August 6th, 2012

Al-Quran sebagai sumber ilmu, panduan hidup

Membaca dan beramal dengan kitab suci pelihara kesucian hati.

Apabila kita menyedari kita seorang Muslim, kita juga perlu menyedari orang Islam ini memiliki kitab suci yang perlu dibaca, difahami dan diamalkan sebagai panduan hidup. Perlu diingat, Allah SWT mengurniakan nikmat ke atas hamba-Nya dengan mengutuskan Nabi-Nya (Muhammad SAW) dan menurunkan kitab-Nya.


Al-Quran tiada sebarang kebatilan sama ada dari hadapan atau belakang sehingga terbentang luas bagi para ahli fikir jalan mengambil iktibar atau contoh teladan daripadanya kerana al-Quran mengandungi banyak cerita dan berita.

Dengan adanya al-Quran, nyata teranglah bagi umat manusia jalan kukuh yang harus ditujui dan titian lurus harus dilalui kerana dalamnya terdapat pelbagai hukum yang membezakan antara halal dengan haram.

Al-Quran laksana cahaya yang menerangkan, dengannya manusia akan terselamat daripada kemegahan diri, sebagai penawar mengubati segala jenis penyakit bersarang dalam hati. Sesiapa yang berpegang teguh dengan al-Quran, nescaya ia akan terbimbing untuk mendapat petunjuk.

Sesiapa mengamalkan kandungannya, nescaya ia akan berjaya dan bahagia. Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Kami (Allah) menurunkan peringatan (al-Quran) dan Kami pasti memeliharanya.” (Surah al-Hijr, ayat 9)

Antara sebab menentukan terpeliharanya al-Quran dalam hati sanubari dan mashaf adalah mengamalkan pembacaannya selalu dan mendalami maksudnya terus-menerus dengan memerhatikan adab serta syaratnya. Kemudian menurut arahan terkandung di dalamnya.

Nikmat besar yang perlu disyu-kuri iaitu diberi kelapangan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca al-Quran, kemudian mendapati ada orang lain yang dikurniakan keutamaan selain dari apa yang Allah telah kurniakannya, maka sebenarnya ia telah memperkecilkan sesuatu yang dibesarkan oleh Allah SWT.”

Ibnu Mas’ud berkata: “Sekiranya anda inginkan ilmu pengetahuan, maka pelajarilah al-Quran kerana sesungguhnya al-Quran itu mengandungi ilmu para ahli terdahulu dan yang terkemudian.”

Amru Ibnul ‘As pula berkata: “Sesiapa membaca al-Quran, maka sebenarnya telah ada bersamanya darjat kenabian, hanya dia tiada diturunkan wahyu saja.”

Rasulullah SAW mencela orang membaca al-Quran, padahal mereka lalai un-tuk melaksanakan pengajarannya. Rasulullah SAW bersabda: “Tiada dikira beriman dengan al-Quran orang yang menghalalkan segala larangannya.”

Sebahagian ulama berkata: “Sesungguhnya seorang hamba itu akan membaca al-Quran, dan ia akan melaknat dirinya, sedang ia tidak sedar akan kelakuannya. Iaitu apabila ia membaca: ‘Awas! Laknat Allah ditimpakan ke atas orang yang zalim’ padahal orang itu berlaku zalim terhadap manusia.

Ataupun dia membaca: “Awas! Laknat Allah ditimpakan ke atas orang yang berdusta’, padahal dia selalu berdusta.


Oleh Ustaz Zahazan Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 06 Ogos 2012, 17 Ramadan 1433 H

Keistimewaan al-Quran, malam lailatulqadar

Ulama bersetuju al-Quran mula diturunkan pada Ramadan, namun tarikhnya kurang jelas. Ahli Sunnah wal Jamaah menerima pendapat, al-Quran diturunkan pada malam Jumaat, 17 Ramadan. Oleh itu, 17 Ramadan dirai sebagai hari turunnya wahyu (Nuzul al-Quran) buat pertama kalinya.

Pada malam itu, ketika Nabi Muhammad SAW sedang berada di Gua Hira surah al-Alaq, ayat 1 hingga 5 diturunkan. Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah sehingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap seperti kitab al-Quran yang ada hari ini.

Al-Quran mukjizat terbesar Rasulullah SAW yang memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutama yang serius memikirkan rahsia al-Quran. Kalimah al-Quran sering dicantumkan dengan rangkai kata al-Quran mukjizat akhir zaman atau al-Quran yang mempunyai mukjizat.

Inilah sebenarnya kelebihan al-Quran yang tidak ada satu perkara pun tertinggal atau dengan lain perkataan, segala-galanya ada dalam al-Quran.

Al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai an-Nur bererti cahaya menerangi, al-Furqan (dapat membezakan antara hak dan batil) dan az-Zikr (memberi peringatan).

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam lailatulqadar mempunyai hubungan rapat antara satu sama lain seperti diterangkan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami menurunkan (al-Quran) ini pada malam lailatulqadar, dan apa caranya engkau dapat mengetahui apa kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (Surah al-Qadr, ayat 1-5)


Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu laporan daripada Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW menyebut empat orang bani Israel yang beribadah kepada Allah SWT selama 80 tahun.

Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah SWT, lalu sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan Allah SWT menurunkan yang lebih baik daripada amalan mereka.

Jibril pun membaca surah al-Qadr. Jibril berkata kepada Rasulullah SAW, ayat ini lebih baik daripada apa yang kamu kagumkan ini dan menjadikan Rasulullah SAW dan sahabat amat gembira.


Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 06 Ogos 2012, 17 Ramadan 1433 H

Pintu taubat terbuka luas bagi setiap hamba

Islam mempunyai pedoman jelas, tegas serta sistem yang mudah untuk memperoleh kebenaran dan memberi jaminan mengangkat martabat manusia ke tingkat yang mulia.

Namun, manusia sering tersesat daripada jalan digariskan disebabkan kebodohan, tekanan hawa nafsu dan godaan syaitan.

Manusia hanya memikirkan kepentingan dirinya dengan tidak menghiraukan kepentingan umum. Oleh kerana itulah, Islam mengajak umatnya berpegang teguh kepada hak dan kebenaran sehingga manusia tidak tersesat dari jalan yang benar dan berpaling dari tujuan utama hidup.


Firman Allah SWT: “Maka berpegang teguhlah kamu kepada agama benar yang telah diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus. Dan sesungguhnya al-Quran itu benar-benar adalah suatu kemuliaan besar bagimu dan bagi kaummu dan kelak kamu akan diminta bertanggungjawab.” (Surah az-Zukhruf, ayat 44)

Manusia sebagai makhluk Tuhan tidak bebas daripada kekeliruan dan kesalahan. Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang sentiasa memberi kesempatan pada saat ia tergelincir untuk memperbaiki kesalahannya dan mengubati penyakitnya.

Kemudian, memperbaharui langkahnya di jalan yang lurus menurut hati nurani dan fitrahnya. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tiap anak Adam adalah pembuat kesalahan, dan sebaik-baik orang yang membuat kesalahan ialah mereka yang segera bertaubat.” (Hadis riwayat at-Tirmizi dan Ibnu Majah)

Sabda Baginda lagi: “Sesungguhnya Allah membuka tangan-Nya pada waktu malam untuk menerima taubat orang yang berbuat kesalahan di waktu siang, dan membuka tangan-Nya di waktu siang untuk menerima taubatnya orang yang melakukan pelanggaran di waktu malam hingga kelak terbit matahari dari arah baratnya (maksudnya hari kiamat).” (Hadis riwayat Muslim dan an-Nasa’i)
Allah SWT yang sudah mengetahui kelemahan manusia tidak akan membebankannya dengan tanggungjawab berat dan melampaui daripada kekuatan fizikal serta mental mereka. Manusia diperintahkan supaya kembali kepada Allah SWT dan segera menyucikan dirinya dengan bertaubat.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Islam membuka pintu harapan seluas-luasnya dengan mengajak orang yang melakukan maksiat supaya bertaubat dan beristighfar kepada Allah SWT. Allah SWT akan mengampuni dosa hambanya selama mana ia berdoa minta ampun walaupun dosanya tinggi menggunung dan seluas lautan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Allah berfirman: “Hai anak Adam, selama engkau berdoa dan mengharapkan ampun-Ku, nescaya Aku ampunilah dosa yang engkau lakukan dan tidak Aku peduli. Hai anak Adam, walaupun dosamu mencapai awan di langit (kerana banyaknya) lalu engkau minta ampun-Ku nescaya Aku mengampunkan engkau dan Aku tidak peduli. Hai anak Adam, andaikan engkau datang kepada-Ku dalam keadaan tidak menyekutukan sesuatu kepada-Ku, nescaya Aku akan memberimu ampun sepenuh bumi juga.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Taubat ialah kesedaran yang timbul dalam hati seseorang bahawa mereka berdosa dengan menyimpang dari jalan yang lurus dan berikrar kepada dirinya sendiri tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu.

Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW sambil mengeluh dan berkata: “Oh dosa-dosaku! Oh dosa-dosaku!. Maka ditegur dia oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya: Katakanlah: Ya Allah, ampunan Mu lebih luas daripada dosaku dan rahmat-Mu lebih memberi harapan bagiku dari amalku. Lalu diucapkanlah oleh lelaki itu doa tadi sebanyak tiga kali, kemudian bersabdalah Rasulullah SAW: Berdirilah engkau, Allah telah mengampuni engkau.”


Syed Abi Ghufran Syed Ahmad Al Idrus Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 06 Ogos 2012, 17 Ramadan 1433 H

Ramadan dorong tingkat jihad perkukuh iman

Kehadiran bulan mulia cara dekatkan diri kepada Ilahi

Kagum dan kagum, itulah perkataan dapat diucapkan apabila menonton tayangan video suasana di atas kapal Mavi Marmara ketika tentera Israel me-ngepung kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza itu.

Kagum kerana walaupun tahu bahaya menanti, mereka yang di dek paling atas kapal yang ketika itu berada 68 batu di luar perairan Israel jam 4.20 pagi tetap tenang seakan-akan tiada apa yang berlaku.


                                            uatan sukarelawan Mavi Marmara menghadapi serangan komando Israel adalah kerana keyakinan kepada Allah 

Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) telah datang kepada kamu, dalamnya ada malam di mana amalan ibadat yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang terlepas malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara kecuali mereka yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) dari Allah SWT.” (Hadis riwayat Nasa'i)

Kebanyakan mereka yang baru saja selesai menunaikan solat Subuh ada yang sedang mengambil al-Quran, melipat tikar dan sesetengahnya masih bersolat. Malah, mereka ke tepi kapal untuk melihat bot laju membawa tentera Israel mendekati kapal mereka.

Berbeza dengan adegan biasa kita lihat dalam drama atau filem, apabila musuh menyerang, keadaan jadi kelam-kabut dengan jeritan serta cubaan menyelamatkan diri. Namun, bukan itu pemandangan dapat dilihat di atas kapal Mavi Marmara.

Walaupun tembakan dilepaskan bot komando Israel yang menghampiri Mavi Marmara, keadaan masih terkawal. Kekecohan mula berlaku apabila pasukan komando diturunkan dari helikopter sambil melepaskan hujan peluru.
Selepas ada sukarelawan terkena tembakan dan syahid, barulah yang lain mula memberi reaksi menentang untuk mempertahankan diri.


Ketenangan dimiliki sukarelawan itu mungkin disebabkan keyakinan bahawa mereka tidak akan diapa-apakan kerana niat mereka jelas, membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza dan mereka berada di kedudukan lautan antarabangsa.

Bagaimanapun, Pengerusi Life Line for GAZA, Noorazman Mohd Samsuddin (gambar), berkata ketenangan itu hasil keyakinan mereka kepada Allah SWT, kuasa besar yang tiada tandingannya dan hanya mereka yang ada hubungan kuat dengan Allah akan merasainya.

“Selepas dekati Allah dengan kualiti ibadat, kita dapat ketenangan yang memberi kekuatan. Serangan berlaku selepas sebahagian kami selesai menunaikan solat Subuh, mendekatkan diri serta berdoa kepada Allah.

“Oleh itu, mari bersama gunakan Ramadan ini untuk mendekatkan diri dengan Allah kerana kematian memang hampir dengan kita. Jadi, jika ada keyakinan dalam hidup, Alhamdulillah,” katanya pada majlis tazkirah Ramadan di Fakulti Alam Bina Universiti Malaya (UM).

Beliau yang berkongsi pengalaman dalam tazkirah bertajuk Misi Bantuan Kemanusiaan ke Gaza: Satu Pengalaman Terindah, turut menekankan kewajipan umat Islam untuk berjihad pada jalan Allah melalui cara masing-masing supaya tidak mati dalam keadaan Jahiliah.

Penulis buku 69 Jam di Neraka Zionis itu merakamkan pengalaman berdarah sukarelawan negara yang menyertai misi flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dimuatkan gambar eksklusif sepanjang perjalanan maut itu untuk dikongsi umum.

Mengaitkan pengalaman dilalui dengan peluang sepatutnya direbut umat Islam khususnya di Malaysia sepanjang Ramadan yang menjanjikan rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka, beliau mencadangkan masyarakat berjihad.
“Ramadan bukan sekadar untuk beramal tetapi membina kekuatan dan mendekatkan diri dengan Allah. Ramadan juga kesempatan terbaik untuk menanamkan semangat jihad melawan nafsu untuk taat kepada Allah,” katanya.

Noorazman berkata, cara untuk meningkatkan kekuatan diri dan semangat jihad bermula dengan latihan mendekatkan diri kepada Allah, sentiasa mengingati serta memperbanyakkan zikir. Katanya, apa guna solat jika seseorang Muslim itu masih jauh daripada Penciptanya.

Memetik kata-kata Imam al-Ghazali, “Sesungguhnya manusia sujud (solat) pada Allah tetapi mereka sujud bersama dosa. Jika dosa itu hendak diberi kepada semua dalam negara, maka satu negara akan berdosa”.

Justeru katanya, pertolongan Allah dapat dirasakan sepanjang mereka melalui pengalaman ngeri itu kerana kebanyakan mereka sudah mempunyai hubungan yang rapat dengan Allah.

“Kita juga perlu berasakan Allah bersama kita kerana jika tidak ada ketenangan bersama Allah, maknanya kita sudah kehilangan sesuatu dalam hidup. Ini saya belajar dalam penjara kerana tanpa merasakan Allah bersama, rasanya saya boleh jadi gila,” katanya.

Satu lagi maklumat yang dikongsi petang itu ialah cerita oleh sukarelawan Turki, Mehmet Ali Zeybek, yang diberitahu kepada Noorazman sebelum beliau menyiapkan buku 69 Jam di Neraka Zionis.

Menurut Zeybek, komando Israel ada bertanyakan kepadanya siapa enam tentera berpakaian putih dengan ketinggian dua meter yang menjadi penghadang dalam tiga jam percubaan mereka untuk menawan Mavi Marmara.

Pastinya kebingungan, Zeybek menafikan kehadiran pihak dimaksudkan kerana yang ada di atas kapal hanya mereka, sukarelawan daripada kalangan orang awam yang tidak langsung bersenjata.

Merujuk pengalaman diserang, diculik dan dipenjara, Noorazman menyifatkan ia sebagai pengalaman yang terindah kerana walaupun hasrat mereka untuk ke Gaza tidak tercapai secara realiti tetapi simboliknya, keadaan di Gaza sudah dibawa ke Mavi Marmara.

“Apabila ada niat untuk membantu saudara Islam dan agama Allah, langkah seterusnya ialah melaksanakan niat itu. Allah akan bagi kekuatan kepada kita. Walaupun kami diikat dan tidak boleh hendak bergerak, ketika itu saya rasa ada satu kekuatan,” katanya.


Oleh Hasliza Hassan Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 06 Ogos 2012, 17 Ramadan 1433 H

Biar bersederhana buka puasa, sambut raya

Umat Islam diseru ganti sikap boros dengan amalan bersedekah

Amalan boros tidak dapat dielakkan setiap kali menjelang Ramadan. Boros dalam aspek makanan dan minuman, terutama sekali ketika membuat persiapan berbuka puasa, sama ada ketika membeli atau menyediakan makanan dan minuman melebihi keperluan hingga tidak mampu dihabiskan.

Seperti biasa, ketika berbuka dapat disaksikan ramai yang menikmati juadah seperti berpesta makanan dengan pelbagai macam hidangan. Tidak keterlaluan jika dikatakan majlis berbuka sering dijadikan acara ‘membalas dendam.’


Akibat makan terlalu banyak ketika berbuka, apabila hendak melaksanakan ibadah, mata mulai berat akhirnya menggagalkan mereka melaksanakan ibadah sunat yang amat dituntut pada Ramadan ini.

Meskipun berbelanja itu menjadi hak seseorang, tetapi hakikatnya Islam memandang perkara ini sebagai pemborosan melampau yang membawa kepada pembaziran. Bahkan ia telah melebihi had kecukupan atau keperluan seseorang.

Membeli pelbagai jenis makanan dan minuman kadangkala agak keterlaluan dan melampaui batas. Bagaimana ruang perut manusia yang begitu sempit dapat dimasukkan semua jenis makanan dan minuman, sekali gus akan berbaki atau lebihan makanan dibuang.

Untuk bersederhana ketika berbelanja untuk majlis berbuka puasa atau membuat persiapan untuk menyambut Aidilfitri, kita perlu berusaha mengehad dan mengawal kemahuan diri yang tidak terhad terlebih dulu.

Caranya ialah dengan berusaha menghapuskan nafsu jahat seperti nafsu ammarah, lawwamah atau mulhamah dan menggantikannya dengan nafsu baik (mahmudah), seperti nafsu mutmainnah, radhiyah, mardhiyah dan kamilah.

Hal ini boleh dilakukan dengan membersihkan hati (tazkiyah al-nafs). Apabila kemahuan mampu dihadkan, kepenggunaan pun dapat dihadkan. Akhirnya hal ini membawa kepada sikap berjimat cermat dan mengguna sekadar keperluan untuk memenuhi kemudahan hidup.

Justeru, mereka tidak lagi berbelanja atau mengguna secara berlebih-lebihan (boros) sehingga membawa kepada pembaziran. Amat mendukacitakan apabila pembaziran dilakukan ketika ada segelintir ahli masyarakat terlalu memerlukan bantuan.

Kedua, sentiasa mengingati dan mengenangkan nasib saudara seagama yang berbuka puasa atau menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kedaifan.

Mereka juga ingin menjamah makanan yang lazat dan pakaian baru seperti orang lain.

Namun, kedaifan mereka membuatkan mereka berbuka dan beraya dengan makan dan pakai apa saja yang ada. Oleh itu, alangkah baiknya jika kita menghapuskan amalan pemborosan dan pembaziran dengan menggalakkan amalan kebajikan seperti bersedekah. Sedikit bantuan atau sumbangan dihulurkan, Allah SWT akan menyediakan ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Amalan sebegini secara tidak langsung akan menggambarkan tujuan sebenar Allah SWT mensyariatkan puasa Ramadan, seterusnya melahirkan masyarakat penyayang dan berwawasan.

Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan berikanlah kepada keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang Muslim dan orang yang dalam perjalanan; dan janganlah kamu membelanjakan (hartamu) secara membazir (boros).” (Surah al-Isra’, ayat 26)

Allah SWT menggalakkan amalan bersedekah dan melarang amalan berbelanja secara berlebihan sehingga membawa kepada pembaziran. Oleh itu, marilah bersama meninggalkan sesuatu yang keji dan mengamalkan yang baik lagi terpuji.



Mohd Shukri Hanapi Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 06 Ogos 2012, 17 Ramadan 1433 H

Ibadat puasa tercela jika tidak hirau solat fardu

Keghairahan menjalani ibadat Ramadan, banyak perkara sering kita abaikan sehingga menjejaskan amalan di bulan mulia ini. Antara kesilapan dilakukan ialah ibu bapa begitu bersungguh-sungguh menyuruh dan melatih anak kecil berpuasa tetapi tidak memberi penekanan terhadap latihan solat.

Pendakwah bebas, Syed Mohd Norhisyam Tuan Padang, berkata penekanan terhadap amalan solat lebih diutamakan dengan Rasulullah SAW sendiri memerintahkan ibu bapa supaya menyuruh anak mereka bersolat ketika berusia tujuh tahun.

Katanya, tiada nas khusus mengenai umur diperintahkan berpuasa bagi kanak-kanak, tetapi ulama menyamakannya seperti perintah solat berdasarkan kemampuan anak-anak.

Di sini, menunjukkan perintah melatih anak supaya bersolat ketika berusia tujuh tahun lebih utama. Kesimpulannya, tidak salah menyuruh anak berpuasa tetapi pada masa sama perlu bersungguh-sungguh melatih mereka solat, katanya.

Katanya, kesilapan lain yang sering dilakukan ketika Ramadan ialah bersungguh-sungguh melaksanakan solat tarawih secara berjemaah yang hukumnya sunat tetapi mengabaikan solat Subuh dan fardu lain secara berjemaah yang lebih dituntut.

Ke masjid ketika Ramadan

Malah, ada yang ke masjid ketika Ramadan saja, tetapi tidak ke masjid untuk berjemaah di bulan lain. Lebih malang katanya, mereka yang berpuasa tetapi meninggalkan solat terutama solat Subuh dan Asar.

Ramai yang ambil mudah bab solat ini, solat Subuh tinggal kerana sepanjang malam habiskan masa menonton Olimpik, apabila masuk Subuh tidak terjaga.

Bagi yang bekerja, keluar pejabat tidak solat Asar dulu, kemudian terperangkap kesesakan lalu lintas dan setibanya di rumah, masuk waktu berbuka.

Ada juga yang berbuka di luar seperti restoran dan hotel, disebabkan leka makan dan lepak selepas makan hingga habis waktu Maghrib lalu terlepas waktu solat. Bukankah ini kerugian sangat besar? katanya.

Beliau turut menegur wanita yang mendedahkan aurat kerana tindakan itu bukan hanya mengurangkan pahala puasa tetapi juga mengeringkan pahala orang lain iaitu bukan muhrim yang melihatnya.

Syed Mohd Norhisyam berkata, umat Islam tidak sepatutnya menjadikan bazar Ramadan sebagai lokasi kunjungan wajib setiap hari kerana membeli makanan ketika lapar selalunya mendorong kepada pembaziran.

Begitu juga niat murni bertadarus al-Quran yang menjadi amalan pada Ramadan tetapi biarlah ia dilakukan mengikut tertib, bukan semata-mata kerana hendak khatam segera.

Tadarus bermaksud seorang membaca dan ahli kumpulan mendengar serta menegur jika ada kesilapan bacaan bukannya membaca beramai-ramai atau membahagi bahagian yang perlu dibaca supaya khatam segera.

Bacaan perlu betul tajwid

Bacaan perlu dihayati dan betul tajwidnya seperti yang Rasulullah SAW mengulang kaji al-Quran bersama Jibril di bulan Ramadan, katanya.

Katanya, banyak perkara sunat menjadi rebutan umat Islam pada bulan puasa untuk mendapat ganjaran berlipat ganda tetapi disebabkan kurangnya kefahaman, maka ibadat sunnah itu gagal dihayati.

Contohnya, sunnah Rasulullah SAW yang menggalakkan orang berpuasa supaya melewatkan bersahur tetapi apa yang berlaku, ramai mempercepatkan waktu sahur dengan menikmati hidangan pada waktu tengah malam sebelum tidur.

Amalan itu bukan saja tidak mendatangkan pahala tetapi boleh menjejaskan kesihatan terutama sistem penghadaman kerana mengambil makanan berat sebelum tidur.

Selain amalan sepanjang Ramadan, sambutan hari raya juga banyak yang tidak selari dengan ajaran sebenar Islam.

Allah menganugerahkan hari raya untuk hamba-Nya bergembira tetapi ada antara kita menjadikan hari raya hari kesedihan.

Amalan menziarahi kubur untuk mengingati kematian dan ia tidak seharusnya dilakukan hanya ketika hari raya untuk mengundang kesedihan.

Amalan ini boleh dilakukan pada bila-bila masa. Hari raya untuk bergembira dan dalilnya kita diharamkan berpuasa pada hari raya pertama, katanya.

Selain itu, ibu bapa tidak seharusnya mudah mengalah dengan tindakan anak yang enggan mengikut mereka menziarahi sanak saudara pada hari raya semata-mata hendak menonton televisyen. Akibatnya nanti, anak tidak kenal saudara mara.


Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 06 Ogos 2012, 17 Ramadan 1433 H

Lima kelebihan dalami kitab suci

Al-Quran yang padat dengan wahyu Ilahi seumpama sinaran cahaya menerangi kehidupan manusia sejagat ke arah kesejahteraan hidup dunia dan kebahagiaan akhirat.

Ibnu Taimiyyah pernah menegaskan, sesiapa yang tidak membaca al-Quran bermakna dia telah meninggalkannya (menjauhkannya); begitu juga sesiapa yang membaca al-Quran tetapi tidak pula memahami maknanya, dia juga telah meninggalkan al-Quran; dan sesiapa yang membaca al-Quran dan telah memahami maknanya, tetapi tidak mengamalkannya pula, dia tetap juga telah meninggalkan al-Quran. Sehubungan itu, kehadiran Ramadan sewajarnya dijadikan momentum terbaik dan peluang keemasan Muslim untuk bermuhasabah mengenai kepentingan kitab suci al-Quran dalam kehidupan Muslim serta pelbagai hikmah diperoleh.


Pertama, mendapat ganjaran pahala yang banyak, yang mana satu huruf diberi balasan sepuluh kebajikan seperti diriwayatkan Iman al-Tirmizi dalam hadis Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW bersabda: Sebaik-baik kamu ialah orang yang mempelajari al-Quran (membaca dan memahami maknanya) dan mengajarkannya. (Hadis riwayat Bukhari)

Perlu ditegaskan, membaca al-Quran bukan saja sangat digalakkan pada Ramadan, bahkan juga dianjurkan dalam bulan lain sepanjang tahun.

Walaupun begitu, Muslim digalakkan meningkatkan kuantiti dan kualiti pembacaan al-Quran pada Ramadan kerana Allah menyediakan ganjaran berlipat ganda kepada orang yang melakukan amalan soleh dalam bulan mulia ini.


Di samping itu, adab dan peraturan membaca al-Quran perlu dipelihara di samping setiap Muslim dituntut memperelokkan bacaannya supaya termasuk dalam koleksi amalan soleh. Rasulullah sering bertadarus al-Quran bersama Jibril sepanjang malam Ramadan.

Kedua, Allah SWT akan mengangkat darjat orang selalu membaca al-Quran, mempelajari isi kandungannya dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari.

Sabda Rasulullah SAW: Sesungguhnya Allah mengangkat darjat sesuatu kaum dengan Kitab al-Quran dan Allah merendahkan kaum yang lainnya (yang tidak mahu membaca, mempelajari dan mengamalkan al-Quran). (Riwayat Bukhari)

Orang yang membaca al-Quran selalu dekat dengan Allah SWT, bahkan membaca al-Quran adalah bermunajat secara langsung kepada Allah SWT.

Ketiga, mendapat ketenangan jiwa atau hati yang sangat luar biasa, di mana setiap ayat al-Quran yang dibaca akan menghasilkan ketenteraman.

Firman Allah SWT: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian juga. (Surah Al-Isra, ayat 82)

Keempat, mendapat syafaat dan perlindungan Ilahi pada hari Kiamat. Hal ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan Imam Muslim: Bacalah al-Quran oleh kamu sekalian, kerana bacaan al-Quran yang dibaca ketika hidup di dunia ini, akan menjadi syafaat dan penolong bagi para pembacanya di hari Kiamat nanti.

Justeru, perbanyakkan membaca al-Quran kerana bacaan al-Quran akan menjadi syafaat dan penolong pada hari Kiamat nanti, sedangkan manusia pada masa itu ramai yang sengsara dan menderita dengan kepayahan di hari perhimpunan agung di hadapan Allah SWT.

Kelima, orang yang rajin membaca al-Quran akan bebas daripada aduan Rasulullah SAW pada hari Kiamat nanti, di mana ada beberapa manusia diadukan Rasulullah SAW pada hari Kiamat di hadapan Allah SWT.

Manfaatkan sisa-sisa kehidupan berbaki yang Allah berikan untuk menghayati dan mengamalkan ajaran al-Quran. Janganlah disia-siakan kesempatan tiada ternilai, kerana al-Quran akan menjadi teman setia Muslim ketika sakaratul maut dan di dalam kubur.

Demikian lima keutamaan membaca al-Quran yang sewajarnya direbut setiap Muslim bertakwa, lebih-lebih lagi ketika berada di bawah naungan Ramadan yang penuh keberkatan. Bersegeralah melakukan amalan kebaikan sepanjang Ramadan untuk meraih kedudukan terbaik di sisi Allah SWT.

Sesiapa berpegang teguh dengan segala ajaran terkandung di dalamnya, maka dia akan berbahagia, sebaliknya sesiapa yang menolak atau meninggalkan ajaran al-Quran, maka dia termasuk dalam kalangan manusia tersesat.


Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 06 Ogos 2012, 17 Ramadan 1433 H

Ramadan pencetus budaya Iqra’, al-Quran hidayah daripada Allah

Al-Quran dalam surah al-Baqarah ayat 185 menyatakan Ramadan adalah bulan yang diturunkan al-Quran, sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan batil. Ia memberi maksud yang sungguh hebat untuk difahami dan dimengerti.

Tentu ada hikmah yang besar Allah SWT menurunkan wahyunya pada bulan Ramadan. Al-Quran terkandung petunjuk, pernyataan mengenai hal akidah, ibadah, syariah dan akhlak sebagai sesuatu yang amat utama. Al-Quran juga terkandung prinsip, kisah, pedoman dan peringatan supaya ia menjadi sumber rujuk untuk mendapatkan bimbingan dari Allah.

Bimbingan ini amat perlu bagi manusia lantaran dengan kekuatan akal manusia ia sangat terbatas. Keterbatasan akal manusia mengetahui atau memahami sesuatu menyebabkan penerimaan makna tidak berlaku.

Al-Quran sebagai hudan linnas

Al-Quran dihubungkan sebagai hudan linnas petunjuk untuk manusia dan hudan lil muttaqeen, petunjuk bagi orang yang bertaqwa. Begitulah hebatnya al-Quran tidak saja kebaikan ajarannya adalah untuk semua manusia tetapi secara khusus adalah untuk orang yang muttaqeen.

Sebab itu, Islam dihubungkan sebagai rahmah alamiah kerana prinsip dan ajarannya memberi kebaikan kepada umat manusia. Al-Quran memberi keutamaan kepada kepentingan ilmu yang benar dan ilmu yang bermanfaat umpamanya adalah baik untuk manusia dan baik juga untuk orang yang bertaqwa.

Al-Quran menganjurkan orang yang bertaqwa supaya mendukung yang makruf dan menghindarkan kemungkaran. Apabila yang bertaqwa memiliki jiwa tulus dan telus, amanah dan adil ia baik untuk semua manusia. Inilah kekurangan manusia pada hari ini mementingkan diri sendiri, tamak dan bakhil, berpura-pura, oportunis, menzalimi diri dan orang lain dan tidak telus dalam melakukan sesuatu.

Petunjuk yang datangnya dari al-Quran, tidak sekadar maklumat dan ilmu, prinsip dan pedoman, ia adalah hidayah dan barakah Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih. Hudan atau petunjuk bukan sekadar memberi pedoman sesuatu yang zahir tetapi juga batini menghubungkan sesuatu dengan Allah supaya hikmah memahami sesuatu sentiasa dalam reda-Nya.

Sekiranya manusia bertahan dengan kekuatan akalnya saja, ia tidak boleh menjawab persoalan ghaibiyyat yang ada pada agama. Al-Quran sebagai wahyu Allah membolehkan manusia melalui proses tadabbur tidak saja mampu berbicara mengenai yang nyata dan dapat menghubungkannya dengan yang ghaib iaitu Allah.

Membangun budaya Iqra’

Surah yang awal diturunkan dalam bulan Ramadan terhubung dengan budaya iqra’ atau baca yang memberi makna penerokaan terhadap ilmu. Membangun budaya iqra’ bermaksud bagi manusia dengan potensi akliahnya membangun kekuatan berfikir sekali gus dengan potensi rohaniahnya membangun kekuatan iman dan ihsan terhadap Pencipta.

Ilmu adalah suluh bagi manusia. Ia tidak saja memperjelaskan proses ingin tahu manusia terhadap sesuatu tetapi ia juga memberi kefahaman terhadap sesuatu itu dan natijah akhirnya menerima makna akan sesuatu itu. Al-Quran memberi fokus kepada rijal sebagai aspek pembangunan yang paling utama bukan teknologi dan kebendaan. Rijal penting dibangunkan budaya iqra’ ini supaya ia memiliki kualiti ihsan dan insan agar pengurusan dan pembangunan terhadap sesuatu berlaku dalam kerangka amanah dan kesejahteraan untuk manusia.

Sebab itu, iqra dalam konteks al-Quran bukan sekadar harfiah sifatnya untuk maksud pahala semata-mata apabila dibaca, tetapi kandungan tekstual (kitab) itu perlu terhubung secara kontekstual (realiti) supaya pemahaman terhadap realiti hidup, sejarah dan budaya menyebabkan kehidupan manusia terbimbing dan terpedoman.

Al-Quran antara tekstual dan kontekstual

Al-Quran terkandung hikmah yang membimbing manusia terhadap kebijaksanaan. Pembangunan rijal dan sistem tidak saja dirujuk kepada nas, berlaku khulasah dan tafsir tetapi ia diolah dalam kerangka syariah dan fekah supaya sistem dapat diaturkan terus berada dalam acuan syariat.

Ia mampu menjana ilmu dan pemikiran, pendekatan dan strategi, masalahah dan yang aula atau lebih utama supaya umat Islam mampu merancang dengan bijaksana, tidak gopoh terhadap situasi, memiliki daya tawakal yang tinggi, bersyukur dengan apa yang diterima, berusaha untuk terus maju dan memiliki daya kompetensi tinggi dan akhirnya menemui al-falah atau kemenangan secara istiqamah dan bijaksana.

Al-Quran mencela kelompok mustakjilun atau gopoh dengan retorik yang mengapi-apikan emosi dan kehendak atau kelompok pelampau yang tidak memahami waqi’ atau realiti lebih-lebih lagi kelompok yang cetek dan tumpul pembacaannya terhadap senario yang ada dan akhirnya terjebak dalam kemelut inginkan perubahan tetapi tidak memiliki daya untuk mengisi perubahan itu sendiri.

Oleh itu, amat penting dilakukan perimbangan yang bijak supaya yang dikejar itu dapat dan yang dikendung itu tidak berciciran. Emosi dan kehendak yang tidak terkawal dan kegopohan melaksanakan hasrat dan cita-cita sering menimbulkan fitnah dan sengketa sesama umat.

Al-quran merintis pembangunan Tamadun

Bayangkan Ramadan yang dilalui sebagai sekolah rohhiyyah yang melatih daya kawal diri insan dan disiplin rohaniah yang tinggi, keupayaan mengawal lidah dan nafsu, menjadikan amal - buat contoh teladan yang menjadi sumber ikutan , para abid yang terpancar jiwa ihsan yang tinggi adalah gambaran warga muttaqeen yang mampu mencetuskan zaman dan keadaan ke arah perubahan.

Justeru Ramadan yang dilalui, binaan rohaniah yang dialami dan mengembalikan insan kepada acuan fitrah yang tinggi membolehkan adab dan peradaban lahir. Dunia dan kehidupan hari ini amat memerlukan warga umat yang tidak saja berilmu tetapi amat peka dengan kualiti kemanusiaan tinggi dan akhlak mulia supaya sistem dan negara dapat dibina berasaskan acuan yang fitrah.

Bila Rasulullah SAW mengungkapkan , Addabani rabbi faahsana taa,dibi - Yang Allah, didiklah aku dengan didikan yang terbaik ia menggambarkan betapa pentingnya adab diri diperkasa bersumberkan kekuatan hati yang kental dengan rohaniah yang mantap.

Adab yang membawa kepada disiplin diri (ketangkasan berfikir) dan disiplin hati (keupayaan rohaniah yang tinggi) dan disiplin amal (kehebatan amal sebagai contoh ikutan) bakal mencetuskan kehebatan sistem yang tidak saja menawarkan kesejahteraan kepada manusia tetapi kekentalan hubungan dengan Khaliq sebagai Pencipta dan sumber ke atas segala.

Seperti juga lahirnya tamadun Islam yang bertahan berabad-abad berakibat eratnya hubungan ulama dan umara’ seperti berlaku di zaman al-Makmun, al-Mansor, Harun Ar Rashid dan Omar Ab.Aziz yang dicatat oleh zaman sebagai penyumbang tamadun unggul yang seharusnya menjadi sumber reflektif yang tinggi terhadap warga umat yang terkemudian.

Ilmu di zaman itu amat integratif iaitu kesepaduan antara ilmu al-Quran dan akal yang melahirkan warga pendukung tamadun seperti Ibn Suyuti, Ibn Sina, al Khawarizmi, Ibn Khaldun, Imam al Ghazali , Abu Qasim Az Zahrawi dan lain-lain dan menghasilkan peta zaman yang terukir dengan ilmu-ilmu diniah yang tinggi dan memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang.

Lahirnya tradisi kecendekiawan dalam bentuk karya dan penyelidikan hingga menghasilkan kitab besar seperti Qanun ibn Sina, Ihya Ulumuddin Imam al Ghazali, al Muqaddimah Ibn Khaldun dan banyak lagi yang memberikan rintisan kajian dan keilmuan dan tersohor sepanjang zaman.

Sikap terbuka di kalangan ilmuan Islam mengambil faedah berbanding dari budaya dan tamadun lain yang bermanfaat dan dengan daya saring yang tinggi dan diletakkan tasawwur ilmu itu dalam acuan yang Islami. Ilmuan seperti al Biruni menjelajah ke India memanfaatkan ilmu berbanding dalam disiplin matematik, sains, astronomi menggunakan kekuatan bahasa Hind yang dipelajarinya dengan baik. Itulah lambang kehebatan silam yang sepatutnya menjadi sumber teladan pada masa kini.



Oleh Sidek Baba
PENULIS ialah Profesor Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Sumber:
Utusan Malaysia Online Agama 6 Ogos 2012 17 Ramadhan 1433H

Perginya ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram

SYEIKH Mohammad Abdul Qadir Al-Mandili yang merupakan ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram, Mekah meninggal dunia pada 31 Julai lalu pada usia 73 tahun.

Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada umat Islam terutamanya masyarakat dan dunia Melayu. Beliau merupakan antara tokoh agama di dunia Melayu yang berjaya mendapat tempat di Mekah, khususnya Masjidil Haram.

Sebenarnya, sejak sekian lama, ramai golongan pandai agama dunia Melayu yang merantau sehingga Tanah Suci untuk belajar dan mendalami ilmu agama, dan tidak terkecuali Syeikh Mohammad.

Beliau merupakan anak kepada Syeikh Abdul Qadir yang juga merupakan ulama dan guru di Masjid Haram lahir di Alor Setar pada 1939 turut terkenal di Indonesia, Patani dan Manila. Ayahnya berasal daripada Mandiling, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia ketika berusia 14 tahun. Beliau belajar agama di pondok Gajah Mati, Kedah dan ketika itu hidupnya sering dihimpit kesulitan.

Sebelum penjajahan Jepun, Syeikh Abdul Qadir berhijrah ke Mekah dan meneruskan pengajian di Masjidil Haram. Ketika itu belum wujud universiti dan Masjidil Haram dianggap universiti.

Penghijrahan ayahnya ini membuka laluan kepada Syeikh Mohammad dan adik-beradiknya yang lain turut berpindah sama dan peluang ini digunakan untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Mekah.

Selepas mendapat bimbingan alim ulama di Masjidil Haram, ayah beliau kemudian ditawarkan menjadi guru agama di situ hinggalah beliau meninggal dunia ketika berumur 56 tahun.

Bagi Syeikh Mohamad pula, pendidikan awalnya bermula di Madrasah Darul Ulum, Mekah yang diasaskan oleh rakyat Malaysia dan Indonesia. Selepas itu beliau mendalami lagi ilmu melalui bimbingan ayahnya sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Madinah.

Sebelum mengikut pengajian di Universiti Madinah, beliau belajar dengan ayahnya di Masjidil Haram selama tujuh tahun dan merupakan kumpulan pelajar pertama diterima masuk Universiti Islam Madinah.

Beliau pernah dilantik sebagai Jemaah Ahli Syura Urusan Agama Masjidil Haram di Mekah dan bekas guru di Maahad Al-Haram di Mekah serta dihantar ke Asia Tenggara oleh Darul Ifta, Arab Saudi untuk memerhati hal-ehwal agama.

Syeikh Mohammad terkenal di kalangan Jemaah dari Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara lain kerana peranan beliau mengajar selepas Maghrib di Masjidil Haram. Beliau antara 15 guru agama yang dipilih memberikan kelas agama dan merupakan anak Melayu tunggal.

Antara keistimewaan yang diperolehi beliau semasa mengajar adalah pihak pentadbir masjid turut menyediakan kerusi khas untuknya di sudut masjid itu.

Setiap kali selepas solat Maghrib, satu sudut di Masjidil Haram bergema bagaikan suasana masjid kampung apabila Syeikh Mohammad muncul untuk memberi ceramah di sudut yang terletak berhampiran Kaabah dan selari dengan Hajaratul Aswad.

Semasa menyampaikan kelas atau ceramah, Syeikh Mohamad akan mengenakan jubah dan berkopiah yang ditutup kain serban serba putih dan dengan raut wajahnya yang bersih dan tenang, beliau menyampaikan ceramahnya dengan cara bersahaja dan sekali sekala menggunakan loghat utara.

Walaupun menetap di Mekah sejak remaja, beliau masih mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih sehingga menimbulkan kehairanan di kalangan jemaah.

Beliau sering pulang ke Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan sahabat-handai.

"Kawan kawan hairan bagaimana setelah lebih setengah abad saya tinggal di Mekah, saya masih fasih berbahasa melayu," beliau dilaporkan pernah berkata.

Beliau menetap di kawasan Awali, tidak jauh dari kota Mekah. Hasil perkongsian hidup dengan dua isterinya, Syeikh Mohammad dikurniakan 18 anak.

Cara hidup Melayu masih sebati dengan jiwanya walaupun sudah lama di perantauan. Ketika di rumah, beliau lebih selesa memakai kain dan baju Melayu serta bercakap Melayu dengan anggota keluarga.

Bagi Syeikh Mohamad, kemewahan tidak datang bergolek dan ketika mula menjadi guru agama dulu, beliau terpaksa mengambil upah menjahit kerana gaji terlalu kecil.

Pengalaman lampau membuatkan beliau bersikap pemurah dan menurut para temannya, boleh dikatakan hampir setiap kali selepas ceramah, beliau akan menjemput orang ramai kerumahnya dan menjamu mereka dengan nasi bukhari.

Kedudukan dan peranan Syeikh Mohammad sebagai ulama dan guru di Masjidil Haram merupakan suatu yang dibanggakan apatah beliau merupakan anak Melayu, sekali gus membuktikan dunia Melayu mampu mengeluarkan tokoh penting agama.


Oleh ZAINAL MOHD. JAIS Sumber: Utusan Malaysia Online Agama 06/08/2012 17 Ramadhan 1433H