mt961013 (mt961013) wrote,
mt961013
mt961013

Ujian pengorbanan

SEBAGAI orang yang beriman meyakini bahawa setiap syariat yang diturunkan oleh Allah SWT mempunyai hikmahnya tersendiri sama ada dapat kita fikirkan ataupun tidak. Hikmah itu akan diperoleh oleh mereka yang benar-benar melaksanakannya dengan penuh keikhlasan dan penghayatan.

Demikian juga yang berlaku kepada pengsyariatan ibadah korban. Terdapat terlalu banyak hikmah dan pengajaran daripada amalan itu yang telah sama-sama kita lakukan semasa Hari Raya Aidiladha baru-baru ini.

Ini diakui sendiri oleh Allah SWT dalam firman-Nya; Supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebutkan nama Allah pada hari yang ditentukan, kerana rezeki yang Allah telah anugerahkan kepada mereka berupa binatang ternak. Maka makanlah sebahagian daripadanya dan berilah makan orang yang sengsara dan fakir. (al-Hajj: 28)

Sebagaimana kita telah maklum, Allah SWT pernah menguji Nabi Ibrahim, seorang nabi yang sangat patuh kepada perintah Allah SWT dan seorang dermawan.

Baginda bersedia menyedekahkan apa jua harta yang dimiliki. malah apabila diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan anaknya, Ismail, baginda sanggup berbuat demikian demi pengabdian diri kepada Allah SWT.

Meskipun terlalu menyayangi anaknya, namun cinta kepada Allah SWT mengatasi segala-galanya.

Setelah menerima perintah yang diwahyukan melalui mimpi itu, baginda terus melaksanakannya dengan penuh ikhlas dan pasrah kepada Allah SWT.

Lebih mengagumkan, sifat tulus dan pasrah untuk melaksanakan korban tersebut dipersetujui oleh anaknya untuk menyerahkan jasad yang sangat besar ertinya kepada Allah SWT.

Hinggakan Allah SWT mengabadikan peristiwa tersebut sebagai pengajaran kepada umat-umat dan generasi selepas baginda.

Maka pengabdian dan keikhlasan dalam melaksanakan penyembelihan tersebut dikenali dengan istilah Korban.

Pujian SWT terhadap Nabi Ibrahim kerana berjaya melepasi ujian pengorbanan yang terlalu besar itu jelas dalam firman-Nya: Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim! Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. (as-Shaaffat: 106-111)

Justeru, Rasulullah SAW amat menyeru umat baginda mengambil peluang melakukan ibadat korban. Bahkan, baginda sendiri telah melakukan ibadah korban sebagai sunnah yang wajar untuk kita ikuti.

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah, Abu Daud dan lain-lainnya menyatakan bahawa pada setiap Aidiladha, Rasulullah SAW akan menyembelih dua ekor kambing yang gemuk, bertanduk dan berbulu putih bersih.

Baginda mengimami sembahyang dan berkhutbah. Sesudah itu baginda memegang kambing berkenaan dan bersedia untuk menyembelih, lalu berdoa: "Ya Allah, terimalah ini daripada Muhammad dan ahli keluarga Muhammad."

Kemudian baginda menyembelihnya. Sesudah itu baginda membaringkan kambing yang lagi satu dan berdoa: "Ya Allah, terimalah ini daripada Muhammad dan umatku."

Sebahagian dagingnya dimakan oleh baginda dan keluarga dan sebahagian yang lain dibahagikan kepada fakir miskin.

Dalam perlaksanaannya, amalan korban dapat mendorong wujudnya erti kehidupan bagi manusia, sebagai individu yang patuh kepada Allah SWT, mengamalkan satu tanggungjawab sosial terhadap fakir miskin. Aspek kemanusiaan pada ibadah korban begitu jelas dinyatakan.

Amalan tersebut akan hilang nilainya di sisi Allah SWT sekiranya tidak dilaksanakan atas dasar iman dan takwa.

Lakukannya dengan rasa reda dan ikhlas bukan untuk mencari populariti, pujian, disanjung dan diagung-agungkan oleh orang lain, kerana yang akan sampai kepada Allah SWT bukanlah darah dan dagingnya, tetapi ketakwaan.

Firman Allah SWT: Daging atau darah binatang korban atau hadiah itu tidak akan sekali-kali sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas, yang berdasarkan takwa daripada kamu. (al-Haj: 37)



WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN adalah daripada Jabatan Pematuhan Syariah, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Utusan Malaysia Online Bicara Agama 31/10/2012 
Tags: aidiladha, haji, korban
Subscribe

Recent Posts from This Journal

  • Post a new comment

    Error

    Anonymous comments are disabled in this journal

    default userpic

    Your IP address will be recorded 

  • 0 comments