August 18th, 2012

Doa Ziarah Orang Sakit ~ Tuntutan dan Adab

Motivasi Pesakit.
Firman Allah SWT: Maksudnya: {Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan, dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu, Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun } [Al-Mulk: 1-2].

Tulisan ringkas ini membincangkan beberapa ayat dan hadis yang menyebut tentang kedudukan sakit dan adab-adab menghadapinya serta Adab ketika Menziarahi Orang Sakit;
1) Makna sakit (Al-Mard- المرض):
Menurut Kamus Dewan: Menderita sesuatu (demam, pening dan lain-lain) yang menyebabkan tubuh atau bahagiannya tidak segar, tidak sihat atau uzur.
Sakit samada terkena kepada tubuh badan, ia juga terkena kepada agama (Ad-Din).

2) Kesabaran pesakit serta mengharapkan pahala dari Allah SWT.
Para pesakit hendaklah sentiasa bersabar serta mengharapkan pahala yang dijanjikan Allah swt terhadap mereka yang bersabar. Firman Allah swt: Maksudnya: {Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas} [Az-Zumar: 10]
Dari Suhaib ra, Rasulullah saw telah bersabda:
((عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ، إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلا لِلْمُؤْمِنِ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ،
وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ)) [صحيح مسلم: 2999]
Maksudnya: ((Pelik sekali keadaan orang yang beriman; semua urusannya baik, tidak berlaku sedemikian itu kecuali bagi orang mukmin, jika mendapat nikmat mereka akan bersyukur, maka syukur itu baik bagi mereka, jika ditimpa kesusahan pula, mereka bersabar, maka sabar itu baik bagi mereka.)) [Hadis riwayat Muslim: 2999]

Dari Abi Sa’id Al-Khudri ra dan Abu Hurairah ra, Rasulullah saw telah bersabda: Maksudnya: ((Tiada seorang Muslim pun yang mengalami penderitaan, kesiksaan, kebimbangan, dukacita, kemelaratan atau kesedihan, walaupun hanya terkena satu tusukan duri, melainkan dihapuskan olah Allah (kerana kesusahan tersebut) sebahagian daripada kesalahannya.)) [Hadis riwayat: Al-Bukhari: 1283, Muslim: 926]
Dari Abdillah bin Mas’ud ra, Rasulullah saw telah bersabda: Maksudnya: ((Tiada seorang muslimin yang menanggung derita kesakitan atau yang selainnya, melainkan Allah menggugurkan dosanya sebagaimana gugurnya daun daripada pokoknya.)) [Hadis riwayat: Al-Bukhari: 5647, Muslim: 2571] Dari Anas ra, Rasulullah saw telah bersabda: Maksudnya: ((Jika Allah menghendaki kebaikan bagi seorang hamba-Nya, disegerakan baginya kesusahan (balasan) sewaktu di dunia lagi. Sebaliknya jika Allah menghendaki kejahatan bagi seorang hamba-Nya, ditangguhkan pembalasan ke atasnya sehingga hari Kiamat.)) [Hadis riwayat At-Tirmizi: 2395, “Hadis Hasan”, Sahih Al-Jami’ As-Saghir: 308]
Dari Anas ra, Rasulullah saw telah bersabda: Maksudnya: ((Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung kepada kepada besarnya kesusahan. Apabila Allah mengasihi sesuatu kaum, mereka akan diduga dengan kesusahan. Sesiapa yang redha dengan kesusahan itu akan mendapat keredhaan Allah, dan sesiapa yang tidak redha, dia akan menerima kemurkaan Allah.)) [Hadis riwayat At-Tirmizi: 2396, Ibnu Majah: 4031, “Hadis Hasan”, As-Silsilah As-Sahihah: 146]

3) Orang muslim sentiasa memohon kemaafan dan afiat (kesejahteraan) di dunia juga di akhirat, mereka tidak meminta bala.
Abbas bin Abdul Mutalib ra berkata: Wahai Rasulullah, ajarilah saya sesuatu untuk dipohon kepada Allah swt. Baginda bersabda: Maksudnya: ((Pohonlah dari Allah kesejahteraan.)) Berlalu beberapa hari kemudian aku pergi kepada Rasulullah dan berkata: Wahai Rasulullah, ajarilah saya sesuatu untuk dipohon kepada Allah. Baginda bersabda kepadaku: ((Wahai Abbas, wahai bapa saudara Rasulullah, pohonlah dari Allah kesejahteraan di dunia dan di akhirat.)) [Hadis riwayat At-Tirmizi: 3514, “Hadis Sahih”, As-Silsilah As-Sahihah: 1523]
Abdullah bin Umar ra berkata, di antara doa Rasulullah saw ialah:
((اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ)) [مسلم: 2739]
Maksudnya: ((Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada lenyapnya nikmat yang telah Engkau kurniakan, daripada terjejasnya kesihatan yang Engkau kurniakan, daripada bencana yang tidak disangka-sangka dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu)) [Hadis riwayat Muslim: 2739]
Abu Hurairah ra meriwayatkan, Nabi saw memohon perlindungan (dengan Allah) daripada qadha’ yang buruk, ujian dan cubaan yang berat, celaan musuh-musuh dan kesengsaraan yang pedih.)) [Hadis riwayat Muslim: 2707]

4) Bersungguh-sungguh melakukan ibadat pada waktu sihat, agar mendapat pahala yang sempurna ketika lemah dan sakit.
Dari Abu Musa Al-Asy‘ari ra, Rasulullah saw telah bersabda: Maksudnya: ((Apabila seorang hamba sakit atau musafir, dituliskan (pahala kebajikan) seperti apa yang diamalkan sewaktu tidak bermusafir dalam keadaan sihat.)) [Hadis riwayat Al-Bukhari: 2996]

5) Kelebihan ziarah orang sakit.
Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga.
Amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Baginda Rasulullah saw dalam hadis-hadis di bawah ini:
Abu Hurairah ra meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Kewajiban seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” [HR Bukhari & Muslim]
Sabda Rasulullah SAW:
“Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?” Rasulullah saw bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. [HR Muslim]
Daripada Ali ra, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tiada seorang pun yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit pada waktu pagi, melainkan 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat sehingga ke petang. Sekiranya dia menziarahi saudaranya pada waktu petang, maka 70,000 malaikat mendoakannya untuk mendapat rahmat Allah sehingga ke pagi. Dia juga akan mendapat nikmat berupa buah-buahan syurga yang boleh dipetik pada bila-bila masa.” [HR At-Tirmizi: Hasan]

6) Adab Ziarah:
Antara adab-adab menziarahi pesakit ialah;
a- Berniat menziarahi orang sakit sebagai mengikut sunnah Rasulullah saw.
b- Memberi nasihat agar bersabar dan tabah menghadapi ujian.
c- Bertanyakan tentang ibadatnya; solat dan lain-lain, sekiranya dia tidak mampu ajarlah mereka atau bertanyakan kepada orang yang pandai.
d- Menyampaikan ucapan yang baik agar dapat menghiburkan hati pesakit dan menguatkan jiwanya.
e- Pendek dan jarakkan waktu ziarah, jangan terlalu lama dan kerap menziarahinya. (kecuali pesakit itu mengkehendaki sebaliknya).
f- Mendoakan pesakit agar lekas sembuh.
Hendaklah kita mendoakan dengan doa yang diajar oleh Rasulullah saw agar dia cepat sembuh dan bersabar dalam menghadapi kesakitan;

((أَذْهِبْ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ، اشْفِ وَأَنْتَ الشَّافِي، لا شِفَاءَ إِلا شِفَاؤُكَ، شِفَاءً لا يُغَادِرُ سَقَمًا))
“Ya Allah! Hilangkanlah penyakitnya, wahai Tuhan bagi manusia, sembuhkanlah, Engkaulah yang menyembuhkan, tidak ada kesembuhan melainkan kesembuhan dari-Mu jua, sesuatu kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit”. [HR Bukhari]

لاَ بَأْسَ، طَهُورٌ إِنْ شَاءَ الله
“Tidak mengapa, semoga penyakit ini membersihkan dosamu, insya’Allah”. [HR Bukhari]

Rasulullah saw bersabda: “Tiada seorang muslim yang menziarahi orang sakit yang belum sampai ajalnya, kemudian membaca doa ini tujuh kali nescaya disembuhkan penyakitnya itu:
أَسْأَلُ اللهَ الْعَظِيمَ رَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ أَنْ يَشْفِيَكَ.
Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan Arasy yang agung, supaya menyembuhkan engkau”. (tujuh Kali). [HR At-Tirmizi dan Abu Daud]

Doa Jibrail kepada Nabi saw ketika Baginda sakit:

بِسْمِ اللَّهِ أَرْقِيكَ مِنْ كُلِّ شَيْءٍ يُؤْذِيكَ…
“Dengan Nama Allah aku menjampikan mu dari semua perkara yang menyusahkanmu…” [HR Ibn Majah]

g- Bacaan dan perbuatan apabila tubuh merasa sakit;
“Letak tangan di tempat sakit kemudian baca: بِسْمِ اللهِ.
“Bismillah” tiga kali, dan baca tujuh kali:
أَعُوْذُ بِاللهِ وَقُدْرَتِهِ، مِنْ شَرِّ مَا أَجِدُ وأُحَاذِرُ
“Aku berlindung dengan Allah dan kekuasaanNya dari kejahatan yang aku dapati dan aku takuti” [HR: Muslim].

h- Jika ditakdirkan pesakit itu berada dalam kecemasan, tenat atau sedang menghadapi nazak, maka berdoalah kepadanya;
اللَّهُمَّ أَعِنهُ عَلَى سَكَرَاتِ الْمَوْتِ
“Ya Allah, bantulah dia di atas sakarat al-maut”.

i- Ajaran kepada orang yang sedang nazak; La ilaha illallah!
“Sesiapa yang akhir ucapannya: لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّه
“Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah”, dia akan dapat masuk syurga”. [HR Abu Daud 3/190. Lihat: Sahih Al-Jami' 5/432].

Semoga risalah ringkas ini dapat membantu muslimin dan muslimat dalam menghidupkan sunnah Rasulullah saw ketika menziarahi orang sakit atau menghadapi kesakitan. Sekian.

Akhukum,
Abu Anas Madani.
PSD: 10 Mac 2011.

Sumber: 
http://www.abuanasmadani.com/?p=800

Elak tindakan tak ikut syariat

SUDAH menjadi kebiasaan masyarakat kita apabila tiba hari raya maka berbondong-bondong di pagi hari itu kaum muslimin menziarahi kubur di kalangan keluarga masing-masing. Dalam 360 hari setahun yang dipilih untuk menziarahi kubur semestinya 1 Syawal.

Apakah perbuatan ini satu sunnah daripada Nabi SAW? Apakah pernah Nabi melakukan ziarah kubur pada 1 Syawal seperti amalan masyarakat kita? Adalah menjadi sunnah dan amalan Nabi menziarahi kubur tetapi menziarahi kubur pada 1 Syawal tidak pernah satu pun riwayat yang menunjukkan Nabi melakukannya. Mungkin ada yang bertanya apakah jika Nabi tidak menziarahi kubur pada 1 Syawal apakah kita juga tidak boleh melakukannya?

Islam adalah agama yang disyariatkan sesuai pada setiap orang, zaman dan kena pada tempatnya. Islam mengajar kita mengurus perasaan dan emosi sesuai pada tempatnya. Ada masanya kita perlu bersedih, ada masanya juga kita perlu bergembira.


Ada masanya jua kita perlu membenci kerana Allah dan ada kalanya juga kita mencintai kerana Allah, ada ketikanya kita perlu berasa takut dan ada kalanya juga kita perlu berani. Semua perkara dan cara telah diajarkan dan disampaikan Nabi kepada kita semua. Dalam hal berhari raya apakah Nabi tidak pernah menunjukkan caranya berhari raya ini. Bukankah Nabi menyuruh kita bergembira pada hari raya ini.

Hari raya adalah lambang kemenangan Islam, fitrahnya dalam meraikan kemenangan semestinya dengan gembira bukan bersedih-sedihan.

Andai kita menziarahi kubur pada hari raya apakah akan timbul perasaan gembira? Pasti yang timbul adalah perasaan sedih dan kepiluan dalam mengenang waris yang telah meninggal dunia. Apakah dengan timbulnya perasaan sedih ini dianggap menepati apa yang Nabi tunjukkan? Sedangkan Nabi menyuruh kita agar meraikan hari raya ini dengan kegembiraan, bahkan kegembiraan yang kita dapati pada hari raya ini pula mendapat pahala di sisi agama.


Bahkan menziarahi kubur pada hari perayaan ini lebih kepada perbuatan Kristian dalam menyambut hari Natal dan juga amalan masyarakat Hindu apabila tiba Deepavali. Dikhuatiri kita menyerupai amalan sesuatu agama. Maka berhati-hatilah kita dalam beragama.


Seperti kata Nabi yang bermaksud: “Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum mereka adalah dari kaum itu.” (sahih, HR Abu Daud) Bahkan di kuburan tersebut kita tidak menjaga adab-adab berada di tanah perkuburan dengan duduk-duduk di atas tanah kuburan tersebut bahkan Imam Syafie mengharamkan duduk di atas kuburan dengan berlandas hadis Nabi: “Jika salah seorang kamu duduk di atas bara api yang membakar sampai menembusi pakaianmu lalu membakar kulitnya, masih lebih baik baginya daripada ia duduk di atas kuburan.” (Hadis Riwayat Muslim)

Ada juga sebahagian umat Islam yang membawa makanan di tanah perkuburan untuk dijamu bersama sanak-saudara seolah-olah ingin merayakan hari raya di situ. Hal ini juga terdapat larangan Nabi agar menghindari dijadikan kuburan tempat meraikan hari raya. Seperti kata Nabi: “Janganlah kalian jadikan kuburku sebagai tempat berhari raya.” (sahih, HR Ahmad dan Abu Daud)

Imam Syafie di antara ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kuat memfatwakan kemakruhan dan keharaman membawa makanan untuk dimakan di tanah perkuburan seperti yang boleh dibaca dalam kitab I’anah al-tholibin. Antara dalil lain yang melarang hal ini adalah Hadis Jarir al-Bajali ia berkata: “Kami para sahabat memandang berkumpul-kumpul di tempat mayat dan menyiapkan makanan sesudah kematian termasuk meratapi si mati.” (Hadis Hasan Sahih, Ibnu Majah dalam Bab Siyam)

Tidak cukup dengan itu, dapat dilihat di antara kebiasaan kaum muslimin yang berada di tanah perkuburan ini mereka membaca al-Quran dan beberapa surah dengan harapan mudah-mudahan bacaan tersebut dapat memberikan bekalan kepada si mati di kalangan ahli waris mereka yang telah meninggal dunia.


Sedangkan perbuatan ini telah menyanggah hadis Nabi yang memberi amaran kepada kita dengan sabdanya: “Janganlah kalian menjadikan rumah kalian seperti kuburan.” (Hadis Muttafaq ‘alaih) Hadis Nabi ini memberi maksud kepada kita melalui perbahasan para ulama bahawa al-Quran itu hendaklah dibaca di rumah-rumah kita kerana rumah yang tidak dibacakan al-Quran seperti kubur, di mana kefahaman sebaliknya dapat kita fahami dari hadis ini, kubur bukanlah tempat kita membaca al-Quran di dalamnya.


Lebih malang lagi sekiranya kita menyangka perbuatan membaca al-Quran dan dihadiahkan pahalanya kepada si mati sebagai sesuatu yang menepati syariat. Imam Syafie dalam membantah amalan ini beliau menegaskan dengan berkata: “Sesungguhnya pahala bacaan al-Quran dan hadiah pahala tidak sampai kepada si mati kerana bukan dari amal mereka dan bukan usaha mereka. Rasulullah tidak pernah menghukum sunnah umatnya dan tidak pernah mendesak mereka melakukan perkara tersebut dan tidak pula menunjukkan kepadanya walau melalui satu nas atau seruan.” (lihat Tafsir Ibnu Kathir Jilid ke-4)

Upacara bermaafan Tidak cukup dengan itu kita melakukan upacara bermaaf-maafan sesama ahli keluarga. Bukanlah hal ini tidak baik tetapi ia dilakukan tidak kena pada masanya. Kerana majlis ini tidak lain akan mendatangkan juga kesedihan dan air mata. Adalah sesuatu yang akan menimbulkan kesedihan dan kepiluan dengan majlis bermaaf-maafan ini dan apabila kesedihan yang melanda maka secara automatiknya kegembiraan hari raya yang disyariatkan bergembira ini akan hilang.

Bahkan kita dianjurkan sentiasa memohon maaf andai telah melakukan kesilapan dan kesalahan, bukan hanya pada 1 Syawal sahaja. Sewajarnya kita memanfaatkan Ramadan dengan memohon keampunan kepada Allah dan kepada manusia yang telah kita lakukan kesilapan pada mereka bukannya dipilih pada 1 Syawal tersebut.


Membazir dan berlebih-lebihan Satu lagi perhatian yang perlu kita perbaiki ketika menyambut hari raya adalah hal berkaitan dengan persediaan yang melampau kadangkala membawa kepada pembaziran dan pemborosan. Hal ini dapat kita lihat dengan perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menghiasi rumah dengan segala macam perhiasan yang baru seperti langsir yang ditukar saban tahun, membeli perabot baru di luar kemampuan dengan cara berhutang, membeli dan menempah berpasang-pasang baju dan pakaian serta menyediakan segala jenis makanan dan kuih-muih yang boleh membawa kepada berlebih-lebihan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah.


Firman Allah yang bermaksud: “Dan janganlah menghambur-hamburkan hartamu secara boros. Sesungguhnya pembazir-pembazir itu adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar kepada tuhannya.” (surah al-Israk, ayat 26-27) Begitu juga dalam ayat yang lain Allah memberi peringatan yang bermaksud: “Makan dan minumlah, jangan berlebih-lebihan, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berlebih-lebihan.” (surah al-A’raf, ayat 31) Di samping itu juga dikhuatiri dalam kita berlebih-lebih dalam persiapan hari raya ini dapat juga menimbulkan maksiat kepada Allah seperti riak dengan menunjuk-nunjuk kemewahan yang kita miliki dan berbangga-bangga yang keterlaluan menyebabkan kita lalai dari mengingatkan kebesaran Allah di hari raya itu. Yang terbaik dalam menyediakan dan meraikan 1 Syawal kita adalah dengan bersederhana sesuai tuntutan Islam.



Penulis lulusan Syariah Fiqh dan Usul Universiti Malaya (UM) adalah Ketua Biro Sekretariat ILMU
Oleh Ahmad Tajuddin Idris Al-manhaji Sumber:
my Metro Setempat 18/08/2012

Bongkar kegiatan dajjal sesatkan manusia beriman

DALAM hadis sahih, Rasulullah bersabda bahawa di antara beberapa tanda datangnya hari kiamat adalah munculnya dajjal (al-Masih ad-Dajal) dan keluarnya bintang melata besar dari bumi-dabbtaan minal ardi) (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim, serta Ashabus Sunan).

Dalam buku ini dibahaskan secara terperinci pentafsiran mengenai ‘binatang melata besar yang keluar dari dalam bumi’ seperti yang dinyatakan di dalam al-Quran dalam surah an-Naml ayat 82 adalah gerakan bawah tanah yang disebut Zionisme. 

Ia adalah gerakan kerjasama rahsia yang diuruskan dengan rapi dan profesional yang ditaja oleh Dajal dan syaitan. Sasaran mereka khususnya adalah untuk menjauhkan umat Islam daripada nilai syariat Islam sehingga mereka menjadi kafir. 

Mereka menuduh umat Islam sebagai fundamentalis dan pengganas. Di mana-mana saja mereka mencetuskan kebimbangan, keresahan dan rasa bimbang di hati umat beragama melalui ‘gerakan 9 F’.

Ia termasuk menghancurkan kekuatan kewangan, pola makanan, mencipta pertelagahan atau perpecahan di kalangan umat beragama mahupun di dalam tubuh umat Islam, menyebarkan pemikiran bebas, menguasai filem, televisyen dan media massa dan pelbagai lagi.


Dengan gerakan Zionismenya, Dajal menyeludup masuk dalam nilai kehidupan umat beragama yang universal kemudian diganti dengan ‘baju globalisasi, keterbukaan, demokrasi dan sebagainya. 

Buku ini juga amat penting bagi umat Islam untuk mengetahui dan menyelidiki sepak terajang dan bahaya fahaman Dajal melalui gerakan zionismenya. 

Ia juga adalah satu pembongkaran konspirasi global program Dajal berserta syaitan dalam projek pengkafiran global. Semoga umat Islam semakin teguh dan istiqamah dalam melaksanakan serta menegakkan risalah Islam yang berpandukan al-Quran dan sunnah Nabi Muhammad SAW. 



INFO: 

Tajuk: Dahsyatnya Dajal dan Simbol Syaitan 
Penulis: DRS H. Toto Tasmara 
Penerbit: Inteam Publishing Sdn Bhd 
Cetakan: Pertama 
Harga: RM 28 (Semenanjung) RM30 (Sabah dan Sarawak)


Sumber:  
myMetro bullet Variasi bullet Ad Din 18/08/2012

Tranformasi pada Ramadan

ESOK hari terakhir umat Islam berpuasa dan selepas itu kita akan meninggalkan Ramadan, bulan yang pasti dirindui setiap insan yang bertakwa.

Apakah kita berpeluang bertemu lagi Ramadan tahun depan atau adakah Ramadan ini yang terakhir kita? 

Selama sebulan memasuki madrasah Ramadan, sepatutnya apabila tiba Syawal, kita sudah memiliki ilmu dan ketahanan yang kuat untuk menghadapi cabaran yang datang. 

Imam 1 Masjid Al-Husna Bandar Sunway, Ustaz Abdul Hadi Bakri Abdullah, berkata jika Allah menerima puasa dan amal ibadat kita, ia adalah suatu amalan yang menguntungkan, seperti kembali kepada fitrah.

Beliau berkata, pengampunan Allah adalah suatu rahmat kepada manusia kerana itulah yang kita mohon setiap hari dalam beribadat.


“Pastikan jika sepanjang Ramadan kita solat berjemaah, membaca al-Quran dan bersedekah, itu yang kita lakukan selepas bulan puasa. 

“Tidak guna kita bersungguh-sungguh melakukan amalan-amalan ibadat di bulan Ramadan, tetapi tidak konsisten selepas Ramadan. 

“Alangkah beruntung mereka yang menggunakan setiap minit waktu terluang di bulan puasa dan meneruskan amalan itu selepas Ramadan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ceramah Ramadan di surau NSTP, Balai Berita, Kuala Lumpur, baru-baru ini. 

Katanya, bulan puasa adalah masa terbaik untuk melakukan tranformasi kerana peluang merenung kembali dosa dan perbuatan mungkar yang dilakukan sebelum ini. 

“Inilah masa untuk berubah, jika dulu sering ponteng solat, buktikan madrasah Ramadan mendidik anak rajin sembahyang malah berjemaah di masjid. 

“Begitu juga jika dulu tidak bertudung dan mendedahkan aurat, inilah masanya untuk berubah, bukan kerana manusia tetapi Allah. 

“Ramadan ibarat kita memotong filem lama yang tidak elok dan menggantikan dengan filem yang baik, semoga apabila ditayangkan di hadapan Allah, kita akan bergembira,” katanya. 

Menurutnya, Ramadan juga mengajar kita menjadi insan yang takut untuk melakukan sesuatu yang mungkar kerana Allah. 

“Ketika berpuasa, kita boleh makan di rumah kerana tiada sesiapa yang nampak tetapi mengapa kita tidak makan, jawapannya kita tahu Allah melihat apa yang kita lakukan. 

“Jika pekerti ini dapat dilanjutkan selepas Ramadan, insya-Allah kita tidak akan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan hukum Allah. 

“Ingatkan, jangan menyembah Ramadan kerana bulan itu akan meninggalkan kita, tetapi sembahlah Allah kerana Dia akan kekal selama-lamanya,” katanya. 

Di bulan Ramadan, ramai umat Islam membaca al-Quran dan perbuatan itu patut dilakukan selepas Ramadan kerana ia amalan baik. 

“Jadikan al-Quran sebagai rujukan tertinggi kita, kerana umat yang berjaya ialah mereka yang menjadikan al-Quran kitab tertinggi dalam kehidupan keluarga dan negara. 

“Zaman Kesultanan Melaka, umat Islam menjadi kuat dan disegani kerana sentiasa menjadikan al-Quran rujukan tertinggi perlembagaan negara. 

“Apabila kita meminggirkan al-Quran, umat Islam akan menjadi lemah dan inilah yang musuh Islam mahukan. 

“Justeru, dalam baki roh Ramadan ini, marilah kita kembali kepada al-Quran dan menggunakan sebagai panduan hidup,” katanya.



Oleh Roslan Ibrahim lann@nstp.com.my Sumber: myMetro Variasi Ad Din 18/08/2012

Kembali kepada fitrah

ESOK, Ramadan bakal sampai tiba ke penghujungnya. Ramadan ternyata memberi kebahagiaan, di dalamnya ada kedamaian malah jiwa kita begitu dekat kepada Maha Pencipta.

Berdoalah selalu semoga Allah mempertemukan kita Ramadan akan datang. Ganjaran pahala yang Allah tawarkan pada bulan ini tidak mungkin ditemui di bulan lain.

Allah mensyariatkan puasa supaya nafsu kita dapat dikalahkan. Mengekalkan konsisten selepas Ramadan itulah menjadi matlamat utama.

Ia proses manusia kembali semula kepada fitrahnya. Allah berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa seperti orang-orang yang terdahulu. Mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183).


SELAMI DERITA....bersyukur dengan apa yang kita miliki kerana terdapat golongan yang lebih hebat dugaannya.

Tarbiah Ramadan terbukti mampu melahirkan manusia yang memiliki keperibadian tinggi. Semakin tinggi nilai takwa seseorang, semakin banyak manfaat yang diberikan kepada orang di sekelilingnya.


BERTAUBAT...Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat dan mendekatkan diri kepada-Nya dengan cara meninggalkan maksiat.



Berdasarkan hadis nabi, baginda menjelaskan pintu syurga dibuka seluas-luasnya, manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya di sepanjang Ramadan ini.

Keikhlasan akan melahirkan kesungguhan dalam melaksanakannya serta mencapai apa yang diharapkan. Peluang itu sentiasa terbuka buat kita semua walaupun Ramadan tahun ini hanya berbaki sehari saja lagi.


MOHON DOA...semoga kita dipanjangkan umur dan dapat bertemu lagi dengan bulan yang penuh keberkatan ini.


Perpisahan dengan Ramadan bermakna kita meninggalkan kesempatan meraih pahala berlipat kali ganda selain ‘terlepas’ kesempatan memperoleh keampunan Allah terhadap dosa yang tidak mampu kita kira banyaknya.

Sebab itu, jangan kita sia-siakan detik perpisahan ini. Teruskan amalan berzikir, membaca al-Quran, munajat, memohon keampunan dari Allah. Renungi dan menangislah kerana kita akan berpisah dengan kemuliaan dan keberkatan Ramadan. 

Pensyarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mohd Shukri Hanapi berkata, matlamat khusus puasa Ramadan adalah bagi menimbulkan rasa ketakwaan kepada Allah SWT. 

“Ramadan bermatlamat mendidik umatnya menjadi individu lebih beriman dan bertakwa sepanjang masa, bukan untuk tempoh atau musim tertentu saja. 


MOHON DOA...semoga kita dipanjangkan umur dan dapat bertemu lagi dengan bulan yang penuh keberkatan ini.

“Kejayaan tarbiah Ramadan boleh dilihat daripada tingkah laku serta amalan dalam kehidupan seseorang. Umat Islam perlu berusaha mengekalkan prestasi ibadah yang dilakukan sepanjang Ramadan ini dalam bulan berikutnya supaya ia selari dengan matlamat khusus Ramadan,” katanya. 

Beliau berkata, beberapa langkah boleh diamalkan bagi mengekalkan istiqamah amal soleh selepas Ramadan.

“Pertama, sentiasa memohon pertolongan Allah supaya terus diberi hidayah dan keteguhan iman. Allah memuji orang yang sering berdoa supaya sentiasa diberikan hidayah. 

“Allah berfirman yang bermaksud, “(Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya” (Surah Ali ‘Imran ayat 8). 

“Kedua, sentiasa menghadiri majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah dan tazkirah.

Ketiga, berusaha mengenali dan menghayati sejarah hidup sahabat, tabi’in dan orang soleh melalui pembacaan atau kuliah agama. 


SOLAT BERJEMAAH...prestasi terbaik dapat melaksanakan solat secara berjemaah perlu dikekalkan pada bulan-bulan lain.

“Keempat, sentiasa menjaga dan menitikberatkan perkara fardu seperti solat lima waktu dan mengqada’ puasa Ramadan yang pernah ditinggalkan.


“Kelima, sentiasa melakukan ibadah sunat walaupun sedikit. Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Amalan yang paling disukai Allah ialah amalan yang istiqamah (berterusan atau konsisten) walaupun sedikit.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

“Keenam, memperbanyakkan berzikir kepada Allah dan sentiasa beristighfar kerana ia adalah amalan yang mudah dilakukan. Manfaatnya sangat besar iaitu dapat menguatkan iman dan hati.

“Ketujuh, melakukan taubat nasuha supaya tidak kembali ke lembah kehinaan. Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang bertaubat,” katanya.

Menurutnya, Indeks Prestasi Utama (KPI) puasa Ramadan dinilai berdasarkan perubahan tingkah laku dan amalan seseorang Muslim yang menjalani ibadah puasanya. 

“KPI pekerja lebih bersifat kuantitatif, manakala KPI puasa Ramadan bersifat kualitatif atau dalam bentuk yang tidak boleh dihitung peratusannya.

“Manusia mudah menuruti apa saja keinginannya meskipun keinginan itu sesuatu yang tidak baik, mengganggu serta merugikan orang lain.

Sebab itu, dalam Islam terdapat perintah supaya memerangi hawa nafsu. 

Allah berfirman yang bermaksud, “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jathiyah ayat 23).

“Puasa yang dilaksanakan membuatkan seseorang terus mempertahankan keinginan yang baik, meskipun peluang melakukan penyimpangan terbuka luas,” katanya. 

Menurutnya, segala nikmat yang dimiliki perlu di syukuri dengan membuat perbandingan dengan golongan lain yang barangkali terpaksa mendapatkan sesuatu dengan penuh kesukaran.

“Mengingati dan merasakan penderitaan orang lain dapat memberikan keinsafan bagaimana beratnya keperitan yang terpaksa mereka tanggung. 

“Umat Islam di sesetengah negara ada yang tidak mempunyai bekalan makanan, minuman dan barang keperluan harian seperti yang berlaku di Syria, Palestin serta Rohingnya,” katanya.

Beliau berkata, puasa melahirkan sifat jujur dan amanah dalam diri yang berpaksikan takwa kepada Allah. 

“Apabila sifat ini terbina dalam diri, logiknya tidak akan timbul masalah mencuri tulang pada waktu bekerja, datang lewat ke tempat kerja, pecah amanah, tidak jujur, rasuah dan penyelewengan di kalangan umat Islam. 

“Tidak dinafikan, dalam bulan Ramadan kita sentiasa menepati masa; berbuka tepat pada waktunya, begitu juga ketika bersahur kita akan berhenti apabila tamat waktunya. 

“Lebih hebat lagi, kita boleh menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid yang selama ini tidak mampu dilakukan. Justeru, sifat menepati masa ini perlu dibawa setiap masa bukan pada bulan Ramadan saja,” katanya.

Menurutnya, faktor ganjaran turut memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku dan amalan manusia sepanjang Ramadan. 

“Terdapat pelbagai ganjaran dalam bulan Ramadan. Walaupun ganjaran pahala itu tidak dapat dilihat dengan mata kasar, namun kepercayaan kita terhadapnya ditunjangi keimanan, nas dan dalil.

“Pada penghujung Ramadan umat Islam seharusnya semakin seronok meningkatkan amal ibadat. Orang berpuasa seperti pelumba lari; semakin hampir ke garisan penamat, semakin laju lariannya. 

“Jika tidak ada sikap ingin menang, cepat lemah semangat dan lalai, sudah tentu mereka mudah tertewas. Sejarah kehidupan generasi salafus soleh dulu, semangat beribadah mereka cukup tinggi hinggakan sanggup bergilir-gilir tidur, bangun dan saling mengejutkan bagi memastikan mereka dapat melaksanakan qiamullail.

“Malah Perang Badar Kubra juga tercatat sebagai sejarah hebat buat umat Islam kerana berlaku ketika tentera Islam berlapar dan dahaga kerana berpuasa,” katanya.



Oleh Mohd Fadly Samsudin fadly@hmetro.com.my Sumber: myMetro Variasi Ad Din 18/08/2012

Aidilfitri pencetus perpaduan ummah

HARI ini, 1 Syawal 1432 Hijrah adalah hari kemenangan bagi umat Islam sesudah Ramadan yang penuh barakah. Aidilfitri dirayakan oleh umat Islam di seluruh dunia dengan membawa satu sikap, jiwa dan tindakan yang menunjukkan keperibadian serta identiti umat itu sendiri.

Bersandarkan aspek sejarah, ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda melihat masyarakat Madinah merayakan dua hari raya yang mereka warisi sejak zaman jahiliah. Perayaan tersebut iaitu ‘Nairus’ dan ‘Nahrajan’ iaitu hari besar yang berasal dari zaman Parsi Kuno dengan pesta tari-menari, hidangan minuman memabukkan serta juadah mewah.


Justeru, sebagai seorang pemimpin, Rasulullah melihat ke hadapan dan mengambil kira faktor psikologi yang subur di kalangan masyarakat ketika itu. Atas dasar itulah, baginda mengubah sambutan perayaan itu supaya memberi manfaat kepada orang ramai serta menjadi ibadah.

Baginda menetapkan dua jenis hari besar yang perlu dirayakan oleh umat Islam iaitu seperti yang dijelaskan oleh sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan an-Nasai: “Sesungguhnya Allah menukar dua hari raya dengan hari besar yang lebih baik iaitu Aidiladha dan Aidilfitri.” Nikmat perundangan Aidilfitri itu juga disebut sebagai suatu nikmat besar yang menjadi asas kepada ciri-ciri pembinaan kemanusiaan dan sifat bersatu padu. Malah, ia merangkumi asas kemurnian rohani, kebenaran dan keadilan, ilmu dan kebijaksanaan serta kebahagiaan dunia dan akhirat.


Hari raya fitrah adalah hari kemerdekaan iaitu hari pertama selepas Ramadan di mana orang-orang beriman memperoleh kebebasan diri dan kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga mereka kepada Allah.


Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat melaksanakan kewajipan dan berkeyakinan memperoleh pahala yang besar di sisi Allah.


Aidilfitri juga puncak kemenangan manusia dalam pertentangan antara akal dan nafsunya kerana puasa adalah keupayaan manusia untuk menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung kepada pelanggaran ajaran Islam.


Berhari raya juga bererti kembali kepada jati diri manusia sebagai hamba Allah kepada fitrah kejadian manusia. Di alam azali lagi iaitu sebelum wujud sebagai manusia, kita sudah mengakui keesaan Allah dan berjanji untuk mentaati perintahnya.

Mari kita lihat lebih jauh lagi apakah nilai-nilai yang dapat dipetik daripada peristiwa Aidilfitri ini? Unsur pertama adalah mewujudkan hubungan antara ‘Khalik’ sebagai pencipta dengan makhluk sebagai objek. Unsur kedua pula adalah berlegar sekitar hubungan ‘habluminnas’ atau kasih sayang sesama makhluk.


Unsur pertama dilakukan dengan menghayati kekuasaan dan kebesaran Allah, mengagungkan asma-Nya, mengucapkan kalimah takbir, tahlil dan tahmid iaitu ‘Allahu akhbar, ‘la ilaha illallah, wa lillahil hamd.’ yang bermaksud Allah Maha Besar, tiada Tuhan melainkan Allah dan hanya Allah yang berhak menerima puji-pujian. Kemudian, diikuti dengan sikap merendah diri dengan bersujud kepada-Nya dan melaksanakan solat sunat Aidilfitri.


Unsur kedua terlaksana pada saat menjelang Aidilfitri iaitu menunjukkan simpati kepada kaum yang lemah dan melarat dengan membayar zakat fitrah untuk fakir miskin.


Dalam pada itu umat Islam dituntut mengeratkan hubungan sesama manusia dengan bermaaf-maafan antara satu sama lain.


Gabungan kedua-dua unsur yang terbit daripada hikmah Aidilfitri itulah yang memberikan jaminan menghindarkan umat manusia daripada kehinaan, kehancuran dan perpecahan.


Dalam tradisi kunjung-mengunjung, umat Islam saling mendoakan mudah-mudahan Allah akan menerima segala amal mereka, terutama ibadah puasa yang baru saja selesai dilaksanakan.


Semoga mereka dikurniakan Allah darjat ‘insan muttaqin’ iaitu kesan dan nilai utama daripada ibadah puasa yang dilakukan.


‘Insan muttaqin’ adalah satu darjat yang tertinggi dalam kehidupan manusia yang beragama Islam. Insan yang bermakam di darjat ini adalah seorang yang memiliki watak dan sikap takwa. Sifat takwa itu tidak ubah seperti mutiara yang bersinar-sinar yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-Nya yang taat menjalankan perintah-Nya dan sentiasa menjauhkan diri daripada larangan-Nya.


Sebenarnya perkataan takwa itu mencakupi seluruh kehidupan di alam maya ini. Antara sifat orang yang bertakwa (insan muttaqin) ialah pemurah dalam segala keadaan, baik waktu kaya mahupun ketika miskin, bersikap sabar dan tenang menghadapi masalah, pemaaf dan bukan bersifat pendendam, sentiasa berbuat kebajikan, sentiasa memohon keampunan daripada Allah dan menjauhkan diri daripada perbuatan maksiat.


Bagaimanakah cara merayakan hari besar ini yang mengikut sunnah Nabi? Kemuncak merayakan Aidilfitri ialah menunaikan solat sunat Aidilfitri sebagai satu cara melahirkan rasa syukur kepada Allah yang memberikan kemenangan kepada umat Islam selama berpuasa melawan hawa nafsu.


Jika dilihat daripada sudut hukum ‘ubudiyyah’, menunaikan solat Aidilfitri hanyalah ‘sunat muakkad’, satu sunat yang sangat dituntut. Lebih-lebih lagi menurut pandangan Islam, Rasulullah menganjurkan supaya umat Islam dapat menunaikannya. Sekurang-kurangnya, mereka dapat memanfaatkan khutbah hari raya yang dibacakan oleh khatib.


Seorang sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah: “Bagaimana kalau kita tidak mempunyai pakaian untuk pergi ke tempat solat Aidilfitri itu?” Rasulullah menjawab; “Orang yang mempunyai dua persalinan pakaian hendaklah meminjamkan kepada saudaranya.” Menurut ketentuan sunnah, pada Aidilfitri, kita dianjurkan mengucapkan “Taqaballahu minna wa minkum” yang bermaksud ‘mudah-mudahan Allah menerima ibadah puasa yang baru kita laksanakan’. Selain itu, sudah menjadi kebiasaan kita saling mengucapkan ‘Minal aidin wal faizin’ yang bererti ‘mudah-mudahan Allah menjadikan kita orang yang kembali daripada medan perang dengan memperoleh kemenangan besar’.


Diceritakan bahawa mengucapkan kata-kata ‘Minal aidin wal faizin’ itu adalah kebiasaan sahabat Rasulullah kerap mengucapkannya apabila mereka kembali daripada medan perang dengan mengibarkan bendera kemenangan.


Dalam satu riwayat, dalam pertemuan sahabat Rasulullah pada Aidilfitri, mereka mengucapkan “Mudah-mudahan Allah menerima amal kami dan amal kamu. Taqabballahu minna wa minkum.” (Riwayat Ahmad).


Oleh Datuk Dr Mashitah Ibrahim
Penulis adalah Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri
Sumber: 
myMetro bullet Setempat 18/08/2012

Waktu takbir hari raya

Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185: “Dan sempurnakan ibadah puasa kamu mengikut bilangan hari dalam Ramadan (29 atau 30 hari) dan bertakbirlah membesarkan Allah atas petunjuk yang diberikannya kepada kamu supaya kamu bersyukur”. Rasulullah pula bersabda “Hiasilah hari raya kamu dengan takbir dan tahmid”. 

Pada hari raya Aidilfitri, disunatkan bertakbir dari waktu Maghrib pada malam 1 Syawal sehingga Maghribnya saja. 

Berbeza pula dengan Hari Raya Aidiladha, adalah sunat untuk bertakbir dari 10 hingga 13 Zulhijjah. 

MENGAPA umat Islam ditegah mengalunkan takbir raya selain pada waktu dibolehkan iaitu Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha, sedangkan ia satu daripada kaedah kita memuji kebesaran Allah.

Menyambut Hari Raya dengan bertakbir adalah satu ibadah. Syariat dalam ibadah ialah sesuatu yang ditentukan secara wahyu daripada Allah kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan pada umatnya. Pada Aidilfitri, takbir dilaungkan memuji kebesaran Allah sempena meraikan kejayaan umat Islam menunaikan ibadat sebulan puasa ketika Syawal dan juga meraikan perhimpunan agung umat Islam ketika Aidiladha. Takbir, tahmid dan tahlil sebagai memuji kebesaran Allah pada waktu lain adalah dalam bentuk zikir yang diharuskan.


Ucapan “ SUBHANALLAH “ Ertinya ialah : ” Maha Sucilah Allah “ini juga dikenali sebagai “ TASBIH “

Ucapan “ ALHAMDULILLAH “ Ertinya : “ Segala puja-puji hanyalah untuk Allah “ ini juga dikenali sebagai “ TAHMID “ 

Ucapan “ LA ILAHA ILLALLAH “ Ertinya : “ Tidak ada sama sekali Tuhan yang layak diibadati melainkan Allah “ ini dikenali juga sebagai “ TAHLIL “

Ucapan “ ALLAHU AKBAR “ Ertinya : “ Allah Maha Besar “ ini dikenali juga sebagai “ TAKBIR “ .


(Sumber: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=11358.0)


Sumber: myMetro bullet Soal Jawab Agama bullet Anda Musykil Dr Mashitah Jawab 18/08/2012