May 1st, 2012

Persediaan rohani hadapi fitnah duniawi

SURAH al-Kahfi ialah surah yang diturunkan di Makkah sebelum hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Surah ini mempunyai 110 ayat mengandungi mesej akidah didatangkan dalam bentuk cerita mudah difahami seperti kisah Ashabul Kahfi, pemuda yang mempertahankan akidah daripada pemerintah zalim. (Klik perkataan SURAH al-Kahfi untuk mendengar bacaan).

Cerita lain ialah kisah Nabi Musa dan Khidir, kisah si kafir memiliki dua kebun dan sahabatnya yang beriman kepada Allah SWT serta kisah Dzulqarnain membantu kaum yang berdepan masalah ditimbulkan Yakjuj dan Makjuj. Membaca surah al-Kahfi adalah salah satu amalan sunat pada hari Jumaat sebagai persediaan rohani menghadapi fitnah berdasarkan kelebihan serta kesahihan hadis Nabi Muhammad SAW yang banyak meriwayatkan kelebihan surah ini. Pengajaran dapat dihayati daripada keistimewaannya, surah ini membantu kita menyelamatkan diri dan dijadikan benteng daripada fitnah duniawi serta terhindar daripada fitnah paling dahsyat iaitu fitnah Dajjal.


  Umat Islam yang beriman dengan Rukun Iman kelima meyakini hari kiamat yang menjadi rahsia Allah pasti berlaku. Kita hanya diberi peringatan melalui tanda akan berlakunya kiamat supaya dapat membuat persediaan dan bekalan untuk menghadapi hari itu.  


Fitnah Dajjal sebagai tanda besar akan berlakunya kiamat selain keluarnya Yakjuj dan Makjuj. Hari Jumaat dan kiamat sangat berkait rapat kerana hari kiamat akan berlaku pada hari itu berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah hari Jumaat. Pada hari itu Adam diciptakan dan pada hari itu juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah SWT melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim) 

Walaupun kita tidak mengetahui tarikh tepat bila berlakunya kiamat, wajib sebagai umat Islam membuat persediaan bagi menghadapi hari berakhirnya dunia ini. Kita dibekalkan dengan peristiwa atau tanda menunjukkan kiamat semakin hampir.

Antaranya, berlaku banyak gempa bumi dan kemusnahan alam seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga dihilangkannya ilmu dan banyak gempa bumi.” (Hadis riwayat Bukhari) 

Umat Islam yang beriman dengan Rukun Iman kelima meyakini hari kiamat yang menjadi rahsia Allah pasti berlaku. Kita hanya diberi peringatan melalui tanda akan berlakunya kiamat supaya dapat membuat persediaan dan bekalan untuk menghadapi hari itu.

Mengamalkan membaca surah A-Kahfi pada hari Jumaat adalah persediaan rohani yang disarankan Rasulullah SAW sendiri sebagai bekalan menghadapi hari kebangkitan.

Kelebihan mereka yang mengamalkan membaca surah al-Kahfi ialah diampunkan dosa dari hari Jumaat sehingga Jumaat akan datang berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya dirinya terpelihara hingga lapan hari dari segala fitnah yang melanda, dan jika keluar Dajjal sekalipun, dia akan terpelihara daripadanya.”

Marilah kita bersama-sama mempersiapkan diri bagi menghadapi pergolakan akhir zaman di samping meningkatkan amalan kebaikan dalam usaha meraih keredaan dan rahmat Allah SWT.

Oleh Siti Amira Mohd Din

Sumber: Berita Harian Online Agama 2012/05/01 

Kibir pencetus penyakit hati, rosakkan hubungan sesama insan

KIBIR mengikut istilah Melayunya ialah sombong atau angkuh, manakala dalam bahasa moden disebut ego. Dalam syariat Islam kibir diertikan sebagai membesarkan diri kerana merasakan diri lebih dan istimewa berbanding dengan orang lain.

Al-Hafiz Ibnu Rajab Al-Hambali berkata, orang yang sombong adalah orang yang memandang dirinya sempurna segala-galanya, dia memandang orang lain rendah, meremehkannya dan menganggap orang lain itu tidak layak mengerjakan suatu urusan, dia juga sombong menerima kebenaran daripada orang lain.Sifat kibir mengheret seseorang itu untuk membesarkan diri kerana hati merasakan diri mempunyai kelebihan, keistimewaan dan kehebatan berbanding orang lain. Ia adalah sifat batin yang paling keji. Bahkan sindrom ini amat tercela dan jika dibiarkan boleh memudaratkan manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong.” (Surah An Nahl, ayat 23) 


Penyakit sombong melahirkan sakit lain seperti pemarah, pendendam dan hasad dengki. Akibatnya tercetus kerosakan dalam kehidupan masyarakat seperti hilang kasih sayang, pecahnya ikatan perpaduan, hina-menghina dan kata-mengata.


Manusia dilarang bersikap sombong kerana kita adalah makhluk yang lemah. Layakkah makhluk yang lemah bermegah-megah dan sombong di hadapan penguasa langit dan bumi? Namun, ada yang lupa hakikat dan sukar menerima kebenaran dengan memandang dirinya sempurna segala-galanya.

Orang yang memiliki sifat ini amat kasihkan kemegahan, kebesaran dan pangkat. Sifat ini boleh mengakibatkan pekerjaan itu tidak ikhlas dan menganiaya dirinya sendiri. Membiarkan individu berperangai buruk ini amat berbahaya disisi agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidaklah serigala yang buas itu jika dilepaskan di kandang kambing lebih berbahaya daripada seorang yang cintakan pangkat, harta dan kemegahan pada keadaan agama seorang Muslim.” (Hadis riwayat At-Tirmizi dan An-Nasa’ie) 

Fitrah semula jadi manusia tidak suka kepada orang yang bersifat sombong ini. Hati yang membenci kesombongan ini kerana meleraikan kasih sayang dan jalinan ukhuwah berpunca daripada sifat merendah-rendahkan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kesombongan itu adalah menolak kebenaran dan merendahkan manusia.” (Hadis riwayat Muslim) 

Mengenali orang yang bersifat sombong ini amat mudah. Individu yang dilanda penyakit hati ini enggan menerima pandangan orang lain, sekalipun betul. 

Sifat menyombong diri jika dibiarkan boleh memakan diri sendiri. Soal dosa dan pahala tidak diendahkan langsung demi kepentingan diri. Mereka melupakan segala pengajaran daripada sifat angkuh dan sombong diceritakan dalam al-Quran yang sepatutnya menjadi pengajaran.

Kesalahan pertama yang dilakukan makhluk Allah terhadap Allah ialah sifat sombong. Iblis enggan sujud kepada Nabi Adam sewaktu Allah memerintahkannya. Iblis merasakan dia lebih mulia daripada Nabi Adam kerana dijadikan daripada api sedangkan Nabi Adam daripada tanah. 

Disebabkan kesombongan itu, Allah mengeluarkan iblis dari syurga. Episod dendam iblis kepada Nabi Adam dan anak cucu cicitnya tidak pernah terpadam.

Penyakit sombong melahirkan sakit lain seperti pemarah, pendendam dan hasad dengki. Akibatnya tercetus kerosakan dalam kehidupan masyarakat seperti hilang kasih sayang, pecahnya ikatan perpaduan, hina-menghina dan kata-mengata.

Sifat sombong perlu dijauhi supaya hati tidak dijangkiti penyakit lain yang hanya membawa diri kita kepada kerosakan. Bersihkan jiwa dengan menanamkan rasa kasih sayang, sentiasa bersyukur kepada Allah dan mengingati tujuan manusia dihidupkan untuk beribadat kepada Allah dan mencapai kejayaan di dunia serta akhirat.

Oleh Amran Zakaria


Sumber: Berita Harian Online Agama 2012/05/01