May 11th, 2012

Kehidupan Nabi di alam barzakh

TELAH terbukti bahawa kehidupan Nabi kita Muhammad SAW di alam barzakh adalah lebih sempurna dan lebih hebat daripada manusia lain. Hal ini diceritakan sendiri oleh baginda. Malah disahkan wujudnya hubungan antara diri baginda dengan umatnya.

Baginda mengetahui keadaan mereka, melihat amalan mereka, mendengar percakapan dan menjawab salam mereka.

Terdapat banyak hadis yang membahaskan berkenaan bab ini. Antaranya ialah hadis daripada Abdullah ibnu Mas'ud ra. Nabi bersabda: "Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berlegar-legar di muka bumi, untuk menyampaikan kepada saya salam daripada umat saya."

Dalam sebuah hadis lain, diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud ra., Nabi bersabda: "Kehidupan saya adalah baik bagi kalian, kalian berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada baginda) dan dibicarakan bagi kalian (dengan wahyu dan syariah daripada Allah melalui perantaraan baginda). Kewafatan saya juga adalah baik bagi kalian. Amalan kalian dibentangkan kepada saya, sekiranya apa yang saya lihat berunsur kebaikan, maka saya memuji Allah ke atasnya dan sekiranya apa yang saya lihat berunsur kejahatan, maka saya memohon keampunan kepada Allah untuk kalian."

Al-Hafiz Abu Zur'ah al 'Iraqi berkata di dalam kitab al Janaiz, daripada kitabnya Tarh al Tathrib fi Syarh al Taqrib: "Sanad hadis ini adalah baik. Al-Hafiz al-Haithami berkata di dalam Majma' al Zawa'id (jilid 9, halaman 24). Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bazzar, dan perawi-perawinya adalah perawi yang sahih."

Ia menunjukkan bahawa Nabi mengetahui tentang amalan kita kerana ia dibentangkan kepadanya dan baginda memohon keampunan kepada Allah untuk kita atas kejahatan dan keburukan yang telah kita lakukan.

Jika demikian keadaannya, maka diharuskan kita bertawassul dengan baginda kepada Allah dan memohon syafaatnya di sisi Allah SWT.

Oleh kerana baginda mengetahui perbuatan kita termasuk bertawassul dan memohon syafaat tersebut, maka baginda akan memberi syafaat kepada kita dan mendoakan kita. Baginda adalah al Syafi' al Musyaffa (pemberi syafaat yang diizinkan oleh Allah SWT memberikan syafaat) dan Allah menambah kemuliaan dan ketinggiannya.

Sesungguhnya Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran bahawa Nabi adalah saksi ke atas umatnya. Ini tentu sekali menuntut kepada perlunya diperlihatkan kepada baginda segala amalan mereka agar Rasulullah menjadi saksi atas apa yang dilihat dan diketahuinya.

Ibnu al-Mubarak berkata: "Telah mengkhabarkan kepada kami seorang lelaki daripada kaum Ansar, daripada Al-Minhal ibnu 'Amru, bahawa dia mendengar Sa'id ibnu Al-Musayyib ra. berkata: Tidak berlalu walau satu hari, melainkan dibentangkan kepada Baginda pada hari tersebut amalan umatnya saban pagi dan petang. Maka baginda mengenali umatnya melalui nama-nama mereka dan amalan mereka. Justeru itulah, Baginda SAW menjadi saksi ke atas mereka." (Rujuk an-Nisaa: 41)

Hadis lain yang menunjukkan wujudnya pertalian kehidupan Nabi di alam barzakh dengan umatnya yang masih hidup, ialah hadis daripada 'Ammar ibnu Yasir ra. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewakilkan bagi kubur saya malaikat yang Allah telah diberikan kepadanya nama-nama sekalian makhluk. Maka tidak seorangpun yang berselawat ke atas saya sehingga hari Kiamat melainkan dia menyampaikan kepada saya dengan namanya dan nama bapanya, Ini Fulan ibnu Fulan, dia telah berselawat ke atas engkau."

Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Abu Al-Syeikh Ibnu Hibban dengan lafaznya bahawa Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung mempunyai malaikat yang diberikan kepadanya pendengaran sekalian makhluk. Maka dia berdiri di kubur saya apabila saya telah wafat. Tiada seorang pun berselawat kepada saya melainkan malaikat itu berkata: Wahai Muhammad! Fulan ibnu Fulan telah berselawat kepada engkau."

Lalu baginda bersabda: "Maka Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung akan berselawat ke atas lelaki tersebut bagi setiap satu selawatnya dengan sepuluh selawat (daripada Allah)."

Daripada Abu al Darda ra. Rasulullah SAW bersabda: "Perbanyakanlah selawat kepada saya pada hari Jumaat, kerana ia menjadi barang saksian yang disaksikan oleh malaikat. Tidaklah seseorang berselawat ke atas saya melainkan dibentangkan selawatnya itu kepada saya hinggalah dia selesai berselawat."

Abu Darda berkata lagi: "Saya bertanya, Walaupun setelah engkau wafat?" Baginda menjawab: "Walaupun setelah saya wafat. Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi, maka sebenarnya Nabi Allah itu hidup dengan diberi rezeki padanya."

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah bersabda: "Tidak seorang pun memberi salam kepada saya kecuali Allah mengembalikan roh saya kepada saya sehingga saya dapat menjawab salamnya."

Manakala dalam riwayat al Nasa'i dan lain-lainnya, daripada Nabi bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewakilkan beberapa malaikat di kuburku untuk menyampaikan kepada saya salam daripada umatku."


Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.

Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 08/05/2012

Jauhi bohong melalui perbuatan, perkataan

Perlakuan ditegah agama boleh gugat nama baik umat, masyarakat Islam 

HARI ini dunia komunikasi yang luas dan pantas memudahkan penyampaian berita serta maklumat. Ia menjadi sebahagian medium perantara yang berkesan serta mengeratkan hubungan saudara sesama insan.Malangnya, kemajuan teknologi maklumat turut disalah guna untuk menyebarkan berita palsu dan pembohongan bertujuan memfitnah serta memecahbelahkan manusia. Rasulullah SAW tidak mengiktiraf orang yang berbohong sebagai seorang Muslim.‘Abul Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Shafwan bin Sulaim berkata, Rasulullah SAW ditanya: “Adakah seseorang Muslim itu penakut? Jawab Nabi: Mungkin. Ditanya lagi: Adakah mungkin ia bakhil? Nabi menjawab: Mungkin. Ditanya lagi: Adakah mungkin ia dusta? Jawab Nabi: Tidak.” 

Tidak dapat dipastikan tujuan manusia berbohong sama ada melalui perkataan atau perbuatan. Ada yang berdusta kepada diri sendiri, sekali gus menunjukkan kehinaan dan gambaran tingkah laku yang kotor dan jijik, sedangkan sifat dituntut agama ialah sifat ‘siddiq’ iaitu benar. 

Sifat benar adalah salah satu sifat Allah seperti mana yang disebut dalam firman yang bermaksud: “Dan siapakah pula yang lebih benar perkataannya selain daripada Allah?” (Surah al-Nisa’, ayat 87) 

Antara sifat siddiq ialah benar pada niat, tidak terdorong untuk berbuat baik melainkan kerana Allah SWT; benar pada lidah dengan menyampaikan sesuatu berita yang betul, tepat serta benar pada janji dan amanah. 
Sifat benar mampu memberi ketenangan kepada jiwa yang mulia dan sifat mereka-reka cerita atau berbohong akan menggelisahkan hati, selain menjadikan seseorang itu resah serta kebingungan. 

Muslim yang baik tentunya tahu semua setiap perbuatan akan dipertanggungjawabkan ke atasnya kelak di mahkamah Allah SWT dan tahu dirinya selalu diawasi Allah SWT, setiap amalnya mempunyai catatan dan nilai di sisi-Nya. 

Ia selalu berusaha untuk jujur dan benar dalam segala perbuatannya, bahkan ia lebih memilih diam daripada mengucapkan sesuatu yang tidak baik, merugikan diri sendiri serta orang lain. 

Sungguhpun begitu, berkata benar boleh juga menjadi sesuatu yang tidak dianjurkan Islam, jika siddiq tidak membawa maslahat mulia, sebaliknya mendatangkan mudarat lebih besar. Dalam hal ini, berbohong adalah dibolehkan, bahkan ia wajib untuk dilakukan. 

Walau bagaimanapun, ia tidak mudah kerana ada syarat tertentu yang membolehkan pendustaan. Jika sesuatu yang mulia ingin dilakukan dan ia dapat diraih atau dicapai tanpa berdusta atau berbohong, maka berdusta dalam keadaan ini haram hukumnya. 

Tetapi jika sebaliknya, iaitu tidak ada cara lain dapat mencapai tujuan yang mulia dan terpuji serta kebaikan lebih besar melainkan dengan berdusta, maka dusta pada keadaan seperti ini adalah dibolehkan. 

Bahkan ulama menjelaskan hukum dibolehkan berdusta iaitu jika maksud ingin dicapai adalah sesuatu yang mubah (boleh dikerjakan atau ditinggalkan), maka dusta saat itu hukumnya mubah. Jika maksud ingin dicapai adalah sesuatu yang wajib, maka dusta saat itu pun menjadi wajib. 

Sabda Rasulullah SAW dalam hadis Ummu Kultsum, yang bermaksud: “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tidaklah dikatakan pendusta orang yang mendamaikan manusia (yang berseteru), melainkan apa yang dikatakan adalah kebaikan.” (Hadis Muttafaq 'Alaih) 

Tetapi sebahagian ulama antaranya al-Imam an-Nawawi Rahimahullah dan Syaikh Ibnu Utsaimin Hafizhahullah berpendapat, sikap lebih hati-hati dan utama dalam hal ini adalah melakukan ‘tauriyah’ iaitu pada zahir lafaznya dusta, tetapi sebenarnya tidak berdusta jika disandarkan kepada maksudnya. 

Walau bagaimanapun, meninggalkan tauriyah dan tetap dengan ungkapan dusta tidak diharamkan dalam keadaan yang membolehkan dusta. 

Contoh ‘tauriyah’ ialah kisah diriwayatkan Bukhari ketika Rasulullah SAW membonceng kenderaan Abu Bakar, di tengah perjalanan ada seseorang bertanya Abu Bakar mengenai Rasulullah SAW, lalu beliau menunjukkan kepada Rasulullah SAW dan mengatakan, ini adalah penunjuk jalanku. 

Maka orang yang bertanya itu menganggap jalan yang dimaksudkan adalah makna hakiki, padahal maksud Abu Bakar adalah jalan kebaikan, semata-mata demi kemaslahatan Rasulullah SAW daripada ancaman musuh Baginda. 

Justeru, yang terbaik ialah menjauhi pembohongan, baik melalui perkataan mahupun perbuatan kerana ia boleh menggugat nama baik agama dan umat Islam seluruhnya. Islam bukanlah agama yang menganjurkan penipuan, melainkan dalam keadaan sangat terdesak dan menjauhi kemudaratan. 

  Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia

Oleh Nik Salida Shuhaila salidasuhaila99@yahoo.com

Sumber: Berita Harian Online Agama 2012/05/10  

Ganjaran pahala berasaskan amalan, bukan angan-angan

DARIPADA Abu Mas’ud sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiada seorang nabi pun yang diutuskan Allah kepada umatnya sebelumku ia mempunyai penyokong daripada umatnya dan sahabat yang berpegang dengan sunnahnya dan mereka taat dengan perintahnya. Kemudian selepas mereka, muncullah beberapa penggantinya yang suka berkata, tetapi tidak melakukannya dan melakukannya sesuatu yang tidak diperintahkan. Sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan tangannya maka dia adalah mukmin. Sesiapa yang berjuang menentang mereka dengan lidahnya maka dia adalah mukmin dan sesiapa yang berjuang menentang dengan hatinya maka dia adalah mukmin, tetapi jika semua itu tiada maka sama sekali tiada keimanan walaupun sebesar biji sawi.” (Hadis riwayat Muslim) 

Menentang orang yang menyalahi syarak dengan perbuatan dan perkataan adalah dituntut. Ketiadaan penolakan kemungkaran dengan hati adalah tanda ketiadaan iman. Kata Abdullah ibn Mas'ud: “Binasalah orang yang tidak mengenal yang makruf dan mungkar dengan hatinya.”Benci kepada kemungkaran adalah dalil kuat iman dan tidak menghiraukan kemungkaran adalah dalil lemahnya iman. Setiap orang wajib menolak atau menghapuskan kemungkaran menurut kemampuannya.Jauhkan diri daripada tergolong dalam golongan orang yang derhaka terhadap Allah dan rasul-Nya. Kewajipan bagi mereka yang beriman dan mengetahui ialah memberi penjelasan kepada orang jahil dengan ajaran yang baik. 

Setiap orang digalakkan melakukan perkara baik dan dilarang melakukan perkara merosakkan iman. 

Reda dengan dosa adalah berdosa dan reda dengan kufur adalah kufur. Selemah-lemah iman seseorang itu ialah mengatasi kemungkaran hanya dengan berdoa saja dan tidak didapati darjat keimanan seseorang yang lebih lemah daripada itu. 

Daripada Abu Yaala Syaddad bin Aus, Nabi SAW bersabda: “Orang yang bijak itu ialah mereka yang mengambil berat mengenai dirinya dan beramal untuk selepas mati. Manakala orang yang lemah itu ialah mereka yang menurutkan hawa nafsunya sedangkan dia bercita-cita untuk menjadi hamba Allah yang diredai.” (Hadis riwayat at-Tirmizi) 

Orang yang beriman hendaklah sentiasa bermuhasabah diri dan beramal seperti yang dituntut oleh agama, kerana ganjaran pahala adalah berasaskan amalan yang benar-benar dilaksanakan, bukan dengan angan-angan kosong.

Sumber: Berita Harian Online Agama 2012/05/10

Kahwin pada usia muda bukan perkara pelik

Cepat dirikan rumah tangga bagi pasangan berkasih sayang hindari zina, maksiat 

RASULULLAH SAW memberi fokus kepada golongan muda kerana mereka permata yang berharga hinggakan seorang sarjana Islam pernah menyatakan, jika ingin melihat masa depan sesebuah negara lihatlah masa depan remaja atau anak mudanya.Namun, fenomena kita alami kini anak muda dikhayalkan dengan percintaan terlarang yang menyebabkan mereka lalai, lalu hanyut di arus noda dan maksiat. Kemudian timbullah perbuatan haram seperti zina, membuang bayi dan membunuh diri.Percintaan terlarang yang mereka bina telah mengakibatkan zaman muda mereka hancur begitu saja. Islam telah menggariskan cara hidup cukup sempurna buat manusia sejagat. 

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah perbuatan yang keji dan satu jalan yang buruk.” (Surah al-Israa’, ayat 32) 

Banyak kesan akibat daripada perbuatan zina antaranya merosakkan nasab keturunan, mewujudkan gejala pembuangan bayi dan mencemarkan kehormatan. 

Bagi mengelak gejala zina berleluasa, Islam telah menunjukkan alternatif yang berkesan iaitu berkahwin. Golongan muda yang terjerat dalam masalah percintaan sebelum berkahwin perlulah segera memperbetul gaya hidup mereka dengan mengesahkan hubungan melalui akad nikah. 


Secara realitinya, sememangnya golongan muda amat teruja untuk berkahwin kerana secara fitrah gelora jiwa muda sememangnya bergejolak menyebabkan fikiran mereka tidak keruan dan hanya memikirkan pasangannya. Mereka ingin menyayangi dan disayangi. 

Hal ini telah dinyatakan dalam firman yang bermaksud: “Dijadikan terasa indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa yang diingini iaitu: wanita, anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga).” (Surah ali-Imran, ayat 14) 

Namun, terdapat beberapa kekangan yang menghalang golongan muda meneruskan hasrat murni mereka kerana dua faktor utama iaitu ibu bapa dan sumber kewangan. Hal ini menyebabkan ramai golongan muda menjerumuskan diri mereka dalam percintaan yang jauh daripada reda Ilahi. 

Pada zaman generasi yang terdedah dengan sistem maklumat di ‘hujung jari’, ibu bapa kini harus sedar, masyarakat sedang diserang dengan budaya hedonisme, masyarakat dikelilingi hiburan yang melampau dan dipagari dengan kemaksiatan. 

Oleh itu, jalan penyelesaian terbaik bagi menjaga pandangan lelaki yang beriman adalah dengan berkahwin. Hal ini dinyatakan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Wahai sekalian pemuda, sesiapa yang berkemampuan dan mempunyai keinginan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana perkahwinan akan memelihara pandangan dan kemaluan kamu. Sesiapa yang tidak mampu maka berpuasalah kerana dengan berpuasalah ia dapat memelihara daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim) 

Ibu bapa jangan memberi alasan bahawa anak perlu menamatkan pengajian di institusi pengajian sebelum berkahwin. Sememangnya itu satu kesilapan yang kebanyakan ibu bapa lakukan kerana syaitan dan hawa nafsu tidak mengira usia untuk disesatkan. 

Golongan muda yang terdedah dengan persekitaran membangkitkan hawa nafsu wajar dinikahkan kerana dikhuatiri mereka akan terpengaruh dengan suasana persekitaran itu dan melepaskan syahwat pada jalan yang dilarang agama. 

Faktor kedua yang menjadi pencetus kepada permasalahan ini ialah sumber kewangan. Dalam hal ini, golongan remaja perlu sedar untuk menjejakkan kaki ke jenjang pelamin sebenarnya bukanlah satu perkara yang sukar. 

Masalahnya, masyarakat lebih suka menyusahkan diri kerana terlalu mengikutkan adat. Contohnya, sewaktu melangsungkan kenduri perkahwinan kebanyakannya mengidamkan baju mahal, pelamin mewah, juru solek dan makanan lazat untuk tetamu. 

Jika mengikut hukum yang ditetapkan Islam segala-galanya akan menjadi mudah. Majlis kenduri ada dinyatakan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Adakanlah kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing.” 

Oleh itu, tidak menjadi permasalahan jika kita mengikut segala yang disarankan Islam, segala-galanya akan menjadi mudah dan senang kerana Islam adalah agama yang mudah dan praktikal. 

Memberatkan perkara yang mudah sehingga melampaui batas kemampuan manusia hendaklah dijauhi. Islam tidak menyusahkan umatnya sebaliknya manusia menyusahkan diri mereka. 

Perkahwinan di usia remaja suatu perkara yang sangat baik kerana dalam usaha pembinaan jati diri mukmin, perkahwinan perlu diberi penekanan supaya segala aspek ibadah menjadi tenang dan aman untuk dilaksanakan. 

Hal ini ada dinyatakan Ibnu Abbas yang bermaksud: “Tidak sempurna ibadah seseorang sehingga dia bernikah.” 

Janganlah memandang kahwin muda sebagai suatu perkara yang pelik sebaliknya lihatlah kemungkaran dan pergaulan bebas pada hari ini sebagai suatu yang sangat pelik, jijik dan kotor supaya suasana persekitaran masyarakat bersih daripada segala penyakit sosial.

Oleh Asri Md Saman @ Osman bhagama@bharian.com.my

Sumber: Berita Harian Online Agama 2012/05/10