August 28th, 2012

70 tahun tunggu peluang tunaikan haji

PUTRAJAYA 27 Ogos - Setelah menunggu lebih 70 tahun untuk menunaikan ibadat haji, akhirnya hasrat seorang pesara guru untuk menjalani Rukun Islam kelima itu tercapai.

Bekas Ketua Kampung Sungai Miang, Pekan, Abdul Majid Mohamed berkata, dia tidak menjangka dalam usia yang sudah mencecah 83 tahun masih diberi kesempatan untuk mengunjungi tanah suci dan menjadi tetamu Allah SWT.

Faktor usia bukan penghalang bagi warga emas tersebut kerana dia masih mampu berjalan tanpa menggunakan tongkat serta tidak menghidap sebarang penyakit berbahaya.

"Saya pernah menunaikan haji pada umur tujuh tahun bersama arwah ibu dan bapa dengan menaiki kapal laut tetapi pada usia sementah itu tidak banyak benda yang saya faham dan boleh lakukan.

"Selepas bersara sebagai guru pada 1986, faktor kewangan pula menjadi penghalang untuk menjejakkan kaki kali kedua ke Tanah Suci Mekah," katanya kepada Utusan Malaysia di Seri Perdana di sini hari ini.

Dia ditemui pada majlis penyampaian surat penyerahan menunaikan haji kepada imam dan pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Majlis Penyerahan 400 Surat Tawaran Menunaikan Fardu Haji 1433 Hijrah/2012 Program Khas Haji Tajaan Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Abdul Majid berkata, peluang yang disediakan oleh kerajaan itu sangat dihargai kerana masih ramai dalam kalangan imam dan pengerusi JKKK tidak mampu menunaikan ibadat haji.

Sementara itu, seorang imam dari Shah Alam, Jalalluddin Mat Jali, 53, berkata, pada mulanya dia terkejut dan tidak dapat menggambarkan rasa gembiranya selepas terpilih daripada ribuan imam dan ketua kampung untuk menunaikan ibadat haji.

Katanya, segala jasa dan budi yang diberikan oleh kerajaan itu tidak terbalas olehnya.

"Saya amat berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi peluang untuk ke Tanah Suci Mekah buat kali pertama. Ini menunjukkan kerajaan menghargai jasa serta pengorbanan kami.

"Selain itu, kerajaan juga sudah lama membantu para imam dan ketua kampung dengan memberi pelbagai kemudahan seperti kenaikan elaun dan pada Ramadan lalu diberikan jubah yang sempat dipakai pada hari raya lalu," katanya.

Sementara itu, Imam Masjid An-Nur Saujana Putra, Sungai Buloh, Mohamad Yusoff Abdullah, 47, berkata, dia sangat bersyukur dengan peluang yang diberikan kerajaan memandangkan gilirannya melalui Lembaga Tabung Haji hanya akan tiba ketika usianya mencecah 70 tahun.

"Jika diikutkan giliran, saya lambat lagi iaitu pada 2035, justeru program sebegini merupakan satu usaha yang cukup murni dan patut diteruskan bagi membantu golongan yang banyak berkhidmat pada masyarakat," katanya.



Sumber: Utusan Malaysia Online Dalam Negeri 28 Ogos 2012 / 10 Syawal 1433 

Taat kepada ulama dan umara'

ALHAMDULILLAH telah berlalu Ramadan 1433 Hijrah. Suara para imam di Masjid Al-Haram Mekah sebagai masjid paling suci di ibu kota umat Islam sedunia. Pada penghujung setiap Solat Witir selepas Solat Tarawih dan Solat Tahajud iaitu sewaktu doa qunut - masih terbayang dan dihayati dengan memohon pengampunan Allah Yang Maha Kuasa, meningkatkan keimanan umat dan yang paling utama - merapatkan perpaduan umat demi menghadapi cabaran sosio-politik semasa yang pada ketika ini paling mencabar di Syria, Palestin dan Myanmar.

Hanya dengan perpaduan dapat memelihara dan menjana kekuatan umat. Teras Manhaj (skima) kekuatan umat akan tercapai apabila umat menghayati Firman yang Maha Pencipta (Surah Ali Imran, ayat 103) yang bermaksud: "Berpegang teguhlah dengan tali agama Allah, dan janganlah kamu berpecah-belah".

Juga sabda Rasulullah SAW (yang bermaksud): "Sesungguhnya Allah tidaklah menghimpun umat Muhammad di atas kesesatan. Dan Tangan Allah bersama jemaah. Dan sesiapa yang menyimpang maka penyimpangannya adalah ke dalam neraka" (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Tirmizi).

Peranan ketua-ketua negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada mesyuarat luar biasa atas inisiatif Raja Abdullah Arab Saudi untuk julung kali bermesyuarat bersebelahan Masjid Al-Haram di ibu kota Tanah Suci Mekah dan di penghujung bulan suci Ramadan iaitu pada kemuncak 27 Ramadan amat signifikan kepada perpaduan umat. Kita doakan agar ketua negara-negara Islam akan lebih berani serta proaktif dalam menangani urusan umat.

Harus juga diberi kepujian kepada Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sanggup mengharungi lautan ribuan umat Islam sejurus selepas solat tarawih untuk berjalan kaki (dengan mengambil risiko keamanan) dari Istana Tetamu ke lokasi lain bersebelahan Masjid Al-Haram bertemu dengan para ulama Mekah, Qaseem dan Riyadh.

Sifat tawaduk Perdana Menteri amat dipuji oleh para ulama yang hadir atas kesanggupan seorang ketua negara mendengar dan meneliti pandangan para ulama. Ini adalah satu acara yang jarang terjadi dan ia harus dijadikan satu contoh terbaik atau precedent kepada umat.


Najib Tun Razak (kanan) bersalaman dengan Ketua Mahkamah Syariah Makkah, Sheikh Saleh Ad-Duwaish (tengah) semasa
pertemuan beliau dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Keempat, di Mekah baru-baru ini. - BERNAMA

Selepas perjumpaan dengan para ulama yang diketuai oleh Sheikh Dr. Hamad Al-Jalali, seorang ulama veteran yang terkemuka di Arab Saudi, bersama Sheikh Dr. Sulaiman Al-Salumi, seorang Mufti di Masjid Al-Haram dan Pengerusi Badan Dakwah dan Bimbingan di Mekah; Sheikh Saleh Ad-Duwaish, Ketua Mahkamah Syariah Makkah; Sheikh Dr. Hamad Al-Ghammas, Pengerusi Lembaga Pengarah Al-Madj TV (13 saluran) yang popular di Asia Barat dan Al-Huda TV (saluran bahasa Inggeris) yang popular di benua Amerika dan Eropah; serta beberapa ulama yang lain, maka tersebar pujian di kalangan para ulama Asia Barat serta keinginan mereka untuk turut sama hadir pada majlis yang terpuji ini.

Masing-masing mengimbas perintah Allah (Surah AnNisa' ayat 59) yang bermaksud: "Hai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan taatlah kepada ArRasul dan Ulil-Amri dari kamu".

Imam An-Nawawi di dalam Syarahnya Sahih Muslim menerangkan : "Berkata ulama: …ucapan ini adalah daripada jumhur para Salaf dan Khalaf, daripada para mufassirin dan fuqahaa dan selain mereka, dan mereka berkata, mereka (Ulil-Amri) itu adalah Ulama dan Umara'." Ketaatan kepada kedua-dua ini pastilah dalam perkara yang makruf.

Tiada syak lagi kepentingan peranan dan tanggungjawab kedua-dua golongan ini. Maka kedua-duanya wajib berganding tangan menangani urusan umat. Kedua-duanya wajib dengan penuh rasional mengikhlaskan niat dan mengakomodasikan kelemahan yang sedia ada pada sifat basyar atau kemanusiaan demi memelihara keutuhan dan maruah agama, bangsa dan negara.

Benarlah Firman Allah di atas yang memerintah umatnya berpegang teguh kepada tali agama Allah dan tidak berpecah-belah. Firman-Nya juga (yang bermaksud) :"Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara; maka perdamaikanlah kedua saudara kamu (yang berselisihan)". (Surah Al-Hujurat ayat 10).

Perpaduan dan kerjasama para ulama dan umara' adalah formula Islamik yang menjamin kesejahteraan umat. Apabila kedua-dua golongan berpadu maka hak asasi memelihara akidah Muslim melalui konsep al-Wala' dan al-Bara' akan terlaksana.

Al-Wala' ialah kesetiaan kepada segala yang memelihara kemaslahatan baik untuk Islam dan muslim. Al-Bara' adalah menolak atau menyucikan diri daripada segala yang berunsur kufur atau kafir. Maka wajib memberi keutamaan kepada Islam dan Muslim berbanding ke atas kufur dan kafir. Wajib mendahului kesefahaman antara saudara Muslim berbanding ke atas mereka yang tidak mengucap dua kalimah syahadah.

Ini jauh berbeza dengan amalan demokrasi ala Barat yang sering melagakan antara pemerintah dan rakyat. Sistem pemerintahan demokrasi ala Barat yang bertujuan untuk mendirikan negara republik/sosialis sering melagakan antara pemerintah dan rakyat/pekerja (i.e. anti-establishment).

Apabila perbezaan memuncak maka diadakan demonstrasi jalanan untuk menyalakan api fitnah kemarahan, melahirkan simpati dan seterusnya mengaut undi rakyat. Maka terjadilah pertelingkahan bertujuan menggulingkan kerajaan sedia ada atas dasar kononnya "hak asasi manusia" tanpa mengira dasar al-Wala' dan al-Bara' dalam Islam.

Islam menganjurkan kesefahaman, perbincangan dan kerjasama antara umatnya. Pertelingkahan yang melampau lebih membawa kepada keburukan kepada kedua-dua pihak yang bermusuh; pada hal kedua-dua pihak mengucap dua kalimah syahadah.

Semoga Allah mengembalikan umat Islam kepada budaya dan peradaban al-Quran dan As-Sunnah dengan memelihara perpaduan umat demi menangkis fitnah luaran Islam yang berusaha memecah-belah umat serta menggadai hak akidah, agama, bangsa, negara dan maqasid/maksud syarak.


SHEIKH ISMAIL OMAR, Penganjur Bersama Pertemuan Perdana Menteri dengan Ulama Makkah, Qaseem, Riyadh Sumber:  Utusan Malaysia Online Rencana 28/08/2012

Syawal hidupkan amalan ziarah

Amalan erat silaturahim patut diteruskan tanpa mengira musim

Alhamdulillah, kita semua baru saja merayakan Aidilfitri dalam suasana meriah dan menggembirakan, mudah-mudahan segala amal ibadah di sepanjang Ramadan lalu diterima Allah SWT dan kita mengharapkan untuk berterusan dalam ketaatan serta keredaan Allah SWT. Hari ini genap sepuluh hari kita berada dalam bulan Syawal yang mana masih lagi terasa kehangatan suasana hari raya dengan amalan ziarah menziarahi antara satu sama lain. Oleh itu, rugi jika kita tidak mengamalkan budaya menziarahi yang dekat mahupun jauh.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Amalan ziarah amat dituntut dalam Islam dan seseorang Muslim itu tidak sempurna imannya jika ia tidak menghubungkan silaturahim. Amalan ziarah memberi manfaat yang amat besar dan faedah berguna dalam konteks perpaduan ummah.

Namun, yang mengecewakan serta amat mendukacitakan, masih ada yang mengabaikan amalan ziarah terutama menziarahi saudara terdekat, sahabat handai, jiran tetangga, di luar musim perayaan atau sambutan tertentu.

Ini disebabkan fahaman dan amalan ziarah hanya bersifat bermusim atau menjadi tradisi diamalkan sempena sambutan perayaan seperti Hari Raya Puasa yang sedang kita raikan ataupun Hari Raya Haji semata-mata.

Akibatnya amalan ziarah semakin hari semakin terhakis dan diabaikan masyarakat dengan alasan kesibukan tugas harian.

Islam telah menggariskan pelbagai panduan untuk menghubungkan silaturahim sesama manusia, lebih-lebih lagi saudara seagama, supaya umat Islam menjadi umat kuat, berjaya, tidak hidup bersendirian atau dengan istilah “aku aku”, “engkau engkau”.

Pengertian silaturahim dalam Islam amat luas serta mendalam. Contohnya, apabila seseorang telah mengucap dua kalimah syahadah, maka terjalinlah ikatan persaudaraan Islam atau silaturahim, tidak kira di mana mereka berada. Semua orang Islam adalah bersaudara dalam akidah yang satu.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah, bertakwalah kamu kepada Allah mudah-mudahan kamu mendapat rahmat.” (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Bagi sesetengah manusia yang hidup mereka tidak mematuhi syariat Islam, umpamanya suka mencari kesalahan orang lain, mencaci, membuat fitnah, mencerca, bersifat hasad dengki, khianat, dan melakukan kezaliman, mereka adalah golongan yang memutuskan silaturahim.

Hampir kesemua ibadah dalam Islam dituntut dilakukan dalam bentuk berkumpulan atau berjemaah. Ia tidak lain bagi memberi galakan umat Islam bertegur sapa atau bertukar-tukar pandangan. Begitu juga ibadah haji yang mengajak menghubungkan silaturahim saudara Islam di seluruh pelosok dunia.

Ibadah zakat menghubungkan nilai persaudaraan dalam kalangan umat Islam dengan sifat tolong-menolong, bantu membantu, akhirnya lahirlah nilai kasih sayang antara yang kaya dengan yang miskin.

Justeru, marilah bersama menghidupkan amalan ziarah menziarahi, mempereratkan hubungan silaturahim dan kasih sayang sebagai umat Islam di dunia bahkan sampai ke akhirat, mudah-mudahan Allah memberkati hidup kita.

Firman Allah SWT: “Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepada-Nya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sempit-sesempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang yang tidak beriman.” (Surah al-An’am, ayat 125)



Hibur Rahman Sumber: Berita Harian Online Agama Selasa , 28 Ogos 2012, 9 Syawal 1433 H

Memuliakan tetamu tak kira pangkat atau rupa

Daripada Abu Hurairah, katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.” (Riwayat Muslim)

Tetamu, datang dengan maksud dan tujuan tertentu. Dalam konteks ini, Allah dengan tegas membuat pertimbangan besar supaya memuliakan tetamu dan meletakkan nilainya sama dengan ‘beriman kepada Allah dan hari kemudian (kiamat)’. Seseorang itu belum disebut beriman kepada Allah dan hari kemudian, selama ia tidak memuliakan tetamunya. Oleh itu, apabila tetamu datang, bagaimana pun bentuk dan rupa mereka, kaya, miskin, Islam atau kafir, Allah memerintahkan kita memuliakan tetamu.

"Wahai Nabi Allah, datanglah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya."

Diriwayatkan, Nabi Sulaiman pernah ditegur oleh Allah SWT, kerana pada saat Baginda didatangi seorang tetamu dari kaum kafir, Baginda tidak sepenuh hati memuliakan tetamunya itu kerana fikir Baginda, dia bukan umatku yang beriman.

Lantas Baginda hanya memberinya minum dan bercakap seadanya. Selepas tetamu itu pulang, datanglah malaikat Jibril menyampaikan teguran Allah: “Wahai Nabi Allah, Allah menegurmu, mengapa engkau perlakukan tetamu seperti itu?

Kemudian malaikat Jibril menyampaikan wahyu Allah: “Wahai nabi Allah, datangilah dan pohonlah kemaafan kepada orang itu. Ampunan Allah tergantung daripada kemaafannya.”

Baginda bergegas mencari orang itu yang ternyata sudah jauh meninggalkan kota. Nabi Sulaiman kemudian mengejar orang itu hingga berjumpa dan memohon keampunan.

Hamba Allah itu terpinga-pinga dan selepas dijelaskan oleh Nabi Sulaiman mengenai arahan Allah dan bersoal jawab dengan beliau mengenai Allah, akhirnya terbuka pintu hati lelaki itu untuk mengucapkan syahadah.



Sumber: Berita Harian Online Agama Selasa , 28 Ogos 2012, 9 Syawal 1433 H

Kecekalan akal

DALAM kehidupan seharian, menggunakan akal yang bijaksana sangat penting bagi menjadikan seseorang itu dapat melaksanakan kerja yang rumit dan memerlukan akal. Akal juga dikenali sebagai otak atau minda yang sangat penting dalam proses pembelajaran dan pembangunan diri seseorang yang menjurus kepada pemikiran.

Justeru, dalam mendidik akal kepada anak-anak, ibu bapa mesti cekal dan berterusan supaya anak-anak dapat berfikir dengan waras, bijaksana dan sempurna dalam melakukan sesuatu kerja atau perbuatan. Akal anugerah Allah yang mesti dijaga dipelihara dan digunakan sebaik-baiknya. Tanpa akal manusia adalah ibarat haiwan.

Falsafah dan matlamat pendidikan Islam adalah perkara penting dalam pembinaan sesebuah institusi pendidikan. Islam ialah agama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada umat manusia.

Islam datang dengan pakej yang menyeluruh sebagai jalan kehidupan untuk manusia hidup dengan cara kehidupan yang terbaik. Melalui akal manusia dapat mempelajari dan memahami apa yang diajarkan untuk membangunkan umatnya bagi mencapai matlamat ke arah pembangunan insan.

Dalam al-Quran akal disebut dengan fu'ad, baik dalam bentuk tunggal mahupun jamak. Oleh itu akal termasuk dalam salah satu daripada tiga peringkat ilmu pengetahuan: iaitu meliputi pendengaran, penglihatan dan fu'ad iaitu kalbu. rujuk al-Isra': 36)

Istilah kata akal menurut kitab Al-Aqlaniyyum (Afrakhu Al-Mu'tazilah Wa Al Asy, ariyyah) tulisan Al-Asy'ari yang dipetik oleh Abdul Muis (2002:17) bahawa kata akal merupakan bentuk baku daripada kata kerja Aqala'Ya'qilu yang mempunyai erti berfikir. Makna kata yang berimplikasi luas; iaitu memikirkan, memahami, mengerti dan memperhatikan untuk mencegah daripada perbuatan dan perkataan yang hina.

Kata akal sudah menjadi kata Melayu, berasal dari kata Arab al'aql. Akal juga membawa yang membawa maksud faham atau mengerti. Menurut Imam al-Ghazali, kata akal juga bermakna, Pertama; pengetahuan, Kedua; dari hati jantung roh jasmani. Jiwa yang selalu memerintahkan kejahatan, pengetahuan dan jisim halus yang mampu memahami dan mengenal.

Menurut Imam Al-Ghazali lagi dalam bukunya, Ihya' Ulumudin manusia jasadnya terdiri daripada lima unsur yang wujud secara bersepadu iaitu; roh, kalbu, nafsu, akal dan jasad. Kelima-lima unsur ini berada dalam diri manusia yang memainkan peranan penting dalam membentuk tingkah laku dan menjana intelek manusia.

Ali bin Abu Talib menyatakan, apabila akal tidak sempurna maka berkuranglah bicara. Manakala menurut Al-Razzi, kemajuan akal hanya menambah banyak ikatan. Seterusnya cerdik pandai Islam menjelaskan, orang berakal percaya pada pekerjaannya, manakala orang bodoh percaya pada angan-angan. Seterusnya, tidak ada yang dimiliki raja ataupun rakyat yang lebih utama daripada akal. Oleh itu, gunakanlah akal sebaik-baiknya.

Lantaran itu, akal yang dimiliki manusia mampu untuk berfikir. Bagaimanapun, akal memerlukan bahan intelek yang boleh menjana dan menggerakkan akal atau minda untuk berfikir dengan kaedah tertentu. Lantaran itu, akal, otak atau minda yang ada pada diri manusia , suatu sistem yang amat kompleks dan potensinya amat menakjubkan.

Banyak ayat al-Quran yang menjelaskan tentang akal dan menyuruh manusia menggunakan akal dalam kehidupan di dunia. Rasulullah SAW bersabda: "Yang pertama kali Allah SWT ciptakan adalah akal. Agama itu akal, tidak ada agama bagi sesiapa yang tidak berakal."



DR AMINUDIN MANSOR ialah bekas pendidik berkelulusan ijazah Kedoktoran Persuratan Melayu. Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28 Ogos 2012 / 10 Syawal 1433

Azab

DALAM pengertian keagamaan, hukuman yang ditimpakan kepada seseorang sebagai akibat daripada perbuatannya, disebut azab. Hukuman itu sendiri terbahagi kepada dua, iaitu yang berasal daripada Allah SWT dan yang dilakukan suatu golongan terhadap golongan lain.

Contoh hukuman daripada Allah SWT adalah hukuman yang ditimpakan kepada Firaun dan para pengikutnya agar mereka menyedari kekeliruannya dan kembali ke jalan yang benar (rujuk az-Zukhruf: 48).

Adapun contoh hukuman daripada suatu golongan kepada golongan yang lain adalah seksaan yang dilakukan Firaun serta para pengikutnya terhadap Bani Israel dan pembunuhan semua bayi lelaki mereka (rujuk al-Baqarah: 49; al-'Araaf: 141; Ibrahim: 6; ad-Dukhaan: 30-31)


Bencana alam seperti gempa bumi atau banjir diturunkan bagi mengingatkan umat manusia akan azab Allah SWT. - Gambar hiasan

Di dalam al-Quran dijelaskan bentuk dan sebab azab. Contoh sebab azab kerana kafir kepada Allah SWT diterangkan dalam surah al-Anfal ayat 35, dan mendustakan ayat-ayat Allah SWT dalam surah al-'Araaf ayat 36-39. Salah satu contoh bentuk azab Allah SWT di neraka adalah minuman daripada air yang sedang mendidih. Ini terdapat dalam surah al-An'am ayat 70.

Pada umumnya, kaum Asy'ariyah (penganut aliran Asy'ariyah) meyakini adanya azab Allah SWT yang ditimpakan kepada manusia ketika masih berada di dunia ini. Dalam al-Quran dikisahkan adanya azab dalam pelbagai bentuk bencana alam.

Bangsa-bangsa terdahulu yang ingkar atau zalim tertimpa bencana itu, misalnya angin kencang yang amat dingin dan membinasakan kaum Ad (rujuk al-Haqqah: 6)

Nabi Hud a.s diutus Allah SWT untuk memberi peringatan kepada kaum Ad yang sesat (surah al-Ahqaf, ayat 21) kerana mereka menyembah objek lain selain Allah SWT. Mereka tidak mahu mendengarkan Nabi Hud dan tetap membangkang. Akhirnya, Allah SWT menurunkan azab kepada kaum Ad dalam dua tahap. Salah satu azabnya berupa kekeringan atau kemarau yang sangat dahsyat.

Sebelum bencana banjir diturunkan, Nabi Nuh a.s sudah mengingatkan umatnya akan azab Allah SWT. Namun mereka tetap membangkang dan menolak ajakan Nabi Nuh a.s. Akhirnya bencana banjir besar ditimpakan kepada kaum Nabi Nuh a.s kerana mereka berbuat zalim. Atas perintah Allah SWT, Nabi Nuh a.s dan kaumnya yang bertakwa membina bahtera besar agar mereka terhindar daripada bencana bah (banjir besar).

Menurut tafsir Ibnu Katsir, ada dua pendapat tentang azab kubur. Pertama, menyatakan bahawa azab kubur berbentuk penyeksaan secara fizikal, sedangkan yang kedua berpendapat bahawa azab kubur hanya merupakan pengalaman rohani.

Meskipun demikian, tidak semua ulama, terutama ulama moden, berpendapat bahawa azab kubur itu ada. Sebahagian daripada mereka tidak percaya akan adanya azab kubur.

Para ahli ilmu kalam berpendapat bahawa azab di akhirat berlaku secara fizikal. Hal ini didasarkan pada keyakinan mereka tentang adanya kebangkitan jasmani seperti dinyatakan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Siapakah yang dapat menghidupkan tulang belulang yang telah hancur luluh? Katakanlah: Ia akan dihidupkan oleh Tuhan yang menciptakannya kali pertama. (Yaasin: 78-79)

Kaum sufi menolak kebangkitan (dibangunkan kembali) jasmani. Menurut mereka, jasmani bersifat sementara. Apa yang akan dibangkitkan (dibangunkan kembali) di akhirat adalah rohani. Oleh hal yang demikian itu, azab akhirat itu bersifat rohani.



Sumber: Utusan Malaysia Online Bicara Agama 28 Ogos 2012 / 10 Syawal 1433