mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Catatan jemaah haji

IBADAH haji merupakan rukun Islam kelima yang menjadi idaman setiap umat Islam. Namun begitu tidak semua umat Islam mampu menunaikan ibadah haji kerana ia menuntut pengorbanan yang besar daripada sudut material, fizikal dan rohani. Umat Islam di Tanah Melayu yang berkemampuan juga tidak ketinggalan mengerjakan ibadah haji seperti umat Islam yang lain.

Sebelum menunaikan ibadah haji pelbagai persediaan perlu dilakukan terutama sekali daripada segi pengangkutan kerana semua jemaah haji dari Alam Melayu menggunakan pengangkutan laut untuk mengerjakan haji di Mekah.

Persediaan untuk menunaikan ibadah haji telah direkodkan di dalam sejarah masyarakat Melayu sejak abad ke-15 oleh seorang penulis Portugis yang terkenal Tom Pires. Beliau telah menulis tentang dua orang sultan Melaka yang berhasrat menunaikan ibadah haji di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan membuat persediaan yang perlu untuk ke Mekah.

Yang pertama ialah Sultan Mansur Shah yang memerintah Melaka dari tahun 1456 - 1477 Masihi / 860 - 881 Hijrah. Menurut catatan Tom Pires:

Baginda adalah seorang sultan yang memiliki 120 quital emas dan sejumlah besar batu-batu permata yang berharga. Baginda telah memutuskan untuk ke Mekah bersama emas yang berganda jumlahnya dan ditempatkan di dalam sebuah jong yang dibina di Jawa dan sebuah lagi kapal besar yang berada di Pegu. Jika baginda tidak gering, baginda telah sampai ke Mekah. Baginda telah membelanjakan duit yang banyak dan mengumpulkan rakyat jelata untuk belayar…...

Selepas Sultan Mansur Shah mangkat, baginda telah digantikan oleh putera baginda Sultan Alauddin Riayat Shah sebagai pemerintah Melaka dari tahun 1477-1488 Masihi / 881-893 Hijrah. Persediaan baginda ke Mekah juga direkodkan oleh Tom Pires seperti berikut:

Sultan telah membuat keputusan untuk pergi ke Mekah. Oleh kerana baginda berada di Bretam, baginda ingin kembali ke Melaka untuk menyempurnakan persediaan baginda; tetapi setelah tujuh atau lapan hari gering maka baginda pun mangkat, meninggalkan dua orang putera dan tiga orang Puteri…

Abdullah Munshi pula menceritakan pengalaman beliau di dalam kapal dan perjalanan yang beliau tempuhi sewaktu di Mekah pada abad ke-19 di dalam manuskrip beliau yang bertajuk Pelayaran Abdullah. Di dalam manuskrip tersebut beliau ada menyatakan bahawa nama kapal yang beliau naiki ialah Fathul-Mubarak dan yang empunya kapal tersebut bernama Nakhoda Haji Ali bin Ahmad bin Isa.

Kapal masih digunakan sebagai satu-satunya pengangkutan untuk menunaikan haji di Mekah sehingga pertengahan abad ke-20. Seorang lagi jemaah haji Melayu pada tahun 1960 telah menceritakan pengalaman beliau di dalam buku yang bertajuk Chatetan ke-Tanah Suci. Beliau telah ke Mekah dengan menaiki kapal bernama Anshun. Di dalam salah satu catatan beliau menceritakan pengalamannya di atas kapal, beliau telah menekankan pentingnya sifat sabar dalam mengharungi cabaran dalam menyempurnakan rukun Islam kelima ini.

Catatan beliau berbunyi seperti berikut: …orang yang ingin menunaikan haji mestilah sabar… kamu terpaksa menanggung kesusahan ini di sepanjang pelayaran pergi dan balik dari menunaikan haji; sabar ialah satu-satunya jalan penyelesaian terbaik….

Terdapat juga jemaah yang mencatitkan pengalaman mereka dalam bentuk nazam untuk sahabat handai yang membacanya kemudian hari. Antara baris nazamnya berbunyi seperti berikut:

Dengarkan olehmu satu cerita, Fakir yang yatim empunya kata

Hatinya suka semata-mata, Dakwat bercampur dengan air mata

Tatkala turun hendak ke Mekah, Hatinya pun pecah belah

Hendak bertinggal ibu dan ayah, Entahkan habis berpecah belah

Inilah nazam fakir yang gharib, Lagi percintaan bawalah nasib

Memegang kalam memencahkan dakwat, Mulut membaca tangan menyurat

Pada suatu malam fakir berfikir, Ingatkan untung nasib dan takdir

Diambil dakwat talam yang saghir, Disuratkan nazam mengambil ta'bir

Dengarkan olehmu sekalian taulan, Mekah Madinah fakir nazamkan

Barang yang mudah hamba suratkan, Supaya berahi orang yang beriman

Tiga bulan dari Kedah la dan kurang, Pelayaran kapal tatkala menyeberang

Jikalau angin dari belakang, Sampai ke Jedah teluk yang tenang….

Buku Menuju ke Mekah yang diterbitkan oleh Muzium Kesenian Islam Malaysia boleh dibeli di Kedai Muzium Kesenian Islam Malaysia.



Ros Mahwati Ahmad Zakaria Kurator Muzium Kesenian Islam Malaysia Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/10/2012
Tags: haji
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments