mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Keutuhan Islam di Kota London

PENYEBARAN dakwah Islam di seluruh dunia merupakan satu kejayaan walaupun terdapat anasir luar untuk menggugat usaha murni tersebut, selain wujud tanggapan negatif yang dilakukan oleh orientalis terhadap agama tersebut.

Sebenarnya kejayaan itu bergantung kepada usaha dan kegigihan para pendakwah dalam mencari peluang dan jalan bagi menyebarkan kebenaran bahawa agama Islam itu sesuai dianuti oleh semua bangsa, sama ada kaya atau miskin kerana semuanya berhak mendapat cahaya Ilahi.

Dalam sirah Nabi SAW, tindakan yang pertama dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika tiba di Madinah pada peristiwa Hijrah adalah membuka masjid yang dinamakan sebagai Masjid Quba. Atas dasar perpaduan umat Islam, pembinaan rumah Allah itu turut bertujuan untuk menjadi pusat setempat aktiviti masyarakat Islam, termasuk urusan negara, ekonomi, dakwah dan sebagainya.

Tindakan seumpama itu diteruskan oleh generasi selepas wafatnya Rasullullah dengan kewujudan masjid di seluruh negara walaupun runtuhnya legasi khalifah Uthmaniah pada awal 1940-an, kewujudan masjid di negara bukan Islam adalah amat membanggakan.

Sehubungan itu, pembinaan Masjid London Central atau juga dikenali sebagai Pusat Kebudayaan Islam London yang terletak di Utara London, United Kingdom ketika Perang Dunia Kedua adalah kesinambungan usaha dakwah Rasullullah khususnya di negara majoriti bukan beragama Islam.

Malah Masjid London Central dirasmikan oleh Raja England ketika itu, King George VI iaitu Bapa kepada Ratu Elizabeth II pada tahun 1944 merupakan satu pengiktirafan daripada kerajaan baginda terhadap masyarakat Islam dalam negara Union Jack tersebut.

Malah pimpinan kerajaan Perdana Menteri Britain ketika itu, Winston Churchill untuk memperuntukkan sebanyak 100,000 pound (RM491,490) bagi tujuan pengambilalihan tapak tanah untuk tujuan tersebut.

Pada mulanya Masjid London Central merupakan Pusat Kebudayaan Islam, tetapi telah diubah menjadi sebuah masjid yang direka bentuk oleh arkitek Inggeris bernama Frederick Gibberd dengan perbelanjaan yang diderma oleh Raja Arab Saudi, Raja Faisal Arab Saudi sebanyak 2 juta pound (RM9 juta).

Masjid itu akhirnya siap pada Julai 1977 dengan jumlah kos sebanyak 650,0000 pound (RM3 juta).



Designed by Sir Frederick Gibberd, the London Central Mosue presents the most magnificient dome in all moques of london. 

Step by Step List of Islamic Places and Mosques in London http://london.stepbystep.com/list-of-islamic-places-and-mosques-in-london-638/

Jawatankuasa masjid

Pengurusan masjid telah menubuhkan jawatankuasa Lembaga Amanah Masjid Masjid London Central yang telah diperbadankan pada September 1947. Pada mulanya, sebanyak tujuh wakil dari enam negara-negara Islam bertindak sebagai pemegang amanah tetapi pada 1995 telah berlaku penambahan ahli jawatankuasa dengan diwakili oleh 29 negara Islam.

Objektif utama kewujudan jawatankuasa itu adalah untuk mengawal perjalanan dan pengurusan masjid dan pusat kebudayaan tersebut selain menjaga keharmonian komuniti Islam di England.

Struktur binaan

Masjid London Central mudah dikenali kerana mempunyai sebuah kubah emas besar berukuran 423 sentimeter. Selain dibina dengan seni bina masjid, bangunan itu juga memperoleh sentuhan rekaan moden dan menyerupai bentuk bangunan lain.

Seperti dengan kebanyakan masjid di seluruh dunia, Masjid London Central adalah sebuah kompleks yang mempunyai perpustakaan dengan lebih 20,000 buku, pejabat pentadbiran, bilik persidangan, kedai buku dan dewan serta ditambah sayap baru pendidikan pada 1994.

Rekaan dewan solat utama berorientasikan Masjid Haram Mekah dengan permaidani berwarna merah, sebuah kubah besar yang dihiasi dengan mozek dan lampu candelier di tengah masjid berkenaan. Tempat ibadah itu mampu menampung seramai 1,400 jemaah pada waktu solat, tetapi boleh sehingga 4,000 bagi waktu perayaan.

Aktiviti

Selain menjadi tempat ibadah untuk menunaikan solat lima waktu dan aktiviti kemasyarakatan seperti majlis perkahwinan, majlis perayaan dan sebagainya, masjid ini turut menganjurkan kelas agama pada hujung minggu di Barat London yang dipanggil Al-Qalam Weekend School yang menyediakan sukatan asas pendidikan Islam kanak-kanak berumur lima hingga 16 tahun.

Penubuhan kelas berkenaan sejak awal 1980-an dipuji oleh masyarakat di bandar tersebut malah tindakan sama telah dilakukan oleh seluruh masjid dan pertubuhan lain di England.

Selain kelas pengajian, masjid itu turut menempatkan sebuah perpustakaan rujukan Islam yang terbesar dan tertua. Ia mengandungi pelbagai pilihan buku-buku dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab serta kemudahan Internet.

Atas inisiatif Pusat Kebudayaan Islam, satu pameran perkongsian ilmiah untuk memperkenalkan Rasulullah kepada masyarakat telah dibuat bagi menyebarkan kesedaran dan pemahaman tentang kehidupan mulia baginda Nabi Muhammad SAW.

Pameran ini yang pertama diwujudkan di England disediakan dalam bentuk gambar visual untuk memberikan pengalaman menarik kepada pengunjung. Ia juga bertujuan untuk memberi pemahaman yang besar berhubung mesej Islam, sekali gus menggalakkan persefahaman dan harmoni.

Masjid London Central dibuka kepada orang ramai setiap masa dan tempat ibadah tersebut kini telah menjadi pusat tarikan pelancong ke Utara London. Pelancong beragama Islam yang mengunjungi Kota London turut tidak melepaskan peluang untuk menziarahi masjid tersebut.




JUANI MUNIR ABU BAKAR Utusan Malaysia Online Bicara Agama 30 Oktober 2012 
Tags: masjid
Subscribe

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments