mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dekat diri kepada Allah

HARI ini umat Islam menyambut Aidiladha dalam suasana aman, makmur dan penuh kesyukuran.

Bayangkan terdapat saudara Islam di negara lain ketika ini sedang bergolak dalam peperangan, kemiskinan serta ditimpa bencana sehingga tidak dapat merasai nikmat seperti kita.


Sebab itu, kita perlu sentiasa bersyukur atas nikmat pemberian Allah ini. Bukan saja mengenal erti kesyukuran malah kita perlu menyelami dan sanggup berkorban untuk orang lain. 

Berkorban adalah sebahagian usaha mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ternyata, seorang itu dimuliakan bukan kerana apa yang dimilikinya tetapi pengorbanannya memberi manfaat kepada orang lain.



Pengorbanan bukan untuk dipuji dan dihormati di mata manusia tetapi lebih utama, di sisi Allah. Jika seseorang semakin mencintai apa yang dimilikinya, sukarlah dia berkorban demi kepentingan orang lain.

 IBADAH KORBAN...perayaan istimewa bagi umat Islam memperingati pengorbanan dua anak beranak Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail menunaikan perintah Allah. 

Melalui ibadah korban, manusia perlu berusaha bagi mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. Ibadah korban yang dilakukan menjadi lambang kembalinya manusia kepada Allah SWT. 

Sambutan Aidiladha ini bertujuan mengenang kembali sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim yang diperintahkan menyembelih anak kesayangannya, Nabi Ismail. 

Konsep pengorbanan yang diterapkan Nabi Ibrahim sepatutnya menjadi contoh terbaik. Apa yang dikagumi dari kisah itu ialah Baginda tidak pernah mempertikaikan suruhan Allah meskipun yang menjadi korban adalah anak kesayangannya. 

Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah: “Ya Rasulullah! apakah yang dimaksudkan dengan udhiyyah (korban)?” Rasulullah menjawab: “Itulah sunnah bapamu Ibrahim.” Sahabat bertanya lagi: “Apakah yang kita akan peroleh daripada ibadah udhiyyah?” Baginda menjawab: “Tiap-tiap helai bulu (daripada binatang yang dikorbankan), kamu akan mendapat satu kebaikan.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibn Majah).

Begitu juga sahabat Rasulullah yang lain seperti Saidina Abu Bakar. Beliau mengorbankan semua hartanya demi umat Islam. Rasulullah bertanya kepadanya: “Apakah yang engkau tinggalkan untuk keluarga kamu?” jawab Abu Bakar: “Aku tinggalkan buat mereka Allah dan Rasul-Nya.”


BERGOTONG-ROYONG...ibadah korban dilakukan empat hari bermula selepas khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijjah.

Ternyata, kejayaan tidak pernah dan akan datang bergolek begitu saja tetapi perlu kepada usaha dan pengorbanan.

Pensyarah Pusat Kajian Pembangunan Pengurusan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia, (USM), Dr Mohd Shukri Hanapi, berkata pengorbanan adalah ungkapan yang menjelaskan keberanian, kesanggupan, kesediaan dan penyerahan diri seseorang individu tanpa sebarang paksaan. 

“Pengorbanan lahir daripada jiwa yang ikhlas dan tidak mengharapkan balasan. 

“Islamnya seseorang melalui kalimah syahadah bermakna seseorang itu menyerahkan diri dan mengorbankan seluruh roh dan jiwa mengakui keesaan Allah. 

“Melalui ibadah solat, seseorang mengorbankan masa dan tenaganya menyembah Allah. Ibadah puasa juga membawa mesej pengorbanan di mana seseorang meninggalkan nikmat nafsu syahwat dan makan minum seketika semata-mata memenuhi tuntutan agama. 

“Begitu juga dengan ibadah zakat, kita mengorbankan harta benda dan wang milik yang disayangi dan terakhir, puncak pengorbanan seseorang Muslim itu ialah menunaikan fardu haji di Makkah. 

SEDEKAH...sebahagian daging sembelihan korban hendaklah disedekahkan dan diagihkan terutamanya kepada golongan fakir dan miskin.


“Kesanggupan mengorbankan harta dunia itulah yang mendorong jutaan manusia memenuhi lambaian kaabah pada setiap tahun. 

“Pengembaraan ritual itu simbolik penyerahan diri zahir dan batin. 

“Mana tidaknya, wang ringgit, keluarga tercinta, tenaga, masa, urusan perniagaan dan segala yang kita ada dikorbankan hanya kerana Allah. Hal itu pastinya tidak mampu terlaksana tanpa sifat ikhlas dalam diri,” katanya.

Beliau berkata, konsep pengorbanan bukan hanya terbatas kepada ibadah bahkan perlu diterapkan dalam semua amalan. 

“Pengorbanan dalam menjalankan tugas contohnya, mencerminkan keikhlasan dan menjadikannya sebagai ibadah. Seseorang yang hanya melakukan pekerjaan semata-mata mendapatkan habuan dan faedah bukan pekerja cemerlang.

“Dalam sektor pekerjaan, tidak ramai yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga di luar waktu atau bidang tugasnya. Mereka mula memikirkan bayaran lebih masa atau mencipta pelbagai alasan apabila diarahkan bertugas di luar waktu pejabat.

“Antara puncanya disebabkan tiada semangat pengorbanan dan keikhlasan atau tidak merasakan kerja itu juga satu ibadah yang dibayar pahalanya oleh Allah SWT,” katanya.

Katanya, ibadah terbahagi kepada dua iaitu ibadah khusus dan ibadah umum. 

“Ibadah khusus seperti solat, berpuasa, menunaikan zakat, bersedekah, manakala ibadah umum pula ialah setiap perkara harus yang dilakukan dan mendatangkan kebaikan di samping keredaan Allah SWT. 

“Setiap pekerjaan yang dilakukan akan mendapat pahala selagi mendatangkan kebaikan. Apatah lagi jika ia dilakukan dengan bersungguh-sungguh, tidak berkira, mengharapkan pujian serta balasan.

“Jika disoroti sirah Nabi, kita boleh mengambil contoh pengorbanan Nabi Musa ketika Baginda dikahwinkan dengan salah seorang anak perempuan Nabi Syuaib. 

“Menurut sesetengah pendapat ulama, Baginda disyaratkan bekerja mengembala ternakan kepunyaan Nabi Syuaib selama lapan tahun sebagai ganti mahar. 

“Namun, Nabi Musa secara sukarela menambah bilangan tahun sehingga 10 tahun, sedangkan ketika itu Baginda sangat rindu untuk kembali kepada keluarganya di Mesir.

“Pengorbanan itulah yang dicari. Ia tidak mustahil jika setiap individu meletak niat setiap pekerjaan yang dilakukan untuk mendapat keredaan Allah SWT semata-mata,” katanya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan katakanlah wahai Muhammad, “Beramallah (bekerjalah) kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan, dan kamu akan dikembalikan kepada Allah yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Tawbah ayat 105).

Allah SWT berfirman yang bermaksud “Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hamba-Nya.” (Surah al-Baqarah ayat 207).

Menurutnya, erti pengorbanan amat luas kerana pelbagai cabaran terpaksa ditempuhi.

“Ia termasuk pengorbanan antara manusia dengan manusia. Contohnya, pengorbanan isteri terhadap suami dan anak, pengorbanan anak terhadap ibu bapa, pengorbanan ibu bapa terhadap anak mereka, pengorbanan guru terhadap pelajarnya dan sebagainya.

“Melihat kepada situasi kehidupan masyarakat Islam hari ini, kebanyakannya terlalu mengejar kemewahan, kesenangan dan kepentingan diri sendiri. Masih adakah mereka yang sanggup melakukan pengorbanan semata-mata kerana Allah SWT?

“Tidak dinafikan, roh dan semangat pengorbanan umat Islam semakin pudar dan malap. Ramai remaja Islam yang tidak mendapat didikan agama secukupnya kerana terjebak dengan segala macam gejala sosial. 

“Contoh yang ditunjukkan Nabi Ismail yang meletakkan perintah Allah SWT dan kewajipan mentaati ibu bapa perlu menjadi iktibar kepada generasi masa kini. 

“Tanpa pengorbanan ibu bapa, pasti anak tidak mampu mencapai kejayaan sama ada dalam bidang pendidikan, kerjaya atau kehidupan berkeluarga. 

“Bagi umat Islam luar negara yang ditindas, kita boleh menyatakan sokongan dan pengorbanan membantu mereka dengan berdoa kepada Allah SWT supaya diberikan kesejahteraan buat mereka selain menghulurkan bantuan tenaga dan wang ringgit,” katanya.

Beliau berkata, semangat berkorban perlu dijadikan budaya supaya ia sebati dalam kehidupan. 

“Ia akan menjana keutuhan masyarakat secara keseluruhannya. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang tidak mempedulikan orang Islam yang lain, maka dia bukan dari kalangan orang Islam.” (Hadis Riwayat Abu Dawud).

“Budaya berkorban yang diterapkan dalam masyarakat mampu menghindarkan sifat dendam, dengki, khianat, perbalahan, tidak mahu bertolak ansur dan pentingkan diri sendiri. Hal ini akhirnya membawa wujudnya umat Islam yang ampuh, berkualiti dan bersatu-padu,” katanya.

Mohd Shukri berkata, keikhlasan adalah sifat paling utama dalam ibadah. 

“Meskipun daging korban tidak sampai kepada Allah SWT, tetapi yang lebih penting adalah ketakwaan kepada-Nya. Korban itu tidak memberi makna untuk Allah SWT kerana Dia tidak memerlukan sesuatu perkara pun daripada hamba-Nya.

“Dengan korban itu diharapkan ketakwaan semakin meningkat dan menggambarkan kita adalah hamba-Nya yang sentiasa memerlukan bimbingan dan petunjuk. 

“Allah berfirman yang bermaksud: “Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkan takwa daripada kamu.” (Surah al-Hajj ayat 37).

“Kesanggupan seseorang melakukan pengorbanan termasuk wang ringgit, tenaga dan masa benar-benar menguji keimanannya. Bagaimanapun semua pengorbanan itu lain perlu dilakukan berdasarkan kemampuan masing-masing. 

“Bantuan yang dibuat itu pasti akan dikenang hingga ke akhir hayat. Secara tidak langsung ia membawa kepada keakraban di kalangan umat Islam,” katanya.

Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my myMetro Variasi Ad Din Jumaat 26 Oktober 2012
Tags: haji, korban, qurban
Subscribe

  • Khutbah Jumaat: Ulama dan Ilmu

    Petikan Khutbah Jumaat 02 Julai 2021M / 21 Zulqa’dah 1442H: JAIS Ulama dan Ilmu Jika ditelusuri sejarah, kita akan dapat menyaksikan usaha…

  • Khutbah Jumaat : Menggapai Reda Ilahi

    Petikan Khutbah Jumaat 05.03.2021 l 21Rajab 1442H JAIS Menggapai Reda Ilahi Seandainya kita berada di dalam sebuah perahu di tengah-tengah lautan…

  • Khutbah Jumaat : Emosi Dan Akal Sihat

    Petikan Khutbah Jumaat 11 Sept 2020M / 23Muharram 1442H: JAIS Emosi Dan Akal Sihat Ketika ramai manusia yang berfikir dahulu sebelum bertindak,…

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments