April 19th, 2012

Remaja dan proses belajar

PROSES belajar adalah sesuatu yang amat penting bagi remaja. Remaja bermula daripada keadaan yang tidak tahu. Untuk menjadi tahu mereka mesti belajar.

Belajar bukan sahaja hanya tahu membaca dan menulis. Membaca dalam erti kata yang luas ialah menjadi tahu dan ketahuan itu menjadi pedoman dalam memahami diri sendiri dan orang lain.

Baik haiwan mahupun manusia semuanya mempelajari sesuatu untuk tahu sama ada ia didorong oleh naluri atau akal fikirnya.

Remaja yang tidak pergi ke sekolah, pengetahuan dan pengalaman hanya terbatas dalam lingkungan persekitarannya.

Remaja yang bersekolah tidak saja tahu menulis, membaca, berfikir dan mengira tetapi ada pengetahuan dan ilmu yang dijadikan sumber hidup mengenal dunia dengan segala kerenahnya.

Ia suatu fitrah kerana remaja perlu berfikir untuk mengetahui sesuatu. Tanpa kemahiran menulis dan membaca remaja akan menjadi buta huruf dan tanpa memahami ilmu remaja akan hilang suluh dalam berfikir.

Belajar adalah cara terbaik bagaimana pengetahuan diperoleh. Di awal umur anak-anak belajar daripada ibubapanya. Di sekolah remaja belajar dengan guru-gurunya .

Menerusi proses belajar remaja dipimpin dan dibimbing supaya menerima ilmu, kemahiran dan pengalaman dengan baik. Dari situ menjadikan remaja mampu berfikir dan dapat membezakan yang baik dengan yang buruk.

Al-Quran menceritakan banyak kisah perjuangan nabi-nabi dan kaum terdahulu yang patut dijadikan ibrah atau sumber teladan kepada remaja. Sifat kisah manusia itu berulang.

Al-Quran menjadikan manusia termasuk remaja sebagai asas pembangunan. Antara faktor pembangunan manusia ialah ilmu dan sumber contoh.

Ilmu yang baik dan bermanfaat yang dipelajari remaja memberi kebaikan kepada hidup remaja. Sumber contoh yang terdapat pada manusia menjadi pedoman ikutan supaya kebaikan dalam amalan itu berkekalan.

Kisah Nabi Lut a.s dalam al-Quran menggambarkan manusia menolak kehidupan yang fitrah. Dijadikan kehidupan berpasang-pasang sebaliknya mereka mengamalkan hubungan sejenis yang dikutuk oleh Allah.

Belajar daripada kisah

Akhirnya kaum itu hancur menerima musibah Allah. Ia melahirkan Laut Mati yang penuh dengan sejarah untuk direnung manusia. Sebuah buku, The Dead Sea Scroll amat baik untuk dibaca oleh remaja supaya ada pelajaran diperoleh daripada peristiwa itu.

Hari ini isu Lesbian, Gay, Biseksual dan Transseksual (LGBT) sedang diperkatakan masyarakat dan remaja. Para remaja Islam tidak boleh belajar daripada budaya Barat yang sedang menghalalkan LGBT. Ia adalah amalan yang paling hina dan boleh merosakkan kehidupan remaja.

Berumahtangga adalah asas yang paling baik bagi membina keluarga dan masyarakat. Tanpa keluarga dan masyarakat bermakna tanpa ummah. Masyarakat yang rosak akhlaknya akan merosakkan nilai kemanusiaan itu sendiri.

Ini tidak bermakna semua dari Barat tidak boleh dipelajari. Ada yang baik dari barat seperti ilmu sains dan teknologi boleh kita pelajari. Tetapi kebebasan hidup remaja Barat harus dihindari.

Islam tidak mengambil sikap menentang Barat kerana Barat itu Barat. Remaja Islam diminta berhati-hati dan cermat memilih yang mana satu baik atau yang mana satu, sebaliknya.



Oleh NURUL IZZAH SIDEK

Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 19/04/2012