mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat: Sombong Itu Sifat Iblis.

Petikan Khutbah Jumaat 29 Okt 2021M / 22 Rabi’ul Awwal 1443H: JAIS

Sombong Itu Sifat Iblis

Sombong merupakan satu penyakit hati, yang mana penghidapnya merasa bangga dan memandang tinggi diri sendiri.

Dalam satu hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anhu, Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia .” (Riwayat Muslim).jais.jpg

Ketahuilah! Dosa pertama sekali terjadi adalah dosa kesombongan dan keangkuhan Iblis terhadap perintah Allah SWT.

Sombong membuatkan Iblis kufur dan ingkar. Iblis juga merasakan dirinya ciptaan Allah yang lebih mulia, lebih banyak kelebihan dan kekuatan berbanding Adam Alaihissalam.

Kerana itulah ia menentang dan mengingkari perintah Allah SWT untuk sujud kepada Nabi Adam Alaihissalam sebagaimana dirakamkan dalam ayat 34 surah al-Baqarah yang dibacakan pada awal khutbah tadi.

Penyakit sombong hanya boleh disembuhkan berdasarkan kesedaran diri penderitanya sendiri, kerana sombong itu berpunca daripada kondisi hati seseorang.

Allah telah mengingatkan kita, dalam al-Quran surah Al-Isra’ ayat 37: “Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.”

Jelaslah, bahawa Allah SWT melarang sama sekali manusia bersifat sombong, apatah lagi bagi umat Islam.

Rasulullah SAW telah mengajar kita supaya sentiasa bersifat lemah lembut serta toleransi sesama insan, tidak mengira agama, bangsa dan fahaman, yang utamanya ialah mencari kedamaian dan keharmonian dalam menjalani kehidupan duniawi ini.

Dalam sebuah hadis daripada Abdullah bin Mas’ud Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya ada sifat sombong, walaupun hanya seberat zarah”. (Riwayat Muslim).

Orang yang bersifat sombong ini disebabkan banyak hal, antaranya kerana pangkat, kuasa, jawatan, harta, ilmu pengetahuan dan keturunan, tetapi terdapat tiga jenis kesombongan yang sangat perlu kita ketahui kerana ketiga-tiganya kebanyakan orang tidak perasan dan tidak menyedarinya, iaitu:

1. Sombong terhadap Allah SWT. Iaitu penyakit sombong yang paling parah kerana orang yang sombong kepada Allah SWT bererti ia menolak dan tidak taat kepada Allah SWT.

Dalam hatinya tertanam sikap tidak peduli dan ingkar, tidak takut serta tidak malu untuk melanggar apa pun perintah Allah SWT. Ia tidak merasa berdosa sedikit pun, walaupun ia tahu ia beragama Islam.

Sifat sombong itu dilarang keras oleh agama Islam. Allah berfirman dalam al-Quran surah Ghafir ayat 60: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

2. Sombong terhadap Rasulullah SAW. Orang yang bersifat sombong ini sebenarnya tidak mahu mengikuti ajaran Rasulullah SAW.
Mereka merasa apa yang diajar dan dicontohkan oleh Nabi Muhammad SAW hanya sesuai diguna pakai ketika zaman kehidupan Rasulullah SAW sahaja.

Zaman sekarang kata mereka memadai kita telah dilahirkan sebagai umat Islam .

Allah SWT berfirman dalam surah al-Anfal ayat 22: “Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya).”

Maksudnya, Allah SWT menghina orang-orang yang tidak mahu mendengarkan kebenaran dan tidak mahu menuturkan kata-kata yang hak, sehingga orang tersebut tidak memahami ayat-ayat Allah SWT dan ajaran Rasulullah SAW yang pada akhirnya menyebabkan dia menjadi seorang yang jahil dan tidak mengerti apa-apa dan kejahilan itulah bentuk kehinaan bagi orang-orang yang bersifat sombong.

3. Sombong terhadap sesama manusia. Penyakit sombong yang sering terjadi ialah memandang remeh orang lain, merasa dirinya sahaja yang betul dan paling baik, paling bijaksana, paling hebat, paling tahu segalanya, paling pandai mentadbir dan mengurus serta segala-gala yang bersifat paling.

Orang sombong ini selalu membanding-bandingkan dirinya dengan orang lain dan menganggap orang lain bodoh, tidak pandai dan buruk jika dibandingkan dengan dirinya.

 Orang sombong ini biasanya gila kuasa, gila hormat dan dahagakan pujian. Mereka suka membanggakan diri di khalayak ramai, menuturkan kata-kata dan hujah yang tidak layak didengar oleh orang-orang yang beriman dan berilmu.

 Lebih buruk lagi, orang sombong ini tidak suka menerima teguran, nasihat, saranan apatah lagi bantahan, mereka merasa dirinya sahaja yang paling benar dan tidak akan peduli pada keadaan dan pandangan orang lain.

Seperti kata peribahasa Melayu: “Kuman diseberang lautan nampak tetapi gajah di pelupuk mata tidak nampak”. maksudnya kesalahan orang lain walaupun kecil dia nampak tetapi kesalahan diri sendiri dia tidak nampak ataupun buat-buat tidak nampak.

Sehubungan itu, sebagai umat Islam jauhilah sifat sombong ini kerana sifat tersebut hanya layak dimiliki oleh Allah SWT sepertimana firman-Nya dalam hadis Qudsi yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT berfirman: “Kemuliaan adalah pakaian-Ku dan sombong adalah selendang-Ku. Barangsiapa yang mengambilnya dari-Ku, Aku akan mengazabnya.” (Riwayat al-Tabarani).

Bagi mengakhiri khutbah hari ini, marilah sama-sama kita mengambil iktibar tentang bahayanya sifat sombong ini, antaranya:

1. Sifat sombong menghancurkan amal soleh. Orang sombong tidak pernah bersifat ikhlas yang menjadi teras kepada perbuatan dan amal ibadah. Segala perbuatan dan amalnya hanya sia-sia sahaja. Hadis daripada Anas bin Malik Radiallahu’anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Ada tiga perkara yang membinasakan iaitu sifat rakus dan bakhil, mengikuti hawa nafsu serta membanggakan diri (sombong)”. (Riwayat al-Tabarani).

2. Sifat sombong merupakan syirik yang tersembunyi. Syirik merupakan dosa yang tidak diampunkan oleh Allah SWT kerana orang yang syirik tidak mengaku ke-Esaan Allah SWT. Jika dikatakan sifat sombong merupakan penyakit syirik yang tersembnyi, sudah pasti balasan yang diterima lebih berat lagi.

Sesungguhnya orang sombong seringkali menyalahkan takdir atas kejelekan atau ketidak keberuntungan yang mereka dapat, tetapi bila mereka mendapat kurniaan, mereka tidak akan bersyukur kepada Allah SWT dan di akhirat nanti ia akan ditemani oleh Iblis yang sama-sama menuju Neraka Jahannam.

3. Sifat sombong hanya menurut hawa nafsu. Orang sombong akan bertindak sesuai dengan apa yang dikehendakinya tanpa memikirkan atau mempedulikan sekitarnya.

Mereka sering bertindak tanpa berfikir panjang dan hanya mengikut hawa nafsu semata-mata, mereka akan melakukan apa sahaja, yang penting mereka puas dan bangga.

Dalam keadaan seperti itu, mereka akan cenderung berbuat serakah dan mudah dihasut oleh syaitan dan Iblis sehingga yang mereka lakukan tidak lain melainkan maksiat semata-mata.

“Aku akan memalingkan (hati) orang-orang yang sombong takbur di muka bumi dengan tiada alasan yang benar dari (memahami) ayat-ayatKu (yang menunjukkan kekuasaanKu); dan mereka (yang bersifat demikian) jika mereka melihat sebarang keterangan (bukti), mereka tidak beriman kepadanya, dan jika mereka melihat jalan yang (membawa kepada) hidayah petunjuk, mereka tidak mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Dan sebaliknya jika mereka melihat jalan kesesatan, mereka terus mengambilnya sebagai jalan yang dilalui. Yang demikian itu, kerana mereka mendustakan ayat-ayat Kami dan mereka sentiasa lalai daripadanya.” (Surah al-A’raf : 146).
Tags: iblis, khutbah, sombong
Subscribe

Posts from This Journal “sombong” Tag

  • Megah dengan harta

    SIAPA tidak teringin menikmati kehidupan senang dengan harta kekayaan, kemewahan, kemudahan, pangkat, jawatan dan pengaruh? Ramai menginginkannya.…

  • Pamer sikap riak di laman sosial

    ALHAMDULILLAH, hampir seminggu kita berpuasa. Seperti yang kita maklum, pada bulan Ramadan inilah umat Islam berlumba-lumba ingin melakukan ibadah…

  • Ubah sikap dan budaya kepimpinan demi masa depan negara

    Ahli-ahli politik Malaysia perlu mengubah sikap dan budaya kepimpinan mereka jika mahu negara lebih maju. Perubahan ini amat penting kerana…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments