August 14th, 2012

Musibah atau barakah bukan kesimpulan hidup

Suatu masa ada seorang petani miskin yang mempunyai seekor kuda yang sangat indah. Kuda putih yang gagah itu sangat menarik perhatian sehingga raja terpikat dan bermaksud untuk membelinya. Tapi si petani menolak untuk menjualnya.

Si petani itu tidak bersedia menjual kuda itu walaupun raja sudah berkenan membayar dengan harga berapa pun. Jiran sekitar petani sangat menyesal dengan sikap petani miskin itu. Mereka berpendapat bahawa dengan menjual kuda itu, petani itu dapat mengubah hidupnya dan menjadi lebih senang. Jiran tetangga petani itu juga ada mengatakan bahawa kemungkinan petani itu akan menerima musibah atau kutukan akibat menolak rezeki sedemikian besar.

Sesungguhnya, hidup kita ini bagaikan lembaran buku yang telah ditulis-Nya. Di sebalik lembaran musibah, boleh jadi tersimpan barakah yang tiada tara dan sebaliknya. Ketika saat tertimpa musibah, bersabarlah dan berharaplah bahawa lembaran selanjutnya adalah lembaran anugerah.

Beberapa hari kemudian, kuda putih milik petani itu hilang daripada kandangnya. Tetangga si petani miskin itu berasa hairan. Mereka menyalahkan petani miskin itu yang tidak mahu menjual kudanya.

Mereka mendatangi petani miskin itu dan mengatakan bahawa dia telah terkena kutukan, dengan adanya musibah itu. Dengan menarik nafas agak panjang, si petani menjawab: “Kalian jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Anggaplah bahawa kudaku itu keluar dari kandangnya. Itu saja! Jangan engkau menganggap ini sebagai musibah atau malah barakah bagi saya!”

Setengah bulan kemudian, tiba-tiba kuda itu muncul dengan membawa lima ekor temannya. Kuda-kuda itu kemudian dilatih dan selepas jinak, dijual oleh petani itu dan dapat hidup mewah.

Semua tetangga menemui petani dan mengakui kesalahan mereka. Mereka mengatakan bahawa memang hilangnya kuda putih setengah bulan lalu adalah barakah. Si petani kemudian berkata: “Sudahlah jangan terlalu cepat membuat kesimpulan. Anggaplah bahawa kuda putih telah kembali dengan membawa teman-temannya. Itu saja! Jangan engkau mengatakan bahawa ini adalah sebuah musibah atau malah barakah bagi saya”.

Jiran tetangga kembali ke rumah masing-masing sambil tetap berpendapat bahawa petani itu begitu beruntung kerana telah mendapat barakah atas kembalinya kuda putihnya.

Si petani ini mempunyai seorang putera. Dia membantu ayahnya untuk menjinakkan kuda liar. Pada suatu saat, dia terjatuh ketika berusaha menjinakkan seekor kuda. Kakinya patah.

Tetangga pun kembali datang dan membenarkan apa yang dikatakan si petani. Mereka akhirnya mengakui bahawa kembalinya kuda-kuda itu bukan membawa barakah. Namun, si petani berkata: “Mengapa kalian begitu bodoh. Jangan terlalu cepat menyimpulkan! Baiklah anggap saja puteraku telah jatuh dan kakinya patah. Itu saja! Jangan engkau mengatakan apakah ini sebuah musibah atau barakah bagi saya.”

Sesungguhnya, hidup kita ini bagaikan lembaran buku yang telah ditulis-Nya. Di sebalik lembaran musibah, boleh jadi tersimpan barakah yang tiada tara dan sebaliknya. Ketika saat tertimpa musibah, bersabarlah dan berharaplah bahawa lembaran selanjutnya adalah lembaran anugerah.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman bermaksud: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. (Surah al Baqarah: Ayat 216).


Hashim Ahmad Sumber: Berita Harian Online Agama Selasa , 14 Ogos 2012, 25 Ramadan 1433 H

Enam KPI tarbiah Ramadan

Didikan sebulan jadi momentum kebaikan, perubahan

Kini umat Islam sudah berada dalam fasa terakhir Ramadan. Eloklah kiranya mereka bermuhasabah apakah dengan menjalani ibadah puasa Ramadan itu mereka dapat merasai kesan tarbiahnya? Jika mereka sudah dapat merasai kesannya, apakah pula kesannya itu?

Paling tidak, terdapat enam kesan dapat dilihat dalam kehidupan umat Islam selepas menjalani ibadah puasa Ramadan. Keenam-enam kesan ini pula adalah petunjuk prestasi utama (KPI) umat Islam hasil daripada tarbiah Ramadan.

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jathiyah ayat 23).

Perangi hawa nafsu

Pertama, jiwa mereka bertambah kuat. Dalam hidup, manusia sering didominasi hawa nafsunya. Dengan itu, manusia mudah menuruti apa saja yang menjadi keinginannya meskipun keinginan itu sesuatu yang tidak baik dan mengganggu serta merugikan orang lain.

Oleh itu, dalam Islam ada perintah supaya memerangi hawa nafsu. Perangi di sini bermaksud berusaha untuk menguasainya, bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan langsung terhadap sesuatu yang bersifat keduniaan.

Sekiranya dalam peperangan memerangi hawa nafsu ini manusia mengalami kekalahan, tidak mustahil mereka akan mengalihkan pengabdiaannya iaitu daripada mengabdikan diri kepada Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Esa kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia pada kesesatan.

Masalah ini ada dijelaskan dalam firman Allah SWT bermaksud: “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jathiyah ayat 23).

Kedua, mereka sentiasa menginginkan perkara kebaikan dan tidak mudah berputus asa dalam melakukan sesuatu perkara. Dengan berpuasa seseorang insan itu dididik supaya sentiasa memiliki keinginan yang tinggi kepada kebaikan, walaupun untuk melaksanakan kebaikan itu terhalang oleh pelbagai halangan atau kesukaran. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik, meskipun peluang untuk menyimpang begitu besar.

Keempat, seseorang Muslim akan mudah bersyukur dengan kenikmatan diperolehnya. Dalam hidup ini, sebenarnya sudah terlalu banyak kenikmatan yang Allah SWT kurniakan kepada manusia, tapi ramai pula dalam kalangan manusia yang tidak pandai mensyukuri.

Jika seseorang manusia itu memperhatikan dan menilai segala kenikmatan yang telah diperolehnya, sebenarnya dia sudah sangat beruntung berbanding orang lain yang tidak memperoleh sesuatu seperti yang diperoleh olehnya ataupun orang lain memperoleh sesuatu dengan penuh kesukaran berbanding dirinya.

Kelima, seseorang Muslim akan sentiasa mengingati dan merasakan penderitaan ditanggung orang lain. Merasa lapar dan dahaga juga memberikan keinsafan kepada kita bagaimana beratnya penderitaan yang ditanggung umat Islam di sesetengah tempat yang tidak cukup bekalan makanan dan minumannya.

Bersimpati pada umat Islam lain

Dari sini puasa akan mendidik kita supaya sentiasa bersimpati kepada umat Islam lain yang sedang berdepan dengan pelbagai penderitaan. Ada yang hingga kini masih belum selesai, seperti penderitaan umat Islam di Syria, Palestin, Rohingya dan sebagainya.

Keenam, seseorang Muslim sentiasa berada pada tahap membanggakan meskipun berada pada bulan selain Ramadan. Maksudnya, mereka terus menerus (istiqamah) melakukan amalan-amalan kebaikan yang dilakukan sepanjang Ramadan seperti terus bertadarus al-Quran, tidak tinggalkan solat malam, perbanyakkan solat sunat, sentiasa memberikan sedekah dan membantu golongan yang tidak berkemampuan, sentiasa berzikir, sentiasa menjaga lidah, mata dan telinga, berpuasa sunat Syawal, berpuasa Isnin dan Khamis dan sebagainya.

Amat diyakini dengan cara sebegini seseorang Muslim itu dapat mengekalkan momentum kebaikan dan perubahan yang diperoleh hasil daripada tarbiah Ramadan.

Rumusannya, dengan adanya keenam-enam kesan ini pada diri setiap umat Islam, sudah cukup untuk menilai secara kualitatif prestasi dan kejayaan yang dicapai oleh mereka hasil daripada pendidikan Ramadan selama sebulan.

INFO: 6 KPI Tarbiah Ramadan

Jiwa bertambah kuat
Sentiasa menginginkan perkara kebaikan
Tidak mudah berputus asa
Mudah bersyukur dengan kenikmatan diperoleh
Sentiasa mengingati dan merasakan penderitaan ditanggung orang lain
Istiqamah melakukan amalan-amalan baik.



Sumber: Mohd Shukri Hanapi Berita Harian Online Agama Selasa , 14 Ogos 2012, 25 Ramadan 1433 H

Amalan saat akhir jadi penentu

Puasa mereka yang terdahulu daripada kita penuh dengan kekuatan sama ada fizikal ataupun spiritual. Siangnya penuh aktiviti berfaedah, produktif serta kesungguhan luar biasa. Malamnya dipenuhi ibadat khususnya tadarus al-Quran yang diturunkan khas pada Ramadan yang mulia.

Boleh dikatakan keseluruhan Ramadan adalah pengabdian kepada Allah SWT. Kita sedang menghadapi hari-hari penting Ramadan khususnya pada sepuluh terakhir dengan Baginda SAW menampakkan kesungguhan pengabdiannya kepada Allah SWT.

Menghidupkan malamnya ialah beribadat dengan sebelumnya Baginda SAW membahagikan malam kepada dua bahagian iaitu untuk beribadat dan tidur. Namun, menurut Saidatina A’isyah, pada sepuluh terakhir, Baginda menghidupkan seluruh malam untuk beribadat.

Kepentingan sepuluh malam terakhir dapat dilihat kepada andaian Baginda SAW yang pernah menggambarkan bahawa Allah SWT akan mengiktiraf amalan seseorang mengikut saat-saat terakhir yang dilaluinya atau penutup amalannya.

Ahli fikah merumuskan: “Pengiktirafan adalah di penghujung cerita. Baginda SAW pernah berdoa: Ya Allah!, jadikanlah hari-hari terindah dalam hidupku ialah ketika kita bertemu, sebaik-baik umurku ialah ketika berada di penghujungnya dan sebaik-baik amalanku ialah pada saat akhirnya.”



Ambil peluang

Justeru, amalan saat akhir kehidupan seseorang penentu nasib di akhirat kelak. Begitu juga dengan amalan Ramadan dinilai pada noktah penghujungnya.

Baginda SAW sentiasa mengingatkan sahabat supaya tidak leka daripada mengambil peluang malam terakhir ini.

Baginda SAW berpesan: “Sesungguhnya kamu berada di Ramadan yang mulia. Padanya ada malam lebih baik dari seribu bulan. Sesiapa yang tersasar darinya dianggap terlepas daripada segala kebajikan dan mereka yang lalai daripadanya adalah orang yang amat rugi.” (Hadis Ibnu Majah)

Riwayat daripada Ibnu Umar menyatakan, salah seorang sahabat bermimpi bahawa malam lailatulqadar sudah tiba dan Baginda SAW ditanya bilakah berlakunya. Baginda SAW bersabda: Aku melihat bahawa ia bertepatan pada tujuh malam terakhir. Sesiapa yang ingin mendapatkannya, maka bersedialah pada malam-malam itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun, ada juga riwayat daripada Ibnu Umar sendiri menyatakan pada sepuluh malam terakhir tetapi dengan lafaz berbeza.

Sabda Baginda SAW: “Bersedialah pada sepuluh malam terakhir. Jika kamu tidak berupaya atau tidak berkesempatan, berusahalah pada tujuh malam terakhir.” (Riwayat Muslim, Ahmad Tayalisi)



Tiada tarikh sebenar

Semua riwayat lailatulqadar menunjukkan tiada tarikh sebenar melainkan kesahihan pada sepuluh malam terakhir saja. Ulama berpendapat hikmah Baginda SAW dilupakan tarikhnya adalah untuk memberikan kesempatan umat berusaha pada setiap malam Ramadan bagi meraikan kemuliaannya.

Demikian juga Allah SWT merahsiakan saat mustajab doa pada hari Jumaat dan merahsiakan satu namanya yang mustajab dalam doa supaya semua 99 namanya dijadikan zikir dan doa.

Sahabat bernama U’badah berkata: “Baginda SAW keluar untuk memberitahu kepada kami, bilakah malam lailatulqadar, lalu aku disapa dua orang pemuda di jalanan. Akhirnya aku sudah lupa. Semoga ia menjadi kebaikan buat kamu semua.” (Riwayat Bukhari)


Zamanuddin Jusoh Sumber: Berita Harian Online Agama Selasa , 14 Ogos 2012, 25 Ramadan 1433 H