August 11th, 2012

Lailatulqadar anugerah tahunan teristimewa

AMADAN kini telah pun memasuki fasa yang terakhir. Di sana-sini kelihatan ramai yang sibuk membuat persiapan menjelang Hari Lebaran terutama sebelum pulang ke kampung halaman sempena cuti panjang Hari Raya Aidilfitri. Aliran trafik di sekitar pusat beli-belah dan bazar hari raya juga sesak teruk lebih-lebih lagi pada hujung minggu dengan bilangan pengunjung yang luar biasa. Suasana Aidilfitri semakin dihangatkan lagi dengan nyanyian lagu raya yang berkumandang siang malam di corong-corong radio.

Namun begitu masyarakat Islam diseru tidak terlalu ghairah menanti ketibaan hari raya kerana masih ada ganjaran besar dan tidak ternilai disediakan buat Muslimin di penghujung Ramadan. Malah inilah masanya untuk semua berjuang habis-habisan bagi memperoleh ganjaran beribadah yang lebih baik daripada 1,000 bulan dan hanya terdapat pada malam kemuliaan Lailatulqadar. Peluang yang datang setahun sekali ini perlu direbut dengan bersungguh-sungguh kerana kalaupun seseorang ditakdirkan hidup sehingga usia menjangkau 83 tahun, belum tentu sepanjang tempoh tersebut berjaya dipenuhi semuanya dengan beribadah.

Justeru, Baginda Nabi Muhammad SAW diriwayatkan banyak berjaga malam dan mengikat kainnya pada 10 malam yang akhir Ramadan bagi menjejaki Lailatulqadar. Baginda turut mengejutkan ahli keluarganya supaya bersama-sama beribadah pada malam tersebut. Aisyah ra. berkata; Rasulullah SAW apabila masuk malam 10 terakhir Ramadan, baginda menghidupkan malam, mengejutkan keluarganya, bersungguh-sungguh dan uzlah daripada isteri-isterinya. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Sungguhpun begitu ia tidak semudah yang disangka malah hanya segelintir yang ikhlas, benar akidahnya dan berada pada landasan syariat yang benar berpeluang menemui Lailatulqadar. Lebih daripada itu Lailatulqadar kekal menjadi rahsia mutlak Allah SWT supaya umat Islam berusaha mengabdikan diri kepadanya sepanjang masa.

Malah pengorbanan kurang tidur, banyak beriktikaf di masjid, qiamullail dan melakukan amal-amal kebajikan lain pasti akan dibalas dengan kurniaan yang setimpal.

Selain itu, pada malam Lailatulqadar Allah SWT akan mengampunkan dosa sesiapa yang bertaubat dan memohon keampunannya. Allah SWT juga berkenan menerima segala doa yang dihadapkan kepadanya. Para malaikat Allah SWT yang diketuai oleh Malaikat Jibril AS juga turun ke bumi mencurahkan rahmat Allah SWT sambil mendoakan kesejahteraan dan keampunan buat pencari Lailatulqadar. Kesemua daripada nikmat yang begitu hebat ini pasti tidak akan datang bergolek begitu sahaja. Ia perlu disertai dengan usaha bersungguh-sungguh sambil memohon supaya terpilih menikmatinya.

Nabi Muhammad SAW bersabda maksudnya: Barang siapa menghidupkan malam Lailatulqadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat Allah Taala nescaya akan diampunkan dosanya yang terdahulu. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Pada malam itu juga terdapat tanda kebesaran Allah Taala seperti terbuka hijab pandangan mata lalu seseorang berpeluang melihat keajaiban langit. Ia sekali gus menunjukkan kekuasaan dan keagungan-Nya sebagai Tuhan Pencipta sekalian alam. Pada malam itu juga para malaikat turun memenuhi bumi ini. Dan Malaikat turun bersama-sama turunnya berkat dan rahmat Allah yang dikhaskan untuk malam itu. Menurut al-Imam al-Hafis Ibn Kathir pada malam Lailatulqadar juga akan ditetapkan rezeki dan ajal manusia tanpa sebarang pindaan lagi.

Firman Allah SWT yang bermaksud (Kami menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau bertukar).(Surah al-Dukhan: 4) Tidak keterlaluan jika dikatakan malam tersebut adalah malam penentu kebahagiaan hidup di dunia mahupun di hari akhirat.

Bagi memudahkan pencarian malam tersebut ada beberapa panduan yang boleh diikuti. Imam al-Syafie misalnya menyatakan ia berlaku pada malam yang ke-21 ataupun malam ke-23 Ramadan. Manakala Imam al-Ghazali menentukannya berdasarkan tarikh awal Ramadan yang mana pada tahun ini jatuhnya pada hari Sabtu maka dijangka lailatulqadar berlaku pada malam ke-23 Ramadan. Baginda Nabi Muhammad SAW pula menyarankan supaya ia dicari pada malam 10 yang akhir dan dikuatkan lagi dengan malam-malam yang ganjil.

Ada pula dalam kalangan para ulama' mengatakan bahawa malam tersebut berlaku pada 27 Ramadan. Menurut Abu Ka'ab katanya, Demi Allah sesungguhnya ibn Mas'ud telah meyakinkan bahawa malam Lailatulqadar terjadi pada bulan Ramadan manakala Lailatulqadar pula berlaku pada malam ke-27, akan tetapi dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbang kamu tidak lagi berusaha mencarinya. Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah Al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir(hia) yang kembalinya kepada Lailatulqadar.

Lalu apakah amalan yang perlu dilakukan pada malam itu. Secara umumnya tiada ibadah khusus yang ditetapkan. Amalan masyarakat setempat yang menghidupkan malam dengan mengerjakan solat sunat tahajud, solat sunat tasbih, solat sunat taubat, solat sunat hajat dilihat molek untuk dipraktikkan. Malam tersebut juga boleh diisi dengan bertadarus al-Quran dan berdoa sambil memohon keampunan daripada segala dosa silam.

Diriwayatkan bahawa Saidatina Aishah RA pernah bertanya kepada Rasulullah SAW akan doa yang perlu dibaca jika bertemu Lailatulqadar. Baginda Nabi SAW bersabda Berdoalah dengan doa yang bermaksud "Wahai Tuhan ku sesungguhnya engkau Maha Pengampun dan suka memberi pengampunan maka ampunkanlah kami wahai tuhan yang Maha Pemurah. (Riwayat Ahmad)

Adapun tanda-tandanya sebagaimana yang turut disebutkan dalam Tafsir Ibn Kathir adalah; suasana pada malam itu cerah seperti disinari cahaya bulan, suhunya pula sederhana tidak terlalu panas mahupun sejuk. Pada keesokan harinya matahari terbit umpama bulan, kemerah-merahan tanpa sinaran cahaya yang memeritkan.

Apa pun yang lebih penting adalah bagaimana para Mukminin sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT sepanjang Ramadan. Ini kerana tanda-tanda tersebut boleh jadi tidak nyata ataupun hanya dilihat oleh kalangan Nabi dan Rasul ataupun golongan wali Allah yang terpilih. Malah di situlah letaknya hikmah di sebalik kerahsiaan malam Lailatulqadar yang merupakan anugerah agung buat Mukmin sejati.



Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON PENULIS ialah Pensyarah Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam, UiTM Kampus Bandaraya Johor Bahru Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 11/08/2012

Patuh untuk dapat takdir baik

Kelayakan minimum untuk mendapatkan lailatulqadar ialah menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Subuh berjemaah tetapi kadar ganjaran diterima seseorang itu sudah pastinya tidak sama bergantung kepada ilmu, iman dan amal.

Pegawai Hal Ehwal Islam Kementerian Dalam Negeri (KDN), Zamihan Mat Zin, berkata setiap amalan perlu disokong oleh ilmu untuk melengkapkan iman dan seterusnya diterjemahkan melalui amalan.

Katanya, tanpa tiga elemen penting itu sukar untuk seseorang bertemu dan mendapat ganjaran disediakan Allah SWT kepada hamba-Nya yang sanggup berusaha iaitu bonus ibadat seribu bulan yang bersamaan 83 tahun.

“Ilmu itu ialah ilmu akidah, syariah dan akhlak yang memberi kesedaran kita adalah ‘kuli’ Allah dan bersedia melakukan apa saja diperintahkan tuannya. Oleh itu, tidak kira bila lailatulqadar, sebagai kuli kita akan sanggup bekerja untuknya.

“Pentingnya juga lailatulqadar kerana Allah ingin meningkatkan semangat hamba-Nya tatkala stamina makin berkurangan apabila tiba akhir Ramadan, Allah menjanjikan bonus 1000 bulan,” katanya ketika menyampaikan ceramah bertajuk Lailatulqadar pada majlis Ihya Ramadan di surau The New Straits Times Press (NSTP).

Katanya, pada malam lailatulqadar 70,000 malaikat diketuai Jibril turun ke bumi dengan izin Allah untuk menjalankan tugas masing-masing termasuk menetapkan takdir seseorang termasuk rezeki, jodoh, maut, suka, duka yang disebut sebagai qada’ dan qadar.

Justeru, beliau menasihatkan umat Islam membersihkan rumah mereka sebagai persediaan untuk menyambut kedatangan malaikat. Walaupun tidak semua malaikat akan berkunjung, sekurang-kurangnya jika malaikat rahmat singgah di rumah kita sudah memadai.

Zamihan berkata, bagi mendapatkan takdir yang baik seseorang itu perlu terlebih dulu memenuhi prasyarat iaitu menjadi baik dengan melakukan semua suruhan Allah.

Beliau berkata, Allah hanya akan menyambut dan memakbulkan semua doa serta hajat hamba-Nya dengan syarat mereka bertaubat.

“Bolehkah kita meminta kepada Allah tetapi suruhan Allah kita tidak patuh. Sepatutnya jika kita hendak sesuatu yang baik kita terlebih dulu perlu berbuat baik. Jika kita banyak salah, bertaubat nasuha kerana orang yang bertaubat Allah pandang dengan belas kasihan,” katanya.

Katanya, mereka yang bertuah dan dapat ‘berjabat salam’ dengan Jibril pada malam itu akan meremang bulu roma dan gementar badannya tidak kira ketika itu mereka sedang bersolat, membaca al-Quran atau bermunajat kepada Allah.

Perasaan menjadi sayu dan mata berair mengingati akhirat, syurga, dosa serta dapat merasakan kemanisan ibadat. Hati bergetar atau berdebar seolah-oleh merasa rangsangan dan sentuhan istimewa.

Tanda fizikal untuk mengetahui sudah berlalunya malam lailatulqadar ialah apabila tiba waktu Subuh, malaikat akan naik semula ke langit dan suasana siang hari itu redup.

Zamihan berkata, mereka yang berjaya mendapat bonus kerohanian daripada malam lailatulqadar, hatinya menjadi kaya lalu tidak berasa lokek untuk melakukan semua perkara dengan ikhlas, sabar dan tenang.


Hasliza hassan | hasliza@bharian.com.my Sumber: Berita Harian Online Agama Sabtu , 11 Ogos 2012, 22 Ramadan 1433 H

Amaran, celaan untuk mereka yang bangga buat dosa

Daripada Abu Hurairah katanya, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: Setiap umatku akan dimaafkan melainkan orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosa (supaya diketahui oleh orang lain).

Sesungguhnya antara perbuatan menunjuk-nunjuk itu ialah seseorang melakukan suatu perbuatan pada waktu malam kemudian berpagi-pagi dia bercerita sedangkan Allah menutupinya, tiba-tiba dia berkata, “Wahai fulan, semalam aku melakukan begini dan begini’. Orang itu semalaman ditutupi celanya oleh Allah, tetapi pagi-pagi dia membuka tutupan Allah ke atas dirinya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Amaran dan celaan daripada Rasulullah SAW terhadap orang yang menunjuk-nunjuk perbuatan dosanya kepada orang lain.

Orang Islam yang terlanjur melakukan dosa dilarang membuat hebahan supaya diketahui orang lain dan dinasihatkan bertaubat kepada Allah SWT.

Melakukan maksiat secara terang-terangan dan berbangga dengannya menunjukkan seseorang itu memandang remeh dan memperkecilkan agama, merendah-rendahkan hak Allah dan Rasulnya serta golongan salih.

Sementara itu, bagi mereka yang melakukan kejahatan, jangan pula kita menghina mereka seperti sabda Nabi SAW: “Apabila seorang hamba perempuan melakukan zina dan telah nyata zinanya maka sebatlah ia (dengan 50 kali sebatan) tetapi janganlah menghinanya (dengan kata-kata kesat), kemudian jika dia berzina lagi (buat kali keduanya), maka sebatlah dia tetapi janganlah menghinanya. Kemudian jika dia berzina lagi buat kali ketiganya, maka juallah dia sekalipun dengan seutas tali daripada bulu (haiwan).” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam mengajar umatnya tidak menghina seseorang sekalipun dia telah melakukan perbuatan yang buruk.

Kita disuruh memisahkan diri daripada golongan maksiat atau memulaukan mereka supaya tidak bergaul dan bermuamalat dengan mereka.

Daripada Abu Hurairah, Nabi SAW bersabda: “Tiada menutup seseorang hamba akan keaiban seorang hamba di dunia melainkan Allah menutup keaibannya pada hari kiamat.” (Riwayat Muslim)

Islam mengajar umatnya tidak mendedahkan keburukan seseorang. Sesiapa yang menutup keburukan saudaranya nescaya Allah menutup keburukannya pada hari kiamat kerana ganjaran sesuai dengan amalan dilakukan.

Koleksi hadis Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sumber: Berita Harian Online Agama Sabtu , 11 Ogos 2012, 22 Ramadan 1433 H