mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Teknologi tak mampu erat ukhwah

'Pejabat terbuka' wujud hubungan lebih baik dengan pelanggan

Alhamdulillah, tatkala penulisan ini dikongsi, umat Islam sudah seminggu berhari raya. Menariknya di negara kita ini, suasana hari raya dengan kemeriahan ‘rumah terbuka’ dan tidak kurang juga 'pejabat terbuka' dihias gantungan ketupat plastik serta lampu berkerdipan sepanjang Syawal. Ia adalah satu tanda mudah melambangkan suasana kehidupan harmoni, ukhuwah juga kesenangan dan kemampuan dimiliki masyarakat.

Bagaimana cantiknya pakaian, indahnya perhiasan rumah dan enaknya juadah dihidangkan pada Syawal ini, marilah kita memelihara diri dengan munajat supaya dikurniakan akhlak baik lagi indah dengan satu doa mudah: “Ya Allah, sepertimana Engkau mencantikkan kejadianku, maka perbaiki pula akhlakku.” (Riwayat Ahmad)

Keharmonian dengan nilai mahabbah dan saling hormat menghormati dapat dilihat melalui budaya ziarah-menziarahi ke rumah sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan.

Ia perlu disemarakkan dan diteruskan khasnya dalam kehidupan hari ini sama ada disedari atau tidak, kita semakin jauh daripada aktiviti memasyarakatkan diri disebabkan pelbagai faktor antaranya kesibukan bekerja.

Bersua muka lebih utama

Walaupun kita mampu memasyarakatkan diri dengan pelbagai kecanggihan teknologi seperti berhubung di laman sosial, namun ia tidak sehebat kelebihan apabila insan itu bertemu dan bersua muka.

Amalan bersua muka dengan mengucapkan salam dari bibir, menghulurkan tangan untuk berjabat, sentuhan fizikal dengan pelukan kepada saudara mara lebih tua, mempunyai nilai kemasyarakatan lebih ‘hidup’ dalam perasaan berbanding melalui medium teknologi maklumat canggih.

Malah, kita juga berpeluang membalas setiap gerak-geri silaturahim ini dengan yang lebih baik jika bersemuka.

Firman Allah SWT: “Jikalau engkau semua diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan yakni salam maka jawablah penghormatan atau salam itu dengan yang lebih baik daripadanya atau balaslah dengan yang serupa dengannya.” (Surah an-Nisa’, ayat 86).

Inilah yang dinyatakan oleh Imam al-Farabi dalam al-Madinah al-Fadhilah apabila amat menekankan aspek memasyarakatkan masyarakat sebagai usaha mewujudkan masyarakat sempurna ke arah sebuah negara yang baik.

Menghidup sunnah Nabi

Budaya murni ini amat dianjurkan kerana ia menghidupkan amalan berteraskan Sunnah Nabi SAW. Daripada Abu Yusuf, Abdullah bin Salam katanya: “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: Hai sekalian manusia, ratakanlah salam, berikanlah makanan, pereratkanlah kekeluargaan, bersembahyanglah – di waktu malam – sedang manusia sedang tidur, maka engkau semua akan masuk syurga dengan selamat.” (Riwayat Imam Tirmidzi)

Daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash, ada seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW: “Manakah amalan Islam yang terbaik? Baginda menjawab: Iaitu engkau memberikan makanan dan engkau mengucapkan salam kepada orang yang sudah engkau kenal dan orang belum engkau kenal.” (Muttafaq ‘Alaih)

Hal yang sama boleh diaplikasikan dalam perkhidmatan apabila ada mengadakan ‘pejabat terbuka’ bersama pelanggan bukan sekadar untuk menjamu selera tetapi membina hubungan pejabat dengan pelanggan dalam suasana lebih baik dan santai.

Bulan perhubungan awam

Aduan dan pandangan juga akan lebih mudah disampaikan serta diterima secara positif oleh pegawai berkenaan. Justeru, Syawal boleh menjadi bulan perhubungan awam paling efektif dalam menyalurkan perkhidmatan mesra pelanggan.

Namun, beberapa adab dan nilai akhlak perlu dijaga bagi merealisasikan matlamat baik ini iaitu tidak berlebih-lebihan, bermegah-megah, bermewah-mewah, berhasad dengki, iri hati dan sombong serta tidak menimbulkan kesulitan disebabkan oleh hutang.

Termasuklah juga yang perlu dielakkan oleh penjawat awam mahupun swasta adalah menerima atau memberi hadiah, hamper kepada mereka yang berurusan rasmi atau berkepentingan.

Bulan perhubungan awam

Kita disarankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sebaik-baiknya menolaknya untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Ini sebagaimana Surat Pekeliling, Bilangan 3, 1998 yang menyatakan setiap pemberian hadiah perlu diisytiharkan kepada ketua jabatan yang akan menentukan sama ada disimpan atau dipulangkan.

Contoh hadiah atau hamper kepada agensi penguatkuasa dan pegawai bank yang mempunyai urusan perniagaan atau pinjaman dengan pegawai terbabit. Unsur atau nilai tidak beretika ini hendaklah dielakkan supaya tidak mencalarkan keindahan dan kemeriahan Syawal.

Justeru, bagaimana cantiknya pakaian, indahnya perhiasan rumah dan enaknya juadah dihidangkan pada Syawal ini, marilah kita memelihara diri dengan munajat supaya dikurniakan akhlak baik lagi indah dengan satu doa mudah: “Ya Allah, sepertimana Engkau mencantikkan kejadianku, maka perbaiki pula akhlakku.” (Riwayat Ahmad)



Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Sumber: Berita Harian Online Agama Sabtu , 25 Ogos 2012, 6 Syawal 1433 H
Tags: silaturahim, teknologi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments