mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Islam Menolak Pluralisme Agama

Petikan Khutbah Jumaat 26 Nov 2021M / 21 Rabi’ul Akhir 1443H: JAIS

Islam Menolak Pluralisme Agama

Bolehkah agaknya seseorang yang berakal sihat menerima bahawa semua agama adalah sama? Samakah agama wahyu dengan agama yang dicipta? Adakah sama agama yang penganutnya mengesakan Allah SWT dan mentaati suruhan-Nya dengan agama yang penganutnya mensyirikkan Allah SWT dan tidak menurut perintah-Nya?jais.jpg

Di zaman kini, ada usaha-usaha pihak tertentu untuk menyamaratakan semua agama. Usaha ini mendokong gagasan bahawa semua agama adalah sama dan benar. Ini bermaksud agama-agama selain Islam juga adalah benar walaupun agama yang mensyirikkan Allah SWT.

Pemikiran sesat ini dikenali sebagai pluralisme agama. Pemikiran sebegini sudah tentu akan membawa keraguan kepada umat manusia lebih-lebih lagi umat Islam.

Jika semua agama adalah benar, sudah pasti kita boleh menganut mana-mana agama yang kita sukai kerana tujuannya adalah sama, iaitu mengabdikan diri kepada Tuhan yang sama dan pengakhiran yang baik (syurga) boleh dicapai menerusi mana-mana agama.

Di negara kita khususnya, golongan yang menganut pemikiran sesat ini membawa beberapa isu seperti penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), kebebasan beragama, perkongsian perayaan dan acara keagamaan dan tuntutan penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam.

Kewujudan ajaran sesat kerajaan langit Ayah Pin juga bertitik tolak daripada pemikiran sebegini. Berdasarkan fatwa yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri Selangor pada 31 Julai 2014, fahaman pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Bagi umat Islam yang berpegang kepada fahaman ini hendaklah segera bertaubat dan kembali semula ke jalan Islam. Oleh itu, golongan ini hendaklah kita jauhi dan menolak pemikiran mereka supaya kita tidak tergelincir ke jalan kesesatan

Perlu ditegaskan di sini bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang benar. Agama wahyu yang benar-benar datang daripada Allah SWT. Satu-satunya agama yang diredai dan diterima oleh-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al- Maidah ayat 3: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu..” Sebagai agama yang diterima dan diredai Allah SWT, ada beberapa perkara yang membezakannya dengan agama-agama yang tidak diterima oleh Allah SWT.

Di antaranya adalah rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh semua umat Islam. Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah Radiallahu‘Anhu, apabila Rasulullah SAW ditanya oleh Jibril AS, apakah Islam? Baginda bersabda: “Islam adalah engkau menyembah Allah dan tidak mempersekutukan sesuatu dengan-Nya, mendirikan solat, mengeluarkan zakat yang wajib dan berpuasa Ramadhan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bagi mereka yang mencari agama selain Islam pula, Allah SWT sekali-kali tidak akan menerimanya dan segala amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.

Firman Allah SWT dalam Surah Ali ‘Imran ayat 85: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi.”

Jadi, sudah jelaslah di sini bahawa hanya Islamlah satu-satunya agama yang benar yang hanya diterima dan diredai oleh Allah SWT.

Agama-agama selainnya adalah tertolak dan segala amalan yang dilakukan oleh penganutnya tidak diterima oleh Allah SWT.

Oleh itu, sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk memastikan diri serta ahli keluarga kita agar tetap berpegang teguh dengan agama Islam.Islam tidak menolak sikap toleransi bersama penganut agama lain.

Rasulullah SAW telah mempraktikkan amalan toleransi bersama penganut agama lain lebih daripada 1400 tahun yang lalu seperti mana yang tertakluk dalam Piagam Madinah.

Baginda sebagai pesuruh Allah SWT dan seorang ketua negara telah menunjukkan suri teladan yang terbaik dalam soal toleransi beragama.

Namun perlu diingat bahawa toleransi ini bukanlah bermakna kita perlu menyamaratakan semua agama. Islam juga tidak pernah melarang umatnya untuk berbuat baik dan berlaku adil walaupun kepada mereka yang berlainan agama.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 8: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

Mengakhiri khutbah ini, ambillah pengajaran daripadanya agar dapat dijadikan pedoman dalam hidup kita, antaranya:

1. Umat Islam hendaklah meyakini bahawa hanya Islam sahaja agama yang benar dan diredai oleh Allah SWT.

2. Umat Islam hendaklah menolak pemikiran sesat yang cuba untuk menyamaratakan semua agama.

3. Umat Islam hendaklah berpegang teguh dengan agama Islam dan mengamalkan segala ajarannya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) secara keseluruhan segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.” (Surah al-Baqarah : 208).

Tags: agama, khutbah, pluralisme
Subscribe

Posts from This Journal “pluralisme” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments