April 28th, 2012

Sembunyi kebaikan mampu tingkat keikhlasan diri

ALLAH SWT bersifat Maha Melihat dan Maha Mendengar, sudah pastinya tiada makhluk yang boleh memberi kesan sama ada memberi mudarat atau manfaat. Sejauh mana ketaatan yang diberikan seorang hamba akan sentiasa diketahui walaupun tersembunyi di sebalik tembok yang kukuh. 

Sudah semestinya seorang hamba yang benar-benar menuntut keredaan-Nya akan cuba sedaya upaya untuk menyembunyikan ketaatan melakukan ibadat khususnya pada perkara yang bersifat sunat.Namun, perkara wajib seperti solat, zakat dan haji, hendaklah dizahirkan kepada umum kerana meninggikan syariat Allah SWT dan menyatakan kekuatan kaum Muslimin menunaikan kehendak agamanya.

Menzahirkan perkara yang wajib juga boleh memberi galakan kepada orang lain melakukan kewajipan kerana semua hamba yang beriman tidak terkecuali daripada menunaikannya sekali gus menghindarkan tohmahan orang lain terhadap kewajipan diabaikan seseorang Muslim. 

Jika dirujuk definisi kewajipan membawa maksud menzahirkan dan mengiklankan manakala sunat pula bermaksud tersembunyi serta rahsia. Amalan yang dizahirkan akan melahirkan kegembiraan pelakunya kerana dengan taufik serta inayah Allah SWT kita dapat menunaikan kewajipan itu. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Katakanlah (Muhammad) dengan rahmat dan kurniaan Allah hendaklah mereka bergembira. Itu lebih baik daripada apa yang mereka kumpulkan.” (Surah Yunus, ayat 58) 

Allah SWT menghargai mereka yang melakukan kebaikan walau dengan apa cara sekalipun. Firman-Nya yang bermaksud: “Jika kamu menampakkan sedekahmu adalah baik, tetapi jika kamu menyembunyikannya adalah lebih baik bagimu dan dosamu akan terhapus kerana Allah Maha Mengetahui segala-galanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 271)


Setelah diturunkan ayat ini, Saidina Ali berkata: “Aku membahagikan sedekah pada empat bahagian, satu dirham pada siang hari, satu dirham lagi pada malamnya dan dirham ketiga aku sedekahkan secara rahsia dan dirham terakhir aku sedekahkan secara terang-terangan sebagai menyahut seruan ayat Allah SWT.” 

Hasan Al-Basri menyebut, kebanyakan orang bersetuju bahawa merahsiakan sesuatu kebaikan itu adalah sebaik-baik urusan, tetapi berterang-terangan juga ada kebaikannya. 

Hadis diriwayatkan Abu Hurairah menyebut, Baginda SAW meletakkan orang yang bersedekah secara rahsia akan mendapat perlindungan di bawah perlindungan Allah SWT pada hari kiamat. Menunjukkan bahawa bersedekah secara rahsia lebih selamat dan mendapat jaminan Allah SWT. 

Orang yang menyembunyikan sedekahnya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dilakukan oleh tangan kanannya, inilah maqam yang terpuji dalam melakukan ibadat sunat. 

Jika dibimbangi keikhlasan akan luntur disebabkan kepujian yang akan diterima atau bagi menjaga keaiban orang yang menerima pemberian, maka hendaklah dirahsiakan sedekah itu. 

Bagi nabi, amalan sunat menjadi kewajipan kerana mereka adalah hamba yang dipilih oleh Allah SWT untuk dijadikan ikutan. 

Daripada Aishah, Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga perkara yang menjadi kewajipan pada diriku tetapi hanya sunat buat umatku, solat witir, bersiwak dan solat malam.” 

Al-Baghawi menyatakan solat malam yang dimaksudkan Baginda SAW ialah solat tahajud. Ia antara amalan sunat yang terkesan kerana dilakukan ketika rahmat Allah SWT turun ke dunia pada sepertiga malam seperti yang diberitakan Baginda SAW. 

Berkata Saidina Umar: “Sesiapa yang bersolat malam dalam keadaan sempurna, maka Allah SWT akan memuliakan mereka dengan sembilan perkara dengan lima daripadanya akan dikecapi di dunia dan bakinya di akhirat. 

“Pertamanya ialah terpelihara daripada sebarang keburukan, dizahirkan kesan ketaatan pada wajahnya, dikasihi oleh masyarakat, lidahnya akan berkata benar dan bisa menjadi ilmuwan yang bijaksana. 

Manakala empat yang diperoleh di akhirat dengan dibangkitkan dari kubur dalam keadaan wajah berseri-seri, dipermudahkan pengurusan hitungan amalannya, bergerak pantas ketika di titian Siratul Mustaqim dan mendapat catatan amalan di sebelah kanan.” (Raudatul Ulama) 

Doa orang beriman sering diangkat ke hadrat Allah SWT pada waktu malam khususnya jika ia dipanjatkan secara rahsia. Imam Ahmad bin Hambal (pengasas Mazhab Hambali) dimakbulkan doanya oleh Allah SWT menjadikan sepertiga malam untuk berdoa bagi merahsiakan permintaannya. 


Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

Oleh Ustaz Zaman bhagama@bharian.com.my 2012/04/28


Sumber: Berita Harian Online Agama 2012/04/28

Tangani tekanan berlandaskan kualiti syariah, manfaat

Islam mengajar umat selesai masalah dengan baik selagi tidak bercanggah hukum syarak

TEKANAN boleh datang dan pergi, ibarat angin yang bertiup, ibarat roda yang berpusing. Walaupun, tekanan boleh berlaku bila-bila masa, di mana saja dan mudah pula menjejaskan emosi, ia perlu difahami dari perspektif yang betul supaya kita tidak menyalahkan takdir dan mengambil tindakan silap.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakinya." (Surah Yunus, ayat 107)

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.” (Surah al-Anbiya, ayat 35) 

Sebagai ujian daripada Allah, tekanan mampu memberikan sekurang-kurangnya tiga nikmat kebaikan iaitu kebaikan sebagai penebus dosa, pengukur kesabaran dan batu loncatan untuk mencapai kejayaan lebih tinggi.

Ketiga-tiga nikmat ini jika dihayati akan menyuburkan sifat sabar, reda dan syukur yang menjadi baja menuburkan daya tahan dalaman diri. Dengan itu, kita perlu sentiasa berfikiran positif dan menghadapinya dengan penuh kekuatan serta kebijaksanaan. 

Tekanan di pejabat antaranya berpunca daripada bebanan kerja yang banyak, waktu tidak menentu, hubungan kurang baik dengan majikan atau staf, tuntutan dan kerenah pihak pelanggan serta masalah infrastruktur di pejabat.

Malah, kajian menunjukkan semakin tinggi jawatan seseorang pegawai, semakin tinggi juga kadar tekanannya berbanding mereka yang dalam kumpulan sokongan. Ada kala, masalah di tempat kerja dibawa ke rumah atau masalah di rumah dibawa ke tempat kerja menyebabkan tahap tekanan meningkatkan dan ‘menjangkiti’ orang lain. 

Senario ini amat membimbangkan kerana ia boleh menjejaskan diri individu, hubungan keluarga, masyarakat dan yang paling utama ibadat kepada Allah SWT. Dalam menangani tekanan secara sihat, pelbagai daya tindak boleh dilakukan berasaskan amalan Rasulullah dan orang soleh.

Ada yang mengurangkan tekanan dengan cara beriadah, bersiar-siar di hujung minggu, balik kampung, mendapatkan tidur yang cukup, menonton televisyen, memasak masakan kegemaran, menghias rumah, berkebun dan menghadiri aktiviti sosial. 

Semua cara ini sebenarnya boleh dilakukan untuk mengurangkan tekanan asalkan kita tidak lupa menjaga dua standard kualitinya iaitu syariah dan manfaat.

Mematuhi kualiti syariah bererti apa saja cara yang kita pilih untuk mengurangi atau menangani tekanan hendaklah tidak bercanggah dengan hukum syarak seperti menghilangkan tekanan dengan amalan pemujaan kepada kuasa ghaib atau sihir.

Tujuannya mententeramkan jiwa, membalas dendam terhadap individu yang menyakiti dan menjatuhkan orang lain. Perbuatan menghilangkan tekanan dengan cara berunsur syirik bukan saja menyalahi syarak malah terjerumus dalam dosa besar. 

Kesan tekanan sebeginilah yang perlu kita bimbang merebak dalam kehidupan masyarakat. Allah SWT mengajar Lukman al-Hakim untuk berkata kepada anaknya: “Sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar suatu kezaliman yang besar.” (Surah Luqman, ayat 13)

Malah Allah SWT memberikan peringatan jelas mengenai usaha manusia dan supaya meletakkan keyakinan jitu terhadap kuasa Allah SWT yang Maha Berkuasa memberikan kebaikan dan kemudaratan kepada hamba-Nya. 

Firman Allah yang bermaksud: “Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tidak ada yang dapat menghilangkannya kecuali Dia. Dan jika Allah menghendaki kebaikan bagi kamu, maka tidak ada yang dapat menolak kurnia-Nya. Dia memberikan kebaikan itu kepada siapa yang dikehendakinya.” (Surah Yunus, ayat 107) 

Ada juga yang menghilangkan tekanan dengan melakukan perbuatan menyalahi syariat seperti berjudi, mencuri, menipu atau menjalankan kerja tidak halal seperti pelacuran, perniagaan dan pelaburan mengandungi unsur riba.

Tujuannya untuk menyelesaikan masalah kewangan dan mendapat keuntungan yang banyak dengan mudah. Malah, cara lain yang masih berlaku adalah cubaan mencederakan dan membunuh diri akibat kekecewaan.

Mematuhi kualiti manfaat bererti apa juga cara yang dilakukan hendaklah tidak membawa mudarat seperti mengambil dan mengedar dadah, pil khayal, minuman keras dan berfoya-foya. 

Firman Allah yang bermaksud: “(Mereka bertanya kepadamu Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (Surah al-Baqarah, ayat 219) 

Begitu juga jika caranya baik tetapi dilakukan dengan berlebih-lebihan sehingga membawa mudarat, ia bertentangan dengan standard piawaian bertindak Islam. Seperti menghilangkan tekanan hingga melalaikan tanggungjawab sesama manusia.

Justeru, perhatikan kedua-dua piawaian kualiti bertindak ini dan berwaspadalah dalam setiap cara kita menangani tekanan supaya ia dapat ditukar menjadi suatu kekuatan dan kehidupan kita mendapat kurniaan serta rahmat Allah.

Penulis ialah pensyarah di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Oleh Sharifah Haayati bhagama@bharian.com.my 2012/04/28



Sumber: Berita Harian Online Agama 2012.04/28

Kecelaruan gender dilaknat Allah

BUNGA bukan sekuntum, kumbang bukan seekor’ merupakan pepatah Melayu yang biasa bagi memujuk hati yang ditinggalkan kekasih. Tetapi fenomena hari ini pula dikatakan, bunga banyak yang layu sebelum kembang dan kumbang pula banyak yang patah sayapnya sebelum terbang.

Ini apabila gejala sosial melanda kalangan muda-mudi hari ini, seperti lelaki lembut dan perempuan ganas. Permasalahan yang begitu hangat diperkatakan dari dahulu hingga sekarang mengenai kecelaruan gender di antara kaum lelaki dan perempuan.

Mereka tidak dapat menerima hakikat kejadian diri dengan alasan terperangkap dalam jasad yang berlainan dan untuk semua itu maka takdir tuhan dipersalahkan.

Persoalan inilah yang menjadi satu topik perdebatan yang hangat dibicarakan antara barisan pendebat yang terdiri daripada peserta program televisyen popular, Astro Oasis, iaitu Ustazah Pilihan dan Imam Muda sebagaimana yang dirakamkan baru-baru ini.

Rakaman berlangsung di Dewan Gemilang, Universiti Kuala Lumpur, Jalan Pusu, Gombak Selangor untuk rancangan Liga Ilmu, sebuah program debat agama yang akan bersiaran di Astro Oasis yang dihoskan oleh pendakwah dan penceramah terkenal, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

 Program Liga Ilmu yang dihoskan oleh Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah pada rakamannya baru-baru ini
telah membahaskan topik Lelaki Lembut, Perempuan Ganas. 

Ustazah Pilihan terdiri daripada Nurul Hidayah Kamaruddin dan Siti Nor Hafidza Razali. Manakala Imam Muda diwakili Abdul Fattah Riddzwan dan Nazrul Izwan Zolkiflee.

Kesemua mereka saling bertarung mempertahankan hujah masing-masing dan mematahkan hujah-hujah pihak lawan demi menegakkan dan menyebarkan kebenaran.

Walaupun dikatakan masyarakat kita tidak dapat menerima kehadiran golongan kecelaruan gender ini, jumlah mereka tetap semakin bertambah.

Ini kerana bagi golongan ini sendiri mendakwa kononnya kecelaruan yang menimpa mereka ini merupakan penyakit yang sukar untuk diubati dan masyarakat diminta menerima mereka tanpa menghalang apa juga perlakuan yang mereka tunjukkan.

Apabila dikatakan terperangkap dalam jasad wanita misalnya, mereka akan memakai segala kelengkapan dan aksesori seperti seorang wanita dan masyarakat tidak boleh menahan ini daripada berlaku dan berleluasa kerana sudah menjadi hak mereka.

Sedangkan sebagaimana Rasulullah SAW ada menyebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas: Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki. (riwayat al-Bukhari)

Hadis ini tidak sahaja bermaksud soal pakaian tetapi turut menjurus aspek gaya rambut, perhiasan, penampilan, cara bercakap, gaya jalan dan sebagainya.

Siti Nor Hafidza misalnya memulakan hujah bagaimana tindakan seorang tuan yang memelihara seekor itik bernama Ploppo tetapi cuba diubah untuk menjadi seperti seekor anjing. Serba serbi Ploppo cuba diajar mengikut perlakuan anjing seperti makan di dalam mangkuk anjing, menggoyang-goyangkan ekor, melompat, menggigit barang dan sebagainya.

Walaupun begitu itik tetap itik, yang tidak akan boleh sama sekali menjadi haiwan lain walaupun mungkin sesetengah daripada perlakuan anjing itu dapat ditiru.

Ini apabila akhirnya tuan Ploppo mengalah apabila sang itik gagal dan terus gagal, terutama dalam menjayakan tugasan membawa suratkhabar menggunakan mulut untuk diserahkan kepada tuannya. Satu tugas yang mudah dilakukan oleh seekor anjing tetapi bukan kepada Ploppo.

“Ini menunjukkan bahawa apa pun asal kejadian kita, kita tidak akan boleh mengubahnya kerana ia sangat berlawanan dengan fitrah kejadian bahawa lelaki ingin menjadi perempuan dan begitu juga sebaliknya tidak akan pernah boleh dilakukan.

“Bukan sahaja membabitkan soal fizikal tetapi juga membabitkan soal perasaan atau emosi, sebagaimana yang diatur dan diciptakan oleh Allah, ia tidak akan pernah berubah kerana sebarang perubahan hanya akan membawakan kemudaratan kepada tuan punya badan itu sendiri," terangnya.

Siti Nor Hafidza turut mengemukakan fakta saintifik, iaitu istilah miosis, suatu keadaan kecelaruan gender dan lain-lain masalah gender yang berpunca daripada pencemaran persekitaran seperti pengambilan ubat yang salah, kesan daripada radiasi dan lain-lain pencemaran kimia dan sebagainya.

Ini menyebabkan kehadiran mereka (celaru gender) ini perlu diterima dalam masyarakat.

Namun kata-kata Siti Nor Hafidza ini dipatahkan oleh Abdul Fattah yang tidak mahu kenyataan itu disalah tafsir, kononnya golongan yang sering dipanggil sebagai pondan sebenarnya boleh diterima sepenuhnya dalam masyarakat.

“Hukum dan penemuan sains itu tidak dinafikan memang ada kebenarannya tetapi kita perlu letak ia di bawah hukum Allah. Hukum Allah SWT tetap yang teratas. Ini hanya satu faktor kecil yang bukan menjadi satu tiket besar untuk seseorang itu berubah secara total, sehingga mengubah kejadian, menukar alat kelamin dan sebagainya.

“Ini hanya faktor kecil yang boleh dipulihkan terutama melalui kaedah perubatan moden itu sendiri yang turut mengutamakan kaedah rawatan secara Islam terutama ibadah sebagai penawar yang paling berkesan untuk mereka kembali pulih," ujar Abdul Fattah.

Pintu taubat sentiasa terbuka

SEGELINTIR mungkin mendakwa bahawa Islam lebih suka menghukum, tidak memahami soal perasaan dan jiwa yang sukar diubah itu. Namun Abdul Fattah berkata, Islam bukan agama penghukum malah sebenarnya Islam adalah agama membawa berita gembira.

"Di sebalik tanzir (hukuman), haram mengubah kejadian, adanya busra atau berita gembira, iaitu Allah sebenarnya membuka pintu taubat itu lebih luas dan banyak berbanding pintu hukum.

"Seseorang yang bertaubat dengan sebenar-benar taubat tidak perlu bimbang mengenai soal hukuman malah yang Allah janjikan syurga bagi mereka yang bertaubat dan kembali kepada hakikat kejadian.

"Jangan sama sekali kita putus daripada rahmat Allah dan semua ini hanya merupakan satu ujian, untuk menguji kita dan berjaya melepasinya merupakan satu kemenangan," katanya.

Namun rata-rata akhirnya bersetuju bahawa tidak adanya golongan yang terperangkap dalam jasad jantina lain kecuali ia hanya pengaruh negatif dari Barat yang memperjuangkan aktiviti seks antara lelaki dengan lelaki, iaitu gay dan perempuan dan perempuan iaitu lesbian.

Justeru, jika masing-masing kembali kepada akidah dan tauhid yang mantap pastinya tidak timbul soal kecelaruan gender.

Di samping, bimbingan dan didikan yang teguh daripada ibu bapa yang mencorakkan hala tuju kehidupan seorang anak ke jalan yang diredai Allah SWT.



Oleh SITI AINIZA KAMSARI Gambar ZAKARIA IDRIS

Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 24/04/2012

Hassan al-Basri berani beri peringatan

HASSAN al-Basri atau nama lengkapnya Abbu Said al-Hassan ibnu Abi al-Hassan Yassar al-Basri, dilahirkan pada tahun 21 Hijrah/642 Masihi di Madinah. Ayahnya bernama Yassar, Maula Zaid bin Tsabit, iaitu seorang jurutulis wahyu, manakala ibunya bernama Khairah Maulat Ummul Mukminin Ummu Salmah.

Beliau memiliki sifat-sifat terpuji dan ilmu pengetahuan yang luas dengan memperdalamkan ilmu agama Islam kepada ulama-ulama terkemuka.

Pada masa yang sama juga beliau telah mengadakan pertemuan dengan 70 orang perwira Perang Badar dan 300 orang sahabat Rasulullah SAW.

Pernah suatu ketika beliau pernah ditanya oleh Ali bin Abi Talib yang datang kepada beliau ketika pengajiannya.

Ali bertanya: "Hassan, aku ingin bertanya kepadamu mengenai dua perkara. Apabila engkau berjaya menjawab kedua-dua perkara itu engkau akan dapat meneruskan pengajianmu, dan jika sebaliknya, akan aku keluarkan kamu daripada pengajian ini."

Hassan mendiamkan diri sejenak, kemudian berkata: "Tanyalah wahai Amirul Mukminin."

Lalu Ali melanjutkan perbicaraan: "Ceritakanlah kepadaku tentang kebaikan agama dan apa yang dapat merosak agama."

Hassan menjawab: "Kebaikan agama adalah hidup yang warak dan yang merosak agama adalah hidup tamak."

Ali tersenyum dan memujinya serta berkata: "Engkau benar dan sekarang teruskanlah pengajianmu itu."

Hassan juga sering mendapat pujian terutama daripada Anas bin Malik, Abu Qatadah dan lain-lain yang sezaman dengannya.

Menurut Abu Naim al-Asfahani, Hassan adalah orang yang selalu takut dan berduka sepanjang hari, hidup zuhud dan warak dan tidak tidur dalam keadaan senang kerana mengingati Allah SWT, dan tidak meminta-minta.

Dalam perkara ini beliau pernah berkata: "Bagaimana kita tidak takut jika seluruh kehidupan ini akan dipertanggungjawabkan, sedangkan kehidupan itu sendiri amat pendek dan dibatasi oleh maut yang akan menjemput."

Manakala bagi orang yang beriman pula, menurutnya kehidupan dunia bukan untuk bersenang-lenang, tetapi persiapan dan peningkatan amal soleh dengan harapan akan diberi keampunan serta rahmat-Nya.

Beliau berpendapat bahawa manusia perlu prihatin di dunia serta memperteguhkan amal soleh, memperkuatkan zuhud dan menjauhi daripada kemurkaan Allah SWT.

Semuanya itu akan tertanam di benak sanubari di dalam diri manusia jika dapat memiliki iman dan ilmu. Iman dan ilmu merupakan suatu kemestian sebagai dasar bagi orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al-Faatir ayat 28.

Hassan al-Basri terkenal dengan keberanian memberi ingatan kepada penguasa termasuk Umar Hubairat yang diangkat menjadi Gabenor Iraq (722 M/103H), malah telah berjanji untuk senantiasa melaksanakan perintah Khalifah Yazid dengan memberi nasihat yang berbunyi: "Tanamkanlah perasaan gentar kepada Allah SWT, bukan kepada Yazid, sedang Yazid tidak akan mampu memisahkan anda daripada Allah SWT. Bila-bila masa sahaja Allah akan mengirim malaikat-Nya untuk meragut anda daripada pangkat, dan menarik anda dari istana yang luas untuk dibawa ke ruang kubur yang sempit."

Ketika menjelang pengakhiran hidupnya, beliau telah didatangi beberapa sahabat yang berkata: "Wahai Abu Said, bekalilah kamu dengan beberapa kalimat yang bakal memberikan manfaat kepada kami."

Maka Hassan pun berkata: "Aku membeli kalian dengan tiga kalimat iaitu apa pun urusan yang dilarang, hendaklah kalian orang yang paling jauh meninggalkannya.

"Kebaikan apa pun yang diperintah kepada kalian, hendaklah kalian melaksanakannya dengan giat.

"Dan ketahuilah ada dua langkah kepada kalian satu langkah yang menguntungkan dan satu lagi langkah yang mencelakan. Jadi kalian hendaklah memperhatikan ke manakah kalian akan melangkah di waktu pagi."

Hassan al-Basri selalu memberi pesan agar manusia sentiasa berwaspada terhadap dunia dan berhati-hati dengan segala 'tipu muslihat'.

Beliau meninggal dunia pada tahun 110 H/729 M di Basra.


Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 24/04/2012

Menghormati penguasa

SALAH satu prinsip ketamadunan adalah wujudnya keutuhan budaya serta ketinggian akhlak sebagai identiti bangsa dan negara. Dalam usaha meningkatkan kemajuan negara, kepelbagaian budaya dan agama perlu dipertahankan berasaskan sistem nilai akhlak yang kukuh, murni dan luhur.

Penghayatan nilai-nilai akhlak yang tinggi akan menjamin kesejahteraan, keharmonian dan keamanan dalam masyarakat majmuk. Ia juga menjadikan bangsa itu terhormat lagi disegani.

Terdapat pelbagai pendapat dan pandangan mengenai pengertian dan konsep jemaah yang sebenar dalam Islam. Banyak di kalangan umat Islam mengaku bahawa hanya kumpulan mereka itulah jemaah sebenar yang diakui oleh Islam.

Hubungan yang kukuh antara pemimpin dan rakyat akan menjadikan umat Islam lebih dihormati,
disegani dan dicontohi sebagai umat yang bersusila.- Gambar hiasan

Namun, sebaliknya jika diteliti pada kandungan ayat suci al-Quran dan hadis, jelas bahawa maksud sebenar daripada al-Quran mengenai jemaah itu ialah seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan penguasa (atau pemerintah) dari kalangan kamu. (an-Nisa': 59).

Ayat ini menjelaskan jemaah yang berada di bawah pimpinan pemerintahan umat Islam itu sendiri yang diterima atau diakui sebagai jemaah yang sebenar.

Ketaatan kepada Tuhan di sini bererti memenuhi kewajipan-kewajipan keagamaan dan moral, berusaha mendekati keadilan dan kasih sayang Tuhan dengan menghindari maksiat dan penindasan, serta melaksanakan amal saleh.

Sementara itu, ketaatan kepada rasul bererti mengikuti jalan atau sunahnya dalam memenuhi kewajipan dan perintah Allah. Ketaatan kepada orang-orang yang berkuasa bererti kesetiaan terhadap tujuan untuk mencapai keadaan yang baik dan kondusif bagi ketaatan kepada Tuhan dan rasul-Nya. Ini menuntut orang-orang yang berkuasa itu memberikan contoh ketaatan yang teguh kepada Tuhan dan Rasul-Nya.

Ini dapat difahami daripada firman Allah SAW yang bermaksud: Siapa yang menentang (ajaran) Rasulullah SAW setelah nyata kebenaran kepadanya kebenaran petunjuk (yang dibawanya) dan dia pula mengikut jalan lain daripada jalan orang mukmin, kami biarkannya melakukan (kesesatan) yang dipilihnya (dan pada hari akhirat) kami akan humbankannya ke neraka, ia seburuk-buruk tempat kesudahan. (an-Nisa': 115).

Berdasarkan dua ayat tersebut, jelas pengertian jemaah yang sebenar menurut Islam ialah kelompok yang di bawah pimpinan pemerintah umat Islam. Bukan jemaah lain sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah kumpulan atau sesetengah pihak.

Begitu juga jemaah yang dimaksudkan di dalam hadis Rasulullah SAW di bawah ini, yang mana jemaah tersebut menjadi payung yang dapat menaungi umat Islam yang berada di bawah pemerintahannya.

Manakala seluruh umat Islam tidak dibenarkan keluar (untuk menentangnya) dengan sebarang kekerasan melainkan sekadar memberi nasihat dan teguran yang ikhlas, bukan secara membangkang mereka dengan membabi buta selagi pendapat pemerintah itu baik dan tidak bertentangan dengan agama.

Persoalan ini juga telah diperjelaskan menerusi sebuah hadis Nabi SAW riwayat Ibnu Umar yang bermaksud: "Bahawa Rasulullah ada bersabda, Katanya kewajipan setiap umat Islam itu ialah taat dan patuh akan perintah yang tidak ada maksiat sekalipun pada perkara yang disukainya atau dibencinya tetapi sekiranya arahan itu mengandungi maksiat kepada Allah, maka tidak perlu taat dan patuh lagi. (riwayat Muslim).

Kemudian dalam hadis lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Agama itu ialah nasihat (kejujuran dan kesetiaan); tanya kami (sahabat) "untuk siapa nasihat itu". Rasulullah menjawab 'untuk Allah' (dengan mengimani dan menyembah-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu) dan untuk kitab-Nya, iaitu (dengan mengimani dan mengamalkan segala ajarannya) dan untuk Rasul-Nya (iaitu dengan mengamalkan sunahnya dan mematuhi arahannya), juga untuk pemerintah umat Islam (dengan berlaku jujur dan taat setia untuk membelanya) dan untuk seluruh umat Islam (tanpa menaruh perasaan dendam kesumat terhadap sesiapa pun). (riwayat Muslim dan Abu Daud).

Demikian juga dalam sebuah hadis yang lain, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Aku perintahkan kamu dengan lima perkara, pertama: melazimi jemaah (bersama-sama dengan jemaah), kedua: kesetiaan (ikhlas) terhadap semua umat Islam, ketiga: kepatuhan pada pemerintah yang tidak bertentangan dengan syariah, keempat: berhijrah, kelima: berjuang pada jalan Allah. Sesungguhnya sesiapa yang keluar daripada jemaah (sejengkal) akan terungkailah ikatan Islam dari lehernya melainkan dia sempat bertaubat dan sesiapa yang menyeru dengan seruan jahiliah, maka dia akan meringkuk di dalam neraka jahanam sekalipun dia berpuasa, bersembahyang, dan mengaku dirinya Islam." (riwayat Ahmad dan Tirmizi).

Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 24/04/2012

Menangani tekanan

FENOMENA stres atau tekanan bukanlah perkara baru yang terjadi dalam masyarakat. Stres amat berkait rapat dengan gaya hidup, perwatakan seseorang, faktor keluarga, tekanan pekerjaan dan kejutan budaya.

Sekiranya tekanan gagal dikawal, ia akan memberikan kesan yang negatif kepada kesihatan emosi, mental dan fizikal. Orang yang tidak mampu mengawal tekanan, ditambah pula dengan iman yang kurang akan cenderung untuk berputus asa dan kecewa.

Akhirnya terjadilah kes kemurungan yang berpanjangan, sakit mental, bunuh diri dan sebagainya.

Penawar kepada masalah tekanan ialah dengan banyak bersabar. - Gambar hiasan

Dalam Islam, tekanan adalah ujian daripada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:Allah menguji seseorang itu dengan perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, nyawa dan hasil-mahsul yang tidak menjadi dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar. (al-Baqarah:155)

Apabila kita berada dalam keadaan tertekan, terdapat tanda-tanda yang mungkin akan berlaku seperti sakit kepala, letih, mudah marah, cepat terlupa dan sebagainya.

Antara kesemua faktor-faktor berlakunya tekanan, faktor yang paling banyak berlaku ialah tekanan di tempat kerja.

Ini kerana, pada kebiasaannya masyarakat lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja berbanding di rumah. Sehinggakan sewaktu berada di rumah sekalipun masih memikirkan tentang kerja di pejabat.

Akhirnya, kita perlu sedar dan faham bahawa setiap kali kita berdepan dengan masalah, maka setiap kali itulah dosa kita diampunkan. Rasulullah SAW bersabda: "Kesedihan atau malapetaka yang menimpa seseorang Muslim merupakan kafarah kepada dosa yang dilakukan."

Oleh itu, apabila kita menghadapi tekanan, perbanyakkanlah bersolat dan bersabar. Firman Allah SWT yang bermaksud: Mintalah pertolongan dengan Allah dengan sabar dan mengerjakan sembahyang. (al-Baqarah: 153)

Tekanan yang dialami oleh setiap individu adalah berbeza, oleh itu sebagai seorang Muslim haruslah menerima ujian tersebut dengan hati yang tabah dan reda. Mudah-mudahan, berkat kesabaran kita, Allah SWT akan menggantikan dengan keberkatan hidup dan kebaikan yang lain.


Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25/04/2012

Zainab mendendami Rasulullah

TERDAPAT banyak lagi catatan menarik apabila membicarakan mengenai Perang Khaibar. Sebagaimana perang yang lain dalam era sejarah Islam, Perang Khaibar memberikan banyak pengajaran, terutamanya musuh harus diperangi walaupun pelbagai rintangan dihadapi.

Ia tidak sekadar perang yang menonjolkan kegagahan luar biasa Saidina Ali dan bagaimana tentera Islam sebenarnya bukan sahaja perlu menawan Kubu Nai'im namun juga tujuh lain yang perlu ditawan dalam Kota Khaibar.

Namun menyebut Khaibar maka kita tidak boleh pisahkan daripada sebuah kisah bagaimana Nabi Muhammad diracun yang hampir-hampir membawa maut.

Peristiwa itu berlaku selepas seluruh Kota Khaibar dapat ditawan. musuh- musuh utama termasuk ketua puak Yahudii, Kinanah dihukum pancung, Rasulullah sendiri mengahwini Safiyyah yang dahulunya merupakan isteri kepada Kinanah. Baginda menetap sementara di Khaibar dan masyarakat Yahudi di situ menjadikan Rasulullah sebagai pemimpin baru mereka.

SUP kambing yang menjadi makanan kegemaran Rasulullah di bubuh racun berbisa tetapi Rasulullah SAW
terlepas daripada niat jahat Zainab. - Gambar hiasan

Cubaan meracun baginda itu dilakukan oleh seorang perempuan yang sangat jelita dan terkenal di kalangan penduduk Khaibar bernama, Zainab binti al-Harith.

Zainab menaruh dendam yang sangat kuat terhadap kekalahan yang menimpa kaumnya di tangan tentera Islam. Malah tidak dapat menerima hakikat kekalahan Khaibar.

Ini termasuklah abangnya sendiri, Marhab yang berjaya di bunuh oleh Saidina Ali.

Zainab merupakan isteri kepada bekas ketua Kaum Yahudi Khaibar, Sallam bin Misykam yang mati diracun oleh para pengikutnya.

Tetapi Zainab sendiri merancang untuk membalas dendam terutama terhadap Nabi Muhammad dengan memasukkan racun dalam makanan yang dihidangkan kepada baginda.

Bagi menjalankan misi itu, Zainab melakukannya secara berhati-hati dengan penuh tipu daya.

Beliau berpura-pura kononnya dapat menerima kepimpinan baginda dengan memuji-muji baginda ketika bertemu dengan ibu saudara Rasulullah yang menjadi Ketua Muslimat dan bertanggungjawab merawat tentera Islam dalam Perang Khaibar.

Sebelum itu, menerusi seorang dukun Yahudi, Zainab berjaya mendapatkan racun yang dikatakan paling berbisa dan sesiapa yang terkena walaupun sedikit kesannya akan menderita sepanjang hidup.

Di hadapan Safiyyah, Zainab memberitahu yang dia ingin menjadi pengikut Nabi Muhammad yang setia.

"Tentu sahaja baginda dapat menerima kamu lebih-lebih lagi dikatakan kamu seorang wanita Yahudi yang ternama di sini," kata Safiyyah.

Safiyyah yang tidak tercium niat jahat di sebalik kata-kata manis Zainab itu, memberitahu bahawa makanan kesukaan baginda ialah sup daging kambing.

Lalu Zainab menawarkan diri untuk menyediakan hidangan istimewa tersebut dan meminta Safiyyah menghidangkannya kepada baginda.

"Tetapi jangan kamu memberitahu bahawa saya yang memasak sup tersebut, saya bimbang Muhammad akan segan. Beritahu sahaja kamu yang memasaknya. Kalau baginda sudi untuk menikmati sup itu ia sudah memadai untuk saya rasa gembira dan rasa dihargai," ujar Zainab sambil tersenyum manis.

"Rasulullah tidak pernah menolak sebarang pemberian orang walaupun baginda akan berkongsi pemberian tersebut dengan orang lain. Jika sup kambing yang menjadi pemberian, tentu baginda akan lebih gembira dan tentu sekali tidak akan dicela pemberian yang istimewa seperti itu.

"Janganlah kamu bimbang, pasti baginda akan gembira dengan pemberian kamu yang ikhlas dan tentu dimasak dengan begitu sedap sekali," kata Safiyyah.

Seperti biasa Rasulullah dikatakan tidak pernah menjamu selera seorang diri kecuali makan secara 'berjemaah' dengan ahli keluarga dan para sahabat yang lain.

Jadi apabila dihidangkan dengan satu mangkuk besar sup kambing yang kelihatan begitu menyelerakan, baginda turut mengajak beberapa orang sahabat untuk turut sama menikmati hidangan tersebut.

Ini termasuklah seorang sahabat baginda yang bernama Bisyr bin Al Barra bin al Ma'rur yang dikatakan juga seorang penggemar sup kambing.

Lalu baginda pun mengambil bahagian paha untuk dimakan.

Dikatakan baginda sempat menggigit daging kambing itu sebelum dengan izin Allah, daging itu sendiri memberitahu baginda bahawa racun telah dimasukkan dalam masakan itu.

Segera baginda mengeluarkan daging tersebut daripada mulut baginda dan memberitahu yang lain mengenai ada pihak berniat jahat dengan membubuh racun dalam makanan kegemaran baginda itu.

Namun segala-galanya sudah terlambat kerana rupa-rupanya Bisyr telah mengunyah dan menelan daging kambing tersebut.

Malang bagi Bisyr apabila racun itu menyebabkan beliau menggelupur kesakitan dan tidak sempat diselamatkan, sahabat baginda itu akhirnya mati akibat kuatnya bisa racun itu.

Baginda sangat terkejut dan bersedih dengan kejadian yang tidak disangka-sangka itu.

Lalu Safiyyah dipanggil dan bertanya mengenai siapakah sebenarnya yang mengirim sup tersebut untuk membunuh baginda itu.

Baginda tahu ibu saudaranya itu juga dalam keadaan terkejut, lalu tidak dipaksanya untuk memberitahu angkara siapa di sebalik cubaan untuk membunuh baginda itu.


Susunan SITI AINIZA KAMSARI


Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25/04/2012

Qiraat Rasulullah SAW

SEMASA berkunjung menziarahi seorang guru al-Quran yang aktif mengajar riwayat Warsy kepada masyarakat, saya ditanya dengan soalan bagaimanakah bentuk bacaan al-Quran yang dibaca oleh Rasulullah SAW.

Apakah Rasulullah membaca al-Quran sama dengan bacaan kita pada hari ini iaitu mengikut riwayat Hafs daripada Imam Asim atau Rasulullah membaca seperti riwayat warsy, riwayat Qalun, Ibnu Kathur, al-Duri, Imam Hamzah atau qiraat lain.

Semasa menjamah kuih-muih yang dihidangkan, fikiran saya mula mencari jawapan yang sesuai dan memuaskan hati seorang guru al-Quran yang mahir dengan riwayat hafs dan warsy.

Saya cuba mencuit hati guru al-Quran dengan menyatakan soalan yang diutarakan amat sesuai untuk satu sesi ceramah.

Perkara utama yang perlu difahami bersama ialah semua Qurra Tujuh atau Qurra Sepuluh tidak mempunyai satu idea atau buah fikiran untuk mencipta cara membaca al-Quran.

Semua qiraat yang wujud pada hari ini yang diriwayatkan oleh Tujuh Qurra atau Sepuluh Qurra adalah bersumber daripada Rasulullah dan ia merupakan wahyu yang diturun daripada Allah SWT kepada Rasulullah.

Sepuluh Qurra masyhur di kalangan umat Islam kerana sumbangan besar mereka yang hidup bersama Quran, mempunyai ilmu yang luas berkaitan bacaan Quran, mengajar Quran kepada masyarakat setempat dengan tempoh yang lama.

Umpamanya, Imam Nafei, beliau adalah guru Quran di Madinah al-Munawwarah selama 60 tahun dan dihormati di kalangan penduduk Madinah termasuklah Imam Malik.

Bagi menjelaskan lagi persoalan yang diutarakan, perlu meneliti sanad setiap Qurra yang kesemuanya berakhir dengan Rasulullah.

Di kalangan Qurra Tujuh atau Qurra Sepuluh, riwayat yang paling luas pengamalannya di dunia Islam ialah riwayat Hafs. Perkara ini berlaku kerana sanad riwayat hafs berakhir dengan lima orang sahabat Rasulullah yang membaca di hadapan baginda.

Imam Hafs belajar al-Quran dengan Imam 'Asim yang bertalaqqi dengan Abdul Rahman al-Sulami yang merupakan murid kepada lima orang sahabat besar baginda.

Mereka ialah Zaid Ibnu Thabit, Abdullah Ibnu Ma'ud, Muaz Ibnu Jabal, Othman Ibnu Affan dan Ali Ibnu Abi Talib ra.

Berguru dengan Zaid

Abdul Rahman al-Sulami pernah menyatakan bahawa beliau talaqqi al-Quran daripada gurunya Uthman Ibnu Affan. Pada masa itu Uthman adalah seorang pemerintah.

Uthman berkata: "Kepadanya sesungguhnya aku sibuk dengan urusan pemerintahan. Justeru pergilah kamu kepada Zaid ibnu Thabit dan sempurnakan bacaan di hadapannya. Sesungguhnya bacaanku dan bacaan Zaid adalah sama dan tiada perbezaan."

Lantas Abdul Rahman al-Sulami mendapatkan Zaid dan membaca seluruh al-Quran. Pernah satu ketika, Abdul Rahman berjumpa Ali Ibnu Abi Talib dan bertanya tentangnya lalu diceritakan kisah bacaan Quraannya di hadapan Zaid ibnu Thabit.

Ali Ibnu Abi Talib berkata: "Istiqamahlah kamu dengan Zaid Ibnu Thabit. Abdul Rahman al-Sulami mendampingi dan menuntut ilmu Quran daripada Zaid Ibnu Thabit selama 13 tahun.

Akhirnya, beliau berkata: "Baru aku mengerti betapa hebatnya Zaid Ibnu Thabit dan kuat dabitnya tentang al-Quran dan rahsia pengakuan Uthman Ibnu Affan yang diberikan kepada Zaid Ibnu Thabit ra. selama ini."

Bagi menjelaskan lagi bentuk bacaan Rasulullah, Abu Abdul Rahman al-Sulami yang merupakan guru kepada Imam Asim, menyatakan bahawa bacaan al-Quran Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Uthman, Zaid Ibnu Thabit, golongan Muhajirin dan Ansar adalah sama sahaja.

Mereka membaca dengan bacaan yang umum dan ia merupakan bacaan yang dibaca oleh Rasulullah di hadapan Jibril sebanyak dua kali pada tahun Rasulullah meninggal dunia.

Zaid menyaksikan bacaan terakhir tersebut dan beliau mengajar umat manusia bacaan tersebut sehinggalah beliau meninggal dunia.

Bacaan tersebut jugalah dipegang oleh Abu Bakar al-Siddiq dalam pengumpulan pertama al-Quran. Dan semasa Uthman ra, beliau telah mentauliah Zaid di kalangan penulis al-Quran.

Berbalik kepada riwayat Hafs yang dibaca pada ketika ini, ia merupakan bacaan yang paling mudah jika dibandingkan dengan qiraat lain. Khilaf qiraatnya tidak banyak seumpama riwayat Warsy, Qiraat Hamzah dan lain-lain.

Kesimpulannya, semua qiraat mutawatirah yang wujud pada hari ini adalah yang diajar oleh Rasulullah kepada para sahabat.

Bagi menguatkan lagi kesahihan qiraat untuk diamalkan oleh umat Islam, para ulama telah meletakkan piawaian atau garis panduan yang dinamakan sebagai rukun qiraat.

Jika sesuatu qiraat menepati tiga rukun qiraat, bermaksud ia adalah sahih dan mutawatirah. Pertama; kesahihan sanad, kedua; menepati bahasa Arab dan ketiga; menetapi mushaf Uthmani.

Justeru semua Qiraat Tujuh menepati rukun qiraat dan ia bersumber daripada Rasulullah. Namun riwayat Hafs mendapat tempat di kalangan umat Islam daripada dahulu lagi kerana sanadnya bersambung dengan lima sahabat ra kepada Rasulullah.



Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD


Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25/04/2012

Memperkasa minda remaja

MINDA atau akal adalah sesuatu yang amat penting bagi remaja. Ia adalah alat berfikir mendapatkan maklumat. Ia adalah sumber penting menjana ilmu. Dari minda ia memiliki upaya kognitif melakukan sesuatu dengan rasional dan logik.

Berfikir rasional yang dipandu dengan etika yang baik bakal memperkasa jalur berfikir remaja. Al-Quran memberi pedoman tentang pentingnya minda itu diperkasakan. Al-Quran menyebut tentang afala ta'qilun (tidakkah kamu menggunakan akal), juga afala tatafakkarun (tidakkah kamu mempunyai daya fikir) serta afala yatadabbarun (tidakkah kamu kaji selidik).


Memperkasa minda remaja mestilah dengan data, fakta, maklumat yang sahih dan juga ilmu yang benar. - Gambar hiasan



Asas-asas ini penting bagi remaja kerana berfikir itu tidak sahaja suatu aktiviti minda tetapi ia dipedoman dengan etika.

Minda perkasa

Memperkasa minda remaja mestilah dengan data, fakta, maklumat yang sahih dan juga ilmu yang benar. Cara begini boleh membentuk pola berfikir remaja yang lebih sistematik dan mampu berfikir yang sifatnya menyumbang.

Dalam keadaan lain, remaja juga menggunakan minda untuk maksud-maksud tertentu. Tetapi minda yang tidak ditunjangi dengan nilai-nilai rohaniah dan etika, ia tidak mampu memberi pedoman berfikir kepada remaja.

Berfikir hanya semata-mata berfikir, sifatnya mekanistik. Berfikir menggunakan minda untuk mencari kebenaran dan kebaikan mestilah disertai dengan etika dan nilai.

Berfikir secara duniawi hanya sekadar berlegar kepada hal-hal yang tampak. Berfikir secara rohani dan etika yang tinggi menghubungkan diri dengan perkara-perkara yang ghaib seperti Allah, dan memberi pedoman kepada kehidupan.

Pemerkasaan minda remaja harus bermula dengan rasa ingin tahu yang tinggi. Ia harus terarah untuk menghubungkan minda dengan sumber-sumber yang benar dan bermanfaat.

Menghubungkan minda dengan faktor-faktor persekitaran dan fenomena yang terjadi, sifatnya membatasi. Tetapi menghubungkan minda kepada sumber-sumber pedoman daripada Allah SWT iaitu al-Quran memberi remaja suluh dan cara.

Suluh bermaksud jalur berfikir remaja tidak sahaja faham terhadap yang nyata tetapi meyakini terhadap yang ghaib.

Tautan yang nyata dengan yang ghaib bakal mengolah cara berfikir yang seimbang. Fokus berfikir tidak sahaja ditumpukan kepada hal-hal duniawi tetapi juga perkara yang bersifat ukhrawi.

Pemikiran remaja masa kini banyak terarah kepada hal-hal yang popular dan tidak semestinya benar dan bermanfaat. Berfikir secara zahiri menyebabkan minda remaja terbatas. Justeru, berfikir secara zahiri dan batini memberikan asas kefahaman yang tinggi.

Melihat cakerawala di langit, menghubungkan minda dengan kuasa Allah sebagai pencipta dan mengaturkan perjalanannya. Melihat manusia tidak sekadar tubuh badan secara fizikal tetapi manusia itu memiliki hati dan rasa, rohani dan jiwa untuk diberikan kejernihan terhadap peranannya.

Oleh itu, minda yang terbangun dengan faktor zahiri semata sifatnya tidak lengkap. Faktor batini harus dijadikan landasan penting berfikir remaja supaya perspektif yang diambil sifatnya seimbang.

Berfikir cara Barat umpamanya, sifatnya mekanistik. Mekanistik bermakna sumber-sumber data dikaji, difikir dan diteliti secara minda semata-mata, tetapi pemikiran yang seimbang merujuk kepada sumber daripada pencipta bagi membantu kita memahami fenomena dan keadaan, talian hubungan yang nyata dengan yang ghaib.

Daripada situ remaja memiliki cara berfikir yang berkualiti dan seimbang serta minda remaja menjadi perkasa. Disebabkan sesetengah para remaja tidak berfikir secara seimbang, hal-hal yang dibicarakan di kalangan remaja bersifat remeh-temeh, popular dan tidak memberi bekas kepada pemikiran, hati dan jiwa. Cara begini menyebabkan minda remaja selalu longlai, tidak bertenaga dan tidak memberi kesan kepada diri dan amalan.

Nilai dalam berfikir

Minda yang baik bagi remaja ialah berdasarkan dapatan yang sahih, kajian yang telus dan sesuatu yang lain yang memberi manfaat. Berfikir sekadar berfikir tanpa pedoman nilai, tidak memberi arah kepada aktiviti mental.

Pemikiran yang didukung oleh nilai yang benar dan bermanfaat menjadikan aktiviti mental terserlah. Sifat minda yang ada sering memandu pemikiran, daya intelek dan kekuatan akliah.

Berfikir sekadar berfikir tanpa dipedoman oleh nilai selalunya kelihatan hampa dan kosong. Ia tidak menyumbang kepada lahirnya ilmu yang berkualiti dan mensejahterakan.

Oleh itu, minda remaja harus diaktifkan dengan asas-asas kemahiran berfikir. Berfikir secara kritikal, kreatif, lateral, strategik dan futuristik amat perlu bagi remaja kerana ia meletakkan remaja dalam keadaan berfikir yang baik, mampu melakukan respons terhadap peristiwa dan kejadian, fakta dan data serta akhirnya mampu menghubungkan semua itu dengan sumber agung iaitu al-Quran.


Oleh NURUL IZZAH SIDEK

Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 26/04/2012

Neraka Saqar pembakar kulit manusia

PERBINCANGAN seterusnya masih lagi dalam surah al-Mudassir di mana perbahasan berkenaan dengan isu tokoh-tokoh kufur yang menentang ajaran Islam di mana balasannya cukup dahsyat pada hari akhirat kelak. Perbicaraan diteruskan pada ayat 17 hingga 30.

Firman Allah SWT: Aku akan membebaninya mendaki pendakian yang memayahkan. (al-Mudassir: 17)

Mujahid berkata: Iaitu penderitaan yang diakibatkan oleh azab.

Qatadah berkata: Dia akan dibebankan dengan azab yang berterusan.

Ibnu Jauzi berkata: Mengikut riwayat hadis Abi Sa'id daripada Nabi SAW menafsirkan ayat ini dengan sebuah gunung yang dicipta daripada api diminta untuk mendakinya apabila meletakkan tangan ke atasnya nescaya cair dan apabila diangkat kembali seperti sediakala. Pendakian tersebut memakan masa 70 tahun kemudian dicampak ke dalam api selama-lamanya.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya dia telah memikirkan dan menetapkan (apa yang ditetapkannya), (al-Mudassir: 18)

Ibnu Kathir berkata: Iaitu Kami bebani dia dengan pendakian. Dengan kata lain, Kami dekatkan dia dengan azab yang sangat berat kerana jaraknya yang sangat jauh daripada keimanan, kerana dia telah memikirkan dan menetapkan. Iaitu dia merenungkan apa yang akan dia katakan mengenai al-Quran ketika ditanyakan kepadanya, maka dia pun berfikir, ungkapan apa yang boleh dia buat.

Al-Maraghi berkata: Al-Walid ini sentiasa memikirkan dan mereka-reka sesuatu untuk dia katakan atau sifatkan tentang al-Quran, ketika diajukan pertanyaan kepadanya.

Firman Allah SWT: Maka celakalah dia! bagaimana dia menetapkan?, Kemudian celakalah dia! bagaimanakah dia menetapkan?, (al-Mudassir: 19-20)

Ibnu Kathir berkata: Doa keburukan untuknya.

Al-Maraghi berkata: Ia adalah kekaguman terhadap kekuatan fikiran dan kepintaran mencari tujuan yang dikehendaki oleh kaumnya untuk mencela al-Quran dengan celaan yang keras. Sebab perkataannya itu sesuai dengan apa yang mereka inginkan dan sesuai pula dengan apa yang mereka angankan untuk mencela al-Quran dan orang yang membawanya.

Dan dia dilaknat dan diazab dalam keadaan dia mereka-reka perkataan seperti yang dikatakan dalam pembicaraan La 'adribannahu kayfa sana'. Aku pasti akan memukulnya walaubagaimanapun keadaan dia.

Firman Allah SWT: Kemudian dia memikirkan, (al-Mudassir: 21)

Ibnu Kathir berkata: Iaitu dengan pandangan mendalam dan pemerhatian yang sebenarnya.

Al-Maraghi berkata: Kemudian dia memerhatikan urusan al-Quran itu berulang-kali, mungkin fikiran dia dapat menemui apa yang mereka senangi dan sampai kepada tahap yang mereka inginkan.

Firman Allah SWT: Sesudah itu dia bermasam muka dan merengut, (al-Mudassir: 22)

Al-Maraghi berkata: Ayat di atas membawa petunjuk bahawa dia turut membenarkan tentang kejujuran Nabi Muhammad SAW dengan hatinya tetapi dia mengingkari secara 'inad. Ini disebabkan seandainya dia percaya kepada kebenaran yang disampaikan oleh Nabi SAW pasti dia akan bergembira untuk menyimpulkan apa yang disimpulkan oleh Nabi Muhammad SAW dan memahami apa yang difahami oleh baginda. Sudah tentu wajahnya tidak akan nampak muram.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu mengerutkan dahinya dan menampakkan kebencian yang nyata.

Firman Allah SWT: Kemudian dia berpaling (daripada kebenaran) dan menyombongkan diri,(al-Mudassir: 23)

Al-Maraghi berkata: Kemudian dia memalingkan wajahnya daripada kebenaran dan berbalik ke belakang dengan perasaan sombong serta tidak mahu tunduk atau tidak mengakui kebenaran.

Ibnu Kathir berkata: Berpaling dengan sombong kerana enggan tunduk kepada al-Quran.

Firman Allah SWT: Lalu dia berkata: "(Al-Quran) Ini tidak lain hanyalah sihir yang dipelajari (daripada orang-orang dahulu), (al-Mudassir: 24)

Al-Walid mengatakan: "Al-Quran ini hanya sihir yang diambil oleh Muhammad daripada ahli sihir yang sebelumnya, seperti Musaylamah dan penduduk Babil."

Firman Allah SWT: Ini tidak lain hanyalah perkataan manusia. (al-Mudassir: 25)

Al-Maraghi berkata: Mereka mengatakan sesungguhnya al-Quran itu di ambil daripada kata-kata rekaan orang lain. Al-Quran bukan kalam Allah SWT seperti yang didakwahkan oleh Nabi SAW. Mereka juga mengatakan jika benar apa yang dikatakan Nabi SAW, tentu orang lain pun dapat berkata-kata seperti itu atau menghadapinya dengan lebih baik lagi.

Sebab, di kalangan orang Arab terdapat ramai orang yang fasih dan petah bercakap. Di kalangan orang Arab terdapat juga ahli pidato yang tidak dapat ditandingi dan terunggul. Tidak diketahui bahawa seorang intelek mahu menyaingi baginda SAW, tetapi mereka menggunakan pedang dan panah tanpa menghadapinya dengan bukti dan hujah.

Penutup

Syed Qutub berkata: Kita tidak tahu adakah mereka malaikat yang kasar dan keras atau barisan jenis malaikat. Ini adalah satu berita daripada Allah. Beruntunglah mereka yang mentaati perintah Allah dan menjauhi larangan-Nya. Kita mengharapkan rahmat daripada-Nya yang melayakkan kita masuk ke syurga-Nya pada hari Akhirat kelak. Amin.



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/04/2012