mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Perspektif IKIM: Merapatkan jurang kekayaan tegak prinsip keadilan masyarakat

Suasana ekonomi yang sangat mencabar di merata dunia khususnya di negara maju, menuntut kita memberi perhatian untuk berdepan kesan negatif seperti peningkatan jumlah kemiskinan, jurang perbezaan di antara yang kaya dan miskin, peningkatan kos sara hidup serta beban hutang.

Sebagai umat Islam, kita harus peka apa yang berlaku sekarang dan mencari penyelesaian kepada permasalahan itu. Jika tidak ada penyelesaian, akan meruntuhkan peradaban umat manusia.

Justeru, ciri berikut perlu diberi perhatian dalam konteks menyusun dan membangun sistem ekonomi. Pertama, sesebuah sistem ekonomi perlu mempunyai asas falsafah penyusunan sistem ekonomi yang relevan, dinamik dan bersifat kemanusiaan. Berpandukan asas falsafah itu, akan wujud pandangan hidup sempurna bagi yang seterusnya mempengaruhi penggubalan prinsip, struktur, dasar, instrumen dan perjalanan aktiviti ekonomi.

Semangat keadilan dan muafakat

Bagi Islam, semangat keadilan dan muafakat di kalangan rakyat perlu dibina dan dipupuk bukan pendekatan yang menghala kepada konflik di antara individu atau kumpulan individu.

Kedua, sesebuah negara perlu memahami sifat dan keperluan manusia sama ada pada peringkat individu dan masyarakat dengan tepat. Kegagalan itu yang menjadi punca penyebab kepada perjalanan sesebuah sistem ekonomi.

Ketiga, setiap individu perlu dididik melalui sistem pendidikan bahawa tanggungjawab kepada kebajikan masyarakat bukan hanya dipikul oleh pemerintah. Setiap individu perlu akur bahawa keharmonian masyarakat adalah tanggungjawab bersama.

Kefahaman dan keyakinan pada pentingnya keharmonian masyarakat tercapai adalah prasyarat kepada keunggulan sesebuah sistem ekonomi. Justeru, keadilan dalam setiap amalan ekonomi perlu didukung oleh semua ahli masyarakat.

Keempat ialah memahami dan menghayati konsep harta yang sempurna. Individu hanya pemilik kepada harta yang diperoleh secara halal. Harta yang dimiliki adalah amanah daripada Ilahi dan bertanggungjawab terhadap bagaimana harta itu dibelanjakan.

Kelima, dalam menyusun dan memajukan ekonomi negara ia perlu dipandu oleh semangat al-adl wal ehsan, iaitu memupuk semangat keadilan dan kasih sayang dalam kalangan ahli masyarakat. Oleh itu, usaha untuk memajukan ekonomi perlu melalui pencapaian keadilan sosial.

Sistem penyusunan ekonomi yang mengabaikan amalan keadilan sudah pasti akan mewujudkan budaya konflik berlaku dalam pelbagai aspek perjalanan ekonomi. Ini akan menimbul ketidakstabilan ekonomi dan seterusnya membantut kemajuan ekonomi.

Perlu pendekatan tepat

Keenam, sesebuah sistem ekonomi perlu memahami pendekatan tepat peranan sektor awam dan swasta dalam menyusun perjalanan aktiviti ekonomi. Kedua-dua sektor memerlukan antara satu sama lain.

Kegagalan sistem Marxis kerana pada awal ia menolak kepentingan kepada wujudnya sektor swasta. Akhirnya sistem ini terpaksa berkubur. Sistem Laissez faire menghadapi masalah kerana ia menolak pentingnya sektor awam.

Memahami dan mampu menterjemahkan amalan ekonomi yang baik, sistem ekonomi sesebuah negara dapat berperanan dengan sempurna. Natijah akhir ia sepatut menyumbang kepada pembinaan peradaban umat manusia.



Nik Mustapha Nik Hassan Penulis ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Berita Harian Online Jumaat, 5 Oktober 2012
Tags: ekonomi
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments