August 26th, 2012

Masalah haji

ALHAMDULILLAH, saya merafakkan kesyukuran kepada Allah, kerana dengan izinnya sekali lagi dapat mengemukakan sebuah artikel berkaitan dengan permasalahan haji.

Haji yang merupakan puncak kepada umat Islam diwajibkan sekali seumur hidup perlu dilaksanakan dengan sebaik mungkin agar diterma oleh Allah SWT. Berdasarkan pengalaman asatizah dan mutawif haji, bakal-bakal haji amat perlu kepada bimbingan daripada guru agar sah dan benar ibadat hajinya.

Saya meminjam kata-kata Imam Nawawi dalam mukadimah dalam kitabnya al-Idhah supaya mempelajari dan menuntut ilmu agar haji yang dilakukan benar-benar menepati kehendak yang telah ditetapkan. Antara lain katanya, apabila seseorang hendak melaksanakan ibadat haji, menjadi kewajipan baginya untuk belajar tentang cara pelaksanaannya.

Hukumnya adalah fardu ain kerana tidak sah satu-satu ibadat bagi sesiapa yang tidak mengetahuinya. Sunat membawa bersamanya kitab yang menjelaskan berkenaan ibadat haji yang mengumpul segala matlamatnya. Dia hendaklah sentiasa mentelaah dan mengulangkaji pelajaran di dalam masa perjalanannya supaya dapat mentahqiqkan disisinya.

Sesiapa yang mencacatkan atau mengabaikan hal ini dibimbangi kemungkinan pulang tanpa mendapat haji yang mabrur.

Ini kerana kecacatannya dengan mana-mana perihal haji atau rukunnya atau seumpamanya. Boleh jadi orang ramai bertaqlid dengan sebahagian awam penduduk Mekah dan sangkaan mereka bahawa mereka amat mahir berkenaan manasik haji. Sebenarnya mereka telah terpedaya, yang demikian itu ia merupakan kesilapan yang nyata lagi keji.

Hal ini berdasarkan Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-27 Musim Haji 1432H memutuskan supaya pembimbing ibadat haji menelaah semua Resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang telah diputuskan dengan muktamad dan rujukan bimbingan haji cetakan terkini.

Setiap perjalanan manasik haji mempunyai hukumnya dan kepatuhan kepada sunah nabi SAW amat penting supaya ia benar-benar menepati mengikut kaedah syarak yang sebenar.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Ambillah daripadaku ibadat haji kamu kerana aku tidak pasti sama ada aku bertemu denganmu selepas tahun ini."

Oleh kerana isu ini selalu dipersoalkan, maka amat wajar kita menekuninya dengan cara mempelajari hukum-hakam yang berkaitan melalui kursus intensif haji, kursus asas haji dan daripada guru yang bertauliah benar-benar memahami hakikat ibadat haji.

Sebolehnya biarlah permasalahan dan hukum-hakam haji bagi rakyat Malaysia diselaraskan melalui Muzakarah Tabung Haji yang telah diputuskan saban tahun.

Dengan keselarasan sudah pasti isu-isu yang timbul dapat diberi jawapan yang seragam dan tepat.

Seperkara lagi, elakkan daripada mengumpul pelbagai pendapat dalam satu-satu masalah sehingga melangkaui mazhab-mazhab lain yang sudah pasti menyukarkan seseorang untuk menentukan mana pendapat yang wajar dipilih kerana orang awam lebih kepada taqlid semata-mata.

Imam Nawawi sejak awal lagi memberi peringatan supaya jangan mengambil sebarang pendapat atau ikutan kecuali dengan benar-benar adanya asas nas dan dalil yang menepati kehendak syariat.

Buku yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji cetakkan terkini amat sesuai ditelaah termasuk soal jawab yang telah dibuat penapisan oleh Jawatankuasa Khas. Sebelum saya mengakhiri perbincangan berkenaan permasalahan haji yang sepatutnya difahami.

Hendaklah jemaah haji memelihara beberapa pantang larang agar ia benar-benar mengikut manasik haji yang sahih.



DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI ialah Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji (TH-Jakim) Sumber: Utusan Malaysia Online Agama 24 Ogos 2012 

Puasa sunat enam hari boleh dilakukan berselang-seli

Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan dan meneruskannya dengan enam hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seolah-olah berpuasa selama setahun.

Hadis ini jelas menerangkan mengenai puasa enam hari pada Syawal selepas menempuh sebulan Ramadan. Hukum puasa enam hari pada Syawal adalah sunat.

Sunat bermaksud mendapat pahala sekiranya mengerjakannya dan tidak berdosa sekiranya meninggalkannya. Oleh itu tidaklah berdosa jika tidak melakukan puasa enam hari pada Syawal.

Seterusnya, Imam an-Nawawi menyebut dalam kitab al-Majmu Syarah al-Muhazzab bahawa dalam mazhab as-Syafii disunatkan berpuasa enam hari Syawal kerana ia ada disebutkan di dalam hadis. Mereka berpendapat, sunat berpuasa secara berturut-turut.

Tetapi jika seseorang melambatkannya, ini dibolehkan kerana ia masih mengikut garis panduan hadis. Kami tidak pertikaikan pandangan ini, malah ia juga adalah pandangan Ahmad dan Daud.

Bukan syarat

Oleh itu, bukanlah suatu syarat untuk melakukan puasa enam hari pada Syawal secara berturut-turut. Sekiranya puasa berkenaan dilaksanakan secara berasingan, maka perkara itu dibolehkan.

Sekiranya dapat dilakukan dengan segera tanpa melengah-lengahkan, maka perkara itu adalah lebih baik.

Allah SWT berfirman dalam beberapa ayat antaranya dalam surah Ali Imran ayat 133 (yang bermaksud): Dan bersegeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan-mu.. Begitu juga dalam surah al-Maaidah ayat 48 (yang bermaksud): Maka berlumba-lumbalah membuat kebajikan..

Justeru, kita seharusnya menyegerakan puasa enam kerana dibimbangi sekiranya kita melengah-lengahkan akan menyebabkan kita terlupa atau boleh membawa pelbagai masalah.

Namun tidaklah menjadi kesalahan jika dibuat pertengahan bulan atau akhir bulan. Ini adalah pandangan Imam Syafii dan Hambali.

Laksana kewajipan agama

Untuk soalan seterusnya, saya ingin memberi beberapa nasihat kepada Puan mengenai perkara yang membawa kepada keselamatan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Antaranya, hendaklah melaksanakan kewajipan agama.

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bazaar, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Jika seseorang wanita solat lima waktu, berpuasa pada Ramadan dan taat kepada suaminya, nescaya ia akan masuk syurga.

Kedua, hendaklah mentaati suami. Hal ini disebut dalam banyak hadis, antaranya hadis riwayat at-Tabarani, daripada Abdullah bin Salam bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sebaik-baik wanita adalah wanita yang menyenangkanmu jika kamu melihatnya, mentaatimu jika kau menyuruhnya dan dapat menjaga dirinya dan hartamu ketika engkau tidak bersamanya.

Ketiga, selalu mengingati Allah. Dalam sebuah hadis riwayat at-Tirmizi, bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Hendaklah kamu (para wanita) memperbanyak membaca tasbih, tahlil, taqdis dan hitunglah dengan ruas jari-jari kerana sesungguhnya mereka akan ditanya dan akan dijadikannya boleh berbicara. Janganlah kamu lalai sehingga melupakan rahmat Allah.

Keempat, solat malam. Dalam hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah r.a dan Abu Said r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Sesiapa yang bangun tengah malam, kemudian membangunkan isterinya, lalu mereka melakukan solat berjemaah dua rakaat, maka mereka akan dimasukkan dalam golongan orang-orang yang banyak mengingati Allah.

Kelima, berbuat baik dan banyak bersedekah. Dalam sebuah hadis riwayat Ahmad dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Wahai semua wanita, bersedekahlah walaupun dari perhiasan kamu sekalian. Sesungguhnya kamu kelak paling banyak menjadi penghuni neraka. Demikianlah, wallahualam.


Sumber: Berita Harian Online Agama Ahad , 26 Ogos 2012, 7 Syawal 1433 H

Hubungan baik menantu, mentua perkukuh rumah tangga

Kehidupan sejahtera yang dilimpahi berkat dan kebahagiaan sentiasa diimpikan setiap pasangan suami isteri. Banyak usaha yang digembleng dan diambil demi memperkukuh hubungan baik dalam kehidupan berumahtangga.

Dalam membina alam rumah tangga yang bahagia, bukan saja aspek hubungan suami isteri dan anak-anak perlu dititikberatkan, malah hubungan dengan mentua juga perlu dijaga. Sebagai menantu, seseorang itu dikehendaki menghormati dan menyayangi mentuanya seperti mana dia mencintai orang tuanya sendiri.

Amru bin al-Asy sempat bertanya Baginda. Tanya Amru: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang tuan cintai?” Lalu Baginda menjawab: “Aisyah”. Amru bertanya lagi: “Sekiranya dalam kalangan lelaki?” Baginda pun berkata, “Ayahnya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hakikat ini jelas ditunjukkan Rasulullah SAW sendiri kepada kita bagaimana membina satu hubungan erat antara menantu dengan mentua. Misalnya kita mengambil contoh dalam kehidupan Baginda.

Diriwayatkan bahawa ketika Baginda berangkat memimpin pasukan tentera ke Dzatul Salasil, sahabat Baginda, Amru bin al-Asy sempat bertanya Baginda. Tanya Amru: “Wahai Rasulullah, siapakah orang yang tuan cintai?” Lalu Baginda menjawab: “Aisyah”. Amru bertanya lagi: “Sekiranya dalam kalangan lelaki?” Baginda pun berkata, “Ayahnya”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apakah yang dapat kita fahami dengan petikan dialog antara Rasulullah SAW dan Amru itu tadi? Di sini jelas memberikan pengajaran kepada kita bahawa Rasulullah SAW bukan saja menyintai isterinya Aisyah tetapi juga ayahnya, Saidina Abu Bakar sebagai mentua Baginda.

Amal sifat hormat-menghormati

Demikian peribadi Rasulullah SAW terhadap mentua Baginda yang saling hormat-menghormati sehingga membuahkan kehidupan rumah tangga yang ceria dan bahagia.

Demikian juga pihak mentua, sikap membezakan antara menantu atas dasar kedudukan dan harta benda tidak sewajarnya diamalkan kerana situasi itu boleh memporak-perandakan alam rumah tangga anak.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada menunjukkan cara melayan semua menantu dengan sikap yang adil dan menerima seadanya kedudukan seseorang menantu kita.

Adil dan menerima seadanya

Baginda mempunyai tiga menantu yang keadaan hidup mereka berbeza-beza. Abu ‘Ash bin Rabi’, suami Zainab adalah peniaga yang jujur dan beramanah. Dikatakan menantu Baginda ini adalah seorang usahawan yang terkenal dengan kemahiran menguruskan modal orang lain sehingga masyarakat yakin dan sangat percaya kepadanya.

Uthman bin Affan pula suami kepada Ruqayyah dan Ummu Kalthum selepas kakaknya itu meninggal dunia, terkenal sebagai usahawan yang kaya-raya.

Saidina Ali bin Abi Talib iaitu suami kepada Fatimah pula seorang yang miskin kedudukannya, tetapi hebat dalam ilmu pengetahuan. Di sini kita dapat lihat bagaimana kedudukan ketiga-tiga menantu Rasulullah SAW itu dari segi status sosialnya.

Pun demikian, Rasulullah SAW sebagai mentua tidak sekali-kali membezakan layanan terhadap anak menantu, kerana Baginda mengikat mereka dengan ketebalan roh Islam.

Baginda tidak pernah menyuruh mereka itu bersaing dalam aspek keduniaan dengan mengejar kekayaan, sebaliknya Baginda mengajak anak menantunya berlumba-lumba mencari keredaan Allah dengan memperbanyakkan amal dan jihad.

Prihatin nasib anak, menantu

Malah, sikap Baginda sebagai mentua begitu prihatin terhadap nasib dan keadaan semasa yang dihadapi oleh anak menantunya. Contohnya, ketika pasukan tentera Islam ingin berangkat ke perang Badar, menantu Baginda, Uthman bin Affan tidak diajak pergi bersama pasukan kerana Baginda ingin beliau berada di samping isterinya, Ruqayyah yang sakit.

Kata Baginda kepada menantunya: “Tunggu saja isterimu. Kamu tetap mendapat pahala orang syahid yang menghunus tombak di medan perang.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Kisah berkenaan boleh menjadi contoh teladan dalam membina hubungan baik menantu dan mentua yang harmoni.



Mohd Rizal Azman Rifin Sumber: Berita Harian Online Agama Ahad , 26 Ogos 2012, 7 Syawal 1433 H

Mencapai ketenangan dengan qana'ah

Keimanan berperanan kawal jiwa daripada menurut hawa nafsu

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Bukanlah yang dinamakan kaya itu lantaran banyaknya harta benda, tetapi kekayaan sebenarnya adalah kaya jiwa.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Apa yang disabdakan Nabi SAW itu memang benar. Kekayaan atau limpahan harta tidak semestinya dapat membeli kebahagiaan atau ketenangan jiwa.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, namun jika kamu mengingkari nikmat-Ku, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim : 7).

Buktinya ramai manusia yang berharta, menghuni di kediaman mewah dan tersergam indah, namun mereka tidak menemukan rasa bahagia. Sebaliknya, ramai yang tidak berharta, kehidupannya serba sederhana dan kurang tetapi jiwanya tenteram.

Kekayaan tak jamin kebahagiaan

Ternyata kebahagiaan sejati tidak terletak pada harta. Firman Allah bermaksud: “...ingatlah hanya dengan zikrullah (mengingati Allah), hati menjadi tenteram” (Surah ar-Ra’ad: 28).

Qana’ah, reda dan syukur adalah tiga gandingan sifat terpuji yang saling berhubungan. Individu Muslim perlu memilikinya kerana ia adalah kunci ketenangan jiwa yang menjadi unsur utama menggapai kebahagiaan hidup.

Menurut bahasa, qana’ah bererti berasa cukup. Dari segi istilah pula bermakna berasa cukup atau puas dengan apa yang dimiliki. Jelasnya, qana'ah bermaksud mencukupi dan reda atas segala rezeki dan kurniaan Allah SWT.

Allah SWT memandang mulia orang yang reda dengan kecukupan yang dikurniakan-Nya.

Walaupun ia memiliki sedikit harta, tidak menyebabkannya hidup mengemis. Kaya dan miskin adalah pemberian dan ketentuan Allah sekali gus sebagai ujian.

Mukmin sebenar apabila dikurniakan kekayaan dia bersyukur, jika ditakdirkan hidup miskin pula dia bersabar di samping berusaha memperbaiki taraf kehidupannya.

Kekayaan terkadang mengheret manusia menolak kebenaran seperti kemiskinan boleh menjerumuskan manusia ke dalam kehinaan.

Qana’ah beri ketenteraman jiwa

Allah SWT sebagai Pencipta alam semesta dan Pengurnia nikmat kepada seluruh makhluk ciptaan-Nya, tentulah lebih mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Mukmin yang bersifat qana’ah akan berasa tenteram kerana ia dapat mendidik jiwanya menerima segala pemberian dan ketentuan Allah di samping ia terus meningkatkan ketaatan dan keakraban hubungannya dengan Allah.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sungguh beruntunglah orang yang telah memeluk Islam dan rezekinya memadai serta Allah memberi kepuasan kepadanya terhadap apa yang dikurniakan itu.” (Hadis riwayat Muslim).

Namun, makna qana’ah jangan pula disalah fahami. Bukanlah qana’ah itu berasa senang dengan segala kekurangan dan kehidupan yang susah, hilang semangat atau kemahuan untuk mencipta kejayaan dan membina masa depan, tiada keinginan untuk meraih kemajuan baik moral mahupun material atau kelesuan untuk membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan dan kelaparan.

Dengan kata lain, orang yang bersifat qana’ah bukan bererti menerima nasib begitu saja tanpa ikhtiar.

Ia boleh saja memiliki harta yang banyak, namun bukan bertujuan menimbun atau menunjuk kekayaan.

Reda pemberian Allah

Mukmin sebenar akan reda dengan apa jua pemberian Allah dan berasakan bahawa pilihan Allah untuknya lebih baik daripada pilihannya sendiri, kerana Allah saja yang mengetahui semua kebaikan dan kepentingan hamba-Nya di dunia dan akhirat.

Segala nikmat kurniaan Allah hendaklah diterima dengan penuh rasa syukur, baik syukur secara lisan mahupun perbuatan. Nikmat Allah tidak terhitung banyaknya.

Orang yang bersyukur bererti ia mengenang pemberian Allah yang tidak pernah putus-putus. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu, namun jika kamu mengingkari nikmat-Ku, sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim : 7).

Syaqiq bin Ibrahim berkata: “Saya telah menanyakan kepada 700 orang alim mengenai lima masalah. Semua mereka memberi jawapan yang sama.

“Satu, siapakah orang yang sempurna akal? Mereka menjawab: Orang yang tidak menyintai dunia (mengambil dunia sekadar yang diperlukan). Dua, siapakah orang yang cerdik? Mereka menjawab: Orang yang tidak tertipu oleh dunia. Ketiga, siapakah orang yang kaya? Mereka menjawab: Orang yang reda menerima bahagiannya daripada Allah. Keempat, siapakah orang yang mengerti agama? Mereka menjawab: Orang yang tidak meminta berlebih-lebihan dan kelima, siapakah orang yang bakhil? Mereka menjawab: Orang yang tidak mengeluarkan hak Allah dalam hartanya.”

Iman mampu kawal hawa nafsu

Keimanan sebenarnya yang berperanan besar dalam mengawal atau membatasi jiwa manusia daripada menuruti hawa nafsu seperti bersifat rakus atau tamak haloba yang tiada berkesudahan, tidak cukup dengan yang sedikit dan tidak puas dengan yang banyak.

Hanya kepada Allah SWT sepatutnya manusia mengadu dan memohon pertolongan, kerana hanya Allah yang dapat memenuhi segala hajatnya.



Wan Aminurrahid - Penulis ialah Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti, Universiti Putra Malaysia Serdang Sumber: Berita Harian Online Agama Ahad , 26 Ogos 2012, 7 Syawal 1433 H