May 18th, 2012

Khutbah Jumaat: Memulia, menyayangi ibu bapa sepanjang masa

ISLAM mengajar umatnya supaya menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa. Jasa dan pengorbanan yang mereka curahkan jejak di alam rahim hingga kita dilahirkan begitu besar. Mereka bertanggungjawab mencari nafkah dan mendidik kita hingga dewasa.

Mereka juga sanggup mengorbankan nyawa dan kepentingan diri demi mengharungi pelbagai cabaran demi masa depan anak. Kepayahan dan pengorbanan ibu bapa mendidik dan membesar anak sekurang-kurangnya dalam tiga keadaan, ketika mengandung, saat melahirkan dan dari kecil sehingga dewasa.Marilah kita merenung kembali wajah terindah ibu bapa kita, mungkin ada antara kita ibu bapanya telah pergi buat selama-lamanya dan mungkin ada yang masih lagi bersama. Cuba kita hayati wajah yang telah kedut ditelan usia, namun tetap tersimpul senyuman menggambarkan kasih sayang.


Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika kedua-duanya masih hidup, tetapi berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur

Ingatlah wahai muslimin sekalian bahawa kasih ibu bapa kepada anak berpanjangan sepanjang hayat, pengorbanan dan kudrat dicurah siang malam, hanya tahu memberi dan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak.

Apa yang kita miliki hari ini, harta, pekerjaan, pangkat, kesenangan dan keluarga kita adalah hasil daripada pengorbanan mereka. Tanpa mereka kita tidak dapat melihat dunia ini dan tanpa nasihat dan pengorbanan mereka kita tidak akan memiliki semua ini. 

Sehubungan itu, kita sebagai anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap mereka. Ini sebagai suatu penghormatan tertinggi daripada anak dan membalas jasa ibu bapa mereka. 

Tidak dapat dinafikan kasih sayang seorang ibu mengatasi segala-galanya. Tidak hilang di hati seorang ibu perasaan rindu terhadap anaknya walaupun sesaat, kadang kala ibu tidak dapat menyuap makanan, melelapkan mata dan ada kala tergenang air mata kerana teringatkan anaknya. 


Rebutlah kesempatan yang ada ketika hidup sebelum mereka pergi buat selama-lamanya. Hari ini, ada dalam kalangan anak yang sibuk dengan jawatan, mengejar kuasa dan pangkat tiada masa menziarahi ibu bapa walaupun kepulangannya sentiasa dinantikan penuh kerinduan. Ingatlah menziarahi ibu bapa satu tuntutan kepada seorang anak.

Anak akan lebih mengingati dan menyebut nama ibu. Jika kita ada masalah, kita luahkan kepada ibu, kita lebih suka berkongsi perasaan dengan ibu, jika sakit, kita lebih suka ibu yang jaga. Oleh itu, wajarlah Allah SWT memuliakan ibu sesuai dengan pengorbanannya. 

Betapa besarnya pengorbanan ibu bapa, namun persoalannya kini, bagaimana pula pengorbanan anak untuk menghargai dan membalas balik jasa serta pengorbanan ibu yang tidak terhitung ini. Inilah persoalan perlu direnung kita semua sebagai anak, sudahkah menunaikan kewajipan terhadap ibu.

Imam Muslim meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud, beliau pernah bertanya Rasulullah SAW amalan paling utama. Baginda bersabda: Solat pada waktunya. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Beliau bertanya lagi: Kemudian apa lagi? Baginda bersabda: Berjuang pada jalan Allah.” 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga jenis manusia yang terkena laknat Allah SWT iaitu: seorang yang membenci kedua ibu bapanya, seseorang yang berusaha menceraikan sepasang suami isteri, kemudian selepas isteri itu dicerai ia menggantikannya sebagai suaminya dan seseorang yang berusaha supaya orang mukmin saling membenci dan saling mendengki antara sesamanya dengan hasutannya.” (Hadis riwayat Ad Dailami) 

Imam Bukhari meriwayatkan, Abdullah bin Amru bin al-‘As bertanya Rasulullah SAW mengenai dosa besar. Sabda Baginda: “Antara dosa besar ialah seorang lelaki mencerca ibu bapanya. Tanyanya lagi: Wahai Rasulullah! Adakah akan berlaku seorang lelaki memaki-hamun ibu bapanya? Jawab Nabi SAW: Ya. Seorang lelaki memaki hamun bapa seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu memaki kembali bapanya, begitu juga sekiranya seorang lelaki memaki hamun ibu seorang lelaki lain, nescaya lelaki itu juga akan memaki hamun ibunya.”

Ambillah iktibar dalam cerita si tanggang, seorang anak yang melupai ibunya dan durhaka selepas mendapat kedudukan yang tinggi akibatnya si anak itu diberi balasan oleh Allah SWT di dunia ini.

Menyayangi ibu bapa bukan sekadar ketika keduanya masih hidup, tetapi berpanjangan ketika mereka berada di alam arwah atau alam kubur. Roh orang mati tetap hidup di sisi Allah. Setiap hari amalan kita diangkat ke langit dan segala amalan itu dipertontonkan kepada roh ibu bapa kita. 

Marilah bersama menzahirkan perasaan kasih sayang terhadap ibu setiap masa. Memberi kasih sayang kepada mereka bukan sekadar memberi hadiah dan wang ringgit bahkan seluruh jiwa dan raga. Jangan biarkan mereka kesepian dengan linangan air mata yang sayu lagi pilu.

Budayakanlah amalan memuliakan dan menghormati ibu bapa di sepanjang kehidupan kita dan janganlah hanya dibuat pada masa tertentu saja. Ambillah kesempatan yang ada ini untuk menyayangi mereka.


Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Sumber:
Berita Harian Online Agama Jumaat, 18 Mei 2012

Golongan munafik lebih bahaya daripada kafir

Kejahatan golongan menentang Islam secara diam wujud sejak zaman Nabi


HIDUP di akhir zaman ini memang mencabar keimanan dengan terasasnya pelbagai fahaman yang menyimpang jauh daripada jalan kebenaran, aqidah umat Islam boleh goyah andai tiada pegangan ampuh terhadap agama.Namun, yang lebih bahaya adalah penentangan terhadap agama secara tersembunyi oleh orang munafik. Nifaq dalam bahasa Arab diambil daripada kata dasar yang membawa erti ‘lubang tikus’ kerana kebiasaannya tikus mudah nampak jalan masuk ke lubang, tetapi tidak nampak jalan keluar.

Nifaq menurut Imam An-Nawawi, ialah orang beriman yang mempunyai atau menyerupai sifat orang munafik atau melakukan sesuatu bercanggah dengan kehendak hatinya secara umum. Golongan munafiq ini secara luarannya seperti orang beragama, namun hatinya penuh kebencian dan permusuhan terhadap Allah, Rasulullah SAW serta umat Islam.

Tanda lain orang munafik ialah suka membuat fitnah, meninggalkan solat Jumaat, melalaikan solat fardu, gemar meninggalkan solat berjemaah, menggalakkan orang lain supaya tidak berjihad, bersekongkol dengan orang kafir dan mengharapkan malapetaka menimpa orang beriman.

Kalimah nifaq disebut sebanyak 37 kali dalam al-Quran menandakan betapa bahayanya golongan munafik dan perlunya kita berjaga-jaga dalam menghadapi ‘musuh dalam selimut’ ini sebaik-baiknya.

Tanda-tanda munafiq itu banyak seperti disebut dalam al-Quran mahupun Sunnah. Namun, dapat dikelaskan jenis-jenis munafiq ini kepada dua iaitu nifaq iktiqadi (munafik keimanan) dan nifaq amali (munafik perbuatan). 

Golongan yang munafik iman mendustai Allah, Rasulullah SAW, kitab dan lain-lain secara diam-diam, walaupun secara zahirnya mereka mengetahui kebenarannya. 


Al-Quran menceritakan melalui firman Allah yang bermaksud: “(Di antara manusia ada yang mengatakan: Kami beriman kepada Allah dan hari akhirat, padahal mereka itu sesungguhnya bukan orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang yang beriman, padahal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat 8-10) 

Munafik perbuatan pula golongan itu menzahirkan kemunafikan mereka melalui perbuatan yang terang-terang menyalahi garis al-Quran dan Sunnah serta ijmak ulama. 

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “(Ada tiga tanda orang munafik; jika dia bercakap dia berdusta; jika dia berjanji dia memungkirinya dan jika dia diberi amanah, dia mengkhianatinya).” (Hadis riwayat Imam Muslim) 

Tanda lain orang munafik ialah suka membuat fitnah, meninggalkan solat Jumaat, melalaikan solat fardu, gemar meninggalkan solat berjemaah, menggalakkan orang lain supaya tidak berjihad, bersekongkol dengan orang kafir dan mengharapkan malapetaka menimpa orang beriman.

Memakan harta anak yatim, berasa aman daripada neraka Allah apabila melakukan dosa, suka berbantah dan bertengkar sesama muslim, berputus asa dalam menghadapi cabaran hidup, menuduh orang beriman itu bodoh, menghalalkan perkara yang haram dan menghina sahabat Rasulullah SAW.

Mungkin kita tidak menyedari yang kita memiliki mana-mana sifat itu dan semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang munafik. 

Sejarah Islam telah merakamkan siri kejahatan golongan munafik ini yang wujud sejak era kenabian lagi. Bahayanya golongan ini berbanding golongan kafir adalah golongan munafik menentang Islam dari dalam dan secara tersembunyi.

Jadi untuk mengetahui dengan tepat siapakah orang munafik sebenar amatlah susah kerana tiada yang benar-benar tahu isi hati seseorang dan ini menunjukkan betapa liciknya pergerakan mereka.

Namun, pada zaman Rasulullah SAW, ada seorang saja sahabat yang mengetahui senarai orang munafik di Madinah pada waktu itu iaitu Hudzaifah al-Yamani, kerana Rasulullah SAW memberitahu kepadanya.

Inilah kelebihan Hudzaifah sehingga beliau digelar ‘Pemegang Rahsia Rasulullah’. Sahabat lain seperti Khalifah Umar Al-Khattab, mengetahui bahawa seseorang itu munafik apabila adanya majlis kematian dan Hudzaifah tidak pergi bersolat jenazah untuknya. Jelaslah ia jenazah seorang munafik.

Lantaran itu, seharusnya kita menjadi lebih berwaspada kerana alangkah pada zaman nabi pun golongan ini sudah berani menunjuk taring, apatah lagi pada zaman sekarang yang mungkin sudah lahir ramai klon ‘Abdullah bin Ubay’ moden. 

Siapa yang tidak kenal ketua munafik di Madinah al-Munawwarah ini kerana angkara fitnah beliau dan konco-konconya menyebabkan meletusnya Perang Bani Mustaliq yang berlaku dalam Sya’ban tahun ke-6 Hijrah.

Sebagai umat Islam, kita perlu terus mempertahankan iman yang senipis kulit bawang ini hingga ke nafas terakhir. Golongan munafik zaman moden, lebih canggih pendekatannya di tambah dengan dunia tanpa sempadan.

Sebaiknya, sebarang berita mahupun khabar diterima usahlah ditelan bulat-bulat, periksa dulu kebenarannya kerana ditakuti kitalah penyebab api fitnah merebak. Yang lebih utama, jauhi sifat munafik dan sedaya upaya menangkis virus nifaq yang tersebar meluas.


Oleh Khairunnisa’ Razak bhagama@bharian.com.my 2012/05/18


Sumber: Berita Harian Online Agama Jumaat, 18 Mei 2012

Rasulullah SAW dan poligami

SESEBUAH rumah tangga dewasa ini pastinya akan dilanda kehangatan hanya dengan satu perkataan sahaja jika ia dilafazkan oleh seorang suami iaitu poligami. Barangkali ia satu perkataan yang agak taboo untuk disebut, apatah lagi jika ia dialami sendiri oleh pasangan terbabit.

Tentunya ada sebab mengapa perasaan sedemikian timbul setiap kali berdepan dengan suami yang mengamalkan pernikahan secara poligami.

Faktor penyumbang paling popular yang akan didengari daripada keluhan para isteri ialah wanita tidak ingin berkongsi kasih dan kesukaran untuk suami meletakkan keadilan yang sebenar dalam menyantuni para isterinya.

Ya, jika dewasa ini berkemungkinan tahap kebenaran dan kesahihan faktor yang disuarakan ada kebenarannya disebabkan bukan kerana ajaran Islam sedemikian akan tetapi kedangkalan umat Islam untuk menghayati dan mengamalkannya dengan betul seperti kehendak agama Islam.

Umat Islam sepatutnya tidak mudah untuk tersasar arah dalam mencari hala tuju sebagai panduan dalam kehidupan berumah tangga untuk menyematkan ajaran Islam dalam segala aspek kehidupan termasuklah kepada isu pernikahan secara poligami.

Justeru, sudah tentulah nyata kejahilan kepada pengikut ajaran Nabi Muhammad SAW yang hanya memikirkan isu poligami tidak lebih hanya sekadar memenuhi tuntutan syahwah haiwaniyyah semata-mata.

Sedangkan pada asalnya , ia mempunyai matlamat yang lebih mega yang hanya difahami oleh mereka yang menekuni nas-nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW serta realiti pendekatan dakwah Baginda Rasulullah SAW.

Secara mudah untuk kita semua memahami , kehidupan keluarga mulia Rasulullah SAW, ia dapat dikategorikan kepada empat fasa; pertamanya sewaktu zaman bujang baginda sehinggalah mendirikan rumah tangga dengan Saidatina Khadijah binti Khuwailid, keduanya kehidupan baginda dengan seorang permata hati Saidatina Khadijah RA antara umur 25 tahun hingga 53 tahun.

Ketiganya, baginda mendirikan rumah tangga dengan lebih daripada seorang isteri ketika berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun dan keempatnya baginda mengekalkan bilangan isteri yang ada iaitu ketika baginda berumur 60 tahun sehinggalah baginda kembali menemui Allah SWT.

Pada hari ini dunia kehidupan rumah tangga yang telah terlalu banyak berdepan dengan simpang-siurnya adalah disebabkan kegagalan kedua-dua pihak, tidak boleh dipersalahkan sesiapa. Kesalahan di pihak suami ialah dengan menjadikan perkahwinan poligaminya dengan cara yang tidak ada ketelusan sehingga menjadikan seseorang suami itu sanggup untuk menipu secara 'halal' dengan istilah tersendiri kerana dibimbangi timbulnya 'peperangan' yang maha hebat antara ketiga-tiga individu atau lebih.

Manakala, pihak isteri pula yang terlalu sempit memahami definisi cinta, terus seolah-olah menganggap pernikahan secara poligami itu adalah sesuatu yang bukan daripada ajaran dan perintah Allah SWT yang boleh terlaksana atas seseorang individu berdasarkan kelayakan dan keupayaan masing-masing dan faktor-faktor yang munasabah terhadapnya.

Jika kita renung dengan pemikiran yang tidak disaluti emosi dan dendam, maka akan datang satu kesimpulan bahawa sekiranya baginda bernikah semata-mata atas dorongan nafsu syahwat semata-mata, justeru sudah tentu di zaman muda lagi baginda mempunyai banyak peluang untuk mengamalkan pernikahan secara poligami.

Tambahan pula baginda bukan sahaja insan mulia kesayangan umat malahan baginda adalah individu yang mendapat martabat tinggi sebagai kekasih Allah SWT.

Oleh yang demikian , apa yang kita dapati ialah baginda hanya berpoligami setelah baginda menjangkau usia 55 tahun iaitu tidak lebih daripada 10 tahun daripada sisa hidup baginda di atas muka bumi ini.

Apa yang jelas kepada kita ialah baginda telah menunjukkan cara, sifat dan kaedah poligami yang adil dan berupaya memberikan kemaslahatan kepada semua pihak. Perkara ini amat jelas jika diamati kepada tujuan pernikahan baginda dengan semua para isterinya.

Kesimpulannya , sesuatu yang tidak begitu sulit untuk memahami kaedah dan pendekatan baginda Rasulullah SAW dalam menunjukkan kaedah terbaik pernikahan secara berpoligami dalam Islam.

Memang tidak dinafikan bahawa cemburu dan dendam adalah dua elemen yang sentiasa menjadi tembok penghalang untuk kita umat Islam memahaminya dengan jelas.

Apa pun memahami atau untuk tidak memahaminya ia adalah satu keputusan yang orang lain tidak mampu memahat dalam pemikiran secara paksaan tetapi ia seharusnya datang menerusi penghayatan sebenar terhadap ajaran Islam yang Maha Suci.



Oleh TUAN ASMAWI TUAN UMAR
Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/05/2012

Umratul Qada penawar kerinduan umat Islam

KINI setelah melalui pelbagai liku-liku perjalanan yang getir terutamanya menghadapi Perang Khaibar dan memerangi puak-puak Arab yang bangun menentang, maka genaplah setahun selepas termeterainya Perjanjian Hudaibiah.

Tempoh setahun ini sudah cukup membuatkan baginda menahan rindu terhadap Mekah dan setelah setahun itu, tiada apa lagi yang boleh menghalang untuk baginda ke Mekah.

Malah peluang perlu diambil sebaik sahaja baginda mematuhi seperti mana syarat Perjanjian Hudaibiah itu sendiri yang membenarkan umat Islam masuk ke Mekah pada tahun berikutnya selepas termeterainya Perjanjian itu.

Maka menjelang bulan Zulkaedah tahun ke-7 Hijrah baginda mengajak para pengikutnya untuk bersama-sama dengannya untuk kembali ke Mekah, semata-mata untuk melaksanakan ibadatUmratul Qada, menyempurna- kan ibadat umrah yang tertangguh sejak setahun yang lalu.

Rata-rata umat Islam hari ini tidak dihalang untuk ke Mekah, sama ada untuk tujuan haji mahupun umrah berbanding pada zaman awal Islam. - Gambar hiasan

Keutamaan untuk bersama baginda ke Mekah itu adalah mereka yang pernah bersama-sama dengan baginda dalam cubaan memasuki Mekah sehingga membawa kepada perjanjian Hudaibiah pada tahun lalu.

Peluang seperti ini sememangnya suatu berita paling gembira dan menarik buat umat Islam. Mereka sebagaimana Rasulullah sendiri yang sangat merindui Kaabah dan Mekah.

Ditambah, mereka baru sahaja beroleh harta rampasan perang yang membolehkan mereka mampu ke Mekah untuk dijadikan bekal perjalanan dan meninggalkan nafkah atau saraan kepada ahli keluarga yang ditinggalkan di Madinah.

Jika sebelum ini hanya seramai 1,400 pengikut Islam yang bersama Rasulullah ke Mekah, kali ini seramai 2,000 umat Islam tidak sabar-sabar untuk ke sana.

Lantaran itu, baginda meminta bantuan dua orang sahabat, iaitu Abu Dzar al Ghifari dan Abu Rahmin Khaltum bin Husain@Hushain untuk memangku jawatan baginda bagi memimpin, mentadbir dan yang lebih penting menjaga keselamatan Madinah selama ketiadaan baginda.

Rombongan kali ini tidak sahaja dianggotai oleh mereka yang menyempurnakan umrah seramai 100 orang lagi merupakan mereka yang ditugaskan sebagai angkatan tentera berkuda bagi menjamin dan menjaga keselamatan anggota rombongan, walaupun tindakan ini nanti menimbulkan kemarahan kepada pihak Quraisy kerana seolah-olah Rasulullah mempunyai niat untuk melancarkan perang terhadap mereka.

Sedangkan mengikut syarat, umat Islam hanya dibenarkan membawa senjata musafir iaitu sebilah pedang bersarung yang disisipkan di pinggang.

Ini kerana kata baginda; "Kita tidak akan masuk ke Tanah Haram dengan senjata (tentera berkuda). Tetapi biarlah senjata itu berdekatan dengan kita. Apabila pihak Quraisy menganggu kita, senjata itu sudah berdekatan dengan kita."

Begitulah niat sebenar dan ada logiknya baginda bertindak seperti itu.

Baginda juga membawa dan menandakan pada 60 ekor leher unta untuk dijadikan korban setelah selesai melakukan ibadat umrah itu.

Berita satu rombongan besar dari Madinah menuju ke Mekah itu tentu sahaja menimbulkan kegemparan kepada penduduk Mekah.

Walaupun baginda telah memakai pakaian ihram bererti mereka benar-benar untuk bertujuan melakukan ibadat namun penduduk Mekah sedar bahawa tidak mustahil akan berlaku sebarang pertumpahan darah atas pelbagai persengketaan yang ada sebelum ini.

Sehinggakan pembesar Mekah meminta mana-mana individu yang bimbang tidak dapat mengawal diri mereka daripada bergaduh atau menganggu umat Islam untuk berada di luar Mekah, selama umat Islam melakukan ibadat tersebut.

Sebenarnya berulang kali juga pihak Quraisy Mekah menghantar wakil mereka bertemu dengan baginda bagi memastikan segala syarat perjanjian dipatuhi sehinggalah mereka puas hati barulah Rasulullah dan rombongannya dibenarkan masuk ke Mekah.

Tetapi dengan syarat, hanya untuk tempoh tiga hari sahaja.



Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/05/2012

Doa baik Allah makbulkan

SEORANG mursyid sufi kelahiran Iran yang bermastautin di Amerika Syarikat, Syeikh Fadhlala Haeri menulis "Hati ibarat sebuah kolam; hati memantulkan dengan baik jika berada dalam ketenangan, buruk jika ia berada dalam kekeruhan."

Maknanya, kemampuan seseorang untuk memantulkan secara jernih kata-kata adalah lahir daripada ketenangan hatinya. (Membaca Alam, Memahami Zaman, Jakarta: 2004, hal. 81).

Melihat kepada lemparan kemarahan seorang ulama politik kepada seorang ulama lain yang menilai pembawaannya terseleweng daripada landasan Islam, mencerminkan kecaman itu adalah lahir dari hati yang tidak jernih.

Bahkan pada suatu ketika dulu, ulama politik berkenaan pernah mengeluarkan seruan kepada pengikutnya melakukan solat hajat dan berdoa secara berjemaah untuk meminta agar Allah SWT menurunkan bala ke atas pihak lawan kerana mempunyai sudut pandangan politik berbeza.

Dengan menggunakan agama dan tuntutan politik peribadi, hakikat dan kepentingan doa disalahgunakan sebagai tindakan membalas dendam. Penyelewengan matlamat berdoa bertentangan dengan hakikat yang digariskan oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah, iaitu tidak pernah ada doa bala melainkan memohon supaya mendapat hidayah, atau merayu Allah SWT supaya membuka pintu hati pemimpin kerajaan untuk melaksanakan kebajikan atau keadilan.

Ulama politik berkenaan menganjurkan doa laknat menggambarkan terdesaknya untuk memperluas dan mempertahankan kuasa. Sepatutnya ketika berkecamuk dengan keinginan itu, dia mengingati bahawa rakaman kisah Nabi Musa a.s. ketika ditauliahkan sebagai nabi dan rasul, berdoa kepada Allah SWT dengan hati yang jernih: "Tuhanku! Lapangkanlah dadaku dan permudahkan urusanku dan bebaskanlah kekakuan daripada lidahku agar mereka memahami ucapanku." (Surah Taha: 25-28).

Justeru bagi mencari kaedah terbaik mengelakkan lebih banyak kemungkinan konflik berlaku di antara sesama umat Islam, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis Istighosah Al-Kubra sebelum subuh Sabtu ini dengan harapan kekusutan yang terjadi terungkai manakala ketegaran memegang pendapat yang membawa kepada budaya jumud dan samseng di jalanan dapat dikurangkan.

Pada asasnya, berdoa adalah memenuhi hak Allah terhadap hamba-Nya. Sebagai seorang hamba yang beriman sudah selayaknya kita memohon atas segala kesukaran hidup yang kita hadapi kepada-Nya. Namun demikian, kita wajib berserah diri kepada ketentuan Allah SWT.

Kekuatan seseorang dalam mengubah dirinya dapat menjadi salah satu faktor kunci kejayaan memperolehi pertolongan Allah. Jadi seandainya kita pada masa ini hidup susah berterusan, ini semua bukan kerana Allah tidak mengkabulkan doa kita. Bukan kerana Dia tidak mendengar permohonan hamba- hamba-Nya, mungkin penyebabnya ialah kerana hamba itu tidak mahu muhasabah diri, enggan menghilangkan sikap buruknya dan tidak berupaya mempertingkatkan ibadah. Sesungguhnya Allah SWT benar-benar akan memakbulkan doa setiap hamba-Nya.

Justeru doa sepatutnya dipergunakan untuk meminta sesuatu kebaikan yang rahmatnya itu nanti memberikan kebaikan kepada seluruh umat. Perbuatan Istighosah memberi maksud memohon pertolongan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh dengan cara berjemaah.

Dan pada hakikatnya seseorang yang melakukan Istighosah adalah sama dengan berdoa. Allah berfirman dalam surah Al-Anfal ayat 9 yang membawa maksud. "Ingatlah wahai Muhammad ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanku lalu dia memakbulkan permohonan."

Demikian juga dengan doa para nabi yang berunsur kelembutan dan rendah diri serta untuk kebaikan umat mereka.

Sewajarnya kita melakukan Istighosah kerana kebelakangan ini bermacam-macam perkara yang hampir menggugat kestabilan dan kesejahteraan rakyat di negara ini dan insya-Allah dengan istighosah ini Allah akan mendengar permintaan kita ini.

Sebagai seorang Muslim yang beriman, sepatutnya memohon doa untuk mengatasi kesukaran hidup, mengelak daripada ditimpa sebarang bencana dan penyakit. Kita berdoa dalam persekitaran yang pasrah dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT dan rela menerima sebarang takdir kalau ia merupakan ketentuan-Nya. Maknanya, doa merupakan wujud daripada penghambaan diri kita kepada Allah, dan selaras dengan kewajipan memohon pertolongan kepada-Nya.

Kekuatan seseorang dalam mengubah dirinya dapat menjadi salah satu faktor kunci kejayaan memperolehi pertolongan Allah SWT. Jadi seandainya kita pada masa ini hidup susah berterusan, ini semua bukan kerana Allah SWT tidak memakbulkan doa dan tidak mendengar permohonan tersebut. Hakikatnya doa kita tidak mujarab kerana tidak mahu bermuhasabah diri, enggan kembali ke pangkal jalan kerana malu memohon maaf atas kesalahan sebelumnya.

Sesuatu doa yang diterima dan dikabulkan oleh Allah SWT bermaksud: "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya padamu tentang aku, maka jawablah bahawasanya aku adalah dekat, aku memakbulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku. Maka hendaklah mereka itu memenuhi segala perintah-Ku agar mereka selalu berada dalam kebenaran." (Surah Al-Baqarah: 186).

Imam Ahmad ibnu Hanbal, pernah dipenjarakan kerana ketegasannya menegaskan: "Seandainya kita mempunyai doa yang kita ketahui makbul, nescaya kita gunakan mendoakan kepada ketua negara." Manakala Rasullullah SAW bersabda: "Agama adalah akhlak yang baik dan agama itu ialah engkau tidak boleh marah" (maksud Hadis).

Allah SWT memberikan kelonggaran, kita boleh melakukan doa bagi memusnahkan kezaliman yang dilakukan oleh orang kafir atau musyrik.

Bagaimanapun, Nabi Muhammad SAW tidak pernah memanjatkan doa laknat bagi sesuatu kaum kecuali terhadap mereka yang memerangi umat Islam secara fizikal. Salah satu doa baginda ialah: Wahai Tuhan berikanlah petunjuk kepada kaumku kerana mereka tidak mengetahui.

Di sisi Allah SWT, seorang yang paling kuat beribadat sekalipun tidak ada nilai ketika akhlaknya buruk. Akhlak yang buruk ialah sombong dan angkuh dengan kuasa yang ada manakala menganggap orang selain sebagai 'kafir' walaupun sedar masih menghadap ke kiblat, membawa kitab dan bersyahadah yang sama.

Bahkan seorang ahli sufi merakamkan meskipun seorang wanita tidak pernah bersembahyang, tetapi tidak membiarkan seekor anjing mati kehausan di padang pasir, wanita berkenaan akan tetap menciumi syurga.

Seorang yang memuji seorang ahli ibadah yang lain dan berkata: "Tentulah si polan itu ahli syurga, kerana dia sentiasa solat tepat pada waktunya, puasa sunat tidak pernah ditinggalkannya, setiap malam Jumaat membaca al-Quran dan bangun tengah malam untuk beribadat." Rasulullah SAW kemudiannya menjawab: Tidak! Dia ahli neraka! Seluruh ibadahnya hancur, kerana dia mempunyai akhlak yang buruk, suka merosakkan orang dengan lidahnya.

Menyedari percanggahan matlamat, maka kita disunatkan beristighosah, memohon pertolongan daripada Allah SWT dengan sungguh-sungguh agar dihindarkan sebarang bentuk perpecahan, penderitaan dan malapetaka.

Ustaz Yusuf Mansur merayu: Jangan sampai kebahagiaan kita tukar dengan penderitaan dan kesedihan." (Wisata Hati: Menemukan Allah di antara Mereka Yang Menderita, Bandung:2007, hal. 51). Kita wajib melestarikan kemakmuran dan kebahagiaan yang kita miliki itu.

Menghancurkan ia adalah lebih mudah berbanding membinanya. Arab spring yang melanda negara-negara Islam di Arab dan Afrika Utara, meskipun sudah setahun berlalu, masih belum ada penamatnya. Bahkan, untuk menetapkan calon sebagai pemimpin pun mereka sanggup mati dan merusuh di jalanan. Itulah akibat tidak bersyukur dan bermuhasabah diri, hanya asyik menutup kelemahan dengan menyalahkan orang lain.


Datuk Dr. Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Sumber:
Utusan Malaysia Online Rencana 18/05/2012