August 12th, 2012

Hukum tazkirah ketika tarawih

DI dalam bulan Ramadan, amalan yang paling utama ialah puasa yang dilakukan di siang hari dan qiyam Ramadan yang lebih dikenali dengan solat tarawih yang dilakukan di malam hari selepas selesai Solat Isyak.

Di samping dua amalan utama ini, amalan-amalan kebajikan lain juga masih berjalan seiringan, seperti membaca al-Quran, memberi sedekah, nasihat, bantuan dan sebagainya.

Melihat kepada soalan, kita dapati di kebanyakan masjid dan surau di negara kita, ada dibuat tazkirah iaitu sesi nasihat ringkas semasa melaksanakan solat tarawih.

Waktu tazkirah itu juga berbagai-bagai, ada yang selepas solat Isyak, ada yang selepas empat rakaat, ada yang selepas selesai solat sunat tarawih, bahkan ada juga yang dilakukan antara solat Maghrib dan Isyak.

Justeru, apakah hukumnya? Untuk menjawab soalan ini, dapatlah saya kaitkan dengan masa tazkirah itu.

Pertama, tazkirah dibenarkan jika dibuat di waktu yang tidak mengganggu tujuan utama para makmum yang datang semata-mata untuk solat. Waktu yang dibenarkan adalah antara solat Maghrib dan Isyak dan selepas selesai solat tarawih keseluruhannya.

Kedua, tazkirah yang tidak dibenarkan iaitu jika dibuat di waktu yang mengganggu para makmum yang datang untuk tujuan solat sahaja. Waktu yang tidak dibenarkan adalah selepas solat Isyak dan di antara solat-solat tarawih, seperti selepas dua rakaat, empat rakaat, enam rakaat dan seterusnya.

Mengapakah dibahagikan hukum tazkirah mengikut waktu? Jawapannya pertama, kerana ajaran Islam sentiasa meraikan perasaan manusia.

Di dalam menyampaikan tazkirah dan nasihat, hendaklah kita raikan perasaan pendengar agar mereka tidak bosan. Dalilnya adalah kata-kata Abdullah bin Masud r.a., “Sesungguhnya Rasulullah SAW memberi peringatan kepada kami secara selang seli dalam hari kerana takutkan kami bosan." (Hadis riwayat al-Imam Muslim, no. 2821)

Kedua, kerana ajaran Islam tidak mengandungi unsur memudaratkan. Di antara maqasid iaitu tujuan asal tazkirah adalah menyampaikan manfaat kepada pendengar.

Dalilnya adalah hadis Ubadah bin al-Samit bahawa “Rasulullah memutuskan bahawa tidak dibenarkan membuat mudarat kepada diri sendiri mahupun kepada orang lain (La darara wa la dirar)." (Hadis sahih riwayat al-Imam Ibn Majah, No. 1909).

Akan tetapi jika tazkirah itu mengandungi unsur paksaan, di mana sebahagian para makmum datang hanya untuk solat Isyak dan solat tarawih dan ingin pulang awal kerana pelbagai urusan; maka jika dibuat tazkirah di waktu ini, perkara ini hanya akan melewatkan mereka.

Dalam erti kata lain, perkara ini akan menimbulkan kemudaratan kerana sebahagian para makmum akan mula berasa benci dengan ‘sistem’ tazkirah yang dibuat oleh surau atau masjid.

Sebahagian mereka juga akan berasa berat dan serba salah kerana mereka mempunyai urusan lain tetapi ingin juga melakukan ibadah solat tarawih secara berjemaah.

Secara konklusinya, jika surau dan masjid ingin membuat tazkirah tarawih, buatlah setelah selesai solat tarawih supaya tidak membebankan para makmum.

Boleh juga tazkirah itu dibuat antara solat Maghrib dan Isyak. Semoga amalan kita diterima oleh Allah Taala.



- DR. FADLAN MOHD. OTHMAN merupakan Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia selain Pengerusi Sekretariat Ilmuwan Malaysia. Sebarang persoalan bolehlah di e-melkan ke alamat berikut, mingguanmail@gmail.com

Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 12 Ogos 2012/ 23 Ramadhan 1433H

Rasuah rosakkan Islam di Malaysia

KETENANGAN perasaan umat Islam di bulan Ramadan pasti berkocak jika membaca laporan agensi berita AFP yang dipetik oleh akhbar tempatan pada 2 Ogos lalu. Ia mengenai empat orang pekerja Islam disingkir oleh sebuah kerajaan tempatan di Paris kerana berpuasa.

Mereka bekerja menjaga kanak-kanak di sebuah kem percutian musim panas. Pihak berkuasa Perancis itu memberikan alasan bahawa dengan berpuasa mereka letih dan boleh menyebabkan bahaya kepada kanak-kanak yang dijaga.

Majlis Muslim Perancis bercadang untuk menyaman pihak berkuasa itu atas hujah bahawa mereka telah menghalang kebebasan beragama dan mengamalkan diskriminasi.

Ini bukanlah kali pertama Perancis menarik perhatian dunia Islam dengan tindakan yang dilihat sebagai provokatif dan menekan umat Islam. Pada tahun lalu telah meletus kontroversi apabila wanita Islam dilarang menutup muka sepenuhnya.

Beberapa tahun sebelumnya, masyarakat Islam Perancis melenting apabila pelajar sekolah dilarang memakai kain tudung kepala.

Perancis adalah satu-satunya negara di Eropah yang dilihat cuba menyekat kebebasan beragama umat Islam, walaupun ia mempunyai paling ramai rakyat beragama Islam.

Dianggarkan 10 peratus penduduk Perancis beragama Islam dan bilangan mereka terus berkembang saban tahun. Beberapa pemain bola sepak kelas dunia negara itu beragama Islam seperti Zenedine Zidane, Frank Ribery, Karim Benzame dan Nicolas Anelka.

Ada kalangan melihat bahawa tindakan pihak berkuasa Perancis itu sebagai reaksi kebimbangan bukan Islam terhadap peningkatan pesat jumlah penganut agama Islam di negara tersebut.

Selain daripada kesan penghijrahan umat Islam dari negara-negara Arab seperti Maghribi dan Algeria yang dibawa masuk sebagai pekerja, bilangan saudara baru dari kalangan kaum asal juga meningkat kebelakangan ini.

Peningkatan penduduk Islam itu telah mendorong jangkaan bahawa Perancis akhirnya akan mempunyai majoriti rakyat beragama Islam pada suatu hari nanti. Kebimbangan yang diistilahkan sebagai Islamofobia ini semakin menular ke lain-lain negara di Eropah walaupun yang turut memeluk Islam kebelakangan ini ialah orang kulit putih.

Oleh kerana pembuangan empat pekerja Islam adalah rakyat Perancis, maka isu ini tidak boleh dilihat sebagai isu dunia Islam. Kita percaya masyarakat Islam Perancis berkemampuan menanganinya.

Bagaimanapun, ia wajar menjadi renungan kepada rakyat Malaysia bukan Islam. Walaupun Islam adalah agama rasmi negara, agama-agama lain boleh diamalkan dengan bebas tanpa sebarang tekanan daripada kerajaan dan masyarakat Islam.

Tercabar

Hanya apabila pihak gereja cuba melangkah ke premis larangan dengan isu kalimat Allah dan Bible dalam bahasa Melayu, barulah umat Islam di negara ini berasa tercabar dan melenting tidak lama dulu.

Bagi hamba, apa yang berlaku di Perancis hanyalah sekadar menjolok perasaan. Tetapi yang lebih menggusarkan ialah apa yang diceritakan oleh seorang teman mengenai seorang ustaz yang mempertikaikan jaminan halal logo Jakim.

Semasa menyampaikan tazkirah solat tarawih, ustaz itu telah bertanya sepintas lalu, adakah produk berlogo Jakim boleh dijamin 100 peratus halal?

Mempertikaikan jaminan logo halal adalah satu fitnah yang mempunyai kesan buruk terhadap masyarakat Islam. Ia samalah seperti bertanya, adakah semua mereka yang bergelar ustaz dijamin masuk syurga? Tentulah tiada jaminan.

Maka apakah kerana tiada jaminan, lalu kita enggan lagi menghantar anak-anak kita pergi belajar di sekolah-sekolah agama. Wajarkah?

Ingin ditanya ustaz tersebut, adakah beliau selama ini hanya makan makanan yang ditanam, diternak, diproses dan dimasak sendiri?

Atau cakapnya itu hanya satu kenyataan politik mewakili puak yang sentiasa tidak setuju dengan apa sahaja yang kerajaan buat.

Jika ada yang menentang penggunaan logo 1 Malaysia dan slogan Janji Ditunai bagi sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini, ia masih boleh masuk akal kerana premisnya memang hal-ehwal politik. Tapi isu sijil halal Jakim bukan isu yang layak dipolitikkan.

Para ustaz harus tahu membezakan apa yang layak dicakap atau sebaliknya. Ditakuti mereka juga bercakap fitnah. Tentulah kemurkaan Allah SWT lebih besar kerana mereka ini kononnya berilmu.

Orang yang berilmu tidak sepatutnya bercakap perkara-perkara yang boleh menyebabkan mudarat besar di kalangan orang ramai.

Bagaimanapun, jika sekadar berilmu dan amat sedikit imannya, akhirnya mereka bukan sahaja menyesatkan diri sendiri, tetapi turut menyesatkan orang-orang lain yang suka mendengar ceramah mereka.

Minta Allah jauhkan negara kita daripada dibanjiri dengan ustaz tipis iman ini. Dan ini ada satu lagi perkara yang lebih menggusarkan hamba di bulan Ramadan ini. Utusan Malaysia telah mendedahkan tentang penjualan tapak-tapak bazar Ramadan dengan harga pasar gelap yang mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit.

Dikatakan berlaku penyelewengan dan rasuah di kalangan pihak persatuan dan pihak berkuasa yang menguruskan pembahagian tapak bazar itu.

Ketika orang lain berlumba-lumba menambah pahala dengan kedatangan Ramadan, keparat-keparat ini pula berlari mengejar dosa besar dengan mencari keuntungan atas kesusahan orang lain. Jika Malaysia mahu melaksanakan hukum hudud, keparat-keparat ini paling layak dikenakan hukuman berat.

Semua orang tahu bahawa yang paling banyak melakukan rasuah dan pecah amanah di negara ini adalah orang-orang yang memiliki nama-nama Islam. Rupa-rupanya nama sahaja Islam, tetapi mereka tidak beriman. Mereka tidak takutkan Tuhan dan tidak percaya adanya neraka.

Jika mereka takutkan Tuhan dan percaya adanya neraka, tentulah mereka tidak melakukan perbuatan-perbuatan buruk ini.

Orang-orang ini hanya boleh diajar dengan hukuman yang menakutkan seperti di China. Barangkali penguatkuasaan undang-undang rasuah masih tidak bersungguh-sungguh.

Barangkali SPRM masih kurang cekap atau kurang kakitangan. Barangkali kerajaan perlu menjadikan usaha memerangi rasuah satu jihad. Terlalu banyak kebarangkalian.

Suatu masa dulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika masih berjawatan Perdana Menteri telah ditanya wartawan di luar negara mengenai tahap rasuah di Malaysia. Katanya, rasuah boleh di kategorikan kepada dua bentuk, iaitu terbuka dan tertutup.

Jika kakitangan kerajaan tidak takut melakukan rasuah secara terbuka, maknanya keadaan sangat teruk. Tetapi di Malaysia, kata Mahathir, rasuah masih dilakukan secara tertutup. Apakah jawapan beliau itu sekadar untuk menyedapkan hati?

Sebagai umat Islam, kita sepatutnya berasa sangat malu kerana banyak negara lain yang berjaya memerangi rasuah walaupun mereka lebih sekular dan majoriti rakyatnya bukan Islam.

Banggakah sebagai orang Islam jika kita sendiri mempunyai persepsi yang sentiasa buruk terhadap kebanyakan penjawat awam yang bertugas dalam agensi penguatkuasaan?

Begitu juga orang-orang politik yang mempunyai kuasa meluluskan itu dan ini. Mereka ini juga mengaku beragama Islam seperti kita. Malahan, barangkali ramai daripada mereka juga sedang bersolat Tarawih bersama kita pada malam-malam Ramadan ini.

Di bulan yang menuntut kita bermuhasabah diri, akuilah bahawa tahap rasuah dan pecah amanah di Malaysia adalah membimbangkan. Lebih membimbangkan lagi, sebilangan besar yang melakukan dosa besar ini ialah orang-orang yang mengaku Islam. Mereka ini adalah perosak Islam.


Kalam Manlana Arrif Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 12 Ogos 2012 / 23 Ramadan 1433

Elak lalai ibadat 10 malam terakhir Ramadan

Walaupun kita cuba menidakkan dengan mengatakan sepuluh malam terakhir Ramadan masjid dan surau semakin lengang hanyalah persepsi saja tetapi sebenarnya itulah hakikat yang berlaku tatkala bulan diwajibkan umat Islam berpuasa bakal melabuhkan tirainya.

Banyak sebab berlakunya keadaan itu antaranya masyarakat mula sibuk membuat persiapan hari raya dan bagi yang merantau pula, ada yang sudah pulang ke kampung halaman masing-masing. Justeru, masjid dan surau tidak semeriah ketika awal Ramadan.

Imam Masjid Negara, Azhar Tuarno, berkata semangat ingin menyambut hari raya yang mengatasi kemahuan untuk beribadat juga menyumbang kepada susutnya jumlah jemaah mengimarahkan masjid walaupun ketika itu Ramadan berada pada kemuncaknya.

"Ramadan menjanjikan pelbagai ganjaran dan rugi besar bagi mereka yang tidak merebut peluang ini disebabkan sibuk dengan perkara lain”. - Azhar Tuarno, Imam Masjid Negara

“Kita mesti faham masyarakat kerana secara psikologinya semangat untuk meningkatkan ibadat di bulan puasa ini tidak betul-betul jitu. Masuk minggu akhir Ramadan, perasaan itu sudah lebih kepada ingin menyambut hari raya.

“Jadi, tumpuan kepada ibadat kurang sebaliknya fikiran sibuk hendak melakukan persediaan untuk Aidilfitri. Masa beribadat juga banyak diambil untuk buat persiapan raya,” katanya.

Sedia ubah budaya

Bagaimanapun katanya, suasana masjid dan surau yang kekurangan daripada jumlah jemaah dapat
dielakkan jika masyarakat bersedia mengubah budaya yang diwarisi turun temurun iaitu mengelak membuat persiapan Aidilfitri pada saat akhir.

Justeru, beliau mencadangkan umat Islam membuat perancangan lebih awal supaya dapat memberi tumpuan kepada ibadat puasa dan amalan sunat lain yang digalakkan sepanjang Ramadan.

Katanya, Syaaban boleh menjadi bulan terbaik bagi umat Islam melakukan persediaan menyambut Ramadan, Aidilfitri, termasuk mengambil cuti serta merancang perjalanan pulang ke kampung. Apabila semua itu sudah diuruskan, tumpuan ibadat sepanjang Ramadan nanti tidak terganggu.

Rancang persiapan awal

“Rancang kerja kita dari awal nanti Ramadan tidak sibuk. Umat Islam perlu bersedia belajar buat budaya baru kerana jika tidak dimulakan, ia tidak akan jadi budaya. Apa yang kita ada sekarang ini hanya ikutan generasi dulu.

“Mana yang baik, maka baiklah untuk kita tetapi jika amalan itu hanya merugikan, adalah lebih baik dielakkan. Ramadan menjanjikan pelbagai ganjaran dan rugi besar bagi mereka yang tidak merebut peluang ini disebabkan sibuk dengan perkara lain,” katanya.

Azhar berkata, walaupun Masjid Negara tidak mempunyai kariah tetapi mercu tanda ibu kota itu sentiasa dipenuhi jemaah setia yang datang untuk berbuka serta menunaikan solat tarawih dari awal hingga akhir Ramadan.

Katanya, tidak dinafikan ada masjid serta surau yang terus terang benderang dan penuh dengan jemaah hingga 10 malam akhir Ramadan tetapi jumlahnya tidak banyak.

Menyentuh persiapan Aidilfitri pula, beliau menyarankan imam serta pengurusan masjid memberi pendedahan awal kepada jemaah mengenai solat sunat Aidilfitri dari segi cara menunaikannya serta khutbah yang disampaikan selepas solat.

Pada masa sama, umat Islam diingatkan supaya tidak lupa menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah dan jangan menunggu saat-saat akhir hingga ada yang terlupa.

“Memang lebih afdal sebelum solat sunat Aidilfitri tetapi jika semua berebut nak bayar ketika itu hingga amil pun kelam kabut, tidakkah ini lebih menyusahkan. Kita ada sepanjang Ramadan untuk membayar zakat, jadi tunaikan kewajipan itu,” katanya.


Hasliza Hassan Sumber: Berita Harian Online Agama Ahad , 12 Ogos 2012, 23 Ramadan 1433 H

Bayar zakat di institusi berwajib

Pengagihan secara individu dikhuatiri tidak patuh ketetapan syarak

Dewasa ini, masyarakat berlumba-lumba bersedekah apabila berlaku sesuatu bencana, peristiwa atau hari-hari tertentu. Ini petanda menunjukkan masyarakat kita begitu prihatin. Namun, di sebalik kemurahan itu pernahkah kita terfikir wujudnya sedekah wajib dikeluarkan apabila cukup syaratnya tanpa perlu menunggu sesuatu bencana berlaku.

Persoalan kepentingan menunaikan sedekah wajib iaitu zakat sudah banyak diperjelaskan di media massa mahupun media cetak, namun masyarakat masih tidak mengutamakan zakat sebagai wadah terbaik menyelesaikan masalah sosioekonomi umat Islam.

Dari segi pahala juga ternyata amalan wajib melebihi pahala amalan sunat. Maka sepatutnya kita hendaklah mengutamakan amalan wajib kerana pahalanya lebih besar dan dosanya juga besar jika diabaikan. Amalan sunat jika ditinggalkan tidak berdosa tetapi apabila dilakukan mendapat pahala.

Zakat, rukun Islam ketiga diwajibkan ke atas orang Islam yang telah memenuhi syarat tertentu. Manakala sedekah bukan rukun Islam tetapi digalakkan dan disunatkan kepada setiap orang beriman sama ada kaya atau miskin, kuat atau lemah.

Zakat adalah harta yang nyata sementara sedekah tidak terbatas kepada harta sebaliknya semua kebaikan termasuk dalam sedekah. Penerimanya juga berbeza kerana zakat hanya layak untuk lapan asnaf seperti ditentukan Allah, manakala sedekah kepada sesiapa saja termasuk haiwan.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa melakukan ibadah sunat di bulan Ramadan pahalanya seperti melakukan ibadah wajib. Barang siapa melakukan ibadah wajib, maka pahalanya seperti melakukan 70 kewajipan dibanding bulan lain.”

Pahala berlipat ganda

Dari segi pahala juga ternyata amalan wajib melebihi pahala amalan sunat. Maka sepatutnya kita hendaklah mengutamakan amalan wajib kerana pahalanya lebih besar dan dosanya juga besar jika diabaikan. Amalan sunat jika ditinggalkan tidak berdosa tetapi apabila dilakukan mendapat pahala.

Seperkara yang sering berlaku, apabila timbul keinginan masyarakat untuk melantik wakil sendiri dalam pengagihan wang zakat, sedangkan adalah lebih baik diserahkan ke institusi zakat berwajib atau Majlis Agama Islam.

Di Wilayah Persekutuan contohnya, Pusat Pungutan Zakat-MAIWP (PPZ-MAIWP) telah ditubuhkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk meningkatkan jumlah pembayar dan jumlah kutipan Zakat Harta di Wilayah Persekutuan.

Institusi zakat adalah satu sistem yang diwarisi sejak 1,400 tahun lalu. Institusi ini ditubuhkan Ulil Amri (pemerintah) bagi mengutip serta mengagihkan zakat kepada asnaf. Urusan zakat bukannya diuruskan secara individu tetapi diuruskan oleh institusi yang diberikan kuasa.

Mana-mana yang ingkar boleh dihukum dan ini hanya boleh dikuatkuasakan oleh pemerintah melalui institusi bukannya individu. Pengagihan yang dibuat secara individu, dikhuatiri tidak sampai kepada mereka yang berhak.

Pengagihan lebih berkesan

Oleh itu, satu mekanisme mantap, telus, memenuhi prinsip tanggungjawab serta keadilan diperlukan dalam proses mengagihkan kepada mereka yang layak. Jika tidak memenuhi kriteria ditetapkan syarak, maka dibimbangi ibadah zakat hanya dikira sebagai sedekah.

Apabila ini berlaku, maka kewajipan kita masih belum tertunai dan wajib menggantikannya (qada zakat). Menjadi tanggungjawab kita untuk berzakat melalui institusi zakat berwajib supaya kewajipan menunaikan zakat benar-benar memenuhi tuntutan syarak serta diterima ibadah itu oleh Allah.

Kemurahan hati kita berbelanja dan bersedekah masih tidak dapat meyakinkan diri mengenai kelayakan berzakat. Masih ramai mengatakan perbelanjaan melebihi pendapatan. Ada juga awal-awal lagi mengatakan mereka terlepas daripada berzakat.

Apapun kira dulu baru tahu kita kena atau tidak. Jika ditaksir semula, mungkin kebanyakan harta yang diperoleh wajib untuk dizakatkan. Kini banyak kemudahan, layari zakat.com.my kita boleh mengira zakat seterusnya membuat pembayaran.

Selain itu, kita boleh hubungi pihak PPZ-MAIWP untuk mendapat maklumat tepat berkenaan kelayakan atau persoalan mengenai zakat.

Firman Allah: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang dan keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat.” (Surah An-Nur, ayat 56)

Ayat ini menjelaskan kewajipan berzakat. Maka siapa mengingkari atau meragui kefarduannya, maka ia terkeluar dari agama Islam. Sejarah membuktikan Saidina Abu Bakar memerangi orang yang ingkar membayar zakat.

Oleh itu, kita harus menukar tanggapan berzakat hanya layak untuk orang kaya atau mempunyai lebihan pendapatan. Peranan setiap individu Islam ialah meneliti kelayakan untuk berzakat supaya terselamat daripada meninggalkan rukun Islam ketiga.

Bagi yang ingin berzakat, bolehlah ke sembilan kaunter zakat PPZ-MAIWP. Maklumat lanjut hubungi 1-300-88-5757 atau www.zakat.com.my.

Sumber: Berita Harian Online Agama Ahad , 12 Ogos 2012, 23 Ramadan 1433