August 17th, 2012

Perancangan baik satukan keluarga

Wasiat jadi amal jariah kepada pewaris harta

Perancangan harta adalah cara membentuk perpaduan kepada sebuah keluarga kerana ini membolehkan pemilik harta membahagi serta memindahkan harta kepada waris dikehendaki berdasarkan objektif ingin kebahagiaan di dunia dan akhirat. Diriwayatkan oleh Saidina Umar, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap pekerjaan itu perlu wujud objektifnya (niat). Dan bagi seseorang akan mencapai objektif yang telah ditetapkan. Sekiranya dia berhijrah untuk tujuan Allah dan Rasul-Nya, maka dia akan mendapat keredaan Allah dan Rasul-Nya, atau hanya sekadar dunia, dia akan mendapat dunia atau hijrahnya untuk tujuan wanita, maka dia akan berkahwin dengannya. Maka hijrah seseorang itu, terhenti pada apa yang dia niatkan.” (Riwayat Bukhari)




Manfaat perancangan harta

Perancangan harta yang dilaksanakan dengan baik akan memberi manfaat besar bukan hanya kepada individu terbabit, juga institusi keluarga Islam secara umum. Perpaduan dimaksudkan dapat dilihat dengan jelas kerana perancangan mempunyai ciri tersendiri serta umum.

Perkara ini memperlihatkan dan menggambarkan satu situasi sihat yang mana semua ahli waris berhak atau tidak akan bersatu padu seterusnya menjadi penggerak ke arah mencapai niat yang dikehendaki.

Pada masa sama, tentunya kita tidak mahu menjadi orang yang memecahbelahkan keluarga dan keturunan sendiri kerana keengganan menerima atau melaksana perancangan harta.

Siapa sangka perancangan harta juga boleh disifatkan sebagai satu proses penyatuan dengan niat melakukan kebaikan, menghindari perpecahan dan perseteruan dalam kalangan ahli keluarga. Bayangkan keberkatan dan kebaikan yang wujud dengan perancangan dilakukan.



Rancang harta ketika hidup

Ingat, perancangan ini hanya boleh dilakukan ketika masih hidup, sebelum menghembuskan nafas terakhir. Namun, apabila tiba giliran kita untuk menemui Allah SWT maka ketahuilah bahawasanya berakhirlah juga semua urusan dunia.

Firman Allah SWT: “Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Dia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisi-Nya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (hari pembalasan).” (Surah Al An’aam, ayat 2)

Sudahkah kita membuat perancangan membolehkan dan membenarkan kita menjana ganjaran pahala berterusan sehingga hari kiamat? Umat Islam diberi nikmat oleh Allah untuk memilih cara terbaik melakukan amal jariah dan sedekah.

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila mati seorang manusia maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah (sedekah yang berkekalan), ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang mendoakan baginya.”

Oleh itu, niat membuat perancangan perlu ada terutama dengan harapan dapat memperkukuh serta mempererat perhubungan kalangan keluarga walaupun masih belum boleh dilaksanakan atas sebab tertentu.

Harta kekayaan dan kemewahan dimiliki tidak boleh dijadikan satu bentuk kebanggaan yang melampau sehingga menjadikan kita terlupa kepada objektif atau niat utama mengapa harta kekayaan dicari dan dikurniakan Allah SWT kepada setiap umatNya.



Guna harta untuk kebaikan, pahala

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka, dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) tatkala kaumnya berkata kepadanya: Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang bermegah-megah (seperti lagakmu itu).” (Surah al-Qasas, ayat 76)

Islam menggalakkan umatnya berusaha mencari rezeki secara halal tanpa meminta-minta. Kita pula sebagai manusia akan sentiasa berdoa dan berusaha mengumpul harta kekayaan tanpa sekali-kali membelakangkan tuntutan syarak, harta diperoleh digunakan demi kebaikan dan mendapat pahala.

Perkara ini penting dan perlu dijadikan dasar kepada niat mengumpul harta kekayaan kerana manusia mudah lupa seterusnya boleh terjerumus dengan perkara dilarang. Oleh itu, kita perlu tahu objektif atau niat penting kepada umat Islam.



Niat baik dapat ganjaran

Dalam konteks perancangan harta, akan berlaku keadaan ahli keluarga bertukar niat, jika dulu bersetuju dengan perancangan dibuat, tetapi akhirnya sanggup mengabaikan amanah kerana mendahulukan kepentingan diri.

Sedar atau tidak, niat baik, semua perbuatan akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT seperti sabda Rasulullah SAW: “Seorang mukmin bisa mendapat pahala dari segala sesuatu (dengan niat yang baik), hingga suapan yang ia masukkan ke mulut isterinya. (Riwayat Ahmad dan lainnya)

Mulai hari ini apa kata kita sematkan dalam jiwa untuk menjadikan perancangan harta sebagai salah satu agenda utama dalam hidup dengan niat membawa kebahagiaan kepada keluarga yang ditinggalkan.

Bertindak sekarang, jadikan perancangan amal jariah dan sedekah jariah sebagai elemen wajib. Bagi memudahkan perancangan harta, seperti wasiat dan amanah, sila kunjungi 19 cawangan Amanahraya di seluruh negara yang berdekatan.

Untuk keperluan perancangan produk Amanah, boleh menghubungi Jabatan Pentadbiran Amanah melalui e-mel rosmaidar@arb.com.my atau nurazila@arb.com.my. Pegawai AmanahRaya bersedia memberi khidmat untuk merealisasikan perancangan anda.



Rencana disediakan Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan dan untuk keterangan lanjut boleh menghantar e-mel kepada norsyillawaty@arb.com.my Sumber: Berita Harian Online Agama Jumaat , 17 Ogos 2012, 28 Ramadan 1433 H

Ziarah Madinah

MADINAH Al-Munawwarh merupakan kota suci kedua Islam selepas Mekah Al-Mukarramah. Terletak di sebelah utara kota Mekah. Ia berada di atas ketinggian 625 meter dari paras laut.

Batas Tanah Suci Madinah adalah di antara Jabal 'Iyr di sebelah selatan dan Jabal Thawr di sebelah utara. Panjang utara ke selatan lebih kurang 16 kilometer. Di sebelah timur dan barat disempadani dengan dua batuan hitam iaitu sepadan Tanah Haram dipanggil Harrah Syarqiah dan Harrah Gharbiyah.


Sejarah Madinah

Kota Madinah pada asalnya dikenali dengan nama Kota Yathrib sempena orang yang membuka kota ini iatu Yathrib ibnu Ubayl Ibnu 'Iwadh berketurunan daripada Sam bin Nabi Nuh a.s. Selepas itu 'Amalek Bani Imlak telah membuka penempatan dan ladang. Dari sebuah penempatan kecil Yathrib berkembang menjadi sebuah kota dan didiami oleh dua bangsa utama iaitu Yahudi dan Arab.

Bangsa Yahudi terdiri daripada tiga puak utama Bani Qainuga', Bani Nadhir dan Bani Qurayzah. Mereka menguasai ekonomi kota Yathrib ini. Sementara itu bangsa Arab pula terdiri daripada suku Aus dan Khazraj. Mereka selalu bertelagah sesama sendiri sehingga kedatangan hamba Allah yang mulia ke kota mereka.

Masjid Nabawi

Pembinaan Masjid Nabawi bermula pada hari kedua ketibaan Rasulullah SAW di kota Madinah. Pada asalnya terdapat pohon tamar dan pohon-pohon qharqad yang berduri dan perkuburan bukan orang Islam di tanah tersebut.

Setelah kawasan tersebut dibersihkan dan perkuburan lama dipindahkan, Rasulullah SAW bersama sahabat-sahabat baginda memulakan pembinaan masjid meliputi kawasan seluas kira-kira 850.5 meter persegi dan 2.9 meter tinggi. Dindingnya adalah daripada campuran batu dan tanah. Tiangnya daripada batang-batang tamar dan atapnya daripada pelepah tamar manakala lantainya daripada tanah liat.

Ia juga tidak mempunyai mihrab dan mimbar pada permulaan pembinaannya.

Ziarah Madinah

Ziarah Madinah boleh dibahagikan kepada dua perkara. Pertama Ziarah Masjid Nabawi (Ziarah Dalam) dan kedua Ziarah Kawasan Bersejarah Sekitar Madinah (Ziarah Luar).

Kebiasaannya jemaah haji yang tiba di Madinah akan bermukim di sana lebih kurang lapan hari. Pada pagi hari pertama jemaah haji tiba, mereka akan dibawa ziarah ke Masjid Nabawi. Jemaah haji akan ditunjukkan Babus Salam. Bagi jemaah lelaki mereka akan masuk melalui Babus Salam kemudian terus ke ruang solat untuk solat tahiyatul masjid.

Setelah solat, jemaah haji akan ditunjukkan raudah iaitu kawasan yang disebut oleh Nabi Muhammad SAW :"Taman di antara taman-taman syurga." Jika berkesempatan jemaah akan dapat masuk untuk solat dan berdoa di dalamnya. Jika terlalu ramai jemaah haji hendaklah terus menuju ke Babul Baqi'.

Di luar masjid, setentang dengan Babul Baqi' terletak perkuburan Baqi'. Jika berkesempatan jemaah haji lelaki bolehlah menziarahi perkuburan Baqi' yang biasanya dibuka antara selepas Subuh sehingga pukul 8 pagi dan selepas Asar sahaja.

Bagi jemaah haji wanita mereka akan dibawa ke hadapan Babus Salam sahaja.

Kemudian mereka akan dibawa di hadapan Masjid Nabawi. Di sana jemaah haji wanita akan ditunjukkan Qubbatul Khadra' (kubah hijau). Di bawah kubah hijau itulah Rasulullah SAW bersemadi. Jemaah wanita hanya memberi salam kepada Rasulullah SAW dan dua orang sahabatnya dari kawasan berkenaan kemudian mengadap kiblat untuk membaca doa.

Jemaah haji wanita kemudian ditunjukkan perkuburan Baqi' dari luar. Setelah membaca doa untuk ahlul Baqi', mereka kemudiannnya memasuki masjid melalui Babul Ali atau pintu bernombor 29.

Oleh MOHD. RAZALI ZAKARIA

l MOHD. RAZALI ZAKARIA ialah Pengurus (Penerbitan) Lembaga Tabung Haji Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 16/08/2012