August 13th, 2012

Ke mana hala tuju selepas Ramadan?

MEMASUKI fasa terakhir dalam bulan Ramadan, bererti semakin hampir umat Islam akan menamatkan kem latihan Ramadan. Namun, apakah pesta ibadah dan kemeriahan yang dirasakan dalam bulan ini akan berakhir di kala 1 Syawal menjelma?

Biarpun, Ramadan masih belum melabuhkan tirainya, wajarlah bagi kita untuk memeriksa kembali perjalanan Ramadan yang dilalui pada tahun ini agar masa yang masih berbaki ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Inilah saatnya kita memecutkan momentum ibadah yang dilaksanakan, agar matlamat sebenar daripada tarbiyah Ramadan ini dapat dicapai dengan sempurna.

Ayuh, kita muhasabah diri bersama. Ketakwaan sebagai manifestasi akhir latihan dalam bulan Ramadan. Apakah Ramadan ini berhasil untuk meningkatkan ketakwaan dan keimanan kita selepas ini? Apakah mampu, momentum ibadah dalam bulan mulia ini diteruskan untuk bulan-bulan akan datang? Atau ia akan berakhir begitu sahaja setelah bergemanya takbir Hari Raya sebagai tanda kemenangan?

Berpuasa bukan sekadar memelihara perkara yang dilarang secara fizikal serta menjaga adab-adab berpuasa tetapi juga menuntut kita berjuang memelihara daripada aspek rohani. Jadi, kedua-dua aspek ini perlu digabung jalin untuk menjadikan Ramadan ini sebagai satu madrasah dalam mendidik hati kita untuk bulan-bulan seterusnya. Sewajarnya, kita tidak mahu beranggapan bahawa Ramadan ini sebagai bulan untuk mengikat nafsu hanya buat sementara waktu.

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW pernah memperingatkan umatnya tentang kepincangan puasa yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, namun tidak mendapatkan apa-apa selain lapar, dan berapa banyak orang yang solat di tengah malam tidak mendapatkan apa-apa, selain berjaga malam sahaja." (Hadis riwayat Nasa‘ie )

Sudahkah kita berjaya menamatkan separuh masa pertama dengan pengisian yang terbaik? Mengekang nafsu, memperjuangkan semangat yang berkobar-kobar dalam mengerjakan solat fardu, tarawih serta solat-solat sunat lain? Atau , adakah ia hanya sekadar ikut-ikutan yang mahu memeriahkan Ramadan. Bersemangat pada awalnya tetapi tumbang menjelang akhirnya. Tanpa kita menginsafi dan menyedari daripada lubuk hati sendiri tentang kepentingan dan keutamaan ibadah dalam bulan Ramadan bagi mereka yang mahu merebutnya.

Ramadan semakin berakhir. Masjid dan surau semakin sepi. Barang kali kita berputus asa kerana gagal melihat sesuatu yang bernilai di hadapan. Kita tidak nampak hasil yang diperolehi daripada pecutan ibadah yang dilakukan dek kerana nilaian manusia itu kerap kali berdasarkan penilaian mata kasar bukannya mata hati.

Seandainya ketika Ramadan, ibadah ditambah nilai dengan mengerjakan ibadah sunat, bertadarus al-Quran, bersedekah, menjauhi tingkahlaku yang tidak bermanfaat seperti mengumpat dan berbohong serta aktiviti berfaedah lain, maka apakah setelah berakhirnya Ramadan, ia terus giat diamalkan atau sebaliknya? Justeru, laluan Ramadan yang masih tinggal ini, seharusnya menjadi kayu pengukur kepada amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan dan akan lakukan selepas ini.

Wajarlah kisah yang terakam dalam hidup Imam Malik bin Anas yang menangis ketika hendak berbuka puasa menjadi pedoman. Ketika ditanya oleh muridnya, beliau berkata: “Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana terkenangkan Rasulullah SAW. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit."

Bagaimana pula dengan puasa kita pada hari ini? Tidak cukup dengan beraneka jenis makanan, dijamu dengan bufet Ramadan di restoran dan hotel mewah, ditambah lagi dengan juadah di bazar Ramadan yang sememangnya menyuntik nafsu yang sedang kelaparan. Kita sebenarnya mewah dengan makanan tapi kita miskin untuk menjiwai nilai ibadah.

Tidak menjadikan makan sebagai ibadah tetapi diletakkan sebagai tumpuan dan habuan sepanjang hari berpuasa. Setelah kekenyangan berbuka puasa, sudah tidak mampu mengerjakan ibadah tarawih apatah lagi memanfaatkan 10 malam terakhir ini untuk beribadah.

Akhirnya, ia berlalu begitu saja akibat daripada nafsu yang tidak dapat dikekang. Sungguh, terlalu jauh untuk membandingkan puasa kita dengan ulama terdahulu apatah lagi insan teragung Rasulullah SAW. Namun, ia boleh dijadikan pengukur untuk memperbaiki puasa kita agar nanti ia memberi kesan yang baik bukan setakat untuk nilai kesihatan tetapi juga nilai rohani kita selepas melalui Ramadan ini.

Namun, ada juga sesetengah golongan yang masih bersederhana di bulan Ramadan dalam menikmati makanan seperti mana yang dituntut dalam Islam. Adakah amalan tersebut mampu diteruskan selepas Ramadan ditambah lagi dengan kehadiran Syawal yang dianggap sebagai puncak pesta makanan? Seringkali ramai yang tewas begitu sahaja walaupun mendapat pentarbiyahan semasa di bulan Ramadan.

Akhirnya, mereka makan secara berlebihan kerana membalas dendam setelah sebulan berpuasa. Natijahnya, hadis Nabi SAW yang bemaksud “berpuasalah, nescaya kamu menjadi sihat" hanya tinggal harapan disebabkan oleh sikap umat Islam itu sendiri yang tidak mengikuti lunas-lunas yang digariskan dalam Islam. Puasa tidak lagi mampu menyihatkan malah memudaratkan.

Puasa tidak lagi relevan untuk mengurangkan masalah obesiti malah merumitkan. Setelah berpuasa sebulan, badan telah dapat menerima keadaan tersebut. Metabolisme menjadi rendah. Oleh itu, berat badan mudah meningkat apabila diberikan makanan secara mengejut selepas berakhirnya Ramadan. Justeru, amalan berpuasa enam di bulan Syawal adalah anjuran yang terbaik agar badan dapat menerima keadaan tersebut secara perlahan-lahan. Maka, seharusnya berwaspadalah kita dalam pengambilan makanan semasa di bulan Syawal kerana ia mampu meningkatkan berat badan secara mendadak.

Oleh itu, Ramadan yang masih berbaki ini, seharusnya dijadikan medan muhasabah tentang amalan pemakanan kita. Adakah selama tempoh Ramadan ini telah mampu membuatkan kita benar-benar menghargai nilai kesihatan atau sebaliknya? Adakah mampu untuk kita kekalkan pemakanan secara bersederhana demi menjaga tuntutan kesihatan dan bertenaga untuk beribadat kepada Allah dalam mencari keberkatan Lailatulqadar?

Di bulan Ramadan, kita berpuasa selama sebulan, wajarlah kita melatih diri untuk berpuasa sunat di bulan-bulan seterusnya. Kita cuba untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran pada bulan ini, maka perlu diusahakan pada hari-hari mendatang untuk membaca dan memahami kandungan setiap lembaran al-Quran. Jika kita rajin mendirikan solat tarawih, solat tahajud dan lain-lain pada bulan ini, seharusnya pada malam-malam seterusnya kita mampu meringankan diri untuk mengerjakan qiyamullail.

Di bulan ini kita memperbanyakkan sedekah, Insya-Allah di bulan-bulan lain juga kita dapat menghulurkan sebahagian rezeki yang kita miliki. Dengan kata lain, perindahkan amalan di bulan Ramadan sebagai titik permulaan ke arah kehidupan yang lebih baik.

Apakah Ramadan yang kita lalui ini bakal memberikan impak yang besar dalam kehidupan kita atau sebaliknya. Semuanya tidak mampu memberikan jawapan pasti kerana kita hanya ada masa sekarang untuk membuat tindakan dan perhitungan. Dan masa sekarang itulah yang hanya beberapa hari sahaja lagi, apakah masih ada ruang untuk kita berlengah-lengah? Maka, insafilah diri, rebutlah peluang ini kerana kita tidak mampu mengandaikan masih adakah lagi masa untuk kita mengecapi Ramadan pada tahun hadapan.



Pandangan IKIM PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Sains dan Teknologi,Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 13 Ogos 2012 / 24 Ramadan 1433  

Kesungguhan beribadah pada sepuluh malam terakhir Ramadan di tanah suci

SALAM dari pinggir Masjidilharam. Maksud pinggir di sini kerana kedudukan hotel media yang mengikuti Mesyuarat Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang akan berlangsung minggu ini hanyalah terletak kira-kira 100 meter dari Masjidilharam. Maka, sedikit sebanyak dapat dilihat dengan jelas perjalanan keluar masuk jutaan umat Islam memasuki kawasan Masjidilharam sama ada untuk melakukan umrah, tawaf atau sembahyang lima waktu dan solat sunat serta aktiviti ibadah lain.

Ketika Ramadan memasuki hari-hari terakhir ini, semakin ramai yang memasuki kota suci Mekah dari seluruh penjuru dunia. Laporan sebelum ini menyebut, kira-kira tiga juta orang melakukan umrah pada bulan Ramadan ini. Walaupun cuaca panas tetapi setiap penjuru Masjidilharam akan dipenuhi umat Islam. Di tengah-tengah panas terik mereka melakukan tawaf sama ada tawaf selamat datang, umrah atau tawaf biasa.

Kebanjiran umat yang ramai ini menyebabkan ramai yang solat di atas jalan raya tanpa mengira waktu. Bagi memastikan tempat di dalam masjid terjamin serta di lokasi yang strategik, ada juga yang tidak akan meninggalkan masjid selepas Zohor atau Asar. Mereka ‘berkampung’ di dalam masjid sehingga tiba waktu berbuka seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isya dan Tarawih. Begitulah mereka memanfaatkan kesempatan akhir Ramadan.

Kebanyakan hotel di sekitar Masjidilharam juga penuh dengan kadar harga yang berlipat kali ganda. Tidak ada pakej satu atau dua malam sebaliknya ditetapkan 10 malam. Mahu atau tidak, anda terpaksa menerimanya. Hotel yang bertaraf dua atau tiga bintang mencecah sehingga RM2,200 satu malam. Sebuah hotel bertaraf satu bintang pula dengan tiga atau empat katil menetapkan RM30,000 bagi 10 malam dan kedudukannya pula dianggarkan 600 hingga 800 meter ke Masjidilharam.

Seorang wakil rakyat yang kebetulan ditemui menginap di hotel empat atau lima bintang ketika ditanya kadar sewanya hanya berkata: Tak payah tanyalah! Sudah pasti harganya lebih tinggi. Melihat kadar sewa ini, mungkinkah mereka yang kelihatan 24 jam di sekitar jalan raya berhadapan masjid ‘berkhemah’ di situ untuk beribadat. Tidak semua yang datang untuk melakukan ibadah itu berkemampuan untuk menyewa penginapan sama ada yang berada pada harga rendah atau sederhana. Begitulah kesungguhan ibadah yang ditunjukkan oleh umat Islam bagi mencari pahala berlipat ganda pada hari-hari terakir Ramadan ini.

Selain solat, umrah dan sebagainya, ibadat lain yang turut akan memberi ganjaran pahalanya tentulah amalan kebajikan kita sesama umat. Di sini, ramai yang berlumba-lumba untuk mencari ganjaran itu. Setiap petang menjelang waktu iftar (berbuka puasa), ada saja tangan yang akan menghulurkan makanan dan minuman untuk berbuka puasa. Ada roti, kurma, kek, teh herba, susu, minuman kotak, botol dan minuman tin. Bagi yang tidak mampu menyediakan itu, mereka juga ada cara tersendiri untuk ‘memberi’ sesuatu kepada orang yang mahu berbuka.

Mereka akan mengambil air zam-zam dan membawa cawan ke kawasan sekitarnya untuk diberikan kepada orang ramai. Di sini dapat dilihat amalan menjamu orang berbuka berbeza dengan negara kita. Mungkin setakat ini kita lebih tertumpu kepada menyediakan bubur lambuk dan diagihkan kepada orang ramai serta majlis berbuka puasa yang dianjurkan di masjid dan surau. Tidak ketinggalan juga moreh.

Menjamu orang berbuka adalah satu amalan yang baik. Nabi Muhammad SAW bersabda: Barang siapa menjamu seorang yang berpuasa untuk berbuka puasa, maka perbuatannya yang baik itu menyebabkan ia diampunkan dosanya dan menjadi penebus dirinya dari neraka dan ia pula mendapat pahala seperti pahala orang yang berpuasa yang dijamu itu dengan tidak mengurangkan pahala orang itu sedikit pun,"

Begitulah besarnya ganjaran pahala bagi mereka yang menyediakan makanan dan minuman untuk berbuka lebih-lebih lagi bagi mereka yang benar-benar memerlukan. Sebagai bulan ibadah juga, tentunya banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan bagi mendapat ganjaran pahala.

Pada sebelah siang, dapat dilihat gelagat orang yang akan ‘berbakti’ kepada orang lain. Di tengah-tengah panas terik, ketika menunggu solat Jumaat, kelihatan ramai yang membawa penyembur air. Mereka sekali sekala akan menyembur air bagi melembabkan kepala jemaah yang terpaksa bersembahyang di luar masjid. Begitu juga ketika tawaf di Baitullah pada waktu siang. Agak menarik juga ada yang sambil tawaf ‘mempamerkan’ kotak tisu di bahunya. Dan sesiapa sahaja boleh mengambilnya untuk mengelap peluh yang memercik.

Bagi yang tawaf di bahagian atas, mereka juga memerlukan ‘bantuan dan sokongan’. Ada yang mengambil daya usaha untuk mengisi botol besar dengan air zam-zam dan menanti jemaah yang sedang tawaf yang berhasrat mengurangkan dahaga. Begitu juga ketika solat. Selepas empat atau lapan rakaat, mereka akan menawarkan air zam-zam di kalangan makmum bersebelahan. Maka jemaah berkenaan tidak perlu bangun meninggalkan tempat duduknya. Mungkin jika dia bangun, tempat duduknya akan diambil orang. Begitulah aktiviti mencari keberkatan pada bulan yang mulia ini lebih-lebih lagi di tanah suci Mekah.

Keadaan ini tentulah berbeza dengan tempat kita di Malaysia. Masjid dan surau hanya penuh pada hari-hari terawal bulan Ramadan. Ketika itu saf melimpah keluar. Tetapi pada hari ini, malam-malam sepuluh terakhir, keadaan sudah berubah. Saf di dalam masjid dan surau berkurangan kerana ramai yang sibuk membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri. Lagu-lagu hari raya menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk berkunjung ke pusat-pusat membeli-belah.

Bukan setakat pakaian menjadi perhatian malahan kuih-muih untuk hari raya juga menjadi rebutan. Di pinggir Masjidil Haram, suasana membeli-belah juga hebat. Kompleks membeli-belah di situ termasuk Bin Dawood menjadi tumpuan. Mereka membeli untuk dibawa pulang. Begitulah pelbagai ragam umat Islam menjelang hari-hari terakhir Ramadan.

Semoga Ramadan ini lebih baik daripada Ramadan tahun lalu dan Ramadan akan datang kita berupaya memperbaiki keadaan supaya ia terlebih baik. Dan Ramadan ini masih ada waktu untuk kita mencari keberkatannya walaupun hanya tinggal beberapa hari sahaja.


Oleh Hassan Mohd. Noor Sumber: Berita Harian Online Rencana 13 Ogos 2012 / 24 Ramadhan 1433 H

Rebut kebaikan penghujung Ramadan

Sedar tak sedar, Ramadan ini memberi pelbagai bentuk latihan diri dan masyarakat, daripada mengawal emosi serta nafsu dengan kesabaran, membangunkan semangat berjemaah, menundukkan hati dengan memperbanyakkan sujud hingga membangunkan rasa prihatin dan kasih sayang.

Semua adalah usaha untuk melatih diri merebut peluang keemasan yang melimpah ruah dijanjikan Allah SWT dalam bulan ini yang mengatasi keistimewaannya daripada sebelas bulan yang lain. Semangat berebut-rebut melakukan kebaikan untuk meraih balasan Allah SWT dengan rahmat-Nya, keampunan-Nya dan terhindar daripada seksaan api neraka menjadi penggerak kepada segala tindak tanduk dan hati budi yang baik.


Bersama rebut kebaikan

Firman Allah SWT: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana saja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada hari kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Profesor Dr Hamka dalam tafsir al-Azhar menyatakan, ayat ini menyeru untuk bersama merebut kebaikan, berjasa kepada kehidupan dan mengelakkan perbalahan berhubung kiblat. Ada dua aspek boleh dipelajari, selain galakan menumpukan amal kebaikan berbanding keburukan perbalahan, kita juga disuruh berebut melakukannya.

Apabila perkataan ‘rebutlah’ digunakan pada kebaikan, ia mengandungi unsur nilai yang hebat meliputi suruhan untuk bersegera, tidak berlengah-lengah, melakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati suci.


Peluang sama rata

Justeru, dalam Kitab Fath al-Bari, hadis diriwayatkan Imam Bukhari menyatakan Rasulullah SAW sentiasa mengerjakan kebajikan dengan tidak bertangguh dan lebih cepat daripada hembusan angin (pembawa rahmat).

Peluang yang Allah sediakan adalah sama rata kepada semua tanpa mengira bangsa, pangkat dan kedudukan serta membalasnya mengikut usaha masing-masing.

Firman-Nya: “Dan masing-masing individu memperoleh darjat (sesuai) dengan apa yang dikerjakannya.” (Surah al-An’am, ayat 132)

Justeru, semangat berebut-rebut untuk melakukan kebaikan perlu terus dihayati dan disemarakkan khasnya apabila kita sudah berada di fasa terakhir Ramadan yang semakin luas rahmatnya. Malam-malam terakhirnya mengandungi satu malam lailatulqadar, lebih baik daripada seribu bulan.

Berada di penghujung Ramadan bererti tinggal sedikit saja peluang yang ada. Menyedari peluang berbaki ini sepatutnya menambahkan lagi semangat untuk ‘berebut’ melakukan yang terbaik sebelum Ramadan menutup tirainya.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah suka apabila seseorang itu melakukan sesuatu pekerjaan dia melakukan dengan tekun (memperbaiki dan mempertingkatkannya).” (Riwayat al-Baihaqi)

Jadi, tidak hairanlah mengapa sering diceritakan gambaran kesedihan nabi, sahabat dan salafussoleh apabila berada di penghujung Ramadan kerana bimbang jika tidak berpeluang berjumpa dengan kemuliaan Ramadan akan datang.



Semangat cintakan kebaikan

Walaupun segala keistimewaan dan keadaan berpuasa sudah sering diceritakan, namun satu perkara penting untuk disemat dan disuburkan secara berterusan selepas Ramadan ialah nilai diri yang kaya dengan semangat cintakan kebaikan supaya kita mencapai darjat insan bertakwa.

Justeru, marilah kita merebut peluang Ramadan yang ada dengan menggembleng kebaikan dalam apa juga bentuk dan munajat keampunan.

Menurut Imam al-Nawawi, dosa yang Allah ampunkan dalam Ramadan bagi mereka yang melaksanakan amal kebajikan itu adalah dosa kecil, jika tiada dosa kecil, ia dapat meringankan dosa besar. Jika tiada dosa besar, ia dapat meninggikan darjat seseorang itu dalam syurga.



Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail  Sumber: Berita Harian Online Agama  Isnin , 13 Ogos 2012, 24 Ramadan 1433 H

Ibadat puasa meriah di Makkah

Jemaah berebut membuat kebajikan mengejar pahala Ramadan

Fasa ketiga Ramadan adalah saat ditunggu-tunggu kerana pada sepuluh malam terakhir ini terdapat satu malam yang sentiasa dicari umat Islam seluruh dunia, malam lailatulqadar iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Firman Allah SWT: Sesungguhnya kami telah menurunkan al-Quran pada malam qadar. Dan apakah dia malam qadar itu? Iaitu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Malaikat dan roh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur tiap urusan. Selamatlah malam itu hingga terbit waktu fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)


Kebanyakan masyarakat di Makkah mengambil cuti pada minggu terakhir Ramadan dengan niat memberi tumpuan kepada amal ibadat. Mungkin juga mereka terdorong oleh kenyataan yang sering diingatkan kepada kita, apakah kita akan bertemu lagi Ramadan akan datang.

Bertuahlah mereka yang dipilih Allah untuk menemui malam itu. Walaupun dikatakan malam lailatulqadar ialah pada malam-malam ganjil tetapi itu bukan asas untuk kita jadikan pegangan dengan meningkatkan amalan hanya pada malam ganjil.

Sebaliknya, kita digalakkan menumpukan setiap malam melaksanakan amal ibadat yang mampu mendekatkan diri kepada Allah seterusnya mendapatkan keredaan-Nya. Sekali lagi, alangkah bertuahnya andai kita turut dipilih untuk menikmati malam tiada tandingan nilainya itu.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana saya masih diberi nikmat untuk menjalani ibadat Ramadan di Tanah Suci bersama ahli rombongan yang lain. Doa saya, semoga hasrat untuk khatam al-Quran di depan Kaabah akan dimakbulkan.

Di Makkah, malam 27, 28, 29 Ramadan akan meriah dengan jemaah yang khatam al-Quran. Silap-silap, jika lambat ke masjid, tidak ada peluang untuk membaca al-Quran di dalam masjid.


Saya juga seronok melihat suasana meriah umat Islam meraikan Ramadan di rumah Allah. Masing-masing berebut-rebut melakukan amal kebaikan. Masing-masing berebut untuk bersedekah dan paling tidak pun, mengambil air zamzam untuk disusun di saf berbuka jemaah.

Mereka akan mencari apa juga cara untuk mendapatkan ganjaran pahala yang berlipat ganda di bulan mulia ini hatta memimpin tangan saudara yang tidak berdaya.

Malah, ada antara jemaah yang sanggup bergaduh hanya kerana berebutkan saf untuk solat. Kita faham, masing-masing ingin mendapatkan hanya yang terbaik daripada Allah. Maklumlah, pahala puasa hamba adalah milik Allah menentukannya.

Sudah tentu semua inginkan markah penuh dan bagi memastikan ibadat puasa mendapat markah yang banyak, maka amalan sunat serta perkara dianjurkan dilakukan pada Ramadan menjadi rebutan semua.

Itulah kelebihannya apabila puasa dilaksanakan sepanjang Ramadan ini dilakukan dengan penuh penghayatan. Barulah jihad kita melawan nafsu di siang hari memberi makna. Kehebatan ibadat puasa hanya kita dapat merasainya, jika ada peningkatan iman dalam diri, itu tanda positif.

Sebaliknya jika sikap dan amalan tiada beza seperti bukan di bulan puasa, itu tanda ada yang tidak kena pada ibadat puasa kita. Oleh itu, seharusnya kita berusaha dan bertekad supaya ibadat puasa kita tidak menjadi amalan sia-sia.

Kebanyakan masyarakat di Makkah mengambil cuti pada minggu terakhir Ramadan dengan niat memberi tumpuan kepada amal ibadat. Mungkin juga mereka terdorong oleh kenyataan yang sering diingatkan kepada kita, apakah kita akan bertemu lagi Ramadan akan datang.

Berbeza dengan senario di negara kita kerana penghujung Ramadan dijadikan kesempatan untuk melakukan persediaan hari raya. Sedangkan, sepatutnya persediaan hari raya dilakukan lebih awal supaya tidak menjadi halangan untuk memberi tumpuan kepada ibadat lain.

Semua itu boleh dilakukan jika kita merancang dengan baik. Tepuk dada tanya iman kerana menjadi satu kerugian jika waktu yang sepatutnya diluangkan dengan memperbanyakkan membaca al-Quran, menunaikan solat sunat dan berzikir kepada Allah dihabiskan di pusat beli-belah atau bazar hari raya.

Rasanya, masyarakat kita masih belum berubah daripada budaya kehidupan yang dirasakan mereka sebagai sesuatu yang normal. Sebab itu, mereka susah untuk melakukan perubahan terutama apabila terpaksa mengorbankan kegirangan menyambut hari raya.

Sebenarnya, sudah tiba masanya untuk kita menongkah arus. Jika orang lain masih sibuk melakukan persediaan raya, adalah lebih baik kita sibuk memperbanyakkan amal supaya apabila Ramadan berlalu, tiada tinggal perasaan sesal.

Ayat merawat selesema, surah al-Anfal (ayat 36-50). Amalkan secara istiqamah dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT.



Ashraf Muslim Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 13 Ogos 2012, 24 Ramadan 1433 H

Nuzul al-Quran, tarawih di Aceh meriah

Jemaah melimpah di Masjid Raya Baiturrahman

Pengalaman menghayati peristiwa nuzul al-Quran di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, pada 17 Ramadan lalu cukup memberi kesan. Ia bukan saja memberi pengalaman spiritual yang amat diperlukan umat Islam akhir zaman ini, malah memperlihat keindahan budaya Ramadan tanpa sebarang polemik mengenai jumlah rakaat solat tarawih.


Di negara sendiri, sambutan nuzul al-Quran cukup sederhana, malah sesetengahnya tidak sedar pun kedatangannya. Terdapat juga negeri yang memberi cuti umum sebagai menghormati peristiwa turunnya al-Furqan kepada Rasulullah SAW, namun penghayatannya tidak jelas, mungkin sekadar menghabiskan cuti untuk membeli-belah pakaian Aidilfitri.



Suasana malam di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh.

Doa Syeikh Ali pada akhir ceramah dan solat tarawih cukup memberi kesan kerana semua jemaah menangis menghayati doa yang dipanjatkan memohon keampunan kepada Allah. Jika selama ini, doa disampaikan dalam bahasa Arab hanya imam saja yang menangis, namun kali ini ia disampaikan dalam bahasa Indonesia, menyebabkan ia terus meresap ke jiwa.


Sesuai dengan jolokan Aceh sebagai Serambi Makkah, pihak berkuasa melaksanakan peraturan memastikan semua kedai makan hanya dibuka selepas jam tiga petang, bagi membolehkan orang ramai membeli juadah berbuka.

Selepas Asar, semua masjid memperdengarkan bacaan al-Quran melalui pembesar suara masing-masing menjadikan suasana menjelang berbuka cukup meriah.

Masjid Raya Baiturrahman yang terletak megah di tengah-tengah bandar mempunyai sejarah tersendiri. Sultan Iskandar Muda membangunkan masjid yang pada mulanya dikenali sebagai Masjid Raya pada 1022 H/1612 M. Malangnya ketika serangan tentera Belanda untuk menakluki Aceh pada 1873, masjid itu musnah dibakar.

Pemerintah tentera Belanda, Mayjen Khohler yang dibunuh di perkarangan masjid ketika rakyat mempertahankan masjid turut dapat dilihat kesannya pada tugu kecil di bawah pokok ketapang, berhampiran pintu di sebelah utara masjid.


Selepas pembinaan semula pada 1875 dan melalui beberapa perubahan, sekali lagi ketika tsunami melanda Aceh pada 26 Disember 2004, masjid itu menjadi tempat masyarakat bandar Aceh menyelamatkan diri daripada ombak besar yang menghanyutkan manusia dan harta benda.

Diceritakan, ombak besar yang mengganas, secara tiba-tiba menjadi reda ketika menghampiri masjid sehingga mereka yang menyelamat diri dalam masjid dapat menarik nafas lega. Kejadian itu masih menjadi buah mulut masyarakat Aceh walaupun selepas tujuh tahun tragedi melanda setiap kali bertemu pelancong asing yang bertanyakan mengenai kejadian berkenaan.

Bekas imam Madinah berbahasa Indonesia

Pada malam nuzul al-Quran, bandar Aceh sesak apabila kira-kira 10,000 jemaah berbondong masuk ke masjid untuk melakukan solat sunat tarawih. Tarikan ke masjid kali ini ialah kehadiran bekas imam Masjid Madinah, Syeikh Ali Jaber memberi ceramah sebelum tarawih, seterusnya menjadi imam solat berkenaan.

Syeikh Ali Jaber yang fasih berbahasa Indonesia pertama kali datang ke Aceh pada 2008 dan kini menetap di Jakarta untuk mempelajari bahasa Indonesia sambil berdakwah.

Ceramah selepas Isyak yang berkisar mengenai sejarah nuzul al-Quran, indahnya Ramadan dan mengingati mati menyentuh jiwa jemaah yang melimpah sehingga ke kawasan tanah lapang di sekeliling masjid.

Syeikh Ali menceritakan sejarah penurunan al-Quran dari Loh Mahfuz ke Baitulizzah dan secara berperingkat-peringkat kepada Rasulullah SAW di Makkah dan Madinah selama 23 tahun. Katanya, sesiapa menjadikan kitab suci itu sebagai sumber kehidupan, ia akan selamat di dunia dan akhirat.

Apabila mengaitkan kejadian tsunami di Aceh, Syeikh Ali berkata, bencana itu datang ke Aceh kerana masyarakat jarang membaca al-Quran.

“Air laut setiap hari tiga kali meminta izin untuk menenggelamkan manusia kerana berani melawan hukum Allah. Allah hantar tsunami itu sebagai peringatan, jika Allah murka, habis Sumatera dimusnah-Nya,” katanya.

Beliau turut mengingatkan jemaah supaya mengingati kematian yang semakin dilupakan manusia kerana lalai mengejar keduniaan.

“Kematian adalah benar. Dengan menziarahi kubur akan mengingatkan kita mengenai mati dan jangan masuk kubur (mati) dalam penyesalan,” katanya.

Jemaah menangis mengaminkan doa

Doa Syeikh Ali pada akhir ceramah dan solat tarawih cukup memberi kesan kerana semua jemaah menangis menghayati doa yang dipanjatkan memohon keampunan kepada Allah.

Jika selama ini, doa disampaikan dalam bahasa Arab hanya imam saja yang menangis, namun kali ini ia disampaikan dalam bahasa Indonesia, menyebabkan ia terus meresap ke jiwa.

Suasana malam nuzul al-Quran di serambi Makkah mempunyai aura tersendiri, terutama bagi mereka yang pernah melakukan ibadat umrah di Makkah pada pertengahan atau akhir Ramadan.

Sesuatu yang jelas, majoriti jemaah yang hadir terdiri daripada remaja dan golongan belia. Hanya dengan berseluar denim dan baju T mereka membanjiri masjid melakukan solat sunat tarawih.

Solat tarawih lapan rakaat dilakukan tanpa selang seli dengan tasbih dan selawat diakhiri solat witir menarik minat golongan muda untuk mendekati masjid. Tambahan 12 lagi rakaat solat diiringi selawat, diteruskan untuk menjadi 20 rakaat yang kebanyakannya di hadiri golongan tua.

Jika di Malaysia, wujud polemik mengenai lapan atau 20 rakaat solat tarawih sehingga menyebabkan golongan muda tidak ramai menghidupkan malam Ramadan, di Aceh sebaliknya.



Muhd Yusuf Abu Bakar Sumber: Berita Harian Online Agama Isnin , 13 Ogos 2012, 24 Ramadan 1433 H