August 23rd, 2012

Kembali kepada fitrah

KEMERIAHAN suasana Aidilfitri masih tetap dirasakan sehingga hari ini. Kunjung mengunjungi masih lagi dilakukan, sanak-saudara dan rakan taulan berhimpun meraikan hari yang mulia ini. Kanak-kanak pula menjadi penyeri kepada kegembiraan di hari lebaran ini. Kerenah kanak-kanak ini sering menjadi tumpuan orang dewasa yang berkongsi kegembiraan tersebut.

Dari segi bahasanya aid al fitri bermakna kembali kepada fitrah (semula jadi). Kita sebenarnya kembali kepada fitrah kita sendiri iaitu suci dan bebas daripada dosa. Ini adalah disebabkan tatkala Aidilfitri, umat Islam adalah sudah sepatutnya suci daripada dosa kerana Universiti Tarbiyah Ramadan telah membersih segala dosa kita.

Namun tidak kurang juga daripada kita yang kecundang dan gagal mendapat segulung 'ijazah' dari Universiti Tarbiyah Ramadan ini. Ini dapat dilihat apabila mereka juga kembali kepada 'fitrah' mereka. Mereka kembali kepada kehidupan yang penuh dengan dosa, memakan makanan yang tidak tentu halal dan haramnya dan menindas golongan yang lemah.

Golongan ini adalah golongan yang sangat rugi kerana tidak mengambil iktibar daripada ajaran Allah SWT. Segala sifat mahmudah hendaklah diamalkan dan sifat-sifat mazmumah hendaklah ditinggalkan.

Di hari kemenangan ini jangan dilupai golongan yang tidak bernasib baik. Semangat persaudaraan Islam mestilah diutamakan di samping mengeratkan ikatan silaturrahim sesama umat Islam. Ukhuwah dan perpaduan Islam hendaklah diutamakan di kalangan orang Islam. Golongan fakir miskin, orang kelainan upaya, anak-anak yatim dan mualaf walau di mana jua berada haruslah didekati supaya mereka tidak merasa terasing di hari kemenangan ini.

Bagi yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya. Patuhi peraturan lalu lintas dan utamakan keselamatan. Moga-moga setelah berhari raya kita dapat kembali ke tempat kerja masing-masing dengan selamat. Agama Allah amat memerlukan kita bagi meneruskan perjuangan menegakkan kalimah-Nya di muka bumi ini.

Aidilfitri bukanlah suatu adat semata-mata tetapi merupakan ibadat yang berasaskan kepada sumber hukum yang jelas. Oleh kerana ia adalah suatu ibadat, amatlah molek sekiranya hari besar ini juga dipenuhi dengan ibadat-ibadat yang dituntut oleh Allah.

Bukanlah saya mengatakan tidak boleh berseronok-seronok, tetapi tujuan utamanya untuk mengabdikan diri kepada Allah janganlah dikesampingkan. Ia tidak hanya ziarah menziarahi tetapi mengeratkan silaturrahim, ia tidak hanya berborak-borak tetapi menegakkan syiar dan dakwah Islamiah. Ia bukan juga hanya menyanyi kegembiraan tetapi menambah zikir dan takbir kepada Yang Maha Esa.

Pemborosan dan pembaziran semata-mata bagi menyambut Aidilfitri sebenarnya adalah tergelincir daripada apa yang dianjurkan oleh Islam. Islam menggalakkan umatnya merayakan hari kemenangan ini tetapi dalam sukatan dan kadar yang tidak menjurus kepada pembaziran.

Alangkah baiknya jika wang lebihan itu digunakan bagi manfaat perjuangan Islam, membantu golongan miskin yang memerlukan dan sebagainya ataupun memanfaatkannya untuk tujuan kebaikan.

Sebagaimana lazimnya seperti tahun-tahun yang lalu, bulan Syawal akan dipenuhi dengan program rumah terbuka yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan. Malaysia memang kaya dengan pelbagai makanan yang enak dan menarik. Ada kalanya sehinggakan kita tidak dapat memenuhi jemputan yang datang.

Dari sudut pembaziran makananpun sudah cukup menyedihkan kita, apatah lagi jika kita kaji kesan produktiviti, betapa lama masa yang diluangkan menghadiri majlis-majlis berkenaan. Bukanlah tujuan penulis menyanggah apa yang telah dilakukan sekian lama ataupun menyarankan diberhentikan acara rumah terbuka ini tetapi biarlah dalam semua tindakan kita itu dibuat dengan berpada-pada dan tidak sehingga boleh disifatkan sebagai suatu pemborosan. Pemborosan pula adalah saudara kepada syaitan.



DR. ZAINUL RIJAL ABU BAKAR ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui emel di zainul.rijal@abubakar.my Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21/08/2012

Puasa dan adat

RAMADAN baru saja berlalu. Namun kisah-kisah yang berlaku sepanjang bulan yang mulia itu boleh dijadikan iktibar oleh semua.

Lagi pula, sempena Ramadan umat Islam hanya melaksanakan ibadah puasa sebagai menunaikan rukun Islam yang ketiga.

Jauh lebih utama, puasa merupakan satu amalan murni yang mendidik manusia memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri.

Bertitik tolak daripada amalan inilah yang akan melahirkan umat Islam yang diberikan rahmat dan anugerah yang tinggi nilainya oleh Allah S.W.T.

Amalan berpuasa yang mewajibkan umat Islam menahan diri daripada lapar dan dahaga sekali gus akan membentuk sebuah kelompok umat yang teguh nilai-nilai peradaban yang murni.

Konsep dan pemahaman mengenai puasa bagi majoriti umat Islam di seluruh dunia adalah sama, namun tidak kurang masih ada segelintir masyarakat yang melihat puasa dari perspektif budaya atau adat.

Dalam sebuah negara sebesar Indonesia yang dihuni oleh lebih 234 juta penduduk, sejumlah komuniti adat di Tanah Jawa ini menzahirkan puasa dengan tujuan yang berbeza dan pelbagai ragam.

Sebuah rencana yang disiarkan dalam akhbar Republika baru-baru ini menjelaskan, budaya Jawa Kejawen dan Sunda Wiwitan lazimnya melaksanakan ibadah puasa untuk memperoleh kesaktian.

Dengan berpuasa, masyarakat ini yakin mereka dapat membersihkan diri dan fikiran sehingga memperoleh kekuatan yang dikehendaki memasuki dalam tubuh dengan cara yang mudah.

Hasil daripada penyelidikan melalui pelbagai bahan bacaan mengenai amalan berpuasa dalam masyarakat adat Indonesia, apa yang dapat diperoleh ialah terdapat sejumlah amalan berpuasa yang dilihat dari perspektif adat, bukannya berpandukan syariat agama.



Oleh SAHARUDIN MUSTHAFA saharudin.musthafa@utusan.com.my Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21/08/2012

Ibadah Syawal

BULAN Ramadan baru sahaja berlalu, saat ini kita telah memasuki bulan Syawal. Saya sangat merindukan keseronokan beribadat yang dilalui sepanjang di bulan Ramadan. Apakah amalan-amalan ibadah yang dianjurkan untuk kita lakukan pada bulan Syawal ini?

Pertama-tama, saya ingin mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh kaum Muslimin dan Muslimat di tanah air. Semoga Allah menerima semua amal ibadah yang kita lakukan sepanjang bulan suci Ramadan. Kita meminta kepada Allah semoga mempertemukan kita kembali dengan Ramadan pada tahun-tahun hadapan.

Bulan Syawal memang masa untuk kita bergembira. Namun begitu, jarang yang menyedari bahawa bulan Syawal sebenarnya merupakan bulan kesinambungan ibadah-ibadah yang kita lakukan di bulan Ramadan.

Beribadah di bulan Syawal membuktikan bahawa tarbiyah Ramadan benar-benar berkesan di dalam diri kita. Benih-benih keimanan yang kita taburkan sepanjang bulan Ramadan seharusnya tumbuh dan mengeluarkan buahnya pada bulan ini.

Para ulama mengatakan bahawa beribadah di bulan Syawal merupakan pertanda ibadah Ramadan kita diterima oleh Allah SWT.

Berkata Imam Ibn Rajab al-Hanbali dalam kitab Lataif al-Ma'arif: "Apabila seseorang selesai daripada satu amalan ibadah, maka tanda ibadah itu diterima oleh Allah adalah ia menyambungnya dengan ibadah yang baru. Dan tanda ibadah itu tertolak adalah ia menyambung ibadah itu dengan amalan maksiat."

Justeru, beberapa amalan ibadah sangat dianjurkan untuk kita laksanakan pada bulan ini. Semuanya merupakan kelanjutan amalan kita di bulan Ramadan.

Yang pertama ialah puasa sunat enam hari. Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian ia melanjutkannya dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olahnya dia telah berpuasa setahun penuh.(riwayat Muslim)

Itu kerana setiap amalan ibadah akan dibalas dengan 10 kali ganda. Tiga puluh hari kita berpuasa, pahalanya seperti 300 hari. Jika ibadah ini diikuti dengan enam hari berpuasa setelahnya, maka seakan-akan kita telah berpuasa 360 hari. Dan itulah bilangan hari-hari dalam satu tahun.

Puasa Syawal ini boleh dilakukan bila-bila masa sahaja selagi kita masih berada di bulan Syawal. Asalkan sahaja kita tidak melakukannya pada Hari Raya Aidilfitri itu sendiri. Puasa ini boleh dilakukan berturut-turut, boleh juga terpisah-pisah. Semuanya terpulang kepada kemampuan kita.

Antara fungsi puasa sunat ini adalah menutupi kekurangan yang mungkin terdapat dalam puasa Ramadan kita seperti mengumpat atau berdusta tanpa disedari. Puasa enam di bulan Syawal dapat menutupi kekurangan-kekurangan tersebut sehingga ibadah Ramadan kita menjadi sempurna di sisi Allah SWT.

Selain itu, melanjutkan bacaan al-Quran yang kita baca pada bulan Ramadan. Imam Al-Tirmidzi meriwayatkan daripada Ibnu Abbas: seseorang bertanya kepada Nabi Saw: "Wahai Rasulullah, amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah?"

Baginda menjawab: "Orang yang segera berangkat setelah tiba. Yakni orang yang membaca al-Quran dari awal hingga ke akhir. Apabila ia tiba di akhirnya, ia memulai bacaan kembali dari awalnya."

Al-Quran bukan untuk dibaca hanya di bulan Ramadan sahaja, malah ia mesti dibaca di bulan-bulan yang lain juga.

Terbukti sesiapa yang melanjutkan bacaan al-Qurannya di bulan Syawal, insya Allah ia akan dapat beristiqamah untuk terus membacanya ke bulan-bulan yang lain.

Namun sesiapa yang tidak lagi membaca al-Quran apabila Syawal menjelang, maka biasanya orang ini tidak akan berjumpa lagi dengan al-Quran hingga ke bulan Ramadan di tahun hadapan.

UMAR MUHAMMAD NOOR sedang menyambung pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Malaya (UM). Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21/08/2012

Puasa tanpa agama

DALAM kehidupan ini, setiap apa yang kita laksanakan perlu dilakukan secara sempurna. Allah SWT dan Rasulullah SAW tidak suka kepada individu yang melakukan sesuatu kerja dengan tidak bersungguh-sungguh dan sambil lewa kerana ia tidak boleh mendatangkan hasil yang baik.

Sesuatu kerja yang tidak lengkap dan sempurna pastinya mempunyai nilai yang rendah di mata masyarakat. Sebagai manusia yang telah dikurniakan Allah SWT dengan Islam, kita mestilah melaksanakan Islam dengan sempurna.

Kegagalan berbuat demikian tentunya akan dianggap sebagai tidak menghargai pemberian nikmat beragama sebagai nikmat terbesar dan ternilai dalam kehidupan kita.

Islam seumpama sebuah rumah yang lengkap dan sempurna. Kita diperintahkan untuk membina rumah yang lengkap mengikut spesifikasi dan reka bentuk yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.


Senario yang semakin membimbangkan ialah apabila terdapat segelintir orang Islam yang sanggup meninggalkan solat secara terbuka. - Gambar hiasan

Islam yang tidak lengkap adalah seumpama sebuah rumah tanpa dinding atau bumbung. Walaupun ia adalah rumah, namun tidak dapat dimanfaatkan dek kerana belum sempurna. Bahkan, dengan ketidaksempurnaan itu, ia langsung tidak diiktiraf sebagai rumah.

Dalam kerangka inilah, Allah SWT memerintahkan hamba-hamba-Nya yang beriman supaya melaksanakan Islam secara keseluruhannya. (rujuk al-Baqarah: 208)

Setiap kali datangnya bulan Ramadan, seringkali kita dipaparkan dalam berita tentang tangkapan segelintir umat Islam yang tidak berpuasa. Yang terbaru ialah seorang warga emas ditangkap kerana tidak berpuasa dan tanpa segan silu bersarapan di hadapan khalayak ramai. Kita yang menyaksikannya menggelengkan kepala tanda meluat, geram dan jijik dengan angkara tersebut.

Mungkin juga kita pelik dan hairan dengan sikap mereka yang mengaku beragama Islam, namun tidak mahu berpuasa. Keingkaran melakukan fardu puasa ini seolah-olah berita sensasi yang menjadi rutin biasa bulan Ramadan, terutamanya apabila adanya tangkapan yang dibuat pihak berkuasa.

Namun, sebenarnya pelanggaran syariah secara terbuka bukan sahaja berlaku pada bulan Ramadan. Orang yang melakukan maksiat tidak terhenti kepada mereka yang tidak berpuasa sahaja, namun turut terkena kepada mereka yang mengingkari ibadah-ibadah yang lain.

Maka, kenapa kita hanya mengkhususkan tindakan tersebut kepada puasa sahaja? Kenapa tidak kepada ibadah-ibadah yang lain seperti solat?

Dewasa ini terdapat segelintir orang Islam yang sanggup meninggalkan solat secara terbuka. Lihat sahaja mereka yang terus-menerus leka dengan berniaga walaupun jemaah di masjid sedang melakukan solat Jumaat.

Bahkan, yang menambahkan kehairanan kita ialah terdapatnya yang berpuasa di bulan Ramadan, tetapi tetap enggan melakukan solat atau sewenang-wenangnya meninggalkan solat ketika sibuk dengan urusan dunianya. Bukankah ini merupakan sebuah kepincangan dalam beragama?

Antara faktor suasana ini berlaku ialah disebabkan krisis kefahaman tentang kesyumulan Islam. Kedangkalan ilmu dalam diri ditambah pula dengan sikap ego serta sombong, akhirnya menjadikan golongan ini tetap dalam keadaan serba-salah dalam kehidupan beragama.

Faktor lain ialah adanya tanggapan bahawa ibadah hanyalah tidak ubah seperti adat. Oleh kerana majoriti orang ramai di sekelilingnya berpuasa, maka dia juga berpuasa. Jika ramai yang berkunjung ke masjid atau surau untuk mendirikan solat hari raya, maka dia pun menyertai mereka. Walaupun kakinya hanya menjejakkan kaki ke masjid atau surau tersebut di kala hari raya sahaja.



Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN  Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 22/08/2012

Keluarga ilmuwan

PADA zaman Abbasiah, iaitu semasa pemerintahan Khalifah al-Ma'mun, keluarga Musa bin Shakir sangat terkenal kerana penguasaan mereka dalam bidang matematik, khususnya geometri. Malah mereka juga menguasai dalam bidang astronomi serta falsafah.

Musa bin Syakir merupakan seorang ilmuwan terbilang kerana kejayaan yang dicapai turut dikongsi bersama ketiga-tiga anaknya, Abu Jaafar Muhammad, Ahmad dan Hassan.

Pada zaman Abassiah, rakyatnya suka belajar dan menimba ilmu. Mereka memanfaatkan sepenuhnya kekayaan yang dimiliki untuk membeli buku yang diperoleh dari Rom. Malah mereka juga mengupah penulis untuk menghasilkan pelbagai buku dan ada di antara penulis yang memperoleh gaji sehingga 500 dinar.

Antara kejayaan Musa dan anak-anaknya ialah dengan melakar dan mencipta puluhan air pancuran (air pancut) yang digunakan untuk menghiasi istana khalifah sehingga membolehkan mereka memperoleh pendapatan yang lumayan.

Salah seorang anaknya, Abu Jaafar Muhammad amat tersohor kerana memiliki ilmu astronomi, kejuruteraan dan mantik.

Mantik ialah ilmu yang digunakan dalam ilmu kalam atau ilmu falsafah. Kepakaran seorang lagi anaknya, Ahmad yang menguasai ilmu mekanik, sementara Hasan pula pakar dalam bidang kejuruteraan dan mekanikal.

Mereka telah menghasilkan beberapa kitab, iaitu Kitab al-Hiyal yang mengandungi pelbagai gambar mengenai tabung, paip dan air pancuran sebagai memenuhi keperluan ketika itu.

Hasil rekaan tabung mereka banyak digunakan di masjid, rumah dan tempat berhimpun sebagai bekas minuman, berwuduk, menyimpan dan memindahkan air.

Kemampuan mereka juga menyerlah apabila berjaya menghasilkan pancutan air berbentuk bunga teratai dan air yang memancut keluar seperti bentuk perisai.

Malah, anaknya juga menghasilkan buyung air yang dibawa oleh kanak-kanak dan diberikan juga kepada mereka yang mahu berwuduk.

Paling unik, rekaan mereka berasaskan teknologi tekanan udara dan proses naik turun air dari buyung. Selain itu juga mereka turut mencipta pelita yang boleh menaikkan sumbu dan menuang minyak dengan sendiri hinggakan apabila orang melihatnya akan menyangka api tidak memakan sumbu itu walaupun pada hakikatnya ia berlaku secara automatik. Malah, mereka juga turut mencipta alat menimbang emas.

Semua hasil rekaan mereka telah diabadikan dalam Kitab al-Qarsatun yang bererti timbangan dan Kitab Wasfil Alat yang bermaksud penjelasan yang boleh mengeluarkan bunyi.

Karya mereka juga telah diakui oleh ilmuwan Barat kerana beliau dan anak-anaknya telah membuat sumbangan yang besar pada zaman kegemilangan Islam.

Ilmuwan Barat juga telah menterjemahkan karya mereka, meneliti dan melakukan penambahan.

Musa juga telah menyatakan kewujudan satu tarikan bernama graviti yang menyebabkan planet di langit terikat antara satu dengan yang lain dan juga jasad jatuh ke bumi. Teori ini yang telah dikaitkan dengan nama ahli fizik Barat, Isaac Newton (1642-1727 Masihi).

Musa bin Shakir dengan gelaran Banu Musa telah dilahirkan pada 805 Hijrah di Baghdad dan meninggal dunia pada 873 Hijrah.



Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 21/08/2012

Tawaf

TAWAF merupakan salah satu daripada amalan-amalan haji dan umrah yang terpenting. Jika ia tidak dilakukan, haji dan umrah tidak sah. Selain mengetahui perkara-perkara yang melibatkan syarat-syarat dan sunat-sunat tawaf, bakal jemaah haji juga perlu mengetahui pelbagai isu melibatkan tawaf yang sering dirujuk kepada guru-guru pembimbing di Tanah Suci. Antara isu-isu tersebut adalah:

* Melakukan tawaf qudum bagi jemaah yang melakukan haji ifrad atau qiran adalah sunat. Mereka diharuskan melakukan tawaf qudum selama mana mereka masih belum lagi berwukuf. Selepas melakukan tawaf qudum, diharuskan bagi mereka melakukan saie haji. Jika tawaf qudum tidak dilakukan sehinggalah mereka berwukuf, saie haji tersebut wajib dilakukan selepas mereka melakukan tawaf haji (ifadah).

* Sah tawaf bagi jemaah yang uzur dengan menaiki kereta sorong dengan mengikuti syarat-syarat tawaf. Begitu juga sah tawaf bagi yang menyorong kereta sorong tersebut dalam masa yang sama.

* Terdapat jemaah yang tawaf secara bersorong tertidur semasa tawaf. Berhubung dengan wuduk jemaah ini, ia dikira tidak batal jika ia tidur dalam keadaan tetap papan punggung. Bagi bilangan tawaf pula, orang yang menyorong disyorkan memaklumkan kepada jemaah yang disorongnya itu setiap kali sampai ke kawasan penamat tawaf. Ini adalah untuk memastikan dia meyakini tawafnya cukup tujuh pusingan walaupun semasa dalam perjalanan menuju ke tempat tamat pusingan tawaf dia dalam keadaan tertidur.

* Bagi jemaah yang berulang alik antara penginapannya dengan Masjid Haram Mekah, mereka mempunyai pilihan, sama ada melakukan solat tahiyyatul masjid atau tawaf tahiyyatul bait ketika masuk ke dalamnya. Jika dia mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, afdalnya dia berbuat demikian. Sekiranya dia melakukan solat sunat tawaf selepas itu, dia turut mendapat pahala sunat solat tahiyyatul masjid. Jika dia tidak mahu melakukan tawaf tahiyyatul bait, lakukanlah solat sunat tahiyyatul masjid.

* Kadang-kadang ketika melakukan tawaf, muazzin menyeru untuk ditunaikan solat jenazah. Dalam masalah ini, adalah afdal jemaah meneruskan tawaf jika tawafnya itu tawaf wajib. Jika tawafnya itu tawaf sunat, adalah afdal dia turut sama menunaikan solat jenazah.

* Jemaah yang tidak dapat menyempurnakan tawaf sunat dengan sebab kedatangan haid, sakit atau lupa tidak wajib melengkapkan pusingan tawaf dan boleh pulang ke tanah air tanpa terikat dengan apa-apa hukum kerana ia adalah tawaf sunat.

* Sebelum jemaah keluar dari Tanah Haram Mekah selepas selesai kerja-kerja haji, wajib mereka melakukan tawaf wada' melainkan bagi orang-orang yang dikecualikan seperti wanita yang sedang berhaid. Tawaf wada' ini dilakukan setelah semua urusan sudah diselesaikan.

Waktu melakukan tawaf wada' adalah:

i-Hari Jumaat (bagi bas yang akan bertolak antara pukul 2 hingga 3 petang)Uruf selepas tawaf wada' ialah 4-5 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar dari Mekah pada pukul 2 atau 3 petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf wada' pada pukul 10 pagi.

ii-Hari Sabtu hingga Khamis dan Jumaat (bagi bas yang bertolak selain waktu di atas)Uruf selepas tawaf wada' ialah 2-3 jam. Contohnya, jadual bertolak keluar dari Mekah pada pukul 6 petang, maka jemaah dibolehkan melakukan tawaf wada' pukul 3 petang.

Sebaik sahaja melakukan tawaf wada', jemaah terus meninggalkan Mekah kecuali jika ada hajat-hajat yang tertentu.

Antara hajat-hajat yang boleh dilakukan selepas tawaf wada' adalah:

Sejurus selepas tawaf wada':

* Menunaikan solat sunat tawaf dan berdoa selepasnya.

* Berdoa di Multazam.

* Minum air zamzam dan berdoa.

* Mengucup Hajarul Aswad jika berkesempatan dan suasana mengizinkan.

* Menunaikan solat jika bilal telah melaungkan iqamat, atau bilal sedang melaungkan azan sedangkan ia telah berusaha untuk keluar setelah melaksanakan tawaf wada' tetapi tidak sempat juga keluar dari Masjidil Haram dan kawasan sekitarnya yang bersambung saf kerana kesesakan yang amat ketara lalu iqamat dilaungkan.

Selepas tawaf (di maktab/penginapan)

* Makan dan minum sekadar keperluan dalam bilik penginapan di hotel (maktab).

* Buang air besar/kecil dalam tandas bilik penginapan.

* Mandi dan menukar pakaian.

* Mengambil beg atau barang yang diletakkan/ditinggalkan dalam bilik penginapan

* Mencari isteri, saudara, waris, rakan yang hilang

* Mengangkat barang-barang yang hendak dibawa bersama.

* Melawat isteri, saudara, waris, rakan yang sakit di hospital/klinik/maktab (bagi kes kecemasan dan hajat)

* Sebarang urusan yang berkaitan dengan perjalanan sama ada ke Jeddah atau Madinah seperti membeli makanan atau minuman untuk kegunaan dalam perjalanan dan sebagainya.

* Menunggu kenderaan yang lewat tiba kerana kesesakan dan sebagainya.

* Mengambil gambar dan bersedekah dalam tempoh menunggu bas.

 DR. JAMALLUDDIN HASHIM ialah Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air, Lembaga Tabung Haji  Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 23/08/2012

Beristiqamah setelah tinggalkan Ramadan

RAMADAN baru saja berlalu namun semangat atau rohnya masih bersama kita. Seharusnya kita melihat kembali apa yang telah kita peroleh sepanjang Ramadan lepas.

Adakah kita menjadi insan yang lebih baik atau tiada apa-apa perubahan selepas madrasah Ramadan yang dilalui?

Tujuan ibadah puasa diwajibkan adalah untuk melahirkan takwa. Dalam surah al-Baqarah ayat 183: Wahai orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa kepada Allah SWT.

Erti takwa adalah seperti yang digambarkan oleh Ubai bin Kaab, apabila ditanya oleh Saidina Umar tentang takwa. Kata Ubai, “seperti seorang yang sedang melalui jalan yang penuh duri". Maksudnya sangat berhati-hati agar tercegah daripada memijak duri.

Orang yang bertakwa sangat berhati-hati menjaga hukum Allah serta akan mencegah dirinya daripada berbuat sesuatu yang diharamkan. Justeru hendaklah kita tetap bertakwa setelah meninggalkan bulan Ramadan dan bersyukur kepada-Nya atas nikmat yang telah dianugerahkan kepada kita.

Beriktikaf di 10 terakhir bulan Ramadan merupakan di antara ibadah yang sangat dititikberatkan dan dianjurkan untuk dilakukan oleh Rasulullah SAW. Rasulullah SAW sendiri sentiasa beriktikaf pada bulan Ramadan selama sepuluh hari dan tidak pernah meninggalkannya semenjak berhijrah ke Madinah hingga ke akhir hayatnya.

Ini adalah bagi merebut malam al-Qadar, malam yang amat istimewa buat seluruh umat Islam. Firman Allah SWT, “Malam Al-Qadar lebih baik dari seribu bulan" (Al-Qadr: 2). Maka beruntunglah mereka yang berjaya merebut peluang yang diberikan Allah SWT.

Satu Syawal yang menjelma memberi makna yang cukup besar bagi setiap orang Islam. Ia merupakan tanda kemenangan yang hakiki di sisi Allah khas bagi mereka yang berjaya melaluinya dengan penuh keimanan, ketakwaan dan ketekunan.

Hari raya adalah hari kembali kepada fitrah yakni kembali kepada mengabdikan diri kepada Allah dalam seluruh kegiatan hidup. Kembali kepada menjaga suruhan-Nya dan menjauhi larangan-Nya. Kembali kepada sifat-sifat manusia yang bersih sesuai dengan fitrah asal bagi dirinya.

Sambutan Aidilfitri akan lebih bermakna seandainya kita mampu mengekalkan kualiti diri seperti mana yang diamalkan di Ramadan yang lalu. Ramadan merupakan titik tolak kepada perubahan diri seseorang ke arah yang lebih baik.

Selain bergembira dengan kehadiran Syawal, ia juga bererti ruang untuk kita mengekalkan amalan mengawal nafsu yang rakus dan menundukkan ke arah ketakwaan kepada Allah. Janganlah kesucian Syawal dicemari dengan dosa-dosa baru setelah dijanjikan Allah SWT kembali kepada fitrah kepada mereka yang bertakwa di sepanjang Ramadan lalu.

Setiap dari kita harus bermuhasabah dan melihat diri sendiri adakah kita layak bergelar graduan Ramadan. Apabila bercakap contohnya, adakah kita suka bercakap perkara-perkara yang melalaikan atau gemar menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya. Adakah kita masih mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki hamun apabila marah?

Juga adakah kita berniat untuk menunjuk-nunjuk apabila pulang berhari raya di kampung? Bagi kaum wanita inilah masanya untuk mengeluarkan koleksi rantai tangan emas yang tebal-tebal agar dapat dilihat ‘berduit’ dan mampu untuk membelinya. Bagi kaum lelaki pula inilah masa untuk memesan kereta baru untuk pulang ke kampung agar dapat dilihat ‘gah’ oleh sanak saudara.

Perhatikan juga sikap kita, adakah kita sombong dan berlagak dengan orang di sekeliling? Ada orang yang suka memandang hina dan rendah orang lain yang tidak setaraf dengannya. Justeru mereka yang mempunyai pangkat yang lebih rendah tidak akan dipandang ataupun dilayan acuh tak acuh sahaja.

Jelas sikap sedemikian adalah dilarang dalam agama Islam. Ia didorong oleh perasaan merasa diri cukup hebat berbanding orang lain serta lupa kepada kebesaran Tuhan. Walhal apa yang membezakan di antara satu sama lain hanyalah takwa.

Perhatikan juga sama ada bibit-bibit dengki masih wujud dalam diri? Ada orang yang tidak boleh melihat orang lain lebih daripada dirinya contohnya, mempunyai kereta yang lebih besar mahupun rumah besar. Dia akan sentiasa merasa tidak tenang dan tidak puas hati dalam kehidupannya.

Perhatikan juga sikap apabila kita memandu terutamanya apabila pulang berhari raya ini. Adakah kita memandu dengan sabar dan berhemah dalam menghadapi kesesakan jalan raya? Atau adakah kita memandu dengan cara yang membahayakan diri sendiri mahupun orang lain. Menyumpah dan memotong sana sini kononnya hendak cepat sampai ke destinasi.

Jika kita masih mempunyai sikap yang disebutkan tadi, ini petanda bahawa ada yang tidak kena dengan ibadah puasa kita. Sememangnya tidak mudah untuk mengikis sikap-sikap lama. Namun Ramadan yang baru berlalu seharusnya menjadi titik permulaan untuk kita mengatur kehidupan menjadi insan bertakwa.

Sesungguhnya kita harus beristiqamah ke arah itu, tidak kira berapa kali kita jatuh, kita harus bangkit kembali. Teruskan mendidik hati kita serta berdoa agar diperkuatkan menghadapi kehidupan ini dengan jalan yang diredai-Nya. Marilah kita kekal kembali kepada fitrah.


PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).  Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 23/08/2012 5 Syawal 1433H

Jangan mengharapkan 'masyuk' di Aidilfitri

HARI Raya Aidil Fitri bermaksud perayaan fitrah disambut oleh umat Islam yang genap berpuasa dan juga yang tidak berpuasa sebulan.

Hari istimewa sebagai merai kemenangan di negara ini bukan sahaja disambut oleh umat Islam malah pelbagai kaum turut tersenyum pada awal Ramadan apabila perayaan ini menjengah mukanya. Tauke kedai perabot, kedai kain, kedai pakaian, kedai emas, kedai permaidani semuanya teruja apabila hari besar umat Nabi Muhammad SAW itu datang lagi. Kalau empat kali setahun amat mereka alu-alukan.

Sempena sambutan Aidilfitri juga, hartawan, jutawan, dermawan dan segala tok wan akan meraikannya dengan bersedekah kepada anak-anak mahupun cucu-cicit atas nama duit raya walaupun duit sedia ada habis 'disedekah' kepada tauke-tauke untuk menjadikan rumah yang suram berkilau-kilauan.



Sebahagian daripada 244 murid sekolah yang terpilih gembira sambil menunjukkan sampul duit raya selepas majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan Berbuka Puasa serta Jalinan Ukhwah Koridor Utara di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis. - Utusan/FAIZAL ABU HASSAN


Namun budaya orang kaya yang memberi wang kepada kanak-kanak berhari raya turut menjangkiti golongan pertengahan yang turut memberi duit raya ala kadar bagi menambah pahala. Senario kanak-kanak mengharapkan duit raya menyebabkan budaya semangat kunjung-mengunjung semakin mati dalam kalangan masyarakat.

Pada zaman dahulu pada tahun 1960-an mengikut pengalaman ibu bapa, cuma orang yang betul-betul kaya sahaja menghulurkan duit. Jika dapat 20 sen pun sudah dikira 'masyuk' dengan banyak. Namun hari ini 20 sen hendak bayar tempat meletak kereta pun tidak lepas.

Hari ini jika tuan rumah tidak menghulur duit raya maka sunyilah rumah tersebut, kerana tiada kanak-kanak yang mahu singgah berkunjung. Apa yang lebih menyedihkan ada segerombolan kanak-kanak yang datang beraya bertanya kepada tuan rumah, sama ada ada 'masyuk' duit raya atau tidak di rumah tersebut.

Adakalanya tuan rumah dalam kalangan orang tua 'terasa' dengan sikap anak-anak bawah umur yang terlalu kebendaan dan sudah hilang semangat kunjung-mengunjung sambil mencium tangan mereka memohon ampun dan maaf.

Sepatutnya budaya kunjung-mengunjung diteruskan, bagi menggalakkan ikatan ukhuwah sesama umat Islam dan bukannya budaya memberi duit yang menjadi amalan.

Kadang kala, ada kanak-kanak yang sudah masuk dan duduk di kerusi tuan rumah hanya minum dan menunggu sehingga tuan rumah menghulurkan duit raya baru mereka mengangkat punggung. Apabila dihulur lima puluh sen, masing-masing mencebik bibir kerana tidak puas hati dengan pemberian tersebut.

Sebaiknya budaya memberi duit raya kepada anak-anak mahupun cucu cicit berpada-pada, takut nanti diberi sedikit dikatakan kedekut diberi banyak pula dianggap satu kewajipan. Apabila tahun depan diberi kurang anak-anak kecil ini akan menuntut jumlah yang sama. Inilah bahana mengutamakan duit raya berbanding kunjung-mengunjung ke rumah sanak saudara.

Budaya melawat saudara-mara pada Hari Raya Aidilfitri perlu diamalkan oleh ibu bapa, agar anak-anak kita dapat kenal-mengenal antara satu sama lain dan meneruskan persaudaraan yang ada. Hari ini, terdapat kelompok manusia dajal yang sanggup mengumpul saudara-mara dan kaum kerabat satu keturunan kononnya untuk memanjangkan persaudaraan sebangsa seketurunan atas nama kembali kepada fitrah, Sedangkan ada agenda politik di sebalik ikatan ukhuwah tersebut. Untuk itu biarlah kunjung-mengunjung Aidilfitri dilakukan dengan ikhlas untuk agama Islam bukannya kepentingan diri semata-mata.

Kepada ibu bapa, didiklah anak-anak untuk mengunjungi orang tua, kerana itulah waris kita. Budaya menghormati orang tua di hari raya akan mewujudkan masyarakat yang bersatu-padu kerana perpaduan dari akar begitu kukuh dan ini menjadikan ia ibarat batang pokok dan dahan sukar direbahkan.

Jika anak muda kita dibiar menjadi kera sumbang di rumah dan hanya beraya untuk mencari duit, maka pada masa akan datang orang tua tidak lagi dihormati dan Rumah Orang-Orang Tua meriah dengan ibubapa yang 'derhaka' kerana mereka tidak mendidik anak-anak mereka untuk menghormati orang tua seawal umur 10 tahun.

Justeru, perkukuhkan budaya kunjung-mengunjung di hari raya yang mana lebih molek ibu bapa membawa anak-anak melawat saudara-mara tidak kira yang 'masyuk' atau tidak. Kita tidak mahu anak-anak yang memberi fokus kepada mendapat duit raya apabila besar nanti akan mengharapkan perkara yang sama dari klien masing-masing.

Lama-kelamaan keikhlasan dalam hubungan sesama insan semakin terhakis dengan nilai kebendaan lebih dari semangat kekitaan. Duit bukan boleh membeli segala-galanya. Ingatan itu lebih penting.



Oleh ABDUL RAZAK IDRIS Sumber: Utusan Malaysia Online Rencana 23 Ogos 2012 5 Syawal 1433H

Rumah terbuka sinonim Syawal

Rumah terbuka bukan saja diadakan untuk menjemput tetamu bertandang ke rumah menikmati juadah hari raya semata-mata, tetapi juga bagi memanjangkan silaturahim sesama kerabat dan sahabat.

Menjemput mereka ke rumah atau majlis yang diadakan tidak bermakna kita tidak akan meraikan mereka pada hari atau masa lain. Ironinya, hari ini, rumah terbuka sudah menjadi satu kemestian, terutama kepada mereka yang tinggal di bandar yang pulang beraya di kampung. Oleh kerana mereka tiada di rumah pada minggu pertama hari raya, maka mereka akan menjemput tetamu bertandang pada masa lain.


Mengadakan rumah terbuka adalah antara amalan sinonim dengan Syawal. Ia amat bererti demi silaturahim serta hubungan baik sesama manusia, bertanya khabar dan mengambil berat antara satu sama lain.

Amalan berziarah ke rumah saudara dan sahabat handai adalah sebahagian daripada usaha mengeratkan tali persaudaraan dan persahabatan sedia terjalin. Tetapi ada yang segan silu mengunjungi rumah sahabat handai, melainkan dijemput sewaktu mengadakan rumah terbuka.

Menjemput tetamu ke majlis yang diadakan adalah sunnah Rasulullah SAW, begitu juga memenuhi undangan. Malah, sahabat digalakkan mengadakan kenduri dengan menjemput saudara mara, jiran tetangga dan sahabat taulan untuk menyambung silaturahim.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka sambunglah hubungan silaturahim.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)
Rumah terbuka banyak dianjurkan hingga ada kala lebih lima jemputan kenduri harus dihadiri dalam sehari. Melainkan ada halangan besar, undangan sudah tentu tidak akan dihampakan walaupun penat tidak terkata.

Makan dan minum hanyalah sampingan sebaliknya yang paling bermakna ialah menggembirakan tuan rumah dengan kehadiran tetamu yang memeriahkan majlis mereka.

Hari ini, ada rumah terbuka dianjurkan dengan menjemput orang kaya saja. Majlis pula diadakan di hotel mewah yang menghidangkan juadah mahal dan eksklusif. Ia sudah tentu tidak menjadi masalah kepada yang berkemampuan, kerana belanja yang besar tidak menyukarkan mereka.

Namun, Islam menegaskan tidak wajar membezakan antara tetamu kaya dengan miskin, sehingga mereka diundang ke majlis berbeza, bahkan diberi layanan berkasta juga.

Rasulullah SAW bersabda: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang dijemput orang kaya saja dan ditinggalkan orang miskin.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Ada juga jemputan hanya dilakukan dengan mengirim khidmat pesanan ringkas ataupun mesej pendek melalui laman sosial ditujukan secara umum. Mala, orang yang menerima jemputan pula langsung tidak mengenali pihak menjemput.

Santunnya tentunya berlainan jika tuan rumah menjemput setiap tetamu secara lebih terhormat, berbahasa dan menjemput orang yang dikenalinya saja.

Tetamu yang menerima undangan pula harus menghadiri majlis diadakan tanpa membezakan sama ada jemputan itu datangnya dari orang yang kaya atau miskin. Dengan memahami tujuan jemputan untuk memanjangkan silaturahim, tidak sepatutnya tetamu memilih undangan.

Bahkan untuk menyenangkan hati tuan rumah juga, tetamu tidak boleh sesekali menguzurkan diri disebabkan berpuasa kerana menghadiri majlis rumah terbuka bukanlah semata-mata untuk menikmati juadah.

Jika berpuasa sunat, kita dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala sekiranya niat berbuka puasa untuk menggembirakan tuan rumah yang bersusah payah menyediakan hidangan.

Sebaik-baiknya ialah merancang untuk tidak berpuasa jika menerima jemputan, melainkan puasa qada’ yang tidak boleh dilakukan pada hari lain lagi.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Riwayat Imam Al-Bukhari)

Sebaliknya, jika rumah terbuka diadakan di tempat yang menyediakan makanan tidak halal atau terdapat kemungkaran mengundang maksiat dan kejahatan, tidak menjadi kesalahan kita tidak memenuhi jemputan. Ia adalah lebih baik demi menjaga thiqah sebagai seorang Muslim yang hidup berlandaskan hukum dan syariat.



Nik Salida Suhaila Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia Sumber: Berita Harian Online Agama Jumaat , 24 Ogos 2012, 4 Syawal 1433 H