan kata-kata yang dia sangkakan tidak mengapa, lalu (tanpa diduga) dia terjerumus dengan sebabnya ke dalam neraka (yang kedalamannya) sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.”

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan beberapa kesimpulan untuk ingatan kita bersama :

Pertama: Media sosial merupakan salah satu alternatif untuk interaksi sosial, sumber ilmu, perniagaan dan sebagainya. Manfaatkanlah media sosial ke arah kebaikan.

Kedua: Mainkan peranan dalam memastikan media sosial tidak menjerat kehidupan kita terutama anak-anak remaja melalui pemantauan dan kawalan yang ketat daripada ibu bapa.

Ketiga: Jadikan media sosial sebagai jalan alternatif dan interaktif untuk berdakwah dan mengimbangi pengaruh yang tidak baik di pelbagai aplikasi dalam mencorakkan masyarakat yang berakhlak mulia.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah, ayat 148: Bermaksud : “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.”
Tags: khutbah, media sosial
Subscribe

Posts from This Journal “media sosial” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments