January 24th, 2012

Mengenali Wali Songo

ADA sembilan ulama yang sangat berjasa dalam penyebaran Islam di Jawa. Mereka dikenal sebagai Wali Songo (Sembilan Wali/Wali Sembilan). Wali Songo mengembangkan agama Islam dari abad ke-14 hingga abad ke-16, menjelang dan setelah runtuhnya kerajaan Majapahit.

Dalam Babad Tanah Jawi dikatakan semasa berdakwah, para wali itu dianggap sebagai ketua kumpulan pendakwah untuk menyebarkan Islam di daerah tertentu. Selain dikenal sebagai ulama, mereka juga berpengaruh besar dalam hal ehwal pemerintahan.

Oleh sebab itu mereka digelar Sunan (susuhan atau junjungan) iaitu gelaran yang biasa digunakan untuk raja di Jawa. Bukti kebesaran Wali Songo dapat dilihat daripada peninggalan mereka.

Wali Songo menyampaikan dakwah Islam melalui cerita wayang atau kesenian lain sehingga penduduk setempat berasa akrab dan tidak asing dengan ajaran baru yang disampaikan.

Pendekatan budaya

Ketika menyebarkan Islam, Wali Songo menggunakan pelbagai bentuk kesenian tradisional masyarakat setempat dengan menyisipkan nilai Islam dalam kesenian tersebut.

Usaha itu membuahkan hasil, bukan sahaja mengembangkan agama Islam tetapi juga memperkayakan budaya Jawa.

Masyarakat Jawa sangat menggemari kesenian tradisional mereka seperti wayang kulit. Oleh sebab itu, Wali Songo menggunakan kesenian tersebut sebagai saluran dakwah.

Babad Tanah Jawi

Buku ini memuatkan cerita tentang kebudayaan Jawa yang merupakan campuran antara sejarah, mitos dan kepercayaan. Di dalamnya terdapat kisah Wali Songo.

Dalam babad itu diceritakan bahawa sekumpulan Wali seperti Sunan Ampel, Sunan Giri, Sunan Bonang, Sunan Kalijaga, Sunan Gunung Jati dan Sunan Kudus sering mengadakan pertemuan di Demak.

Juga dijelaskan peranan masing-masing dalam menyebarkan agama Islam di Jawa. Mereka berdakwah di daerah yang penduduknya belum memeluk Islam.

Raden Fatah

Dalam menyebarkan Islam, Wali Songo tidak hanya akrab dengan masyarakat umum tetapi juga dengan pemerintah. Sultan Ampel memainkan peranan semasa merancang kerajaan Islam pertama di Jawa, iaitu kesultanan Demak.

Para wali melantik Raden Fatah (putera Kertabumi Brawijaya ke-5, raja terakhir Majapahit sebagai sultan pertama Kesultanan Demak). Raden Fatah mendapat pendidikan Islam daripada Sunan Bonang. Sementara dalam menjalankan pemerintahannya, Raden Fatah meminta nasihat Sunan Kalijaga.

Di Daerah Cirebon, Sunan Gunung Jati sangat berjasa dalam mendirikan Kesultanan Cirebon dan Kesultanan Banten. Masjid Demak, masjid tertua di Jawa, dibina oleh Wali Songo dan Raden Fatah, pemerintah Kesultanan Demak pada masa itu.

Jawa

Wali Songo juga memainkan peranan utama untuk menyebarkan Islam di Jawa, terutama di sepanjang pesisir utara Jawa. Mulai dari Gersik di Jawa Timur hingga Cirebon dan Banten di Jawa Barat. Meskipun demikian, wilayah pergunungan juga turut dijelajahi oleh wali itu.

Hal ini terbukti daripada apa yang dilakukan oleh Sunan Muria. Beliau dikenal sebagai wali yang selalu berdakwah ke pelosok desa dan wilayah pergunungan di sekitar Gunung Muria, Jawa Tengah. Makamnya pun terletak di daerah pergunungan tersebut.

Sunan Ampel

Sunan Ampel dikenali sebagai wali yang tidak bersetuju dengan adat istiadat masyarakat Jawa pada masa itu seperti kebiasaan mengadakan jamuan dan kenduri doa selamat.

Namun wali lain berpendapat hal itu tidak dapat dihapuskan dengan segera. Bahkan mereka mengusulkan agar adat istiadat seperti itu diberikan warna Islam.

Akhirnya Sunan Ampel menyetujui usul itu, walaupun tetap bimbang bahawa ia akan berkembang menjadi bidaah.

Ampel Denta

Sunan Ampel memulakan dakwahnya dari sebuah pondok pengajian yang dibina di Ampel Denta (berdekatan Surabaya). Oleh sebab itu, beliau dikenal sebagai pembina pondok pengajian pertama di Jawa Timur. Sunan Giri, Raden Fatah, Sunan Bonang dan Sunan Drajat ialah murid Sunan Ampel.

Di pondok pengajiannya, Sunan Ampel menerima pemuda yang datang dari pelbagai tempat dari seluruh Nusantara untuk mempelajari agama Islam dan menjadi muridnya.

Sunan Bonang

Sunan Bonang menyebarkan agama Islam dengan menyesuaikan diri dengan corak kebudayaan masyarakat Jawa yang menggemari wayang dan muzik gamelan.

Untuk itu, beliau mencipta lagu gamelan yang mengandungi nilai keislaman. Setiap bait lagu diselangi dengan ucapan dua kalimah syahadat (syahadatain) sehingga muzik gamelan yang mengiringinya kini dikenal sebagai sekaten.

Tuban

Sunan Bonang pernah mempelajari Islam di Pasai, Aceh. Sekembalinya dari Pasai, beliau memusatkan kegiatan dakwahnya di Tuban dengan mendirikan pondok pengajian agama.

Para pelajarnya datang dari segenap penjuru Nusantara. Sunan Bonang yang dilahirkan di Ampel Denta, Surabaya, meninggal dunia di Tuban pada 1525.


Sumber: Utusan Malaysia online Bicara Agama 24 Januari 2012

Utus nabi sebelum azab

ALLAH SWT memberitahu bahawa Dia pernah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya dan memerintahkan supaya baginda memberi peringatan kepada mereka tentang azab Allah SWT yang akan menimpa.

Nabi Nuh berkata kepada kaumnya: "Wahai kaumku! Aku ditugaskan memberi peringatan kepada kamu dan kamu perlu menyembah Allah SWT dan mentaati-Nya. Jika kamu lakukan yang demikian, pasti Allah SWT akan mengampunkan segala dosa, memanjangkan umur dan melepaskan dirimu daripada seksaan-Nya. Apabila datang seksaan Allah SWT itu, ia tidak dapat ditolak dan dihindarkan lagi kerana Dia Yang Maha Agung lagi Maha Berkuasa terhadap segala sesuatu dan Maha Mulia."

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya (dengan memerintahkan): Berilah kaummu peringatan sebelum datang kepadanya azab yang pedih.(Nuh: 1)

Mengikut riwayat Qatadah daripada Anas, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Awal nabi yang diutuskan ialah Nuh. Dinamakan dengan Nuh seperti kata Ibrahim bin Yazid kerana beliau banyak menangisi terhadap dirinya di dunia.

Ulama khilaf bila dia dibangkitkan atau diutuskan kepada dua pendapat:

Ibn Abbas berkata: Ketika berusia 40 tahun.

Abdullah bin Syaddad berkata: Ketika berusia 350 tahun

Berkenaan dengan azab yang pedih ada dua pendapat:

Azab neraka pada hari akhirat seperti pendapat Ibn Abbas.

Azab dunia di mana diturunkan taufan seperti kata al-Kalbi.

Syed Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: "Keadaan kaumnya yang terus enggan, menentang, angkuh, degil dan sesat seperti yang ternyata dalam laporan akhir yang dikemukakan oleh Nabi Nuh kepada Tuhannya telah membuat matlamat memberi peringatan dan amaran yang paling sesuai untuk dijadikan risalah dan langkah pembukaan dakwah kepada kaumnya."

Ibn Kathir berkata: "Allah SWT berfirman dengan jelas kepada Nabi Nuh bahawa baginda diutus kepada kaumnya untuk memberi peringatan kepada mereka akan seksaan Allah SWT. Jika mereka mahu bertaubat, maka tiada seksaan ke atas mereka."

Firman Allah SWT: Nuh berkata: Hai kaumku, sesungguhnya aku adalah pemberi peringatan yang menjelaskan kepada kamu. (Nuh: 2)

Ibn Kathir berkata: "Iaitu yang menjelaskan peringatan."

Berdasarkan kenyataan ini jelas menunjukkan antara tugas para nabi dan rasul ialah menyampaikan atau tabligh akan risalah Allah SWT kepada umatnya.

Mereka hanya memberi peringatan semata-mata agar umat masing-masing kembali mengabdikan kepada Allah dan menjauhi segala larangannya.

Hamka berkata: "Maka beliau sampaikanlah kepada kaumnya bahawa dia hendak menyampaikan peringatan dengan jelas, terus-terang tanpa berselindung dan sembunyi. Peringatan tersebut disampaikan dengan sejelasnya kerana penyakit lama harus diubati demi kebaikannya."

Firman Allah SWT: (yaitu) sembahlah olehmu Allah, bertakwalah kepada-Nya dan taatlah kepadaku. (Nuh: 3)

Syed Qutub berkata: "Beribadatlah kepada Allah SWT tanpa sebarang sekutu dan jadikanlah perasaan takwa kepada Allah menguasai perasaan dan tindak tanduk kamu dan buktikanlah ketaatan kepada rasul dengan menjadikan segala pengajarannya sebagai sumber peraturan hidup dan dasar perilaku."

Inilah garis-garis lebar yang menjadi rencah keseluruhan agama samawi yang diturunkan Allah SWT.

Kemudian, agama itu berbeza dari sudut perincian dan cabangnya, dari sudut persepsi dan kebesarannya, kesyumulannya serta sejauh mana ia merangkumi aspek-aspek keseluruhan kewujudan dan terangkum kewujudan insani.


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/01/2012

Islam tak halang rai Tahun Baru Cina

Sambutan meriah termasuk tarian singa di rumah terbuka tahun baru cina yang dianjurkan oleh Hidayah Centre dan Pertubuhan Cina Muslim Malaysia yang diadakan pada tahun lalu.


BELIAU masih ingat ketika itu dadanya berdebar kencang. Sambutan Tahun Baru Cina hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Tetapi beliau seolah-olah tidak mempunyai banyak pilihan. Sama ada untuk menyambutnya atau tidak.

Andai beliau seorang penganut Buddha sudah sewajibnya beliau pulang ke kampung di Bandar Maharani, Muar, Johor untuk menyambut Tahun Baru Cina (TBC).

Tetapi masalahnya kini, beliau baharu memeluk Islam, perlukah beliau pulang menyambut perayaan itu?

Lebih-lebih lagi mengenangkan keluarga terutama ibu bapanya masih menyimpan perasaan marah dan tidak puas hati atas tindakannya memeluk Islam itu tanpa pengetahuan mereka, iaitu pada Ogos dua tahun lalu.

Begitulah dilema yang dihadapi oleh anak muda ini, Yeo Wee Kiat, 25, pada tahun pertama atau buat pertama kali hendak menyambut TBC selepas memeluk Islam pada tahun 2011.

“Ibu bapa mana terutama bapa saya yang dapat menerima anak lelaki sulung mereka secara tiba-tiba memeluk Islam. Teruk juga menerima penangan daripada bapa saya.

“Tidak sahaja beliau ‘berceramah’ marah dan kemuncaknya saya dihalau keluar rumah, seolah-olah saya bukan anaknya lagi.

“Mujurlah ibu berjaya memujuk bapa dan meminta supaya saya jangan dibuang dalam hidup mereka,” katanya.

Memeluk Islam tanpa desakan atau pengaruh sesiapa melainkan atas kesedaran dan minat terhadap agama tersebut, Wee Kiat sedar risiko apabila beliau selama-lamanya meninggalkan Buddha, agama yang dipertahankan oleh keluarga dan nenek moyang.

Wee Kiat berkata, dengan keyakinan tinggi terhadap Allah maka segala risiko yang bakal terjadi terutamanya kemarahan ibu bapa akan dihadapi dengan penuh kesabaran.

“Sebabnya, semua itu saya anggap sebagai satu ujian sejauh mana keimanan dan keikhlasan saya memeluk Islam.

“Lantaran apabila bapa menuduh saya sengaja untuk menukar identiti sebagai bangsa Cina semata-mata kononnya untuk ‘masuk’ Melayu dengan memeluk Islam, lalu saya buktikan bahawa saya tetap Cina dengan mengekalkan nama Yeo Wee Kiat,” jelasnya.

Beliau tidak mengubah nama atau menambahkan sebarang nama Melayu atau Islam lain sebagai identiti baru selepas berstatus Muslim.

“Sebagaimana tokoh Cina Muslim yang menjadi idola saya iaitu Ann Wan Seng yang tetap dengan nama asalnya.

“Dengan nama Cina itu bermakna kami tetap berketurunan Cina, namun tetap kental Muslimnya, insya-Allah,” katanya.

Seperkara yang Wee Kiat perlu buktikan terutama kepada ibu bapanya bahawa Islam bukan penghalangnya menyambut tahun baru.

“Cuma saya bimbang mengenai penerimaan keluarga dan kemungkinan saya dihalang menyambutnya. Walhal Islam sendiri tidak melarang selagi saya menjaga batas-batasnya,” jelas beliau.

Lalu Wee Kiat memberanikan diri pulang ke kampung untuk menyambut TBC tahun lalu.

Alhamdulillah, sambutan di luar dugaan. Beliau disambut baik oleh seluruh keluarga terutama ibu bapanya dan seolah-olah mereka menantikan kepulangannya untuk sama-sama menyambut tahun baru.

Lalu saat yang ditunggu-tunggu iaitu acara makan besar pada malam TBC tetap berlangsung dengan meriah walaupun Wee Kiat sendiri tidak dapat menjamah masakan ibunya.

“Saya tidak mahu menyusahkan ibu saya semata-mata menyediakan juadah yang halal. Lalu saya mendapat idea, kenapa tidak saya membeli ayam KFC lalu kami makan bersama-sama seluruh keluarga. Saya dapat makan dan saya rasa seronok kerana dapat belanja keluarga pada hari yang cukup yang bermakna itu,” katanya yang baru tamat pengajian di Universiti Selangor (Unisel).

Sementara menunggu pekerjaan tetap, Wee Kiat kini bertugas sebagai fasilitator program Madrasatul Hayah untuk lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia di bawah anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia.

Disebabkan bertugas di situ, rakan-rakan memanggilnya Ikram Yeo.

Wee Kiat sebenarnya tidak dapat melupakan saat manis pada TBC yang lalu kerana bapanya masih sudi menghulurkan angpau kepadanya.

“Saya benar-benar terharu atas pemberian bapa yang sangat bermakna itu kerana masing-masing kini sudah dapat menerima perbezaan agama antara kami. Berbeza agama bukan penghalang untuk satu hubungan baik kami anak beranak.

“Saya amat bersyukur kepada Allah yang memakbulkan doa saya agar tetap diterima oleh keluarga terutama ibu dan bapa kerana selamanya saya tetap memerlukan mereka dalam hidup saya,” katanya.

Untuk sambutan tahun baru yang akan menjelang beberapa hari sahaja lagi, kali ini Wee Kiat akan pulang ke kampung menemui keluarga dengan lebih yakin dan penuh kegembiraan.

Bagi yang sudah lama memeluk Islam, seperti Timbalan Pengerusi Pertubuhan Cina Muslim Malaysia (Macma) Cawangan Selangor, Effenddy Teoh Gin Hoe, TBC sememangnya disambut meriah hampir setiap tahun.

Lebih-lebih lagi beliau adalah anak lelaki sulung dalam keluarga empat beradik. Ibunya yang kini berusia 83 tahun tinggal bersamanya.

Maka menjadi satu tanggungjawab kepadanya menjadi tuan rumah mengumpulkan adik-beradik dan anak-anak saudara terutama bagi acara makan besar, acara minum teh dan pemberian angpau setiap kali tibanya tahun baru.

Boleh dibayangkan kemeriahan beliau sekeluarga menyambut perayaan itu yang tentunya juga sebagai penghormatan dan kasih sayang kepada ibu yang melahir dan membesarkannya sehingga berjaya.

“Walaupun kami berbeza agama dan saya masih berusaha agar ibu mengucap dua kalimah syahadah,” katanya.

Walaupun dahulunya si ibulah yang paling keras membantah Effenddy memeluk Islam sedangkan si ayah tidak berkata apa-apa.

“Ibu bagai terkena histeria apabila tahu saya memeluk Islam. Tetapi itu adalah normal bagi setiap ibu apabila tanpa diduga si anak menukarkan agama.

“Bagi ibu, apabila saya memeluk Islam bermakna saya akan masuk Melayu dan segala-galanya saya akan mengikut cara hidup orang Melayu. Maka ibu bimbang, beliau akan kehilangan anak Cinanya ini,” jelasnya.


Oleh SITI AINIZA KAMSAR

Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 20/01/2012