mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Khutbah Jumaat : Keluarga Malaysia Asas Negara Sejahtera

Petikan Khutbah Jumaat 26 November 2021M/ 21 Rabiulakhir 1443H JAWI


Keluarga Malaysia Asas Negara Sejahtera


Sebelum memulakan bicara khutbah, khatib ingin menyeru sidang Jemaah sekalian, marilah kita memastikan kaum muslimin dalam kalangan ahli keluarga, saudara-mara, sahabat handai dan rakan sekerja yang mukallaf supaya dapat istiqamah menunaikan solat fardu Jumaat.
jawi_logo.jpg

Janganlah mengabaikan kewajipan ini dengan mengambil mudah dan memberikan pelbagai alasan sedangkan pintu rumah Allah telah terbuka luas untuk dikunjungi.


Di Wilayah-Wilayah Persekutuan, terdapat 89 buah masjid, 123 buah surau Jumaat serta 225 buah surau kebenaran khas mendirikan solat Jumaat sepanjang PKP dan PPN telah tersedia untuk diimarahkan bahkan sangat selesa dan mencukupi bagi memudahkan kita beribadah. Semoga kita semua dilimpahi kerahmatan dan keberkatan Allah SWT.


Hakikatnya manusia berasal daripada Nabi Adam dan Hawa ‘Alaihimassalam yang berkembang biak sehingga hari ini. Sesungguhnya kita sebagai manusia pada asasnya adalah sebuah keluarga besar yang sewajarnya hidup dengan saling mengenali dan memahami antara satu sama lain.

Hikmahnya adalah supaya terjalinlah kehidupan yang sejahtera sesama manusia

Perkara ini diperingatkan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya dalam surah al-Hujurat, ayat 13: Bermaksud: “Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Keluarga merupakan unit sosial terkecil dalam masyarakat. Islam sangat menekankan umatnya supaya memelihara hubungan kekeluargaan dengan memastikan peranan setiap isi rumah dapat dilaksanakan dengan baik.


Inilah ciri-ciri kehidupan yang perlu diterapkan oleh seluruh masyarakat Islam. Islam juga amat memberi penekanan terhadap aspek pembentukan keluarga yang bahagia dan sejahtera.


Secara asasnya, dalam sebuah keluarga, ibu bapa merupakan teraju utama dalam membawa bahtera keluarga dan membina sahsiah yang terpuji dalam diri anak-anak melalui didikan Islam yang sempurna.


Justeru, menjadi tanggungjawab bersama setiap ahli keluarga untuk memastikan peranan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya supaya eleman kekeluargaan Islam ini dapat diterapkan dalam masyarakat.


Sambutan Bulan Keluarga Malaysia pada tahun ini telah diperkenalkan dengan visi Keluarga Malaysia sebagaimana yang telah diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia.


Matlamatnya adalah menjadikannya sebagai aspirasi jangka panjang yang kalis cabaran masa hadapan dalam mencapai status negara maju dan berpendapatan tinggi.


Terdapat tiga nilai dan ciri iaitu; Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran di dalam aspirasi Keluarga Malaysia.

Sambutan Bulan Keluarga Malaysia ini memberikan fokus kepada pengukuhan lima nilai teras keluarga bahagia berkonsepkan KASIH iaitu Kasih Sayang, Berakhlak, Sihat dan Selamat, Berilmu dan Harmoni.


Ia juga bertujuan menterjemahkan semangat Keluarga Malaysia dengan menyatukan semua warganegara untuk bersama-sama mensejahterakan keluarga dan negara.


Semangat kekeluargaan dapat mengikat kebersamaan semua pihak dengan didikan nilai keluarga seperti hormat menghormati, berkasih sayang, prihatin, bertoleransi dan hidup berharmoni.

Sebagai sebuah negara yang memiliki kepelbagaian bangsa dan budaya, sudah tentu ianya akan menjadi cabaran dalam merealisasikan aspirasi Keluarga Malaysia.


Namun, sedarlah di sebalik kepelbagaian ini kita memerlukan peranan semua warganegara yang berbilang bangsa, keturunan, agama, budaya, warna kulit, latar belakang akademik dan keluarga.


Tunjang kekuatan rakyat Malaysia ialah ajaran Islam dan budaya masyarakat yang menerapkan nilai-nilai perpaduan, persefahaman dan toleransi sehingga ianya dapat memupuk kasih sayang sesama kita.

Mimbar mengingatkan kepada semua anggota dalam Keluarga Malaysia sama ada pemimpin atau rakyat, kakitangan awam atau swasta, golongan profesional atau sokongan, di saat kita semakin hampir ke fasa endemik, marilah kita bersatu tenaga dan fikiran dalam mengharmonikan hubungan sesama kita dengan menyemai akhlak mulia melalui komunikasi yang baik terutama di media-media sosial.


Elakkan perbalahan dengan sentiasa berlapang dada pada perkara-perkara remeh. Di samping itu, marilah kita turut serta dalam usaha pemulihan ekonomi negara.


Janganlah sekali-kali melakukan perbuatan menganiaya, menzalimi dan mengambil hak orang lain semata-mata kerana pentingkan diri sendiri sebaliknya utamakan kepentingan orang lain yang lebih memerlukan demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.


Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud Radhiyallahu ‘anhu, sabda Rasulullah SAW: Bermaksud: “Akan muncul sikap pentingkan diri dan perkara-perkara yang kamu (para sahabat) ingkari. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah, maka (ketika itu) apakah perintahmu kepada kami? Jawab Baginda: Kamu tunaikan hak-hak (orang lain) yang menjadi tanggungjawabmu dan kamu mintalah kepada Allah apa yang menjadi hak kamu.”


Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:


Pertama: Manusia saling memerlukan antara satu sama lain seumpama sebuah keluarga. Kesejahteraan negara hanya akan tercapai apabila seluruh warganegaranya bertindak seperti sebuah keluarga.

Kedua: Semangat kekeluargaan boleh mengikat kebersamaan semua pihak dengan didikan nilai keluarga seperti hormat menghormati, berkasih sayang, prihatin, bertoleransi dan hidup berharmoni.

Ketiga: Satukan tenaga dan fikiran dalam mengharmonikan hubungan melalui komunikasi yang baik, elakkan perbalahan dengan sentiasa berlapang dada dan turut serta dalam usaha pemulihan ekonomi negara.

Marilah kita hayati bersama firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr, ayat 10: Bermaksud : “Dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami, sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan rahmat-
Mu.”
Tags: keluarga, khutbah, negara, sejahtera
Subscribe

Posts from This Journal “keluarga” Tag

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments