mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Nafkah isteri, kewajipan suami

SUDAH beberapa minggu saya menulis mengenai perceraian dan saya pasti ia bukanlah suatu penulisan yang boleh menyelesaikan semua masalah.

Perkahwinan adalah jalinan hubungan dua insan dan keluarga masing-masing. Jalinan hubungan antara dua insan ini merangkumi hubungan lahiriah dan batiniah.

Saya akan terus menulis mengenai perceraian dan ia akan dibincang dari masa ke semasa terutama bagi tujuan menjawab persoalan yang diutarakan oleh pembaca.

Masalah perkahwinan ini tidak ada hujungnya selagi manusia bernyawa dan berkahwin. Kali ini saya hendak menulis mengenai nafkah isteri dan anak.

Untuk permulaan saya akan menulis mengenai nafkah isteri dahulu. Apakah yang dimaksudkan dengan nafkah?

Perkataan nafkah adalah perkataan Arab berasal dari perkataan infaq bermaksud mengeluarkan. Dari segi bahasa bermaksud apa yang dikeluarkan oleh seseorang itu ke atas ahli keluarganya.

Nafkah bermaksud: "Tanggungan perbelanjaan untuk menyara kehidupan ahli keluarga daripada makanan, pakaian, tempat tinggal dan perbelanjaan yang lain".

Pada 'urfnya atau adatnya nafkah yang dimaksudkan ialah makanan yang merangkumi roti atau makanan asasi seperti beras, jika di Malaysia dan apa yang dimakan dengannya. Nafkah termasuk pakaian iaitu pakaian yang penutup badan dan kain selimut.

Tempat tinggal pula merangkumi rumah, kelengkapan rumah dan keperluan sampingan seperti harga air, elektrik, alat pembersihan dan sebagainya mengikut keperluan harian.

Beberapa fuqaha kontemporari memberi tambahan kepada skop nafkah termasuklah khidmat atau apa yang perlu mengikut 'urf atau adat sesuatu masyarakat. Fuqaha Shafi'i mengkategorikan nafkah kepada dua kategori; Nafkah yang wajib ke atas diri sendiri dan nafkah yang wajib dibelanjakan untuk orang lain.

Seseorang itu wajib memberi nafkah kepada diri sendiri terlebih dahulu sebelum memberi nafkah kepada orang lain. Ini adalah berdasarkan hadith Rasulullah SAW yang bermaksud, "Mulakan dengan dirimu, kemudian mereka yang wajib ke atasmu membiayai nafkah".

Nafkah yang wajib ke atas orang lain adalah berdasarkan kepada tiga sebab; sebab perkahwinan, hubungan kerabat dan pemilikan. Sebab perkahwinan adalah merujuk kepada nafkah kepada isteri. Nafkah kerana hubungan kerabat adalah nafkah kepada orang yang mempunyai tali persaudaraan dengan kita termasuklah ibubapa ke atas, anak-anak ke bawah, adik beradik dan sebagainya.

Syarat wajib nafkah adalah: (i) Isteri menyerahkan diri sepenuhnya kepada suami, walaupun suami adalah seorang kanak-kanak. Jika isteri menahan diri dari disetubuhi, tidak wajib nafkah.

wanita yang menyerahkan diri sepenuhnya kepada lelaki melalui hubungan perkahwinan wajib mendapat
nafkah daripada suami walaupun seorang kanak-kanak. - Gambar hiasan



Ini berasaskan kepada fakta bahawa Rasulullah SAW mengahwini 'Aishah dan hanya bersatu selepas dua tahun 'akad perkahwinan dan baginda tidak membiayai nafkah melainkan selepas bersatu dengan 'Aishah.

Jika isteri menahan dirinya kerana sebab yang hak seperti suami tidak membayar mahar tunai, atau tidak menyediakan tempat tinggal yang sesuai, maka suami wajib membayar nafkah. (ii) Isteri telah dewasa dan boleh disetubuhi.(iii) Perkahwinan adalah sah (iv) Tidak gugur hak untuk mendapat nafkah berdasarkan satu sebab yang shar'i, seperti isteri nusyuz yang menggugurkan haknya untuk mendapat nafkah.

Nafkah diwajibkan melalui al-Quran dalam surah al-Talaq 65:7 yang bermaksud: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah SWT kepadanya, Allah SWT tidak memberatkan seseorang melainkan yang diberikan Allah kepadanya..."

Dalam surah al-Baqarah ayat 233, Allah swt berfirman yang maksudnya "Dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu dengan cara yang ma'ruf..." dan dalam surah al-Talaq ayat 6, yang bermaksud : "Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu (sesuai dengan kemampuan kamu." Dalam sebuah hadis tentang Hindun; yang mana dia telah datang kepada Rasulullah (saw) dan berkata "Wahai Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan seorang lelaki yang bakhil. Dia tidak membiayai nafkah saya dan anak saya dengan mencukupi". Lalu Rasulullah SAW bersabda, "Ambillah hartanya sekadar yang mencukupi untukmu dan anakmu dengan sepatutnya. Hadis di atas menunjukkan bahawa kewajipan membiayai nafkah isteri adalah mutlak dan ia dinilaikan dengan kecukupannya.

Oleh yang demikian, isteri boleh mengambil sendiri nafkahnya tanpa diketahui suaminya jika suami tidak memberi ataupun ia tidak mencukupi. Ayat-ayat al-Quran dan hadis menunjukkan kewajipan memberi nafkah kepada isteri oleh suami.

Ini diperkuatkan oleh enakmen undang-undang keluarga Islam di negeri-negeri. Kewajipan memberi nafkah oleh suami kepada isterinya tidak dipandang serius oleh masyarakat Islam Malaysia terutama hari ini di mana ramai isteri yang bekerja 'menanggung' suami dan keluarga dan bukan sebaliknya.

Ketidakfahaman tentang hukum nafkah menyebabkan ramai suami mengabaikan nafkah isteri masing-masing sehinggakan isteri terpaksa bekerja sehingga dia juga mengabai tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu. Ada isteri yang terpaksa 'turun naik' mahkamah syariah kerana suami gagal membayar nafkah kepadanya semasa mereka masih berkahwin.

Jika semasa berkahwin pun suami gagal membayar nafkah, apatah lagi apabila mereka bercerai. Suami sering menggunakan kuasanya mengenai nafkah untuk menyiksa isteri sedangkan nafkah isteri itu wajib ke atas suami. Dibuat dapat pahala, ditinggal atau abai menjadi dosa.

Nafkah tertunggak adalah hutang yang boleh dituntut dari waris jika suami telah meninggal dunia. Nafkah sangat penting dalam kehidupan keluarga dan ia menjamin kesejahteraan keluarga.


Utusan Malaysia Online Bicara Agama 10/10/2012
Tags: isteri, kahwin, nafkah
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments