June 9th, 2012

Transformasi TH sentiasa ikut masa, ekonomi

SAYA dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara di atas berkaitan artikel 'Tabung Haji patut tambah pelaburan di Mekah, Madinah' yang ditulis oleh Mohd Rizal Zainal di akhbar Utusan Malaysia bertarikh 4 Jun 2012.

Sebagai agensi yang diamanahkan untuk mengurus kebajikan jemaah haji Malaysia ketika menunaikan ibadah rukun Islam kelima ini, Tabung Haji (TH) sentiasa mengambil insiatif dan berusaha untuk menambah baik mutu perkhidmatan dan memastikan segala keperluan jemaah Malaysia seperti keperluan dan keselesaan penginapan di Tanah Suci semasa musim haji adalah mencukupi dan memenuhi piawaian yang telah ditetapkan.

Seperti yang kita sedia maklum, Kota Makkah sedang menjalani proses pembangunan dan menaik taraf kemudahan yang melibatkan hotel-hotel serta kemudahan lain yang dijangka akan mengambil masa jangka sederhana untuk disiapkan.

Kerja-kerja pembesaran dan menaik taraf ini melibatkan sebahagian besar kawasan penginapan yang berhampiran dengan Masjidil Haram dirobohkan bagi tujuan menaik taraf.

Sehubungan dengan itu, TH juga agensi-agensi dari negara-negara lain terpaksa menyewa dan memajak kawasan penginapan lain, di luar dan tidak terlibat dengan kawasan pembinaan ini. Kesulitan ini adalah bersifat sementara untuk keselesaan jemaah masa hadapan.

Sebagai langkah jangka panjang, TH telah pun membuat pelaburan dengan memajak hotel-hotel di Mekah dan Madinah untuk tempoh di antara tiga (3) hingga 25 tahun. Ini akan dapat membantu TH memberikan tempat penginapan yang selesa untuk para jemaah di samping membantu membendung kos perbelanjaan mengerjakan haji ke paras yang rendah di rantau ini.

Menyentuh tentang isu mengapa TH tidak membeli dan membuat pelaburan dengan pemilikan hotel di Mekah dan Madinah, untuk makluman tuan, TH menghadapi kekangan untuk membeli serta memiliki aset bangunan dan tanah di Tanah Suci kerana dasar dan undang-undang Kerajaan Arab Saudi, pemilikan hartanah (bangunan & tanah) di Mekah dan Madinah hanya boleh dimiliki oleh rakyat Arab Saudi sahaja.

Oleh itu, lain-lain warganegara hanya dibenarkan membuat penyewaan atau pajakan bangunan sahaja di Mekah dan Madinah. Oleh sebab demikianlah, TH tidak boleh memiliki hartanah di Mekah dan Madinah seperti yang disarankan penulis.

Mengenai kos pembiayaan ibadah haji, TH senantiasa mencari jalan untuk menangani dan membendung kenaikan kos ini sebaik mungkin. Tahun lalu sahaja TH telah membelanjakan sebanyak RM105 juta untuk memastikan yang jemaah haji Malaysia hanya perlu mengeluarkan kos sebanyak RM9,980 seorang untuk 40 hari, berbanding dengan jemaah dari rantau ini yang membayar kos perbelanjaan mengerjakan haji lebih daripada RM15,000 seorang. Kos tanggungan haji ini dapat ditampung melalui hasil daripada keuntungan pelaburan tahunan TH.

Namun, sebagai pengurus dana di Malaysia, TH juga sentiasa mencari peluang pelaburan sama ada di dalam mahupun di luar negara bagi menjana pendapatan kepada para pendepositnya yang kini telah melebihi 7 juta orang.

Perancangan TH bagi pelaburan di London adalah menjurus kepada pemilikan bangunan pejabat yang mempunyai penyewa jangka panjang dan di lokasi sekitar bandar raya ini yang berpotensi untuk peningkatan nilai pasaran hartanah tersebut.

Setiap pelaburan yang dibuat oleh TH akan melalui beberapa peringkat proses penilaian yang mengambil kira semua aspek termasuk risiko, syariah, kadar pulangan, perundangan dan bidang industri tertentu yang selaras dengan objektif dan Akta TH.

Perlu juga dijelaskan bahawa TH, dalam aktiviti perniagaannya terlibat dalam pelaburan yang berbagai corak dan bidang selain daripada menentukan semua aktiviti ini menepati dengan kehendak syariah. TH sentiasa ingin menjamin pulangan jangka panjang yang menguntungkan pemegang kepentingan (stakeholders) TH.

Selaras dengan Pelan Strategik lima (5) tahun bagi memastikan pulangan pelaburan yang berulang, TH juga akan meninjau pelaburan hartanah di luar negara selain daripada pelaburan di Arab Saudi.

Malah pelaburan di luar negara terutama pelaburan hartanah di London juga diceburi oleh institusi GLIC lain seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB).

TH perlu mempelbagaikan aktiviti perniagaannya yang tidak melabur dalam negara sahaja bagi menjamin TH berdiri kukuh sebagai institusi kewangan Islam yang membantu memperkasakan ekonomi ummah. Ini selari dengan misi TH iaitu, "Tunggak kejayaan ekonomi ummah; pengurusan haji terbilang."

Pemilikan hartanah di negara asing juga membuktikan kepada dunia kemantapan kewangan Islam yang diterajui oleh TH. Sehingga kini, TH berjaya memainkan peranannya dengan jayanya oleh kerana polisi pelaburan dan pengurusannya yang baik.

Ini terbukti dengan rekod pencapaiannya di mana TH berjaya mengumumkan pembayaran bonus yang kompetitif kepada para pendepositnya. Tahun lalu, TH memberi pembayaran bonus pada kadar enam peratus (6%) yang berjumlah RM1.67 bilion kepada para pendepositnya.

Kadar bonus yang diumumkan tersebut adalah lebih baik daripada kadar simpanan yang ditawarkan oleh kebanyakan kadar simpanan perbankan Islam di Malaysia, yang menawarkan pulangan pada secara purata 3%. Dari segi pengurusan operasi haji pula, nyata TH cemerlang di bidang ini kerana organisasi ini diiktiraf oleh Arab Saudi dan beberapa negara Islam lain sebagai terbaik dalam menguruskan jemaah.

Transformasi dalam TH sentiasa berlaku mengikut peredaran masa dan keadaan perniagaan yang lebih mudah terpengaruh dengan keadaan ekonomi global.

TH sedar akan perkara ini dan sentiasa mempertingkatkan kemampuannya dengan melaksanakan pelan perancangan perniagaan yang strategik bagi memastikan segala pelaburan yang dilakukan memberi pulangan yang kompetitif untuk para pendeposit.

Kami berharap maklum balas yang diberikan ini dapat menjelaskan isu pelaburan dan perkhidmatan yang disediakan oleh TH kepada umat Islam di negara ini.





ANIS ZUHANI AHMAD ialah Pengurus Besar, Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan, Lembaga Tabung Haji
Sumber:
Utusan Online Agama 08/06/2012

Adab memberi nasihat

SEBAGAI orang yang beriman kepada Allah SWT, kita perlu mengetahui hak-hak saudara kita yang perlu dipenuhi. Hak-hak tersebut telah diakui oleh agama dan sebarang usaha serta tindakan yang dibuat bagi memenuhi hak-hak tersebut diiktiraf sebagai ibadah di sisi Allah SWT.

Antara hak yang perlu dipenuhi oleh orang yang beriman terhadap saudaranya sebagai manifestasi keimanan ialah memberi nasihat apabila diminta.

Ia telah dijelaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: Hak Muslim terhadap Muslim lainnya ada enam". (Baginda SAW) ditanya: "Apakah hak-hak tersebut wahai Rasulullah?" Jawab Baginda SAW, "Jika kamu bertemu dengannya, ucapkanlah salam padanya, jika dia mengundangmu, hadirilah undangannya, jika dia minta nasihatmu, berilah dia nasihat, jika dia bersin dan bertahmid, maka tasymitkan dia, jika dia sakit, maka kunjungilah dia dan jika dia meninggal dunia, maka ikutilah (jenazah)nya." (riwayat Muslim)

Oleh itu, marilah kita membudayakan amalan memberikan nasihat dan berpesan-pesan ke arah keharmonian hidup beragama.

Namun begitu, sekiranya terdapat di kalangan saudara kita yang memerlukan bimbingan nasihat, maka janganlah terus memberikan nasihat melainkan perlu memahami dan mendalami dahulu permasalahan sebenar yang dihadapinya.

Kefahaman ini penting kerana ia akan membantu kita dalam memberikan tumpuan kepada masalah tersebut sahaja, dan bukannya keluar daripada tajuk sebenar yang akan merumitkan lagi keadaan.

Inilah sikap yang diambil oleh para ulama dalam melakukan ijtihad. Mereka akan cuba memahami permasalahan sebenar dengan merujuk kepada orang yang lebih pakar dalam bidang tersebut dan mementingkan keperluan memahami realiti semasa (qiraatul al-zuruf).

Setelah mempunyai kefahaman yang jelas, maka barulah ijtihad akan dibuat dengan berdasarkan disiplin ilmu yang betul. Justeru, para ulama telah menggagas kaedah yang berbunyi Al-Hukmu 'ala al-Syay' Far' 'an Tasawwurihi (Memberi Hukum kepada Sesuatu Perkara adalah Cabang daripada kefahaman (tasawwur) yang jelas terhadap perkara tersebut).

Orang yang memberikan nasihat juga perlu mengelakkan diri daripada menumpukan kepada masalah yang berlaku. Sekiranya ia dilakukan, banyak masa yang dihabiskan untuk mengungkit-ungkit kesalahan yang telah pun berlaku.

Perlu kita fahami bahawa yang lebih penting dalam memberikan nasihat ialah memberikan cadangan penyelesaian, bukannya memperbesarkan lagi masalah yang berlaku.

Orang yang memberikan nasihat juga perlu bertenang sehingga dirinya dapat berfikir untuk menilai dan memberikan panduan penyelesaian dengan lebih rasional, bukannya berdasarkan perasaan semata-mata.

Elakkan daripada menghina, mencaci dan mengherdik orang yang datang meminta nasihat. Ketahuilah bahawa kedatangannya untuk meminta nasihat adalah langkah pertama yang dibuat untuk bertaubat di atas segala kesalahan yang dilakukan.

Jangan menutup pintu taubat tersebut dengan kita menjatuhkan air mukanya sehingga dia berputus asa untuk berhenti daripada melakukan dosa dan kesalahan. Jadikan sesi memberikan nasihat tersebut sebagai sesi pertukaran buah fikiran yang positif sehingga apabila selesai sesi tersebut, orang yang meminta nasihat akan berpuas hati dan gembira.

Ini sekali gus dapat mencetuskan semangat untuk memulihkan dirinya menuju keinsafan dan yang paling penting ialah menyelesaikan masalah tersebut dengan cara yang penuh bijaksana.

Sekiranya kita memarahi orang yang meminta nasihat, maka bukan sahaja dia semakin jauh dengan kita, bahkan ia akan dapat melunturkan semangatnya untuk terus berjuang.

Mudah-mudahan dengan nasihat yang baik untuk menajamkan keazaman, walaupun seberat mana ujian yang menimpa, tetap digagahi jua bagi meneruskan kehidupan yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

Umat Islam dididik oleh agama Islam untuk hidup bermasyarakat. Apa yang dimaksudkan dengan hidup bermasyarakat ialah dengan bergaul dengan mereka mengikut batasan yang dikehendaki agama, saling bantu-membantu dan menyuruh kepada yang makruf serta mencegah daripada kemungkaran, di samping saling memberikan nasihat.

Inilah asam-garam kehidupan seorang mukmin sejati yang tidak hidup untuk dirinya semata-mata, bahkan hidup untuk berbakti kepada orang lain kerana Allah SWT.

Nabi SAW bersabda: "Orang beriman yang bergaul dengan masyarakat dan sabar menanggung gangguannya, lebih baik daripada orang yang tidak bergaul dengan masyarakat dan tidak pula sabar menghadapi gangguannya." (riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)




Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN

Sumber: Utusan Malaysia Online Agama 06/06/2012

Kemenangan awal tidak melekakan tentera Islam

BAGINDA kemudian pulang semula ke Madinah tanpa menyangka akan berlangsung sebuah perang besar yang lazimnya diketuai oleh baginda sendiri sebagai panglima perangnya.

Berita akan kehadiran tentera Islam itu akhirnya sampai juga ke pengetahuan Syurahbil. Tentu sahaja Syurahbil menjadi gementar mendengarkan berita itu lalu dengan segera beliau berangkat ke Romawi untuk menyampaikan berita tersebut bagi mendapatkan bantuan daripada Heraklius.

Tentera Syurahbil sahaja tentu tidak mencukupi untuk menghadapi tentangan daripada pihak Islam itu. Tanpa sebarang usul periksa lagi dan mengambil sebarang pertimbangan, pihak kerajaan Rom pun segera menghantarkan angkatan perang berjumlah 100,000 tentera yang lengkap bersenjata bagi membantu Syurahbil menghadapi pihak Islam.

Satu jumlah yang cukup besar, yang mampu mengalahkan tentera Islam dengan sekelip mata.

Namun tidak cukup dengan bantuan tentera Rom itu, pihak musuh juga mengadakan pakatan dengan pelbagai kabilah-kabilah Arab yang berdekatan dengan Syam dan utara Semenanjung Arab untuk sama-sama bangun menentang Islam.

Kali ini mereka benar-benar ingin memberikan satu penentangan yang cukup besar terhadap Islam.

Akhirnya seramai 100,000 tentera pakatan musuh dapat ditambah menjadikan 200,000 yang akan menentang 3,000 tentera Islam.

Antara puak-puak kabilah Arab yang bangkit membantu tentera Rom itu termasuklah; suku Lakham, Juzam, Al Qain, Bahra dan Balyu.

Sebagai kerajaan terbesar di dunia itu, tentunya pasukan tentera Rom adalah yang paling digeruni oleh lawan dan kawan namun tanpa ada pilihan tentera Islam akan menghadapi juga di medan perang Muktah.

Sehinggalah tentera Islam tiba di suatu tempat bernama Wadi Qura, tentera Islam bertembung dengan satu pasukan tentera Rom seramai 50 orang yang diketuai oleh Sadus.

Iaitu pasukan yang dihantar sebagai pasukan risikan untuk mengetahui kekuatan tentera di pihak Islam.

Namun sudah tidak dapat dielakkan lagi, maka berlakulah satu pertempuran awal dan kemenangan berpihak kepada tentera Islam.

Namun kemenangan awal tidak membuatkan tentera Islam menjadi leka, lebih-lebih lagi setibanya di Mu'an mereka begitu terkejut apabila mengetahui jumlah sebenar anggota tentera di pihak musuh yang jauh lebih besar, kuat dan hebat.

Tambah mengejutkan kali ini, Raja Heraklius sendiri turun ke medan perang sebagai Ketua Turus Tentera yang terkenal dengan kehebatannya di medan perang.

Sedangkan mereka hanya diketuai oleh Zaid, yang hanya merupakan anak angkat Rasulullah.


Sumber: Utusan Malaysia Online Agama  06/06/2012

Cabaran sengit Perang Muktah

PERANG Muktah, sebuah perang besar yang jika tidak ada dalam pengetahuan umat Islam hari ini maka itu adalah sesuatu yang sangat merugikan.

Tidak sahaja bermakna, mereka tidak sempurna penguasaan sirah Rasulullah SAW tetapi juga tidak dapat mengambil sebarang pengajaran daripada sejarah perang tersebut.

Sebuah perang yang melibatkan jumlah kecil di pihak Islam, iaitu hanya seramai 3,000 anggota tentera berbanding berpuluh-puluh kali ganda jumlahnya di pihak musuh, iaitu 200,000 orang.

Dengan jumlah yang sebegitu, apa logiknya lagi jika yang kecil dapat mengalahkan yang besar. Tentu sahaja tidak masuk akal, apatah lagi pihak musuh tersebut merupakan tentera Rom yang tidak dinafikan memiliki barisan tentera dan ketenteraan yang paling canggih, lengkap dan paling kuat ketika itu.

Perang Muktah berlangsung pada tahun 7 Hijrah atau pada tahun 629 M iaitu setahun sebelum berlangsungnya peristiwa Pembukaan Kota Mekah (Fathul Mekah), sebuah perang besar yang kini turut melibatkan sebuah pengaruh asing dari sebuah empayar kerajaan yang sangat besar, iaitu Romawi.

Perang ini berlaku ekoran daripada peristiwa pada tahun ke 6 Hijrah apabila seorang sahabat, Al Harits bin Umair Al Azadi yang menjadi utusan bagi kerajaan Islam dibunuh dengan kejam iaitu dipenggal lehernya oleh Syurahbil bin Amr Al Ghassani, pembesar Kota Muktah, yang merupakan wakil kepada kepada Raja Heraklius dari Kerajaan Romawi.

Pada mulanya kehadiran Al Harits diterima baik oleh Syurahbil, diberikan layanan yang sewajarnya sehinggalah apabila mengetahui maksud kehadiran Al Harits, iaitu membawa surat perutusan dakwah daripada baginda Rasulullah menyebabkan Syurahbil tiba-tiba bertukar menjadi marah.

Surat itu dan kehadiran Al Harits dilihat seolah-olah baginda Rasulullah SAW berhasrat untuk meluaskan pengaruh dan bakal mengancam kedudukannya di situ, ini menyebabkan Syurahbil tanpa berfikir panjang terus membunuh wakil Rasulullah itu.

Al Harits ditangkap lalu diikat dan terus dibunuh dengan kejam namun peristiwa ini tidak diketahui oleh baginda sehinggalah satu siasatan yang mengambil masa agak lama untuk mengetahui kisah dan dalang di sebalik pembunuhan Al Harits itu.

Tidak sahaja akhirnya baginda mengetahui pembunuhan terhadap wakil baginda itu malah baginda juga mendapat tahu terdapat pelbagai kekacauan yang terjadi di daerah-daerah bahagian utara Kota Madinah itu bertujuan untuk menimbulkan huru-hara terhadap kedudukan Islam.

Lantas tidak sahaja untuk membela kematian Al Harits, baginda pun mengambil keputusan untuk menghantar bala tentera Islam ke daerah-daerah utara itu bagi menghentikan segala penentangan terhadap Islam.

Lalu seramai 3,000 anggota tentera Islam dikumpulkan di sebuah tempat bernama Jaraf, sebuah dusun yang jaraknya lima kilometer dari Madinah.

Anak angkat baginda, iaitu Zaid bin Harithah diberi kepercayaan dan tanggungjawab oleh baginda untuk mengetuai peperangan kali ini dan bertanggungjawab untuk membawa bendera putih, lambang kekuatan tentera Islam yang mesti dipertahankan.

"Jika Zaid tewas, hendaklah Jaafar bin Abi Talib segera dilantik menggantikan Zaid sebagai ketua perang dan jika Jaafar juga tewas maka hendaklah Abdullah bin Abi Rawahah pula dilantik menggantikan tempat Jaafar," kata baginda di hadapan bala tentera Muslimin yang telah siap sedia untuk berjuang.

Di samping baginda menyampaikan pesan bahawa kedatangan tentera Islam ke Muktah bukan semata-mata untuk berperang tetapi hendaklah disampaikan dahulu risalah dakwah Islam terhadap para penduduk kota itu.

"Jika mereka menolak dengan kekerasan, barulah penduduk kota itu diperangi dan jika terjadilah peperangan yang tidak dapat dielakkan lagi maka hendaklah kamu memohon pertolongan daripada Allah untuk mengalahkan para musuh sehingga kamu mencapai kemenangan atau sanggup mati syahid kerana-NYA," kata Rasulullah SAW.

Lalu baginda mengiringi para tentera Islam itu sehingga di Tsaniyyatul Wada, sebelum baginda melepaskan mereka untuk terus bergerak ke Muktah.

Di situ juga baginda menyampaikan khutbah perang: "Aku hendak berpesan kepada kamu dengan takwa kepada Allah dan orang-orang Islam yang lain! Berperanglah kamu dengan nama Allah di jalan Allah, terhadap mereka yang tidak percaya kepada Allah itu. Jangan kamu bercerai-berai, janganlah kamu melebihi batas, jangan kamu membunuh anak-anak yang kecil, kaum perempuan, jangan kamu membunuh mereka yang lanjut usia dan mereka yang mengasingkan diri di biara-biara atau di gereja-gereja, jangan kamu hampiri pohon-pohon tamar (kurma), jangan kamu tebang pohon-pohon kayu dan jangan kamu rosakkan rumah-rumah kediaman mereka."

Kemudian baginda mengakhiri khutbah tersebut dengan berdoa: "Mudah-mudahan Allah menyertai kamu dan menjauhkan kamu daripada segala mara bahaya dan mengembalikan kamu kepada kami dengan selamat."




Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Sumber: Utusan Malaysia Online Agama 06/06/2012 

Jejak al-Quran di dunia Barat

TERJEMAHAN al-Quran Lex Mahumet Pseudopprophete karya Petrus Agung dapat diterima oleh bangsa Eropah. Pada waktu singkat ia tersebar luas di tengah-tengah masyarakat bukan Muslim.

Bahkan terjemahan tersebut menjadi rujukan terjemahan al-Quran untuk bahasa-bahasa lain seperti; Itali, Inggeris, Jerman, Perancis dan Belanda.

Terjemahan al-Quran pertama dalam bahasa Latin dibuat oleh Petrus Agung, namun terjemahan al-Quran karya Marcci itu menyertakan teks Arab dan ulasan panjang berisi penolakan terhadap Islam pada tahun 1691.

Terjemahan al-Quran karya Maracci itu kemudian dicetak di Eropah tahun 1687.

Sebelumnya sekitar tahun 1209 atau 1210, usaha penterjemahan al-Quran ke dalam bahasa Latin juga telah dilakukan oleh Marco de Toledo. Beliau adalah seorang doktor dan pastur berbangsa Sepanyol. Pada period seterusnya penterjemahan al-Quran ke bahasa Latin juga di lakukan oleh Abraham Hankelmann, seorang pendeta di Hamburg, Jerman. Kemudian Hankelmann mencetak terjemahan al-Quran tersebut pada tahun 1694.

Namun dari sekian banyak terjemahan al-Quran versi bahasa Perancis, terjemahan yang paling menarik adalah milik C. Savari. Terjemahan tersebut pertama kali dicetak di Paris pada tahun 1750 dan mengalami ulang cetak sebanyak 28 kali pada tahun 1788.

Karya terjemahan al-Quran berbahasa Perancis yang terbaharu adalah dilakukan oleh seorang ahli budaya dan bahasa Arab serta pensyarah pada Universiti Perancis. Terjemahan yang menyertakan penjelasan dan ulasan terhadap al-Quran itu dicetak pertama kali pada tahun 1990.

Edisi al-Quran dua bahasa (Belanda-Arab) mula diterbitkan pada tahun 1953 di Rabwah, Pakistan dengan judul De Heilige Qora'aan. Kemudian disusul dengan penerbitan edisi serupa pada tahun 1989 dengan nama De Koran. Sementara karya terjemahan al-Quran berbahasa Belanda yang terbilang baharu adalah yang dibuat oleh Kader Abdollah tahun 2008.

Terjemahan al-Quran di Nusantara: Terjemahan al-Quran di Nusantara atau di dunia Melayu khususnya di Malaysia memang banyak telah diusahakan oleh pengarang dan penulis Melayu seperti Tafsir al-Quran al-Hakim oleh Mustaffa Abdul Rahman Mahmud, cetakan pertama tahun 1949. Tafsir Pimpinan ar-Rahman Kepada Pengertian al-Quranpenyemak dan penterjemah oleh Muhammad Noor Ibrahim dan Sheikh Abdullah Mohd. Basmeih, dengan izin dan di bawah kawalan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Pusat Islam Malaysia dengan cetakan pertama, Mei 1980 oleh Yayasan Islam Terengganu.

Manakala Tafsir Fi Zilal al-Quran oleh Sayyid Qutub diterjemahkan Oleh Yusoff Zaky Yaakob dan dicetak pertama kali oleh Dian Darul Naim Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1983 sehingga selesai terjemahannya 30 juzuk.

Pada 19/1/1999, pukul 4.25 pagi pada Hari Raya Aidilfitri, Yusoff Zaky (yang sebelumnya mendapat anugerah Datuk), dan juga guru kepada penulis ini telah kembali ke rahmatullah.

Semoga arwah semua yang terlibat penterjemahan al-Quran, khususnya di dunia Melayu dicucuri rahmat daripada Allah SWT. Amin.

*IBRAHIM ABDULLAH ialah bekas Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu.

Sumber:
Utusan Malaysia Online Agama 06/06/2012

Tokoh perintis penterjemahan al-Quran

SALMAN al-Farisi, sahabat Rasulullah SAW merupakan orang pertama kali menterjemahkan kitab suci al-Quran ke dalam bahasa lain. Dalam sejarah disebutkan, beliau menterjemahkan surah al-Fatihah secara lisan ke dalam bahasa Parsi atas permintaan orang-orang Muslim Parsi. Namun terjemahan al-Farisi ini belum mencakupi keseluruhan surah dalam al-Quran, hanya surah al-Fatihah.

Di antara tokoh-tokoh yang berusaha menterjemahkan al-Quran adalah seperti berikut. Usaha mereka ini telah membuka mata, khususnya kepada dunia Barat tentang mukjizat al-Quran yang diturunkan Allah SWT kepada umat manusia.

l Petrus Agung (1092-1156 M): Ketua gereja Cluny, Perancis adalah tokoh Barat yang pertama kali berusaha menterjemahkan al-Quran. Dengan bantuan seorang teologi abad pertengahan berbangsa Inggeris, Robert Ketenesis (1110-1160), dan muridnya Hermannus Dalmatin (1110-1160), beliau menterjemahkan teks al-Quran ke dalam bahasa Latin yang diberi judul Lex Mahumet Pseudoprophete pada tahun 1143 masihi.

l Louis Maracci (1612-1700 M): Seterusnya terjemahan al-Quran berbahasa Latin yang paling masyhur dan banyak menjadi rujukan adalah milik Louis Maracci, seorang berbangsa Itali. Terjemahan al-Quran karya Maracci ini disertakan teks Arab dan ulasan panjang yang berisi penolakan terhadap Islam.

l Andre du Ryer (1580-1660 M): Orientalis berbangsa Perancis ini merupakan tokoh yang pertama kali membuat terjemahan al-Quran berbahasa Perancis. Beliau menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Perancis langsung daripada teks aslinya berbahasa Arab.

Pengalamannya tinggal lama di Istanbul, Turki dan Mesir membuatnya menguasai bahasa Arab dengan baik. Karyanya ini diberi judul L'Alcoran de Mahomet.

l Salomon Schweigger (1551-1622 M): Beliau pendeta gereja Noremberg adalah orang pertama kali melakukan penterjemahan al-Quran ke dalam bahasa Jerman. Beliau menterjemahkan al-Quran tersebut daripada sebuah terjemahan al-Quran berbahasa Itali. Terjemahan karya Schweigger ini diberi berjudul Alcoranus Mahometicus.

l Andrea Arrivabene (1534-1570 M): Versi terjemahan al-Quran dalam bahasa Itali pertama kali dibuat oleh Andrea Arrivabene. Karya terjemahan yang diberi judulL'Alcorano di Macometto merupakan hasil penterjemahan karya Petrus Agung.

l Hendrrik Jan Glasemaker: Beliau merupakan orang pertama yang diketahui membuat terjemahan al-Quran dalam bahasa Belanda. Beliau menterjemahkan al-Quran bersumberkan pada sebuah terjemahan al-Quran versi bahasa Perancis. Terjemahan ini diberi judul Mahomets AlKoran.

Alexander Ross (1590-1654 M): Beliau adalah orang yang pertama kali menterjemahkan al-Quran ke dalam bahasa Inggeris. Al-Quran terjemahan Ross ini dibuat pada tahun 1649 dengan mengadaptasinya daripada terjemahan al-Quran berbahasa Perancis, L'Alcoran de Mahomet.



Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Sumber: Utusan Malaysia Online Agama  06/06/2012

Budi dan bahasa pengaruhi kehidupan

Fikrah Remaja

PEPATAH Melayu pernah berkata, 'orang berbudi kita berbahasa, orang memberi kita merasa.' Bahasa merupakan suatu elemen penting dalam kehidupan. Manusia menggunakan bahasa sebagai medium untuk berkomunikasi, sama ada secara lisan atau tulisan.

Percakapan atau tulisan yang menggunakan bahasa yang baik dan teratur akan memberi makna yang mendalam dan juga mampu menyentuh perasaan. Bahasa yang tinggi dengan nilai dan santun lebih mudah menarik orang memahami serta menghayati isi kandungannya.

Seringkali apabila dikatakan orang yang tidak menggunakan bahasa yang baik, ia sering dikatakan tidak beradab atau 'kurang ajar.' Walaupun pada sesetengah orang bahasa hanyalah medium untuk menyampaikan pendapat dan perasaan, tetapi bahasa juga merupakan lambang keperibadian dan olahan didikan yang diterima oleh seseorang.

Kerana itu, keindahan budi pekerti atau akhlak yang mulia seringkali juga dikaitkan dengan penggunaan bahasa yang indah dan elok kerana pentingnya hubungan antara kedua-dua faktor ini dalam aspek kehidupan.

Justeru, Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur. Rasulullah SAW sendiri berdakwah menggunakan bahasa yang paling baik dan halus, serta tidak pernah menggunakan bahasa yang kesat dan kasar dalam pengucapan baginda walaupun kepada kaum Quraisy yang menentangnya.

Pentingnya penekanan Allah terhadap penggunaan bahasa yang baik boleh dilihat dalam banyaknya ayat Allah, selain banyak menggunakan perumpamaan yang indah dan baik untuk menggambarkan pentingnya bahasa dalam membentuk mahupun merubah minda dan keperibadian seseorang.

Islam menggalakkan umatnya menggunakan bahasa yang indah dan baik-baik apabila bertutur. - Gambar hiasan


Antaranya, Allah SWT berfirman kepada Nabi Musa a.s supaya menggunakan bahasa dan perkataan yang paling lembut dan baik apabila berdakwah kepada raja Firaun yang zalim (rujuk surah Taaha: 20).

Allah juga memerintahkan supaya menggunakan percakapan yang paling lembut dengan ibu bapa dan menegah sekalipun berkata 'Ah!' kepada ibu bapa. Luqman Al-Hakim juga berpesan dengan anaknya, menggunakan istilah 'Wahai anakku' yang menggambarkan kelembutan seorang ayah dalam menasihati anaknya. (rujuk surah Luqman: 12-19).

Menarik sekali apabila penulis buku motivasi terkenal, La Tahzan (Jangan Bersedih), Dr. Aidh Abdullah al-Qarni juga ada berkata dalam suatu temuramah, "Islamlah yang mengajak orang untuk memiliki kebebasan berekspresi. Tapi ada dua syarat dalam hal ini. Jangan sampai menghina suatu agama dan kedua, jangan sampai merosak dan memfitnah orang lain." Ini menunjukkan bahawa bersuara tidak mengehadkan batas pemikiran manusia, tetapi ia harus dilakukan dengan batas lingkungan yang benar dan beretika.

Remaja hari ini sering dikaitkan dengan golongan yang tidak pandai 'berbudi bahasa' dengan golongan yang lebih tua. Remaja atau golongan belia juga dijadikan sasaran dalam mengetengahkan isu-isu kerana suara mereka lebih ramai dan lebih bertenaga.

Cabaran sosial, globalisasi dan taraf hidup yang mencabar menjadikan remaja terdedah dengan contoh dan teladan yang tidak menepati kehendak Islam dan budaya Timur.

Kebebasan berekspresi dalam lingkungan yang terlalu bebas serta tanpa tujuan adalah sesuatu yang harus dibendung supaya luahan minda dan pendapat dapat dilontarkan dalam suasana yang kondusif, baik dan teratur.

Di tahap remaja, idealisme atau berfikir secara ideal selalunya menjadi pegangan. Pada tahap remaja, pemikiran yang membentuk remaja masih lagi belum di tahap matang dan sempurna. Pengalaman hidup masih belum banyak dan kerenah cabaran realiti masih belum banyak ditempuh.

Oleh itu, idealisme yang dikutip hasil pembacaan dan juga pengajian sering menjadi landasan persepsi dan perjuangan remaja. Idealisme kadang-kadang memimpin remaja berfikir secara sempurna mengambil pendekatan hitam putih dan lebih cenderung mengkritik status quo.

Inilah yang terpancar pada pemikiran sebahagian para remaja terhadap sesuatu isu yang terserlah dalam blog-blog mereka, rangkaian sosial mahupun dalam forum-forum Internet. Lalu kadangkala keluarlah pendapat dan komen-komen yang diungkapkan dalam bahasa yang kurang enak dibaca atau didengar.

Adab dalam berbudi bahasa menyentuh tentang peri pentingnya disiplin hati bagi seorang manusia. Ada orang berkata mulut celupar tetapi hati baik. Jika dihalusi, ia adalah gambaran hati yang bercelaru, walaupun asalnya mungkin berniat baik. Kadang-kadang ia adalah perlambangan ego yang tinggi dalam diri.

Apabila merasakan diri lebih baik daripada orang lain, senang sahaja kata-kata sinis dan pedih keluar dan ini akan menyerlahkan sifat egois dalam diri. Apabila hati telah terguris, maka mudah berlaku perpecahan, umpat mengumpat serta keji mengeji.

Maka inilah hikmah Allah menyuruh manusia berkata-kata dengan baik, kerana fitrahnya manusia memang suka mendengar sesuatu yang baik dan indah. (rujuk surah Ali Imran: 159).




Oleh MOHD. FARID MD. ALIAS
Sumber:
Utusan Malaysia Online Agama 07/06/2012

Apabila cinta tidak dipupuk dalam perkahwinan

PERBINCANGAN kali ini ialah mengenai sebab-sebab kenapa pasangan bercerai. Sebenarnya, ada banyak sebab berlaku perceraian. Ada pasangan memberi alasan mudah bahawa mereka sudah tiada persefahaman, namun ramai juga yang tercari-cari alasan.

Daripada data saya sendiri alasan atau sebab-sebab perceraian adalah:



(1) Tiada persefahaman
(2) Ada orang ketiga/curang
(3) Campur tangan keluarga
(4) Kewangan
(5) hilang kasih sayang.

Alasan yang saya berikan bukan mengikut keutamaan. Saya akan sentuh alasan pertama dan kedua.

Pasangan yang ingin bercerai sering memberi alasan tiada persefahaman dalam borang permohonan cerai mereka. Persoalannya apakah yang menyebabkan dua insan yang saling menyintai ini tiba-tiba menjadi sebegini? Adakah mereka bergaduh sejak berkahwin hingga menyebabkan mereka yakin bahawa perkahwinan mereka tidak boleh diselamatkan lagi.

Sebenarnya apabila diselidiki, alasan ini adalah alasan paling remeh boleh difikirkan namun jika perkara remeh dikumpul bertahun lamanya, ia akan menjadi gunung dan meletup. Ketidaksefahaman ini mudah disebutkan tetapi apabila diteliti ia bukan alasan yang kukuh. Antara contoh ketidaksefahaman ialah soal di mana pasangan perlu berhari raya, pembelian barang rumah atau kereta hingga kepada soal makanan dan hiasan. Ada juga pasangan bercerai kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan baik mengenai hal kekeluargaan. Banyak isu tiada kesefahaman ini bermula sebelum pasangan berkahwin.

Sebenarnya semasa bercinta, ketidaksefahaman tersebut telah ada, namun pasangan cuba untuk tidak menanganinya atau berharap ia akan hilang apabila berkahwin.

Misalnya A semasa berkenalan dengan B tahu, B sangat rapat dengan ibunya dan berharap hubungan ibu anak itu akan berkurangan apabila mereka berkahwin dan mempunya anak. A sentiasa mendahului keluarganya dalam semua hal, malah semasa bercinta lagi ia sudah berlaku.

Semakin hari hubungan A dengan keluarganya semakin rapat, sehinggakan A akan balik kampung segera kerana hal keluarga. B mulai bosan dengan perangai A dan akhirnya B memohon cerai kerana merasakan dia tidak dihargai.

A tidak pernah merasakan dia mengabaikan B namun tiada siapa dapat menyedarkan dia bahawa dia juga perlu memberi keutamaan kepada isterinya dalam keadaan tertentu dan tidak mendahulukan keluarganya sepanjang masa.

Dalam kes A dan B ini, pasangan sentiasa berhari raya pertama di rumah A kerana A anak lelaki sulung. B bersabar selama lima tahun namun kesabarannya juga mulai luntur.

Ada pasangan yang tidak dapat mencapai kesefahaman dalam hal-hal seperti makanan dan pakaian. Dalam perkahwinan mesti ada yang mengalah dan berkorban. Pada kebiasaannya isteri sentiasa mengalah atau memberi lalui kepada kehendak suami. Setahun dua isteri bersedia mengalah atau berkorban tetapi lama-kelamaan dia menjadi korban. Dia mengorbankan perasaannya sehingga dia hilang identiti dirinya kerana semua perkara mengikut kehendak suami.

Tentunya hasrat isteri mahu menjadi isteri solehah namun ia tidak datang daripada hatinya tetapi kerana keterpaksaan atas asas cinta. Apabila cinta tidak dipupuk dengan kuat dalam perkahwinan, isteri merasa dirinya terpedaya dan terkorban. Dia akhirnya hilang kesabaran dan menuntut haknya.

Sementara itu, alasan wujud orang ketiga atau pasangan curang adalah alasan paling banyak diberikan oleh pasangan yang bercerai. Pada kebiasaannya suamilah yang sering menjalin hubungan dengan wanita lain yang menyebabkan isteri merasa amat kecewa kerana suami curang. Dalam kebanyakan kes, isteri yang datang mengadu untuk memohon cerai, ada yang percaya suami telah berkahwin baru atau menyimpan perempuan.

Poligami adalah isu sensitif bagi seorang isteri maka tidak hairanlah ramai isteri yang memohon cerai sebaik sahaja mengetahui suaminya berkahwin baru. Bagi seorang wanita, ia isu kesetiaan dan kasih sayang. Maka jika suami yang berani menduakan isterinya dia akan terpaksa menghadapi masalah isterinya memohon cerai.

Namun pada abad ke-21 ini, tidak kurang juga isteri yang curang kerana telah bosan dengan suami. Memang dunia dah berubah. Jika dahulu pelanggan saya semuanya wanita, hari ini sudah ada kaum lelaki. Ini bermakna masih ada lelaki yang setia di dunia yang moden ini!

Berbalik kepada isu orang ketiga ini, kes yang stereotaip ialah suami selepas beberapa tahun berkahwin (dalam rekod saya suami mula mencari lain selepas 5 tahun kahwin). Ada disebabkan kelahiran anak, di mana isteri memberi terlalu banyak tumpuan kepada anak sehingga suami terasa terabai. Keadaan bertambah buruk apabila ada insan lain yang memberi perhatian kepada suami, terutama di pejabat.

Di sini akan bermula episod baru buat suami dan kadang-kadang isteri sangat tidak menyangka suami sanggup meninggalkannya atau menceraikannya untuk berkahwin baru.

Ramai suami yang mempunyai tabiat buruk di mana setiap kali isteri mengandung, dia menjalin hubungan dengan wanita lain. Ini berlaku kerana dia terasa tidak dilayan atau isteri terlalu uzur, kerana mengandung yang menyebabkan dia tidak dapat melayan suami, zahir dan batin.

Dalam kes seperti ini, suami akan menceraikan isterinya untuk berkahwin dengan yang baru.

Tidak kurang juga isteri memohon untuk diceraikan kerana tidak mahu dimadukan atau rasa ditipu.

Kategori kedua, suami pada usia lewat 40-an mahu merasa sesuatu yang baru (excitement). Ia dimulakan dengan aktiviti bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi atau main boling atau golf atau apa saja di luar rumah. Secara suka-suka suami mula melayan wanita muda untuk memastikan dia masih relevan atau 'laku' setanding lelaki muda. Wanita muda pula suka pada lelaki berumur yang stabil dari segi ekonomi.

Ini boleh dikategorikan dalam kumpulan sindrom 40-an yang mana suami mula merasa ingin menjadi orang bujang dan melalui zaman remajanya semula.

Bagi kes isteri yang curang pula, pada kebiasaannya isteri menjalin hubungan dengan lelaki lain ditempat kerja. Ia sering berlaku di kalangan wanita muda yang sentiasa mahu dilayan dan dibelai kekasih atau suami.

Ia juga berlaku apabila isteri merasa 'kecewa' dengan alam rumah tangga kerana suaminya tidak seperti yang diharapkannya atau suami terlalu sibuk dengan kerja. Akhirnya isteri melayan lelaki lain kerana dahagakan kasih sayang dan belaian.

Hari ini, isteri tidak hanya mencari pasangan untuk berlaku curang di tempat kerja tetapi melalui laman sosial seperti facebook dan twitter. Semusim dahulu, isteri-isteri seperti ini mencari pasangan di laman sembang atas talian. Mulanya hanya suka-suka, kemudian mereka berani berjumpa, sekadar menonton wayang dan akhirnya mengadakan hubungan seks.

Isteri curang lebih sukar diperangkap kerana mereka pandai main kayu tiga dan kebanyakan suami yang terlalu sibuk sehinggakan tidak dapat menghidu perangai isteri kecuali diberitahu oleh orang lain.



Sumber: Utusan Malaysia Online Agama 06/06/2012

Pupuk cinta kerana Allah

Kutub Khanah

CINTA Allah adalah cinta yang pertama dan utama. Bermula daripada alam roh lagi hati kita telah mengenal Allah. Perkenalan itu telah membuahkan cinta.

Itulah cinta pertama setiap manusia. Mudahnya, cinta sejati sejak diri bermula ialah cinta Allah. Sayangnya, ramai manusia dipisahkan daripada cinta sejati dan hakiki itu sebaik sahaja lahir ke dunia.

Di alam dunia ini ramai manusia dipisahkan daripada cinta Allah seperti seorang anak yang dipisahkan daripada ibu kandungnya. Sejak itu tempat cinta sejati dalam hati kita telah diambil oleh cinta palsu.

Siapakah yang memisahkan manusia daripada cinta Allah? Persoalan ini menemukan kita dengan hakikat yang menyedihkan. Ibu bapa mereka sendirilah yang kerap kali memisahkan manusia daripada cinta Allah.

Rasulullah SAW telah bersabda: Setiap anak Adam dilahirkan suci bersih, ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi. (riwayat al-Bukhari)

Ramai ibu bapa tidak meneruskan peranan mengenalkan Allah kepada anak-anaknya. Benih cinta Allah yang sudah ada dalam diri terbiar, tidak dibajai, dan diairi. Semakin bertambah usia anak, semakin jauh jarak perpisahan itu. Akhirnya, cinta Allah itu layu dan terkulai. Cinta selain Allah pula yang mengambil alih hati manusia.

Pepatah Arab ada mengatakan: "Manusia menjadi hamba kepada apa yang dicintainya."

Jadi, apabila cinta itu sudah tersilap langkah, maka tersalah jugalah manusia meletakkan sifat Kehambaannya. Hidup beralih arah, daripada menghambakan diri kepada Allah kepada 'menyembah' hawa nafsu. Seharusnya, cintailah manusia kerana Allah. (rujuk al-Furqan: 43)

Akibatnya, hidup manusia penuh dengan kejahatan kerana nafsu yang menjadi kecintaannya itulah yang mendorong dirinya kepada kejahatan.

Justeru, tidak ada jalan lain untuk mewujudkan semula kebaikan dan ketenangan dalam kehidupan melainkan dengan mengembalikan rasa cinta kepada Allah dalam hati manusia.

Kenalkan semula manusia kepada Allah, insya-Allah manusia akan mencintai-Nya semula. Dan perkenalan itu perlu dimulakan dengan cara bertahap bermula daripada dalam diri, keluarga, masyarakat, organisasi, negeri dan negara.

Buku Cinta Kerana Allah ini memperjelaskan tentang hubungan cinta sesama manusia berdasarkan cinta kepada Allah. Penulisnya telah menjadikan hubungan cinta antara lelaki dan wanita dalam sebuah institusi rumah tangga sebagai medan berbicara tentang cinta dan segala persoalan mengenainya.

Ada kalanya beliau menyentuh soal akar, batang dan dahan. Namun sekali-sekala beliau menyentuh juga soal ranting, daun dan buahnya.

Buku ini sangat perlu dibaca oleh semua golongan masyarakat, sama ada yang telah dan akan berumah tangga. Buku ini unik kerana setiap persoalan yang disentuh sentiasa terikat pada paksi utamanya - cinta Allah.

Fokus penulis cukup jelas. Sesiapa yang menyelesaikan hubungannya dengan Allah, insya-Allah, Allah akan membantunya untuk menyelesaikan hubungannya sesama manusia.

Ketika institusi keluarga diuji dengan pelbagai cabaran, ramai pihak yang tertanya-tanya. Apakah punca dan bagaimanakah jalan penyelesaiannya?

Ironinya, jalan penyelesaian berada di depan mata. Yakni pada soal asas dan teras seperti yang disebutkan tadi - kembali kepada cinta Allah.

Hakikatnya, keruntuhan rumah tangga yang banyak berlaku pada masa kini merupakan satu 'jentikan' daripada Allah untuk kita kembali mencintai-Nya. Cinta kerana Allah.

Justeru, jangan kita mencintai manusia (suami, isteri, anak-anak atau sesiapa sahaja) semata-mata kerana manusia, tetapi cintailah manusia kerana Allah. Insya-Allah, selagi Allah menjadi penyatu, maka hati-hati kita akan mudah bersatu.



Oleh ZUARIDA MOHYIN
Sumber:
Utusan Malaysia Online Agama 08/06/2012

Wajah Mukmin Berseri-seri

SETELAH Allah menceritakan berkenaan dengan hal ehwal manusia dan keadaan mereka, maka Allah datang pula dengan ayat yang memberi arahan kepada Rasul-Nya SAW mengenai al-Quran yang diwahyukan kepadanya dan bagaimana peraturan menerimanya.

Firman Allah SWT: Janganlah kamu gerakkan lidahmu untuk (membaca) al-Quran kerana hendak cepat-cepat (menguasai)nya. Sesungguhnya atas tanggungan kamilah mengumpulkannya (di dadamu) dan (membuatmu pandai) membacanya. (al-Qiyamah: 16-17)

Al-Maraghi berkata: Dia menerangkan jaminan yang pertama menerusi firman-Nya: Wahai rasul yang mulia! Jangan engkau menggerakkan lisan dan kedua bibirmu untuk membacanya kerana engkau ingin mengambilnya dengan tergesa-gesa lantaran takut ia akan meninggalkanmu kerana Kami yang akan menghimpunkan untukmu, Kami juga yang akan menetapkannya dalam hatimu.

Keadaan Nabi SAW apabila wahyu diturunkan kepadanya, Baginda sentiasa menggerakkan lidah dan kedua-dua bibirnya untuk mengikutnya sehingga sulit baginya. Perkara itu diketahui melalui gerakan kedua-dua bibirnya.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu menguasai al-Quran.

Sayid Qutub berkata: Ayat-ayat ini menjelaskan bagaimana gelisah, resah dan tidak sabarnya Nabi SAW untuk mengingati wahyu-wahyu yang disampaikan kepada baginda.

Baginda memberi sepenuh perhatiannya kepada wahyu itu dan terlalu bimbang jika sekiranya terlupa mana-mana ayat atau kalimah daripada wahyu tersebut.

Inilah yang mendorong Nabi SAW mengikuti bacaan Malaikat Jibril as, ayat demi ayat dan kalimah demi kalimah, agar Baginda benar-benar pasti tiada satupun yang hilang dan benar-benar pasti bahawa baginda SAW telah mengingati semuanya.

Firman Allah SWT: Apabila kami telah selesai membacakannya maka ikutilah bacaannya itu. (al-Qiyamah: 18)

Al-Maraghi berkata: Apabila malaikat membacakan wahyu Allah SWT kepadamu, amalkanlah syariat dan hukum-hakam yang terkandung di dalamnya. Kemungkinan yang dimaksudkan, apabila malaikat membacakan al-Quran itu kepadamu, maka dengarkanlah, kemudian bacalah sebagaimana malaikat membacakan kepadamu.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu Jika malaikat telah selesai membacakan wahyu daripada Allah SWT, dengarkanlah dan kemudian bacakan kepadanya sebagaimana malaikat telah membacakannya kepadamu.

Firman Allah SWT: Kemudian, sesungguhnya atas tanggungan kamilah penjelasannya. (al-Qiyamah: 19)

Al-Maraghi berkata: Selepas Kami menjadikan engkau boleh menghafal dan membacakannya, Kami akan memperjelaskan dan memberi ilham maknanya kepada kamu sesuai dengan yang dikehendaki. Kemudian Dia mengulangi perbincangan yang mencela orang musyrik, dan keingkaran mereka terhadap hari kebangkitan.

Ibnu Kathir berkata: Iaitu setelah dia menghafaz dan membacanya, maka Kami (Allah) yang akan menjelaskan, menerangkan dan mengilhamkan maknanya untukmu sesuai dengan apa yang Kami kehendaki dan syariatkan.

Imam Ahmad meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, dia bercerita, Rasulullah SAW berusaha menghilangkan rasa gementar baginda disebabkan turunnya wahyu, dengan menggerakkan kedua bibirnya. Dia mengkhabarkan bahawa Ibnu Abbas berkata kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku seperti mana Rasulullah SAW menggerakkan kedua bibir baginda." Sedangkan Said juga pernah berkata kepadaku: "Aku menggerakkan kedua bibirku seperti mana aku melihat Ibnu Abbas menggerakkan kedua bibirnya."

Berkenaan dengan ayat ini ditafsirkan dengan empat pendapat:

lKami menyatakannya dengan lisanmu sehingga kamu mampu membaca sebagaimana Jibril membaca kepadamu, inilah pendapat Ibnu Abbas.

lKami membalas dengannya pada hari kiamat mengikut janji baik dan buruk, inilah pendapat al-Hasan.

lKami menjelaskan segala hukum-hakam halal dan haram, inilah pendapat Qatadah.

lKami menurunkannya menggunakan bahasa arab untuk menerangkan kepada manusia, inilah pendapat al-Zajjaj.

Firman Allah SWT: Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia. Dan meninggalkan (kehidupan) akhirat. (al-Qiyamah: 20-21)

Ata' berkata: Abu Jahal tidak beriman dengan al-Quran dan segala keterangannya. Sebaliknya Ibnu Jarir pula berpendapat: Hal urusan akhirat tidak seperti sangkaanmu di mana tidak dibangkitkan.

Qatadah berkata: Sebahagian besar manusia suka memilih yang dekat kecuali orang yang dikasihi dan dilindungi Allah SWT.

Ibnu Kathir berkata: Maksudnya yang menyebabkan mereka mendustakan hari kiamat dan penolakan mereka terhadap wahyu yang hak dan al-Quran yang diturunkan Oleh Allah SWT kepada Rasulullah SAW kerana sesungguhnya yang menjadi keinginan mereka adalah kehidupan dunia sedang mereka lengah dan lalai terhadap kehidupan akhirat.

Sayid Qutub berkata: Yang mula-mula menarik perhatian dari segi keselarasan penerangan ayat ialah kehidupan dunia di sini dinamakan dengan 'Ajilah (kehidupan yang cepat). Selain daripada kata-kata ini menyarankan betapa pendek dan cepatnya berakhir kehidupan dunia ini, di sana juga terdapat keselarasan di antara bayangan kata-kata kehidupan yang cepat itu.

Firman Allah SWT: Wajah-wajah (orang-orang mukmin) pada hari itu berseri-seri. (al-Qiyamah: 22)

Ulama menafsirkan perkataan berseri-seri dengan pelbagai tafsiran, antaranya:

lBerseri-seri dengan kenikmatan seperti pendapat al-Farra'.

lDengan kebaikan seperti pendapat Ibnu Abbas.

lDengan mendapat kenikmatan seperti pendapat Ibnu Zaid.

lDengan kegembiraan seperti pendapat Mujahid.

lDengan putih dan bercahaya mukanya seperti pendapat Muqatil.

lDengan dibersihkan mukanya seperti pendapat al-Suddi.

lAl-Maraghi berkata: Wajah orang mukmin yang ikhlas bersinar dan cerah ketika berlaku kiamat.

lIbnu Kathir berkata: Berasal dari kata an-Nadhaarah yang bermaksud rupawan, menawan, cemerlang lagi penuh kebahagiaan.

Sayid Qutub berkata: Jika beginilah kenikmatan melihat keindahan ciptaan Allah di dunia maka bagaimana pula kenikmatan melihat keindahan zat Allah sendiri di akhirat.



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Sumber: Utusan Malaysia Online Agama 08/06/2012