mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ibadah korban dan pengorbanan

HARI ini, berakhirlah ibadah korban sempena Hari Raya Haji atau Hari Raya Aidiladha. Sejak Jumaat lalu, umat Islam yang berkemampuan digalakkan menyembelih haiwan ternakan seperti kambing, biri-biri, lembu atau kerbau. Bagi yang lebih berkemampuan dan inginkan kelainan, mereka membawa masuk unta untuk dikorbankan. Di Malaysia, lembu dan kambing menjadi pilihan.

Syukurlah kerana umat Islam di negara ini dapat menjalani ibadah korban dengan sempurna, tanpa perasaan takut dan bimbang. Semuanya ini dapat dilakukan kerana nikmat keamanan yang ada. Bayangkan jika negara dalam keadaan tidak stabil. Pada kebiasaannya, ibadah ini dilakukan secara gotong-royong di kawasan lapang, masjid atau surau bermula dengan penyembelihan, melapah dan mengagihkan daging korban.


Ibadah ini dilakukan secara gotong-royong di kawasan lapang, masjid atau surau bermula
dengan penyembelihan, melapah dan mengagihkan daging korban.

Melalui ibadah ini, masyarakat setempat dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim mereka. Ketika itu, fahaman politik diketepikan seketika. Di sesetengah tempat pula, sebahagian daging dimasak untuk dimakan bersama oleh masyarakat setempat. Begitulah semangat yang ditunjukkan dalam ibadah korban ini. Diharapkan daging korban itu dapat diagihkan kepada mereka yang berkenaan dan tidak berlaku pembaziran. Maklumlah negara kita agak 'mewah' dengan sembelihan ini. Di sesetengah negara, ada orang yang sangat-sangat mengharapkan daging korban ini. Mereka beratur panjang dan sabar menunggu untuk mendapatkan habuan masing-masing.

Di sini, tidak perlu beratur panjang atau berebut-rebut kerana daging itu akan sampai ke rumah jika diketahui mereka itu adalah kumpulan yang layak menerimanya. Begitulah nikmat yang ada di negara kita. Seperti yang disebut tadi, kita dapat melakukan ibadah korban tanpa perasaan takut.

Mungkin di sesetengah negara, mereka terpaksa menyembelih haiwan ternakan ini secara sembunyi. Mungkin juga mereka sukar untuk mendapatkan haiwan ternakan untuk dikorbankan kerana kurang atau mati akibat peperangan, bencana alam dan sebagainya. Cuba selak sejenak apa yang berlaku di Rohingya, Myanmar dan Syria. Di sana ramai umat Islam yang memerlukan bantuan akibat konflik yang berlarutan. Malangnya di Myanmar, majlis sambutan Aidiladha yang melibatkan korban terpaksa dibatalkan.

Baru-baru ini, ketika ditanya kepada wartawan Utusan Malaysia yang menyertai misi ke Rohingya, bagaimana suasana di sana, beliau menjawab : ''Bersyukur kerana dapat hidup di Malaysia''. Jawapan spontan itu menimbulkan pertanyaan lain. Kenapa?

Jawabnya, ketika di sana, beliau tidak dapat ke mana-mana kerana perintah berkurung. Itu baru suasana perintah berkurung. Banyak lagi negara yang bergolak dengan perang saudara atau tindakan puak-puak yang tidak sunyi daripada melakukan keganasan dan penindasan. Bukan sahaja ternakan yang menjadi korban tetapi juga manusia disembelih seperti haiwan.

Minggu lalu ketika berbual bersama seorang pemimpin Barisan Nasional (BN), beliau turut berbicara mengenai nilai keamanan yang dinikmati Malaysia pada hari ini. Beliau menyelak kembali suasana perintah berkurung semasa peristiwa 13 Mei 1969. Katanya, ketika itu wang tidak ada nilainya kerana tidak dapat membeli walaupun sekeping kek disebabkan perintah berkurung. Orang ramai tidak dibenarkan keluar dari rumah. Bagi yang tidak pernah merasai suasana ini mungkin akan memandang sinis. Hakikatnya, generasi terdahulu pernah melalui semuanya ini. Itu baru perintah berkurung. Bagaimana pula dengan rakan-rakan seagama yang terpaksa menjadi pelarian di dalam negara sendiri? Sudah tentu mereka tidak mahu 'menikmati' kehidupan sebagai pelarian tetapi disebabkan pergolakan dalaman, mereka terpaksa menelan semuanya itu. Rakyat Syria misalnya terpaksa menjadi pelarian di Jordan. Pastinya bagi mereka ini, suasana Aidiladha yang pernah dilalui sebelum ini amat jauh berbeza. Fikirkan juga jika sesama Islam di sebuah negara Islam boleh terjadi begini, apa pula di negara bukan Islam yang umat Islam hanya sebagai minoriti?

Marilah kita sama-sama menyelak kembali apa yang berlaku kepada dunia Islam sejak akhir-akhir ini. Renungilah kejatuhan dalam keadaan mengaibkan beberapa pemimpin seperti Saddam Hussein, Muammar Gaddafi dan Hosni Mubarak. Begitu juga dengan apa yang sedang berlaku keatas Bashar al-Assad di Syria atau mungkin selepas ini Mahmoud Ahmadinejad di Iran.

Dulu mereka ini mendapat sanjungan ramai tetapi kenapa nasib mereka berakhir sedemikian rupa? Komen yang diberi mengenai kejatuhan pemimpin-pemimpin ini juga pelbagai mengikut selera dan suasana semasa. Tidak mustahil ada tangan-tangan luar yang memainkan peranan untuk memporak peranda negara Islam. Umat Islam yang menganut satu agama tetapi dengan pelbagai fahaman mazhab akan diserang dari semua sudut, dengan pelbagai cara atau kaedah oleh musuh-musuh Islam. Waspadalah, jangan kita diperalat dan menjadi alat untuk memusuhi sesama umat Islam.

Maka ketika kita sedang menghayati erti korban, pada masa yang sama korbankan keegoan dan ketaksuban yang tidak membawa kebaikan. Korbankan prinsip perjuangan yang membawa kemusnahan. Jangan kerana taksub kepada seseorang atau pertubuhan, kita sanggup mengorbankan prinsip perjuangan yang selama ini mahu mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Kenapa harus dikorbankan prinsip perjuangan hanya semata-mata mahu mengejar sesuatu yang belum pasti di dunia ini? Hidup kita hanya sementara dan disambung oleh generasi akan datang. Usahlah memperjudikan masa depan generasi akan datang atas alasan mahu melakukan eksperimen untuk melihat sejauh mana minyak dengan air dapat bercampur.

Tidak semua perkara boleh dilakukan eksperimen. Kita boleh membina sesuatu kemudian menjual atau merobohkannya. Tetapi apabila terlepas ke tangan orang lain sama ada terjual, tergadai atau dirobohkan, bukan mudah untuk membinanya semula.



IBADAH korban dapat dilakukan dengan sempurna melalui semangat gotong-royong dalam kalangan penduduk setempat. - Gambar Hiasan

Tags: haji, korban
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments