mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dinasti Mamluk

KETIKA dunia Islam mengalami perpecahan politik pada awal abad ke-13, muncul sebuah dinasti di Mesir yang membawa warna baru dalam sejarah politik Islam.

Dinasti itu bernama Mamluk, sering juga disebut Mamalik. Sebenarnya, ada dua pemerintahan Islam yang didirikan oleh kaum Mamluk iaitu, Dinasti Mamluk di India (1206-1290) yang dibentuk oleh Qutbuddin Aybak dan Dinasti Mamluk di Mesir (1250-1517).

Namun, Dinasti Mamluk di Mesir lebih terkenal. Pemerintahan Dinasti Mamluk di Mesir bersifat oligarki ketenteraan dan membawa banyak kemajuan.

Dinasti Mamluk mencapai puncak kejayaannya terutama pada masa Sultan Baybars. Ekonomi dan perdagangan sangat maju. Kaherah menjadi jalur perdagangan penting bagi Asia Barat dan Laut Tengah.

kemajuan Dinasti Mamluk terlihat pada bangunannya yang indah pada masa pemerintahannya dan segelintirnya masih kekal hingga kini.

Kemajuan ilmu pengetahuan terlihat dengan semakin berkembangnya berbagai-bagai cabang ilmu seperti sejarah, kedoktoran, astronomi, matematik dan ilmu agama. Saat itu muncul nama-nama ilmuwan besar seperti Ibnu Khaldun (sejarah), Nasiruddin at-Tusi (astronomi) dan Ibnu Taimiyah (agama).

Di bidang pembangunan dan seni bina, kemajuan Dinasti Mamluk terlihat pada bangunan-bangunannya yang indah dan megah.

Mamluk Bahri

Mamluk Bahri adalah golongan hamba yang datang Caucasus, di sempadan antara Rusia dengan Turki oleh Malik as-Saleh, penguasa Dinasti Ayubiyah. Mereka dijadikan pengawal untuk menjamin kelangsungan kekuasaan Malik dengan mendapat hak-hak istimewa.

Malik as-Saleh meninggal dunia pada 1249 Masihi lalu digantikan oleh puteranya, Turansyah.

Bagaimanapun, kaum Mamluk Bahri tidak menyukai Turansyah dan mereka kemudian merebut kekuasaan dengan membunuh sultan tersebut. Sejak itu mereka berkuasa dan mendirikan Dinasti Mamluk.

Mamluk Burji

Mamluk Burji pula berasal dari Syirkasiah (Turki), dibawa masuk ke Mesir oleh pemerintah Mamluk ketika itu, Sultan Qalawun (1279-1290). Bagaimanapun, sejak tampuk pemerintahan beralih kepada Mamluk Burji pada 1382 Masihi, Dinasti Mamluk mulai lemah kerana para sultan Mamluk Burji tidak memiliki pengetahuan tentang cara mentadbir pemerintahan kecuali latihan ketenteraan.

Kesultanan ini hancur apabila Sultan Salim I dari kerajaan Uthmaniah di Turki merampas kembali Mesir daripada tangan mereka pada 1517 Masihi.

Dinasti Mamluk mencapai puncak kejayaannya pada pemerintahan Sultan Baybars.

Dinasti Mamluk di India

Selain Dinasti Mamluk di Mesir, terdapat juga Dinasti Mamluk yang berkuasa di India. Dinasti Mamluk di India ini didirikan oleh Qutbuddin Aybak. Pada awalnya, Qutbuddin adalah salah seorang jeneral daripada Dinasti Guri yang berjaya memperluas wilayah ke India pada tahun-tahun terakhir abad ke-12.

Ketika Dinasti Guri yang berpusat di Khurasan (Afghanistan) menjadi lemah, Qutbuddin mengukuhkan penguasaan sebagai Sultan Delhi dan mengasaskan Dinasti Mamluk India. Bagaimanapun, dinasti ini hanya bertahan sementara sahaja dan kemudian digantikan dengan dinasti-dinasti lain.

Oligarki ketenteraan

Pemerintahan Dinasti Mamluk bersifat oligarki ketenteraan dan tidak menerapkan sistem turun-temurun. Tokoh ketenteraan yang terkenal dan berprestasi dipilih menjadi sultan. Namun hal tersebut berubah sejak pemerintahan Qalawun. Baginda mula mewariskan kekuasaannya kepada keturunannya hingga kepada empat generasi sehingga kemudiannya terjadi perebutan kekuasaan di antara keturunannya itu.

Daripada 47 orang sultan Mamluk, sultan yang termasyhur adalah Sultan Baybars (1260-1277), sultan keempat. Baginda merupakan seorang pemimpin tentera yang gagah dan perkasa, bahkan dianggap sebagai pembangun hakiki Dinasti Mamluk.

Baybars mampu membangunkan pemerintahannya dengan baik. Baginda menghidupkan kembali Mazhab Sunni. Baybars juga menjalin hubungan yang baik dengan Kesultanan Delhi, Konstantinople, Sicily, dan Kesultanan Moghul.

Seni bina pada masa Dinasti Mamluk berkembang dengan cemerlang. Para sultan seolah-olah berlumba-lumba untuk mendirikan bangunan bernilai seni yang tinggi seperti masjid, madrasah, dan muzium.

Dinasti Mamluk juga pernah terlibat dalam menambah Masjid Nabawi di Madinah serta mendirikan pagar di makam Nabi Muhammad SAW. Selain mendirikan masjid sebagai tempat ibadah dan pusat keilmuan, Sultan Qalawun merupakan pemerintah Mamluk yang mementingkan hal ehwal kesihatan rakyat. Hal ini dapat ditelusuri dengan pembinaan beberapa buah hospital pada zaman pemerintahannya.



Utusan Malaysia Online Bicara Agama 09/10/2012
Tags: dinasti
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments