August 7th, 2012

Boleh solat sunat selepas witir

Islam menganjurkan kita melaksanakan solat witir untuk menambahkan ketakwaan kepada Allah Taala. Ia juga adalah solat malam yang penting dilakukan umat Islam sepanjang masa.

Sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya Allah Taala menyediakan kamu dengan solat lebih baik bagi kamu dari unta merah dan ia untuk kamu (masanya) dari solat Isyak hingga terbit fajar iaitu witir, witir (disebut dua kali).” (Riwayat al-Baihaqi)




 اَلْوِتْرَ(Al-witir) secara bahasa bermaksud jumlah yang ganjil seperti sekali, tiga kali, lima kali dan seterusnya. Ianya seperti sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:

وَهُوَ وَتْرٌ يُحِبُّ الْوَتْرَ

Maksudnya:

Dan Dia (yakni Allah Subhanahu wa Ta’ala) itu ganjil (Tunggal atau Maha Esa)  dan mencintai yang ganjil. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Da’waat, no: 6410.


Al-Witir secara syarak bermaksud solat sunat yang dikerjakan di antara solat Isyak hingga munculnya fajar yakni masuknya waktu subuh dan ianya menjadi penutup bagi solat malam. Ianya digelarkan sebagai al-Witir kerana jumlah rakaatnya adalah ganjil seperti 1 rakaat, 3 rakaat, 7 rakaat, 9 rakaat dan seterusnya. Solat Witir ini tidak boleh dikerjakan dalam jumlah rakaat yang genap.


Solat witir hukumnya sunat muakkad bagi kebanyakan ulama, bahkan ia amat digalakkan syarak seperti hadis daripada Abi al-Darda’ bermaksud: “Kekasihku (iaitu Rasulullah SAW) telah berwasiat kepadaku tiga perkara antaranya ialah supaya aku mengerjakan (solat) witir sebelum tidur.”

Sabda Nabi SAW: “Solat witir itu hak bagi seorang Muslim. Maka sesiapa suka solat witir lima rakaat maka lakukanlah, sesiapa suka melakukan tiga rakaat maka lakukanlah dan sesiapa yang suka melakukan satu rakaat maka lakukanlah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Solat witir dilakukan sekurang-kurangnya satu rakaat mengikut kebanyakan ulama. Adapun sebanyak-banyak ialah 11 rakaat dan dilakukan secara witir (ganjil) iaitu tiga, lima, tujuh, sembilan dan 11.

Bolehkah solat sunat selepas solat witir sedangkan solat witir sunat dilakukan di akhir malam? Imam Nawawi menjawab, “Dibolehkan solat sunat selepas melakukan sembahyang witir dan tidak perlu lagi menunaikan solat witir buat kali kedua.”

Ia bersandarkan hadis Nabi SAW: “Tiada dua solat witir pada satu malam.” (Riwayat al-Tirmizi)
Diriwayatkan daripada Imam Ahmad bin Hanbal apabila ditanya mengenai orang yang meninggalkan solat witir, beliau menjawab, “Itulah orang yang fasik yang tidak diterima penyaksiannya.”

Walaupun bagi Imam Ahmad solat witir hanyalah sunat, tetapi ini menunjukkan besarnya kelebihan solat witir hingga sesetengah ulama tidak menerima syahadah atau penyaksian sekiranya seseorang tidak melakukan solat witir.

Melihat kepada gesaan dan galakan Allah SWT dan Rasul-Nya, menggambarkan kepentingan solat witir terhadap kehidupan seorang Muslim hingga ulama mazhab Hanafi menganggapnya sebagai wajib.




Sumber: Buku Ensiklopedia Ramadan Berita Harian Online Agama Selasa , 07 Ogos 2012, 18 Ramadan 1433 H

Ramadan jihad lawan hawa nafsu

Kesungguhan mempraktikkan ajaran agama seperti solat dan puasa pada Ramadan turut mengandungi falsafah jihad yang murni. Bukan mudah untuk istiqamah melaksanakannya dengan pelbagai ujian dalam mendidik nafsu terpaksa dilalui sebelum beroleh kemenangan dijanjikan.

Beberapa peristiwa penting menunjukkan kegigihan dan kesabaran umat Islam terdahulu patut dijadikan iktibar. Walaupun dalam keadaan berpuasa, tentera Islam pimpinan Baginda Nabi Muhammad SAW pernah melalui beberapa siri peperangan dan beroleh kemenangan. Contohnya, peristiwa Perang Badar al-Kubra yang berlaku tanggal 17 Ramadan tahun kedua hijrah jelas menunjukkan puasa bukan penghalang kejayaan.

Begitu pula bilangan yang ramai belum tentu menjanjikan kemenangan jika tidak disertai semangat juang yang tinggi dan bertawakal kepada Allah SWT. Pembukaan Kota Makkah pada tahun kelapan hijrah, Peperangan Tabuk (sembilan hijrah) dan peristiwa penaklukan Bumi Palestin oleh Salahuddin al-Ayubi pada 584 hijrah turut berlaku ketika Ramadan.

Ia sekali gus menunjukkan umat Islam sebenarnya memiliki kekuatan spiritual dan fizikal pada paras tertinggi ketika sedang berpuasa. Malah, tidak salah jika dikatakan Ramadan adalah bulan kemenangan dan kejayaan bagi Muslimin secara umumnya.

Di sisi lain, golongan remaja dan muda-mudi terutama yang masih di bangku sekolah mahupun di menara gading selayaknya menghayati semangat jihad golongan terdahulu dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya menyumbang bakti kepada pertiwi.

Masa muda, anugerah tidak ternilai hendaklah digunakan untuk aktiviti berfaedah dan memberi impak tinggi demi kelangsungan agama dan bangsa sendiri. Elakkan terbabit berbuat dosa dan maksiat sepanjang masa sehingga ajal datang menjelma tanpa bersedia dengan bekalan secukupnya.

Umat Islam secara umumnya diseru bersatu atas nama akidah dan kepercayaan kepada Tuhan Yang Maha Esa untuk menggembleng tenaga memajukan bangsa dan negara. Perbalahan dan perselisihan berpanjangan mesti dielakkan jika tidak ia bakal menghilangkan kekuatan kesatuan umat Islam sehingga mudah diperkotak-katikkan oleh musuh.

Perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana apabila nasi sudah menjadi bubur, kenikmatan dan keharmonian yang wujud pada hari ini tidak dapat lagi diwarisi oleh generasi terkemudian.

Allah SWT berfirman: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Dan apa saja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya.” (Surah al-Anfal, ayat 60)

Kesediaan menginfaqkan harta ke jalan Allah SWT juga suatu bentuk jihad yang dituntut kerana harta sangat dicintai dan sukar untuk seseorang memberikannya kepada yang lain kecuali jika dipaksa.

Segala pemberian yang ikhlas semata-mata mengharap maghfirah daripada-Nya pasti akan diberi balasan setimpal.

Sesungguhnya jihad masa kini tidak hanya tertumpu kepada usaha mengangkat senjata menentang kezaliman semata-mata. Skopnya luas termasuklah jihad menjawab segala tohmahan dan usaha keji memburuk-burukkan Islam serta umatnya di ruang siber.

Sarjana Islam dan ulama secara khususnya boleh menggunakan media baru bukan saja sebagai senjata untuk menangkis dakyah dan fitnah songsang, tetapi juga medium dakwah yang sangat berkesan dewasa ini.

Menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara keamanan dan kedamaian dikecapi dengan menunjukkan rasa kesyukuran tidak berbelah-bahagi atas nikmat pemberian Allah SWT.

Kesyukuran itu dibuktikan lagi dengan kesediaan semua untuk menabur bakti kepada agama, bangsa dan negara dengan apa juga kaedah yang diredai-Nya. Pada masa sama segala perkara mengundang kemurkaan-Nya hendaklah dijauhi dan dihindari daripada kehidupan selama-lamanya.




Oleh Mohd Ali Muhamad Don Sumber: Berita Harian Online Agama Selasa , 07 Ogos 2012, 18 Ramadan 1433 H

Khidmat terbaik juga satu sedekah

Penghayatan semangat Ramadan dalam segala bidang kukuh sahsiah diri

Apabila bekerja pada Ramadan, fikiran dan hati kita sewajarnya diisi dengan semangat dan keinginan untuk menggandakan usaha sama ada secara kuantiti mahupun kualiti sesuai gandaan ganjaran, kemuliaan serta keistimewaan Allah SWT anugerahkan di bulan penuh kerahmatan ini. Atau sebaik-baiknya kita berusaha menampung serta menggantikan sebarang bentuk kekurangan kerja semalam demi merebut dan bersyukur dengan segala limpahan yang Allah SWT janjikan pada bulan ini.

Diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mengerjakan (pada Ramadan) secara sukarela satu perkara daripada perkara kebaikan (sunat), maka dia seperti orang yang menunaikan kefarduan pada masa yang lain. Sesiapa menunaikan (pada Ramadan) suatu kefarduan, maka dia seperti orang yang menunaikan 70 kewajipan pada masa yang lain.”

Bulan Kualiti

Justeru, saya tertarik apabila ada organisasi mengadakan Bulan Kualiti pada Ramadan. Program diatur boleh mengingatkan dan mencabar kesungguhan diri bagaimana kita boleh menjana kualiti serta meningkatkan prestasi lebih baik berbanding bulan lain.

Ramadan sering dirujuk bulan memperbanyakkan beribadat dan bersedekah, sedangkan selain daripada itu tidak pula dianggap sebagai ibadat. Menghulur selain daripada wang ringgit dan harta pula, tidak difahami sebagai suatu sedekah.

Kefahaman ini jika dibiarkan boleh mencacatkan suasana dan hasil kerja pada bulan ini. Atas semangat ini juga kita menyemarakkan kegigihan bekerja dengan sukarela dan senang hati sambil memujuk diri bersabar menghadapi segala kesulitan dalam keadaan berpuasa sebagai suatu latih tubi.

Pengertian sedekah lebih luas

Justeru, menyegerakan urusan bagi sesuatu permohonan, mempercepatkan pembayaran, menjawab panggilan telefon serta melayan pelanggan semasa waktu rehat juga antara contoh ibadat dan sedekah di tempat kerja.

Menurut Islam, setiap kebaikan itu nilainya adalah ibadat dan apabila Allah SWT memerintahkan kita menafkahkan sebahagian harta ke jalan-Nya, tujuannya adalah sebagai tanggungjawab sosial dan untuk mengelak keburukan pada diri pemilik.

Kefahaman dan semangat inilah maka Prof Dr Yusof al-Qaradawi melebarkan maksud sedekah dalam bukunya Dawru al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad Islamiy.

Sumbang buah fikiran

Salah satu caranya ialah bersedia menyumbang tenaga dan buah fikiran di tempat kerja tanpa dipaksa, menunggu arahan atau mengharapkan pujian. Inilah antara maksud mendalam yang terkandung dalam konsep sedekah meliputi segala kemampuan dimiliki.

Segala keupayaan dan kemampuan inilah menjadi modal dan ‘harta’ bersedekah. Firman Allah SWT: “Orang yang menafkahkan hartanya di malam dan siang hari secara tersembunyi dan terang-terangan, maka mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan (pula) mereka bersedih hati.” (Surah al-Baqarah, ayat 274)

Konsep kerja

Jika konsep sedekah diterjemahkan dalam bekerja, beberapa parameter atau bentuk bersedekah ialah melakukan sesuatu kerja dengan inisiatif sendiri tanpa arahan tertakluk kepada bidang kuasa dan peraturan.

Menyiapkan kerja lebih awal atau dalam tempoh dikehendaki tanpa perlu diberikan peringatan berulang, bersedia memperuntukkan lebih masa untuk kerja, melayani pelanggan atau melayan panggilan telefon walaupun di luar waktu pejabat.

Usaha ini walaupun kemungkinan sukar untuk dipertimbangkan pada bulan lain tetapi pada Ramadan yang mana Allah SWT menjanjikan ganjaran berlipat kali ganda, menjadikan kita lebih ringan tulang.

Usaha ini menjadikan Ramadan madrasah untuk melahirkan insan lebih baik bukan sekadar pada ibadat khususnya seperti solat, zikir dan tadarus malahan juga pada kerjaya.

Kefahaman yang betul mengenai ibadat dan sedekah kerja ini bukan sekadar bermanfaat untuk organisasi tetapi juga setiap kita supaya semangat Ramadan diserapkan dalam segenap keadaan, sekali gus membentuk kekuatan sahsiah.

Menurut pandangan Pendeta Zaaba, antara kelemahan masyarakat ialah apabila lemahnya sahsiah yang antaranya terlalu bergantung kepada orang lain, kurang hemah dan lemah cita-cita.




Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)Sumber: Berita Harian Online Agama Selasa , 07 Ogos 2012, 18 Ramadan 1433 H

Perang, politik kuasa dan bantuan kemiskinan

Duduk di Makkah dan Madinah beberapa hari – di luar masjid, membaca akhbar, majalah dan menonton televisyen serta merenung ragam manusia – tergambar pelbagai realiti sedang dihadapi umat Islam.

Hebatnya pembangunan fizikal – bangunan, jalan dan pusat beli-belah – di kota Makkah dan Madinah, terasa mulai merubah suasana ibadah yang tenteram di kedua-dua kota suci ini. Pembangunan ini disebabkan lonjakan keperluan jemaah yang berlipat kali ganda mengunjungi kedua-dua kota ini sepanjang tahun. Maka yang mendorong pembangunan fizikal ini bukan kegiatan perindustrian dan hasil minyak, tetapi kerana anugerah Allah adanya Masjidil Haram serta Kaabah dan Masjid Nabawi serta makam Rasulullah. Padang pasir dan bukit batu bertukar jadi bangunan moden puluhan tingkat. Tiada lagi hotel lama dan murah di sekeliling masjid. Teras seperti berada di kota pelancongan baru. Tanda dunia sudah menuju ke akhir zaman.

Perang saudara di Syria sudah sangat parah, sedang Iraq terus diledak peluru dan bom. Kedua-dua pihak menggunakan pelbagai senjata moden dikeluarkan orang bukan Islam. Ini bukan lagi persaingan kuasa antara rakyat dan pemerintah sebangsa seagama, tetapi perang terbuka yang ganas – dalam Ramadan al-Mubarak!

Regim autoritarian Presiden Bashar al-Assad mungkin tewas selepas markas rahsia tempat sidang menteri pun boleh diletupkan dengan bom dari dalam. Siapakah sebenarnya akan menang nanti?

Kemunculan golongan disifatkan pejuang demokrasi di dunia Arab-Islam sejak pemberontakan di Tunisia tahun lalu, menimbulkan tanda tanya. Apakah akhirnya negara umat Islam akan betul-betul merdeka dan demokratis atau sejarah akan berulang – kembali dijajah kuasa Barat apabila raja dan presiden autokratik digantikan dengan ‘presiden rakyat’ yang terpaksa tunduk kepada kuasa luar?

Di Libya umpamanya, bakal presiden baru melalui keputusan pilihan raya pertama sejak 1964 – Mahmoud Jibril 60, ialah ahli ekonomi lulusan Amerika Syarikat. Sekembalinya dari Amerika pada 2007, Jibril jadi penasihat kepada Qaddafi dan anaknya Saif. Tetapi beliau cepat meninggalkan Qaddafi dan menyertai golongan pemberontak sebaik saja pemberontakan bermula.

Apakah permusuhan dan perang antara golongan Sunni dan Syiah membabitkan Iraq, Iran, Turki dan Arab Saudi akan berterusan hingga hancur lebur kuasa umat Islam? Apakah ini nafsu syaitan atau kebodohan atau balasan Tuhan?

Di negara kita pun umat Islam tidak boleh bersatu untuk menegakkan kuasa dan kesejahteraan umat. Apakah perpecahan ini ada hikmahnya? Agar siapa-siapa pun yang mendapat kuasa tidak lupa janji Allah yang bermaksud: “Akan memberikan kerajaan kepada siapa yang Dia kehendaki dan akan mencabut kerajaan itu daripada siapa yang Dia kehendaki. Akan muliakan siapa yang Dia kehendaki dan menghinakan siapa yang Dia kehendaki. Di tangan Dialah terpegang segala kebaikan. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa terhadap apa saja.” (Ali Imran: 26-27). Ayat ini sering kita wirid selepas solat.

Di negara kecil, di Abu Dhabi, pada suatu petang, berkumpul saudara mara dan pendukung ‘Crown Prince’ yang memegang kuasa politik-ekonomi-tentera, untuk mendengar ceramah Ramadan di Istana Al Bateen. Penceramahnya Profesor Abhijit Banerjee, Profesor Ekonomi dari Massachusetts Institute of Technolgy (MIT). Kehadiran ‘Crown Prince’ menunjukkan minat dan penghormatan kepada seorang profesor dari Amerika!

Tajuk ceramahnya mengenai “Apakah cara terbaik memberikan bantuan yang berkesan kepada golongan miskin agar mencapai faedah yang maksimum.” Sesuai dengan Ramadan, ceramah begini lebih berfaedah daripada berpolitik, apa lagi berperang sesama sendiri.

Prof Banerjee mengemukakan beberapa pendapat, konsep dan soalan salah mengenai pemberian bantuan. Umpamanya: “Berikan saya bantuan. Saya akan hapuskan kemiskinan. Atau adakah bantuan boleh menamatkan kemiskinan? Atau sama ada bantuan diberikan untuk memancing kesetiaan? Dan adakah program kerajaan dilaksanakan selepas bantuan diberikan?”

Kata Prof Banerjee, berbilion dolar, beratus pertubuhan dan badan dermawan dan juga ribuan institusi sukarela menumpukan usaha membantu golongan miskin di seluruh dunia. Tetapi kerja mereka kebanyakannya didasarkan atas andaian yang tidak diuji dan pendapat salah. Tujuan mereka memberikan bantuan semata-mata, tidak untuk merubah kehidupan.

Menurut Prof Banerjee: “Kami telah menjalankan eksperimen lebih 15 tahun di Chile, India, Kenya dan Indonesia. Hasilnya menunjukkan ada aspek baru dalam perilaku golongan miskin, keperluan mereka dan bagaimana bantuan kewangan memberi kesan kepada kehidupan mereka.”

“Nampaknya televisyen lebih penting daripada makanan. Menambahkan pendapatan keluarga miskin tidak semestinya menambahkan makanan berzat.”



E-mel ke rencanabh@bharian.com.my untuk berkongsi pendapat

Noor Azam Sumber:
Berita Harian Online Rencana Selasa , 07 Ogos 2012, 18 Ramadan 1433 H

Jaminan syurga

DI antara keistimewaan Nabi Muhammad SAW yang mendapat perhatian dan pengkajian di kalangan ahli ilmu ialah tentang kemampuan baginda menjamin tanah syurga. Keistimewaan ini telah disebut oleh al Hafiz al Suyuti, al Qustallani dan al Zurqani dalam syarahnya bagi kitab al Mawahib al Ladunniyyah. Perkara sedemikian pernah diisyaratkan oleh Rasulullah SAW melalui sabdanya: "Aku hanyalah pembahagi dan Allahlah Pengurnia."

Jika pepatah syurga di bawah telapak kaki ibu itu benar, mengapa tidak benar kenyataan yang menegaskan bahawa syurga itu di bawah titah Nabi Muhammad SAW? Bahkan di bawah telapak kaki baginda? Walau bagaimanapun, maknanya adalah sama dan diketahui sesiapapun, meskipun bagi orang yang mempunyai serendah-rendah ilmu.

Ia merupakan ungkapan majazi (kiasan) yang bermaksud, untuk sampai ke syurga, mesti melalui jalan melakukan kebaikan dan berkhidmat kepada kedua ibu bapa, terutama kepada ibu. Jika ia dinisbahkan kepada nabi SAW, bererti untuk memasuki syurga disyaratkan supaya mentaati, mengasihi dan menyokong baginda.

Jaminan


Melaksanakan perintah Allah SWT adalah kewajipan yang membawa ganjaran syurga. - Gambar hiasan

Makna menjamin tanah syurga ialah Nabi SAW menjadi penjamin masuknya sebahagian para sahabat ke dalam syurga. Jaminan ini telah diperoleh oleh orang-orang yang menyaksikan Perjanjian 'Aqabah.

Ubadah ibnu Somit r.a. meriwayatkan dengan katanya: "Saya termasuk di antara orang yang menghadiri Perjanjian 'Aqabah yang pertama. Dalam perjanjian tersebut, kami membai'ah Rasulullah SAW untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatupun, tidak mencuri, tidak berzina, tidak akan membunuh anak-anak kami, tidak akan melakukan pendustaan besar yang kami ada-adakan di antara kami dan tidak akan menderhakai Nabi SAW."

Baginda SAW bersabda: "Jika kalian menyempurnakan bai'ah ini, maka bagi kalian syurga. Tetapi jika kalian mengingkari sesuatu daripada itu, maka urusan kalian diserahkan kepada Allah, jika Dia menghendaki Dia akan menyeksa kalian dan jika Dia berkenan, Dia akan mengampuni kalian."

Dalam sahih Muslim disebutkan dengan jelas bahawa bai'ah tersebut disertakan dengan jaminan masuk syurga. 'Ubadah ibn Somit RA berkata: "Saya termasuk di antara pemimpin yang membai'ah Rasulullah SAW."

'Ubadah berkata lagi: "Kami membai'ah Rasulullah SAW untuk tidak lagi menyekutukan Allah dengan sesuatupun, tidak mencuri, tidak berzina, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah, kecuali dengan jalan yang hak, tidak merampas dan tidak menderhaka. Kami dijanjikan syurga jika kami melakukan perkara-perkara tersebut."

Dalam satu riwayat disebutkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa menyempurnakan bai'ahnya, maka baginya balasan syurga."

Menurut riwayat Qatadah r.a., mereka yang berbai'ah itu berkata: "Wahai Rasulullah! Apa hak kami jika kami memenuhi bai'ah itu?" Baginda menjawab: "Syurga."

Menurut riwayat Ibnu Mas'ud r.a., bahawa Nabi SAW bersabda: "Apabila kamu telah melaksanakan (bai'ah) itu, maka bagi kamu hak Allah dan aku untuk memasukkan kamu ke dalam syurga."

Diriwayatkan daripada Abdullah ibnu 'Abbas r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda: "Disediakan bagi para nabi mimbar khusus daripada cahaya, mereka semua duduk di atasnya. Yang tinggal (kosong) cuma mimbar saya. Iaitu saya tidak duduk di atasnya, tetapi saya berdiri di hadapan Tuhan dalam keadaan bimbang jika saya diutuskan ke syurga, sedangkan umat saya masih tercicir. Maka saya berkata "Wahai Tuhan! Umat saya, umat saya!" Allah berfirman: "Wahai Muhammad! Apakah yang engkau ingin Aku lakukan terhadap umatmu?" Saya pun menjawab: "Wahai Tuhan saya! Percepatkanlah hisab mereka." Lalu mereka pun dipanggil, kemudian dihisab. Di antara mereka, ada yang masuk ke dalam syurga dengan rahmat-Nya dan ada yang masuk ke dalam syurga dengan berkat syafaat.

Maka saya terus memberi syafaat sehinggalah saya memberikan tiket masuk ke syurga untuk beberapa orang yang telah dihalau masuk ke dalam neraka. Sehinggakan Malik malaikat penjaga neraka berkata: "Wahai Muhammad! Engkau tidak sekali-kali meninggalkan pada umatmu suatu peluang bencana (azab) pun untuk kemurkaan Tuhanmu."


Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/08/2012

Puasa pintu ibadah

SIAPA yang tidak mahu mendapatkan sesuatu secara berganda. Bayangkan kita membeli sebuah kereta mewah dan diberikan lagi percuma sebuah, malah sehingga lebih 70 kereta secara percuma.

Kedengaran agak melucukan, namun begitulah perumpamaan kelebihan ganjaran yang Allah SWT janjikan kepada umat Islam yang melakukan amal ibadah pada bulan mulia iaitu Ramadan yang sedang kita lalui sekarang.

Terasa amat rugi jika kita tidak mengambil peluang memanfaatkan kelebihan bulan ini di mana di dalamnya terdapat satu malam yang bersamaan seribu bulan.


Selain dijanjikan oleh Allah SWT ganjaran berlipat kali ganda, bulan Ramadan yang disyariatkan
berpuasa kepada umat Islam merupakan pintu kepada ibadah. - Gambar hiasan


Tanpa kita sedari, pantasnya masa berlalu, Ramadan bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi. Bagi mereka yang benar-benar menghayati bulan yang penuh istimewa ini pasti terasa amat berat untuk meninggalkannya.

Bulan Ramadan yang dijanjikan pelbagai kelebihan itu hanya tiba sebulan dalam setahun. Tiada siapa dapat menjamin akan peluang untuk menemuinya pada tahun akan datang.

Pendakwah terkemuka, Datuk Ismail Kamus berkata, selain dijanjikan ganjaran berlipat kali ganda, bulan Ramadan yang disyariatkan berpuasa kepada umat Islam merupakan pintu kepada ibadah.

Ini kerana katanya, melalui berpuasa dapat menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan untuk menghasut manusia daripada melakukan amal kebajikan dan meninggalkan pelbagai perbuatan mungkar.

"Amalan berpuasa adalah menahan diri daripada makan dan minum. Oleh itu dengan cara berlapar menjadikan saluran darah dalam tubuh manusia yang menjadi laluan syaitan akan mengecil.

"Justeru dengan melaksanakan puasa dapat menyempitkan laluan syaitan itu daripada melalui tubuh manusia dan menghasut fikiran kita untuk melakukan perkara-perkara mungkar.

"Malah, dengan itu, kita perlu mengambil peluang menjadikan bulan puasa sebagai salah satu bulan untuk muhasabah diri dan meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ceramah umum sempena sambutan Ramadan 2012 di Madrasah al-Ikhsaniah, Pangsapuri Bukit Baru, Keramat Hujung, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tambahnya, terdapat tiga kategori atau tingkat orang yang berpuasa iaitu puasa umum, puasa khusus dan puasa khususul khusus.

"Puasa umum adalah orang yang hanya mendapat penat, lapar dan dahaga sahaja tanpa diberikan apa-apa ganjaran daripada Allah SWT. Ini kerana, puasa umum adalah puasa orang yang tidak berusaha mencegah daripada melakukan perbuatan mungkar dan juga meninggalkan perintah Allah SWT yang lain.

"Puasa Khusus pula adalah puasa orang yang sentiasa menjaga tingkah lakunya daripada melakukan perbuatan mungkar dan menunaikan perintah Allah SWT yang lain, di samping memperbanyak amalan sunat.

"Manakala puasa Khususul Khusus pula adalah dengan menyertakan semua perbuatan di atas di samping disertai dengan puasa di hati, iaitu berpuasa daripada cita-cita kotor dan pemikiran duniawi. Puasa ini adalah puasa tahap Anbiya', Siddiqin dan para ulama," jelasnya.



Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 07/08/2012