mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Semarak Cinta Rasul

Petikan Khutbah Jumaat 15 Oktober 2021M/ 8 Rabiulawal 1443H JAWI

Semarak Cinta Rasul

Bulan Rabiulawal kembali mengingatkan kita akan kelahiran insan teragung iaitu Nabi Muhammad SAW yang menjadi Rasul terakhir bagi umat manusia.

jawi_logo.jpgHakikat yang mesti kita fahami ialah kelahiran dan perutusan Baginda SAW telah membawa hikmah dan kebaikan yang sangat besar kepada manusia serta seluruh makhluk di atas muka bumi ini.

Firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat 128 yang bermaksud : “Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”

Jelaslah bahawa hidup dan mati Baginda SAW sentiasa menginginkan kebaikan dan kesejahteraan hidup kita sebagai umatnya bahkan merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya walaupun tidak pernah bertemu.

Justeru, sepanjang hayat Baginda SAW, Baginda sentiasa berusaha memberikan petunjuk kepada seluruh umatnya agar selamat daripada jurang kesesatan dan kerosakan. Renungkan firman Allah SWT di dalam surah an-Nuur ayat 56 : Bermaksud : “Dan dirikanlah solat serta tunaikanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasulullah agar kamu beroleh rahmat.”

Allah SWT telah mengutus Nabi Muhammad SAW sebagai uswah hasanah iaitu contoh tauladan yang baik kepada seluruh manusia yang meliputi keperibadian Baginda SAW maka seharusnya semakin teguh cinta kita kepadanya.

Melalui sambutan Maulidur Rasul, ia juga sedikit sebanyak dapat mengembalikan dan memugar semula kecintaan kita kepada setiap ajaran Islam yang dibawa oleh Rasulullah SAW.

 Lihatlah, dengan Islam, kita beroleh petunjuk dan mengenali Allah SWT. Ia mengeluarkan kita daripada hidup dalam kegelapan kepada cahaya, daripada jahiliah kepada hidayah, daripada kebatilan kepada kebenaran, daripada kesesatan menuju ke jalan kejayaan.

Lebih daripada itu, Islam menjadi jaminan kebahagiaan diri kita, keluarga dan masyarakat di dunia hingga akhirat.

Hakikatnya kisah hidup Baginda SAW mesti diangkat dan diteladani.

Jika sebelum ini manusia hidup dalam keadaan jahiliah namun dengan perutusan Baginda SAW yang membawa Islam, manusia kembali kepada kehidupan yang berpaksikan aturan Tuhan.

Perselisihan dan pertembungan yang sering berlaku dalam kalangan kabilah-kabilah Arab suatu ketika dahulu dapat diselesaikan dan disatukan dengan semangat persaudaraan dan kasih sayang.

Lihatlah, kehidupan mereka selepas itu saling menerima, tolong menolong dan sanggup mengorbankan kepentingan diri semata-mata demi membangunkan kota Madinah sehingga menjadi sebuah negara yang stabil, aman dan sejahtera.

Rakyatnya hidup dalam keharmonian walaupun berbeza keturunan dan puak bahkan mereka juga menjadi masyarakat yang paling hebat pernah dirakam dalam pentas sejarah dunia.

Mencontohi Nabi SAW dan mengikuti sunnah Baginda hendaklah diusahakan dengan gigih.

Jangan hanya menzahirkan kecintaan melalui cara berpakaian semata-mata, bahkan berusahalah untuk menuruti Baginda SAW secara menyeluruh terutamanya dalam aspek kehidupan
bermasyarakat dan bernegara.

Inilah lambang cinta sejati terhadap Baginda SAW. Renungkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda: “Tidak (sempurna) iman salah seorang daripada kamu sehinggalah aku lebih dikasihinya berbanding bapanya, anaknya dan orang-orang lain keseluruhannya.”

Sebagai sebuah Keluarga Malaysia khususnya bagi masyarakat Islam, marilah kita menelusuri dan menghayati sejarah perjalanan hidup Rasulullah SAW melalui pembacaan buku-buku atau pelbagai bahan bacaan sirah yang berautoriti serta daripada sumber yang tepat.

Kita juga boleh mendapatkan ilmu mengenai sirah ini melalui kuliah-kuliah pengajian sirah daripada
penceramah yang bertauliah dan pakar mengenai sirah Rasulullah SAW.

Dengan semangat Keluarga Malaysia juga, marilah kita ketepikan semua perbezaan dan berganding bahu untuk menaikkan kegemilangan Malaysia di mata dunia sebagaimana contoh tauladan yang ditunjukkan oleh Baginda SAW dalam pembinaan negara Madinah. Kita semua ibarat sebagai satu keluarga besar tanpa mengira agama, bangsa dan kaum.
Kehidupan kita saling melengkapi antara satu sama lain. Kita mestilah sentiasa bermotivasi untuk memacu kejayaan walaupun kita masih lagi berada di fasa pandemik yang semakin hampir menuju ke fasa endemik.

Sempena dengan sambutan Maulidur Rasul 1443 Hijri bertemakan Manhaj Rabbani Ummah Berkualiti, marilah bersama kita jayakan manhaj Rabbani dengan menjadikan Allah SWT segala-galanya dalam mendepani apa jua keadaan dan situasi.

 Contohilah Baginda SAW untuk menjadi seorang yang berakhlak mulia, amanah, adil dan bijaksana dalam setiap tindakan terutama ketika menyampaikan mesej dakwah.

Sempena Penjenamaan Program Semarak Cinta Rasul yang akan dilaksanakan dan menyajikan pelbagai program serta aktiviti secara maya dan fizikal dengan mematuhi SOP, marilah kita mengambil manfaat melalui penganjuran program-program dan aktiviti-aktiviti ini agar kita dapat
menjadikan Rasulullah SAW sebagai sumber inspirasi bagi kejayaan di dunia dan di akhirat.

Semarakkan pelbagai program di 89 buah Masjid, 124 buah Surau Jumaat dan 567 buah Surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan dengan program Maulid Rasul pada tahun ini.

Dengan kebenaran yang telah diberikan untuk pengimarahan masjid, surau Jumaat dan surau, anak-anak kariah perlu mengambil peluang ini untuk turut sama hadir melaksanakan solat fardu secara berjemaah dan menghidupkan majlis-majlis ilmu dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

Jika sebelum ini ada dalam kalangan kita yang mempertikaikan mengapa masjid dan surau dihadkan kapasiti Jemaah, namun kini kebenaran sudah diberi. Tidak ada alasan lagi untuk tidak menghadirkan diri mengimarahkan rumah Allah ini.

Marilah kita memperbanyakkan selawat kepadanya, terapkan dalam diri setiap ahli keluarga untuk mengamalkan setiap ajaran Islam serta mengikuti setiap sunnah Baginda SAW.

Semoga dengan kesungguhan kita menyemarakkan Maulidur Rasul demi kecintaan kepada Baginda SAW dapat meningkatkan lagi keimanan kita kepada Allah SWT dan memberi semangat untuk konsisten dan istiqamah dengan ajaran Islam.

Semoga kita tergolong dalam kalangan umat Rasulullah SAW yang memperoleh syafaat Baginda di hari pembalasan kelak.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, renungkan beberapa kesimpulan untuk ingatan kita bersama :

Pertama: Semarakkan cinta dan kasih kepada Rasulullah SAW dengan sentiasa mencontohi ketinggian peribadi dan kemuliaan akhlak Baginda dalam kehidupan.

Kedua: Hayatilah semangat kesatuan dan persaudaraan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dengan saling memperkukuh hubungan persaudaraan serta menjauhi setiap ruang perbalahan dan persengketaan.

Ketiga: Amalkan setiap ajaran Rasulullah SAW dalam kehidupan berkeluarga, bermasyarakat dan bernegara supaya kita sentiasa menjadi insan yang benar-benar mengamalkan ajaran Islam secara sepenuhnya.

Firman Allah SWT di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 31: “Katakanlah (wahai Muhammad); Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
Tags: khutbah, rasul
Subscribe

Posts from This Journal “rasul” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments