June 30th, 2012

Dakwah tanggungjawab bersama ke arah kebaikan

MELAKSANAKAN dakwah adalah tanggungjawab semua orang. Inilah keistimewaan menjadi Muslimin dan Muslimat yang beriman dan selalu menyuruh diri sendiri dan orang lain mengikut perintah dan berpegang kepada addin-Nya.

Sebagai orang yang beriman kepada Allah SWT hendaklah menyuruh dan mengajak orang lain beriman kepadaNya. Sebagai umat yang terpilih dan terbaik dakwah adalah jalan terbaik mengajak orang lain beriman kepada Allah.

Allah berfirman yang maksudnya: Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada makruf dan mencegah daripada yang mungkar, dan kamu pula beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. (ali Imran: 110)

Setiap umat Islam adalah sebaik-baik umat yang diciptakan oleh Allah untuk melakukan kebajikan dan mencegah kemungkaran. Melakukan kebaikan mestilah secara berterusan walaupun sedikit. Kemudiannya akhir dilakukan secara tetap dan lebih banyak.

Tugas berdakwah tidak semestinya terletak kepada tanggungjawab pendakwah, penceramah, imam dan ahli jawatankuasa masjid sahaja. Malah ia boleh menjadi tugas dan tanggungjawab guru dan ustaz di sekolah serta orang biasa.

Syarat yang paling utama adalah mempunyai ilmu agama bagi mengajak orang lain mengerjakan kebaikan dan kebajikan.

Tokoh ilmuwan Islam, Al-Khazin menjelaskan bahawa pendakwah itu terbahagi kepada empat. Pertama, golongan para Nabi dan Anbiya' (nabi-nabi) yang berdakwah dengan pengantaraan mukjizat, hujah-hujah penerangan dan penjelasan.

Kedua, golongan alim ulama yang diiktiraf sebagai para Nabi. Ketiga, golongan mujahidin yakni orang-orang yang berperang kerana Allah SWT.

Keempat, para muazin yang melaungkan azan mengajak manusia mendirikan solat, juga dianggap sebagai pendakwah.

Konsep atau peranan pendakwah mestilah lebih luas. Dari segi konsepnya, mengajak orang lain mengerjakan kebajikan adalah berdakwah, mengajak orang lain solat dan mendekati masjid adalah dakwah. Malahan menegur kawan-kawan daripada melakukan perbuatan yang tidak baik juga adalah dakwah.

Peranan dakwah ini boleh dimainkan melalui lisan atau perbuatan. Antaranya melalui nasihat, teguran dan pandangan yang berhikmah.

Sekolah adalah pusat pembelajaran ilmu pengetahuan yang sepatutnya dijadikan asas berdakwah, iaitu mengajak ke arah kebaikan.

Kita tidak mahu konsep dakwah itu disempitkan. Harus diingat mengajak orang lain mendalami ilmu pengetahuan juga adalah dakwah. Sebagai pelajar, menasihati pelajar lain, khususnya kawan-kawan sebaya tidak menghisap rokok adalah dakwah. Menasihati mereka agar tidak melanggar disiplin sekolah juga adalah dakwah.

Konsep dakwah

Dalam hal ini Allah berfirman: Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan (mengembang dan menyebarkan Islam), menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian, ialah orang-orang yang berjaya. (ali Imran: 104).

Pendek kata, dakwah itu sangat meluas konsepnya. Jika semua orang berdakwah iaitu mengajak ke jalan kebaikan dan menjauhi kemungkaran tidak akan ada perbuatan buruk berlaku dalam masyarakat seperti ragut, merempit di jalan raya, penyalahgunaan dadah, seks bebas dan pembuangan bayi.

Sikap mengambil tahu hal orang lain dan menasihatinya ke jalan yang di redai Allah SWT adalah sikap yang baik. Sikap hedonisme iaitu sikap mementingkan diri sendiri dan tidak mengambil tahu hal orang lain adalah unsur yang dibawa dari Barat. Dalam Islam perpaduan umat itu ibarat satu bangunan yang menyokong kebaikan antara satu sama lain.

Dalam hal ini Nabi bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya agama ini mudah dan tiada seorang yang menyulitkan agama, kecuali pasti dikalahkannya. Bertindaklah tepat, lakukan pendekatan, sebarkan berita gembira, permudahkan dan gunakan siang dan malam hari serta sedikit waktu fajar sebagai penolongmu. (riwayat al-Bukhari)

Oleh itu, dalam berdakwah ini tidak ada apa yang perlu disusahkan dan disukarkan, semuanya boleh dipermudahkan, asalkan kita mahu melakukannya.

Kejayaan seseorang pendakwah banyak bergantung pada usaha dan kemahuan yang sentiasa dilakukan dalam aktiviti berdakwah.

Melaksanakan kerja-kerja dakwah adalah tugas yang paling murni dan mulia di sisi Allah, kerana ia menyeru manusia supaya beriman kepada Allah dan beribadat hanya kepada-Nya.

Di samping itu, dakwah juga mengajak manusia supaya melakukan perkara yang makruf (baik) dan menjauhi yang mungkar (keji). Natijah daripadanya akan mewujudkan keharmonian dan kebahagiaan hidup dalam masyarakat serta memperoleh keredaan Allah di dunia dan akhirat.

Pada masa kini, kita berada di era langit terbuka dan era globalisasi dengan perkembangan teknologi sehingga terciptanya alat komunikasi yang serba canggih.

Oleh itu, semua orang boleh berdakwah mengajak ke arah kebaikan. Ingatlah, walau dengan menyampaikan satu ayat yang menyeru ke arah kebaikan juga adalah satu dakwah.

Bagaimanapun, kerja-kerja dakwah yang kita lakukan itu mestilah ikhlas semata-mata kerana mengharap keredaan Allah SWT, bukan untuk kepentingan peribadi dalam bentuk duniawi.

Oleh AMINUDIN MANSOR Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28/06/2012

Minuman paling lazat dari syurga

Tafsir al-Quran & Asbabun Nuzul

SETELAH Allah SWT menyebut perihal Dia menunjukkan jalan kebaikan dan jalan keburukan kepada manusia menerusi firman-Nya yang bermaksud: Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (jalan kebaikan untuk dijalaninya dan jalan kejahatan untuk dijauhi) (al-Balad :10). Berikutnya Allah SWT menambahkan penjelasan bahawa manusia itu terbahagi kepada dua golongan iaitu mereka yang menerima hidayah Allah SWT dan bersyukur serta golongan yang disesatkan Allah SWT dan kufur.

Kemudian, Dia mengakhiri perkara tersebut dengan apa yang disediakan untuk kedua-dua golongan itu pada hari kiamat nanti.

Allah SWT menyediakan kepada golongan pertama iaitu syurga-syurga dan kenikmatan, sehingga mereka meminum khamr - minuman yang paling lazat yang dicampurkan dengan air segar dan sejuk serta harum baunya. Apabila mereka inginkannya, maka ia datang kepada mereka di bilik-bilik.

Mereka juga memakai kain sutera dan duduk di atas pelamin-pelamin tanpa merasa panas dan sejuk. Kemudian Allah SWT menyebut pula sesuatu yang disediakan di dunia bagi mendapatkan pahala agung ini. Lalu dijelaskan bahawa mereka itu memberi makan kepada orang fakir, malang, yatim dan hamba sahaya. Mereka menunaikan apa yang diwajibkan oleh Tuhan mereka dan takut terhadap azab Allah SWT pada hari kiamat.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami menyediakan bagi orang-orang kafir rantai, belenggu dan neraka yang menyala-nyala. (al-Insaan: 4)

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT menyediakan bagi orang yang mengkufuri nikmat-Nya dan menyalahi perintah-Nya, dengan rantai-rantai ke dalam neraka Jahim."

Manakala belenggu-belenggu dengan tangan-tangan mereka diikatkan ke leher-leher mereka sebagaimana yang dilakukan terhadap orang yang berdosa di dunia dan mereka dibakar dengan api neraka.

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT mengkhabarkan tentang apa yang telah Dia sediakan bagi semua orang kafir daripada makhluk-Nya, sama ada berbentuk rantai, belenggu dan api yang menyala lagi membara di neraka Jahanam."

Sayid Qutub berkata: "Iaitu belenggu-belenggu untuk mengikat kaki dan memasungkan tangan serta api neraka yang menyala-nyala untuk dicampakkan mereka ke dalamnya dengan kaki tangan yang terbelenggu."

Firman Allah SWT: Sesungguhnya orang-orang yang berbuat kebajikan minum daripada gelas (berisi minuman) yang campurannya adalah air kapur. (iaitu) mata air (dalam syurga) yang daripadanya hamba-hamba Allah minum, yang mereka dapat mengalirkannya dengan sebaik-baiknya. (al-Insaan: 5-6)

Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya orang yang berbakti kepada Allah SWT dengan mengerjakan ketaatan serta menunaikan segala perkara yang diwajibkan oleh-Nya dan meninggalkan perbuatan yang dilarang seperti meminum arak yang dicampur dengan minuman yang lain, seperti kapur yang berbau harum, sejuk lagi putih."

Campurannya berasal daripada sumber yang daripadanya semua hamba Allah SWT yang bertakwa meminumnya di bilik-bilik yang terdapat di dalam syurga. Air itu didatangkan kepada mereka dengan mudah ke mana sahaja mereka suka dan dimanfaatkan menurut kehendak mereka serta ia mengikut mereka ke mana-mana sahaja tempat yang dikehendaki oleh mereka.

Al-Mujahid berkata: "Mereka membimbingnya ke mana sahaja mereka suka dan air itu mengikut ke mana sahaja mereka pergi."

Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, air kapur yang telah bercampur dan disediakan bagi orang-orang yang melakukan kebaikan ini adalah mata air yang biasa diminum oleh hamba-hamba Allah SWT yang mendekatkan diri, murni tanpa campuran, mereka minum sehingga kenyang."

Mereka boleh manfaatkan air tersebut ke mana dan di mana sahaja mereka kehendaki.

Sayid Qutub berkata: "Ayat ini menjelaskan bahawa minuman orang-orang yang taat atau para Abrar di dalam syurga ialah air campuran dengan haruman kapur, iaitu mereka minum di dalam gelas yang di ambil dari mata air yang sentiasa mengalir dengan banyaknya."

Biasanya orang-orang Arab mencampurkan minuman arak, kadang-kadang dengan kapur dan kadang-kadang dengan halia untuk menambahkan kelazatannya.

Dengan keterangan ini tahulah mereka bahawa di syurga akan disediakan minuman yang bercampur kapur dengan mewahnya tetapi taraf minuman ini tentulah lebih manis dan nyaman lagi daripada minuman-minuman di dunia dan kelazatannya berlipat kali ganda.


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMED AL-BAKRI Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama  29/06/2012

Kerajinan tingkat momentum, daya saing pekerja

Majikan wajib penuhi hak tenaga kerja, wujud hubungan baik sesama kakitangan

ALLAH SWT berfirman yang bermaksud: “Apabila engkau selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal salih yang lain). Dan hanya kepada Tuhanmu sahajalah, hendaknya engkau berharap.” (Surah al-Syarh, ayat 7-8)

Walaupun ayat ini diturunkan untuk mententeramkan hati Baginda Rasulullah pelbagai panduan dan manfaat boleh kita kutip dalam melaksanakan kerja seharian daripada penelitian dua ayat ini.

Ayat ini bukan saja menunjukkan anjuran dan galakan Allah SWT supaya terus menerus melaksanakan amal salih, tetapi ia juga membawa perhatian untuk terus melakukan kebaikan kesungguhan dan kerajinan bekerja juga perlu terus dibaja supaya momentumnya mampu dikekalkan khasnya pada masa kini.


Bagi memacu daya saing dan daya maju pekerja, nilai kerajinan, ketekunan serta kesungguhan perlu disokong serta dikembangkan. Setiap majikan perlu membajai nilai ini melalui pelaksanaan dasar 5K iaitu yang pertama, kemudahan dan kebajikan.

Kemudahan fizikal dan material meliputi antaranya persekitaran tempat kerja selesa, kemas, bersih, kemudahan teknologi komunikasi maklumat (ICT), tempat beribadat serta rekreasi, manakala kemudahan material meliputi gaji, upah, insentif seperti bonus dan elaun kemudahan kesihatan, perumahan, pengangkutan, khairat kematian dan lain-lain bentuk kebajikan.

Dalam Majma’ al-Zawaid al-Haithami, sabda Rasulullah yang bermaksud: “Berilah pekerja itu upah sebelum kering peluhnya.” 
Kemudahan insentif ini adalah mengambil pengajaran daripada balasan Allah SWT kepada hamba-Nya yang melakukan kebaikan dalam firman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakan.” (Surah al-Najm, ayat 39)

Kedua, kesantunan komunikasi adalah dasar paling mudah dan murah untuk menimbulkan rasa dihargai apabila berjaya melaksanakan tugasan serta merangsang motivasi kerja dengan kerajinan dan kesungguhan. Ucapan seperti ‘terima kasih’, ‘tahniah’, ‘syabas’, ‘teruskan ketekunan anda’ adalah komunikasi baik yang amat dituntut.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Perkataan yang baik itu adalah suatu sedekah.” (Hadis riwayat Muslim) Benarlah kata-kata, ‘Indah tampan kerana budi, tinggi bangsa kerana bahasa’.

Kesantunan komunikasi ini juga boleh dipamerkan melalui pelbagai bentuk penghargaan termasuklah pemberian anugerah perkhidmatan cemerlang, perkhidmatan setia, anugerah kualiti dan inovasi berbentuk ganjaran atau hadiah, sijil, piala, pingat dan sebagainya.

Kesantunan komunikasi ini sesuai dengan anjuran supaya kita saling menghargai dan berterima kasih sesama manusia. Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada Allah.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Dalam Perkhidmatan Awam, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 tahun 2004 juga menyediakan peraturan pemberian penghargaan kepada pegawai yang sudah meninggalkan perkhidmatan iaitu sijil penghargaan kepada mereka yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun secara berterusan.

Ketiga, kerjasama harmoni dan kerukunan organisasi. Apabila tugas boleh disandarkan di bahu anggota organisasi secara bersama dan harmoni, ia akan menimbulkan rasa kepuasan serta kerukunan dalam organisasi.

Ibn Khaldun dalam mukadimahnya mengistilahkan suasana begini sebagai organisasi insani. Justeru, membina semangat muafakat dan kerjasama dalam organisasi boleh menimbulkan keseronokan bekerja, mengembangkan serta membudayakan nilai kerajinan bersama.

Keempat, keutamaan kesihatan. Faktor kesihatan penting kerana kesihatan adalah harta seperti sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang pagi sihat fizikalnya, damai jiwanya dan mempunyai makanan untuk harinya, maka seolah-olah dunia ini kepunyaannya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Justeru, tanpa kesihatan yang baik, tiadalah kerajinan. Individu dan majikan perlu memberi perhatian serius antaranya mengambil kira aspek bebanan kerja yang diberikan supaya bersesuaian kemampuan kesihatan dan fizikal pekerja serta munasabah untuk disempurnakan dalam tempoh diberi, menganjurkan wacana berkaitan kesedaran kesihatan, menggalakkan aktiviti riadah dan rekreasi seperti menubuhkan Kelab Sukan atau Hari Sukan.

Kelima, ketepi kerenah birokrasi yang bukan saja melambatkan sesuatu urusan tetapi boleh merencatkan kerajinan pekerja. Contohnya, apabila pekerja perlu berhadapan proses dan prosedur kerja yang panjang serta sulit, mendapat kelulusan atau persetujuan daripada ramai pegawai atasan, mengisi pelbagai borang dan masalah dalam penggunaan ICT.

Justeru, usaha memudahkan proses dan prosedur kerja dapat mengelakkan kebosanan serta mengembangkan nilai kerajinan dalam bekerja. Malah, dalam ajaran Islam, nilai mudah dan memudahkan amat dituntut.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Rasulullah SAW bersabda: “Mudahkanlah dan jangan menyusahkan, gembirakanlah dan jangan membuatkan orang lain lari (dari agama kamu)." (Hadis riwayat al-Bukhari

Marilah bersama mengembangkan sifat kerajinan dalam diri dan pekerja dengan memberi perhatian kepada dasar asas 5K yang akan melonjakkan hasil kerja, organisasi sekali gus menjadikan kerja berteraskan kerajinan suatu budaya yang mengundang pahala dan keredaan Allah SWT.


Oleh Sharifah Haayati Sumber: Berita Harian Online Agama 2012/06/30

Hikmah bersin kepada kesihatan manusia menurut Islam

SESUATU perkara yang berlaku adalah kehendak dan kurniaan daripada Allah SWT. Manusia harus menerima dengan perasaan reda dan merendah diri kerana pada dasarnya segala-galanya adalah untuk kebaikan umat manusia.

Setiap ciptaan mempunyai tujuan tersendiri dan bukanlah sia-sia seperti anggapan sesetengah masyarakat. Firman Allah SWT bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa ada ciptaan Allah yang tiada mempunyai tujuan serta sia-sia?” (Surah al-Mukminun, ayat 115)

Ada perkara yang tersirat kadang kala tidak menggambarkan apa yang tersurat. Namun, peradaban dalam Islam amat dititikberatkan kerana Islam tidak sekali-kali membenarkan perasaan orang lain terganggu akibat sesuatu tindakan yang kita lakukan.

Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin, hendaklah meletakkan tangannya di mulut dan merendahkan suaranya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Di sinilah letaknya keadilan dan kesaksamaan Islam yang mana segala gangguan mental dan fizikal terhadap orang lain adalah dilarang walaupun kepada golongan bukan Islam.

Antara perkara yang sering dilupai umat Islam ialah ‘bersin’ dan disiplinnya. Ramai menganggap ia perkara biasa dan tiada kaitan dengan agama. Sebenarnya bersin mempunyai disiplin tersendiri yang perlu dijaga supaya tidak mengganggu perasaan orang lain ketika kita bersin.

Kita dianjurkan supaya tidak meninggikan suara serta mengucapkan pujian kepada Allah SWT (Alhamdulillah) serta menutup hidung dan mulut ketika bersin. Dianjurkan pula mereka yang mendengar pujian itu mendoakan dengan rahmat Allah SWT (Yarhamukallah). 

Sesungguhnya al-Quran dan sunnah penuh dengan hukum dan hikmah untuk kemaslahatan manusia. Ibnul Qayyim menyebut: “Jika hanya ada seratus perkara dalam al-Quran dan sunnah, nescaya kita akan menyelaminya dengan mudah. Tetapi hakikatnya, di sana terdapat ribuan perkara yang datang dalam pelbagai bentuk dan cara.” (Miftah As-Saa’dah)

Hikmah diciptakan bersin kepada manusia adalah berdasarkan beberapa perkara, antaranya untuk menggambarkan Islam sebagai agama yang sentiasa menitikberatkan hubungan hamba dan Penciptanya dalam semua keadaan. Oleh itu, setiap pekerjaan dilakukan mempunyai doa tersendiri daripada Baginda SAW.

Jawapan yang diucapkan daripada orang yang bersin serta mereka yang mendengar pujian dapat menciptakan suasana keislaman dalam masyarakat serta menggalakkan mengingati Allah SWT.

Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin hendaklah menyebut ‘Alhamdulillah’ dan berkatalah mereka yang berada di sisinya ‘Yarhamukallah’. Inilah salah satu antara hak orang Islam terhadap saudaranya yang lain (mendoakan ketika bersin).” (Hadis riwayat Aishad dari Abi Ya’la)

Syekh A’llamah Al-Haliimy berkata: “Bersin juga akan mengurangkan tekanan yang terdapat dalam pemikiran selepas banyak berfikir. Oleh sebab itulah orang yang menjawab berkata: “Semoga Allah lapangkan pemikiranmu.”

Berkata Ibnu A’rabi, bersin akan mengejutkan segala saraf bermula daripada kepala ke bahagian tengkuk dan ucapan Yarhamukallah daripada mereka yang mendengar bermaksud supaya Allah kembalikan sarafnya seperti sedia kala.

Ibnu Abi Hamzah berkata, bersin adalah satu nikmat Allah SWT kepada hambanya untuk menghilangkan kemudaratan dalaman manusia. Oleh sebab itulah mereka yang bersin dianjurkan memuji Allah SWT dan mereka yang menjawab pujian itu sangat dituntut oleh Islam dan mendapat ganjaran Allah SWT. (Kitab Fathul Bari)

Begitu juga jalinan ukhuwah antara umat Islam selepas berlaku dua hubungan antara orang yang bersin dan mereka yang menjawabnya. Mereka saling mendoakan antara satu sama lain sehingga melahirkan hubungan yang kukuh antara umat Islam.

Perasaan persendirian, keegoan serta permusuhan adalah penyakit masyarakat dan adalah mukadimah kepada keruntuhan agama. Sesungguhnya bersin dapat mewarnai sikap layanan yang baik terhadap orang lain dan dapat menjelmakan semangat kasih sayang antara umat Islam.

Islam juga menafikan fahaman masyarakat jahiliah dulu yang menganggap mereka yang bersin adalah pembawa sial dan berpenyakit. Ada juga sebahagian daripada mereka menganjurkan diputuskan atau diusahakan tidak bersin supaya tidak tergolong daripada golongan yang sial.

Mereka juga akan menjawab kepada yang bersin mengikut penilaian orang itu pada pandangan masing-masing. Contohnya, jika orang itu disukai maka mereka akan mendoakan supaya sihat dan panjang umur. Jika orang itu dibenci maka jawapannya adalah celaka dan mati. Ada juga yang menjawab, itu (sial) adalah untukmu dan bukan untukku.

Doa keampunan diungkapkan mereka yang bersin dan mereka mendengarnya telah membina satu ikatan malah dengan jawapan semula oleh orang yang bersin dengan doa hidayah untuk kedua-duanya dapat membina kasih sayang antara keduanya. Doa inilah yang memadamkan fahaman jahiliah yang menggalakkan kezaliman dan permusuhan sesama manusia.


Oleh Ustaz Zaman bhagama@bharian.com.my Sumber: Berita Harian Online Agama 2012/06/30