July 28th, 2012

Hidup bersederhana

ISLAM adalah agama yang mementingkan kesederhanaan hidup dalam segala aspek. Sifat sederhana ini mencerminkan kemurnian iman dan kesyukuran kepada Allah atas limpah nikmat kurnia-Nya yang tidak terhingga yang tidak terhitung banyaknya.

Sesuai dengan falsafah dan hikmah puasa yang mengajar manusia menahan diri daripada makan dan minum di siang hari kerana melaksanakan tuntutan ibadah kepada Allah. Melaluinya secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah dan bilangan kekerapan makan dan minum secara teratur. Lantaran itu, perbelanjaan seharian akan lebih berhemat dan selamat daripada membazir atau boros.

Islam juga amat menekankan tentang bimbingan kepenggunaan dan mendidik agar sederhana dalam berbelanja terutama di bulan Ramadan. Bulan puasa sewajarnya mendidik umat Islam supaya menahan nafsu mata dan nafsu perut agar tidak boros berbelanja. Sifat dan amalan sederhana dalam makan dan perbelanjaan sangat digalakkan oleh Islam kepada umatnya.

Sempena Ramadan lagi sudah terdapat pelbagai tawaran harga murah dan juadah dijual di bazar Ramadan yang menguji iman. Sifat sederhana adalah sifat hamba-hamba Allah yang dekat dengan-Nya. (rujuk al-Furqan: 67)

Jelaslah sifat sederhana ini amat dititikberatkan dalam kehidupan umat Islam. Seseorang yang bersifat sederhana tidak mudah ditimpa kesusahan dan kepapaan. Selain itu, ia juga dapat meningkatkan kesedaran terhadap kesusahan orang lain yang harus dibantu.

Jadikan kesederhanaan sebagai cara hidup yang baik dan sihat. Tidak akan melarat sesiapa sahaja yang mengamalkan cara hidup yang sederhana.

Melalui sifat kesederhanaan akan lahirlah rasa syukur, sabar, tawakal dan insaf di hati seseorang. Sifat-sifat ini juga banyak membawa kebahagiaan hidup kepada pengamal sifat ini terutama dalam suasan ekonomi meleset dan harga barang melambung tinggi.

Cerdik pandai Islam pernah berkata, kesenangan hati dan ketenangan jiwa adalah lebih berharga daripada kesenangan kerana pangkat dan kekayaan yang melimpah ruah. Apabila manusia tidak memerdekakan jiwanya daripada harta benda, maka harta benda yang dimilikinya itu akan menguasainya.

Oleh itu, carilah kesenangan hati dan ketenangan jiwa di bulan Ramadan dengan mengamalkan kesederhanaan dalam berbelanja. Godaan nafsu mata seperti kata peribahasa, 'rambang mata' ketika membeli-belah haruslah dikawal bagi mengelakkan pembaziran. Belilah barang atau makanan yang perlu sahaja supaya tidak melakukan pembaziran.

Imam Abu Hanifah pernah berkata, sepotong roti, segelas air dan sehelai kain yang diperoleh dengan jalan halal, lebih baik daripada hidup mewah yang kemudian menimbulkan penyesalan.

Sikap sederhana ini ditekankan apabila barangan menjadi berkurangan sewaktu musim kemarau dan kelaparan. Inilah yang telah diceritakan dalam al-Quran dalam kisah Nabi Yusuf a.s., yang telah mengurangkan penggunaan barangan sepanjang tujuh tahun yang subur untuk disimpan buat menghadapi musim kemarau. (rujuk Yusuf: 47).

Dalam hal hidup sederhana Nabi SAW bersabda: "Makanlah, minumlah, pakailah dan bersedekahlah, jangan berlebih-lebih (boros) dan janganlah untuk bermegah-megah." (riwayat Abu Daud dan Ahmad).


Oleh AMINUDIN MANSOR , DR. AMINUDIN MANSOR berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah, Persuratan Melayu. SumberUtusan Malaysia Online Bicara Agama 27/07/2012

Peringatan Allah

ALLAH SWT telah menyebut keadaan dunia, iaitu Dia mendahulukan keadaan orang yang taat (Rasulullah SAW dan umatnya) berbanding keadaan orang yang derhaka.

Sebelum perintah dan larangan yang berhubung dengan Rasulullah SAW dikeluarkan, Allah SWT telah memerintahkan agar baginda SAW bersabar terhadap gangguan kaumnya yang alami beliau.

Ini adalah untuk menghilangkan kesedihan Rasulullah SAW serta menguatkan hati baginda, sehingga berlapang hati mendepaninya.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya mereka (orang kafir) menyukai kehidupan dunia dan mereka tidak memperdulikan kesudahan mereka, pada hari yang berat (hari akhirat). (al-Insaan: 27)

Al-Maraghi berkata: Jangan kamu mengikut rentak orang kafir dan kerjakanlah ibadah kerana mereka telah meninggalkan akhirat untuk dunia iaitu mereka mengutamakan dunia dan kagum dengan perhiasannya sehingga mereka tenggelam dalam kelazatan yang bersifat sementara. Mereka juga meninggalkan amalan yang dapat menyelamatkan mereka daripada azab serta bala bencana.

Ibnu Kathir berkata: Allah SWT memberikan penolakan terhadap orang-orang kafir dan yang serupa dengan mereka dalam mencintai serta mengejar dunia dan meninggalkan kehidupan akhirat jauh di belakang mereka.

Sayid Qutub berkata: Orang-orang kafir itu hidup dengan cita-cita yang dekat dan kecil sahaja. Minat dan cita-cita mereka hanya tertumpu dalam lingkungan hidup dunia sahaja dan mereka tidak menghiraukan hari akhirat yang amat berat tanggungjawabnya dan amat berat akibatnya serta amat penting di dalam neraca hakikat.

Firman Allah SWT: Kami telah menciptakan mereka dan menguatkan persendian tubuh mereka, apabila kami menghendaki, kami sungguh-sungguh mengganti (mereka) dengan orang-orang yang serupa dengan mereka. (al-Insaan: 28)

Mendekatkan diri

Al-Maraghi berkata: Bagaimana mereka lalai kepada Kami, padahal Kami telah mencipta mereka dan meneguhkan ikatan sendi-sendi, urat-urat serta saraf-saraf mereka? Apakah selepas ini Kami juga akan membiarkan mereka begitu sahaja? Jika Kami kehendaki, pasti Kami akan binasakan mereka dan kami datangkan pengganti yang lain bagi menggantikan mereka yang dibinasakan itu.

Ibnu Abbas, Mujahid dan lain-lain mengatakan: Yakni penciptaan mereka.

Ibnu Zaid dan Ibnu Jarir berkata: Yakni, jika kami mahu maka akan Kami datangkan kaum lain selain mereka.

Sayid Qutub berkata: Mereka tidak berkuasa melawan Allah SWT dengan kekuatan mereka kerana Allahlah yang menciptakan mereka dan memberi kekuatan kepada mereka. Dan andainya Allah SWT memberi tempoh kepada mereka dan tidak menukarkan mereka dengan orang-orang yang lain dari mereka, maka itu merupakan kemurahan dan kebaikan daripada-Nya sahaja dan juga merupakan keputusan dan hikmah daripada-Nya sahaja.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya (ayat-ayat) Ini adalah suatu peringatan, Maka barang siapa menghendaki (kebaikan bagi dirinya) nescaya dia mengambil jalan kepada Tuhannya. (al-Insaan: 29)

Al-Maraghi berkata: Barang siapa yang menginginkan kebaikan bagi dirinya di dunia dan akhirat hendaklah dia mendekatkan diri kepada Tuhannya dengan ketaatan. Begitu juga hendaklah mengikut apa yang diperintahkan Allah SWT kepadanya dan berhenti daripada apa yang dilarang untuknya agar dia mendapat pahala dan dijauhkan daripada azab Allah SWT.

Ibnu Kathir berkata: Surah ini menjadi peringatan, barang siapa mahu maka dia boleh memperoleh petunjuk daripada al-Quran.

Semoga Allah mengurniakan kita segala sifat mahmudah yang melayakkan kita menghuni syurga-Nya. Amin.



Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/07/2012

Al-Quran Biru

AL-QURAN merupakan kitab suci umat Islam yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW melalui Malaikat Jibrail a.s. Kebanyakan teks al-Quran di zaman awal Islam ditulis di atas kertas kulit yang dikenali sebagai velum menggunakan tulisan kufik. Di dalam bidang seni penulisan al-Quran terdapat sejenis al-Quran yang dikenali sebagai al-Quran Biru.

Al-Quran Biru mempunyai set penulisan teks yang seragam dan ini menjadi ciri-ciri unik yang dimiliki oleh al-Quran ini. Al-Quran Biru dihasilkan dengan menulis ayat al-Quran di atas kertas kulit yang telah diwarnakan dengan pewarna biru.

Tulisannya ditulis dengan dakwat emas dalam 15 baris teks bagi setiap helaian kertas kulit yang digunakan. Setiap naskhah al-Quran Biru yang dihasilkan mempunyai sebanyak 650 helaian kertas kulit.

Berdasarkan kepada ciri-ciri unik dan mewah di atas, ia mengehadkan penaung kepada pengeluaran al-Quran Biru ini kepada golongan khalifah dan pembesar istana sahaja kerana kos untuk menyiapkan senaskhah al-Quran Biru adalah amat mahal pada abad ke-8 hingga abad ke-13 Masihi.

Penghasilan al-Quran Biru bermula dengan proses penyediaan kertas kulit yang diambil daripada kulit kambing. Bulu-bulu halus yang terdapat pada kulit kambing akan dibersihkan dan seterusnya ia di regang pada bingkai kayu dan dipaku untuk tujuan pengeringan.

Setelah kulit kering, ia akan disapu dengan bahan pewarna indigo yang menghasilkan warna biru dengan menggunakan berus. Ia juga mungkin direndam ke dalam cecair indigo untuk jangka masa yang lama bagi mendapatkan warna biru gelap.

Selepas proses mewarna, kulit akan dikeringkan sebelum proses menulis. Kertas kulit yang telah kering akan dipotong mengikut saiz yang diperlukan.

Kebiasaannya helaian Al-Quran Biru dihasilkan dalam bentuk melintang. Kemudian penulis khat akan menyediakan garisan bagi memastikan ayat-ayat Al-Quran yang ditulis adalah lurus.

Penulis khat akan menggunakan kapur atau mata pen yang tumpul untuk menghasilkan garisan teks. Setelah garisan yang diperlukan siap, penulis khat akan mula menulis aya-ayat al-Quran menggunakan dakwat berwarna emas.

Al-Quran Biru dihasilkan bukan untuk tujuan praktikal malah ia lebih kepada tujuan hiasan. Tulisan kufik yang digunakan tidak mempunyai baris dan titik.

Mengikut dapatan kajian yang dijalankan oleh pengkaji seperti Neumier, ia dijadikan sebagai hadiah yang bukan sahaja melambangkan kekayaan pembuatnya malah ia juga melambangkan status kuasa yang dimiliki oleh seseorang pemerintah.

Selain biru, terdapat naskhah al-Quran yang ditulis dengan tulisan perak di atas kertas kulit berwarna seperti coklat dan ungu. Al-Quran ini merupakan antara koleksi manuskrip Islam di Masjid Kasba di Tunisia daripada Khalifah Al-Mutawakkil pada abad ke-15 Masihi.

Dua buah masjid besar yang mempunyai naskhah al-Quran ini di dalam simpanan mereka ialah Masjid Besar Khairouan dan Masjid Besar Cardoba. Selain masjid, naskhah atau helaian al-Quran Biru ini turut dimiliki oleh beberapa buah muzium tersohor seperti Muzium Metropolitan, Muzium Sackler di Harvard, Chester Beatty Library dan di Malaysia helaian al-Quran yang cantik ini boleh dilihat di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Muzium Kesenian Islam Malaysia mempunyai sehelai muka surat al-Quran Biru yang dihasilkan pada abad ke 9 - 10 Masihi di Afrika Utara. Ia merupakan antara artifak terbaru yang dipamerkan di dalam Galeri Al-Quran dan Manuskrip.



Oleh ROS MAHWATI AHMAD ZAKARIA  Kurator, Muzium Kesenian Islam Malaysia Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 27/07/2012