mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Dua hari raya besar dalam Islam

HARI ini kita menyambut kedatangan Aidiladha. Semoga seluruh jemaah haji yang menyempurnakan rukun haji di Makkah diterima sebagai haji mabrur.

Semoga Aidiladha yang kita raikan hari ini sentiasa dalam suasana meriah. 

Teruskan amalan bertakbir dan ziarah menziarahi.


Manakala upacara ibadat korban menjadi temasya utama kanak-kanak dan remaja untuk melihat dari dekat bagaimana binatang ditarik, diikat dan disembelih sehingga pengagihan daging korban. 

Namun, dalam kemeriahan Aidiladha, ramai terpaksa menyambutnya dengan merasai pahit ujian peperangan seperti di Syria yang berperang sesama sendiri. 

Kalau hari raya ini kita saling berbahagi daging korban, di sana nyawa orang Islam yang menjadi korban. Hairan juga kita bagaimana kerajaan boleh membunuh rakyatnya sendiri. 

Penulis terpanggil untuk berkongsi idea mengenai kemeriahan Aidiladha dan Aidilfitri. Sebenarnya, dalam Islam, dua hari raya itu sangat besar maknanya. 

Semuanya dirayakan beriringan sempena ibadat rukun Islam. Aidilfitri didahului ibadat puasa manakala ibadat haji mengiringi Hari Raya Aidiladha. 

Dua-dua besar, cuma Aidiladha ada ‘lebih’ dari sudut falsafah dan tuntutan. 

Tapi kedua-duanya sangat bertalian dan berkaitan. Aidiladha juga dipanggil ibadat korban manakala Aidilfitri hari raya ‘bersih’ iaitu kembali kepada fitrah. 

Orang tidak boleh berkorban jika belum bersih hati dan nurani. Jadi, siapa yang berjaya dibersihkan dengan ibadat berpuasa pada bulan Ramadan dulu akan sanggup berkorban bukan saja ‘bahagian’ korban daging, tapi juga berkorban serba-serbi untuk ke Makkah menunaikan haji. 

Berkorban binatang bukan hanya menyembelih binatang, tetapi sampai ke peringkat ‘menyembelih’ sama sifat-sifat kebinatangan yang bersarang di dalam jiwa. 

Jika hari raya puasa jumlah rayanya cuma sehari iaitu satu Syawal, tetapi Aidiladha disebabkan besarnya pengorbanan yang dituntut, hari raya diwartakan Allah sebanyak empat hari iaitu 10 Zulhijjah hari raya diikuti dengan hari tasyrik 11,12 dan 13 Zulhijjah. 

Begitu juga jumlah hari bertakbir untuk Aidilfitri hanya satu malam dan setengah pagi iaitu tidak sunat lagi bertakbir selepas imam selesai baca khutbah raya manakala Aidiladha bertakbir selama empat hari empat malam. 

Aidilfitri diharamkan puasa hanya satu Syawal saja, tetapi Aidiladha empat hari diharamkan puasa. 

Sebenarnya, kemeriahan sambutan hari raya bukan hanya diukur kepada pakaian baru, berapa ramai orang balik kampung dan bukan juga pada kemeriahan sambutannya, tetapi bergantung kepada jiwa, peribadi dan akhlak baru. 

Selain itu, bersih diri dan sanggup berkorban demi agama.




myMetro Bimbingan Tazkirah Remaja Jumaat, 26 Oktober 2012

Tags: aidiladha, aidilfitri, raya
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments