mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat Anak-Anak Generasi Harapan Negara

Petikan Khutbah Jumaat 29 Oktober 2021M/ 22 Rabiulawal 1443H JAWI

Anak-Anak Generasi Harapan Negara

Kanak-kanak merupakan permata berharga kurniaan Allah SWT kepada ibu bapa.  Kelahiran mereka membawa kebahagiaan dalam kehidupan sesebuah keluarga.jawi_logo.jpg

Hakikatnya, mereka bakal membesar dan mengambil alih peranan sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi Allah SWT pada masa hadapan. Justeru, berbekalkan fitrah kesucian yang tertanam dalam diri mereka, ibu bapa serta penjaga perlu memikul amanah utama untuk mewarnai dan mencorakkan kehidupan mereka.

Contohi Nabi Ibrahim dan Nabi Yaakub Alaihimassalam yang mendidik anak-anak mereka supaya mentaati perintah agama. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 132 yang bermaksud : “Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam.”

Inilah tanggungjawab besar yang wajib dipikul oleh setiap ibu bapa. Ingatlah, pendidikan dan bimbingan kepada anak-anak khususnya melalui  acuan tarbiah Islam mestilah menjadi keutamaan untuk menjadi perisai supaya mereka dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil.

Ia juga turut menjadi pendorong supaya sentiasa mentaati Allah SWT, mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dan mencurahkan bakti kepada agama, masyarakat dan negara.

Sesungguhnya kehidupan beragama adalah benteng kepada manusia agar terselamat daripada azab neraka.

Hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah Radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah SAW bersabda : Bermaksud : “Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua ibu bapanya yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi sebagaimana binatang ternak yang melahirkan binatang ternak dengan sempurna, adakah kamu melihat ada cacat padanya.”

Islam memberikan panduan dalam mendidik anak-anak mengikut tahap usia mereka. Ia bermula dengan belaian kasih sayang ketika mereka baru lahir sehingga mencapai mumayyiz atau sekitar usia enam tahun.

Ketika mereka mencapai usia tujuh tahun sehingga baligh, mereka perlu dididik dengan disiplin dan ketegasan serta biasakan mereka menerima tanggungjawab untuk mereka laksanakan.

Ketika mencapai usia lima belas tahun, didiklah mereka seperti seorang kawan dan saling bertukar pandangan. Apa yang diutarakan oleh mereka perlu dihormati selagi mana ia tidak bertentangan dengan Syariat.

Kemudian setelah mereka mencapai usia dewasa, barulah diberikan kebebasan untuk mereka memilih jalan mereka sendiri selagi mana ianya tidak bertentangan dengan syariat.

Bertindaklah sebagai penasihat untuk mereka agar segala tindakan yang dilakukan sentiasa terkawal mengikut lunas-lunas yang telah digariskan oleh Allah SWT.

Aspek pendidikan anak-anak sangat penting bagi ibu bapa dalam membina keperibadian mereka.

Perkara ini bukanlah suatu tugas yang mudah dan remeh lebih-lebih lagi kehidupan anak-anak pada masa kini sangat terdedah dengan pelbagai pengaruh negatif melalui media-media sosial.

Justeru, ibu bapa mestilah sentiasa mendampingi anak-anak biarpun dalam kesibukan mencari nafkah dan mencukupkan keperluan keluarga.

Tonjolkan teladan yang baik dan akhlak yang mulia kepada mereka untuk diikuti. Sememangnya anak-anak sentiasa melihat dan meniru segala perbuatan ibu bapa mereka.

Ibu bapa juga mestilah mementingkan komunikasi berkesan dengan anak-anak.

Justeru,  perbanyakkan nasihat supaya mereka terdorong untuk melakukan perkara yang baik.

Wujudkan suasana positif di dalam rumah melalui kepelbagaian aktiviti bersama seperti penceritaan, perbualan, gurauan dan sebagainya.

Hal ini sedikit sebanyak dapat mengharmonikan hubungan ibu bapa dengan anak-anak bahkan merapatkan lagi tautan kasih sayang sesama keluarga.

Selain itu, sentiasalah menemani, memerhati dan mengawasi mereka. Seringlah bertanya tentang keadaan mereka dari semasa ke semasa.

Sekiranya terdapat masalah, bimbinglah mereka mencari penyelesaiannya.

Sebagai ibu bapa, mendidik anak-anak juga memerlukan ketegasan.

Biasakan mereka untuk meminta maaf jika melakukan kesalahan. Bertegas terhadap mereka biarlah berpada dan tidak menjejaskan fizikal dan mental mereka.

Kanak-kanak di zaman ini sangat terdedah dengan pelbagai ancaman yang memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Kita perlu sedar bahawa bukan sahaja jenayah penderaan yang dilakukan oleh penjaga, pengasuh mahupun ahli keluarga yang lain malah lebih menggusarkan kita ialah jenayah pedofilia atau jenayah seksual dengan kanak-kanak oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Peningkatan kes jenayah pedofilia ini berlaku akibat ketidak pedulian ibu bapa sendiri.

Mimbar mengingatkan kepada para ibu bapa, elakkan daripada memuat naik gambar anak-anak di media sosial sebagai Langkah pencegahan daripada penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Biarpun dengan anggota keluarga sendiri, sentiasalah kita memerhati dan memantau aktiviti-aktiviti anak-anak supaya peluang dan ruang untuk berlakunya jenayah pedofilia ini sentiasa tertutup.

Semoga kita menjadi ibu bapa yang berjaya membentuk anak-anak menjadi insan yang berperibadi mulia, unggul dan cemerlang.

Semoga impian kita membentuk generasi harapan negara juga akan tercapai.

Mengakhiri khutbah, beberapa kesimpulan untuk renungan kita bersama :

Pertama : Tunaikan tanggungjawab dan amanah sebagai ibu bapa untuk mendidik anak-anak demi mencorakkan masa depan mereka untuk menjadi generasi harapan negara.

Kedua : Utamakan tarbiah Islam kepada anak-anak yang menjadi perisai dalam kehidupan mereka mendepani pelbagai pengaruh negatif dalam dunia siber dan supaya mereka dapat membezakan antara yang hak dengan yang batil.

Ketiga : Jadilah teladan yang baik kepada anak-anak, luangkan banyak masa bersama mereka dan pelihara kehidupan mereka daripada sebarang eskploitasi, penindasan dan penderaan mental, fizikal serta seksual oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Marilah kita hayati firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim, ayat 6 : Bermaksud : “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka yang bahan-bahan bakarannya manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
Tags: anak, generasi, khutbah
Subscribe

Posts from This Journal “generasi” Tag

  • Khutbah Jumaat: Memperkasa Generasi Khaira Ummah

    Petikan Khutbah Jumaat: 13 Januari 2017 / 14 Rabiulakhir 1438 JAWI "Memperkasa Generasi Khaira Ummah" Kajian mengenai masa hadapan…

  • Lahirnya generasi cari pasal

    Lahirnya generasi cari pasal Video hudud stesen radio kontroversi BFM me­mang sengaja mencari pasal. Barangkali se­telah menyedari…

  • Membina generasi positif

    Setiap yang hidup akan mengalami proses kitaran hidup, iaitu yang muda akan menjadi tua. Sebab itulah wujudnya istilah generasi pertama yang…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments