mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Persediaan mental, fizikal ibadat haji penting

Kumpulan pertama jemaah Malaysia akan berangkat ke Tanah Suci esok, untuk menunaikan rukun Islam kelima. Sebagai tetamu Allah SWT, mereka adalah golongan istimewa yang dipilih menyahut seruan untuk menunaikan haji musim 1433 hijrah.

Sabda Baginda SAW: “Orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah SWT. Permohonan mereka tidak akan ditolak. Jika mereka memohon keampunan, nescaya akan diampunkan dosa-dosa mereka.” (Riwayat Nasai dan Ibnu Majah) Musim ini mengingatkan kita ketika mana Allah SWT berfirman kepada Ibrahim: “Dan serulah manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang dengan pelbagai cara dari segenap penjuru yang jauh.” (Surah al-Haj, ayat 27)

Persoalan penting dalam urusan haji dan lainnya adalah niat yang ikhlas tanpa memikirkan persoalan kedudukan atau pangkat. Ingatlah bahawa status haji bukanlah kayu pengukur kepada ibadat haji yang kita lakukan.

Tumpuan ialah memastikan ibadat dilakukan mendapat keredaan Allah. Firman Allah SWT: “Sempurnakanlah haji dan umrah kerana Allah SWT.” (Surah al-Baqarah, ayat 196)

Kedua ialah pelaksanaan proses infaq harta ke jalan Allah SWT. Apa yang dikurniakan Allah SWT mestilah dikembalikan padanya melalui proses ibadat dengan menunaikan ibadat haji serta umrah.

Firman Allah SWT: “Dan berimanlah kepada Allah dan Rasulnya dan infaqlah sebahagian dari hartamu pada jalanNya sebagai amanah kepadamu. Maka orang yang beriman dan berbelanja pada jalanNya akan mendapat ganjaran yang besar.” (Surah al-Hadid, ayat 6)

Sifat tawaduk


Ketiga ialah pakaian yang dikenakan pada ibadat haji adalah seumpama kain kafan yang dipakai ketika mati. Ia memberi gambaran ketika kita bertemu Allah SWT. Tiada perbezaan kasta dan kedudukan ketika berada dalam ibadat haji.

Semuanya adalah sekata pada pandangan Allah SWT. Sifat tawaduk mestilah ditunjukkan dengan melayan sesama manusia dengan layanan yang sama.

Keempat, di situlah berhimpunnya seluruh umat dunia bagi mengerjakan satu ibadat yang hanya dapat dilaksanakan sekali dalam setahun. Mereka berkenal-kenalan antara satu sama lain dalam memperkenalkan budaya masing-masing secara langsung ataupun tidak.

Kelima, pelajaran hijrah yang akan dirasai jemaah di mana mereka telah merelakan hati meninggalkan keluarga dan kesenangan di tanah air dengan menerima kesusahan ketika mengerjakan ibadat haji.

Kesabaran teruji


Kesedapan makanan, tidur, suasana dan kerehatan sudah pasti akan hilang sehingga terkadang pasir, debu dan batu-batu di perjalanan menjadi bantal ke Muzdalifah. Kesesakan luar biasa akan dirasai ketika tawaf, wukuf serta melontar di tiga jamrah.

Ketika itulah kesabaran akan teruji dan keimanan menjadi neraca pertimbangan. Begitulah cebisan peristiwa hijrah Baginda SAW yang akan dirasai oleh jemaah.

Keenam ialah merasai kemanisan jihad dalam perjuangan untuk mendapatkan haji yang diterima Allah SWT (mabrur). Baginda SAW juga pernah menyatakan bahawa sebaik-baik jihad adalah haji yang mabrur (diterima).

Mereka yang berusaha akan dibantu oleh Allah SWT. Allah telah berjanji akan membuka ruang kepada mereka yang berusaha dengan jihad yang teguh.

Firman Allah SWT: “Dan orang yang berjihad untuk Kami, akan Kami tunjukkan jalan baik kepada mereka kerana Allah akan bersama mereka yang baik.” (Surah al-Ankabut, ayat 69)

Ketujuhnya adalah ujian terhadap lonjakan hawa nafsu ketika berhimpunnya lebih tiga juta jemaah pada satu masa. Sudah dapat dibayangkan suasana di mana kumpulan lelaki dan wanita sudah tidak dapat dipisahkan lagi.

Kesimpulannya, persediaan mantap dari segi mental dan fizikal akan menentukan kualiti ibadat haji dilakukan. Marilah bersama kita bertekad dan berniat untuk menunaikan haji walaupun sekali dalam hidup ini.



Penulis Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP) Zamanuddin Jusoh Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 17 September 2012, 1 Zulkaedah 1433 H
Tags: haji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments