August 2nd, 2012

Keindahan Ramadan

REJAB seperti angin yang mula bertiup, Syaaban seperti sekumpulan awan hitam bergumpalan dan Ramadan adalah seperti titisan air hujan yang menurunkan seribu rahmat. Begitulah alunan puisi indah daripada Abu Bakar Al-Warraq.

Kita sentiasa berdoa dan merasa amat bertuah, kerana diizinkan Allah untuk bertemu semula Ramadan. Umat manusia seringkali berharap agar dapat bersamanya sehingga ke akhirnya dan bertemu lagi dengan Ramadan di tahun-tahun yang mendatang.

Kita mahu menjadi golongan mukmin yang disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: Kalaulah umatku tahu tentang kebaikan bulan Ramadan, mereka pasti mengharapkan biarlah Ramadan itu sepanjang tahun. (riwayat At-Tabrani).

Ramadan pada bahasa dengan maksud kepanasan atau batu-batu kecil yang berada di padang pasir pada musim panas. Ia merupakan satu bulan daripada bulan-bulan Islam yang berada di antara Syaaban dan Syawal. Bulan ini ditaklifkan kepada umat Islam supaya berpuasa selama sebulan.


Pemandangan biasa bulan Ramadan dan menjelang Syawal. - Gambar hiasan

Manakala dari segi bahasa pula ditakrifkan sebagai menahan diri daripada melakukan sesuatu seperti; makan, minum dan bercakap. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT melalui surah Maryam, ayat 26 yang bermaksud: Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana Allah yang bersifat al-Rahman.

Adapun dari segi istilah syarak pula, puasa ialah menahan diri daripada melakukan sebarang perkara yang membatalkannya di malam hari bermula daripada terbit fajar hingga matahari terbenam beserta dengan niat berpuasa di malam hari.

Namun apakah umat Islam hanya bersedia melakukan ibadah puasa sekadar menahan diri daripada makan dan minum mengikut waktu yang ditetapkan sahaja, tetapi pada masa yang sama segala perbuatan-perbuatan yang keji masih diteruskan sekalipun ketika berpuasa?

"Bukanlah puasa namanya, hanya sekadar tidak makan dan tidak minum, tetapi puasa yang sebenar ialah menahan diri daripada perkara yang sia-sia dan bercakap kotor (keji), sekiranya ada orang yang memaki hamun kamu atau memperbodohkan kamu, maka katakanlah padanya sesungguhnya aku ini berpuasa." (riwayat Ibnu Huzaimah, Ibnu Hibban dan Al-Hakim).

Pensyariatan berpuasa pada bulan Ramadan telah difardukan pada bulan Syaaban tahun ke-2 Hijrah. Sebelum itu amalan puasa telah pun biasa dilakukan di kalangan umat terdahulu dan ahli kitab yang sezaman dengan baginda SAW. (rujuk al-Baqarah: 183)

Yang dikatakan Ramadan adalah bulan Islam yang hebat ialah di dalamnya terdapat 1001 kenikmatan, kerahmatan dan keampunan daripada Allah SWT melalui salasilah pensyariatannya kepada umat Islam.

Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran dan disebut (syahru ramadana) yang mana terjadinya perang Badar Kubra dan mendapat kemenangan. Ramadan juga merupakan bulan di mana Nabi Muhammad mengambil alih Mekah daripada Musyrikin dan berakhirnya penyembahan berhala.

Di dalamnya juga terdapat malam al-qadar iaitu malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Bulan ini juga dipilih sebagai bulan untuk melakukan ibadat puasa dan ibadat-ibadah lain seperti bertadarus al-Quran, qiamullail, berzikir dan berselawat serta ibadah-ibadah sunat yang lain.

Kesimpulannya, Ramadan merupakan salah satu daripada bulan-bulan yang mempunyai kehebatannya tersendiri. Jika kata-kata “Rejab bulan Allah, Syaaban bulan Muhammad dan Ramadan adalah bulan umat" adalah tepat sama sekali.



Oleh SALMIEZA OTHMAN Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 31/07/2012

Keistimewaan Ramadan

RASULULLAH SAW telah ditaklifkan oleh Allah SWT sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Taklifan dan bebanan tanggungjawab yang perlu dibawa oleh baginda ini tentunya lebih berat kerana menjadi penyempurna dan pelengkap kepada ajaran syariat-syariat terdahulu.

Sebagai umat kepada Nabi akhir zaman, kita perlu menerima hakikat bahawa umur yang diperuntukkan oleh Allah SWT terlalu singkat berbanding umat-umat terdahulu. Rata-rata umur umat Rasulullah SAW ialah 60 hingga 70 tahun sebagaimana yang diriwayatkan dalam hadis yang bermaksud; "Umur umatku di antara 60 sehingga 70 tahun. Dan sedikit sahaja di kalangan mereka yang melebihi tempoh tersebut." (riwayat al-Hakim Tirmidzi dan Ibnu Majah)

Peruntukan umur ini jelas terlalu singkat berbanding umur umat-umat terdahulu. Sebagai contoh, tempoh Nabi Nuh a.s berdakwah mencecah 950 tahun sebagaimana yang tercatat dalam al-Quran. (rujuk al-Ankabut: 15)


Umat Islam berpeluang memperoleh pahala orang yang berpuasa apabila menyediakan juadah
berbuka puasa kepada mereka yang berpuasa. - Gambar hiasan


Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya, Allah SWT menurunkan ayat ini sebagai motivasi kepada Rasulullah SAW agar tidak berdukacita dan berputus asa dengan penentangan kafir Quraisy kerana Nabi Nuh a.s sendiri terpaksa berhadapan dengan penentangan kaumnya walaupun telah melakukan dakwah selama 950 tahun. Namun, hanya segelintir sahaja yang beriman kepada Baginda. Tempoh tersebut hanyalah jangka masa berdakwah, tidak termasuk jangkauan umur baginda yang sebenar, mungkin melebihi 1,000 tahun. Wallahu a'lam.

Jelas di sini bahawa jika dibandingkan dari sudut masa dan tempoh hidup, tentunya umat Nabi SAW mempunyai ruang yang terlalu sedikit. Bukan itu sahaja, apabila berada di penghujung zaman, masa seakan-akan cepat serta pantas berlalu.

Lihat sahaja kepada hadis Nabi SAW yang menggambarkan fenomena ini pasti berlaku di akhir zaman. Sabda Rasulullah SAW: "Tidak akan berlaku kiamat sehingga masa menjadi singkat, maka setahun dirasakan seperti sebulan dan sebulan dirasakan seperti seminggu dan seminggu dirasakan seperti sehari dan sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api." (riwayat Tirmidzi)

Dalam kerangka untuk berhadapan dengan kondisi umur pendek dan masa singkat ini, Nabi SAW telah berpesan kepada Ibn Umar r.a: Hiduplah engkau di dunia seolah-olah engkau seorang perantau atau musafir lalu. (riwayat al-Bukhari)

Apabila seseorang itu seimbas berfikir, seiring dengan kedangkalan ilmu, dia akan merasakan kerugian menjadi umat Nabi akhir zaman. Umur yang pendek hanya memberikan ruang yang sedikit kepada umat Nabi SAW untuk melakukan ibadah. Begitu juga masa yang pantas berlalu akan menyebabkan umat Islam tergesa-gesa dalam melakukan ibadah serta kerja-kerja sehariannya.

Namun, sekiranya diamati dengan sebenar-benarnya, rupa-rupanya di sana terdapat hikmah yang terlalu tinggi di sebalik kondisi umat akhir zaman ini. Umur yang singkat dan masa yang pantas sebenarnya akan menjadikan manusia yang benar-benar beriman tidak mempunyai waktu untuk melakukan maksiat dan dosa.

Ini kerana waktu yang ada semuanya dimanfaatkan untuk mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT. Tidak pernah amal ibadah yang dilakukannya diselangi dengan maksiat kepada Allah SWT. Umur yang singkat juga dimanfaatkan benar-benar untuk memastikan kehidupannya menuju ke syurga Allah SWT.

Orang yang mempunyai kesedaran sebegini, tidak akan mempersia-siakan masa sebagaimana kebanyakan manusia yang lain. Sabda Rasulullah SAW: Terdapat dua kenikmatan yang kebanyakan manusia mensia-siakannya (terhalang daripada mendapat kebaikan dan pahala) di dalamnya, iaitu kesihatan dan waktu lapang.(riwayat Al-Bukhari)



Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 01/08/2012 

Tujuan tadarus

TADARUS al-Quran di bulan Ramadan tidak boleh ditafsir sebagai aktiviti 'perlumbaan' mengkhatam al-Quran 30 juzuk semata-mata, sebaliknya bertujuan mengajak masyarakat Islam menghayati proses 'ajar dan belajar' al-Quran bersama rakan atau dalam kumpulan.

Imam Tua Masjid Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan,Sabri Abdullah berkata, amalan tadarus dimulakan Nabi Muhammad bersama malaikat Jibril di mana baginda khatam sekali membaca al-Quran dengan Jibril pada setiap Ramadan kecuali pada tahun kematiannya di mana baginda telah khatam dua kali.

Sabri berkata, tadarus adalah peluang terbaik di mana pembaca al-Quran dapat saling menegur kesalahan masing-masing dan bukan sekadar membaca untuk khatam.


Sebahagian ahli Jemaah Masjid Al -Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan bertadarus al-Quran bagi meraikan kedatangan bulan Ramadan.

"Tadarus pada asalnya adalah program Nabi Muhammad belajar al-Quran bersama Jibril setiap kali tibanya bulan Ramadan.

"Malaikat Jibril akan membaca ayat-ayat al-Quran kepada Nabi Muhammad yang kemudiannya akan memperdengarkan bacaan baginda kepada Jibril pula.

"Proses ini dicontohi oleh para sahabat nabi yang saling membetulkan bacaan masing-masing sehingga khatam al-Quran," katanya ketika ditemui di Kubang Kerian, Kota Bharu baru-baru ini.

Jelasnya, umat Islam boleh mengikuti program tadarus yang dianjurkan di masjid-masjid ataupun membuat kumpulan sendiri dan memilih seorang guru al-Quran yang boleh menegur bacaan mereka.

Katanya, ahli dalam kumpulan boleh membaca al-Quran secara bergilir-gilir dengan pemantauan guru dan rakan-rakan lain yang lebih berkeupayaan.

Tegasnya lagi, membaca al-Quran secara berkumpulan adalah perkara yang sangat digalakkan dan ada hadis menyatakan bahawa mana-mana orang yang berkumpul untuk membaca al-Quran maka Allah akan datangkan kepada mereka 'sakinah'.

Kalangan ulama mentafsirkan maksud sakinah ini kepada dua perkara, iaitu pertamanya mereka akan mendapat ketenangan dan maksud kedua adalah para malaikat akan datang berduyun-duyun menyertai kumpulan yang sedang membaca al-Quran," katanya.

Klinik al-Quran

Dalam masa sama, beliau berkata, khatam al-Quran pada bulan Ramadan dituntut kerana ulama menyebut bahawa hak al-Quran

adalah untuk ia dikhatam sekurang-kurangnya dua kali setahun oleh pembacanya dan salah satunya dilakukan pada bulan Ramadan.

Jelasnya, selain program tadarus, masjid itu juga mengadakan klinik al-Quran pada pukul 10 pagi setiap hari kecuali hari minggu dan bengkel al-Quran dengan Imam Muda masjid, Abdul Bari Abdullah pula diadakan pada hari Jumaat.

Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Wanita masjid tersebut, Nik Salma Hassan, 65, berkata, pihaknya memanggil seorang guru al-Quran, Mek Yah Che Muhamad, 56, bagi mengendalikan program tadarus bagi jemaah wanita di masjid itu dari pukul 7.30 pagi hingga 9 pagi setiap hari.

Katanya, mereka membaca antara satu hingga satu setengah juzuk al-Quran setiap hari bergantung kepada kemampuan ahli tadarus dengan sasaran agar dapat khatam di hujung Ramadan.


Oleh ASMA HANIM MAHMOOD utusankelantan@utusan.com.my Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 01/08/2012

Iktibar kelalaian, kelemahan umat Islam

KEGEMILANGAN Islam telah lama tercatat dalam lipatan sejarah. Sejak zaman Rasulllullah SAW sehinggalah zaman kerajaan Uthmaniyah, Islam dipandang amat tinggi di kalangan masyarakat dunia. Agama Islam berjaya disebarkan di seluruh dunia termasuklah di negara kita. Islam agama yang benar dan terbaik tetapi kenapakah umatnya kini dilanda pelbagai musibah?

Di negara-negara Arab sehingga Afrika, umat Islam tidak berupaya bangun menjadi umat yang hebat sebagaimana zaman Rasulllullah SAW sehinggalah zaman Kerajaan Uthmaniyah.

Di satu pihak, umat Islam berada dalam kemiskinan, tidak cukup makan dan kebuluran dek kerana bersengketa sesama sendiri. Di satu pihak pula, umat Islam kaya-raya tetapi tidak mampu membantu umat Islam lain yang sedang mengalami kesusahan. Yang mampu dilakukan hanyalah sekadar memandang tentera-tentera kafir harbi menyerang umat Islam mengakibatkan ramai orang Islam terbunuh.

Di manakah silapnya umat Islam ketika ini? Punca utamanya tidak lain tidak bukan kelemahan pemimpin-pemimpin Islam itu sendiri. Sejarah juga mencatatkan kejatuhan kerajaan Islam Umayyah, Abbasiyah dan Uthmaniyah adalah kerana kelemahan para pemimpin mereka yang berebut kuasa dan bergaduh sesama sendiri. Kuasa, pangkat dan harta benda serta wang ringgit menjadi taruhan kemaslahatan ummah.

Tatkala berebut kuasa, kita seolah-olah tidak sedar bahawa hidup kita hanya seketika dan akan meninggalkan dunia yang fana ini pada suatu hari nanti. Malangnya, kesemua ini tidak digunakan sebaik mungkin untuk kebaikan umat Islam.

Yang menyedihkan, kesemua ini dikejar untuk kepentingan diri sendiri yang akhirnya menjadikan umat Islam semakin lemah dan dipandang hina oleh musuh Islam ekoran pergaduhan dan perebutan kuasa. Sedangkan pergaduhan, pemberontakan, persengketaan tidak langsung diajar oleh agama Islam. Islam menganjurkan pemimpinnya bersatu meskipun berbeza pendapat demi menegakkan maruah agama Islam dan kemaslahatan umat Islam.

Agama Islam adalah agama kesejahteraan. Islam tidak menganjurkan perkara-perkara yang merosakkan muka bumi ini. Jauh sekali menganjurkan umatnya melakukan fitnah dan mengadu domba sesama sendiri. Ini kerana fitnah itu lebih tajam daripada mata pedang. Bukan sahaja boleh meruntuhkan persahabatan seseorang tetapi lebih teruk lagi meruntuhkan keharmonian masyarakat yang telah dibina selama ini.

Tetapi umat Islam lebih mudah terpedaya dengan dakyah musuh Islam melalui pelbagai perancangan mereka. Umat Islam tidak mampu menapis maklumat yang mana satu benar dan yang mana satu berbentuk fitnah. Memfitnah orang dan menuding jari terhadap orang lain dengan kesilapan dan kelemahan tidak membantu dalam memajukan ummah. Umat Islam perlu mempunyai kekuatan menapis maklumat yang palsu dan mengesahkan maklumat yang benar.

Umat Islam juga perlu sentiasa berkongsi menyelesaikan setiap kelemahan dan kesilapan yang berlaku dan bukannya hanya pandai menuding jari terhadap orang lain.

Suatu masalah besar di kalangan umat Islam adalah para pemimpinnya lebih suka memilih jalan persengketaan berbanding bermaaf-maafan sesama sendiri.

Betapa hebatnya akhlak Rasullullah SAW yang membebaskan kaum musyrikin yang melakukan kekejaman terhadap baginda tetapi baginda tanpa berdendam mengampunkan mereka sepenuhnya dengan membebaskan mereka.

Kekuasaan moral baginda perlu diambil contoh oleh pemimpin Islam. Baginda tidak pernah menganjurkan perpecahan ummah, baginda sentiasa menyatukan umat Islam tidak kira masa. Inilah yang diajar oleh agama Islam, yang hanya mengesakan Allah SWT, tiada tuhan yang wajib disembah kecuali-NYA. Banyak ibadah kita ditunjukkan oleh Islam agar bersatu padu.

Kita bersolat di kiblat yang satu, berpuasa di bulan yang sama iaitu Ramadan dan mengerjakan haji di bumi suci Mekah menggambarkan betapa Islam amat menitikberatkan perpaduan. Islam juga menganjurkan tolong menolong antara satu sama lain dengan memperbanyakkan sedekah dan kewajipan membayar zakat.

Ini menggambarkan betapa pentingnya menjaga persaudaraan sesama Islam dengan bantu membantu sesama Islam, jauh sekali membangkitkan permusuhan. Islam semakin lemah kerana ada di kalangan umatnya lalai dengan kemewahan yang diberi sehingga berlagak sombong dan riak di muka bumi ini. Kononnya, kemewahan tersebut hanyalah hak mereka semata-mata atas usaha mereka selama ini.

Sudah menjadi lumrah, manusia hanya berasa insaf tatkala dilanda kesusahan tetapi ujian paling besar adalah sama ada kita bersyukur menikmati kemewahan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Kejatuhan kerajaan Islam yang terdahulu disebabkan kelalaian umatnya tatkala menikmati pelbagai kemewahan. Kelalaian mensyukuri kemewahan yang dinikmati seolah-olah kemewahan ini akan dinikmati selama-lamanya, walhal kemewahan itu hanya sekadar pinjaman sementara oleh Yang Maha Esa.

Kemewahan ini boleh ditarik Allah SWT pada bila-bila masa. Adakah selepas berlakunya bala barulah kita sedar betapa besarnya nikmat dan kemewahan diberikan oleh Allah SWT?

Justeru, sempena Ramadan ini, marilah kita memanjatkan dan memperbanyakkan doa ke hadrat Allah SWT agar umat Islam seluruh dunia bertambah kuat, manakala umat Islam Malaysia sentiasa bersatu tidak kira masa mahupun berbeza fahaman politik. Semoga kehidupan dan nasib umat Islam bertambah baik pada masa akan datang. Amin.



Oleh ROHAMI SHAFIE  PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan, Kolej Perniagaan, Universiti Utara Malaysia. Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 31/07/2012

Pemahaman orang bukan Islam pada bulan Ramadan

PENGERTIAN puasa dari blog Fardzuan Hatta menyatakan puasa secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syarak bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangka masa tertentu. Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada berbohong, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri.

Puasa juga dipraktikkan oleh kaum Cina dan India dengan cara masing-masing dalam kepercayaan tersendiri. Berpuasa akan memberikan peluang kepada organ-organ di dalam tubuh badan membetulkan sistem penghadaman. Kepentingan puasa oleh agama masing-masing dengan cara berpuasa yang berbeza namun kebaikannya tetap ada. Maka, kita perlu memperhalusi pengertian berpuasa kerana kita ialah rakyat 1Malaysia.

Bila tibanya Ramadan, rakyat Malaysia perlu bersama-sama menyambut bulan ini dengan penuh kesedaran dan keinsafan. Sebenarnya orang bukan Islam gembira menyambut bulan Ramadan kerana mereka turut berpeluang ke bazar Ramadan.

Jika diperhatikan ramai yang bukan Islam membeli juadah berbuka puasa mengalahkan yang berpuasa. Ini kerana beraneka kuih-muih dan makanan yang tak pernah dilihat selama ini ada pada bulan ini. Hal ini adalah sesuatu yang baik bagi rakyat Malaysia untuk mengenali semula makanan dan kuih-muih tradisonal yang telah lama dilupakan.

Penglibatan orang bukan Islam bukan hanya dilihat dari segi lahiriah, namun mereka perlu benar-benar memahami kenapa orang Islam berpuasa dan menghormati orang yang berpuasa. Kanak-kanak bukan Islam perlu diterangkan oleh ibu bapa mereka tentang kepentingan bulan puasa oleh umat Islam.

Nilai-nilai yang murni boleh dijadikan teladan oleh orang bukan Islam. Kesabaran, kejujuran dan bertolak ansur perlu ada dalam sesuatu hubungan kerana kita hanyalah manusia biasa yang pasti melakukan kesilapan.

Saya terkenang zaman kanak-kanak semasa berada di kampung, bulan Ramadan adalah bulan yang dinantikan kerana saya akan membantu kawan-kawan menyediakan juadah berbuka puasa, menghantar kuih-muih dari rumah ke rumah dan saya ditugaskan untuk mencuba makanan maklumlah sebab saya tidak berpuasa penuh.

Belajar berpuasa dengan kawan-kawan adalah sesuatu yang baik kerana turut membantu kesihatan dan adalah suatu nikmat yang tak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Berbuka puasa bersama orang Islam juga baik dan dapat mengeratkan silaturrahim antara kita.

Dokumentari One Month Ramadan In Kuala Lumpur merupakan sebuah dokumentari diterbitkan oleh Idris Sheikh Ahmad, program realiti dokumentari ini berkisar mengenai perjalanan sebenar seorang wanita bukan Islam dari Amerika Syarikat yang datang ke Malaysia bagi menyahut cabaran mengerjakan ibadah puasa dalam bulan Ramadan. Dokumentari berorientasikan drama yang telah menukar persepsi orang bukan Islam terhadap ibadah puasa pada tahun lepas dengan perjalanan orang bukan Islam dari luar negara mengenai berpuasa menerusi saluran TV AlHijrah.

Program realiti dokumentari membawa mesej utama ini perlu diteruskan oleh stesen televisyen lain supaya penonton yang bukan Islam dapat memahami ibadah puasa kepada umat Islam dan secara tidak langsung juga menukar persepsi masyarakat luar terhadap ibadah tersebut. Program sebegini juga sewajarnya diperbanyakkan di bulan Ramadan.

Situasi pertama yang ingin saya kongsikan bukan dokumentari tetapi isi hati kawan saya, Azlan yang bekerja dengan rakan sekerja yang kesemuanya bukan Islam di sebuah syarikat swasta terkemuka. Saya rasa hairan apabila melihat Azlan terpinga-pinga membuat kerja walaupun telah tiba waktu berbuka. Dia tidak diberikan masa untuk berbuka puasa kerana kerja terlalu banyak dan waktu kerja begitu panjang.

Saya sempat berbisik kepada majikannya bahawa Azlan perlu diberikan pengecualian untuk berbuka puasa. Majikan dan rakan-rakannya tidak tahu erti berpuasa dan tidak tahu bahawa Azlan tidak boleh melengahkan waktu berbuka sehinggalah dimaklumkan dan meminta maaf dengan Azlan.

Situasi kedua adalah tentang situasi semua rakan sekerja beragama Islam di sebuah organisasi dan hanya seorang yang bukan Islam yang dari kecil telah didedahkan tentang menghormati orang berpuasa. Sebagai orang bukan Islam, kita perlu tahu dan tidak boleh makan di hadapan orang yang berpuasa walaupun mereka tidak kisah. Keadaan ini sebenarnya perlu dijelaskan dan diterapkan oleh anak-anak dari kecil lagi.

Pengenalan kepada anak-anak tentang khasiat buah kurma yang digalakkan semasa berbuka puasa. Pentingnya solat tarawih kepada umat Islam di bulan puasa dan perkara-perkara yang baik dalam bulan Ramadan, bolehlah dijadikan sebagai pengetahuan bersama. Pemahaman yang jelas inilah dapat mewujudkan sikap hormatkan agama lain dalam mencapai gagasan 1Malaysia.

Pada Ramadan yang mulia ini, saya sempat berkongsi suasana di bulan puasa di mana saya mendapat banyak jemputan berbuka puasa daripada kawan-kawan beragama Islam amat saya hargai.

Terima kasih tak terhingga kepada ayah kepada kawan baik saya iaitu Abah. Saya juga memanggilnya Abah yang merupakan seorang pensyarah di UniMAP. Saya berkunjung ke rumah Abah yang tinggal di rumah anaknya di Bandar Tasik Permaisuri kerana perlu mengambil artikel yang ditulis bersama pada waktu yang agak lewat petang. Saya juga tidak sempat membawa buah tangan untuk Abah berbuka puasa.

Sebaliknya, Abah pula menjemput saya berbuka bersama keluarganya dan menyediakan buah-buahan untuk dibawa pulang. Ini amat mengharukan. Layanan Mama yang ingin menghidangkan air beberapa kali, saya tolak dengan baik kerana amat menghormati mereka.

Di bulan penuh keinsafan ini, maka kita perlu ambil yang jernih dan buang yang keruh dengan penuh kesabaran dan mulakan kehidupan dengan penuh bermakna. Kesabaran adalah separuh daripada iman dan saya masih ingat kata kawan baik saya Mohd. Zamzuri Mat Sehap, seorang guru di Petaling Jaya.

Katanya, sebelum tidur maafkanlah semua orang dan jangan simpan dendam di hati. Kalau itu dapat kita lakukan setiap hari maka itu adalah sesuatu perkara yang terbaik dan kita akan mendapat ketenangan terutama pada bulan Ramadan ini.

Selamat berpuasa untuk semua yang akan bersahur dan berbuka puasa nanti. Tenangkan diri, kuatkan imunisasi dan hadapi hari anda dengan penuh dedikasi. Salam 1Hati.



DR. JESSICA ONG HAI LIAW ialah Timbalan Pengarah Bahagian Kepimpinan, Korporat dan Perhubungan Antarabangsa dan pensyarah Kanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 31/07/2012


Nikmat kegembiraan

TERDAPAT dua kegembiraan yang jelas bagi umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadan. Kegembiraan ini tidak dapat dirasakan oleh mereka yang tidak berpuasa. Ia adalah suatu kenikmatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

Mencari kegembiraan dalam kehidupan adalah sesuatu yang sukar ditemui. Kegembiraan bagi orang yang berpuasa akan dinikmati oleh semua orang sama ada mereka itu golongan kaya atau miskin. Nikmat kegembiraan ini sama dirasakan oleh hati dan perasaan.

Bagi menjelaskan kegembiraan ini, daripada Abi Hurairah dan Abi Sa'id sesungguhnya Allah berfirman: Sesungguhnya puasa bagi-Ku dan Aku yang membalasnya dan sesungguhnya bagi orang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan apabila ia berbuka nescaya kegembiraan dan apabila bertemu Allah nescaya ia gembira. Demi jiwa Muhammad di tangan-Nya bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada bau kesturi. (riwayat Imam Ahmad, Muslim dan al Nasai).

Hadis qudsi ini menggambarkan kemuliaan orang yang berpuasa semata-mata kerana Allah SWT yang sudah pasti mendapat pembalasan daripada-Nya. Kegembiraan apabila seseorang itu berbuka puasa dapat dibayangkan betapa nikmatnya setelah sehari suntuk berlapar dan dahaga, waktu berbuka dapat menikmati hidangan dan makanan yang disediakan.

Orang yang berpuasa juga akan merasa gembira sewaktu berbuka. Ini disebabkan waktu itulah mereka dapat berkumpul bersama keluarga dan makan bersama-sama semasa berbuka. Pelbagai juadah yang disediakan mengikut kemampuan dapat dinikmati setelah sehari suntuk berpuasa.

Seterusnya orang yang berpuasa genap sebulan Ramadan akan mendapat kegembiraan berhari raya iaitu Hari Raya Aidilfitri. Pada hari raya mereka dapat menikmati pelbagai juadah dan makanan kuih muih yang disediakan.

Mereka juga dapat mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga pada hari raya. Kegembiraan ini adalah manifestasi daripada berbuka puasa yang konsepnya lebih besar dan luas.

Ibnu Jauzi menyatakan, hari raya mempunyai persamaan dengan hari akhirat. Ketika mereka telah terbangun daripada tidur panjang mereka dan berduyun-duyun menuju perayaan, seperti orang-orang yang telah mati keluar dari kuburnya masing-masing menuju tempat mereka berkumpul. Ada di antara mereka yang mengenakan perhiasan dan menaiki kenderaan serba mewah. Ada juga yang kelasnya menengah dan ada pula kelas rendah untuk menemui Allah SWT.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Mereka itulah orang-orang yang didekatkan (kepada Allah). (al Waaqi'ah: 11).

Kegembiraan seterusnya adalah orang yang berpuasa dengan penuh keimanan dan takwa akan dapat bertemu dengan Allah SWT pada hari akhirat nanti. Kegembiraan ini telah dijanjikan oleh Allah SWT sebagai balasan atas amalan puasanya.


Oleh AMINUDIN MANSOR Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 02/08/2012

Hikmah puasa dari aspek kesihatan

Kita sedia mengetahui kehebatan puasa Ramadan dari segi ganjaran pahalanya di sisi Allah. Puasa ibadah teragung terangkum dalamnya pelbagai hikmah dan tersingkap seribu rahmat yang penuh hikmah. 

Banyak pakar dan ilmuwan bidang perubatan membuat kaji selidik sejak sekian lama dalam usaha mengkaji manfaat puasa dari sudut kesihatan. 

Pada 1994, sekumpulan pakar sains kesihatan membentangkan hasil kajian di Kongres Antarabangsa mengenai Kesihatan dan Ramadan di Casablanca, Maghribi. Sebanyak 50 kertas kerja dibentangkan dan semuanya bersetuju puasa Ramadan dan amalan puasa tidak sekali-kali memudaratkan. 


Apa yang lebih menakjubkan, pakar kesihatan dunia itu juga memperakui amalan berpuasa Ramadan mampu mencegah dan menyembuhkan pelbagai penyakit. 

Pengkaji terkemuka dari Universiti Hospital di Amman, Jordan, Dr Soliman, membuat penyelidikan puasa Ramadan dari aspek kesihatan dan melakukan uji kaji terhadap 42 lelaki dan 26 wanita Islam yang sedang berpuasa Ramadan. 

Kesan positif berpuasa 

Hasil kajiannya mendapati puasa memberi kesan positif terhadap metabolisme tubuh badan dan menjadi pencegah kepada serangan pelbagai penyakit khususnya gejala lebihan gula dan lemak. 

Turut membuat kajian, Dr F Azizi bersama beberapa rakannya dari Universiti Sains Perubatan Tehran, Iran, dan hasilnya sama seperti ditemui Dr Soliman. 

Namun, ada juga sesetengah pihak yang meragui kebaikan berpuasa Ramadan dengan mengatakan ia akan memudaratkan dan menjejaskan kualiti kesihatan khususnya kepada pesakit buah pinggang. 

Mitos mereka disanggah dengan bukti dan hujah yang padat aspek imperikal. Sekumpulan ilmuwan sains kesihatan dilaporkan pada 2010 mendapati mitos itu palsu belaka, sebaliknya apa yang nyata ialah puasa Ramadan langsung tidak menjejaskan fungsi buah pinggang. 

Bagaimana dengan pesakit kronik seperti angin ahmar atau strok. Tidakkah amalan berpuasa akan menambah kesengsaraan kepada kesihatan mereka? Allah Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana. Dia tidak memerintahkan manusia melakukan sesuatu ibadah jika membebankan dan memudaratkan. 

Begitu juga dengan puasa Ramadan. Kini manusia moden hairan dan kagum dengan perintah Allah ini. Rupa-rupanya tersirat pelbagai hikmah dari perspektif sains kesihatan. 

Kita berpuasa bukan kerana kesihatan tubuh badan, tetapi berniat setulus hati demi mengharapkan keredaan Allah. Fadilat dari segi kesihatan ibarat ‘bonus’ awal yang dikurniakan Allah. 

Jadi, amat rugi kepada mereka yang liat untuk berpuasa dan mengambil ringan perintah Allah ini. 


Mohd Rizal Azman Rifin Sumber: Berita Harian Online Agama Khamis, 02 Ogos 2012, 13 Ramadhan 1433H

Ramadan bukan berpesta makanan

Ibu bapa kena didik anak kawal hawa nafsu, tingkatkan ibadah

Allah SWT menetapkan Ramadan sebagai bulan khusus untuk umat Islam menjalani proses penyucian diri, membuang tabiat buruk, memperelok dan membangunkan akhlak yang baru. Selari program suci ini, Allah SWT mengerahkan umat Islam melaksanakan ibadah puasa sebulan. 

Malaikat juga turun ke dunia untuk bersama umat Islam di seluruh pelusuk dunia meraikan malam Ramadan penuh keberkatan. Umat nabi terdahulu mendapat manfaat besar mengamalkan ibadah puasa ini. 

Sabda Rasulullah SAW: “Solat lima waktu, hari Jumaat hingga Jumaat (yang berikutnya), bulan Ramadan hingga Ramadan (tahun berikutnya) adalah mengkafarahkan (menghapuskan) apa yang di antaranya selagi mana dijauhkan dosa besar”. - (Riwayat Muslim)

Firman Allah dalam surah al-Baqarah, ayat 183, telah mewajibkan puasa kepada umat Nabi Muhammad SAW seperti mana diwajibkan kepada umat nabi terdahulu bagi membentuk insan bertakwa. 

Menurut rumusan perbahasan ulama, takwa secara mudahnya bermaksud beristiqamah mematuhi perintah Allah, sentiasa berada dalam lingkungan hidup dicintai Allah dan menjauhkan diri daripada perkara yang menimbulkan kemurkaan-Nya.

Persoalan besar timbul ialah apakah kita mampu mencapai takwa sepanjang Ramadan? Siapakah sanggup melakukan hal itu penuh disiplin sepanjang Ramadan dan berkekalan di bulan berikutnya? Walaupun sukar mendapat ketakwaan seratus peratus, kita perlu berusaha mencapainya. 

Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umat Islam sabdanya: “Betapa ramai umat Islam berpuasa, tetapi tidak mendapat pahala dari puasanya kecuali rasa lapar dan dahaga.” (Riwayat Tabarani dan Ibn Majah) 
Pada prinsipnya, berdasarkan perbahasan ulama, rupa bentuk puasa yang sempurna mengikut standard piawaian ditetapkan ialah puasa bukan saja menahan makan, minum dan tidak melakukan hubungan seks pada siang hari.

Tetapi memfokuskan seluruh anggota badan turut berpuasa dengan cara bersabar mengawal nafsu, emosi, perasaan, dan pemikiran daripada perkara haram, berdosa atau perbuatan tidak bermoral.

Siang dan malam Ramadan dipenuhi keberkatan. Oleh itu, ibadah lain memberi nilai tambah memperkukuhkan kualiti puasa ialah membaca dan memahami al-Quran, bersedekah, solat tarawih, tahajud, berzikir dan banyak berdoa pada waktu malam. 

Ibu bapa galak ahli keluarga berpuasa

Kualiti hidup bertakwa bermula di rumah. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan penting bagi menentukan seisi keluarga memahami standard piawaian puasa yang berkualiti tinggi. Ibu bapa wajar mengambil peluang keemasan Ramadan menggalakkan ahli keluarga memperbanyakkan beribadah dan menanamkan sikap berakhlak. 

Kepemimpinan melalui teladan yang dipamerkan ibu bapa dalam proses penyucian diri adalah pendidikan paling berkesan dan akan menjadi rujukan ahli keluarganya. 

Kelemahan ibu bapa menguruskan pendidikan puasa Ramadan dalam keluarganya boleh menyebabkan Ramadan menjadi bulan pesta makan, pembaziran dan meningkatkan lagi kos sara hidup. 

Hayati kualiti hidup bertakwa

Keluarga yang menghayati kualiti hidup bertakwa akan mewujudkan kehidupan keluarga diberkati Allah. 

Pentingnya takwa dalam kehidupan dunia dan akhirat, mari hayati firman Allah SWAT: “Wahai orang beriman bertakwalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepada-Nya dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan beragama Islam.” (Surah Ali-Imran, ayat 102) 

Penulis ialah Pengarah Penyelarasan Undang-Undang Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ghafani Awang Teh Sumber: Berita Harian Online Agama Khamis, 02 Ogos 2012, 13 Ramadhan 1433H