August 4th, 2012

Teladani puasa Rasulullah

AL-QURAN sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakanuswatun hasanah dan menjadi contoh teladan yang baik kepada umatnya.


Dalam ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: "Apabila seorang daripada kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah, sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.

Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum daripada bau kasturi.

Sama-sama kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh baginda sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh semua umatnya.

Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang telah diambil oleh baginda antaranya ialah;

Memantapkan niat - Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya." (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Melaksanakan makan sahur - Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasululla SAW yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat Muslim). Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala daripada Allah. Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

Imsak Rasulullah - Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang daripada kamu mendengar azan Subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah). Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

Mempercepat berbuka - Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Telah berfirman Allah Taala "hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya" (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).

Memperbanyak membaca al-Quran - Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Orang-orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim). Barang siapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.

Memperbanyak sedekah - Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.

Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.

Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak. Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana pada setiap malan bulan Ramadan ada suara yang memanggil,

"Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka."


Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI
l WAN MARZUKI WAN RAMLI ialah Guru Pendidikan Islam berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di SK Jerek, Gua Musang, Kelantan.
Sumber:
Utusan Malaysia Online  Bicara Agama 03/08/2012

Isi Ramadan tadarus al-Quran

Masa berlalu begitu pantas. Kini kita telah selesai melalui 10 hari fasa pertama Ramadan. Seterusnya kita akan melalui dua fasa lagi yang berbaki. Ramadan datang sebagai hadiah istimewa daripada Allah SWT buat hambaNya yang menginginkan perubahan dalam hidupnya.


Sejujurnya sering kali kita berasa terkilan apabila bercakap mengenai penambahbaikan diri terutama dalam soal melaksanakan amal ibadah. Pencapaian kita sentiasa berada di takuk lama dan tidak berubah untuk hari-hari mendatang.


Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang hari ini lebih baik dari hari semalam, dia orang yang beruntung. Sesiapa yang hari ini sama saja dengan semalam, dia orang yang rugi. Sesiapa yang hari ini lebih buruk dari semalam, dia orang yang zalim.”

Setiap individu Muslim perlu bermuhasabah terutama terhadap perkara besar dalam hidupnya bagi mengenal pasti kelemahan dan membuat penambahbaikan untuk lebih berjaya pada masa depan.

Justeru, di saat Allah SWT menganugerahkan kehadiran Ramadan sekali lagi dalam hidup, kita perlu bermuhasabah prestasi sepanjang Ramadan sebelum ini. Dengan muhasabah juga, seseorang akan lebih bijak mengolah agenda harian untuk memastikan Ramadan kali ini lebih baik dari tahun lepas.

Perkara utama yang perlu dimuhasabah adalah sejauh mana kita konsisten melaksanakan ibadah sepanjang Ramadan yang mulia ini. Umpamanya, sekerap mana kita membaca al-Quran kerana kelebihan membaca al-Quran pada Ramadan amat tinggi nilainya di sisi Allah SWT.

Sabda Nabi SAW, daripada Aishah katanya: “Aku tidak pernah mengetahui bahawa Rasulullah SAW membaca al-Quran semuanya pada satu malam dan berqiam semalaman sampai ke waktu pagi dan berpuasa sebulan genap selain pada Ramadan.” (Riwayat Nasaie’)


Sebagai umat Baginda, marilah kita memperbanyakkan membaca al-Quran sepanjang Ramadan dan sebaik-baik masa membaca al-Quran ialah pada waktu malam. Kita juga digalakkan banyak membaca al-Quran dan khatam dalam masa sesingkat mungkin.

Kita yang mempunyai iman tahap orang awam perlu merancang supaya sepanjang Ramadan dapat khatam al-Quran sekurang-kurangnya sekali. Maka beruntunglah bagi individu membaca dan beramal dengan al-Quran kerana mereka akan memperoleh syafaat.

Daripada Abdullah bin Amru bin ‘As, Rasulullah SAW bersabda: “Puasa dan al-Quran menjadi syafaat kepada seseorang hamba pada hari kiamat. Berkata puasa: Wahai Tuhanku! Aku menahannya tidur pada waktu malam maka (izinkanlah) aku memberi syafaat kepadanya dan berkata al-Quran: Wahai Tuhanku! Aku menahannya tidur pada waktu malam, (izinkanlah) memberi syafaat kepadanya. Sabda Rasulullah SAW: Lalu keduanya itu diberi izin Allah supaya memberi syafaat kepadanya.” (Riwayat Ahmad)

Seterusnya satu amalan yang sering dilakukan Baginda Rasulullah SAW ialah membaca al-Quran secara bertadarus. Baginda SAW membaca al-Quran secara bertadarus dengan Jibril.

Daripada Ibn Abbas, katanya: “Rasulullah SAW adalah seorang yang sangat pemurah. Baginda sangat pemurah khususnya dalam Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril menemuinya pada setiap malam bulan Ramadan lalu bertadarus al-Quran dengan Baginda.” (Riwayat Bukhari)

Daripada Abu Hurairah, katanya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berharap untuk menemui Allah SWT, maka hendaklah memuliakan ahli Allah. Maka disoal lagi: Wahai Rasulullah, adakah Allah mempunyai ahli? Jawab Rasulullah SAW: Ya. Soal lagi: Siapa mereka itu? Jawab Rasulullah SAW: Ahli Allah di dunia ialah mereka yang selalu tadarus dan membaca al-Quran, adakah tidak ada orang yang menerima kemuliaan itu dimuliakan oleh Allah dan dimasukkan ke syurga, sebaliknya mereka yang dihina, maka sesungguhnya Allah akan menghina lalu dimasukkan ke neraka. Wahai Abu Hurairah, tiadalah di sisi Allah seorang yang dimuliakan daripada orang yang bertadarus dan membaca al-Quran, tidak ada seorang itu membawa dan membaca di sisi Allah dimuliakan daripada salah seorang kamu kecuali para Nabi.”

Marilah kita mengisi masa sepanjang Ramadan mulia ini dengan amalan bermanfaat terutama membaca dan bertadarus al-Quran. Janganlah kita hanya berpuasa dengan menahan diri daripada lapar dan dahaga saja tanpa pengisian bermanfaat.

Abdullah bin Abbas meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda: “Seseorang yang tidak ada sebahagian pun al-Quran dalam hatinya adalah seumpama rumah yang ditinggalkan (rumah kosong).”


Asri Md Saman Penulis Pensyarah Jabatan Pendidikan Islam dan Moral, Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman
Sumber:
Berita Harian Online Bicara Agama Sabtu , 04 Ogos 2012, 15 Ramadan 1433 H

Pencuri masa perolehi rezeki tak hala

Mencuri masa termasuk dalam kategori mencuri kerana menggunakan sebahagian masa diperuntukkan untuk sesuatu kerja yang diamanahkan dengan melakukan perkara lain.


Si pencuri masa pula biasanya dikaitkan dengan sikap suka ‘bertangguh’ kerana disebabkan bertangguh, banyak perkara perlu disiapkan akan tergendala. Akibatnya, masa yang lain pula diperlukan untuk melakukan kerja sepatutnya telah diselesaikan tidak lama dulu.


Selain itu, konteks ‘mencuri masa’ bukan saja terhad kepada sikap suka bertangguh, malah ia juga merujuk kepada pekerja yang membuat perkara tidak berkaitan dengan pekerjaannya semasa waktu bekerja.


Contohnya, pekerja yang sengaja melambat-lambatkan kerja; sibuk melayari laman sesawang yang tiada kaitan dengan kerja; masuk lewat daripada waktu sepatutnya dan pulang sebelum tiba waktu ditetapkan.

Adanya sikap sebegini, tidak mungkin kita akan mendapat rezeki diberkati Allah SWT. Keberkatan adalah satu nikmat ketenangan dan kecukupan daripada Allah SWT kepada hamba-Nya yang beriman, bersyukur dan sentiasa mencari rezeki halal untuk kehidupan serta keluarganya.

Dalam hal ini, mencuri juga boleh dilihat sebagai aspek mendapat rezeki secara tidak halal. Rezeki tidak halal yang diperoleh itu apabila dibuat membeli barang keperluan dan makanan akan menjadi haram.

Apabila seseorang memakan hasil haram, maka gelaplah hatinya, susah untuk menerima ilmu dan jauhnya dia daripada Allah SWT. Kesannya pula bukan terasa kepada diri sendiri saja, malah isteri atau suami dan anak turut merasai perkara sama jika amanah diberikan tidak dijalankan sebaiknya.


Amanah adalah satu tanggungjawab berat daripada Allah SWT. Jika Allah SWT telah takdirkan kita dengan sesuatu pekerjaan, ini bermakna Allah SWT mengilhamkan kepada majikan untuk memberikan kepercayaan itu dan mengharapkan kita menggalas amanah diberikan sebaiknya.

Oleh itu, elakkan daripada tergolong dalam kalangan pencuri masa. Contohilah sikap Umar Ibn Aziz yang memadamkan lampu dan sanggup bergelap apabila ada ahli keluarganya datang sewaktu dia berada di ruangan pejabat untuk melakukan urusan kerja kerajaan.

Betapa amanahnya beliau dalam menggunakan harta negara bukan untuk kepentingan sendiri. Inilah yang perlu dicontohi. Berusaha sehabis daya untuk mendapatkan keberkatan dan seterusnya keredaan Allah SWT atas apa saja pekerjaan dilakukan.

Oleh itu, jadilah si pencuri masa yang diberkati. Maksudnya di sini bukan pencurian yang membawa kepada kemurkaan Allah SWT, tetapi sebaliknya. Curilah masa yang ada untuk melakukan sesuatu perkara dengan lebih berkesan.

Contohnya, apabila ada masa terluang atau semua kerja diamanahkan telah selesai, curilah masa yang masih berbaki untuk melakukan perkara memberi manfaat kepada organisasi tempat kita berkhidmat.


Anur Inani Ismail Penulis Pegawai penyelidik Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Sumber: Berita Harian Online Agama l Sabtu , 04 Ogos 2012, 15 Ramadan 1433 H