August 16th, 2012

Aidilfitri rapatkan ukhuwah

Balik kampung, ziarah menziarahi pupuk semangat persaudaraan

Falsafah Aidilfitri untuk merapatkan silaturahim dan persaudaraan sesama umat Islam serta ahli keluarga dapat dilihat melalui budaya balik kampung, ziarah menziarahi serta konsep rumah terbuka yang menjadi budaya masyarakat negara ini. Pendakwah bebas, Mohd Yaakob Mohd Yunus, berkata kesempatan itu wajar digunakan ibu bapa untuk memperkenalkan anak mereka kepada saudara mara yang jarang berjumpa supaya silaturahim dan ukhuwah terus terpelihara.

Selain amalan ziarah-menziarahi, budaya saling bermaaf-maafan juga menjadi tradisi yang sebati dalam kalangan masyarakat setiap kali tibanya Aidilfitri”. - Mohd Yaakob Mohd Yunus, Pendakwah bebas


“Oleh itu ibu bapa perlu mengekalkan tradisi ziarah menziarah ketika Aidilfitri ini dengan membawa anak bersama. Jangan biarkan anak kita berkumpul depan televisyen. Pujuk dan jelaskan kepada mereka hikmah di sebalik kunjungan itu.

“Pastinya kita tidak mahu anak tidak mengenali sepupu, bapa saudara atau ahli kerabat yang lain terutama yang tinggal berjauhan. Adalah malang jika kita sering bersua tetapi tidak mengetahui ada mempunyai hubungan keluarga,” katanya.

Perluas ukhuwah sesama umat

Katanya, selain ahli keluarga, ukhuwah perlu diperluaskan dalam kalangan sesama umat Islam kerana setiap manusia yang beriman kepada Allah dianggap bersaudara seperti firman Allah SWT: “Sebenarnya orang beriman itu adalah bersaudara.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Rasulullah SAW turut bersabda: “Tidak sempurna keimanan seseorang daripada kalian, sebelum dia mencintai saudaranya (sesama Muslim) seperti mana dia mencintai dirinya sendiri.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Lantaran itu sambutan Aidilfitri bertujuan merayakan kemenangan kerana berjaya menunaikan kewajipan sebagai hamba yang taat perintah Allah turut diterapkan nilai memupukkan semangat persaudaraan serta mengukuhkan silaturahim sesama umat Islam.

Mohd Yaakob berkata, cara Rasulullah SAW mengatur solat sunat Aidilfitri di tanah lapang (musolla) berbanding masjid supaya dapat mengumpulkan seramai mungkin umat Islam pada satu masa di satu tempat juga tersirat maksud tersendiri.

“Setidak-tidaknya kita semua boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dari seluruh pelusuk negeri akan berkumpul di satu tempat, menghadap Allah dengan hati penuh khusyuk.

“Bersama membaca kalimat tauhid, solat di belakang imam, bertakbir dan bertahlil berdoa kepada Allah dengan ikhlas. Seakan-akan hati kita terikat menjadi satu, dengan itu hari raya benar-benar bermakna.” katanya.

Makna zakat

Beliau berkata, pensyariatan zakat fitrah bukan saja bertujuan membersihkan mereka yang berpuasa daripada perkara menyebabkan ibadahnya menjadi kurang sempurna disebabkan melakukan perkara sia-sia dan mengucapkan perkataan keji.

Malah, pemberian zakat untuk meringankan beban golongan tidak berkemampuan juga bukti tanda kasih sayang umat Islam kepada saudaranya kerana jika mereka bergembira maka saudara mereka juga berhak menikmati kegembiraan itu. Beginilah Islam mengatur sambutan Aidilfitri supaya hati umat Islam bersatu.

Selain amalan ziarah-menziarahi, budaya saling bermaaf-maafan juga menjadi tradisi yang sebati dalam kalangan masyarakat setiap kali tibanya Aidilfitri. Amalan itu mampu menimbulkan rasa kasih sayang dan saling hormat-menghormati.

Saling bermaaf-maafan

Mohd Yaakob berkata, bagi mereka yang sudah lama berbalah boleh mengambil keberkatan Aidilfitri ini untuk mempersatukan semula hati dan memperbetulkan keadaan dengan bermaaf-maafan.

“Semoga suasana meriah dan gembira ketika sambutan Aidilfitri boleh mempengaruhi kotak minda seseorang untuk lebih mudah memaafkan kesalahan pihak lain. Apa pun, umat Islam perlu membudayakan sikap bermaaf-maafan bukan sekadar pada Aidilfitri saja,” katanya.

Beliau berkata, ciri orang bertakwa yang dikasihi Allah ialah bersegera melaksanakan amal baik, mendermakan harta tidak kira ketika senang atau susah, menahan kemarahan serta memaafkan kesalahan orang lain.



Hasliza Hassan Sumber: Berita Harian Online Agama Khamis , 16 Ogos 2012, 27 Ramadan 1433 H

Komentar: Bahaya pemikiran liberal dalam masyarakat

Kolumnis Indonesia pertikai penerimaan penganut Katolik di Malaysia tak wajar

Pemikiran liberal dalam kalangan pihak tertentu terutama mereka yang kononnya berpendidikan tinggi amat membimbangkan. Ada yang mempunyai nama Melayu, mengamalkan budaya dan adat resam Melayu dan beragama Islam. Tetapi ada kalanya tindak-tanduk mereka amat mencurigakan. Apabila mereka berhujah atau bercakap mengenai sesuatu, terutama berkaitan agama, kenyataan mereka boleh menimbulkan sangsi, seolah-olah condong kepada pihak lain, kalau tidak pun lari daripada akidah.


Apa yang berlaku di Indonesia sebenarnya jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia. Sedarkah beliau bahawa di Indonesia lelaki bersongkok boleh menjual babi guling?”

Mungkin bagi golongan ini, orang yang terlalu mengikuti peraturan atau budaya tertentu itu ortodoks agaknya. Bagi mereka juga, pihak yang tidak sependapat dengan pemikiran bebas dan liberal seperti mereka semuanya kolot.

Kolumnis bela Katolik

Penulis memetik satu penulisan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris yang disiarkan pada 7 Ogos lalu. Penulisnya seorang kolumnis terkenal menceritakan mengenai bagaimana golongan Kristian Katolik di Indonesia lebih diterima oleh masyarakatnya, berbanding di Malaysia.

Katanya, penganut agama Kristian Katolik adalah golongan minoriti di kedua-dua negara, kurang daripada tiga peratus di Indonesia dan secara rasminya pula berjumlah lebih sejuta di Malaysia. Namun Katolik di Indonesia lebih diterima dalam fabrik kehidupan masyarakat di sana.

Penulis itu menyatakan betapa sedihnya melihat kebanyakan golongan Katolik di Malaysia masih dianggap sebagai orang luar, malah sebagai orang asing, walaupun negara kita sudah merdeka lebih separuh dekad.

Ceritanya berlegar pada kehidupan seorang paderi terkemuka di Indonesia iaitu Albertus Soegijapranata, yang difilemkan. Soegija dilahirkan sebagai Muslim pada 1896 dan kemudian menukar agama ketika berusia 14 tahun.

Berdasarkan pemerhatiannya mengenai kehidupan Soegija, penulis berkenaan merumuskan bahawa pendekatan Indonesia terhadap agama dan kaum adalah jauh lebih baik daripada Malaysia. Benarkah keadaan itu dan apakah ia berdasarkan kajian?

Lalu diceritakannya mengenai kegemilangan paderi berkenaan sehingga beliau akhirnya mempunyai hubungan akrab dan diyakini oleh Presiden Sukarno. Soegija juga dikatakan antara orang yang memperjuangkan penggunaan bahasa Indonesia dalam pengucapan di gereja.

Konsep identiti nasional

Sebenarnya penulis terbabit ingin membuat perbandingan antara konsep identiti nasional kita dengan apa yang berlaku di Indonesia.

Sebagai seorang kolumnis terkenal, penulisannya sememangnya menarik. Gaya dan lenggok bahasanya ketika menyampaikan ideanya juga sedap dibaca.

Tetapi diharapkan beliau memahami terlebih dulu hubungan kaum dan agama di negara ini mengikut konteks dan latar belakang sejarah kita sendiri.

Apa yang berlaku di Indonesia sebenarnya jauh berbeza dengan keadaan di Malaysia. Sedarkah beliau bahawa di Indonesia lelaki bersongkok boleh menjual babi guling?

Sedarkah beliau bukan semua yang bersongkok itu beragama Islam? Tahukah beliau apa bezanya budaya Malaysia dengan budaya Indonesia?

Kalau beliau hanya memilih untuk melihat konsep identiti kerana kesediaan semua pihak menerima sesiapa saja dengan sama rata, beliau sebenarnya tidak memahami sejarah penubuhan Malaysia.

Jumlah penduduk Muslim di Indonesia juga yang terbesar di dunia. Jumlah penduduk Muslim khususnya Melayu di Malaysia hanya melebihi 15 hingga 20 peratus berbanding kaum lain. Jika perkara ini tidak dianggap penting, maka tidak hairanlah satu hari nanti hilanglah identiti kemelayuan di negara ini.

Sudahlah kedudukan ekonomi negara dikuasai kaum lain, sudah ada pula tanda-tanda bahawa kuasa politik juga ingin dirampas mereka.

Namun tidak seperti yang disangka penulis terbabit, tiada satu usaha pun di negara ini untuk menidakkan mana-mana golongan, sama ada Katolik, Buddha, Hindu dan lain-lain.

Malaysia lebih adil

Dalam banyak segi, kita mungkin lebih adil berbanding kebanyakan negara lain. Kalau tidak silap, hanya di Malaysia saja wujudnya Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.

Kita sepatutnya bersyukur dengan apa yang ada, bukannya teruja apabila melihat kain rentang di gereja di sebuah negara jiran yang mengucapkan ‘Selamat Menunaikan Ibadat Puasa’. Adalah lebih wajar beliau mengambil kesempatan Ramadan ini untuk juga lebih memahami Islam.


Razak Rashid Ghows Sumber: Berita Harian Online Rencana Khamis , 16 Ogos 2012, 27 Ramadan 1433 H

Islam larang main mercun

ISU mercun memang sinonim dengan musim perayaan. Setiap tibanya Ramadan atau musim perayaan, pasti ada laporan penyeludupan, penjualan serta kes kecederaan bermain mercun.

Kesalahan bermain mercun dianggap masalah sikap individu itu. Dari aspek undang-undang, jika sesiapa didapati melakukan perbuatan bermain, menyeludup atau menjual, mereka boleh dihukum, tetapi bagaimana dengan hukum agama?

Ada dua sebab masyarakat tidak mengaitkan bermain mercun dengan aspek agama.

Pertama, mereka menyempitkan ruang lingkup keagamaan dengan menganggap ia aspek kerohanian dan amalan ritual semata-mata.


Kedua, mereka mengang-gap undang-undang dan hukuman mercun sedia ada hasil ciptaan manusia semata-mata.


Mereka tidak memikirkan dosa apabila melanggarnya. Jika ditangkap dan dihukum denda, mereka membayarnya. Jika terlepas, mereka terselamat daripada hukuman malah bangga berbuat demikian.

Walaupun mercun diwartakan bahan larangan, masih ada pihak yang menyeludup, menjual, membeli dan bermain mercun. Masyarakat seolah-olah tidak menghiraukan undang-undang yang sedia ada.

Penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan mercun adalah tanggungjawab pemerintah.

Kepentingan yang tidak dinyatakan secara jelas dalam al-Quran dan hadis, tetapi ia tidak bertentangan dengan kehendak nas.

Undang-undang dan hukuman berkaitan mercun memang tiada dalam nas, tetapi kepentingan undang-undang dan hukuman itu selari dengan kehendak Islam supaya manusia selamat daripada kecederaan dan penderitaan.

Jika undang-undang mercun dibuat berdasarkan konsep itu, dari segi syarak, ia wajib dipatuhi umat Islam.

Melanggari undang-undang yang digubal bukan saja menyebabkan pesalah dikenakan hukuman seperti yang ditentukan pihak pemerintah di bawah konsep takzir, tetapi satu dosa di sisi Allah s.w.t.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan belanjakanlah (harta benda kamu) di jalan Allah, dan janganlah kamu campakkan diri kamu ke dalam kebinasaan” (Surah al-Baqarah ayat 195).

Dalam ayat itu, Allah melarang kita melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan kecederaan, penderitaan dan kemusnahan, begitu juga dengan bermain mercun.

Rasulullah s.a.w sendiri menolak atau mengelak kemudaratan sama ada kepada diri sendiri atau orang lain.

Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud, “Tiada mudarat dan tidak boleh membalas sesuatu kemudaratan dengan mudarat” (Riwayat Ibnu Majah).

Maka, menjadi tanggungjawab pemerintah di sisi syarak untuk menggubal dan menguatkuasakan undang-undang berkaitan mercun yang difikirkan mampu menolak kemudaratan.

Diriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Wajib ke atas orang Muslim mendengar serta taat kepada perintah sama ada dalam perkara yang disukai atau dibenci selama mana tidak diperintahkan untuk melakukan maksiat. Sekiranya dia diperintahkan supaya melakukan maksiat maka janganlah dengar dan mentaatinya” (Riwayat al-Bukhari).

Berdasarkan kes berkaitan yang dilaporkan, baru-baru ini, menunjukkan faktor utama berlakunya kecederaan kerana mereka tidak menghiraukan larangan membuat, menjual dan bermain mercun.

Usaha perlu dilakukan bagi memperbetulkan kembali tasawur masyarakat mengenai isu mercun menurut pandangan Islam iaitu mercun bukan saja salah di sisi undang-undang negara tetapi juga melanggar hukum syarak.

Pendekatan keagamaan wajar digunakan bagi menyedarkan umat Islam kesan mercun yang hanya menjurus kepada keburukan.

Seseorang yang melakukan kesalahan menjual dan bermain mercun mungkin berjaya melepaskan diri daripada tindakan pihak berkuasa dan pembalasan dunia, tetapi ia sentiasa berada dalam pengetahuan Allah.

Penerapan nilai baik termasuk mengelak daripada bermain mercun boleh dilakukan ibu bapa dengan tidak membeli mercun untuk anak mereka manakala guru boleh memberi nasihat kepada pelajar.

Pendekatan agama yang memberi panduan menjalani kehidupan lebih baik berpandukan nilai murni diambil daripada al-Quran dan hadis perlu diberi penekanan.

Kesimpulannya, Ramadan adalah bulan mulia untuk menambah pahala beribadat, bukan menambah dosa, kemusnahan, kecederaan dan pembaziran dengan bermain mercun.


Oleh Mohd Shukri Hanapi rencana@hmetro.com.my Sumber: myMetro Variasi Ad Din Khamis, 16 Ogos 2012

Waktu mustajab berdoa

DOA adalah senjata umat Islam kerana Allah suka mereka yang berdoa dan memohon sesuatu kepada-Nya.

Namun, kadangkala ada doa yang Allah lambat makbulkan, bukan kerana Allah tidak suka tetapi tentu ada hikmah, rahmat dan jika tidak di dunia, doa itu akan dimakbulkan di akhirat. 

Sebagai umat Islam, kita mempunyai beberapa panduan berdoa semoga Allah mempercepatkan permohonan kita. 


Berikut antara sembilan petua daripada Rasulullah s.a.w. untuk mencapai doa mustajab.

  • Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Doa antara azan dan iqamat tidak akan ditolak.”
  • Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Allah akan turun ke langit dunia setiap malam iaitu sepertiga malam yang terakhir seraya berfirman: “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku akan menerima permintaannya dan sesiapa yang meminta keampunan daripada-Ku maka Aku akan mengampuninya. 
  • Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Tiga orang yang tidak ditolak doanya iaitu pemimpin yang adil, orang berpuasa ketika dia berbuka dan orang yang dianiaya. Allah mengangkat doa-doa itu ke awan dan pintu-pintu langit dibuka.” 
  • Ibnu Abbas meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda: “Aku dilarang membaca al-Quran ketika sujud dan rukuk. Waktu yang paling dekat antara hamba dan Tuhan-Nya adalah ketika sujud, maka perbanyakkanlah doa ketika itu.” 
  • Hadis Abu Hurairah r.a, Nabi s.a.w bersabda: “Jika kamu mendengar ayam jantan berkokok, pohonlah kurnia daripada Allah kerana sesungguhnya binatang itu melihat malaikat. “Jika kamu mendengar keldai memekik, pohonlah perlindungan daripada Allah daripada godaan syaitan kerana binatang tersebut melihat syaitan.” 
  • Ubadah bin As-Shamit berkata bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: “Sesiapa yang bangun pada malam hari dan mengatakan atau berdoa, doanya akan dimakbulkan. “Apabila beliau berwuduk (dan mengerjakan solat malam), solatnya akan diterima Allah.” 
  • Ata bin Abi Rabah berkata: “Telah sampai padaku bahawa Rasulullah bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Yasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” 
  • Hadis daripada Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: “Aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.” 
  • Hadis daripada Abu Hurairah: Rasulullah memperkatakan mengenai hari Jumaat. Lalu baginda bersabda: “Pada hari Jumaat itu ada suatu saat. Bila mana seorang Muslim dapat menepatinya dalam keadaan sedang berdoa, memohon sesuatu daripada Allah, pasti dia akan dianugerahkan apa yang dipohonnya itu.

Sumber: myMetro Variasi Ad Din Khamis, 16 Ogos 2012

Usah jadikan al-Quran perhiasan di rumah

RAMADAN turut disebut sebagai Syahrul Quran kerana padanya diturunkan al-Quran yang menjadi mukjizat terbesar kepada Rasulullah s.a.w.

Ia berbeza dengan mukjizat Rasulullah yang lain kerana al-Quran tetap kekal dan boleh dilihat ke hari ini. Antara mukjizat al-Quran ialah bahasanya indah dan tinggi, susunan bahasa yang baik, ilmu pengetahuan yang membimbing manusia ke arah kebenaran serta panduan lengkap ke arah kemaslahatan dan kemakmuran alam semesta.

Tiada seorang manusia yang mampu mencipta walaupun satu ayat setanding al-Quran. Bagi mereka yang mengamalkan al-Quran dalam kehidupan seharian pasti akan rasa bahagia.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia (al-Quran) akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada tuannya.” (Hadis Riwayat Muslim).

                                                    GENERASI AL-QURAN...ibu bapa perlu memprogramkan penghayatan al-Quran dalam
                                        keluarga dengan memastikan selepas waktu solat luangkan masa bersama anak mentadabbur al-Quran.

 



Umat Islam perlu berusaha mendalami al-Quran dan jangan sampai mereka menjadi ‘buta’ al-Quran.

Tidak hairanlah, generasi sahabat menjadi ahli Quran apabila kalam suci itu mengubah kehidupan umat Arab daripada masyarakat jahiliah kepada umat bertamadun.

Terdapat ramai tokoh hebat pada awalnya menolak Islam, tetapi akhirnya mereka beriman kepada Allah selepas mendengar, membaca dan mengkaji al-Quran.

Keajaiban al-Quran dapat dilihat dalam sejarah Umar bin Khattab sehingga beliau memeluk Islam. Sebelum Islam, Umar seorang lelaki bengis dan kejam dan pernah berniat membunuh Nabi Muhammad.

Detik perubahan Umar berlaku selepas beliau menghayati beberapa ayat daripada Surah Taha ketika pergi ke rumah adiknya, Fatimah yang ketika itu sedang mempelajari al-Quran.

Agak pelik, kenapa kita begitu sukar untuk membaca al-Quran walaupun hanya sepotong ayat?



IBADAH ISTIMEWA...sesiapa yang membaca al-Quran dikira akan dianugerahkan pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang dibaca.

Sedangkan bahan bacaan santai lain termasuk novel remaja malah karya agung penulis Barat boleh dibaca dan dihabiskan dalam tempoh singkat?

Al-Quran bukan untuk dijadikan perhiasan di dalam rak kaca di rumah semata-mata tetapi wajib menjadi perhiasan diri setiap Muslim. Jangan hanya tunggu ketika ditimpa penyakit atau ada yang meninggal dunia, baru hendak buka dan baca al-Quran.

Kepentingan mempelajari dan membudayakan al-Quran adalah kewajipan yang tidak perlu dipertikaikan lagi kerana al-Quran mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia.

Kebenaran yang tidak dapat disangkal, mereka yang membaca al-Quran pastinya terhindar daripada dibelenggu keresahan, kesempitan malah mereka dapat sumber kekuatan dan ketenangan daripadanya.

Semakin banyak membaca dan mendengar al-Quran, jiwa pasti terpikat dan seronok. Rasulullah sendiri menggesa umatnya membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran secara keseluruhannya.

Golongan yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama pada setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah. Sejarah membuktikan sahabat seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas’ud dan Ubay bin ka’ab sentiasa membaca al-Quran dan khatam pada setiap Jumaat.

Umat Islam mesti yakin al-Quran mampu menjadi penawar kepada segala jenis penyakit rohani dan jasmani yang melanda masyarakat Islam hari masa kini.

Sempena Ramadan ini, penuhkan waktu yang kosong dengan membaca al-Quran atau belajar daripada mereka yang mahir supaya jiwa tidak kosong.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, al-Quran adalah kalamullah (titah perintah Allah) yang diturunkan kepada Rasulullah secara berperingkat selama 23 tahun.

“Wahyu al-Quran pertama yang diturunkan kepada Rasulullah adalah ayat 1-5 surah al-’Alaq. Majoriti ulama berpendapat, penurunan wahyu pertama pada 17 Ramadan, dan tarikh itulah yang dikenali sebagai Nuzul al-Quran (Penurunan al-Quran).

Foto

                                                                   PENUH PENGHAYATAN...membudayakan al-Quran adalah kewajipan yang tidak perlu
                                                                               dipertikaikan kerana ia mempunyai hubung kait dengan kehidupan manusia  

Firman Allah yang bermaksud: “Bulan Ramadan diturunkan padanya al-Quran sebagai huda (petunjuk) bagi manusia dan bayyinah (penjelasan) daripada petunjuk dan furqan (pemisah).” (Surah al-Baqarah, ayat 185).

“Apabila tiba tarikh 17 Ramadan, kita bukan sekadar digalakkan memperingati sirah Rasulullah, sebaliknya perlu menghitung diri kerana masih mempunyai tugas besar berkaitan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, terdapat ramai kalangan anak muda yang tidak tahu membaca al-Quran.

“Bagi yang kenal huruf dan tahu membaca pula, mereka masih lagi di tahap peringkat merangkak serta tidak lancar bacaannya. Maka menjadi tanggungjawab semua untuk membimbing generasi akan datang supaya tidak terus digelar generasi ‘buta al-Quran’.

“Al-Quran amat istimewa. Membaca al-Quran juga dikira sebagai ibadah yang pahalanya amat istimewa.

“Sesiapa yang membaca al-Quran, akan dianugerahkan pahala berlipat ganda pada setiap huruf yang dibaca seperti yang dijelaskan Rasulullah dalam hadis yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka dia akan mendapat satu kebaikan, dan satu kebaikan itu nilainya sepuluh kali ganda seumpamanya. Aku tidak berkata bahawa, Alif Lam Mim itu adalah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadis riwayat al-Tirmizi). 

“Remaja khasnya, perlu diisi dengan ‘santapan rohani’ supaya hati sentiasa kuat dan tidak mudah goyah dengan cabaran dan fitnah semasa,” katanya.

Katanya, apabila banyak mengingati Allah dan membaca al-Quran, hati akan sentiasa tenang, malah dapat membina jati diri yang kental.

“Apabila dapat dilaksanakan, pasti akan mewujudkan masyarakat terbaik. Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah, tenang tenteram hati manusia. Orang beriman dan beramal soleh beroleh kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Surah al-Ra’d , ayat 28-29).

“Saya berpendapat, usaha membendung masalah buta al-Quran di kalangan remaja perlu bermula dari rumah. Ibu bapa memainkan peranan untuk memastikan anak mereka diberi didikan agama seawal usia muda,” katanya.

“Ibu bapa perlu menetapkan masa untuk mengajar anak mengaji al-Quran. Amalan ini perlu diadakan setiap hari atau setidak-tidaknya tiga kali dalam seminggu.

“Masa paling sesuai ialah apabila selesai menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah di rumah. Bagi ibu bapa yang tidak berkesempatan, elok hantar anak mereka belajar al-Quran dengan guru.

“Rasulullah berpesan, rumah perlu dihiasi dengan bacaan al-Quran supaya mengundang rahmat, keberkatan dan perlindungan daripada Allah buat seisi keluarga.

Diriwayatkan daripada Anas, dinyatakan Rasulullah bersabda yang bermaksud: 
“Hendaklah kamu beri nur (cahaya) rumah tangga kamu dengan sembahyang dan dengan membaca al-Quran.” (Hadis riwayat al-Baihaqi).

“Selain itu, ibu bapa perlu menggalakkan anak mereka menonton rancangan televisyen yang mempunyai unsur mendidik dan pengajian al-Quran seperti Qari Junior, Adik dan al-Quran, Tanyalah Ustaz, Pesan Atok, Iqra’.

“Media massa turut memainkan peranan besar dalam usaha membasmi masalah buta al-Quran,” katanya.

Beliau berkata, usaha kerajaan menganjurkan program berkaitan jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain (j-QAF) yang diajar di sekolah rendah wajar dimanfaatkan semua pihak.

“Matlamat yang digariskan dalam program j-QAF adalah untuk melatih anak dan remaja membaca al-Quran dengan sempurna, memberi kefahaman mengenai isi kandungan al-Quran, melatih menghafaz ayat al-Quran serta mendalami al-Quran dalam kehidupan seharian.

“Usaha memperkasa tulisan jawi di kalangan pelajar mampu memberi impak besar dalam proses celik al-Quran. Di sebalik tanggungjawab itu, kita ditawarkan ganjaran besar sama ada bagi yang menjadi pengajar atau pelajar al-Quran,” katanya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang belajar al-Quran dan mengajarnya” (Hadis riwayat al-Bukhari).

“Seseorang pastinya tidak mampu memahami isi kandungan al-Quran jika mereka tidak boleh membacanya. Membaca al-Quran bukan perkara remeh, ia menggambarkan betapa kita yakin dan beriman dengan kitab suci ini,” katanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Orang yang telah Kami berikan al-Kitab kepadanya, mereka membacanya dengan bacaan yang sebenarnya, mereka itu beriman kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar kepadanya, maka mereka itulah orang yang rugi.” (Surah al-Baqarah, ayat 121).

Oleh Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my Sumber: myMetro Variasi Ad Din Khamis, 16 Ogos 2012