July 21st, 2012

Kelebihan dan ganjaran bulan Ramadan

KELEBIHAN Datuk Fazley Yaakob yang konsisten menunjukkan bakat dan kemahiran memasak dalam Pertandingan Master Chef Selebriti memberi tuah kepadanya apabila diumumkan sebagai pemenang dalam pertandingan itu.

Kemenangan itu tambah bermakna apabila ia dikongsi bersama dengan Yayasan Jantung Malaysia yang beroleh hadiah kemenangannya sebanyak RM57,500 sebagai sumbangan amal bagi membantu pihak yang memerlukan. Sesungguhnya sifat mulia suka memberi dan membantu merupakan sebahagian daripada sifat mulia yang wajar dicontohi oleh semua.

Lebih besar lagi ganjaran yang bakal diraih jika amalan mulia suka memberi dan bersedekah seperti itu dilaksanakan di bulan Ramadan. Di bulan ini masyarakat Islam digalakkan memperbanyak bersedekah, menyediakan juadah berbuka puasa dan menghulurkan apa jua bantuan yang terdaya bagi mencontohi perbuatan Baginda Nabi Muhammad SAW yang sangat pemurah semasa Ramadan.

Baginda Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya; "Sesiapa daripada kalangan Mukmin memberi makanan kepada Mukmin yang kelaparan maka Allah SWT akan memberinya makanan buah-buahan Syurga pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan Mukmin memberi minuman kepada Mukmin yang kehausan maka Allah SWT akan memberinya khamar Syurga yang termeterai bekasnya pada hari kiamat. Sesiapa daripada kalangan Mukmin memberi pakaian kepada Mukmin yang tidak berpakaian maka Allah SWT akan memberinya pakaian Syurga yang berwarna hijau". (Riwayat al-Tirmiziy dan Abu Daud). Dalam riwayat yang lain Baginda Nabi SAW pernah ditanya tentang sedekah yang paling afdal, dijawab "Sedekah di Bulan Ramadan" (Riwayat al-Tirmiziy).

Selain itu, kelebihan Ramadan juga dibahagi-bahagikan kepada nikmat beroleh rahmat Allah SWT pada 10 hari pertama Ramadan, diikuti dengan ganjaran pengampunan dosa pada 10 hari yang kedua dan akhirnya pembebasan daripada api neraka di 10 yang terakhir daripadanya. Yang mana kesemua kelebihan ini merupakan motivasi untuk Muslimin beramal ibadah seraya memenuhi Ramadan dengan aktiviti yang bermanfaat. Diriwayatkan juga apabila tiba Ramadan pintu-pintu langit dibuka, pintu-pintu syurga dibuka, pintu rahmat dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu.

Justeru, masyarakat Islam diseru berusaha untuk memenuhi seluruh Ramadan dengan pelbagai kegiatan ibadah yang juga memiliki ganjaran hebat yang tersendiri. Ganjaran bertadarus al-Quran sebagai contohnya mampu memberi ketenangan dan menarik rahmat Allah SWT. Ini dinyatakan dalam riwayat yang bermaksud "Tidaklah berkumpul suatu kaum di rumah Allah, mereka membaca al-Quran dan saling mempelajarinya kecuali akan turun kepada mereka ketenangan, diliputi rahmat Allah SWT, malaikat akan menyertai mereka dan Allah SWT membanggakan mereka di kalangan malaikat yang ada di sisinya". (Riwayat Abu Daud)

Ramadan juga merupakan bulan pengampunan dosa. Malah inilah peluang untuk individu Muslim melipatgandakan usaha memohon keampunan seterusnya bertaubat dan tidak lagi mengulangi segala dosa. Diriwayatkan Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya "Sembahyang lima waktu, sembahyang Jumaat hingga Jumaat yang berikutnya, Bulan Ramadan hingga Ramadan yang lain menjadi penebus dosa yang terjadi antara keduanya selagi seseorang itu menjauhi dosa-dosa besar". (Riwayat Muslim).

Kelebihan yang tiada tolok bandingnya terdapat pula pada malam kemuliaan lailatulqadar yang diharapkan oleh Imam al-Syafi'y berlaku pada malam 21 atau 23 Ramadan. Manakala Imam al-Ghazali menjangkakannya berdasarkan hari awal Ramadan. Sebagai contohnya jika awal Ramadan jatuhnya pada Selasa atau Jumaat, lailatulqadar berlaku pada malam 27 Ramadan dan jika bermula pada hari Sabtu bermakna lalilatulqadar pada malam 23 Ramadan. Sungguhpun demikian umat Islam diseru untuk menghidupkan malam-malam akhir Ramadan kerana terdapat hadis yang masyhur daripada Nabi Muhammad SAW menyatakan ia berlaku pada malam ganjil hari 10 terakhir Ramadan.

Berjihad mencari lailatulqadar merupakan kemuncak segala amal kebajikan yang dilakukan sejak hari pertama Ramadan. Pada malam itu Allah SWT turun ke langit dunia untuk mengampunkan dosa sesiapa yang beristighfar kepadanya, memperkenankan doa kepada sesiapa yang ikhlas menadah tangan kehambaan. Malah pahala beribadah menyamai 1,000 bulan iaitu seolah-olah 83 tahun umur manusia bakal diraih oleh insan yang terpilih beroleh nikmat beribadah pada malamnya. Ini peluang keemasan yang perlu diraih oleh setiap Muslim tanpa mengira usia, jantina dan latar belakang ilmu agama.

Lebih daripada itu kelebihan Ramadan yang paling utama terletak pada ibadah puasa yang difardukan kepada setiap individu Muslim yang baligh dan berakal. Ini kerana manusia sebagai makhluk sanggup menahan diri daripada makan dan minum serta tidak melakukan perkara yang membatalkan puasa tidak lain semata-mata kerana ikhlas mentaati perintah Allah SWT. Sabda Nabi SAW bermaksud "Demi Allah yang jiwa ku berada dalam genggamannya, bahawa bau mulut seorang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah SWT daripada bau minyak kasturi". Allah SWT berfirman maksudnya "Sesungguhnya dia telah meninggalkan syahwatnya, meninggalkan makan dan minum kerana Aku. Puasa itu dilakukan kerana Aku, dan Akulah sendiri yang akan memberi balasannya". (Riwayat Ahmad)

Malahan jika umat Islam tahu segala kelebihan dan kemuliaan yang disediakan ketika Ramadan nescaya mereka pasti menginginkan agar Ramadan berlangsung sepanjang tahun. Oleh kerana itu jugalah tiada nikmat dan ganjaran yang paling berharga buat individu yang berpuasa dalam erti kata yang sebenar melainkan beroleh sifat takwa dan terpilih masuk Syurga Allah SWT melalui pintu al-Rayyan yang dikhususkan bagi orang yang berpuasa.


Oleh MOHD ALI MUHAMAD DON PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru.
Sumber:
Utusan Malaysia Online Rencana 20/07/2012

Puasa wasilah takwa

ALHAMDULILLAH, marilah sama-sama kita memanjatkan rasa kesyukuran kita kepada Allah SWT kerana pada detik ini, pada saat ini kita masih lagi hidup. Darah kita masih mengalir, nadi kita masih berdenyut, nafas kita masih terus turun dan naik, kita masih lagi mampu untuk menatap wajah insan-insan yang kita kasih dan sayang, kita masih hidup.

Bagaimanapun akan datang satu masa, satu saat, kita akan dimandikan, dikafankan, disembahyang, diusung ke tanah perkuburan oleh orang dan kemudian ditinggalkan di dalam tanah, bersendirian.

Hakikatnya, mati bukan noktah kepada kehidupan. Sesungguhnya dengan mati bermulalah kehidupan kita. Kehidupan yang lebih hakiki. Kehidupan yang lebih abadi. Apa yang akan berlaku ke atas kita pada kehidupan kita yang satu lagi itu bergantung bagaimana kehidupan kita di atas dunia ini. Kalau padi yang kita tanam, padilah yang kita akan tuai. Tapi kalau lalang, maka lalanglah yang kita akan dapat.

Rasulullah SAW menegaskan bahawa sebaik-baik bekal adalah takwa. Sesungguhnya orang yang paling mulia di kalangan kita pada sisi Allah adalah orang yang bertakwa.

Maka Allah SWT mendatangkan bulan Ramadan. Di mana dengan kita berpuasa, kita akan menjadi orang yang bertakwa. (rujuk al-Baqarah: 183)

Walau bagaimanapun, Allah meletakkan di dalam ayat tadi perkataan la al la yang bermaksud, mudah-mudahan. Maka dengan itu, belum tentu dengan kita berpuasa, takwa akan dapat dibina dan dijana. Ini adalah kerana sejauhmana takwa akan terbina adalah bergantung kepada kualiti puasa kita.

Sebab itu kata Nabi SAW: "Ramai umat aku berpuasa, tetapi mereka hanya dapat lapar dan dahaga sahaja."

Maka penting untuk kita sama-sama muhasabah diri. Bagaimanakah mutu puasa kita selama ini? Marilah kita jadikan bulan Ramadan tahun ini adalah bulan Ramadan yang terbaik daripada sebelum ini.

Dalam kehidupan ini penting untuk kita mempunyai matlamat yang jelas. Sebab itu dalam konteks organisasi kita ada visi dan misi.

Dalam konteks individu pun kita ada penyata wawasan. Dalam konteks puasa yang kita jalani, melalui ayat tadi kita boleh bentuk satu objektif iaitu setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan dalam bulan Ramadan, di akhirnya orang-orang yang beriman akan menjadi orang yang bertakwa.

Allah SWT dengan sifat kasih sayangnya telah mendatangkan dalam bulan Ramadan modul-modul khusus untuk menjadi pemangkin ke arah penjanaan budaya hidup orang bertakwa dalam kehidupan kita.



Oleh LONG KECHIK  Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama  20/07/2012

Zakat fitrah dan Ramadan

Moga-moga Ramadan yang berkunjung ke ribaan kita pada tahun ini, memberikan natijah yang cukup positif demi mengembalikan kita kepada fitrah manusia yang sebenar, yakni muslim yang taat kepada Allah SWT, sama ada dalam keadaan susah mahu pun senang dan bersifat belas ihsan kepada mereka yang memerlukan. Semoga juga jawapan ini mampu menjelaskan berkenaan zakat fitrah di sisi kita.

Sesungguhnya, Ramadan adalah bulan yang amat dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh kita, bahkan oleh Nabi Muhammad SAW demi melestarikan amal kebajikan. Ibnu Abbas r.a pernah memberitahu: Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Zakat fitrah adalah secebis bukti kedermawanan kita. Seandainya jumlah zakat fitrah yang kecilpun ada orang yang masih berkira-kira dan bakhil menunaikannya bagaimana pula mereka mahu menunaikan zakat harta yang lebih besar nilainya?

Hakikatnya, di sisi Islam, sememangnya zakat itu terbahagi dua, iaitu zakat harta (mal) dan zakat fitrah. Zakat fitrah juga dikenali sebagai zakat badan, kerana ia diwajibkan oleh Allah SWT bagi setiap individu Muslim tanpa mengira sama ada kecil, dewasa, lelaki, wanita, merdeka ataupun hamba. Selagi mana mereka dapat hidup pada dua masa, yakni Ramadan dan Syawal walaupun sebentar, maka wajiblah zakat fitrah ke atas mereka.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a, bahawa: "Rasulullah SAW memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah kepada anak kecil, orang dewasa, orang merdeka dan hamba sahaya daripada orang-orang yang kamu sediakan makanan mereka (tanggunganmu)." (riwayat Daruquthni daripada Ibnu Umar r.a)

Di samping itu, uniknya zakat fitrah kerana ia hanya diwajibkan pada bulan Ramadan atau lebih tepat lagi pada Hari Raya Aidilfitri sahaja. Ia tiada pada bulan-bulan yang lain. Pada zaman dahulu, umat Islam memberikan zakat fitrahnya dalam bentuk makanan asasi kepada orang-orang fakir dan miskin, khususnya pada pagi hari raya. Namun, dek perubahan zaman, maka fuqaha mengharuskan ia ditukar kepada bentuk tunai demi memudahkan urusan penyimpanan dan pengagihannya.

Maka, atas dasar itu, memberikan zakat fitrah paling afdal ialah pada pagi hari raya. Yakni sebelum solat sunat Aidilfitri didirikan sehingga ada yang melambatkan solat sunat berkenaan, demi memberikan kesempatan umat Islam menunaikan zakat fitrah.

Namun, tidaklah boleh dilewatkan sehingga gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) dan menurut sunah, eloklah dilakukan solat sunat Aidilfitri itu pada waktu matahari di sepenggalahan (kira-kira jam 8.30pagi - 9pagi) (Fiqh al-Manhaji al-Syafie, hal. 334).

Walau bagaimanapun, amalan zakat fitrah di Malaysia ia boleh ditunaikan sejak hari pertama Ramadan. Ia lebih sesuai, memandangkan kesibukan seseorang mungkin menyebabkan mereka tidak sempat menunaikannya atau paling bahaya terlupa menunaikannya sehingga menjadi berdosa.

Sebenarnya, zakat fitrah mempunyai maksud dan hikmah yang tersendiri. Islam mensyariatkan zakat fitrah, agar setiap orang yang berpuasa dapat menghayati watak sebenar manusia yang mahu kembali kepada fitrah.

Apabila berpuasa, maka umat Islam dididik untuk menghayati erti kesusahan, kelaparan dan menginsafi kehidupan dan zakat fitrah seolah-olah menjadi kemuncak kepada menghayati kesusahan dan erti kelaparan itu.

Akhirnya, Ramadan wajib dilunasi dengan memberikan sedikit kekayaan yang dimiliki kepada orang miskin yang hakikatnya sentiasa merasai keperitan, dan itulah namanya zakat fitrah.

Sebab itulah, orang yang berpuasa dengan sepenuh hati, maka mereka akan benar-benar memahami kewajipan zakat fitrah ini dan akan segera menunaikannya, demi mendapat ganjaran besar di sisi Allah SWT.

Ibnu Abbas menyatakan: "Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tidak ada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberikan makanan kepada orang-orang miskin." (riwayat Abu Daud).

Oleh kerana Islam adalah agama fitrah, maka asas kepada fitrah ini ialah saling ambil tahu, saling berkongsi dan saling bahu-membahu, khususnya memberikan rasa kegembiraan kepada mereka yang serba kekurangan di hari lebaran.

Nabi Muhammad SAW turut menukilkan bahawa setiap Muslim itu ibarat satu bangunan yang saling menguatkan antara satu dengan yang lainnya sebagaimana eratnya genggaman jari-jemari (riwayat Bukhari dan Muslim).

Maka kedatangan Ramadan Al-Mubarak inilah masanya kita menunjukkan tingginya hemah dan santunnya kita sebagai seorang Muslim sejati, yang mengasihi sesama saudaranya dengan keikhlasan dan kepatuhan kepada agama. Wallahua'lam.




Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama  20/07/2012

Petunjuk Allah

ALLAH SWT menyebut perihal hari akhirat dan menjelaskan azab kepada orang kafir secara singkat serta pahala orang yang taat secara terperinci. Ini adalah untuk menunjukkan kepada kita bahawa di sisi rahmat itu didahulukan daripada azab.

Kemudian Allah SWT menambah dengan menyebut keadaan dunia, iaitu Dia mendahulukan keadaan orang yang taat (Rasulullah SAW dan umatnya) berbanding keadaan orang yang derhaka dan musyrik.

Sebelum perintah dan larangan yang berhubung dengan Rasulullah SAW dikeluarkan, Allah SWT telah memerintahkan kepadanya agar bersabar terhadap gangguan kaumnya yang baginda alami. Ini adalah untuk menghilangkan kedukaannya dan menguatkan hati baginda, sehingga lapang hati baginda. Justeru baginda sibuk mentaati Allah dengan berada dalam kegembiraan dan keaktifan.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami Telah menurunkan al-Quran kepadamu (hai Muhammad) dengan beransur-ansur. (al-Insaan: 23)

Al-Maraghi berkata: " Penurunan secara berperingkat dan beransur-ansur selama 23 tahun, agar mudah dihafal, memahami dan mempelajarinya. Manakala hukum-hukumnya itu diturunkan sesuai dengan peristiwa yang benar-benar berlaku di dunia sehingga akan memperkuatkan lagi keimanan orang Mukmin dan menambah ketakwaan orang yang bertakwa."

Ibnu Kathir berkata: "Allah SWT memberikan kurniaan kepada Nabi Muhammad SAW iaitu diturunkannya al-Quran secara beransur-ansur."

Sayid Qutub berkata: "Ayat ini menekankan peringatan pertama kepada sumber perintah memperjuangkan dakwah Islam dan sumber hakikatnya, iaitu dakwah Islam ini adalah daripada Allah SWT."

Dialah sumber dakwah Islam yang tunggal. Dialah yang menurunkan al-Quran membawa dakwah ini. Kerana itu tiada sumber dan tiada punca lain bagi dakwah melainkan al-Quran. Allah SWT yang telah menurunkan al-Quran dan mentaklifkan dakwah ini tidak akan membiarkannya dan tidak akan meninggalkan pendakwahnya begitu sahaja.

Firman Allah SWT: Maka bersabarlah kamu untuk (melaksanakan) ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan orang yang kafir di antara mereka. (al-Insaan: 24)

Al-Maraghi berkata: "Bersabarlah kamu terhadap cubaan dan ujian Tuhanmu kerana ditunda memberi pertolongan kepadamu daripada gangguan orang musyrik. Bersabarlah kamu menghadapi gangguan-gangguan ketika menyampaikan risalah dan wahyu yang diturunkan kepadamu. Jangan kamu menurut seorangpun daripada orang berdosa yang mengajakmu kepada dosa dan jangan pula kamu menurut seorangpun daripada orang kafir yang mengajakmu kepada kekafiran."

Ibnu Kathir berkata: "Yakni sebagaimana Aku telah memuliakan dirimu dengan apa yang telah Aku turunkan kepadamu, maka bersabarlah atas ketetapan dan ketentuan-Nya. Dan ketahuilah bahawa Dia akan mengurusmu dengan sebaik-baiknya. Dan janganlah kamu menuruti orang-orang kafir dan orang-orang munafik jika mereka hendak menghalangi dirimu untuk menyampaikan apa yang telah Allah turunkan kepadamu dan hendaklah kamu tetap menyampaikannya serta bertawakal kepada Allah SWT."

Sayid Qutub berkata: "Sabarlah hingga tiba saatnya yang ditentukan. Sabarlah menanggung penindasan dan fitnah, sabarlah melihat kebatilan terus mendapat kemenangan dan kejahatan masih terus merebak dan berleluasa. Sabarlah mempertahankan kebenaran yang diturunkan kepadamu, sabarlah dan jangan kamu hiraukan tawaran-tawaran perdamaian dan penyelesaian jalan tengah daripada mereka yang membahayakan akidah Islam, kerana mereka bukan menyeru kamu kepada ketaatan dan tidak pula kepada kebaikan dan kebajikan melainkan menyerumu kepada sesuatu dosa dan kekufuran. Mereka adalah orang-orang yang berdosa dan tidak beriman kepada Allah SWT."


Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama  20/07/2012

Ujian Ramadhan

PEJAM celik, bagaikan baru semalam rasanya meninggalkan Ramadan tahun lalu. Terasa pantas masa berlalu dan insya-Allah, esok tibalah masa yang dinanti-nanti oleh seluruh umat Islam di negara ini menunaikan ibadat puasa Ramadan.

Bagi mereka yang pernah melakukan ibadah pada bulan yang penuh keberkatan itu, pastinya teruja dan bernekad mempelbagaikan amalan untuk menjadikan Ramadan kali ini yang terbaik berbanding sebelumnya.

Ramadan yang merupakan bulan diwajibkan berpuasa kepada seluruh umat Islam penuh dengan barakah serta dijanjikan ganjaran berlipat kali ganda oleh Allah SWT untuk setiap amalan yang dilakukan.

Ibadah puasa pastinya tidak menjadi masalah bagi mereka yang telah dilatih mengerjakannya sejak kecil. Kita telah didedahkan dengan pelbagai ilmu pengetahuan mengenainya, malah tahu mempersiapkan diri dengan segala persediaan sama ada fizikal mahupun mental.


Sikap proaktif saudara Muslim atau golongan mualaf penting supaya mereka tidak rasa terpinggir atau dipinggirkan.

Namun, kehadiran Ramadan adalah berbeza bagi mereka yang baru pertama kali ingin menunaikan rukun Islam ke tiga itu.

Bayangkan seumur hidup tidak pernah berpuasa dan tidak pernah menahan diri daripada lapar dan dahaga, tiba-tiba tahun ini ia merupakan satu ibadat yang perlu dilaksanakan.

Menjalani puasa Ramadan pasti merupakan cabaran yang menguji keimanan dan kesetiaan golongan saudara baru atau para mualaf yang baru pertama kali mahu menikmati nikmat Ramadan.

Bagaikan anak kecil yang baru mula belajar, Ramadan dianggap bulan mendidik jiwa saudara baru umat Islam untuk membuktikan tahap keimanan dan ketakwaan dalam menunaikan perintah Allah SWT.

Inilah yang diluahkan oleh rata-rata mualaf yang baru bergelar Muslim dan kali pertama ingin menunaikan ibadah puasa, ketika ditemui Mega Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Harris Haiqal, 28, berkata, walaupun dalam kepercayaan agama lamanya turut mempunyai amalan puasa, namun ternyata ia jauh berbeza dengan kaedah berpuasa dalam Islam.

“Boleh dikatakan saya seorang yang ‘alim’ dalam kepercayaan agama lama saya dulu. Sehingga hampir bergelar pakar dalam agama tersebut.

“Kepercayaan lama kami menuntut pengikutnya melakukan amalan berpuasa mengikut tahap kekuatan dan ketaatan pegangan agama masing-masing.

“Sebagai contoh, ada yang berpuasa sehari, berpuasa daripada makan makanan tertentu, malah ada yang berpuasa berminggu-minggu hingga mencecah 40 hari.

“Tetapi puasa orang Islam, bukan sahaja menahan diri daripada makan dan minum mengikut masa yang ditetapkan, malah elak melakukan perbuatan mungkar sepanjang menjalani ibadah puasa," katanya yang baru memeluk Islam pada Mei lalu.

Beliau yang bekerja sebagai pengajar kelas tambahan sering membuat perbandingan agama sejak dari sekolah menengah dan merasakan masih ada kekurangan dalam diri yang membuatkannya tidak tenteram.

Hinggalah dia diperkenalkan kepada Islam oleh seorang rakan baiknya di pusat pengajian yang juga sebangsa dengannya dengan menunjukkan contoh teladan dan kebenaran Islam kepadanya.

Harris bertekad melakukan ibadah puasa pertama setelah bergelar Muslim sebaik mungkin dan cuba mempelajari ilmu ajaran Islam dengan lebih mendalam dari semasa ke semasa.

Bukan beban

Manakala, bagi Suhaimi Akai, 20, secara teori, agak sukar dan berat jika mempelajari kaedah berpuasa mengikut Islam kerana ia terikat dengan pelbagai suruhan dan larangan.

Namun, anak keturunan Orang Asli dari Jelebu, Negeri Sembilan itu berkata, setelah mengetahui keperluan dan kelebihan ibadah puasa, dia mula yakin untuk melaksanakannya sebaik mungkin.

“Sepanjang hidup ini, saya tidak pernah berpuasa. Apatah lagi perlu melengkapkan puasa selama 30 hari.

“Menahan diri daripada makan dan minum sehari suntuk mungkin satu perkara yang biasa dan ia boleh dipaksa. Tetapi untuk menahan nafsu daripada melakukan perbuatan yang dilarang oleh Allah SWT adalah lebih sukar.

“Tetapi, setelah dikaji semula kelebihan yang disyariatkan berpuasa Ramadan mengikut kajian sains membuatkan saya lebih yakin dan bersemangat untuk melakukannya dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Suhaimi yang juga merupakan pembantu pendakwah berkata, antara kelebihan tersebut adalah baik untuk kesihatan kerana semasa berpuasa, organ-organ tubuh dapat beristirehat dan sel dalam tubuh boleh berkumpul untuk bertahan.

Selain itu, puasa juga boleh mengeluarkan kotoran daripada tubuh manusia dengan menggantikan sel rosak kepada yang baru serta untuk memperbaiki fungsi hormon.

Beliau yang sudah tertarik dengan agama Islam sejak di bangku sekolah meluahkan rasa syukur dan terima kasih kepada sahabat baiknya yang menemukannya dengan Islam, sekali gus melakukan syahadah.

Di samping itu, Suhaimi turut melakukan amalan puasa sunat Isnin dan Khamis serta memperbanyakkan amalan ibadah sebagai satu persediaan diri menempuh Ramadan pertama.

Latih diri

Mohd. Raizudin Haiqal Abdullah, 28, pula berharap Ramadan pertama ini akan menambah ketakwaannya.

Raizudin yang baru berkahwin bulan lalu bernekad membimbing keluarganya untuk mengambil kesempatan mengecapi keberkatan Ramadan dengan melatih diri memperbanyakkan ibadah.

“Puasa bukan bererti hanya menahan diri daripada makan dan minum sahaja, tetapi ia adalah satu bulan yang disediakan oleh Allah SWT untuk berlumba-lumba melakukan ibadah.

“Saya akan menjadikan Ramadan ini sebagai penanda aras membuka lembaran baru untuk melatih diri mempertingkatkan amalan ibadah semampu mungkin untuk diteruskan sehingga menjadi amalan harian saya," katanya.

Raizudin yang berasal dari Sabah bersyukur kerana dikurniakan nikmat terbesar buat dirinya dengan hidayah Islam dengan bantuan bapa saudaranya dan bergelar Muslim pada akhir tahun lalu.



Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD Gambar Saiful Bahari Ashari  Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama  20/07/2012

Isu mualaf murtad

WALAUPUN pelbagai kaedah telah diambil oleh pelbagai pihak termasuk mengetatkan undang-undang, namun gejala murtad di negara ini dilihat bagai tiada penyelesaian.

Setiap tahun negara pasti akan digemparkan dengan kejadian murtad. Sama ada diisytiharkan secara terang-terang atau tersembunyi oleh golongan yang sanggup melakukan jenayah paling berat di sisi Islam itu.

Lebih membimbangkan, terdapat pihak yang menyokong gerakan memurtadkan umat Islam yang dipercayai menjadi dalang di sebalik gejala itu. Bukan sahaja daripada golongan bukan Islam, malah dalam kalangan umat Islam itu sendiri.



Pelbagai pengisian sama ada berbentuk ilmiah atau santai direncanakan oleh Skuad Mubaligh Negeri Sembilan
bersama ahli-ahlinya, agar ia sentiasa relevan dengan perkembangan dakwah Islamiah.

Hampir setengah daripada mangsa yang terpedaya dengan gerakan murtad ini adalah daripada kalangan golongan mualaf.

Dalam usaha membanteras gejala itu, Pengerusi Skuad Mubaligh Negeri Sembilan, Muhd. Zamri Vinoth Abdullah berkata, pemantauan berterusan perlu dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab bagi mengelakkan golongan mualaf kembali ke agama asal.

Katanya, ini penting bagi mengelakkan golongan mualaf yang baru memeluk Islam merasa tersisih dan terbiar daripada perhatian saudara seIslam yang lain.

"Mengambil keputusan menukar agama bukanlah satu yang mudah. Mereka terpaksa menghadapi pelbagai risiko termasuk boleh menyebabkan terputus hubungan dengan keluarga.

"Oleh itu, apabila seseorang itu memeluk Islam, badan yang bertanggungjawab mengislamkan mualaf tersebut perlu melakukan pemantauan berterusan dari semasa ke semasa dan tidak boleh lepas tangan mengabaikan mualaf itu begitu sahaja.

"Ini kerana mereka yang diberikan hidayah Allah SWT untuk memeluk Islam itu mudah rasa tersisih disebabkan status baru dalam Islam dan tidak tahu apa-apa mengenai bab agama.

"Kesan daripada kurang pemantauan ini juga boleh membuatkan mereka berasa tiada perbezaan antara agama Islam dengan agama yang dahulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Mega Utusan Malaysia di pejabat Skuad Mubaligh Islam Negeri Sembilan, Kompleks Islam Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Skuad Mubaligh Islam Negeri Sembilan merupakan sebuah pertubuhan yang menjalankan aktiviti dakwah, bimbingan dan latihan kepada mualaf yang bernaung di bawah Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan

Tambahnya, pendekatan yang santai dan tidak terlalu mendesak juga perlu diamalkan oleh pendakwah bagi mengelakkan mualaf merasakan ajaran Islam adalah berat atau satu bebanan.

"Untuk menyampaikan dakwah kita perlu tahu menyelami jiwa individu tersebut. Ini kerana pendekatan dakwah kepada setiap individu adalah berlainan mengikut peringkat umur, jantina, hobi dan juga persekitaran mereka.

"Apabila pendakwah tahu kaedah terbaik mempengaruhi seseorang itu, dengan mudah mualaf dapat menerima dengan ikhlas ajaran tersebut kerana setiap mualaf yang memeluk Islam sebenarnya bersedia untuk mengikuti segala amalan baru buat mereka yang perlu dilakukan," jelasnya.

Selain menjalankan dakwah di sekitar Negeri Sembilan, Skuad Mubaligh Islam turut menyediakan kelas bimbingan agama dan kursus latihan motivasi dan pengurusan kewangan secara percuma kepada mualaf.

Zamri berkata, ia bertujuan memudahkan mualaf untuk mendapatkan bimbingan mengenai Islam serta pengetahuan pengurusan harian mengikut perspektif Islam.

"Antara aktiviti utama yang kita lakukan adalah anggota skuad akan menziarahi saudara baru di rumah pada setiap hari untuk memantau keadaan mereka.

"Di samping itu, Skuad Mubaligh Islam juga menyediakan kelas agama dalam bahasa Inggeris dan juga Tamil pada setiap hujung minggu secara percuma bagi memudahkan mualaf untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam dengan jelas.

"Ini kerana antara punca mualaf sering murtad disebabkan masalah komunikasi dan tidak memahami apa yang diterangkan oleh guru pembimbing," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana pihak bagi mempergiatkan lagi aktiviti dakwah serta penyebaran agama Islam ke seluruh negara.

Orang ramai yang ingin memberikan sumbangan boleh menyalurkan kepada akaun Persatuan Mubaligh Islam Negeri Sembilan 05012010077504 (Bank Islam).



Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama  20/07/2012