July 25th, 2012

Ramadan bukan beban

ALHAMDULILLAH Ramadan telah melabuhkan tirainya kepada kita semua untuk sama-sama cuba meramadankan diri, sama ada ibadat yang wajib atau sunat.

Tetapi malangnya sebahagian orang merasakan Ramadan sebagai bebanan dan kesukaran dengan gambaran sikap puasa sebagai bebanan kepada mereka.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Allah SWT naungkan kepada kamu dengan berlabuhnya bulan Ramadan ini dengan Rasulullah SAW bersumpah: Tiadalah berlalu ke atas orang Islam bulan yang lebih baik bagi mereka daripada bulan Ramadan dan tidak kepada munafik lebih teruk daripada bulan Ramadan. Sesungguhnya Allah SWT menulis pahala ganjarannya sebelum menjelmanya bulan dan juga menulis dosa serta kehinaan sebelum masuknya bulan Ramadan." (riwayat Imam Ahmad dan al-Baihaqi).

Sebenarnya orang yang beriman melihat kepada laba dan keuntungan pahala yang dianugerahkan Allah kepada yang beriman dan beramal bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan seperti berpuasa dengan sepenuh hati, melakukan qiamullail, terawih, witir dan lain-lain.

Sedangkan orang munafik melihat kepada habuan nafsu dan syahwat. Justeru, perasaan pertama terlintas kepada mereka bila Ramadan mengunjunginya dengan perasaan lapar, dahaga, letih, penat, mengantuk, malas, susah, banyak terganggu dan tergendala program kehidupan mereka selama 11 bulan.

Atas asas inilah mereka merasa sukar dengan munculnya Ramadan yang membawa 1001 rahmat dan kelebihan.

Daripada Abi Mas'ud al-Ghifari, katanya Rasulullah SAW bersabda: "Kalaulah hamba-hamba Allah mengetahui kelebihan yang terdapat pada bulan Ramadan, nescaya mereka bercita-cita supaya bulan Ramadan berlaku sepanjang tahun." (riwayat al-Tabarani, Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya dan al-Baihaqi.

Inilah yang terjadi kerana tanpa kefahaman yang jelas menyebabkan mereka begitu hanyut dalam kehidupan sehingga lalai untuk beribadat.

Akhirnya mereka hanya melihat puasa sebagai amalan ritual atau semata-mata kewajipan tanpa memahami kelebihan yang begitu banyak dalam bulan tersebut.

Oleh kerana itu hendaklah kita cuba menghayati kelebihan Ramadan dan keistimewaannya untuk kita lakukan acara ibadat dengan sebanyak mungkin. Jadikanlah Ramadan kali ini lebih baik daripada Ramadan lalu dari sudut laba dan keuntungan akhirat. Penuhilah masjid dengan beriktikaf dan solat serta menghadiri majlis pengajaran ilmu.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar melaksanakan ibadat yang wajib dan sunat agar kita meraih takwa di sisi Allah SWT. Amin.



Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 24/07/2012

Pengabdian Syeikh Soleh

AL-'Allamah al-Imam Syeikh Soleh bin Muhammad bin Soleh bin Muhammad bin al Rifa'i adalah seorang ulama unggul yang bersambungan nasabnya dengan Sayyiduna Ja'far al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin al-Husain bin Ali dan Fatimah al-Zahra' binti Sayyiduna Muhammad SAW. Dilahirkan pada hari Khamis 10 Jamadilakhir tahun 1328 Hijrah di Dunqula, Sudan.

Ramai yang menyangka dan tersalah faham mengenai perkataan al Ja'fari pada penisbahan dirinya dan namanya sehingga menyangka bahawa beliau adalah pengikut mazhab Syiah al Ja'fariah sedangkan beliau berakidah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan bermazhab Maliki dalam ilmu Feqah. Manakala penisbahan kepada al Ja'fari hanyalah kepada keturunan dan datuk moyangnya sahaja.

Bapanya adalah seorang petani yang bersungguh-sungguh dalam menguruskan kerja perladangan demi menyara keluarganya. Manakala pada waktu malam beliau bangun dan beribadat kepada Tuhannya sehingga hampir waktu solat Subuh. Beliau pergi awal ke masjid, sama ada pada musim panas atau sejuk lalu membuka pintu masjid dan menyalakan lampu-lampu, menunggu para jemaah, menjadi bilal dan mengimamkan solat. Beliau beristiqamah dalam ibadahnya, sentiasa solat berjemaah dan duduk di dalam saf yang awal sepanjang umurnya yang melebihi 90 tahun.

Semenjak kecil lagi Syeikh Soleh memiliki perasaan belas ihsan dan kasih sayang kepada masyarakat sekitarnya. Apabila datang fakir. Beliau akan memberi barangan tanpa mengambil sebarang bayaran daripada mereka. Semenjak kecil lagi, beliau sibuk menuntut ilmu, berdamping dengan mushaf al-Quran serta menghafaznya ketika berusia 14 tahun di Masjid Dunqula, Sudan.

Beliau sentiasa pergi ke masjid dan sekiranya ditanya, ibunya sering menjawab: "Soleh berada di masjid menghafaz al Quran."

Ketika tidur, beliau meletakkan mushaf di sisinya dan apabila terjaga pada bila-bila masa pada waktu malam, beliau akan membacanya.

Di antara guru yang bertanggungjawab dalam pentarbiahan rohaninya ialah Sayyid Muhammad al-Syarif iaitu cucu kepada ulama dan wali Allah yang masyhur iaitu Sayyid Ahmad bin Idris. Syeikh Soleh duduk di bawah pentarbiahannya semenjak berusia 19 tahun.

Belajar di al-Azhar

Syeikh Soleh pergi ke al-Azhar ketika berumur 16 tahun untuk menuntut ilmu daripada para ulama di sana.

Beliau pernah bermimpi melihat Sayyid Ahmad bin Idris berkata kepadanya: "Allah bersamamu, bacalah Feqah mazhab yang empat."

Salah seorang syeikhnya berkata, "Sekiranya mimpi ini benar, bermakna engkau akan pergi ke Universiti al Azhar."

Pemergiannya ke Mesir mengalami banyak kesulitan kerana jarak perjalanan dari Sudan amat jauh dan merumitkan dengan terpaksa menempuh padang pasir dan bukit-bukau.

Di al-Azhar beliau belajar dengan penuh kesungguhan dalam keadaan meninggalkan tanah air, keluarga dan anak-anak. Beliau tidak pernah mensia-siakan waktu dengan perkara yang tidak berfaedah walaupun seketika.

Syeikh Soleh juga tidak pernah meninggalkan syeikh-syeikhnya walau sekali melainkan sering bersama dan duduk dalam majlis pengajian mereka. Beliau berjaga malam untuk menuntut ilmu, berzikir, membaca al-Quran dan beribadat.

Beliau berkata: "Tidak ada suatu kelazatan yang setanding dengan kelazatan beribadat."

Beliau juga menggunakan tasbih dengan seribu biji sering duduk di al-Azhar dengan bertasbih kepada Allah sehingga solat Subuh. Ketika usia mudanya, beliau mampu mengkhatamkan al-Quran sebanyak tiga kali sehari dengan taufik daripada Allah.

Ketika menuntut di al-Azhar, bapanya mengirim sebanyak 10 Pound Mesir setiap bulan. Pada era tahun 30-an, nilai tersebut adalah besar.

Akan tetapi Syeikh Soleh membelanjakan wang tersebut dengan bersedekah kepada pelajar miskin di al-Azhar.

Beliau hidup dan makan makanan yang ringan bersama mereka, bahkan seringkali tidak makan beberapa hari dan tidur dalam kelaparan.

Semasa pengajian, Syeikh Soleh amat bersungguh-sungguh dan banyak bertanya untuk mengambil segala manfaat dan ilmu tambahan daripada syeikh-syeikh yang mengajarnya. Pengajianya tidak hanya terhenti di al-Azhar, bahkan beliau berusaha untuk mencari ilmu di tempat lain seperti, pengajian Syeikh al-Syubrawi di Masjid al-Nur Mesir.

Di sana terdapat ramai syeikh yang telah mencurahkan faedah ilmiah, ijazah dan barakah kepada Syeikh Soleh sehingga menjadikan beliau bintang yang bersinar gemilang di kalangan jaguh-jaguh ulama Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Antara mereka ialah Syeikh Muhammad Ibrahim al Samaluti, Syeikh Muhammad Bakhit al Muti'i, Syeikh Habibullah al Syanqiti , Syeikh Ali al Sya'ib, Syeikh Yusuf al Dijwi, Sayyid Ahmad al Ghumari, Sayyid Abdullah al Ghumari, Syeikh Hasan al Masysyat, Sayyid Abdul Khaliq al Syubrawi, Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf dan ramai lagi.

Setelah menghabiskan seluruh usia dan kehidupan pada jalan ilmu, amal dan dakwah, beliau kembali menemui Ilahi pada petang Isnin 18 Jamadilawal 1399 Hijrah dan disemadikan Hadiqah al-Khalidin, al Dirasah Kaherah.



Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 24/07/2012

Ramadan membangun jiwa muttaqeen

DALAM Surah al-Baqarah ayat 183 dinyatakan dengan jelas mengenai orang yang beriman dan kewajipan untuk melakukan siyam atau puasa. Ayat itu juga memberi perisyaratan hubungan siyam sebagai madrasah rohiyyah untuk membangun jiwa muttaqeen.

Jiwa muttaqeen adalah puncak kepada kemuliaan diri insan di sisi Allah (Surah al-Hujurat ayat 13). Isu takwa ini adalah isu pokok yang membezakan orang yang beriman dengan yang lainnya. Pancaran jiwa muttaqeen adalah gambaran hubungan rapat manusia dengan Allah (taqarrub Ilallah).

Kedekatan hubungan Khaliq-Makhluk ini menyebabkan seluruh pertimbangan manusia dalam percakapan, perbuatan dan amalnya mengambil pertimbangan Allah untuk mendapatkan redha-Nya.

Siyam dalam maksud yang luas bukan sekadar menahan diri dari lapar dan dahaga tetapi adalah madrasah rohiyyah yang melatih insan terhadap kawalan diri zahir dan batin. Latihan ini amat penting kepada manusia supaya jiwa abid (ahli ibadah) sentiasa dalam kehambaan dirinya dengan Allah.

Ia membangun jiwa ibadullah dan ibadurrahman yang membentuk watak abid menjadi orang yang berjiwa ruku' dan sujud. Asas ini amat penting bagi menghasilkan jiwa patuh, taat, akur dan tunduk dan pekerti taabudi yang tinggi kepada Allah.

MADRASAH ROHIYYAH

Rasulullah SAW dalam hadisnya memberi asas mengenai disiplin dan adab. "Ya Allah didiklah aku dengan didikan yang terbaik". Adab dan ta'dib adalah sesuatu yang amat penting dalam melakukan tarbiyyah terhadap rijal atau manusia.

Addaba membawa maksud adab merujuk kepada disiplin akal, hati dan amal. Perjalanan rijal membangun disiplin akal membolehkan penjanaan ilmu berlaku, ketangkasan hati terjadi dan kebaikan amal terlihat. Ia amat penting sebagai suatu proses pembangunan insan seutuhnya. Tanpa disiplin, adab tidak akan lahir.

Fokus pembangunan rijal ialah hati. Faktor dalaman diri manusia ini memerlukantarbiyyah rohhiyyah supaya terhubung antara faktor akal dengan faktor naql atau wahyu yang menyerasikan fikir dan zikir supaya ia memberi makna kepada amalan.

Siyam yang dilalui adalah proses memperkukuh hati dengan kawalan diri yang tinggi. Siyam dalam ertikata yang luas tidak sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga tetapi ia juga mengawal pancaindera daripada terhubung dengan perkara-perkara yang mungkar dan menyalahi. Siyam juga meletakkan manusia memiliki daya ihsan yang tinggi dengan Allah kerana jiwa muttaqeen meletakkan Allah itu segala-gala.

AL-QURAN SEBAGAI PETUNJUK

Al-Quran dalam Surah al-Baqarah ayat 185 memberikan perisyaratan tentang al Quran ditanzilkan pada bulan Ramadan untuk memberi pertunjuk kepada manusia mengenai yang hak dan batil.

Maksud petunjuk dalam Islam amat luas maknanya. Al-Quran tidak sekadar memberikan manusia ilmu, maklumat, prinsip dan kisah tetapi terkandung hikmah yang tinggi membentuk pemikiran yang rohhiyy mengenai kebesaran Allah dan hikmah yang terdapat dalam kejadian-Nya.

Petunjuk tidak sekadar menjadikan manusia berilmu tetapi sekali gus membentuk akhlak karimah yang menjadi sumber teladan dan ikutan kepada manusia.

Al-Quran tidak sekadar ayat-ayat yang bersifat harfiah dibaca untuk mendapatkan fadhilat atau pahala tetapi ia sarat dengan ilmu sebagai sumber petunjuk memahami alam dan kehidupan dan bukti-bukti saintifik bagi keperluan manusia.

Ramadan yang dilalui diiringi dengan tilawah dan tadarus mendekatkan para abid dengan kalimatullah supaya al-Quran sentiasa dijadikan sumber petunjuk dalam proses pengilmuan dan kehidupan.

JIHAD AN NAFS

Rasulullah SAW selepas kembali dari Perang Badr yang berlaku dalam bulan Ramadan menyatakan kepada sahabat bahawa "Kita baru saja kembali dari perang yang kecil ( jihad al-asghar) dan akan berhadapan dengan jihad yang lebih besar (jihad al-akbar) atau jihad al- nafs iaitu jihad nafsu atau jihad diri.

Manusia yang memiliki nafsu adalah sebesar-besar cabaran dalam perjuangan hidup. Sesetengah ulama mengkategorikan nafsu dalam tiga tahap iaitu Nafs amarah bissuk iaitu nafsu haiwani, nafsul lawamah dan nafs al mutmainnah iaitu nafsu orang berjiwa tenang.

Faktor nafsu adalah sesuatu yang fitrah dikurniakan Allah kepada manusia. Tanpa nafsu manusia hilang keinginan, kemahuan dan perasaan. Daripada nafsu yang dimiliki manusia memerlukan tarbiyyah rohiyyah supaya nafsu dapat dikawal dan mencari ititk keseimbangan dalam melaksanakan amalan, keinginan dan perbuatan.

Contoh mudah nafsu ini ialah ibarat kuda liar. Kuda liar apabila ditunggangi boleh menyebabkan penunggang menghadapi masalah. Justeru kuda perlu dijinakkan dengan latihan dan kawalan tali kekang. Kuda yang jinak dan terlatih akan ikut cakap tuannya atau penunggang itu sendiri.

Nafsu manusia juga sedemikian. Ramadan yang dilalui dengan siyam sebagai intipati penjinakan hati dan pengawalan diri bakal meletakkan hati insan dalam jiwamuttaqeen. Disiplin hati ini amat penting kepada manusia kerana setiap amal bermula dengan niat.

Kalau niat manusia terbina dengan rasa taabudi yang tinggi rasa ketakwaan akan hadir dalam diri manusia dan ia menjadi asas bagi menatijahkan amal soleh dan solehah bagi insan.

KEMBALI KEPADA FITRAH

Sebulan Ramadan yang dilalui merupakan tazkiah an nafs bagi orang yang beriman dengan mengalami proses pengawalan diri, pembersihan jiwa dan hati supaya insaf ketuhanan berlaku dan ia adalah barometer yang memberikan daya kawalan hati dan amal.

Madrasah Rohiyyah yang dilalui ini dengan solat tarawih, qiyam dan tahajud membolehkan jiwa ruku' dan sujud terbina, berbuka dan sahur adalah tanda kesyukuran terhadap rahmat Allah dan ujian bangun pagi bagi yang beriman, menggunakan pancaindera secara makruf, selalu melakukan muhasabah diri di depan Allah supaya jiwa tawaduk mengambil tempat hingga para abid (ahli ibadah) sentiasa melakukan sesuatu dalam redha-Nya.

Asas ini sangat penting bagi mengembalikan semula orang yang beriman ke dalam fitrah diri. Diumpamakan sebuah kereta yang lalu di lebuh raya kehidupan memerlukan ia dibawa ke bengkel untuk digantikan minyak hitam atau pistonnya supaya kereta ini sentiasa dalam keadaan baik untuk menjalani lebuh raya kehidupan yang banyak cabarannya.

Aidilfitri yang dirayakan selepas sebulan melalui madrasah rohiyyah ibarat kelahiran anak kecil seputih kain untuk melalui perjalanan hidup yang fitrah. Manusia yang beriman akan melalui proses transformasi diri yang hebat.

Kalau dulunya para abid ini seorang sombong dan takabur, melalui Madrasah Ramadan ia menjadi seorang yang tawaduk dan menginsafi diri bahawa seluruh rahmah dan nikmah itu datangnya daripada Allah.

Dari seorang yang kedekut dan bakhil menjadi seorang pemurah dan memiliki ihsan yang tinggi terhadap manusia lain. Dari seorang yang gelojoh, melampau dalam cakap dan perbuatan menjadi seorang yang tenang dan sabar. Jika ini berlaku ia adalah tanda- tanda transformasi atau perubahan diri insan yang mengembalikan diri kepada fitrah.

Perubahan diri manusia boleh diukur apabila setiap proses tarbiyyah berlaku. Ukuran yang paling nyata ialah terhadap akhlak dan gelagat manusia. Kalau sebelum Ramadan amal-amal yang bersifat mazmumah nyata ada pada dirinya.

Tetapi selepas melalui proses tarbiyyah an nafs ini wataknya berubah dan memiliki kekuatan amal yang sifatnya mahmudah.

Sukakan hal-hal yang baik dan bermanfaat, tidak kedekut dan bakhil, baik sangka terhadap manusia lain, memiliki sifat kasih sayang dan belas kasihan yang tinggi. Sekiranya ini tidak terjadi bermakna tarbiyyah rohiyyah tidak terjadi dan ia tidak kembali ke fitrah dan ramadan tidak membentuknya menjadi orang yang berjiwa muttaqeen.

Muhasabah ini penting supaya melalui Ramadan mestilah dengan hati ikhlas dan suci bersih. Lantaran kembalinya insan kepada tuntutan fitrah adalah isyarat orang yang menerima redha Allah.



PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)  Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 24/07/2012

Puasa tetapi tidak solat

Ibadah jadi adat, ikutan hanya dapat lapar dan dahaga

Amalan puasa orang yang tidak solat, rosak dan tidak diterima Allah kerana ibadah lain hanya akan dilihat Allah selepas ibadah solat. Bagaimanapun, jangan terkejut kerana ramai hari ini yang berpuasa tetapi meninggalkan kewajipan solat. 

Pakar motivasi, Halim Din, berkata 80 hingga 85 peratus mereka yang berpuasa tidak menunaikan solat kerana berasakan kewajipan lima kali sehari itu payah untuk dilaksanakan. Sedangkan katanya, nilai ketinggian seorang hamba di sisi Allah dinilai daripada kesempurnaan solat mereka.


Untuk melihat ibadah lain, Allah akan lihat solat dulu. Jika tidak solat, ibadah lain Allah tidak akan lihat. Malangnya, umat hari ini beriya-iya berpuasa, tetapi tidak solat. Mereka hanya dapat lapar dan dahaga saja, katanya pada majlis Ihya Ramadan di surau The New Straits Times Press (NSTP). 


Katanya, soalan berkaitan berpuasa, tetapi tidak solat sering ditanyakan selain beberapa perkara yang dilihat sebagai remeh membabitkan ibadah puasa seperti adakah kentut atau mengorek telinga membatalkan puasa. 

Orang Islam kian jahil 

Beliau berkata, keadaan itu menunjukkan orang Islam kian jahil perihal agama dan puncanya ialah sikap ambil mudah selain malas belajar untuk meningkatkan ilmu pengetahuan yang akan mengeluarkan diri daripada kegelapan. 

Halim berkata, sepatutnya sebelum kedatangan Ramadan, umat Islam sudah bersedia menelaah bab puasa termasuk perkara membatalkan puasa dan lebih penting, perkara membatalkan pahala puasa seperti digariskan Al-Ghazali dalam kitab tasaufnya. 
Disebabkan malas belajar, nilai ibadah kini dilihat lebih sebagai adat atau amalan ikut-ikutan bukan ibadah sebenarnya yang mempunyai hikmah serta matlamat menunaikannya iaitu mendapatkan keredaan Allah. 

Beliau memberi contoh jemaah solat tarawih yang jumlahnya ramai pada 10 malam pertama, tetapi kian berkurangan minggu berikutnya dan keadaan bertambah menyedihkan malam-malam terakhir Ramadan. 

Satu minggu pertama masjid meriah dengan jemaah, tetapi masuk minggu kedua, kita jadi hairan ke mana perginya yang ramai itu. Cuba kita renungkan kerana inilah yang dilihat apabila amalan hanya ikut-ikutan. 

Lebih menyedihkan ketika akhir Ramadan bunyi mercun dan lagu raya lebih kuat hingga sudah tidak mempedulikan tarawih atau tazkirah. Apabila kita langsung tidak ambil peduli ilmu inilah yang berlaku, katanya. 

Ilmu pacu umat ke depan 

Beliau berkata, jika umat Islam mempelajari asas difardukan ibadat, mereka akan melakukan ibadat puasa dalam keadaan mengetahui dan tidak kira apa yang datang, ia sedikit pun tidak akan menggugat puasa mereka. 

Katanya, ilmu akan memacu umat Islam ke depan dan dalam aspek ibadat mereka boleh melihat peningkatan dari sudut kualiti puasa serta sentiasa berusaha memastikan ibadat itu diterima Allah. 

Halim turut berkongsi pengalaman ketika di Pusat Zakat Selangor, berdepan isu bayaran kafarah oleh suami yang bersetubuh dengan isteri pada siang hari Ramadan kerana tidak menyangka masih berlaku perkara seperti itu. 

Syor umat timba ilmu agama 

Saya ingat sudah tiada kes bersetubuh pada siang Ramadan, tetapi masih berlaku. Jika orang ada ilmu mereka akan faham tetapi disebabkan tidak mempunyai ilmu dan tidak mahu belajar, itu yang hancur, katanya. 

Kafarah bagi suami yang bersetubuh dengan isteri pada siang Ramadan ialah memerdekakan hamba, jika tidak mampu puasa dua bulan berturut-turut dan jika tidak mampu, memberi makan kepada 60 orang miskin. 

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam supaya menggunakan akal, iman dan hati untuk menimba ilmu supaya mereka tahu tujuan amal ibadat yang dilakukan, bukan beramal kerana terikut-ikut atau sekadar meneruskan budaya.



Sumber: Berita Harian Online Agama Rabu, 25 Julai 2012, 5 Ramadhan 1433H

Semangat atasi kelengkapan perang

Perang Badar berlaku di sebuah tempat bernama Badar pada hari Jumaat 17 Ramadan, tahun ke-2 hijrah. Perang ini adalah peperangan pertama dalam Islam membela keselamatan sosial dan politik mereka. 


Rasulullah SAW bersama 313 sahabat keluar bagi menyekat rombongan pedagang Makkah yang pulang dari Syam. Abu Sufyan mengetuai angkatan perdagangan itu menyedari tindakan Rasulullah lalu menghantar utusan bernama Dham Dham bin Amr Ghifari meminta bantuan dari Makkah.

Pemimpin Quraisy yang berada di Makkah begitu marah dengan tindakan Rasulullah lalu mengumpulkan tentera melebihi 1,000 yang serba lengkap dengan peralatan perang. Mereka terus bertolak dari Makkah bagi bertempur dengan tentera Islam. 
Sebelum peperangan, Nabi Muhammad mengadakan mesyuarat bersama sahabat dan pahlawan tenteranya meminta pendapat mereka. Sesudah mendengar kata-kata mereka yang sungguh meyakinkan, Rasulullah kelihatan gembira. 

Pada saat itu juga Allah menurunkan wahyu: Seperti (harta rampasan perang ditentukan pembahagiannya dengan kebenaran, maka) Tuhanmu (wahai Muhammad) mengeluarkanmu dari rumahmu (untuk pergi berperang) dengan kebenaran juga, sedang sebahagian daripada orang yang beriman itu (sebenarnya) tidak suka (turut berjuang). Mereka membantahmu tentang kebenaran (berjihad) sesudah nyata (kepada mereka kemenangan yang kamu janjikan), seolah-olah mereka dihalau kepada kematian, sedangkan mereka melihat (sebab-sebabnya). Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu daripada dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Sedangkan Allah menghendaki bagi menetapkan yang benar (agama Islam) dengan kalimah-Nya dan bagi membinasakan kaum yang kafir seluruhnya. (Surah al-Anfal, ayat 5-7) 

Selepas itu, Rasulullah berkata kepada tenteranya, Berjalanlah kamu dan bergiranglah kerana sesungguhnya Allah memberi janji kepadaku salah satu daripada dua golongan (iaitu al-Ir dan an-Nafir). Demi Allah! Sesungguhnya aku seakan-akan sekarang ini melihat tempat kebinasaan kaum Quraisy. 

Selepas mendengar perintah Rasulullah itu, tentera Islam memulakan perjalanan menuju ke tempat yang dimaksudkan. 
Rasulullah tidak henti-henti memanjatkan doanya kepada Allah memohon pertolongan. 

Walaupun tentera Islam tiada kelengkapan tentera yang sempurna, tetapi mereka terus berperang bermati-matian. Tentera Islam sentiasa menyebut Esa! Esa! Esa!. 

Dalam peperangan ini seramai 70 Quraisy terdiri daripada pahlawan handal dan pemimpin terkorban, sementara 70 lagi menjadi tahanan perang. Hanya 14 orang Islam saja yang gugur syahid. 


Petikan buku Adab Ramadan Sumber: Berita Harian Online Agama Rabu, 25 Julai 2012, 5 Ramadhan 1433H

Ramadan: Antara jihad, pesta makan

Elak pembaziran demi pahala, kesejahteraan ummah sejagat

Selamat datang Ramadan al-Mubarak 1433 Hijriah. Ramadan yang pada siang hari diwajibkan penganut Islam berpuasa dan menghidupkan malam dengan ibadah datang lagi.

Ada mereka yang cukup bersedia menanti ketibaannya. Ada mereka yang kurang menyedari kehadirannya, sehingga tergesa-gesa atau terlupa untuk membayar hutang puasa Ramadan yang lalu. Ada pula mereka yang bersiap-siap menyambut Aidilfitri melebihi sambutan terhadap Ramadan ini. 
Ruangan sastera dalam akhbar dan majalah sepanjang Ramadan turut diserikan dengan cerita pendek atau puisi yang mengangkat kekudusan Ramadan al-Mubarak ini. Bulan ini menyaksikan bukan saja pertarungan antara nafsu dengan iman, amalan tersirat dan tersurat, malah pertembungan yang menuntut umat Islam memilih dan menentukan keutamaan hukum dalam ajaran Islam.

Dalam bukunya Fiqh Keutamaan, Prof Dr Yusuf Abdullah al-Qardhawi ada menurunkan puisi berikut: “Wahai ahli ibadah di Tanah Suci, andai tuan tahu keadaan kami, pastilah kamu sedar bahawa lidahmu itu hanya main-main belaka. Bila dia membasahi pipinya dengan deraian air mata, maka leher kami disimbah aliran darah. Dia kadang menunggang kudanya untuk kebatilan, kuda kami pergi ke medan perang di kala subuh. Kamu dihiasi haruman dan wangi-wangian, haruman kami debu dan asap yang berterbangan. Sudah datang pada kami pengkhabaran Nabi, berita yang benar dan tidak pernah dusta. Debu-debu kuda yang terbang di jalan Allah, tidak akan pernah disentuh panasnya neraka. Kitab Allah membawa keputusan kepada kita, Dialah saksi yang tidak pernah mati dan tidak dusta.”

Menyentuh perkara keutamaan hukum dalam ajaran Islam, al-Qardhawi menyebut bahawa keutamaan terbabit berpangkal pada meletakkan segala sesuatu pada tangga atau peringkatnya yang sebenar dengan pertimbangan keadilan, sama ada mengenai perbuatan, pemikiran, hukum-hakam dan nilai akhlak mulia. 

Dengan ayat yang lain, perkara yang paling penting mesti didahulukan dan diutamakan, kemudian barulah dibuat perkara yang penting diikuti yang sederhana penting dan seterusnya. 
Di Malaysia ada fenomena ‘pesta makan’ yang luar biasa sepanjang Ramadan. Orang menggunakan alasan untuk ‘mendapat pahala’ kerana menjamu orang lain berbuka puasa. Alasan ini memang wajar, jika dibuat dengan niat serta cara yang betul, di samping mengelakkan pembaziran serta sifat menunjuk-nunjuk.

Tidak ada perangkaan yang pasti berapakah jumlah wang dibelanjakan untuk majlis berbuka puasa besar-besaran tahun lalu, membabitkan pelbagai pihak. Itu belum termasuk peruntukan majlis menyambut Aidilfitri yang melebihi sebulan Syawal! Tanpa menidakkan imbuhan pahala yang dijanjikan Allah bagi amalan terbabit, mungkin ada ‘pesta makan’ yang wajar dinilai semula – termasuk yang berkonotasi politik, lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13.

Puisi di atas selari dengan hasrat al-Qardhawi untuk kita menentukan keutamaan amalan. Baginya umat Islam perlu menghadapi jihad demi kelangsungan. Nilai akhlak mulia, hukum-hakam, perbuatan dan kewajipan agama adalah berperingkat-peringkat dan berbeza urutan keutamaannya. 

Al-Qardhawi mengkritik pembaziran kewangan bagi tujuan yang kurang penting. Pada hal, wang terbabit amat diperlukan ‘untuk memberikan pertolongan dan bantuan kepada Muslimin yang sedang menghadapi bahaya kehancuran kerohanian dan kebendaan, bahaya kematian dan penghancuran yang sedang dilakukan pihak musuh di seluruh dunia.’

Beliau mengambil contoh gerakan Kristianisasi sebagai bahaya kehancuran kerohanian yang sedang dihadapi oleh umat Islam memerlukan tindak balas gerakan Islam yang strategik, serta memerlukan dana tidak sedikit. Jika jumlah wang yang dibazirkan bagi tujuan yang tidak penting dikumpulkan, wang terbabit boleh digunakan untuk gerakan menentang serta mematahkan Kristianisasi.

Beliau juga memberi peringatan kepada kita agar memanfaatkan wang yang ada demi keutamaan ‘memelihara anak yatim, memberi makan orang miskin yang kebuluran, menyediakan tempat tinggal bagi mereka yang terusir dari tanah airnya, memberikan pendidikan kepada orang jahil, memberikan peluang pekerjaan kepada mereka yang masih menganggur atau memberikan layanan perubatan dan kesihatan kepada mereka yang sakit dan memerlukannya.’



Dr Anwar Ridhwan Penulis ialah Sasterawan Negara dan Dekan Fakulti Penulisan Kreatif ASWARA
Sumber:
Berita Harian Online Rencana Rabu, 25 Julai 2012, 5 Ramadhan 1433H