June 12th, 2012

Memperingati peristiwa an-Naksah

BAGI umat Islam, khususnya tarikh 5 hingga 10 Jun 1967 menandakan tahap yang paling rendah dalam sejarah kerana Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis kembali terjajah setelah ia dibebaskan oleh Salahuddin al-Ayubbi kira-kira 1,000 tahun yang silam.

Sembilan belas tahun selepas peristiwa Nakbah, rakyat Palestin melalui satu lagi peristiwa pahit yang dikenali sebagai an-Naksah atau 'hari kekalahan'.

Peristiwa an-Naksah merujuk kepada Perang Enam Hari pada tarikh di atas di antara negara-negara Arab dan Israel. Dalam tempoh sesingkat enam hari itu, tiga negara Arab iaitu Mesir, Syria dan Jordan kehilangan wilayah dan mengalami kemusnahan yang besar dari sudut ketenteraan.

Bahkan, dalam tempoh tersebutlah Masjid al-Aqsa ditawan oleh tentera Israel dan terus terjajah sehingga hari ini.

Pada 8 Jun Mesir kehilangan seluruh Semenanjung Sinai yang merupakan satu kekalahan yang besar dan memberi kelebihan strategik kepada Israel untuk terus menguasai Selat Tiran yang mengawal laluan ke Laut Merah.

Jalur Gaza yang dikuasai oleh Mesir sejak tahun 1948 juga jatuh ke tangan musuh. Tentera Israel juga memasuki Kota lama Baitul Maqdis dan menduduki Masjid al-Aqsa pada 7 Jun, seterusnya mara ke Sungai Jordan dan menguasai seluruh Tebing Barat yang ditadbir oleh Jordan.

Apabila Mesir dan Jordan bersetuju dengan gencatan senjata yang diputuskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 8 Jun, seluruh Baitul Maqdis timur dan Tebing Barat sudah diduduki oleh tentera Israel.

Syria juga memilih untuk patuh dengan gencatan senjata pada 9 Jun, namun Israel terus menceroboh wilayah Syria dan menduduki Tanah Tinggi Golan sehingga kini.

Menjelang 10 Jun, Israel menguasai wilayah yang keluasannya ialah dua kali ganda dari negara haram Israel yang didirikan ke atas wilayah Palestin pada tahun 1948. Wilayah tersebut meliputi; Baitul Maqdis timur, Tebing Barat, Jalur Gaza, Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan.

Bagi umat Islam, 7 Jun adalah tarikh yang amat memilukan kerana pada tarikh tersebutlah Masjid al-Aqsa kembali terjajah. Tentera Israel memasuki Masjid al-Aqsa yang mulia dan mencemarinya dengan pelbagai perbuatan biadap.

Mereka bersorak menghina umat Islam dengan melaungkan Khaibar! Khaibar! Mereka menganggap pada hari tersebut penghinaan yang ditimpakan ke atas mereka oleh umat Islam di Madinah pada zaman Rasulullah SAW ditebus dengan jatuhnya Masjid al-Aqsa ditangan Yahudi.

Mereka menghina Rasulullah SAW dengan melaungkan 'Agama Muhammad sudah mati dan hanya meninggalkan wanita-wanita; merujuk kepada negara-negara Arab yang mengalami kekalahan teruk dalam perang enam hari tersebut.

Mereka turut memusnahkan laluan (pintu) Maghriba dan merobohkan semua rumah-rumah rakyat Palestin yang mengadap Tembok Buraq (Western Wall) dan menukarnya menjadi satu perkarangan lapang bagi upacara keagamaan Yahudi.

Tembok Buraq mereka kuasai dan menamakannya sebagai Kottel atau Wailing Wall, satu tindakan yang jelas merampas hak umat Islam yang diperakui oleh Liga Bangsa-Bangsa sebagai warisan Islam.

Israel seterusnya mengisytiharkan penggabungan Baitul Maqdis barat (bahagian Baitul Maqdis yang ditawan pada tahun 1948) dan Baitul Maqdis timur (yang mereka tawan dalam Perang Enam Hari) dan menamakan Baitul Maqdis (Jerusalem) sebagai ibu negara abadi Israel yang tidak boleh dirunding buat selama-lamanya pada 26 Jun 1967.

PBB bertindak meluluskan Resolusi 242 pada bulan 2 November 1967 yang memutuskan Israel perlu berundur semula ke sempadan sebelum 1967 dan mengembalikan 'sebahagian dari wilayah yang ditawannya'.

Namun Israel telah menggunakan wilayah yang didudukinya sebagai bahan tawar-menawar (bargaining chip) untuk menciptakan perdamaian palsu melalui apa yang disebut sebagai pertukaran wilayah (land swap).

Hakikatnya Israel tidak pernah berniat untuk melepaskan mana-mana wilayah di Tebing Barat dan Baitul Maqdis timur yang ditawannya. Ini adalah berdasarkan tindakan Israel yang terus menerus membina penempatan-penempatan haram di seluruh Tebing Barat, bahkan di sekeliling kota lama yang menempatkan Masjid al-Aqsa.

Apabila perjanjian damai Oslo ditandatangani pada tahun 1993, Israel meningkatkan lagi aktiviti pembinaan penempatan haram tersebut. Keadaan ini berterusan setelah persetujuan dicapai dalam Annapolis Konferens pada tahun 2007 sehingga kini.

Israel terus berdolak-dalik dan berselindung di sebalik pelbagai istilah perdamaian bermula dari Madrid (1991) sehinggalah Deklarasi Prinsip-prinsip Clinton (DOP - Declaration of Principles - 2001) dan Pelan Damai atau 'Road Map' (2003).

Mereka turut membina tembok pemisah (Separation or 'Aparthied' Wall) sepanjang 800 kilometer dari utara ke selatan jauh ke dalam Tebing Barat untuk mengepung rakyat Palestin, membataskan pergerakan mereka dan menafikan pelbagai kemudahan asas termasuklah sumber air bersih untuk minuman dan mengairi ladang, perkhidmatan dan hak rawatan di hospital, bahkan untuk mendapatkan pendidikan untuk anak-anak Palestin.

Apabila HAMAS memenangi pilihan raya legislatif yang pertama dan membentuk kerajaan pilihan rakyat yang sah, Israel mengenakan sekatan dan akhirnya kepungan menyeluruh ke atas Gaza bermula pada tahun 2007 sehingga kini.



Oleh DR. HAFIDZI MOHD. NOOR
Sumber:
Utusan Malaysia Online Bicara Agama 12/06/2012

Hubungan Hadramaut dengan alam Melayu

DAHULU, daerah ini dikenali sebagai daerah asal orang Arab yang datang ke alam Melayu. Kedatangan mereka ke alam Melayu dianggarkan berlaku semenjak abad ke-13 kerana pada masa itu telah terjalin hubungan dagang antara alam Melayu dengan Arab Selatan, terutamanya Muccat dan Teluk Parsi.

Hadramaut terletak di seluruh kawasan pantai Arab Selatan dan termasuk dalam wilayah pemerintahan Republik Yaman, bermula dari Aden hingga ke Tanjung Ras-al-Had.

Penduduknya termasuk bangsa Arab Selatan atau Arab Asli ('Arab 'Aribah). Mereka menggangap diri mereka keturunan Yakrub bin Qahtan bin Hud.

Nama Hadramaut itu sendiri diambil daripada nama tokoh lagenda 'Hadramau", namun identiti tokoh ini tidak pernah diketahui dengan pasti.

Geografi

Hadramaut terletak di sekitar wadi Hadramaut. Panjang wadi tersebut lebih kurang 400km dan merupakan salah satu daripada sejumlah kecil sungai di Arab yang sentiasa berair.

Muka buminya terdiri daripada pantai berpasir dan pergunungan batu yang gersang. Di sepanjang pantai hanya terdapat bukit-bukit yang di belakangnya terdapat serangkaian gunung.

Gunung yang tertinggi antaranya ialah Gunung al-Arsyah. Di sana-sini terdapat padang rumput dan hutan kecil pohon sibr (sejenis kaktus berduri). Di kawasan pantai terdapat beberapa sumber air panas.

Dua pelabuhan penting di wilayah pantai Hadramaut ialah al- Syihr dan Mukalla. Pelabuhan Mukalla terkenal sebagai pusat industri perikanan Yaman.

Kedatangan Islam

Penduduk asal Hadramaut seluruhnya beragama Islam. Agama itu dibawa masuk ke wilayah Hadramaut pada abad pertama Hijrah.

Mereka menganut agama itu secara turun- termurun. Namun demikian, mazhab yang mereka ketahui hanyalah Mazhab Syafie.

Orang Hadramaut di Malaysia

Orang Hadramaut yang datang ke Tanah Melayu (Malaysia) ini berasal daripada golongan Syed. Selain berdagang, banyak juga orang Arab Hadramaut di Malaysia yang tampil sebagai ulama dan tokoh masyarakat.

Mengikut Sejarah Melayu, seorang Arab bernama Syed Abdul Aziz bertanggungjawab mengislamkan Raja Melaka yang kemudian menukar nama kepada Raja Muhammad.

Kebanyakan orang Hadramaut berketurunan Syed ini mula berhijrah ke Tanah Melayu dan Asia Tenggara sejak abad ke-14 dan ke-15.

Menurut laporan bancian penduduk Tanah Melayu 1824, terdapat seramai 2,012 orang Arab di Tanah Melayu. Jumlah ini bertambah menjadi 5,718 orang dalam tahun 1947.

Makam suci

Di Hadramaut terdapat beberapa makam Islam yang dipercayai sebagai tempat suci, antaranya QabrHud (makam Hud), makam Nabi Salleh a.s dan makam Ahmad bin Isa.

Qabr Hud (makam Hud) dipercayai penduduk setempat sebagai makam nenek moyang mereka, Nabi Hud a.s. Berdekatan dengan makam itu terdapat pula masjid yang banyak dikunjungi penziarah, terutamanya pada setiap 11 Syaaban.

Makam Nabi Salleh a.s terletak di Lembah Sarr. Selain itu terdapat juga makam lain, iaitu makam Aidid dan al-Aidrus. Makam Aidid terletak di kota Aidid, sedangkan makam al-Aidrus terletak di al-Syihr.



Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 12/06/2012

Peristiwa Khatam al-Nubuwwah Rasulullah

SETELAH Jibril membelah dada Rasulullah SAW, menyucikan hati dan mengisinya dengan kelembutan, ilmu keyakinan, beliau pun memeterai di antara dua bahu Baginda SAW dengan Khatam al-Nubuwwah, iaitu seketul daging kecil yang timbul dan ditumbuhi bulu, di sebelah atas bahu kiri Baginda SAW.

Terdapat hikmah yang besar daripada peristiwa perletakkan ini, di mana setelah hati Baginda SAW dipenuhi dengan iman, hikmah dan keyakinan, serta dihimpunkan dengan sifat-sifat kenabian, maka ia dimeterai sebagaimana dimeterai di luar bekas yang telah dipenuhi dengan kasturi dan mutiara.

Dengan pemeteraian ini, tidak ada lagi sebarang jalan bagi musuh-musuh untuk mengganggu atau menggoda Baginda SAW. Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa khatam ini telahpun ada sebelum itu.

Menurut zahir sebuah hadis, semasa dilahirkan telah ada kesan tersebut pada jasad Baginda SAW. Kemudian tanda itu semakin membesar hingga menjadi sebesar telur merpati selepas peristiwa pembelahan dada pada malam Israk dan Mikraj berdasarkan gabungan beberapa riwayat.

Apa yang hendak dijelaskan di sini, keistimewaan ini khusus buat Baginda SAW kerana beberapa maksud. Di antaranya, khatam ini merupakan tanda penutup kenabian kerana ia tidak akan dibuka selepas itu.

Diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Wahhab bin Munabbih, berkata: "Allah tidak membangkitkan seseorang nabi melainkan terdapat tanda kenabian di tangan kanannya. Kecuali Nabi kita Muhammad SAW, tanda kenabiannya terletak di antara dua bahunya."

Maka perletakkan ini adalah suatu keistimewaan yang membezakan Baginda SAW dengan nabi-nabi lain. Dikatakan juga Khatam al-Nubuwwah ini diangkat ketika kewafatan Baginda SAW.

Rasulullah tunggang Buraq

Kemudian Rasulullah SAW menunggang seekor Buraq. Buraq diambil daripada perkataan al-Bariq yang bermaksud putih kerana warnanya yang putih di mana ia merupakan semulia-mulia warna atau ia diambil daripada perkataan al-Barq yang bermaksud kilat kerana kepantasan pergerakan dan kelajuan perjalanannya.

Allah SWT mengutus Buraq dari syurga untuk membesarkan dan memuliakan Baginda SAW. Sebagaimana adat bagi raja-raja, apabila mengundang orang-orang besar atau seseorang yang istimewa, maka diutuskan kepadanya kenderaan khusus yang hebat bersama orang kanan untuk mengundangnya. Maka Buraq itu dari alam ghaib.

Rasulullah SAW tidak diisrakkan, sama ada dengan mengenderai sayap malaikat, dibawa oleh angin sebagaimana angin yang membawa Nabi Sulaiman AS, ataupun dengan lipatan masa. Tujuannya, untuk memperlihatkan tanda kekuasaan Allah yang terkeluar daripada adat kebiasaan dan menakjubkan.

Kemudian Nabi SAW bersama Buraq melalui beberapa tempat yang berkat dan mulia. Di antaranya (tempat yang pertama), mereka tiba di suatu tempat yang terdapat di sana banyak pohon kurma. Jibril berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Nabi SAW pun mematuhi permintaan Jibril itu.

Setelah itu, mereka pun berangkat kembali dan Jibril pun bertanya, "Apakah tuan tahu mengenai tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Jibril berkata, "Tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi ialah Toibah (Madinah al Munawwarah) dan tuan akan berhijrah ke sana kelak."

Kemudian Buraq bersama Nabi SAW sampai ke Madyan; tempat terdapat pokok Nabi Musa a.s berlindung di bawahnya ketika keluar dari Mesir. Jibril berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Baginda SAW pun turun dan bersolat.

Kemudian mereka menuju ke Tur Sina; di mana Allah SWT berbicara dengan Nabi Musa a.s Jibril berkata, "Silalah tuan turun di sini dan tunaikanlah solat." Baginda SAW pun turun dan bersolat.

Kemudian Nabi SAW sampai ke suatu tempat yang kelihatan di sana istana-istana negara Syam. Jibril pun berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Baginda memenuhi permintaan Jibril.

Jibril berkata, "Adakah tuan tahu mengenai tempat tuan melakukan solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Maka Jibril berkata, "Sebentar tadi, tuan solat di Bait Lahm; tempat Nabi Isa ibnu Maryam a.s dilahirkan."

Turun dan solatnya Nabi SAW di tempat-tempat di atas, merupakan bukti besar menunjukkan hubungan tempat tersebut dengan Islam dan Baginda SAW merupakan Nabi Islam.

Ia juga membuka pintu keperihatinan umat Islam terhadap kesan-kesan sejarah agama yang berhubung kait dengan peristiwa-peristiwa besar, tempat mulia dan kenangan zaman silam.

Bagi menghidupkannya, hendaklah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat dan kurniaan-Nya dengan cara beribadah, berdoa dan berfikir tentang manfaat dan kebaikannya itu ternyata kembali semula kepada umat manusia.

Imam di Baitul Maqdis

Kemudian Baginda SAW menyambung perjalanan hingga tiba di kota Bait al Maqdis dan memasuki kota itu dari pintu gerbang sebelah kanan. Kemudian menambat Buraq berdekatan pintu masjid dengan kekang yang biasa digunakan oleh para Nabi AS.

Dalam riwayat yang lain, Jibril pergi ke sebuah batu besar dan membuat lubang pada batu besar itu dengan jarinya. Di sanalah Jibril menambat Buraq itu.

Baginda SAW masuk ke dalam masjid melalui pintu arah terbenam matahari dan bulan (sebelah barat). Kemudian Baginda dan Jibril solat dua rakaat. Tidak lama kemudian, banyak manusia berkumpul di situ. Nabi mengetahui mereka itu ialah para nabi, yang ada di kalangan mereka sedang solat, rukuk dan sujud.

Kemudian muazzin mengumandangkan azan menandakan solat akan didirikan. Maka mereka semua berbaris menyusun saf dan menunggu imam. Jibril mencapai tangan Baginda SAW dan mempersilakannya menjadi imam. Maka Baginda SAW pun solat bersama mereka dua rakaat.

Daripada Ka'ab RA meriwayatkan: Jibril mengumandangkan azan dan para malaikat turun dari langit. Allah memerintahkan seluruh nabi dan rasul berkumpul. Maka Baginda SAW pun menjadi imam dan solat bersama seluruh malaikat dan para rasul.

Setelah selesai, Jibril berkata, "Wahai Rasulullah, adakah tuan mengetahui siapakah mereka yang solat di belakang tuan sebentar tadi?" Jawab Baginda, "Tidak." Jibril SAW berkata, "Mereka ialah seluruh nabi yang diutuskan Allah."



Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 12/06/2012