July 24th, 2012

Mensyukuri nikmat Ramadan

ALHAMDULILLAH tahun ini kita bertemu lagi di bulan Ramadan, bulan suci yang penuh dengan rahmat, keberkatan dan pengampunan oleh Allah SWT. Ketika umat Islam dari Maghribi sehingga Afghanistan menempuh dugaan paling hebat kerana tidak mempunyai makanan yang mencukupi ekoran cuaca panas, kita umat Islam Malaysia amat beruntung dengan pelbagai jenis makanan yang terhidang di depan mata tatkala berbuka puasa.

Jangan sesekali melupakan nasib umat Islam yang lain di negara-negara seperti Iraq, Pakistan, Syria dan sudah semestinya di Palestin. Di sana mereka terpaksa menjalani ibadah puasa dengan mengikat perut. Ada di antara negara tersebut berada dalam zon perang. Di Malaysia, kita sungguh aman. Kita bebas menjalani ibadah puasa dengan ditambah ibadah-ibadah lain sepanjang bulan ini.

Pengalaman penulis ketika berada di Paris, Perancis, baru-baru ini bagi membentangkan satu kertas kerja di persidangan antarabangsa, berkesempatan melihat sebuah negara yang maju tetapi kos sara hidup mereka amat tinggi. Segala-galanya cukup mahal. Harga tanah di situ berlipat kali ganda berbanding harga tanah di Kuala Lumpur.

Maka, sesuatu yang tidak mengejutkan terdapat ramai penduduk yang tidak memiliki rumah. Sebahagian mereka terpaksa bekerja sebagai pencopek saku. Menangani mereka bukannya mudah kerana mereka ini dalam keadaan terpaksa untuk menyara hidup mereka. Jangan terkejut jika anda melihat peminta sedekah di kalangan kanak-kanak.

Dianggarkan hampir separuh penduduk Paris merupakan pendatang asing. Mereka bekerja di merata-rata tempat terutamanya dalam industri pelancongan Paris. Penulis bernasib baik kerana bertemu dengan seorang pemandu teksi yang berketurunan Melayu Champa yang boleh berkomunikasi Bahasa Melayu dengan fasih.

Maklumlah rata-rata penduduk Perancis lebih mengutamakan bahasa mereka berbanding Bahasa Inggeris. Malahan, rancangan televisyen yang berbahasa Inggeris pun dialih suara ke Bahasa Perancis. Mereka lebih berbangga berbahasa Perancis, bahkan ada di antara mereka tidak boleh langsung berbahasa Inggeris tetapi menariknya masyarakat mereka lebih maju berbanding negara kita. Berbeza di Malaysia, Bahasa Melayu semakin dipinggirkan. Adakah ini menggambarkan jati diri rakyat Perancis lebih kuat berbanding rakyat Malaysia?

Berbalik kepada pemandu teksi tadi. Dia telah menetap di Paris selama 32 tahun. Kehidupannya di sana tidaklah secantik kota Metropolitan Paris. Dia terpaksa mengharungi kesukaran. Penulis amat teruja melihat ketabahannya menjalani kehidupan di Paris sehingga berjaya menyara anak-anak ke menara gading.

Salah seorang anaknya bekerja sebagai akauntan di firma perakaunan yang terkenal di dunia. Dia mempunyai ramai adik beradik yang menetap di Malaysia. Kakaknya menetap di Johor manakala adik-adiknya pula menetap di Perak. Disebabkan adik beradiknya berada di Malaysia, dia sekeluarga selalu mengunjungi Malaysia. Menurutnya, anak-anaknya masih diajar berbahasa Melayu meskipun dia berkahwin dengan rakyat Perancis dan berada di negara asing. Begitu kukuh jati dirinya!

Penulis sempat bertanya soalan kepadanya sama ada dia gemar berada di Malaysia. Menurutnya, berada di Malaysia lebih baik berbanding di Perancis. Adik beradiknya sedang menjalani kehidupan yang selesa di Malaysia tidak sebagaimana ketika mereka berada di zaman Pol Pot yang penuh dengan kekejaman dan kezaliman. Kalau diberi pilihan dia ingin menetap di Malaysia, namun kerana beberapa kekangan, dia masih menetap di Perancis. Baginya, rakyat Malaysia amat beruntung. Hidup dengan aman damai dan boleh mencari rezeki sebanyak yang mungkin.

Penulis tersenyum mendengar kata-katanya dan berasa amat bersyukur dilahirkan sebagai rakyat Malaysia. Sepanjang perjalanan ke hotel penginapan penulis, dia berkali-kali memuji Malaysia sehingga tiba di hotel, dia sempat mengakhiri kata-kata bahawa dia sekeluarga tidak sabar-sabar untuk datang ke Malaysia pada Disember ini.

Itu pengalaman penulis dengan seorang pemandu teksi yang berketurunan Melayu Champa. Penulis juga berkesempatan berbual dengan pemandu teksi berketurunan Maghribi ketika dalam perjalanan menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Charles de gaulle untuk pulang ke Malaysia. Penulis memaklumkan kepadanya mengenai penerbangan penulis iaitu menggunakan perkhidmatan MAS. Mendengar sahaja syarikat penerbangan MAS, dia terus menyatakan bahawa syarikat ini adalah antara syarikat penerbangan terbaik di dunia dan rata-rata penumpang cukup berpuas hati dengan syarikat ini.

Sememangnya MAS telah mengharumkan nama Malaysia sekian lama dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada para penumpang seluruh dunia.

Sekali lagi, penulis mengajukan soalan yang sama kepada beliau sebagaimana pemandu teksi berketurunan Melayu Champa, adakah beliau berasa seronok bekerja di Paris? Jawapannya tetap sama, dia terpaksa menempuh liku-liku kehidupan kerana terpaksa mengharungi diskriminasi di kalangan penduduk di situ.

Menjalani kehidupan di Paris umpama indah khabar dari rupa kerana kos sara hidup amat tinggi. Namun dek kerana sesuap nasi dia tetap bekerja di situ.

Dua kisah pemandu teksi beragama Islam yang bekerja di negara yang majoritinya bukan Islam mengingatkan penulis betapa bersyukurnya menjadi warga Malaysia terutamanya tatkala Ramadan ini yang dengan jelas menampakkan bahawa Malaysia negara Islam yang amat sesuai untuk didiami bagi sesiapa sahaja.



Oleh ROHAMI SHAFIE  PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRE) Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia
Sumber:
Utusan Malaysia Online Rencana 24/07/2012

Elak gelojoh pada bulan Ramadan

RAMADAN menjelma lagi dan seperti biasa umat Islam di seluruh dunia terus menunaikan ibadat berpuasa serta menghidupkan malam harinya dengan melakukan ibadat tarawih di masjid dan surau.

Ramadan adalah bulan sangat mulia, pada hakikatnya, kita perlu bersedia untuk menyambut kedatangan bulan ini dengan sambutan dan harapan agar ia akan menjadikan kita sebagai manusia lebih baik di sisi Allah.

Laporan Khas Utusan Malaysia, 23 Julai 2012, berhubung berbuka puasa ala bufet yang semakin popular dalam kalangan umat Islam di negara ini menunjukkan kehidupan umat Islam di negara ini kini semakin dilimpahi dengan kemewahan.

Setiap kali Ramadan menjelma, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) tetap menyuarakan pandangan kepada umat Islam agar mengelakkan pembaziran dan kegelojohan pada bulan Ramadan dan bulan-bulan yang lain serta turut menginsafi akan nasib umat Islam di negara lain yang tidak bernasib baik dalam memenuhi keperluan harian mereka.

Sepanjang Ramadan, umat Islam digalakkan memakan makanan berkhasiat semasa berbuka dan bersahur, serta ditegah melakukan pembaziran, tetapi malangnya masih ramai daripada kita memasak terlalu banyak hidangan atau dengan jalan paling mudah ialah membeli pelbagai juadah yang begitu banyak dijual di pasar dan bazar Ramadan yang dibuka bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

Disebabkan terlalu banyak makanan dihidangkan, kebanyakannya tidak termakan dan akhirnya terbuang begitu sahaja, pembaziran seumpama ini amat dilarang oleh Islam dan menyalahi konsep Ramadan itu sendiri.

Saban tahun apabila tiba sahaja Ramadan, hotel dan restoran mula dibanjiri dengan iklan bufet Ramadan bagi mempengaruhi umat Islam agar supaya berbuka puasa di sana dan pada tahun ini harga bufet Ramadan yang ditawarkan oleh hotel dan restoran telah meningkat.

Dengan kadar bayaran dan harga serendah RM28++ hinggalah RM100++, seseorang itu boleh makan dan minum seberapa banyak yang disukai dengan pelbagai hidangan sehingga menjangkau lebih daripada 120 sajian bufet dan makanan pencuci mulut yang begitu menyelerakan.

Bufet Ramadan ini juga turut diiringi dengan persembahan muzik dan persembahan keroncong serta Ghazal malah ada menyediakan penghibur tempatan secara langsung ketika pengunjung sedang menjamu selera yang secara tidak langsung akan mengalih perhatian dan melalaikan daripada menghayati hikmah ibadah puasa itu sendiri pada bulan mulia ini.

Terdapat juga hotel yang menyediakan kemudahan surau untuk memudahkan pengunjungnya menunaikan solat wajib dan solat sunat tarawih, memandangkan Ramadan bulan yang mulia, maka adalah lebih besar fadhilatnya untuk kita mengimarahkan masjid.

Walaupun sikap melahap makanan ditegah dalam Islam, namun tiada apa yang dapat menghalang umat Islam daripada tunduk kepada nafsu makan mereka ketika berbuka. Ada pula sesetengahnya beranggapan mereka perlu makan seberapa banyak yang mungkin supaya berbaloi dengan wang yang dikeluarkan.

Disebabkan terlalu banyak makanan diletakkan ke dalam pinggan, ramai orang tidak mampu menghabiskannya dan akhirnya makanan itu terbuang begitu sahaja, sedangkan berlebih-lebihan sehingga mendatangkan pembaziran adalah bukan sebahagian daripada ajaran Islam.

Adakah umat Islam tidak menyedari bahawa makanan adalah kurniaan Allah SWT yang amat besar untuk kita dan kita akan disoal di akhirat nanti mengenai pembaziran yang kita lakukan?

Ingatlah firman Allah SWT dalam Surah Al A'raaf, ayat 3, "Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan." Manakala Surah Al Israa', ayat 26 dan 27, "Dan janganlah kamu membazir, sesungguhnya orang yang membazir itu saudara syaitan."

Sesungguhnya ketahuilah bahawa Ramadan adalah bulan suci antara semua bulan dalam setahun dan Allah SWT menghendaki semua hamba-Nya memenuhi bulan tersebut dengan amalan ibadat, ketaatan dan taqarrub kepada-Nya untuk menyuci diri.

Kekenyangan berterusan dalam kehidupan seseorang akan memenuhi dan menyuburkan jiwanya dengan sifat keras hati dan keterlaluan dan semoga Ramadan ini akan dapat membangunkan masyarakat Islam dengan sifat kasih sayang dan prihatin.


S. M. MOHAMED IDRIS Presiden CAP Sumber: Utusan Malaysia Online Forum 24/07/2012

Didik anak seronok berpuasa

Puasa menjadi kewajipan apabila seorang Islam baik lelaki atau perempuan mencapai akil baligh, dan mematuhi beberapa syarat lain. Hukum ini terpakai juga kepada ibadah lain dalam Islam. 


Mencapai akil baligh bermaksud lelaki dan perempuan yang mencecah usia tertentu serta mengerti tugasnya sebagai muslim yang diperintah bersolat dan berpuasa semata-mata kerana Allah.


Kita disyorkan melatih anak-anak melaksanakan perintah Allah seperti bersolat dan berpuasa apabila mereka berusia tujuh tahun. Malah, sesetengah kita mula melatih anak bersolat seawal usia tiga dan empat tahun.


Anjuran laksana ibadah 


Rasulullah SAW bersabda: “Suruhlah anak kamu mengerjakan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur 10 tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat Abu Daud) 

Persoalan adakah kanak-kanak digalakkan atau sememangnya diperintahkan berpuasa sebelum mencapai umur baligh? Kebanyakan kita menyandarkan hadis solat itu bagi melatih kanak-kanak berpuasa. 

Umumnya, jawapan terbaik untuk soalan ini adalah apa yang disebut hadis riwayat Imam Bukhari: “Nabi SAW mengirim utusan ke kampung golongan Ansar pada siang hari Asyura (untuk menyampaikan): Bahawa siapa yang tidak berpuasa sejak pagi hari maka dia harus menggantinya pada hari lain, dan siapa yang sudah berpuasa sejak pagi hari maka hendaklah dia melanjutkan puasanya.

Dia (Ar-Rubai' binti Mu'awwidz) berkata: Selepas itu kami selalu berpuasa dan kami juga mendidik anak kecil kami untuk berpuasa dan kami sediakan untuk mereka semacam alat permainan diperbuat daripada bulu serigala, apabila seorang daripada mereka ada yang menangis meminta makan maka kami beri dia permainan itu. Demikianlah terus kami lakukan hingga tiba waktu berbuka.” 



Waktu terbaik berpuasa 

Jelas sahabat Nabi SAW ketika itu melatih anak mereka berpuasa walaupun belum mencapai usia akil baligh kerana menyedari pentingnya jiwa kanak-kanak dilatih memahami tanggungjawab berpuasa apabila mencapai usia akil baligh. 

Kebanyakan cerdik pandai setuju kanak-kanak digalakkan berpuasa jika mereka dapat menanggung kesusahan ibadat itu. Bagaimanapun, ada perbezaan pendapat kalangan ulama berkenaan waktu terbaik kanak-kanak memulakan latihan puasa. 

Sebahagiannya mencadangkan pada usia tujuh tahun atau 10 tahun seperti dalam kes solat. Berbeza bagi Imam Ahmad bin Hanbal yang mencadangkan ia bermula pada usia 10 tahun, manakala ulama lain menyebut titik permulaan latihan adalah pada usia 12 tahun. 

Ulama Maliki mempunyai pandangan berbeza yang mencadangkan kanak-kanak tidak perlu digalakkan berpuasa. Bagaimanapun, pandangan itu tidak disokong bukti sahih. Cuma satu alasan diberikan Mazhab Maliki, mereka menganggap amalan penduduk Madinah adalah petunjuk sah dan boleh diterima dalam Islam. 

Madinah adalah tempat lahirnya masyarakat Islam dan kebanyakan sahabat Rasulullah tinggal di situ dan terus berada di sana untuk masa lama, malah hingga sekarang. 

Namun, Imam Bukhari menunjukkan kepada kita penduduk Madinah juga menggalakkan kanak-kanak berpuasa menerusi satu riwayat. Kisahnya, suatu hari Umar al-Khattab dihampiri seorang lelaki yang mabuk ketika Ramadan. Lalu Umar berkata kepadanya: “Celaka engkau, kamu berbuka sedangkan anak-anak kami berpuasa.” (Fath al-Bari, bab Puasa Kanak-Kanak) 

Pujuk anak berpuasa 

Amalan menggalakkan kanak-kanak berpuasa ketika Ramadan juga amalan dilakukan penduduk Madinah pada zaman Umar. Justeru, menggalakkan kanak-kanak berpuasa menjadi pendapat dipegang majoriti ulama. 

Kemungkinan juga, usia kanak-kanak yang dilatih berpuasa pada zaman Rasulullah lebih muda daripada tujuh, 10 atau 12 tahun, kerana dalam hadis golongan Ansar dinyatakan wanitanya membuat barang mainan lembut untuk memujuk dan mengalih perhatian anak mereka yang kelaparan. 

Mainan seperti itu, tidak memberi erti bagi kanak-kanak berusia 11 dan 12 tahun pada masa itu. Jadi kanak-kanak yang mesti dipujuk adalah mereka yang berusia lebih muda. 

Menggalakkan kanak-kanak berpuasa, tidak perlu kita memaksa mereka menghabiskannya sehingga sebulan. Ibu bapa sepatutnya menggunakan cara lebih santai dan bijak dalam mendekatkan diri anak kepada ibadah dituntut dalam Islam. Cari jalan supaya anak seronok berpuasa.


Sumber: Berita Harian Online Agama  
Selasa , 24 Julai 2012, 4 Ramadan 1433 H