May 25th, 2012

Hikmah berprasangka baik kepada manusia

ISLAM merupakan agama rahmat untuk seluruh manusia tanpa mengira agama, latar belakang dan keturunan, kaum dan puak, bangsa, warna kulit dan sebagainya. Sesungguhnya, Allah Taala telah berfirman dalam Surah Asy-Syu'ara ayat 196 yang bermaksud, "Dan tiadalah Kami mengutus kamu (Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada sekalian alam".

Daripada keterangan ayat Allah Taala itu, kita jelas dan dapat memahami bahawa Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah Taala untuk memberi petunjuk, belas kasihan, rahmat dan kasih sayang untuk sekalian umat manusia. Dalam konteks rahmat yang cukup luas ini, Rasulullah SAW selalu menyeru umat Islam supaya 'Husnul Dzon' atau terjemahan bahasa Arabnya kepada bahasa yang boleh kita fahami adalah berprasangka baik kepada semua manusia dalam segenap urusan, hal dan pekerjaan yang kita lakukan dalam seharian.

Mengikut firman Allah Taala dalam Surah At-Tin ayat 4 yang bermaksud, "Sesungguhnya kami (Allah) telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya."

Melalui keterangan ayat Allah Taala ini cukup jelas menyatakan bahawa manusia ini adalah sebaik-baik ciptaan, suci dan bersih seperti mana ungkapan yang selalu kita dengar suci ibarat 'bayi yang baru dilahirkan daripada rahim ibunya'. Apa yang menjadi cemar dan kotor di sini adalah perbuatan salah dan melanggari syariat agama Islam yang dilakukan oleh manusia itu sendiri.

Pada hakikatnya, semua manusia itu suci dan bersih, perbuatan yang dilakukannya itu disifatkan cemar dan kotor. Maka, Islam telah menggariskan panduan bahawa kita tidak boleh membenci seseorang manusia itu kerana zahir luaran dan bentuk fizikalnya, kita diharuskan membenci perbuatan salah dan melanggari syariat yang dilakukannya.

Melalui penjelasan dan keterangan yang lain pula, Islam tidak sama sekali menyuruh kita membenci si pelaku dosa, sebaliknya Islam menyuruh kita bersangka baik kepadanya dan menyeru serta mendidiknya kepada jalan dan kaedah yang terbaik dan benar mengikut lunas al-Quran dan al-Hadis.

Hal ini kerana tiada 'tiket' dalam Islam yang memberikan kita hak mencaci, memaki- hamun, mengherdik dan merendah-rendahkan martabat manusia akibat perbuatan salah dan dosa yang dilakukanya atas nama agama.

Islam hanya menyuruh umatnya melakukan kebaikan semata-mata, dan tidak sama sekali menyuruh umatnya mempalitkan serta menyelitkan unsur keburukan dan penjanaan sifat negatif itu 'dihalalkan' dalam aspek kebaikan.

Sesuailah dengan firman Allah Taala dalam Surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud, "Tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan takwa dan jangan tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan."

Dalam konteks bersangka baik kepada manusia, kita berkonsepkan Amal Makruf Nahi Mungkar. Ia bermaksud kita mempraktikkan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Rasulullah SAW selalu menasihati kita supaya mencegah kemungkaran hanya setakat pandangan mata kasar kita saja.

Kita tidak boleh sesekali mengintip dan mencari-cari salah laku, keaiban dan kemungkaran yang dilakukan oleh manusia dan sesungguhnya perbuatan ini amatlah ditegah dalam Islam.

Prasangka baik kita yakni pemikiran positif kita dalam melihat kepelbagaian corak tingkah laku dan perangai manusia melalui sudut tanggapan dan perspektif positif tidak akan tercapai sama sekali jika prasangka buruk itu didahulukan.

Islam bukanlah sebuah agama yang mengajar umatnya tajassus (mengintip), menjaga tepi kain orang atau mengintip aib, perbuatan yang memalukan dan salah laku orang lain.

Islam menyuruh kita mencegah perkara maksiat yang nampak terang dan jelas zahirnya di hadapan mata kasar saja dengan menasihati atau menegur terlebih dahulu dengan cara berhikmah dan bijaksana, bukan terus menghukum tanpa mendidik.

Islam tidak menyuruh kita mengintip kesalahan atau aib orang sehingga ke dalam rumah. Jika seseorang itu telah melakukan maksiat sekali pun (secara terbuka atau tertutup), kita mesti membendung dan menutup aib maksiat yang telah dilakukan olehnya daripada diketahui oleh orang lain.

Sebaik-baik hal adalah menutup keburukan orang lain, bukan menjaja cerita perihal hal buruknya kononnya ingin dijadikan sebagai pengajaran buat kita semua. Ini cara yang tidak 'bermoral'. Dan jangan pula kita mendedahkan aib kita sendiri kerana sesungguhnya orang yang waras akan mengunci rapat keaiban dirinya sendiri. Maka, di sinilah peranan mendahulukan bersangka baik kepada manusia memainkan peranan paling utama.

Dr. Yusuf Al-Qaradawi sendiri menyatakan dalam kitabnya Min Fiqh al-Daulah fi al-Islam, tiada seorang pun mempunyai hak sewenang-wenangnya untuk menjatuhkan hukuman terhadap kemungkaran-kemungkaran yang dilakukan secara sembunyi. Terutamanya maksiat hati seperti riak, kemunafikan, kesombongan, dengki, kikir dan lain- lainnya.

Sekalipun agama menganggapnya sebagai dosa besar, namun tidak dibantah selagi tidak zahir dalam bentuk amalan. Sebabnya ialah kita diperintahkan untuk menghakimi manusia apa yang kita nampak. Ada pun hal-hal yang tersembunyi kita serahkan kepada Allah Taala.

Bertepatan dengan firman Allah Taala dalam Surah Al-Hujurat ayat 12 yang bermaksud, "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip mencari-cari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani".

Beginilah keindahan dalam agama Islam. Islam mengajak manusia 'memasuki' dan menghayati ajarannya dengan cara yang baik dan mulia, begitu juga Islam mengajak manusia mencegah perkara mungkar dengan cara baik dan mulia juga.

Dan cara untuk memperolehi keindahan dalam agama Islam itu tidak lain hanya melalui prasangka baik dan positif kita terhadap manusia bertunjangkan dua panduan utama, al-Quran dan hadis. Baiknya sangkaan positif kita itu kepada manusia, maka baiklah keadaan dan situasi orang sekeliling dalam hidup kita.

Pemikiran minda yang sihat dan selalu positif sebeginilah akan menjadikan masyarakat dunia secara keseluruhannya aman, makmur dan sejahtera.


Oleh Ahmad Kamaludin Taib adamkamal89@yahoo.com
PENULIS ialah pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Sumber:
Utusan Malaysia Online Rencana 25/05/2012

Isu Serigala, Penyelesaian dan Dong Zong (ISU-ISU AKHBAR CINA)

JANGAN TERPILIH SERIGALA

AKHBAR China Press pada 17 Mei 2012 menyiarkan artikel mengenai keraguan terhadap kemampuan Pakatan Rakyat menubuhkan kerajaan yang lebih baik berbanding Barisan Nasional (BN). Artikel tulisan Lim Fang bertajuk ‘Pengundi mahukan serigala atau harimau?’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C13.

Selama 50 tahun pentadbiran kerajaan BN, ia telah dibelenggu dengan pelbagai kerenah, ketidakadilan dan rasuah. Kini masyarakat Cina telah melaungkan hasrat untuk melihat wujudnya dwikuasa dan mahukan kerajaan sedia ada ditukar.

Tetapi persoalannya, jika mereka dapat menghalau seekor harimau, mungkin juga mereka akan mengundang serigala pula. Harimau boleh dijinakkan, tetapi jiwa serigala tetap menggemari hutan. Sebab itu dalam pertunjukkan sarkas kita tidak nampak serigala. Ini kerana haiwan itu hanya pandai mengoyak dan menyunyut daging serta menggigit mangsanya.

Hari ini, gabungan tiga parti dalam pakatan pembangkang telah memberi pilihan kepada orang ramai yang beremosi untuk menukar kerajaan dengan mengundi selain daripada BN.

Adakah pihak pembangkang ini lebih baik daripada kerajaan sedia ada? Dwikuasa itu adalah satu benda yang baik, tetapi tidak semestinya semua itu menjadi baik.

Pas bertekad mahu menubuhkan negara Islam. Bagi orang muslim yang percayakan dan setia kepada agama mereka, itu satu petanda yang baik.

Tetapi jika parti itu melaksanakan hukum hudud, mengubah Perlembagaan Persekutuan dan mengetengahkan kehidupan cara Islam secara paksa, ini sudah pasti akan menjadi satu ancaman serius kepada budaya dan adat resam bukan muslim.

DAP pula selalu menutup telinga dan buat-buat tidak dengar hasrat Pas itu. Parti itu sering menanamkan dalam fikiran masyarakat Cina bahawa niat Pas itu tidak diiktiraf oleh DAP.

Dikatakan negara Islam tidak mungkin menjadi kenyataan. DAP menggunakan alasan itu sebagai suntikan ubat pelali atau ubat tidur untuk ditelan masyarakat Cina supaya kaum itu merasa selesa buat seketika.

Sehingga ke hari ini, DAP hanya menonjolkan janji-janji Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga sebagai kekuatan mereka dan di dalamnya hasrat menubuhkan negara Islam tidak dijelaskan dalam bentuk tulisan.

Dikatakan juga, jika Pakatan Rakyat memimpin Kerajaan Pusat, mereka tidak akan memperkenalkan polisi-polisi baru selain daripada apa yang terkandung dalam Buku Jingga.

Persoalannya, jika Perlembagaan Persekutuan boleh diubah, sudah pasti mereka boleh membuang ayat-ayat dan menokok tambah kandungan Buku Jingga yang isinya umpama sepiring sayur.

Perkara ini terbukti apabila Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menabur bunga, berjanji mahu menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan banyak lagi janji-janji yang berubah-ubah mengikut keadaan semasa. Semua janji itu tidak terdapat dalam Buku Jingga.

Apa yang kita boleh sanjung terhadap Pas adalah ia tidak menghiraukan orang Cina atau India yang mengadu tidak selesa dengan cadangan penubuhan negara Islam. Pas tetap berpegang teguh mahu mewujudkan negara Islam. Mereka tidak berganjak walaupun setapak. Apa yang Pas mahukan adalah undi daripada masyarakat Melayu.

Dalam pada itu, Pas membiarkan Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng dua beranak ini untuk menyelesaikan masalah orang Cina dan India yang tidak berpuas hati dengan cadangan penubuhan negara Islam. Ini termasuk mendapat sekurang-kurangnya 80 peratus undi kaum Cina.

DAP kini hanya mempunyai 29 ahli Parlimen dan jika Pas dan PKR bergabung, ‘Roket’ pasti menjadi sampah kepada mereka. Mungkin keadaan DAP pada masa itu lebih teruk berbanding MCA sekarang yang terpaksa tunduk dan mengikut arahan UMNO.

Sebab itu, ada pepatah politik yang menyebut sifat saling hormat menghormati dan kesepakatan boleh berubah menjadi karut pada bila-bila masa sahaja. Jika ini terjadi, Buku Jingga yang disepakati secara bersama itu hanya akan menjadi kertas longkang sahaja.

BUKA GERAI BUKAN PENYELESAIAN

CADANGAN peniaga Jalan Masjid India dan Jalan Tunku Abdul Rahman membuka 60 gerai di hadapan rumah Pengerusi Bersih 3.0, Datuk S. Ambiga di Bukit Damansara, Kuala Lumpur disentuh akhbar China Press dalam satu artikel pada 22 Mei 2012. Artikel tulisan Kim Ting bertajuk ‘Balas membalas tindakan yang kurang kerja?’ disiarkan dalam ruangan Kedai Kopi Orang Ramai halaman C15.

Warung ini agak luar biasa berbanding gerai di pasar malam atau pasar tani kerana ia dibuka di kawasan kediaman mewah.

Keduanya, orang yang mengambil bahagian itu akan memakai baju berwarna kuning yang dicetak perkataan Bersih 4.0, sedangkan mereka bukan pengikut Ambiga dan bukan penyokong perhimpunan Bersih.

Kita dengan mudah dapat melihat tindakan mereka itu adalah untuk membalas dendam. Mereka memakai baju Bersih berwarna kuning yang boleh mengelirukan orang ramai sehingga boleh dianggap Bersih tidak cukup dana dan perlu melakukan aktiviti jualan amal.

Kami percaya ramai orang akan merasakan perbuatan membalas dendam itu adalah kebudak-budakan yang dibuat oleh mereka yang kurang kerja. Jika dikatakan perhimpunan Bersih menyebabkan peniaga rugi, pandangan itu adalah salah kerana mereka tidak tahu menggunakan peluang yang ada itu.

Dalam perniagaan ada kata-kata mutiara seperti ‘Tempat yang berisiko tinggi itu ada banyak peluang perniagaan’. Jika anda tidak tahu menggunakan sepenuhnya peluang itu, jangan salahkan orang lain, sebaliknya salahkanlah diri sendiri, bukankah begitu?

Jika benar peniaga terbabit mengalami kerugian, mereka sepatutnya meminta pihak kerajaan membayar ganti rugi. Kenapa begitu? Kerana kita membayar cukai pendapatan dan kerajaan menggunakan wang itu untuk menyediakan tempat untuk peniaga berniaga dan mendapat keuntungan.

Sekarang ini perniagaan mereka terjejas kerana keadaan menjadi buruk. Itu kerana pihak kerajaan tidak cekap menanganinya. Kerajaan telah mengabaikan tanggungjawab mereka, sebab itu pihak kerajaan bertanggungjawab untuk membayar ganti rugi yang sepatutnya.

Bukan peserta perhimpunan ataupun orang yang terlibat dengan tunjuk perasaan itu yang sepatutnya membayar ganti rugi. Adakah anda semua faham?

Jika apa yang saya sebutkan ini kurang jelas dan anda masih tidak faham, saya boleh beri satu lagi contoh. Jika anda berjalan kaki di lorong-lorong di Kuala Lumpur, tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang besar dan cedera, disebabkan penutup longkang telah hilang dicuri.

Anda telah rugi sebanyak RM1,000 kerana terpaksa membayar kos perubatan. Adakah anda boleh menuntut wang daripada pencuri itu? Sudah tentu tidak boleh. Jika mahu menuntut kerugian itu, anda kena berjumpa dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan alasan ia telah mengabaikan tanggungjawabnya dan mengabaikan keselamatan orang awam.

Kepada peniaga terbabit ada bidalan untuk mereka iaitu ‘Balas membalas dendam, bilakah akan berakhir?’ Buat sesuatu yang memadai sahaja sudah cukup, supaya kita tidak diketawakan oleh dunia luar!

TINGKATKAN KEKUATAN DONG ZONG

AKHBAR Sin Chew Daily bertarikh 18 Mei 2012 menyiarkan artikel berkenaan langkah Gabungan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) keluar daripada sidang meja bulat bagi membincangkan mengenai pendidikan kaum itu.

Artikel tulisan Timbalan Pengarang akhbar berkenaan, Lim Sue Fah bertajuk ‘Hari esok untuk pendidikan Cina’ disiarkan dalam ruangan Sudut Pendapat, halaman 38.

Pada 5 April lalu, Dong Zong mengumumkan keluar daripada sidang meja bulat yang dianjurkan kerajaan bagi membincangkan mengenai pendidikan Cina.

Dong Zong bertindak sedemikian kerana menganggap sidang itu hanya membincangkan perkara teknikal dan isu-isu terpencil. Ia langsung tidak mengambil kira usul ketika Perhimpunan Bantahan 325 Dong Zong pada 25 Mac lalu yang mahukan isu pendidikan Cina diselesaikan secara menyeluruh di peringkat dasar.

Ini termasuk masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan isu guru yang tidak layak mengajar di sekolah itu.

Kita sudah tentu dapat memahami kerisauan Dong Zong kerana jika kerajaan meneruskan dasar yang sama, SJKC tidak mungkin mendapat layanan adil dan ia tidak akan memperoleh peruntukan subsidi secara tahunan.

Sekolah menengah Cina swasta dan cawangannya juga tidak akan dapat dibina semula kerana ia bertentangan dengan dasar kerajaan sedia ada. Bagaimanapun, adakah Dong Zong mampu membuatkan pemerintah memberi perhatian terhadap rayuan yang telah dibuatnya?

Pada masa sekarang, kita mendapati ia tidak mampu menarik sokongan orang ramai kerana kurang bercampur dengan masyarakat serta tidak banyak menganjurkan aktiviti-aktiviti.

Untuk menarik perhatian kerajaan, Dong Zong perlu menyertai perhimpunan Hijau 2.0 dan memperluaskan rangkaian hubungan dengan masyarakat umum. Ia juga perlu menjalin hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan yang mewakili orang bukan Cina.

Sebelum ini, Dong Zong pernah mengambil bahagian dalam politik. Contohnya, pada 1982, ia menghantar wakil menyertai Gerakan dan pada 1990 ada wakilnya yang masuk DAP. Cara seperti itu, umpama pasukan tinju, ia hanya dapat memukul sasaran di sebelah kiri sahaja dan tidak mungkin menang dalam pertandingan.

Sebenarnya, Dong Zong perlu bijak dalam mengurus atur orang-orang di peringkat bawahan untuk menunjukkan kekuatan sehingga boleh mempengaruhi parti pemerintah dan pembangkang. Oleh itu, marilah kita sama-sama rapatkan organisasi terlebih dahulu!




Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 24/05/2012

Kembali kenal, selami budaya berbilang bangsa

SETELAH puluhan tahun merdeka kita kelihatan masih mencari-cari erti perpaduan yang sering dilaungkan, dan ada ketikanya terfikir adakah belia pada hari ini memahami semangat 1Malaysia. Semangat perpaduan yang dilaungkan demi membangunkan masyarakat yang aman dan makmur.

Sempena Hari Belia, kita perlu merenung sejenak, melihat apa peranan belia dalam mencapai semangat 1Malaysia? Di manakah kita perlu bermula? Di rumah, sekolah, tempat kerja atau di mana sebenarnya? Adakah Sekolah Wawasan berjaya? Adakah Program Latihan Khidmat Negara berjaya?

Sekolah Wawasan dan Program Latihan Khidmat Negara memang ada kebaikannya dan kejayaannya, tetapi terdapat keperluan untuk ditambah pengisiannya. Malah digiatkan lagi program-program lain sepertinya.

Perpaduan perlu datang dari hati yang ingin kenal dan menyelami setiap budaya dan bangsa di Malaysia. Kalau kita tidak tahu, kita cuba fahami. Kalau kita tidak pasti, kita cuba ikuti. Pengalaman hidup adalah sesuatu yang tidak dapat dijual beli.

Pengalaman hidup saya yang biasa bergaul dengan kaum Melayu dan India membuatkan saya tidak pernah rasa kekok atau terpinggir apabila bersama mereka. Sebenarnya bermula dari kecil lagi keluarga menggalakkan saya hidup dalam suasana berbilang kaum terutama bersama orang Melayu. Di sini saya melihat sikap hormat-menghormati antara sesuatu bangsa sangat penting apatah lagi menghormati agama masing-masing.

Kepentingan perpaduan disokong oleh bekas, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan bahawa manusia yang lemah sekalipun jika bersatu padu akan dapat menggoncang dunia. Demikianlah kesannya perpaduan.

Pada satu kesempatan, saya bertanyakan kepada beberapa belia berlainan bangsa tentang perayaan-perayaan di Malaysia. Ternyata kebanyakan mereka tidak tahu apa itu Perayaan Pesta Tanglung, Hari Cheng Beng, Hari Thaipusam, Hari Ponggal, Hari Vaisakhi, Maulidur Rasul dan beberapa perayaan lain.

Mereka cuma tahu perayaan penting seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali. Bagaimana sebenarnya mereka hendak tahu jika tidak pernah diberitahu dari kecil? Bagaimana mereka dapat mengenali budaya bangsa lain jika ibu bapa tidak menerangkan dan membawa mereka melawat kawan-kawan yang berlainan bangsa?

Kita semua sibuk dengan urusan pejabat dan harian dan akhirnya penat kerana mencari rezeki maka kita terlepas pandang tentang pentingnya bertandang ke rumah kawan-kawan kita yang lain dan mengeratkan silaturahim antara kita.

Saya ingin memetik kisah pakcik saya yang kami panggil Ah Koo, maksudnya pakcik dalam bahasa Hokkien yang kini masih menetap di Gunung Keriang, Kedah. Ah Koo sangat sayangkan kanak-kanak Melayu di kampungnya kerana memang majoriti penduduknya ialah Melayu. Ah Koo mengatakan bahawa semua kanak-kanak Melayu telah dianggap anaknya sendiri.

Apabila tiba Tahun Baru Cina, maka Ah Koo akan mengupah orang Melayu membuat kuih Melayu dan tetamu yang datang akan dihidangkan dengan ketupat, rendang, kuih-kuih tradisional Melayu dan minuman air kelapa. Buah kelapa pula dipetik oleh orang Melayu.

Saya bertanya kepada Ah Koo, Kenapa makanan Melayu? Katanya: "Semua rumah orang Cina bagi makanan yang sama, aku nak jamu makanan Melayu, senang semua orang Melayu datang nanti tak was-was nak makan sebab yang masak orang Melayu". Begitulah prihatinnya Ah Koo yang disayangi di Gunung Keriang.

Saya juga terharu dengan penduduk di Tandop Besar, Kedah semasa saya mengajar di sana selama dua tahun. Sesuatu yang tidak dapat dilupakan bagaimana masyarakat Melayu di sana menjaga saya dengan baik.

Jika ada kenduri di kampung, saya akan disediakan makanan tambahan. Tuan rumah akan bertanya: "Cikgu makan daging lembu tak, makcik dah sediakan lauk ayam ini khas untuk cikgu". Saya terharu kerana makcik itu memahami tanpa diberitahu pun.

Kenangan berbuka puasa bersama orang Melayu di kampung memang diingati kerana sayalah orang yang paling sibuk sebagai tukang rasa lauk pauk yang dimasak untuk berbuka puasa nanti.

Begitu juga dengan seorang kawan bernama Geetha, seorang cikgu keturunan India yang bertugas di sebuah kampung memberitahu bahawa dia juga diberi layanan yang sangat baik di kampung tempatnya mengajar.

Mereka memahami budaya orang India dan ada penduduk kampung yang masak di kuali lain khas untuk Geetha yang hanya makan sayur. Tersentuh hati Geetha kerana layanan orang Melayu kepadanya.

Semangat 1Malaysia memang wujud dari dahulu lagi dan kita perlu memperkukuhkannya melalui usaha yang proaktif dan bukan hanya melaungkan slogan tanpa mempraktikkannya.

Program seperti Program Khas Anak Angkat Berbilang Bangsa perlu diwujudkan dari awal lagi oleh Kementerian Pelajaran bergabung dengan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, serta Kementerian Belia dan Sukan.

Konsepnya boleh diadakan secara secara santai seperti menerangkan kepada anak-anak Malaysia tentang perayaan, budaya dan bangsa di Malaysia. Anak-anak Malaysia ini perlu dibawa dalam program begini dan penerangan perlu diberikan kepada mereka bagaimana menghormati budaya berbilang bangsa.

Jelajah Belia 1Malaysia ke Perkampungan Cina yang berbilang etnik seperti Teochew, Hokkien, Kantonis, Hakka, Foochow dan lain-lain. Jelajah ke Perkampungan Jawa, Perkampungan Orang Asli dan merentas ke Sabah dan Sarawak yang lagi unik dengan etniknya berbeza.

Apabila kita merasai sendiri pengalaman hidup bersama bangsa lain, maka kita akan mengenali budaya yang pelbagai itu dengan hati dan jiwa. Ketika ingin memasuki alam perkahwinan, saya teringat pesan kata orang tua-tua ketika itu:

"Belum kahwin tak tahu lagi tapi bila dah kahwin dah hidup serumah baru tahu banyak perbezaan yang wujud antara suami isteri". Itu contoh suami isteri yang sama bangsa. Bagaimana kalau kita sama bangsa tetapi berlainan etnik? Kita fikirkan bersama?

Bagi saya, apabila kita cuba kenal maka kita akan cinta dan apabila cinta maka kita akan setia. Apabila setia pada satu, maka kita akan terus setia selamanya kepada Malaysia. Salam 1Hati.




DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 24/05/2012

Azan dari Kaabah

Sirah Nabawi

SUASANA menjadi gegak-gempita apabila rombongan umat Islam dari Madinah mula memasuki Kota Mekah. Kemaraan mereka ke Kaabah tidak dapat dihalang lagi.

Laungan talbiah untuk menjadi tetamu Allah bersahut-sahutan dengan langkah mereka penuh megah sambil berpakaian ihram.

Namun kehadiran 2,000 umat Islam itu sudah cukup menggerunkan penduduk Mekah lain.

Mereka tidak dapat menahan umat Islam daripada terus mara menuju ke Kaabah dan hanya mampu menyaksikan umat Islam melaksanakan ibadat umrah sebaik tiba di Kaabah.

Di dahului oleh Rasulullah yang terus bertawaf dengan terlebih dahulu baginda melakukan istilam di sudut Rukun Yamani dan Hajar Aswad.

Baginda terus mengucup batu itu dan mula berlari dengan langkah pendek dan kemudian dituruti para sahabat dan umat Islam lain.

Sampai pada satu sudut Kaabah, iaitu Rukun Yamani, baginda berjalan seperti biasa sehingga sampai semula ke Hajar Aswad. Kemudian baginda berlari lagi dengan langkah pendek mengelilingi Kaabah.

Begitulah yang dilakukan oleh baginda dan umat Islam yang lain sebanyak tiga kali.

Kemudiannya mereka berjalan seperti biasa mengelilingi Kaabah sebanyak empat kali bagi mencukupkan jumlah pusingan tawaf.

Umat Islam kemudiannya melakukan ibadat rukun ketiga dalam umrah iaitu saie dengan berlari-lari anak sebanyak tujuh kali pergi dan balik antara Bukit Safa dan Bukit Marwa.

Baginda mengakhiri ibadah umrah dengan menyembelih unta sebanyak 60 ekor sebagai ibadat korban, setelah selesai bertahalul (bercukur).

Segala gerak geri umat Islam itu diperhatikan oleh seluruh masyarakat musyrikin di Mekah yang merasa begitu kagum terhadap Nabi Muhammad yang begitu kuat pengaruh di kalangan para pengikut.

Mereka tidak menyangka baginda menjadi seorang pemimpin yang begitu ditaati, sedangkan tidak ada apa keistimewaan, pangkat mahupun harta yang dapat diberikan kepada para pengikut baginda itu.

Selepas hari pertama mengerjakan umrah, masih berbaki dua hari untuk umat Islam dibenarkan berada di Mekah.

Kesempatan yang ada itu tidak dipersia-siakan. Rasulullah sendiri pada keesokan harinya telah melakukan iktikaf di dalam Kaabah sehingga tengah hari.

Walaupun di dalam dan luar Kaabah dipenuhi patung-patung berhala (dianggarkan terdapat 360 patung berhala yang diletakkan mengelilingi Kaabah), namun semua itu tidak menghalang baginda dan umat Islam untuk beribadat kepada Allah.

Malah baginda telah mengarahkan Bilal bin Rabah mengalunkan azan setiap kali tibanya waktu solat.

Lalu Bilal akan naik ke atas Kaabah dan terus melaungkan azan yang dapat didengari seluruh Lembah Mekah.

Buat pertama kali mendengar akan azan itu, penduduk kafir Quraisy bukan sahaja tersentak tetapi tidka boleh hendak melarang kerana panggilan untuk mengerjakan ibadat tidak menyalahi mana-mana isi perjanjian.

Namun mendengarkan suara Bilal yang bukan sahaja merdu tetapi lantang, timbul rasa malu di kalangan pemimpin Quraisy. Mereka tidak menyangka empunya suara itu adalah seorang bekas hamba abdi yang hidupnya dahulu pernah diseksa dan hampir-hampir maut.

Namun yang penting, umat Islam bebas melakukan ibadat terutama bersolat di Mekah yang dahulunya terpaksa dilakukan secara sembunyi-sembunyi.

Setelah selesai solat, kebanyakan umat Islam mengambil kesempatan yang ada untuk melawat Kota Mekah. Bagi kaum Muhajirin, mereka berjalan-jalan sambil menziarahi kampung halaman yang telah tujuh tahun ditinggalkan.

Untuk orang Ansar pula, mereka mengikut rakan-rakan Muhajirin berjalan-jalan di sekitar kota Mekah.




Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 23/05/2012

Bilakah hari Kiamat?

Tafsir Al-Quran & Asbabun Nuzul


SURAH ini diturunkan selepas surah al-Qari'ah. Keseluruhan ayatnya berjumlah 40 ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makkiah.

Hubungan surah ini dengan surah yang sebelumnya, bahawa di dalam surah sebelumnya ada menyebutkan tentang firman Allah SWT yang bermaksud: Sebenarnya (bukan kerana kemahuan mereka tidak berhasil) bahkan mereka (tidak percaya) dan tidak takut akan hari akhirat. (al-Mudassir: 53)

Mereka tidak berasa takut dengan kedatangan hari akhirat itu disebabkan keingkaran tentang kebangkitan semula.

Manakala dalam surah ini pula terdapat dalil tentang hari kebangkitan yang disebutkan dengan cara yang sempurna sehingga digambarkan hari Kiamat itu dengan segala kengeriannya.

Kemudian digambarkan pula apa yang berlaku sebelum terjadinya hari Kiamat, iaitu keluarnya roh dari badan. Dan disebutkan juga apa yang berlaku sebelum itu iaitu penciptaan yang pertama.

Firman Allah SWT: Aku bersumpah demi hari Kiamat. Dan Aku bersumpah dengan jiwa yang amat menyesali (dirinya sendiri). (al-Qiyamah: 1-2)

Al-Farra' berkata: "Tidak ada nafsu yang baik dan buruk kecuali ia mencela dirinya. Jika ia mengerjakan kebaikan, ia mengatakan 'mengapa aku tidak memperbanyakannya'. Sebaliknya jika ia mengerjakan keburukan, ia mengatakan 'seandainya aku tidak melakukannya'. Gambaran ini menunjukkan pujian terhadap jiwa dan boleh bersumpah dengan jiwa."

Sumpah Allah SWT dengan hari Kiamat itu untuk membesarkan dan menghormati keadaannya. Allah SWT sahaja boleh bersumpah dengan apa yang dikehendaki-Nya daripada makhluk-Nya.

Said Ibnu Jubair berkata: "Aku bertanya kepada Ibnu Abbas tentang firman Allah SWT: Aku bersumpah dengan hari Kiamat. Dia menjawab: Tuhanmu bersumpah dengan apa yang dikehendaki-Nya daripada makhluk-Nya."

Qatadah berkata: " Aku bersumpah dengan keduanya secara keseluruhan."

Ibnu Jarir berkata: "Yang lebih dekat dengan lahiriah ayat bahawa jiwa mencela pemiliknya atas kebaikan dan keburukan serta menyesali segala perkara yang telah berlalu."


Kejadian gempa bumi yang berlaku adalah sebahagian daripada bukti kekuasaan Allah, sekali gus mengatasi kecanggihan teknologi moden masa kini. - Gambar hiasan

Firman Allah SWT: Apakah manusia mengira, bahawa kami tidak akan mengumpulkan (kembali) tulang belulangnya? Bukan demikian, sebenarnya kami kuasa menyusun (kembali) jari jemarinya dengan sempurna. (al-Qiyamah: 3-4)

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT dapat mengumpulkan semua tulang-temulang, menyusun dengan sempurna dan mengembalikan seperti dalam keadaan asal selepas tulang-temulang itu bercerai-berai dan bertebaran di dasar lautan atau di padang pasir yang luas, mahupun di mana-mana tempat. Allah SWT juga dapat meratakan hujung kedua-dua tangan dan kakinya. Allah SWT jadikan kedua-duanya itu menjadi satu, seperti kuku unta, keldai dan sebagainya."

Ibnu Kathir berkata: "Apakah pada hari Kiamat kelak manusia akan mengira bahawa Kami (Allah) tidak akan mampu mengembalikan sekali gus dan mengumpulkan tulang-belulangnya dari tempat yang terpisah-pisah?"

Said bin Jubair dan al-'Aufi berkata daripada Ibnu Abbas: "Kami (Allah) mampu membuatnya beralas kaki ataupun tidak beralas kaki."

Sayid Qutub berkata: "Yang menjadi masalah kesedaran kaum musyrikin ialah kesulitan mereka untuk memikirkan kemungkinan tulang-tulang yang telah hancur reput di dalam tanah itu dapat dikumpulkan kembali untuk menghidupkan semula manusia yang telah mati. Mungkin masalah ini masih menjadi masalah kepada setengah-setengah manusia sehingga hari ini."

Ayat ini juga menerangkan tentang proses penyusunan semula jari-jari yang merupakan proses pembentukkan semula seseorang manusia dengan sehalus-halus dan serapi-rapinya. Dan penyusunan semula itu dilakukan dengan sempurna.

Firman Allah SWT: Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus. (al-Qiyamah: 5)

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT beralih daripada perbincangan tentang orang yang berprasangka itu, kepada pemberitahuan tentang keadaan orang yang berprasangka tadi, seolah-olah dikatakan: "Tinggalkan mencacinya kerana dia telah sampai kepada tahap, dia ingin meneruskan kemaksiatannya pada masa akan datang dan tidak ingin meninggalkannya."

Said mengatakan daripada Ibnu Abbas: Iaitu berjalan terus.

Al-Aufi mengatakan daripada Ibnu Abbas juga iaitu angan-angan.

Manusia berkata: "Aku akan melakukan ini dan kemudian akan bertaubat sebelum hari kiamat."

Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibnu Abbas iaitu orang kafir yang mendustakan hari perhitungan.

Firman Allah SWT: Ia berkata: Bilakah hari kiamat itu? (al-Qiyamah: 6)

Menurut Al-Maraghi, mereka mengingkari hari kebangkitan lantaran dua perkara berikut:

1. Kekaburan yang wujud dalam pemikiran, seperti ucapan mereka yang mengatakan bahawa anggota tubuh ini, apabila telah bercerai-berai dan bercampur-aduk dengan tanah serta berserakan di bahagian timur dan barat bumi, maka bagaimana mungkin untuk dibeza-bezakan dan dikembalikan semula keadaannya yang asal itu.

2. Sentiasa ingin berada dalam kenikmatan dan suka menurut nafsu syahwat sehingga orang tidak mahu mengakui kedatangan hari perhimpunan dan kebangkitan, supaya kenikmatannya itu tidak terganggu.

Ibnu Kathir berkata: " Dia bertanya, bilakah hari Kiamat itu tiba? Pertanyaan ini menuju ke arah menganggap mustahil berlaku kejadian hari Kiamat dan mendustakan keberadaannya."

Sayid Qutub berkata: "Pertanyaan dengan menggunakan kata-kata ayyana (bilakah) yang bernada panjang itu menyarankan betapa jauhnya bagi mereka kemungkinan berlakunya hari Kiamat itu. Ini sesuai dengan keinginan mereka untuk terus melakukan kejahatan dan maksiat tanpa diganggu dan dihalang oleh bayang-bayang kebangkitan semula atau bayang-bayang akhirat. Sebenarnya akhirat itu merupakan pengawal nafsu kejahatan dan penghalang hati yang ingin melakukan maksiat, sedangkan manusia mahu menghapuskan pengawal dan penghalang ini supaya mereka bebas melakukan kejahatan dan maksiat tanpa memperhitungkan hari hisab."

Dalam surah yang kita bincangkan di atas jelas menunjukkan betapa berkuasanya Tuhan di dalam mengatur kejadian dan ciptaan-Nya yang Maha Agung. Allah SWT boleh melakukan apa sahaja, sedangkan manusia dengan sifatnya yang lemah kadang-kadang terbabas dalam melayari bahtera kehidupan sehingga melanggar perintah dan arahan Allah. Semoga kita menjadi hamba-Nya yang sentiasa taat dan patuh terhadap perintah-Nya.


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI
Sumber:
Utusan Malaysia  Online Bicara Agama 25/05/2012

Zikir landasan mohon pertolongan sebenar

TERASA bagaikan berada di dataran Masjidil Haram, Mekah, perkarangan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang menjadi lokasi majlis Istighasah al-Kubra dibanjiri oleh umat Islam dengan berpakaian serba putih.

Masing-masing hadir membawa semangat dan niat yang ikhlas semata-mata untuk mengabdikan diri dan bermunajat kepada Allah SWT.

Meremang bulu roma mendengar kehebatan gema takbir, tahmid, tahlil dan bacaan ayat suci al-Quran yang dialunkan oleh lebih 5,000 umat Islam memuji kebesaran tuhan yang maha esa dan junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Perhimpunan zikir besar-besaran yang julung kalinya diadakan di negara ini itu berjaya menghimpunkan umat Islam tidak kira keturunan, ideologi politik, warna kulit dan peringkat umur.

Peserta sanggup melawan nafsu dengan mengorbankan masa rehat, tenaga dan wang ringgit demi menghadiri majlis tersebut yang bermula seawal pukul 4 pagi - waktu ketika orang lain sedang enak dibuai mimpi.

Khusyuk... jemaah yang hadir bersemangat mengikuti bacaan Zikir Istighasah meskipun semasa latihannya di dalam dewan masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Kelihatan peserta yang hadir bukan sahaja daripada sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Klang, malah daripada seluruh pelosok tanah air untuk menyertai majlis yang penuh keberkatan itu.

Warga emas, kanak-kanak dan golongan kurang upaya turut bersemangat meraikan majlis dan sama-sama memohon petunjuk dan pertolongan daripada Allah.

Penganjuran Istighasah al-Kubra yang dipenuhi dengan pengisian kerohanian termasuk qiamullail, zikir munajat, ceramah dan tazkirah itu memberi peluang kepada orang ramai bermuhasabah diri, menyucikan hati dan memanjatkan hajat kepada Allah.

Di samping itu, ia turut membuktikan amalan Islam merupakan landasan terbaik bagi umat untuk memohon keamanan dan kesejahteraan negara serta menyatupadukan ummah.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ketika ditemui berkata, zikir yang diucapkan dengan hati yang ikhlas untuk mengagungkan Allah dapat menyucikan hati dan boleh mendatangkan banyak kelebihan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud: Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenteram. (Ar-Ra'd : 28)

Menyucikan hati

"Kita digalakkan untuk berzikir mengingati Allah pada setiap masa, bukan sahaja ketika mengikuti program-program yang dianjurkan, tetapi di mana sahaja dalam apa jua keadaan.

"Sebagai contoh, dalam kehidupan seharian, kita banyak melihat kebesaran dan keindahan ciptaan Allah. Maka ucaplah subhanallah, setiap detik kita menghirup udara segar dan mengurniakan kesihatan, ucaplah kalimah syukur, alhamdulillah.

"Zikir yang diucap dengan perasaan yang ikhlas mampu menyucikan hati seseorang daripada sifat yang negatif serta menghapuskan dosa-dosa kecil," katanya ketika ditemui Mega pada majlis itu.

Majlis itu anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dengan kerjasama Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Turut hadir Yang Di-Pertua Yadim, Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd. Tahir; Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali dan bekas Menteri Agama Republik Indonesia, Profesor Dr. Said Agil Husin Al Munawir.

Tambah Harussani, majlis perhimpunan zikir seperti itu juga secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi semangat ukhuwah silaturahim sesama umat Islam di negara ini yang dilihat semakin luntur.

"Jika kita lihat apa yang terjadi pada masa ini, ramai di kalangan umat Islam berpecah belah dan berlaku perbalahan di sana sini. Ini hanya akan merosakkan kekuatan institusi agama Islam itu sendiri.

"Maka dengan adanya majlis ini secara tidak langsung dapat mengumpulkan seluruh umat Islam tidak kira apa jua fahaman untuk sama-sama bermunajat dan memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya dikurniakan keamanan serta kesejahteraan kepada negara dan rakyat," jelasnya.

Setiap usaha yang dilakukan tidak mungkin akan tercapai jika tidak mendapat keizinan daripada Allah. Dalam ribuan jemaah yang hadir, pasti ada terselit seorang yang doanya diterima oleh Allah.

Menerusi penganjuran program itu diharap mampu mengekalkan keamanan negara dan menambah baik keharmonian rakyat serta negara dalam setiap aspek.

Beliau turut menasihatkan rakyat negara ini terutama umat Islam supaya mengelakkan diri daripada mengikuti atau menganjurkan perhimpunan yang tidak berfaedah dan boleh membawa kebinasaan kepada Malaysia.

"Sebagai umat Islam, kita perlu mengelakkan diri daripada mengikuti perhimpunan yang tidak berfaedah kerana ia hanya perbuatan yang sia-sia dan mendatangkan kemudaratan kepada negara serta orang ramai.

"Sebaliknya kita harus menganjur dan mengikuti perhimpunan yang memberikan kebaikan kepada negara dengan sama-sama memohon pertolongan dan keampunan daripada Allah SWT. Ini penting bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara daripada sebarang bencana dan huru-hara," katanya.




Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD
Gambar ZAINI HUSIN
Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 25/05/2012