September 1st, 2012

Ibadat umrah

DI antara satu umrah dengan satu umrah yang lain itu adalah penebus dosa di antara tempoh keduanya. Inilah di antara mafhum hadis yang diriwayatkan daripada Sahih Bukhari.

Umrah dari segi bahasanya adalah ziarah. Manakala dari segi syarak ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Mekah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

Umrah terdiri daripada 5 rukun iaitu :-

* Niat3

* Tawaf

* Saie

* Bercukur atau bergunting

* Tertib


Umrah boleh dilakukan sepanjang tahun. Bagi mereka yang rindukan Baitullah al-Haram peluang mengerjakan umrah tidak dilepaskan begitu sahaja.

Bermula pada bulan Mac kebiasaannya, jemaah dari Malaysia akan mula mengunjungi Mekah sehinggalah bulan Ramadan.

Namun begitu, bagi mereka yang menunaikan haji, peluang menunaikan umrah tidak dilepaskan begitu sahaja.

Bagi bakal-bakal haji yang menunaikan umrah sepanjang musim haji ada dua tempat di mana mereka selalu memulakan niat.

Bagi bakal haji yang memasuki Mekah dari Madinah akan berniat Umrah di Bir Ali lebih kurang 10 kilometer dari Kota Madinah.

Sementara itu, bagi bakal haji yang terus ke Mekah akan berniat umrah di Qarnul Manazil (dalam kapal terbang) iaitu bagi yang menunaikan haji tamattu’.

Bagi bakal haji yang menunaikan umrah kali pertama biasanya pihak Tabung Haji melalui Muassasah Tawwafah Asia Tenggara akan membimbing jemaah untuk melakukan tawaf dan saie. Setelah selesai saie, mereka perlulah bercukur atau bergunting. Maka selesailah ibadat umrah.

Sementara menunggu hari wuquf perbanyakkan umrah sunat. Berhati-hatilah ketika melakukan umrah sunat. Jaga larangan Ihram supaya ibadat umrah sempurna. Jagalah kesihatan supaya menjelang hari wuquf, bakal haji dapat menunaikan haji pula.

* MOHD. RAZALI ZAKARIA ialah Pengurus (Penerbitan Haji), Lembaga Tabung Haji Sumber: Utusan Malaysia Online Agama 1 September 2012 / 14 Syawal 1433

Janji Allah

SURAH ini dikategorikan dalam surah Makkiyah kecuali ayat 48 yang mana dikategorikan sebagai ayat Madaniyyah. Surah ini keseluruhannya mempunyai 50 ayat. Ia diturunkan selepas surah al-Humazah. Hubungannya dengan surah sebelumnya ialah di dalam surah ini Allah SWT bersumpah akan menunaikan isi yang terkandung dalam surah sebelumnya, yang mengandungi berita ancaman terhadap golongan yang derhaka dan janji kepada orang Mukmin yang mengerjakan kebajikan.

Firman Allah SWT: Demi malaikat-malaikat yang diutus untuk membawa kebaikan. Dan (malaikat-malaikat) yang terbang dengan kencangnya. Dan (malaikat-malaikat) yang menyebarkan (rahmat Tuhannya) dengan seluas-luasnya. Dan (malaikat-malaikat) yang membezakan (antara yang hak dan yang bathil) dengan sejelas-jelasnya. (al-Mursalat: 1-4)

Al-Maraghi berkata: "Sumpah Allah SWT dengan para Malaikat:

* Yang diutuskan untuk menyampaikan kebaikan dan ihsan agar disampaikan kepada para Nabi dan Rasul-Nya.

* Para Malaikat yang meninggalkan kebatilan dengan cepat sebagaimana angin kencang menerbangkan tanah dan debu.

* Yang menyebarkan pengaruh-pengaruh mereka kepada umat-umat dan jiwa-jiwa yang hidup.

* Para Malaikat yang turun membawa perintah Allah SWT untuk memisahkan di antara yang hak dengan yang batil dan di antara petunjuk dengan kesesatan.

Ibnu Abi Hatim meriwayatkan daripada Abi Hurairah, mursalaati 'urfa iaitu para Malaikat.

Abu Hurairah berkata: "Yang dimaksudkan dengan ayat ini ialah Malaikat-Malaikat."

Ibnu Mas'ud berkata: "Mursalaat itu ialah angin-angin. Maksudnya angin-angin itu dilepaskan berturut-turut seperti jajaran bulu tengkuk kuda yang berjuntai.Faariqaat dan Mulqiaat pula bermaksud Malaikat-Malaikat."

Maksud ayat ini ialah Malaikat-Malaikat itu turun membawa perintah-perintah Allah kepada rasul iaitu perintah-perintah yang membezakan di antara yang hak dan yang batil dan mencampakkannya kepada para rasul dalam bentuk wahyu untuk menolak dalihan manusia dan memberi amaran kepada mereka.

Ibnu Jarir berkata: "Al-mursilaat iaitu Malaikat atau angin. Manakala al- 'Asifaatitu ialah angin-angin dan an-Nasyirat itu pula ialah angin-angin yang menyebar awan di merata penjuru langit."

Firman Allah SWT: Dan (malaikat-malaikat) yang menyampaikan wahyu untuk menolak alasan-alasan atau memberi peringatan. Sesungguhnya apa yang dijanjikan kepadamu itu pasti terjadi. (al-Mursalat: 5-7)

Al-Maraghi berkata: "Allah SWT bersumpah dengan para malaikat yang menyampaikan kepada para rasul tentang wahyu yang mengandungi peringatan kepada makhluk dan ancaman tentang azab-Nya, apabila mereka melanggar perintah-Nya dan sumpahan Allah SWT dengan semua sumpah ini ialah merupakan janji Allah SWT iaitu berlakunya hari kiamat itu merupakan perkara yang benar dan bukanlah perkara yang mustahil."

Ibnu Kathir berkata: "Iaitu Malaikat yang turun atas perintah Allah SWT untuk menemui rasul-rasul-Nya dan menyampaikan wahyu. Para rasul menerima wahyu, baik dalam rangka memberi alasan kepada umat manusia atau memberi peringatan kepada mereka tentang seksaan Allah SWT sekiranya mereka menyalahi perintah-Nya."

Dan apa yang dijanjikan Allah SWT kepada kamu semua yang berupa hari kiamat, peniupan sangka kala, pembangkitan jasad dan pengumpulan kembali manusia daripada yang pertama hingga yang terakhir, serta balasan kepada umat manusia yang sesuai dengan amal perbuatannya, semua itu pasti berlaku dan tidak mungkin tidak berlaku.

Firman Allah SWT: Maka apabila bintang-bintang telah dihapuskan.Dan apabila langit telah dibelah. (al-Mursalat: 8-9).

Al-Maraghi berkata: "Maksudnya, apabila cahaya bintang-bintang mula lenyap dan apabila langit pecah dan terbelah."

Ibnu Kathir berkata: "Maksudnya, apabila bintang-bintang telah hilang cahayanya dan apabila langit pecah dan terbelah serta ujung-ujungnya telah digulung."

Sayid Qutub berkata: "Pada hari berlakunya kiamat itu bintang dihapuskan dan hilanglah cahayanya dan langit dipecahkan."

Firman Allah SWT: Dan apabila gunung-gunung telah dihancurkan menjadi debu.(al-Mursalat: 10)

Al-Maraghi berkata: "Ketika gunung-ganang diterbangkan angin sehingga tidak lagi meninggalkan kesannya."

Ibnu Kathir berkata: "Yakni dibawa menghilang sehingga tidak ada sedikitpun sisa yang tinggal dan tidak pula ada bekasnya."

Firman Allah SWT: Dan apabila rasul-rasul telah ditetapkan waktu (mereka). (al-Mursalat: 11)

Al-Maraghi berkata: "Apabila telah ditentukan kepada para rasul waktu untuk pengadilan dan pemutusan urusan di antara mereka dengan umat mereka."

Al-Aufi meriwayatkan dari Ibnu Abbas: Iaitu dikumpulkan.

Mujahid berkata: "Yakni ditangguhkan waktunya."

Sayid Qutub berkata: "Surah ini mengemukakan satu lagi perkara yang amat besar yang telah ditangguhkan Allah kepada hari kiamat ini, iaitu masa para rasul dipanggil untuk mengemukakan hasil pencapaian dakwah Allah SWT yang diperjuangkan mereka di bumi di sepanjang generasi-generasi manusia."

Marilah sama-sama kita bertekad untuk menjadi hamba Allah yang beriman dan mengamalkan segala perintah agar kita layak menghuni syurga-Nya.


DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI Sumber: Utusan Malaysia Online Agama 1 September 2012 / 14 Syawal 1433

Sifat dusta, janji palsu porak-perandakan umat

Mengotakan janji adalah suatu kewajipan yang perlu dilaksanakan bagi memadamkan tanda munafik pada diri seseorang. Sudah sedia maklum bahawa memungkiri janji adalah satu ciri-ciri nifaq (munafik).

Oleh sebab itulah Baginda SAW mengajar umat-Nya berdoa: “Ya Allah, aku berlindung dengan Mu daripada persengketaan, sifat munafik dan akhlak yang buruk.” (Riwayat Abu Daud dan Nasai’) Inilah penyakit bahaya yang menular dalam kalangan masyarakat di mana ia telah menjadi sebahagian daripada akhlak kaum munafiqin.

Tiga asas sifat munafik

Sabda Baginda SAW: “Pemilik tiga sifat ini adalah munafik walaupun dia melakukan solat dan berpuasa. Apabila bercakap dia berdusta, mengkhianati janji dan pecah amanah.” (Riwayat Muslim)

Baginda SAW menegaskan terdapat tiga asas munafik antaranya ialah menipu, khianat dan mungkir janji. Ada riwayat lain menambah, pergaduhan melampau juga termasuk ciri munafik. Begitu juga perjanjian dalam bentuk tulisan, lisan, pengiktirafan dan pengakuan dikategorikan sebagai janji.

Hari ini kita melihat ramai yang pernah membuat pengakuan dan pengiktirafan tetapi malangnya apabila tiba masa diperlukan maka dia menafikan segala-galanya jika pengakuan tadi dilihat akan merugikan pihaknya.

Dihitung di akhirat

Manusia akan dihitungkan semua kata-katanya di akhirat kelak. Oleh itu, Islam menganjurkan penganutnya supaya berhati-hati terhadap sebarang bentuk perjanjian yang disebutkan tadi kerana menjadi tanggungjawab baginya untuk mengotakan segala janjinya.

Islam mengingatkan kita supaya mengotakan segala janji supaya terselamat daripada kemurkaan Allah SWT. Ia diumpamakan seperti mereka yang berkata tanpa melaksanakan apa diucapkan.

Firman Allah SWT: “Wahai orang yang beriman, mengapa kamu menyatakan sesuatu yang kamu tidak kerjakan. Sangatlah dibenci oleh Allah SWT lantaran sikapmu itu.” (Surah Saf, ayat 2-3)

Sahabat Baginda SAW amat berhati-hati dengan kata-kata yang diucapkan sehingga semua perkara diucapkan adalah dianggap janji perlu ditunaikan.

Ketika tiba ajal seorang sahabat bernama Abdullah Bin Umar, beliau berkata: “Tolong uruskan urusan seorang lelaki Quraisy itu. Sesungguhnya aku telah berkata sesuatu padanya seolah-olah aku berjanji dengannya dengan anak perempuanku. Maka hari ini, aku menjadi saksi terhadap perkahwinan mereka berdua kerana aku tidak sanggup bertemu Allah SWT dengan membawa sepertiga daripada sifat munafik.”

Janji palsu

Allah SWT juga menyifatkan pendusta umpama syaitan yang pernah menaburkan janji manis dan pelbagai kesenangan dunia dalam bisikkan mereka kepada umat manusia padahal semuanya palsu belaka.

Firman Allah SWT: “Apabila tiba waktunya, syaitan berkata: Sesungguhnya semua janji Allah adalah benar. Aku juga pernah berjanji padamu tetapi kamu telah tertipu sedangkan aku tiada kekuatan apa-apa yang boleh membantu kamu dan kamu juga tidak dapat membantu pada hari ini (selepas semua amalan dihisab), tetapi kamu tetap mematuhi seruanku. Oleh itu janganlah aku dipersalahkan, bahkan salahkanlah dirimu sendiri.” (Surah Ibrahim, ayat 22)

Seterusnya, mendustakan Allah SWT dengan dakwaan halal dan haram atau mewajibkan sesuatu pada perkara yang belum ditentukan kesahihannya melalui al-Quran dan sunnah Baginda SAW.

Seharusnya dinyatakan perbezaan ulama pada sesuatu perkara hukum yang masih samar dan merumuskan pendapat terkuat dalam kalangan ulama. Inilah cara terbaik kerana pada hari kiamat, Allah SWT akan mempersoalkan, “dari mana kamu datangkan hukum ini?”

Propaganda teknologi maya

Kini juga kita berdepan pencipta propaganda dan khabar angin yang disebarkan menggunakan teknologi maya yang tiada sempadan. Penyalahgunaan teknologi itu berpotensi untuk menaikkan dan menjatuhkan seseorang.

Justeru, marilah bersama kita bina masyarakat yang benar daripada segala pembohongan dan mengecapi keuntungan dijanjikan Allah SWT di dunia dan akhirat. Jauhilah sifat dusta yang diwarisi daripada syaitan dan kaum munafik untuk memporak- porandakan umat.

Zamanuddin Jusoh Penulis Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP) Sumber: Berita Harian Online Agama Sabtu , 01 September 2012, 14 Syawal 1433 H

Hati bersih lahirkan tindakan baik

Sentiasa bersyukur menerima nikmat, sabar ketika ditimpa musibah

Kemeriahan berhari raya yang masih terasa di negara ini, banyak hikmah boleh dikutip serta disyukuri khasnya oleh umat Islam sesuai dengan maksudnya sebagai hari kemenangan. Walaupun syariat tidak menetapkan tempoh sebulan berhari raya, itu kebiasaan kita meraikannya. Ia budaya hidup yang mampu menerap pelbagai nilai murni jika diraikan dengan adab dan tatasusila termasuklah saling bermaafan, bertegur sapa, bertanya khabar, beramah-mesra, bergurau-senda, tolong- menolong, bekerjasama serta hormat-menghormati.

Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Hurairah: “Sesungguhnya Allah Taala itu tidak melihat kepada tubuhmu, tidak pula kepada bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hatimu sekalian.” (Riwayat Muslim)

Amalan baik jadi sedekah

Bahkan ramai juga yang memilih kemeriahan bulan ini untuk melangsungkan majlis perkahwinan. Nilai ini bukan saja mengeratkan hubungan dan membina suasana harmoni sesama manusia, bahkan dalam Islam ia menjadi suatu sedekah.

Daripada Jabir bin Abdullah, Rasulullah bersabda: “Tiap-tiap perkara yang baik menjadi sedekah. Di antara perkara yang baik itu hendaklah ketika kamu bertemu dengan saudaramu biarlah dengan wajah yang manis, dan (jika ada yang meminta air) hendaklah kamu tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Nilai baik ini adalah akhlak yang boleh terhasil dengan mudah dan secara semula jadi rentetan pengetahuan diri, semangat, ‘iklim’ meraikan kemeriahan hari raya setelah sebulan menjalani penyucian hati sepanjang Ramadan.

Tapak sesuatu niat

Imam al-Ghazzali berkata, hati yang bersih akan dengan spontan memancarkan wajah dan tindakan yang baik. Dalam apa juga yang dipamerkan serta dilaksanakan, Islam amat menitikberatkan keikhlasan serta menilainya berdasarkan hati yang menjadi tapak sesuatu niat.

Rasulullah SAW bersabda daripada Abu Hurairah: “Sesungguhnya Allah Taala itu tidak melihat kepada tubuhmu, tidak pula kepada bentuk rupamu, tetapi Dia melihat kepada hatimu sekalian.” (Riwayat Muslim)

Namun, bagi mereka yang tidak dapat meraikan hari raya dengan kemeriahan dan kegembiraan disebabkan sesuatu musibah atau kesusahan, ia juga mengandungi hikmah dalam memupuk nilai murni seperti sabar, tabah yang menjadi kebaikan pula baginya.

Allah SWT berfirman: “Orang yang bersabar dan suka memaafkan, sesungguhnya hal demikian itu termasuk pekerjaan dilakukan dengan hati yang teguh.” (Surah as-Syura, ayat 43)

Rasulullah SAW menerangkan kebaikannya dengan sabda: “Amat menghairankan sekali keadaan orang mukmin itu, sesungguhnya semua keadaannya adalah kebaikan baginya dan kebaikan yang sedemikian itu tidak akan ada lagi seseorang pun melainkan hanya untuk orang mukmin, iaitu apabila ia mendapatkan kelapangan hidup, ia bersyukur, maka hal itu adalah kebaikan baginya, sedang apabila ia ditimpa oleh kesukaran – yakni bencana – ia bersabar dan hal ini pun adalah kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim)

Lebih menarik lagi, nilai yang dibajai sepanjang Ramadan dan Syawal bukan hanya untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT tetapi juga ‘hubungan kemanusiaan’ serta amalan kemasyarakatan iaitu tanggungjawab sosial sesama insan.

Latihan bangunkan insaniah

Justeru, Rasulullah diriwayatkan berjalan pergi dan balik dari masjid pada Aidilfitri dengan menggunakan jalan berbeza. Tujuan Baginda adalah untuk bertemu dengan lebih ramai orang yang berbeza.

Semua amalan baik ini jika diteruskan dengan adab antaranya suci hati akan menjadi suatu latihan membangunkan kemahiran insaniah dan kemampuan dalam diri individu.

Kemahiran insaniah merujuk kepada ciri-ciri keperibadian, daya tarikan sosial, kemampuan berkomunikasi, sikap kepekaan atau kepedulian khasnya dalam menerima kekurangan dan kelebihan orang lain serta bersikap optimis.

Nilai ini penting dan berguna dalam apa juga situasi termasuklah alam pekerjaan kerana kemahiran insaniah mencakupi kualiti peribadi yang bertanggungjawab, mempunyai kepercayaan, pengendalian diri, kemampuan berinteraksi serta kejujuran.

Hidup budaya murni

Semua ini terangkum dalam maksud integriti yang menjadi asas kepada kerja berkualiti yang mengundang keberkatan dunia dan akhirat.

Bersempena Syawal yang masih ada, marilah bersama menyemarakkan budaya hidup harmoni bagi menanamkan kemahiran insaniah secara berterusan selaras tuntutan berakhlak dan ciri Mukmin yang diumpamakan Rasulullah seperti binaan, saling menguat dan menyokong antara satu sama lain.




Dr Sharifah Hayaati Syed Ismail Penulis Prof Madya di Jabatan Siasah Syariyyah, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) Sumber: Berita Harian Online Agama Sabtu , 01 September 2012, 14 Syawal 1433 H