August 10th, 2012

Nikmat Ramadan di Malaysia

KAMPUNG Padang Lalang di daerah Padang Terap, Kedah mungkin tidak tercatat dalam peta. Jauh sekali dapat dikesan melalui Google Map yang cukup popular di kalangan generasi sekarang dalam mencari sesuatu lokasi. Tetapi, itu bukan bermakna ia terpencil dan terpinggir daripada arus pembangunan. Angin perubahan tetap sampai.

Apa juga perkembangan sama ada tempatan mahupun antarabangsa, cepat sahaja singgah ke pengetahuan orang kampung terutama yang berkaitan dengan politik. Baik yang positif, lebih-lebih lagi negatif cepat sahaja ia sampai ke telinga penduduknya.

Pada bulan Ramadan yang mulia ini juga penduduk Kampung Padang Lalang yang kerap ke masjid (walaupun sekadar berkongsi masjid dengan kampung jiran) turut dapat merasai nikmat daripada pembangunan dan perkembangan yang berlaku.


Orang ramai menjamu hidangan pada majlis berbuka puasa di masjid. - Gambar hiasan

"Sekarang ini imamnya muda-muda. Bacaan lancar dan setiap malam satu juzuk al-Quran habis dibaca," kata seorang penduduknya Yaakob Osman atau Pak Akob yang merupakan antara generasi lama Kampung Padang Lalang.

Katanya, dahulu imam masjid kampung setakat membaca surah-surah lazim sahaja ketika sembahyang Tarawih. Kadang-kadang katanya, apabila imam uzur, diganti oleh pengganti yang bacaannya kurang jelas. Hingga makmum ada yang terlelap dan sembahyang jadi tidak khusyuk.

Itu pengalaman Pak Akob yang telah melalui pelbagai perubahan. Daripada jalan tanah merah ke jalan bertar, daripada menggunakan air perigi untuk mengambil air sembahyang kepada air paip yang bersih serta daripada menggunakan pelita ayan dan gasolin kepada elektrik yang terang benderang.

Malah Ramadan dan Tarawih dahulu serta sekarang juga banyak bezanya. Katanya, kehadiran para hafiz muda mengimamkan sembahyang dengan setiap malam satu juzuk al-Quran dihabiskan turut memberikan semangat kepadanya untuk tidak terlepas berbuka puasa di masjid diikuti sembahyang Maghrib, Isyak dan bertarawih.

Sambil mengakui kehidupan sekarang lebih baik dan untuk beribadat juga lebih mudah, mulutnya tetap menuduh kerajaan yang ada sekarang perlu ditumbangkan kerana tidak Islam.

Masjid Kampung Padang Lalang bukan satu-satu masjid di negara ini yang menggunakan khidmat pada hafiz sebagai imam pada bulan Ramadan ini. Malah boleh dikatakan hampir setiap masjid dan surau di seluruh negara, tarawihnya dipimpin oleh imam-imam muda yang bertaraf hafiz.

Dari mana datangnya para imam dan hafiz ini yang begitu ramai pada setiap bulan puasa?

Walaupun ada sesetengah masjid membawa imam dari luar termasuk dari Mekah, tetapi majoriti hafiz yang memimpin masjid dan surau di seluruh negara di bulan Ramadan adalah rakyat tempatan. Mereka adalah produk institusi-institusi agama tempatan.

Sama ada sekolah agama rakyat, sekolah agama kerajaan, sekolah agama berasrama penuh, sekolah agama swasta mahupun institusi pengajian tinggi yang berpaksikan Islam yang terdapat di seluruh negara.

Agak menghairankan juga ketika kerajaan Malaysia sekarang dikatakan tidak Islam, lebih teruk lagi dituduh sekular dan menolak Islam, lepasan-lepasan daripada institusi agama makin ramai. Saban tahun jumlah para hafiz bertambah. Ustaz-ustaz yang menerima bayaran lumayan, separa lumayan atau percuma ketika dijemput memberi ceramah atau tazkirah juga makin ramai.

Jika dahulu nikmat untuk mendengar suara-suara hafiz dengan bacaan satu juzuk al-Quran setiap malam ketika Tarawih cukup jarang disebabkan jumlah yang bergelar hafiz itu sangat kurang. Tetapi kini, institusi di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terletak di bawah Jabatan Perdana Menteri sahaja melahirkan ribuan penghafal al-Quran setiap tahun.

Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang merupakan agensi kerajaan turut memperuntukan Maktab Rendah Sains Mara sebagai institusi untuk melahirkan ilmuwan Islam bertaraf hafiz.

Setiap tahun jumlah pelajar yang dihantar untuk mendalami ilmu al-Quran di luar negara sama ada melalui biasiswa penuh, biasiswa separuh atau pinjaman sentiasa bertambah.

Oleh sebab permintaan terhadap sekolah dan institusi aliran Islam makin meningkat, dari semasa ke semasa Kementerian Pelajaran berusaha menambah bilangan yang ada.

Hasilnya, semakin hari jumlah para hafiz di negara ini bertambah. Malah ada anak-anak yang baru berusia 10 atau 11 tahun sudah mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran. Mereka ini ada yang mengimami sembahyang tarawih dan memukau pendengaran jemaah dengan suara yang lunak dan lancar.

Ini realiti nikmat dan 'kemewahan' beribadat yang dinikmati oleh rakyat negara ini. Tidak cukup dengan para hafiz keluaran tempatan, kita import imam-imam dari Mekah. Kenapa? Sebab kita mahu mencapai kenikmatan dalam beribadat. Kenapa kita boleh berbuat demikian? Sebab kita mampu dan kita ada keupayaan.

Kita mampu dan ada keupayaan kerana kita dianugerahkan dengan nikmat kemakmuran dan keamanan.

Biarpun kerajaan yang mentadbir sejak lebih 50 tahun lalu sering dilemparkan dengan tuduhan kafir, jahil, tidak Islam dan menolak Islam, namun nikmat yang dinikmati oleh masyarakat Islam di negara ini semakin hari semakin baik. Malah ia lebih baik daripada beberapa negara yang penduduknya boleh dikatakan 100 peratus Islam.

Malah ilmu agama yang dimiliki oleh penduduk Islam di negara ini juga jauh lebih baik. Kemudahan untuk beribadat pula usah dikira. Sekarang kalau sembahyang di masjid atau surau yang tidak ada pendingin hawa jemaah akan merungut.

Malah ada yang hanya mahu bertarawih di masjid yang dingin dan berimamkan hafiz. Alasannya mahu mencari keselesaan untuk beribadat.

Nasib kita baik, kerana disebab tinggal di Malaysia, maka kita boleh memilih untuk mendapatkan keselesaan ketika beribadat.

Di Myanmar, terutama di wilayah Arakan, hampir sejuta penduduk Islamnya yang dikenali sebagai Rohingya menyambut Ramadan dalam ketakutan kerana ditindas oleh rejim tentera. Malah kehadiran mereka tidak diiktiraf menyebabkan ada yang menjadi pelarian tanpa status kewarganegaraan.

Begitu juga dengan nasib umat Islam keturunan Uighur di Xinjiang, China yang dinafikan hak mereka untuk mengecapi nikmat Ramadan.

Pihak berusaha mensekularkan penduduk Islam wilayah itu dengan tidak menggalakkan kakitangan kerajaan beragama Islam berpuasa.

Lebih menyedihkan ialah tragedi di Syria di mana ketika bulan Ramadan umat Islam berbunuhan sesama sendiri hanya kerana perbezaan ideologi politik.

Ketika umat Islam lain terutama di Malaysia khusyuk menikmati rahmat Ramadan, lebih tiga juta saudara kita di Syria kini bergantung harap kepada bantuan makanan antarabangsa.

Hanya kerana berbeza ideologi negara berantakan, porak-peranda dan musnah. Ribuan nyawa yang tidak berdosa menjadi korban sia-sia.

Begitulah bertuah penduduk Islam di Malaysia. Segala-galanya mudah. Segala-galanya senang. Pun begitu ramai yang tidak bersyukur dengan nikmat yang yang dikecapi. Ramai juga yang mahu menggunakan cara keras untuk menumbangkan kerajaan yang dituduh tidak Islam. Pada hal di negara ini ada saluran mengundi untuk memilih kerajaan.

Jika rasa kuat dan mampu menjadi kerajaan yang lebih baik dan mampu menawarkan nikmat yang lebih bagus kepada rakyat maka pastikan bertanding di semua kawasan supaya apabila menang mudah untuk bentuk kerajaan.

Jangan sampai yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran atau menang bersabung tapi kampung tergadai.



Oleh AZNAN BAKAR aznan.bakar@utusan.com.my Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 10/08/2012

Belanja berhemah

KITA sudah melepasi pertengahan Ramadan, bulan mulia yang bukan sahaja afdal lebih daripada 1,000 bulan tetapi juga bulan pentarbiah diri seluruh umat Islam agar mencari seberapa banyak pahala daripada pengisian ibadat yang amat unik dan istimewa ini.

Salah satu hikmat kedatangan Ramadan adalah menganjurkan umatnya agar bersederhana dalam berbelanja terutama untuk persiapan berbuka dan bersahur.

Dalam situasi ekonomi negara yang masih lagi berdepan dengan harga minyak yang masih tinggi dan harga barangan keperluan yang telah meningkat, maka pada bulan Ramadan inilah kita perlu mempraktikkan sikap berhemah berbelanja yang sebenarnya.

Jika sebelum Ramadan, kita makan empat kali sehari, pada bulan ini kita hanya perlu mengeluarkan perbelanjaan untuk dua kali makan sahaja, iaitu waktu berbuka dan bersahur.


Berbuka puasa di luar tidak salah tetapi perlulah dirancang dengan sebaik-baiknya. - Gambar hiasan

Namun, bagi segelintir daripada kita, perkara sebaliknya pula yang berlaku. Perbelanjaan dapur meningkat berganda berbanding hari-hari biasa. Ramai yang tunduk pada nafsu hingga menyebabkan kepelbagaian juadah berbuka yang disediakan berlebihan sehingga berlaku pembaziran.

Makanan adalah sesuatu yang amat bernilai kerana ia adalah rezeki Allah SWT yang harus dihargai. Semua agama di dunia ini juga menolak penganutnya daripada suka berboros dan melakukan pembaziran.

Menurut kajian pada 2006, lebihan makanan membentuk hampir separuh buangan pepejal di negara ini. Daripada hampir 20,000 tan buangan pepejal yang dihasilkan setiap hari, 45 peratus terdiri daripada makanan yang dibuang.

Jika difikirkan, menyediakan sendiri juadah berbuka di rumah lebih menjimatkan, buat apa lagi kita membeli makanan di bazar Ramadan yang yang dijual itu terlalu tinggi harganya. Bagi yang berkeluarga berbuka puasa di rumah dapat mengeratkan lagi hubungan sesama ahli keluarga.

Sesedap mana makanan itu sekalipun, yang penting ialah keredaan Allah SWT kepada kita dalam menjalani ibadah puasa secara keseluruhannya.

Pada bulan puasa ini juga terdapat segelintir daripada kita, terutamanya yang tinggal di bandar-bandar besar menjadikan amalan berbuka puasa di hotel dan restoran mewah sebagai gaya hidup sungguhpun bayaran bufet Ramadan mencecah RM128 bagi seorang dewasa di sebuah hotel lima bintang.

Berbuka di luar

Tidak salah berbuka puasa di luar, sekiranya dirancang dengan sebaik-baiknya. Ini termasuklah memilih tempat berpatutan harganya, ingin mengubah selera pada hari-hari tertentu dan yang penting juga, ia menyediakan kemudahan untuk bersembahyang.

Bukan setakat bersiap siaga untuk menyediakan juadah berbuka dan bersahur, Ramadan begitu besar maknanya bagi kita untuk bermuhasabah diri.

Tidak akan lengkap sekiranya kita tidak membuat penilaian terhadap perbuatan atau perilaku kita yang dilakukan sehari-harian dalam bulan Ramadan yang mulia ini.

Aspek yang perlu kita tanyakan kepada diri kita ialah sejauh mana amalan nilai-nilai murni telah meresap dalam jiwa kita seterusnya menjadi amalan perlakuan kita seharian.

Muhasabah pemikiran yang paling mudah ialah berfikir sama ada kita telah memenuhi tuntutan dalam menghargai nikmat yang kita peroleh dan bersyukur dengan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada kita.

Renung nikmat

Puasa di bulan Ramadan mengajar kita merenungi bahawa betapa banyak nikmat yang telah kita terima selama hayat kita dan sejauh mana kita telah bersyukur dengan kenikmatan tersebut.

Secara mudah, dalam melaksanakan ibadah puasa sendiri, kita dapat melaksanakannya tanpa terlalu banyak rintangan fizikal yang perlu kita lalui, bahkan suasana bulan Ramadan di Malaysia menunjukkan betapa damai dan melimpahruahnya rezeki, sehingga kadang-kala timbulnya pembaziran.

Ini berbeza dengan suasana Ramadan di kalangan umat Islam di negara-negara yang terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah bencana alam, pergolakan, krisis dan keamanan yang tergugat.



WAN MARZUKI WAN RAMLI ialah Guru Pendidikan Islam berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di SK Jerek, Gua Musang, Kelantan.  Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 09/08/2012

Persiapan Syawal

TIDAK berapa lama lagi iaitu dalam tempoh lebih dari seminggu sahaja lagi umat Islam seluruh dunia akan meraikan hari kemenangan iaitu Aidilfitri. Pada masa ini kita sedang memasuki fasa sepuluh malam terakhir Ramadan yang dijanjikan penuh dengan keberkatan bulan mulia ini.

Namun lazimnya sudah pasti juga ketika ini ramai yang tidak sabar mahu pulang ke kampung bagi merayakan hari kemenangan ini. Pelbagai persiapan telah mula disediakan bagi menyambut ketibaan Syawal kelak, sehingga ada kalanya persiapan hari raya ini mengatasi amal ibadah di bulan Ramadan ini.


Mungkin ada yang menyatakan artikel ini terlalu awal bagi membincangkan tentang hari raya kerana tempoh seminggu lebih lagi sebelum berhari raya namun saya berpandangan artikel ini ditulis bagi mengingati kita semua semasa mengadakan persiapan untuk berhari raya.

Jika artikel ini ditulis semasa hari raya ataupun tatkala hari raya terlalu hampir mungkin ia tidak dapat lagi berfungsi sebagai nasihat kepada kita semua termasuklah diri saya sendiri.

Selepas genap sebulan berpuasa umat Islam merayakan Aidilfitri sebagai tanda kemenangan. Ibadat puasa sepanjang Ramadan diibaratkan sebuah 'universiti' yang menyemai pendidikan jiwa umat Islam sepanjang sebulan berpuasa.

Bukan saja menahan lapar dahaga, malah juga mengekang hawa nafsu daripada merajai jiwa. Disiplin yang dipupuk oleh Universiti Ramadan ini amat kental kerana umat Islam bukan hanya berpuasa di hadapan orang, malah juga apabila bersendirian.

Tidak hairanlah jika kita perhatikan umat Islam sanggup menahan lapar dahaga sepanjang hari namun agak menyedihkan ada sesetengah pula hanya berpuasa tetapi tidak mengamalkan Rukun Islam yang lain seperti bersembahyang.

Dalam masyarakat Melayu berpuasa di bulan Ramadan amatlah dititikberatkan, ia dapat dimanifestasi dengan tindakan yang diambil terhadap umat Islam yang tidak menghormati bulan Ramadan dengan membawa mereka di dalam van jenazah sekeliling bandar.

Enakmen jenayah syariah negeri-negeri juga memperuntukkan adalah menjadi suatu kesalahan bagi umat Islam sekiranya tidak menghormati bulan Ramadan dengan makan di khalayak awam.

Inilah kejayaan Islam mendidik peribadi mulia dan amanah. Kemuliaan Ramadan dapat dilihat daripada sudut amalan umat Islam seperti bersolat menganjurkan iftar, berterawih, bersedekah, bertadarus al-Quran dan banyak lagi amalan khususiah yang dilakukan umat Islam.

Hampir sebulan mengikuti institusi Ramadan, umat Islam akan pula meraikan Aidilfitri. Amat rugilah orang yang langsung tidak mengambil pengajaran daripada falsafah Ramadan itu sendiri. Pastinya jelas kegirangan dan kegembiraan tersemat dalam hati Muslimin dan Muslimat sekalian kerana kemenangan di hari yang mulia ini.

Pelbagai persiapan diadakan bagi menyambut hari kemenangan itu. Pada kebiasaannya kanak-kanak yang paling gembira ketika hari raya. Bagi yang merayakan Aidilfitri tanpa orang tersayang, perayaan ini masih tetap diteruskan memandangkan ia adalah tuntutan hukum syarak. Namun, sudah tentulah hiba di jiwa tidak dapat dielakkan ketika menyambutnya.

Mengunjungi pusara ibunda khususnya menjadi kemestian di hari lebaran ini. Walaupun yang pergi tidak akan kembali sebagai tanda ingatan sekalung doa dan bacaan ayat-ayat suci dititipkan kepada mereka.

Saya sendiri akan berhari raya buat pertama kalinya tanpa ayah dan bonda di sisi pada tahun ini. Sudah pastinya ia terlalu berlainan dengan tahun-tahun sebelum daripada ini.


DATUK ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my. Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 09/08/2012

Falsafah haji

PANGGILAN haji tiba lagi, gamitan talbiah dengan begitu mekar dalam ingatan bakal haji, dhuyufurrahman amat kuat menusuk kalbu. Sebermula dengan panggilan surat terima, sudah membawa seribu satu macam kesukaan telah terukir pada raut wajah jemaah haji. Habis keluarga, rakan taulan diuar-uarkan, bukan sekali tetapi itulah yang dikhabarkan setiap kali bertemu. Semuanya ini sebagai terjemahan gembira yang berbaur syahdu dalam melaksanakan ibadah haji.

Pada ruangan kali ini, penulis ingin mengemukakan sejumlah falsafah ibadat haji, serta hikmahnya, berdasarkan pengamatan dan sedikit pengalaman yang dikongsi bersama oleh tetamu Allah yang berkunjung ke Tanah Suci Mekah. Antaranya;

Bermulanya kehambaan

Hal ini jelas dirasakan oleh bakal jemaah haji, inilah puncak penyerahan kepada Yang Maha Esa. Segala tugas hakiki dan wajib dalam semua lapangan seperti pegawai kerajaan, guru, pekerja swasta hatta nelayan terpaksa dengan rela hati meninggalkan tugas tersebut kerana menyahut panggilan Ilahi.

Bahasa yang digunakan adalah bahasa yang melambangkan penyerahan sebagai seorang hamba kepada Khaliqnya. Hal ini sentiasa dirasakan bermula daripada langkahan pertama keluar dari rumah hingga pulang bertemu sanak saudara dan masuk ke dalam rumah.

Mengikut cara Islam keluarnya seseorang hamba Allah menuju kepada Allah dalam melaksanakan ibadah haji bermula dengan solat musafir di rumah dan apabila kembali juga dengan bersolat mengikut sunah Rasulullah SAW.

Menzahirkan Kecintaan

Hal ini dipamerkan oleh ramai dan hampir kesemua jemaah haji. Ia merupakan perasaan rindu dan cinta kepada Mekah dan Madinah sekalipun berlaku kerap kali dalam melaksanakan ibadah haji oleh seseorang. Benarlah kenyataan yang dibuat oleh Syeikh Waliyullah al-Dehlawi dalam kitabnya yang masyhur, Hujjatullah al-Baligah.

Seorang ulama Syafie yang terkenal pada zaman dahulu iaitu Imam al-Nawawi menukilkan dalam karyanya, Al-Idhah Fil Manasik al-Haji Wal Umrah antara lain menyebut seorang wanita apabila sampai ke Kota Mekah mulutnya selalu menyebut mana rumah tuhanku, kemudian ditunjukkan ke Kaabah lantas ia berlari dan bergantung pada sitar (kelambu) Kaabah dan selepas itu beliau jatuh menggelonggsor mati di kaki Kaabah.

Memaknakan erti kehidupan

Ketika berkelana, mereka dapat menyaksikan manfaat-manfaat haji, sama ada bersifat duniawi atau ukhrawi. Ini sudah pasti akan memberi satu pengalaman yang amat berguna dan bernilai dalam kehidupan seseorang. Pada masa itulah seseorang itu akan menghargai kehidupan yang dialaminya di kampung halamannya dan tanah watannya. Segala aspek yang baik dan positif dapat diterjemahkan dalam kehidupan hariannya yang sudah pasti beliau meraih pahala dan keredaan Allah.

Mengimbau nostalgia hamba Allah

Seolah-olah sebahagian ibadat haji mengajak umat Islam mengimbau sejarah lama, khususnya Nabi Ibrahim dan keluarganya. Justeru semangat keIbrahiman dan KeHajaran sepatutnya dibawa pulang oleh jemaah haji. Bukan hanya menceritakan kepada anak buah betapa letihnya saie antara Safa dan Marwah kerana jauh jaraknya. Sebaliknya mengambil semangat tawakal dan bergantung harap Siti Hajar kepada Allah dalam menempuh sisa-sisa keperitan hidup yang mencabar antara dahaga dan kasih-sayang kepada anaknya, Ismail.

Memahami watak manusiawi

Imam Nawawi pada mukadimah kitabnya Al-Idhah menyebut sejumlah pesanan dan wasiat kepada bakal jemaah haji agar berinteraksi dengan sebaik mungkin termasuk hal berkaitan harta benda, makan minum, tawar menawar, pinjaman dan sewaan supaya ibadah haji yang dilakukan dapat disempurnakan dengan baik.

Ini kerana apabila bermusafir segala watak sebenar manusia akan terdedah kerana itulah salah satu daripada makna safar ialah mengubah watak seseorang kepada hakikat dan realitinya yang sebenar. Pujangga pernah berkata: "Pilihlah jiran sebelum dirikan rumah dan pilihlah rakan sebelum melakukan pelayaran."

Dalam haji, jemaah haji didedahkan dengan pelbagai watak yang terkadang mengguris dan menyinggung perasaan di samping ada yang benar-benar mempamerkan akhlak yang unggul serta prihatin yang teramat sangat kepada rakan taulan, tetapi golongan seperti ini amat nadir dan sedikit dan sudah pasti akan diminati serta dikasihi oleh jemaah haji yang lain.

Muzakarah ilmiah

Oleh kerana aspek ibadah haji atau disebut manasik haji, merupakan sebuah rehlah rabbani sudah pastinya ilmu merupakan asas yang terpenting supaya benar-benar menepati sunah nabi. Hal ini selaras dengan perintah Rasulullah SAW: Ambillah manasik haji kamu daripadaku. (riwayat Bukhari).

Justeru tidak hairanlah Tabung Haji dan lain-lainya mengadakan kursus yang mempunyai banyak siri supaya ilmu dan kefahaman benar-benar dihayati oleh bakal jemaah haji. Tetapi hal yang lebih menarik daripada itu, apabila sampai di Kota Mekah, bahkan seawal perjalanannya lagi sentiasa kedengaran pelbagai pendapat dilontarkan sehingga terlalu ramai "pakar", "mufti", "tokoh ulama", yang mengemukakan pendapat dan hujahan terkadang-kadang hanyalah berkiblatkan kepada logik akal semata-mata. Inilah yang sepatutnya dijauhi.

Cuba memperibadikan sahabat yang unggul

Ghalibnya jemaah haji akan berkunjung ke Kota Suci Madinah al-Munawwarah dan beberapa tempat di sekitar Madinah yang penuh keberkatan seperti Uhud, Perkuburan Baqie, Khandak dan lain-lain. Ini sudah pasti mengingatkan kita kepada hayah as-Sahabah dalam mempertahankan agama Allah dan meninggikan syiarnya.

Bayangkan bagaimana Hamzah Singa Allah rebah dalam Perang Uhud kerana tusukan tombak yang membawa kepada syahidnya. Begitu juga dengan para sahabat yang lain. Kalaulah dapat diperibadikan dalam jiwa jemaah haji seperti mereka itu, sudah pasti sinar gemilang Islam akan muncul kembali.

Cinta Rasul

Ini sudah semestinya dapat dipamerkan ketika kunjungan para jemaah ke Makam Rasulullah SAW dan Masjid Nabawi. Perasaan syahdu, sayu, sedih dan rasa kebersalahan seseorang itu ternyata zahir ketika lafaz, Assalamualaikum Ya Rasulullah diucapkan berhadapan dengan makamnya. Ketika itu kaki seolah-olah menjadi kaku, kepala ditundukkan, mata dikenangi dengan air mata, dan pemikiran terpusat kepada sahsiah yang paling unggul dimuka bumi itulah Rasulullah SAW.

Ketika itulah sebuah tekad dan keazaman yang tinggi untuk menjadi umat Rasulullah dan pengikutnya yang setia berasaskan sunah dan sirahnya. Perkataan Ya habibi, wahai kekasihku Ya Rasulullah diulang kembali sehingga lupa orang di sebelahnya meskipun suami atau isterinya. Itulah cinta Rasulullah.

Kembali dengan sahsiah Islamiah

Dengan selesainya ibadah haji, apabila batu lontaran terakhir di jamrah selamat masuk ke tempatnya maka jemaah haji berpaling mengadap kiblat, berdoa dengan penuh harapan agar dimabrurkan hajinya. Justeru harapan seolah-olah jemaah haji menjadi bayi yang baru dilahirkan tanpa dosa dan dalam keadaan bersih perlu dipertahankan.

Sementelahan pula pada tawaf Wada' seseorang itu membuat perjanjian kepada Allah untuk menjadi hamba Allah yang hakiki. Hal yang sama juga berlaku ketika ucapan selamat perpisahan dalam ziarah Wada' kepada Rasulullah SAW.

Inilah yang sebenarnya patut dibawa pulang selepas memasuki madrasah haji dan telah bergraduan dengan kemabruran haji. Pulang dengan membawa misi mabrur yang disabdakan oleh Rasulullah SAW iaitu pemakaian sifat yang mahmudah seperti memberi salam dan sentiasa menjamu orang, terutamanya fakir miskin dengan makanan.

Itulah sedikit sebanyak coretan falsafah dan hikmah di sebalik pensyariatan haji yang semestinya difahami oleh dhuyufurrahman. Semoga matlamat menuju kepada kemabruran haji tercapai. Amin.

l DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim) Sumber: Utusan Malasyia Online Bicara Agama 09/08/2012

Kelebihan Mekah

ALHAMDULILLAH acara ibadat haji dan musim haji telah bermula dengan masuknya Syawal dan para jemaah sibuk dengan persiapan terakhir sebelum berangkat menuju ke rumah Allah.

Untuk isu kali ini, penulis diamanahkan untuk membincangkan tentang kelebihan Mekah. Bagi memahami isu ini, penulis membincangkan melalui beberapa noktah agar mudah difahami.

Nama: Kota Mekah mempunyai banyak nama. Ini menandakan lebihnya Kota Mekah terutamanya apabila gelaran yang melambangkan kebaikan dan kehebatan diberikan kepadanya.

Mekah ertinya membinasakan atau mengurangkan. Dinamakan Mekah kepada Tanah Haram Mekah seluruhnya, kerana Mekah mengurang dan menghapuskan dosa orang yang datang kepadanya atau membinasakan orang yang melakukan kezaliman di Mekah atau kerana Mekah menghapuskan pemerintah yang zalim dan menundukkan kesombongan mereka.

Seperkara lagi nama kota ini dirakamkan dalam nas al-Quran dan hadis dan sudah pasti ia akan diabadikan di sepanjang zaman kehidupan manusia.

Sejarah: Kota Mekah mempunyai sejarah yang cukup istimewa, antaranya ia merupakan sejarah rumah Allah yang pertama didirikan untuk manusia. Sejarah kehidupan Hajar dan Ismail sebagai manusia yang membuat pembaharuan semula bagi Kota Mekah amatlah unik. Seterusnya catatan kehebatan Mekah berlangsung daripada generasi terdahulu hingga kini.

Karamah: Penulis maksudkan dengan kemuliaan yang Allah wujudkan pada Kota Mekah, sama ada dinaskan dalam al-Quran dan hadis. Hal ini jelas dengan rakaman firman Allah SWT berkenaan Ashabul Fil. (rujuk al-Fil: 1-5)

Tawaran pahala. Terlalu banyak tawaran pahalanya dan digandakan berbanding tempat lain. Ini terbukti dengan banyak nas seperti solat di Masjidil Haram di beri ganjaran 100,000 berbanding masjid lain. Begitu juga dengan pahala tawaf, umrah, hatta melihat Kaabah.

Oleh itu, semestinya jemaah haji tidak melepaskan peluang melakukan ibadat dengan sebaik mungkin dan sebanyak mungkin.

Keistimewaan Mekah

Telaga Zam Zam di mana airnya adalah antara yang terberkat di muka bumi. Mempunyai pelbagai kelebihan dan mengikut niat seseorang yang meminumnya akan diberikan dengan izin Allah. Hal ini dinaskan dalam hadis. Wujudnya tempat-tempat yang ada nilai berbanding dengan yang lain seperti Makam Ibrahim, Hijr Ismail, Hajar Aswad, Multazam dan lain-lain.

Mekah sebagai Tanah Haram. Dalam sebuah riwayat Muslim, menyebut Rasulullah SAW bersabda: Daripada Ibnu Abbas RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda pada hari pembukaan Kota Mekah: Sesungguhnya Negeri Mekah ini dijadikan Allah SWT sebagai Tanah Haram ketika Dia menciptakan langit dan bumi. Mekah ialah tanah haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. Tidak dibenarkan berperang di Mekah kepada sesiapa pun sebelumku, dan tidak dibenarkan kepadaku kecuali beberapa masa sahaja (pada hari pembukaan Kota Mekah tahun ke 8 Hijrah).

Mekah ialah Tanah Haram dengan pengharaman daripada Allah sehingga ke hari kiamat. Tidak boleh memotong pohon, tidak boleh menangkap binatang pemburuan (yang hidup bebas), tidak boleh mengambil barangan yang tercicir kecuali mereka yang mahu mengumumkannya kepada orang ramai dan tidak boleh mengerat rumput di Mekah. Kata al-Abbas( bapa saudara Rasulullah): "Kecuali Izkhir (sejenis tumbuhan yang harum baunya) untuk dibuat bahan bakar kepada tukang besi dan dibuat atap rumah. Jawab Rasulullah SAW: "Kecuali Izkhir.

Tidak dimasuki Dajjal. Hal ini berdasarkan hadis dalam Sahih Bukhari Rasulullah SAW bersabda: Semua negeri akan dimasuki oleh Dajjal kecuali Mekah dan Madinah, semua jalan masuk dikawal oleh para malaikat yang berbaris-baris, kemudian Madinah akan bergoncang sebanyak tiga kali. Dan Allah SWT akan mengeluarkan semua orang kafir dan munafik darinya.

Mendapat keamanan. Ini kerana telah diisytiharkan Allah SWT. Al-Maghari berkata seluruh bangsa Arab sepakat untuk menghormati dan memuliakan Baitullah ini. Sesiapa yang masuk ke dalamnya pasti berasa aman daripada gangguan penganiayaan orang lain, pembunuhan atau pelanggaran kehormatannya, selama mereka berada di dalamnya. Amalan kebiasaan ini telah berjalan sejak zaman jahiliah.

Melakukan ibadah sunat sepanjang masa. Walaupun ia tidak disepakati oleh para ulama tetapi mengikut mazhab Syafie dan Hambali ia boleh dilakukan solat sunat dan tawaf pada bila-bila masa. Tetapi mengikut mazhab Hanafi dan Malik hukum Mekah sama seperti tempat lain tanpa bezanya ini berdasarkan kepada perbuatan Saidina Umar.

Kaabah. Ia adalah Baitullullah al-Haram dan kiblat umat Islam. Berkenaan dengan kelebihannya tiada syaknya lagi berdasarkan nas al-Quran yang bermaksud:Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibangunkan untuk manusia ialah Baitullah sebagai tempat ibadat yang berada di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk bagi semua manusia.

Penulis suka menyatakan bahawa Allah SWT menjadikan hati-hati manusia merinduinya dan mewajibkan ke atas hamba-hambanya yang mampu agar mengunjunginya dengan dijanjikan pahala yang berganda-ganda, juga memberi amaran daripada melakukan kejahatan ketika berada di dalamnya.

Allah SWT telah menyebutnya dalam al-Quran, Rasulullah SAW seringkali menyebutnya dalam hadis serta para ulama dan ahli sejarah telah banyak menulis mengenai sejarah Mekah yang tua ini. Amin.


 DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-JAKIM) Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 10/08/2012

Khutbah Jumaat: Rugi 'melepaskan' lailatulqadar

Tumpukan masa beramal ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan

Hari dan minggu berlalu begitu cepat, tanpa disedari kita sudah berada di sepuluh terakhir Ramadan. Maka tempoh terakhir ini adalah masa berharga perlu direbut bagi mereka yang beriman dan bertakwa kepada Allah SWT.

Masa yang terakhir inilah akan menentukan sama ada puasa kita mendapat keberkatan dan menjadi penebus segala dosa telah dilakukan selama ini. Inilah masanya yang Allah SWT janjikan kepada kita semua jika kita benar-benar beriman kepada-Nya.

Allah SWT telah menganugerahkan hamba-Nya pada Ramadan satu malam dinamakan lailatulqadar. Pahala beribadat pada malam itu menyamai pahala seribu bulan. Malam itu juga malam paling istimewa bagi umat Islam kerana diturunkan al-Quran al-Karim.

Kelebihan malam itu dinyatakan Allah dalam firman: “Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran ini pada malam lailatulqadar, dan apa jalannya yang engkau dapat mengetahui, apa dia kebesaran malam lailatulqadar itu? Malam lailatulqadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah malam yang berkat itu sehingga terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Berdasarkan ayat ini, jelaslah lailatulqadar mempunyai kelebihan begitu besar, maka seharusnya kita berusaha dan tidak mensia-siakan peluang malam yang dijanjikan itu. Bagi yang berazam mencari peluang disediakan, berlumba-lumba bangun penuh keimanan dan mengharapkan pahala dari Allah SWT.

Pertingkat amal soleh

Lailatulqadar adalah malam ditunggu-tunggu mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam saja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehnya dan rugilah siapa yang melepaskannya.

Di samping itu, dalam fasa yang ketiga ini kita dituntut mempertingkatkan amal soleh dan kebajikan seperti beriktikaf di masjid, bertadarus al-Quran, memperbanyakkan zikir, memperbanyakkan solat sunat, menghadiri kuliah dan bersedekah.

Kita juga dituntut memperbanyakkan berdoa terutama doa khusus untuk malam lailatulqadar seperti diriwayatkan Saidatina Aisyah: “Saya pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seandainya saya mengetahui malam lailatulqadar dengan tepat, apa yang patut saya akan doakan pada saat itu.” Baginda menjawab: “Berdoalah dengan doa berikut: Ya Allah Ya Tuhanku sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan sentiasa memberi keampunan di atas kesalahan hamba-Mu oleh itu maafkanlah segala kesalahanku.” (Riwayat Abu Daud)

Utamakan keselamatan

Mengambil peluang untuk mencari keredaan dan keampunan Allah SWT adalah amalan mereka yang tidak jemu dan berputus asa kerana yakin bahawa Allah SWT akan menganugerahkan keredaan serta keampunan.

Mengambil kesempatan sempena musim cuti perayaan, jemaah dinasihatkan supaya berhati-hati dan bersabar semasa membawa kenderaan untuk pulang ke kampung halaman. Pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan sempurna.

Pastikan keselamatan rumah dalam keadaan sempurna dengan pintu dikunci, bekalan elektrik dipadam, memaklumkan kepada jiran serta melaporkan kepada pihak keselamatan ataupun polis semasa ketiadaan di rumah.

Umat Islam diseru bersama bersatu hati dan berusaha mengekalkan keamanan serta kemakmuran di rantau ini khususnya negara kita Malaysia. Walaupun kita berbeza dari segi persempadanan negara, agama, budaya, bahasa mahu pun paras rupa, namun kemajmukan masyarakat seharusnya di jadikan asas untuk saling kenal mengenali antara satu sama lain dan membangunkan kerjasama untuk kebaikan sejagat.

Mudah-mudahan Ramadan yang kita tempuhi tahun ini akan menjadi titik perubahan dalam diri menjadi insan bertakwa dan diredai Allah SWT di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT: “Dan apabila hamba-Ku bertanya padamu tentang Aku maka (jawablah): sesungguhnya Aku amat hampir; Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku, dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka menjadi baik dan betul.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)



Khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sumber: Berita Harian Online Agama Jumaat , 10 Ogos 2012, 21 Ramadan 1433 H

Qiamullail hidupkan malam Ramadan

Hari ini genap 21 hari kita menjalani ibadah puasa. Justeru, masih berbaki sembilan hari lagi untuk kita sempurnakan ibadah puasa dengan memanfaatkan sebaik mungkin sisa-sisa hari yang masih tinggal.

Ramadan awalnya adalah rahmat, pertengahannya pengampunan dan akhirnya adalah pembebasan daripada api neraka sewajarnya disempurnakan dengan melunaskan ibadah wajib serta memperbanyakkan lagi ibadah sunat bagi meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda.


Pada fasa sepuluh terakhir Ramadan, Allah SWT menyediakan malam yang lebih mulia berbanding seribu bulan iaitu lailatulqadar. Pada malam inilah al-Quran diturunkan untuk dijadikan sebagai panduan dan pedoman bagi seluruh umat Islam mengemudi bahtera kehidupan di dunia.

"Carilah lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki taujuh malam terakhir"


Sebahagian ulama berpendapat al-Qadar bermaksud pengagungan. Lailatulqadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana telah diturunkan al-Quran pada malam berkenaan, turunnya malaikat, melimpah rahmat dan keampunan serta pada malam itu Allah SWT ammenganugerahkan keagungan dan kemuliaan kepada mereka yang melakukan ibadah.

Mereka yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dan sentiasa istiqamah melakukan ibadah sepanjang Ramadan, pastinya mereka tidak akan terlepas untuk menemui malam lebih mulia daripada seribu bulan ini.

Baginda SAW bersabda: “Carilah lailatulqadar pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir.” (Hadis riwayat Muslim)

Melewati sepuluh terakhir Ramadan, Rasulullah SAW akan mencari lailatulqadar dan menyeru sahabat Baginda supaya turut serta mencarinya dengan menghidupkan malam berkenaan beribadah (qiamullail).


Bahkan, Baginda juga akan mengejutkan ahli keluarganya dengan harapan supaya dapat memperoleh lailatulqadar yang penuh keistimewaan dan keberkatan.

Sesungguhnya ibadah qiamullail adalah kegemaran Rasulullah SAW dan sahabat Baginda. Ummul Mukminin Saidatina Aishah berkata: “Janganlah kamu meninggalkan ibadah qiamullail kerana Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkannya. Apabila Baginda sakit atau keletihan, Baginda bersolat dalam keadaan duduk.”

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menghidupkan malam pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesedaran, diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Diriwayatkan Saidina Umar al-Khattab mengerjakan solat malam sehingga sampai separuh malam. Kemudian beliau mengejutkan keluarganya supaya mendirikan solat dengan berkata: “Solat, solat” sambil membaca ayat 132 daripada surah Taha yang bermaksud: “Perintahkanlah keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki daripadamu, malah Kami yang memberikan rezeki kepadamu. Kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa.”

Sewajarnya teladan yang ditunjukkan Rasulullah SAW dan sahabat Baginda dalam menghayati Ramadan serta sepuluh malam terakhir dijadikan pedoman kepada seluruh umat Islam hari ini.

Pedoman ditunjukkan Baginda jelas memberi gambaran betapa tinggi dan bernilai detik terakhir Ramadan yang sedang kita lewati saat ini. Mudah-mudahan masih belum terlambat untuk kita terus beristiqamah melaksanakan ibadah hingga ke penghujung Ramadan bagi memperoleh lailatulqadar.



Penulis pegawai penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia Sumber: Berita Harian Online Bicara Agama Jumaat , 10 Ogos 2012, 21 Ramadan 1433 H